Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, June 27, 2012

Kalau nak beribadat pergilah ke Mekah dan Madinah, tapi kalau nak lihat Islam pergilah ke Perth

Walaupun Perth di Australia Barat merupakan sebuah Bandar yang diduduki oleh orang bukan Islam atau lebih tepat lagi Kristian, tetapi saya berminat untuk membawa ibu saya dan keluarga saya untuk melawat Perth bagi melihat sendiri bagaimana nilai-nilai baik ajaran Islam yang biasanya hanya tercatat dalam buku-buku atau kitab-kitab, menjadi budaya dan amalan dalam kehidupan harian masyarakat bukan Islam di sana.
Kata pepatah Inggeris “seeing is believing”, rasa macam tidak percaya nilai-nilai murni yang selalu kita dengar dari ustza-ustaz ini tidak mustahil boleh diamalkan setelah melihat kepada kehidupan masyarakat bukan Islam di Perth.
Kita tidak akan nampak cara hidup Islam kalau pergi ke Islamabad, Dacca, malah Mekah sekalipun, walaupun semua itu adalah kota Islam.
 Mengapa kota-kota Islam ini penuh dengan peminta sedekah? Padahal Negara Islam sangat kaya dengan hasil bumi. Islam juga tidak pernah mengajarkan lebih baik untuk menjadi peminta sedekah. Islam ajar kita, tangan yang di atas itu adalah lebih baik dari tangan yang di bawah. Tetapi ramai umat Islam mahu menjadi tangan yang di bawah walaupun di sisi Tuhan, tangan yang di atas itulah yang lebih baik.
Di Negara kita hari-hari akhbar melaporkan berita pembunuhan, rompakan, pecah rumah, samun, ragut dan penculikan. Kita sentiasa berasa bimbang dengan keselamatan rumah dan anak-anak kecil kita.
Pada anggapan kita, tidak akan ada pencuri yang berani masuk ke kuaters kediaman polis diraja Malaysia, kalau masuk juga memang pencuri itu hendak menempah maut. Tapi lihatlah, semua tingkap dan pintu rumah kuaters polis dipasang dengan jeriji besi. Kalau rumah kuaters polis pun dipasang jeriji besi, bolehkah rumah kita yang bukan polis ini selamat dari kecurian kalau tidak dipasang jeriji besi?
Kalau pencuri takut hendak masuk dalam kawasan kuaters polis ini, siapa pula yang jadi pencuri dalam kuaters polis ini, hingga memaksa rumah-rumah mereka dipasang jeriji besi? Mungkin anda ada jawapannya.
Kalau hotel di Malaysia, bukan saja pada pintunya ada lubang tinjau untuk mengetahui siapa orang yang mengetuk pintu bilik hotel kita, malah dilengkapkan dengan selak berantai untuk keselamatan kita, tetapi hotel tempat penginapan saya di Perth tidak memerlukan itu semua. Anak saya berumur tujuh tahun bebas keluar masuk hotel sendirian tanpa kita berasa bimbang. Pernah sekali dia menangis di depan pintu bilik hotel kerana tidak dapat masuk disebabkan kami tidak dapat mendengar dia mengetuk pintu. Selepas mendengar ketukan pintu yang kuat kami buka pintu dan mendapati beberapa orang warga tempatan bersama anak saya. Mereka telah membantu mengetukkan pintu untuk anak saya.
Sebaik saja keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Perth, kami terus menuju ke tempat teksi untuk menaiki teksi ke hotel. Tidak nampak pemandu-pemandu teksinya menyerbu kita berebut penumpang seperti di tempat kita, sebaliknya kita boleh bebas memilih mana-mana teksi dan pemandu yang kita suka. Mereka mengenakan bayaran mengikut meter tanpa caj tambahan walaupun pukul 3 pagi. Mereka tidak pernah timbulkan masalah tidak dapat penumpang semasa mereka balik dari hotel nanti, seperti alasan yang selalu diberikan oleh pemandu teksi di Negara kita untuk menuntut caj lebih.
Sepanjang 5 hari di Perth kami banyak menggunakan bas untuk bergerak di pusat Bandar Perth. Perkhidmatan bas pusat Bandar ini diberikan percuma. Walaupun percuma, perkhidmatannya sangat efisyen dan selesa, tidak padat dan sesak seperti bas yang berbayar di pusat Bandar Kuala Lumpur. Dengan menekan satu butang di tiang perhentian bas (bus stop), kita akan diberitahu berapa minit lagi bas akan sampai.
Pemandu bas sanggup bangun dari tempat duduknya semata-mata untuk bantu mengangkat kereta sorong anak saya turun dari bas. Sudahlah kita tak bayar satu sen untuk naik bas, kemudian dia bantu pulak anak saya turun bas. Kalau di tempat kita, orang yang bertaraf ‘ustaz’ pun belum tentu boleh lakukan kebaikan seperti itu.
Walaupun saya tidak ternampak orang berstatus orang kurang upaya (OKU) di Bandar Perth ini, tetapi saya boleh menyorong atau menolak kereta sorong (baby stroller) anak saya sepanjang bahu jalan dengan selesa dan lancar, tanpa ada rintangan atau sekatan. Memang Bandar ini betul-betul mesra OKU.
Ibu saya sangat tersentuh dan kagum dengan sikap masyarakat di Perth apabila melihat seorang tua membuang kertas pembalut aiskrim ke dalam tong sampah. Sebaik dia mencampakkan kertas pembalut itu ke dalam tong sampah, angin bertiup kencang dan kertas itu terbang melayang sebelum sempat masuk ke dalam tong. Orang tua itu bertindak cepat mengejar sampah yang diterbangkan oleh angin itu. Kalau kita di Malaysia, kita hanya akan membiarkan saja sampah itu melayang ditiup angin dan menganggapnya sebagai perkara kecil saja.
Melihat kepada sikap dan nilai baik yang diamalkan oleh masyarakat Perth ini, ibu saya akur, masyarakat Perth ini telah mengamalkan akhlak ‘baik’ yang telah dituntut oleh ajaran Islam. Ini termasuklah sikap amanah, rajin, suka membantu, tidak mementingkan diri. Seolah-olah di sinilah dia nampak nilai-nilai Islam itu dipraktikkan. Barulah dia tahu nilai-nilai baik ajaran Islam itu tidak mustahil untuk dimasyarakatkan, bukan sekadar teori saja.
Sekarang menjadi tugas kita pula untuk mengkaji bagaimana Australia amnya atau Perth khususnya boleh melahirkan masyarakat berakhlak ‘baik’ walaupun bukan beragama Islam. Alangkah cantiknya kalau Negara kita dapat melahirkan masyarakat seperti itu, apatah lagi ditambah pula dengan beriman dengan Tuhan yang Maha Esa.
Mungkin selama ini tanpa kita sedari kita telah mendidik anak-anak dan masyarakat Malaysia kearah mengejar material dan duit sahaja, dan tidak menitik beratkan nilai-nilai kemanusiaan. Kita hanya mengkutbahkan nilai-nilai baik dan nilai kemanusiaan tetapi tidak memberi apa-apa latihan untuk mendidik mereka ke arah itu.
Kalau kita teliti, perlakuan merompak, menculik, meragut, menipu, pecah amanah, rasuah, semuanya itu adalah gejala yang bermatlamatkan duit. Tuhan dan kiblat mereka adalah duit sehingga lupa tentang dosa dan pahala. Mereka langsung tidak rasa bersalah mendapatkan duit dengan cara merompak, menipu dan rasuah. Pada mereka, duit tidak ada haram dan halal, hanya daging babi saja yang haram.

Sistem dan nilai masyarakat kita sudah berada pada tahap yang teruk sekali. Sama-samalah kita memikir dan bertindak untuk memperbaikinya.

2 comments:

Anonymous said...

Sebenarnya, kekaguman sdr terhadap cara hidup masyrakat Perth yg berugama Kristian tetapi sdr kata mengamalkan ajaran Islam adalah mengelirukan.

Kalau dah ajaran islam, sepatutnya cara hidup tersebut terdapat di negara islamlah, kenapa pula terdapat di Perth, Australia.

Sebenarnya, mereka hidup cara begitu sudah ratusan tahun lamanya, bukan baru, sampai sudah menjadi budaya.

Maksudnya, mereka jadi begitu kerana ajaran ugama mereka mengajar mereka begitu.

Orang islam tidak jadi begitu kerana yang mengajar, umpama ketam, mengajar anaknya berjalan betul tetapi dia sendiri berjalan mengereng.

Anonymous said...

bukan perth ajer. cuba tgk negara 'kafir' lain. jepun, korea dan yg latest baru nak maju china.

memang sesat sudah islam ni..

dulu zaman al-khawarizmi tak macam ni kolot pun pikiran orang2 islam. boleh bedah mayat semua untuk ilmu..sekarang boleh?

itu ini semua tak boleh. yang boleh minum air zamzam yang tak dimasak...cantek..dapat e-coli masuk syurga terus..

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com