Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, July 31, 2009

Keseronokan Memancing


RAMAI juga orang yang mempunyai hobi memancing. Memancing yang saya maksudkan di sini ialah memancing ikan. Kadang-kadang mereka sanggup duduk berjam-jam menunggu kail mereka disambar ikan.

Kelihatannya seperti membuang masa dan membuat kerja bodoh. Padahal kalau hendak makan ikan bukankah lebih senang beli saja di pasar atau tempat-tempat nelayan menjual ikan. Ini lebih baik dari membuang masa pergi memancing yang belum tentu boleh dapat ikannya.

Bila kita tanya kepada mereka yang kaki pancing ini, mereka mengatakan keseronokan memancing ini bukanlah kerana mendapat ikan yang dipancing itu, sebaliknya keseronokannya adalah semasa mengendalikan kail ketika mendaratkan ikan yang terkena pancing itu.

Ada satu cerita ekstrim yang sangat popular diperbualkan di kalangan kaki pancing ini, di mana ada kaki pancing yang sanggup menawarkan bayaran kepada tuan punya pancing yang kailnya sedang disentap ikan bagi mendaratkan ikan tersebut. Selepas ikan itu didaratkannya, ikan itu diserahkan kembali kepada tuan yang punya pancing itu.

Begitulah cerita tahap kegilaan seorang kaki pancing. Mereka sanggup membayar harga keseronokan mendaratkan ikan dengan kail itu walaupun dia tidak memiliki ikan tersebut.

Begitulah juga yang dirasakan oleh pasangan suami isteri yang bercerai. Setiap kali bercerai, anak-anak akan menjadi rebutan di antara ibu dan bapa yang berpisah.

Keseronokan ibu bapa yang bercerai bukanlah semata kerana mereka dapat hak penjagaan anak-anak. Tetapi yang lebih seronok lagi ialah kerana mereka dapat membesarkan anak-anak di depan mata mereka.

Pada kebiasaannya, pihak ibulah yang selalu mendapat hak penjagaan anak-anak selepas pasangan suami isteri itu bercerai. Di pihak bapa pula, bapa bukan sahaja kehilangan keseronokan untuk membesarkan anak-anaknya tetapi terpaksa pula membayar wang nafkah setiap bulan untuk anak-anaknya yang dipelihara oleh bekas isteri.

Kadang-kadang rasa kesal juga terhadap sikap isteri-isteri yang bercerai, mereka selalu merungut kerana bekas suami kerap tidak membayar nafkah untuk anak-anak. Tetapi mereka lupa yang keseronokan membesarkan anak-anak didepan mata itu lebih jauh berharga dari duit nafkah itu.

Malah saya percaya, ramai dikalangan bekas suami kalau diberi pilihan, mereka sangat suka untuk menjaga dan membesarkan anak-anak mereka, malah sanggup membayar wang lagi kepada bekas isteri mereka sama banyak seperti bayaran nafkah untuk anak-anak sebanyak yang telah ditetapkan oleh pihak berwajib walaupun bekas isterinya tidak menjaga anak-anak itu.

Ini menggambarkan keseronokan membesarkan anak-anak di depan mata sendiri itu lebih besar nilainya dari wang nafkah anak yang kena bayar tiap-tiap bulan itu. Keadaan ini samalah seperti kes kaki memancing yang saya sebutkan tadi.

Oleh itu kepada pihak yang menang atau mendapat hak penjagaan anak-anak ini, janganlah memandang buruk sangka kepada bekas pasangan anda, selalulah renungkan dan bayangkan kalaulah bukan anda tetapi bekas pasangan anda yang mendapat hak penjagaan anak-anak itu. Kadang-kadang kita terlupa tentang perkara ini kerana kita tidak pernah meletakkan diri kita di tempat orang lain.

Thursday, July 23, 2009

Suruhanjaya Oh Suruhanjaya


AKHIR-AKHIR ini kerap benar kita mendengar penubuhan suruhanjaya diRaja. Setiap kali kalau ada tindakan badan-badan penguatkuasa yang boleh mendatangkan curiga dan dipertikaikan oleh orang ramai dan menjadi isu panas, setiap kali itu jugalah suruhanjaya akan ditubuhkan bagi meredakan kemarahan orang ramai.

Isu video yang dirakam secara sulit menunjukkan seorang wanita yang disangka warga Negara China ‘didera’ berbogel dan melakukan ketuk ketampi telah memaksa satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat dan menyemak semula prosedur badan Polis dalam menjalankan tugas-tugas mereka.

Kemudian diikuti pula oleh isu video yang merakamkan seorang peguam kanan bernama Lingam yang sedang membuat panggilan telefon kepada pemimpin politik bagi melobi perlantikan Ketua Hakim juga menimbulkan rasa tidak senang orang ramai kepada kebebasan dan kredibiliti badan kehakiman di Negara ini.

Lantaran itu satu Suruhan DiRaja juga telah ditubuhkan bagi menyiasat kesahihan video itu dan kepincangan yang berlaku dalam badan kehakiman Negara ini.

Kini yang terbaru, kematian saudara Teoh Beng Hock secara misteri yang tengah disiasat oleh SPRM telah menyebabkan orang ramai jadi berang. Seperti yang dikritik keras oleh pemimpin lama UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menyebut, saksi yang dalam siasatan pihak penguatkuasa tidak sepatutnya berakhir dalam keranda.

Bagi meredakan pihak-pihak yang tidak berpuashati dengan cara kematian Teoh yang mengejut itu dan dari mengelak dari isu itu terus dipolitikkan oleh pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan, PM Najib telah bersetuju untuk membenarkan penubuhan sebuah lagi Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat punca sebenar kematian Teoh dan menyemak perjalanan tugas-tugas SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia).

Ini baru betul-betul hebat, suruhanjaya diarah menyiasat suruhanjaya. Siapa yang akan kena kita lihatlah nanti. Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) baru saja ditukar namanya dari nama Badan Pencegah Rasuah (BPR). Nampaknya perubahan pada nama ini belum dapat meyakinkan orang awam terhadap kredibiliti dan integriti badan tersebut. Seperti sebelumnya badan ini masih seperti terikat dengan parti yang memerintah. Masih menjadi tunggangan pihak-pihak yang tertentu.

Kita tidak mahu melihat SPRM memilih bulu dalam mengambil tindakan dan tidak sekadar menjadi Suruhan Penutup mulut Rakyat Malaysia.

Kita sangat menyokong SPRM menjadi badan yang berani dan tegas dalam memerangi rasuah tanpa mengira siapa pun. Janganlah menunjuk berani kepada parti lawan sahaja tetapi kecut telor bila hendak menyiasat menteri dari parti yang memerintah. Kalau hendak melakukan siasatan hendaklah dilakukan secara professional, adil, telus dan berhemah.

Tidak sepatutnya saksi berasa tidak selamat, terasa diugut dan tidak selesa ketika mereka disiasat. Apa keperluannya menyiasat saksi hingga berjam-jam lamanya tanpa rehat, hingga sampai jam 2 pagi. Rajin sangat nampaknya pegawai-pegawai SPRM ini buat kerja hingga tidak tidor-tidor. Kalaupun anda hendak tunjuk rajin, kena ingat juga saksi yang disiasat itu adalah manusia yang perlu masa rehat dan tidor.

Apa kabar dengan Yong Teck Lee? Lama tak dengar berita dia. Fail rasuahnya dekat mana sekarang ni? Atau di penjara mana dia menjalani hukuman sekarang ni?

Satu lagi yang rakyat mahu tahu ialah apakah dapatan-dapatan (meminjam kata PM Najib) yang terjumpa oleh semua Suruhan DiRaja yang telah ditubuhkan ini akan diambil tindakan, apakah pihak yang bersalah akan dihukum? Kita tidak mahu penubuhan Suruhanjaya DiRaja ini sekadar menjadi penyejuk dan bagi meredakan perasaan berang orang ramai kepada parti yang memerintah.

Kita boleh berbangga sebagai negara yang paling banyak menubuhkan Suruhanjaya DiRaja dalam dunia, itu belum termasuk Suruhanjaya Pilihanraya dan Pesuruhanjaya Sumpah.

Ada baiknya juga kalau PM Najib menyokong penubuhan Suruhanjaya DiRaja khusus bagi menyiasat sebab-sebab dua anggota polis unit tindakan khas telah bertindak membunuh wanita Mongolia yang bernama Altantutuya bagi membersihkan nama beliau sendiri.

Monday, July 20, 2009

PKR bakal menjadi tempat sampah sarap BN.


BN ibarat kapal yang bocor yang sukar untuk dibaiki dan kelihatannya hampir hendak tenggelam. Penumpang-penumpang di dalamnya mula berasa cemas dan menjadi kelam kabut.

Ada sebahagian dari penumpang bersama anak-anak kapalnya terus bertungkus lumus berusaha untuk membaiki kapal tersebut. Tetapi ramai juga yang memikirkan untuk lari dari kapal BN setelah melihat tidak ada harapan untuk kapal itu dapat diselamatkan dari tenggelam.

Buat masa ini telah ramai yang telah berpindah ke kapal PKR dan tidak dapat ditolak kemungkinan lebih ramai lagi akan berpindah ke kapal PKR menjelang pilihanraya umum ke 13 yang akan diadakan selewat-lewatnya pada tahun 2013 nanti.
Ada sesetengah ahli-ahli politik BN ini berpindah ke parti PKR kerana atas dasar prinsip yang tidak lagi bersetuju dengan kepimpinan parti BN, tetapi selain dari alasan itu ramai juga yang berpindah dari BN ini terdiri dari orang yang hanya mahu mengambil dan merebut peluang untuk kepentingan diri sendiri.

Golongan oportunis ini merasakan mereka tidak boleh lagi survive kalau terus bersama BN yang mereka jangka akan kalah. Selama ini perniagaan atau projek yang mereka dapat adalah atas dasar kabel politik, oleh itu BN bukanlah tempat yang boleh mereka bergantung lagi. Ibarat seperti lalang, mereka mesti condong mengikut arah angin untuk memastikan mereka terus dapat ‘hidup’ dalam keadaan selesa.

Sudah tentu parti PKR tidak akan menutup pintu kepada sesiapa saja yang hendak masuk atau berpindah kepada parti tersebut, malah kemasukan mereka memang amat dialu-alukan. Samada yang berpindah ke parti PKR itu adalah terdiri dari barang-barang yang berkualiti dan berharga, atau mungkin juga merupakan sampah sarap sahaja, namun semuanya itu sangat berguna kepada keutuhan parti PKR.

Suasana yang berlaku kepada BN ini patut dijadikan pengajaran kepada semua pihak samada kepada PR mahupun juga BN sendiri. Apabila kita memilih bulu dalam memberikan peluang, projek dan perniagaan, tanpa berdasarkan kepada merit dan kebolehan seseorang, maka apabila kekuatan politik sudah hilang, penyokong-penyokong yang bersikap oportunis ini akan lari untuk mencari ‘dahan’ baru untuk bergantung.

Selagi parti kita kuat, mereka ini akan berhabis-habisan menyokong kita, tetapi bila parti semakin lemah, merekalah orang pertama yang akan lari menyelamatkan diri.

Thursday, July 16, 2009

Dr. Khir Toyo digantung setahun, Ini sudah melampau


DIPETIK dari berita Utusan Malaysia:

SHAH ALAM 15 Julai – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo
serta empat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) digantung daripada menghadiri
persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuatkuasa serta merta.
Mohamad
Khir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang digantung
setahun manakala empat yang lain dikenakan hukuman selama enam bulan.


Saya berpendapat tindakan yang dikenakan oleh Speaker atau Timbalan Speaker DUN Selangor kepada Khir Toyo itu adalah sangat keterlaluan.

Pakatan Rakyat (PR) yang sebelum ini begitu lantang melaung-laungkan demokrasi dan sering mengkritik kepincangan amalan demokrasi di Negara ini, tetapi diri mereka sendiri pun nampaknya lebih teruk lagi. Umpama paku dulang paku serpih, mengata orang tapi diri sendiri yang lebih.

Sepatutnya mereka harus menunjukkan contoh dan sikap yang lebih baik, beramal seperti yang dicakapkan. Jangan jadi cakap tak serupa bikin.

Kalau setakat hukuman menggantung satu atau dua hari dari menghadiri sidang DUN, kita boleh terima lagi. Tetapi kalau sudah sampai setahun digantung, ini sudah jadi macam undang-undang rimba. Ikut suka emak bapak dia saja.

Kita sebagai rakyat dapat merasakan tindakan itu seperti ada desakan dan motif politik bagi menyekat suara ahli DUN yang tidak sealiran.

Kita perlu ingat setiap ahli DUN itu bukan hanya mewakili dirinya sahaja di dalam Dewan tetapi beliau juga adalah mewakili rakyat kawasan mereka yang telah dipilih bagi menyuarakan kehendak dan aspirasi rakyat setempat.

Menggantung Ahli Dewan samalah seperti kita menyekat suara rakyat. Ini sangat bercanggah dengan semangat dan nilai demokrasi.

Saya tidak pelik kalau Speaker di kalangan parti BN biasa menggantung ahli dewan parti pembangkang, kerana kita faham mereka memang telah banyak mencabul dasar-dasar demokrasi. Tetapi bila Speaker dari PR juga berperangai dan bertindak dengan cara yang sama, malah lebih teruk lagi, maka kita tidak nampak kelebihan dan kebaikan PR berbanding BN dalam soal untuk mendaulatkan amalan demokrasi di Negara ini.

Kalaupun kita tidak menyukai seseorang Ahli Dewan itu kerana telah melakukan suatu kesalahan maka biarkanlah atau gunakanlah makamah untuk mengadili mereka, ataupun rakyat juga boleh mengadili mereka dalam setiap pilihanraya umum. Tetapi janganlah sewenangnya menggunakan DUN melalui kuasa Speaker untuk menghukum mereka yang tidak mungkin mereka dapat peluang membela diri mereka di situ.

DUN adalah tempat untuk mengutarakan segala pemasalahan rakyat, usah jadikan DUN sebagai gelanggang politik balas dendam.

Tuesday, July 14, 2009

Manek Urai, UMNO masih tak kebah




UMNO kalah lagi di pilihanraya kecil Manek Urai. Nampaknya strategi pelan peralihan kuasa untuk menyelamatkan UMNO tidak menunjukkan kesan yang positif.

UMNO masih belum kebah dari ‘sakit’. Setelah Pak Lah dijadikan kambing korban, apakah perlu PM Najib dijadikan kambing korban untuk terus menyelamatkan UMNO? Kalau Tanya pada Najib tentu beliau tidak rela untuk jadi kambing korban.

Idea kambing korban ini datang dari Muhyiddin Yassin. Jadi beranikah Muhyiddin kali ini mengusulkan idea kambing korban ini lagi untuk mengembalikan kekuatan dan memperkasa parti UMNO.

PM Najib yang diselubungi berbagai skandal, termasuk dikaitkan dengan kematian wanita Mongolia Altantuya, telah menjadi beban kepada parti UMNO. Prestasi buruk parti UMNO yang telah dipamerkan dalam beberapa pilihanraya kecil yang lepas secara langsung mencerminkan tahap penerimaan rakyat kepada PM Najib.

Sikap keras PM Najib kepada penunjuk-penunjuk perasaan dilihat oleh rakyat sebagai tidak mesra kepada kehendak rakyat, berlawanan sekali dengan slogan 1 Malaysia yang dilaung-laungkannya.

Malah Najib dilihat oleh sesetengah pihak lebih keras dari ‘diktator’ Mahathir.
Mahathir dan Pak Lah diterima rakyat dengan baik ketika mereka memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri. Sebaliknya rakyat menyambut Najib dengan penuh curiga ekoran dari berbagai ‘skandal’ yang menyelubungi kehidupannya.

100 hari pimpinan Najib ditandai oleh penolakan rakyat kepada beliau melalui keputusan yang dibuat oleh rakyat melalui peti undi di pilihanraya kecil Manek Urai.

100 hari pentadbiran Najib dipenuhi dengan siri penunjuk-penunjuk perasaan yang disusuli dengan penangkapan.

Nampaknya PM Najib telah mula mengambil pendekatan menutup kesalahan dengan kesalahan lain bagi membersihkan namanya.

Untuk tujuan membersihkan dan menjaga namanya, secara sistematik kebebasan media akan ditarik balik dan media akan dipastikan berada di bawah penguasaannya. Kebebasan bersuara akan disekat melalui undang-undang yang digubal.

Sekali lagi kita bakal akan melihat zaman gerhananya demokrasi akan berulang di Malaysia, dimana Polis, BPR, makamah tidak lagi bebas, yang dikuasai dan ditunggangi oleh pemimpin politik bagi mengekalkan kuasa mereka. Media perdana dan SPR juga akan terus diperalatkan untuk mengekalkan kemenangan dalam pilihanraya.

Selepas turunnya Pak Lah dari jawatan PM, kita tidak nampak Najib mahu bercakap lagi soal kebebasan Makamah, soal integriti pasukan polis dan badan pencegah rasuah. Semuanya cuba ditutup dan ditenggelamkan dengan ucapan-ucapan memberi ‘habuan’ kepada rakyat termasuklah rebat 20 peratus kepada pengguna tol yang kerap menggunakan lebuhraya bertol dan melancarkan Amanah Saham 1 Malaysia. Dikompangkan keseluruh Malaysia, tetapi yang mendapat faedahnya hanya segelintir orang saja.

Agensi-agensi kerajaan sewenangnya akan dipergunakan sebagai jentera dan alat propaganda parti yang memerintah. Bila ini berlaku kita akan dicengkam oleh sistem kuku besi atau autokratik. Kita akan ditakut-takutkan melalui kursus-kursus Bina Negara atau kursus yang sewaktu dengannya.

Di masa itu pilihanraya yang diadakan hanyalah sekadar topeng untuk mengesahkan Negara kita sebuah Negara yang mengamalkan demokrasi.

Masih saya ingat lagi kata-kata sinis Dr. Mahathir, “Sayalah satu-satunya diktator di dunia yang terpilih melalui pilihanraya”.

UMNO tidak punya banyak pilihan selain dari meminggirkan Najib samada melalui pemiilihan mahupun cara desakan. Presiden UMNO mesti ditukar kepada pemimpin yang bukan sahaja boleh diterima oleh BN dan UMNO sahaja tetapi oleh semua orang Melayu.

UMNO mungkin akan melalui satu pemilihan lagi sebelum pilihanraya umum ke 13 yang akan menentukan hidup matinya UMNO. Inilah peluang terakhir ahli UMNO untuk melihat UMNO terus hidup.

Pak Lah dikorbankan demi untuk menyelamatkan UMNO, dan Najib pula perlu dikorbankan demi menentukan hidup mati nya UMNO.

UMNO mesti menggunakan Pemilihan UMNO yang terakhir sebelum piliharaya umum ke 13 ini sebagai peluang terbaik untuk menukar dan memilih presiden parti UMNO yang baru yang benar-benar berwibawa, yang benar-benar mencerminkan kehendak akar umbi dan boleh diterima dengan baik oleh semua rakyat Malaysia terutamanya orang Melayu.
Apa yang saya nampak ketika ini pemimpin-pemimpin UMNO seperti Zahid Hamidi, Ahmad Shabery Cheek dan Ahmad Maslan adalah antara pemimpin-pemimpin UMNO yang ada kredibiliti untuk menjadi Presiden UMNO, yang boleh diterima ramai. Dan mungkin ada juga pemimpin UMNO yang mempunyai karismatik yang luar biasa yang belum terdedah kepada umum.

Kalau setakat Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diangkat menggantikan tempat Najib, rasanya tidaklah memadai. Kita telah menyaksikan sebelum ini, Muhyiddin bukanlah seorang yang berani mengambil risiko dan cabaran. Beliau juga telah dipalitkan sebagai orang yang bertanggungjawab meluluskan penjualan tanah-tanah di Johor kepada warga Singapura, di era beliau menjadi MB Johor dahulu.

Selain dari itu, UMNO juga boleh memikirkan untuk membawa masuk personaliti yang tersohor dan diterima oleh rakyat Malaysia untuk menyertai UMNO dan mengangkatnya menjadi pemimpin UMNO seperti yang pernah berlaku kepada Anwar Ibrahim di satu masa dulu.

UMNO sekarang seperti berada dalam keadaan nazak, terpulanglah kepada ahli-ahlinya untuk mencari ubat yang mujarab dan berkesan untuk memulihkannya. Kini UMNO bukan saja terpaksa berlumba dengan parti lawan tetapi juga berlumba dengan masa untuk menyelamatkan parti tersebut.

Friday, July 10, 2009

Muhyiddin memilih politik selamat



DARI beberapa keputusan penting yang dibuat oleh beliau selama menceburi arena politik, kita boleh membuat kesimpulan bahawa Muhyiddin Yassin selalu menggunakan pendekatan politik selamat.

Beliau seorang pemimpin yang tidak mempunyai keberanian. Untuk menjadi pemimpin Negara, kita perlukan seorang pemimpin yang berani. Pemimpin yang agung mesti berani membuat keputusan untuk kebaikan Negara dan bangsanya walaupun keputusan yang dibuat itu boleh menjadikan dia tidak popular.

Selepas Pak Lah bersetuju untuk melakukan pelan peralihan kuasa bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap BN yang prestasinya begitu teruk dalam pilihanraya umum ke 12 dulu, Muhyiddin begitu garang mendesak Pak Lah untuk mempercepatkan peralihan kuasa itu dari tahun 2010 ke bulan April 2009. Tetapi apalah ertinya hanya berani menunjukkan garang kepada singa yang sudah tidak ada gigi.

Dalam usaha untuk mencari pemimpin yang berwibawa selepas jawatan presiden UMNO dikosongkan oleh Pak Lah, kita juga dapat melihat Muhyiddin Yassin juga tidak berani untuk mencabar Najib untuk jawatan tersebut. Padahal di waktu itu beliau adalah antara pemimpin yang sangat berpotensi untuk jawatan tersebut.

Tetapi disebabkan dia memilih pendekatan politik selamat, beliau hanya sekadar menyokong dan memberi laluan mudah kepada Najib untuk jawatan Presiden UMNO itu, dan dengan keputusan ‘bijak’ beliau itu, beliau telah terpilih sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Yang terkini, beliau selaku Timbalan Perdana Menteri dan merangkap Menteri Pelajaran telah memutuskan untuk memansuhkan dasar PPSMI pada tahun 2012, dengan itu dalam masa tiga tahun lagi subjek metametik dan sains di sekolah rendah dan menengah akan diajar semula menggunakan bahasa ibunda samada Melayu, Cina dan Tamil.

Setelah menerima bantahan dari parti politik lawan dan NGO, akhirnya Muhyiddin sekali lagi mengambil keputusan politik selamat terhadap isu PPMSI ini. Walaupun beliau mungkin tidak bersetuju dan berasa berat hati memansuhkan PPSMI tetapi terpaksa dilakukan demi survival parti UMNO. Beliau bersama parti UMNO mahu dilihat oleh orang Melayu sebagai hero pejuang bahasa orang Melayu.

Pernahkah kita dengar Muhyiddin menentang atau mengkritik dasar PPSMI itu semasa Tun Mahathir melaksanakan dasar itu pada tahun 2003 dulu? Sebaliknya Ghani Othman, MB Johor sekarang ini, patut dipuji kerana beliau adalah seorang yang berpendirian tegas kerana telah memperlihatkan tidak bersetuju dengan pelaksanaan dasar tersebut dari awal lagi.

Kenapa perlu cakap sekarang, sedangkan pemansuhan PPSMI itu hanya akan berkuatkuasa pada tahun 2012, adakah kerana hendak mengambil keuntungan politik? Apatah lagi keputusan ini dibuat ditengah-tengah waktu berkempen pilihanraya kecil di Manek Urai. Kenapa tidak cakap saja pada tahun 2012 nanti. Dalam masa tiga tahun ini macam-macam perkara boleh berlaku.

Yang agak lucunya, alasan utama yang diberikan untuk membatalkan dasar PPSMI itu adalah kerana keputusan matematik dan sains murid-murid didapati merosot kerana mereka tidak faham bahasa Inggeris dengan baik.

Bukan sahaja murid tidak faham bahasa Inggeris, guru yang mengajar subjek itu pun ramai yang tidak mampu bertutur dan mengajar dalam bahasa Inggeris. Jadi kenapa kita hendak hairan kalau keputusan dalam subjek-subjek tersebut merosot.

Kita telah memulakan dasar PPSMI ini dengan tergesa-gesa, dimana tanpa persediaan yang cukup, guru-guru pun tidak mempunyai latihan dan pengalaman mengajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris. Tentulah keadaannya tidak sama kalau menggunakan bahasa ibunda dimana murid dan guru amat biasa dan memahami bahasa tersebut.

Tentulah sudah dijangkakan berlaku kemerosotan bila kita bertukar dari bahasa ibunda kepada bahasa Inggeris, tetapi apa yang kita mahu ialah adanya peningkatan dari masa ke semasa bila telah lama kita menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran matematik dan sains, dengan mengambil kira ada penambahbaikan kepada guru-guru yang mengajar dalam subjek-subjek tersebut.

Faedah dari dasar PPSMI bukan boleh dicapai dalam masa 10 tahun, tetapi dasar PPSMI adalah jangka panjang yang hasil dan faedahnya mungkin hanya boleh dilihat dalam masa lebih 50 tahun lagi. Lagi lambat kita bermula lagi jauh kita akan ketinggalan.

Untuk mengatakan majoriti rakyat Malaysia menolak dasar PPSMI juga tidak benar, dari undian yang dibuat dalam blog Tun Mahathir terus menunjukkan aliran menyokong dasar PPSMI itu lebih ramai dari yang menentang.

Sampai bila agaknya Muhyiddin akan terus bermain dengan politik selamat? Mungkinkah bila sampai UMNO tidak dapat diselamatkan lagi.

Saturday, July 04, 2009

Rumah Kos Rendah hendaklah mempunyai tanah yang luas


SEKIM rumah kos rendah yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak beberapa dekad yang lalu telah banyak membantu rakyat Negara ini yang berpendapat rendah mampu memiliki rumah sendiri.
Dengan harga rumah sekitar RM25,000.00 seunit, dan bayaran ansuran bulanan sekitar seratus ringgit sebulan, adalah tidak membebankan bagi keluarga yang berpendapatan kurang dari RM1000.

Memang baik jika sekim ini diteruskan oleh kerajaan untuk masa akan datang, disamping membuat beberapa penambahbaikan.

Dalam masa yang sama kita berharap biarlah rumah berharga subsidi dari kerajaan ini betul-betul diberikan kepada rakyat yang benar-benar layak dari segi pendapatannya. Kita tidak mahu ada golongan-golongan yang tertentu mengambil kesempatan memiliki rumah-rumah kos rendah ini walaupun mereka itu tidak layak.

Dari pemerhatian kita, kebanyakan pendapatan pemilik-pemilik rumah kos rendah ini tidaklah kekal rendah atau miskin buat selamanya. Ada sebahagian mereka mempunyai pendapatan yang semakin meningkat atau bertambah. Begitu juga dengan bilangan ahli keluarga mereka juga turut bertambah. Lama kelamaan rumah kos rendah yang hanya mempunyai dua bilik itu akan menjadi sempit kepada mereka.

Semakin lama mereka tinggal di situ, semakin banyak duit tabungan mereka, akhirnya mereka sudah ada kemampuan untuk membesarkan ruang rumah mereka dan menambah lebih banyak bilik. Tetapi masalahnya, kawasan tanah rumah mereka sangat terhad iaitu sekitar 15’ x 40’ sahaja.

Oleh itu untuk akan datang adalah lebih sesuai kalau luas tanah untuk sekim rumah kos rendah ini ditambah supaya lebih luas dari yang ada sekarang. Mungkin boleh ditingkatkan menjadi 20’ x 70’, sama seperti luas tanah untuk rumah kos sederhana dan rumah mewah.

Tidak mengapalah kalau rumah asal atau rumah asas bagi rumah kos rendah itu mempunyai luas binaan yang kecil, cukup setakat satu bilik atau dua bilik tetapi pastikan kawasan tanahnya luas.Sebenarnya dengan menambah luas tanah, tidaklah akan menambah kos pembinaan.

Jadi, apabila pemilik-pemiliknya telah ada kemampuan dan ekonominya bertambah baik, mudahlah mereka membuat ubahsuai kepada rumah mereka, untuk menjadikan rumah mereka lebih besar dan lebih selesa.

Ini juga boleh digunapakai kepada rumah-rumah pangsa atau bertingkat. Di Singapura misalnya, ada rumah-rumah pangsa telah diubahsuai dengan menambah bilik dari rumah asal yang mempunyai dua bilik kepada tiga bilik tanpa meruntuhkan bangunan atau rumah asal. Ini hanya boleh dilakukan jika tanah tapak asal rumah pangsa itu mempunyai kawasan yang luas.

Walaupun terpaksa mengambil masa yang lebih lama sedikit kerana kesempitan hidup, tetapi akhirnya mereka akan dapat juga memiliki rumah yang besar dan selesa seperti rakyat Malaysia yang lain.

Kerajaan atau majlis kerajaan tempatan juga boleh mengutip kadar cukai pintu yang lebih tinggi bila rumah-rumah kos rendah telah dibesarkan. Ini berasaskan, bila pemilik mampu membesarkan rumah mereka, ini bermakna mereka juga ada kemampuan untuk membayar lebih cukai.

Moga cadangan ini dapat perhatian dari semua pihak demi kesejateraan hidup rakyat keseluruhannya.

Friday, July 03, 2009

Manek Urai: Ketuanan Melayu Vs Ketuanan Islam


TUAN Aziz Tuan Mat adalah pilihan UMNO untuk mewakili BN sebagai calon mereka dalam pilihanraya kecil di Manek Urai pada 14 Julai ini.
Gelaran Tuan yang ada dipangkal nama beliau melambangkan warisan peninggalan dari zaman feudal di mana keturunan mencerminkan status di dalam masyarakat ketika itu.

Di zaman feudal, secara umumnya anak tukang kayu akan terus menjadi tukang kayu, anak nelayan akan terus menjalani kehidupan sebagai nelayan.

Menjadi amalan dalam masyarakat feudal, anak Tuan akan terus diangkat sebagai Tuan. Raja dan keturunannya akan terus dimuliakan. Apakah pemilihan Tuan Aziz sebagai calon UMNO ini mempunyai nilai sentimental untuk membangkitkan semula semangat Ketuanan Melayu yang telah banyak dipertikaikan oleh banyak pihak sekarang ini.

Apakah ketuanan Melayu masih relevan dalam suasana kita merayakan slogan 1Malaysia sekarang ini. Apakah konsep ketuanan Melayu tidak bercanggah dengan konsep 1Malaysia. Dimanakah tempatnya ketuanan Melayu dalam 1Malaysia

Sudah tentu Tuan Aziz yang banyak senyum atau tersengih itu tidak boleh menjadi 'tuan' kalau hendak menang dalam pilihanraya kecil ini. Sebaliknya kenalah menjadi hamba kepada rakyat. Kena mesra dan berkhidmat untuk rakyat. Kita bukan hidup di zaman feudal lagi, tetapi zaman manusia cerdik dan celik, yang mengamalkan demokrasi.

Saturday, June 27, 2009

Ustaz Ruslan Kasim wajar bersama Pakatan Rakyat


USTAZ Ruslan Kassim adalah merupakan salah seorang hero yang begitu besar jasanya dalam mengganyang pemimpin kuku besi Tun Mahathir.

Dalam siri ceramah politiknya, beliau begitu lantang menyuarakan tidak puashati beliau kepada Tun Mahathir yang telah melakukan ‘penginayaan’ kepada Anwar Ibrahim.

Beliau juga telah menjadi calon di dua kawasan pilihanraya kecil iaitu di Kuala Pilah dan di Telok Kemang di Negeri Sembilan. Walaupun tewas tetapi beliau telah mendapat undi yang begitu memberansangkan terutamanya dari orang Melayu.

Tidak dapat dinafikan tentangan orang Melayu yang berterusan terutamanya golongan muda di bawah pimpinan beliau dan rakan-rakannya, yang tidak henti-henti mengadakan demontrasi jalanan telah menyebabkan Tun Mahathir mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai PM.

Perletakkan jawatan Tun Mahathir yang autokratik itu dan digantikan oleh Pak Lah yang lebih mesra demokrasi telah dapat meredakan tentangan Ruslan Kasim dan rakan-rakannya.

Pak Lah yang mempunyai pendekatan yang lembut dan demokratik mahu memperbaiki sitem kehakiman, institusi polis, badan pecegah rasuah yang sebelum ini telah banyak dikuasai oleh badan esekutif.

Iltizam Pak Lah ini telah memberi keyakinan kepada saudara Ruslan Kasim dan rakan-rakan seperjuangan yang sehaluan dengannya untuk kembali menyertai UMNO dan memberi sokongan kepada pimpinan Pak Lah.

Memang ada kewajaran di masa itu untuk Ruslan Kasim memberikan sokongan kepada Pak Lah. Tidak berapa lama selepas itu juga Pak Lah telah membebaskan Anwar Ibrahim dari penjara. Pak Lah juga sangat sedar bahawa Anwar dipenjara adalah kerana menjadi ‘mangsa’ permainan politik Tun Mahathir.

Di bawah pimpinan Najib sebagai PM ini, banyak usaha-usaha ‘pembaharuan’ yang telah dimulakan semasa Pak Lah dulu, kini telah disenyapkan. Ramai orang meramalkan kita semakin menuju ke era Tun Mahathir semula.

Bagi Pakatan Rakyat, ketokohan pemimpin seperti Ruslan Kasim sangat-sangat diperlukan dan dialu-alukan untuk memperkuatkan pakatan itu. Moga akan terbukalah hati saudara Ruslan Kasim untuk menyertai Pakatan Rakyat semula dalam usaha menjadikan Malaysia ditadbir oleh kerajaan yang berintegriti dan demokratik.

Friday, June 19, 2009

Datuk Onn Jaafar telah memperalatkan Raja-raja Melayu



JASA Datuk Onn Jaafar dalam mempersatukan rakyat di negeri-negeri Tanah Melayu terutamanya orang-orang Melayu bagi menentang gagasan Malayan Union yang diperkenalkan oleh kerajaan British pada tahun 1946 amatlah besar.

Kalau sebelum itu orang-orang Melayu dikenali mengikut negeri masing-masing yang mempunyai Raja dan Gabenor mereka sendiri, tetapi dengan usaha Datuk Onn Jaafar yang bijaksana itu telah merubah keadaan itu sehingga setiap orang Melayu dapat merasakan bahawa mereka semua adalah satu iaitu orang Melayu di Tanah Melayu.

Datuk Onn adalah berasal dari keturunan Turki disebelah ibu. Darah Turki yang mengalir dalam dirinya tidak pernah mengizinkan dirinya tunduk kepada penjajah Barat. Manakala orang-orang Melayu yang dari sejarah awalnya berada di bawah amalan feudal, sangat setia kepada raja-raja mereka.

Gagasan Malayan Union yang diperkenalkan itu telah menghilangkan peranan raja-raja Melayu dalam pentadbiran British di Tanah Melayu, perkara ini telah diambil kesempatan oleh Datuk Onn untuk menyemarakkan semangat orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu untuk menentang gagasan tersebut.

Kuasa orang Melayu adalah terletak pada raja-raja mereka, kalau kuasa raja dihapuskan maka dengan sendirinya kuasa Melayu atau kuasa rakyat akan turut hapus.

Kerana itu Datuk Onn sanggup berbasikal untuk menemui orang-orang Melayu di kawasan kampung seluruh Tanah Melayu untuk menerangkan kepada mereka betapa raja-raja Melayu berada dalam keadaan bahaya. Ini telah membangkit rasa marah rakyat kepada British. Isu ini telah menimbulkan satu semangat kepada rakyat untuk berada di belakang Datuk Onn bagi menentang Malayan Union.

Orang Melayu sangat menyanjung tinggi raja mereka, raja adalah ibarat payung kepada mereka, tempat bergantung dan juga tempat mereka berlindung. Datuk Onn sangat tahu sifat orang Melayu ini. Oleh itu beliau menggunakan peluang ini untuk membangkitkan kebencian orang Melayu kepada penjajah British.

Jasa Datuk Onn yang telah mempersatukan rakyat Melayu dalam negeri-negeri Tanah Melayu ini patut sangat dianugerahkan beliau dengan gelaran Tun. Tetapi sampai sekarang kita tidak nampak ada usaha dari mana-mana pihak untuk menghargainya dengan gelaran tersebut sebagai mengenang jasa besar beliau itu.

Penentangan gagasan Malayan Union oleh orang-orang Melayu yang dipimpin oleh Datuk Onn itu bukanlah bermakna Datuk Onn benar-benar mahu raja-raja Melayu berkuasa setelah dihapuskan kuasa mereka oleh British melalui gagasan itu.

Tetapi agenda yang tersirat dalam sanubari Datuk Onn ialah mahu melihat orang-orang Melayu bersatu di bawah satu kepimpinan yang dapat mencabar Kerajaan British. Datuk Onn mahu menunjukkan kepada British bahawa rakyat di negeri-negeri Tanah Melayu telah bersatu di bawah satu kepimpinan politik yang suara mereka mesti diambil kira.

Datuk Onn bukan juga seorang pemimpin yang hanya berjuang untuk kaumnya sahaja, usaha Datuk Onn Jaafar bukan terhenti kepada mempersatukan orang-orang Melayu tetapi lebih jauh lagi beliau mahu semua rakyat di Tanah Melayu tanpa mengira agama dan kaum supaya bersatu untuk menuntut kemerdekaan Negara dari British.

Ini dapat dilihat dalam catatan sejarah, Datuk Onn telah meninggalkan parti UMNO yang khusus untuk orang Melayu sahaja, menubuhkan parti baru yang tujuan beliau untuk mempersatukan semua rakyat tanpa kira agama dan kaum di bawah parti Kemerdekaan Malaya (IMP).

Walaupun parti itu tidak mendapat sambutan, tetapi kita dapat melihat beliau adalah seorang pemimpin yang berpandangan jauh kedepan. Setelah 50 tahun Negara kita merdeka barulah parti-parti yang tidak berasaskan kaum ini telah mula dapat perhatian yang menggalakkan dari rakyat Negara kita.

Walaupun penentangan gagasan Malayan Union itu kelihatan seperti untuk mempertahankan kuasa raja-raja Melayu tetapi sebenarnya secara tersiratnya Datuk On mempertahankan kuasa rakyat bukan kuasa Raja.

Jelas selepas itu, apabila kita mencapai kemerdekaan, Raja tidaklah berkuasa tetapi hanya menjadi simbol ketua negeri atau ketua Negara sahaja. Sebaliknya yang berkuasa ialah rakyat di bawah amalan sitem demokrasi.

Raja tidak boleh mencampuri urusan politik, selain baginda menjadi simbol ketua Negara, raja-raja diberi peranan sebagai ketua agama dan ketua adat istiadat Melayu dalam sesebuah negeri.

Semalam (18 Jun 2009) tersiar berita di media mengatakan baginda Sultan Johor tidak membenarkan jambatan ketiga yang menghubungkan Singapura dan Johor dibina. Sebelum itu PM Najib telah memaklumkan kepada orang ramai bahawa beliau telah mencadangkan untuk membina jambatan ketiga tersebut.

Kata siapakah yang patut diikuti bila berlaku pertentangan seperti ini, kata Raja atau kata PM? Tentulah kata PM Najib yang mesti dipakai. Najib adalah pemimpin yang mendapat mandat rakyat, sepatutnya beliaulah berkuasa membuat keputusan untuk Negara kita Malaysia.

Bagaimanapun sebagai tanda hormat kepada Sultan Johor yang menjadi simbol Ketua Negeri Johor dan jajahan takluknya adalah lebih manis kalau perkara tersebut dimaklumkan kepada baginda terlebih dahulu untuk perkenan baginda. Dari segi undang-undang tindakan PM Najib itu adalah tidak salah dan tidak boleh dipersoalkan, tetapi dari segi adat mungkin beliau telah membelakangkan Raja.

Kadang-kadang ada sesetengah raja Melayu ini masih terbawa-bawa yang mereka itu masih berperanan seperti raja pada zaman 500 tahun dahulu, sehinggakan urusan politik pun mereka hendak ikut campur.

Apakah semua urusan Negara mesti terlebih dahulu mendapat perkenan Raja? Apakah projek penyaluran air dari Pahang ke lembah Klang telah mendapat kebenaran Sultan Pahang dan Sultan Selangor? Mungkin kedua-dua baginda telah dimaklum dan diberi taklimat tentang projek itu tetapi bukanlah kuasa baginda untuk tidak membenarkan projek itu dijalankan.

Thursday, June 18, 2009

Inilah akibatnya kalau SPR tidak telus






















BILA badan pengendali pilihanraya dilihat berat sebelah dan tidak telus maka pengundi akan berasa tidak puas hati dan akan merusuh. Ia bukan sahaja mencemar imej badan tersebut tetapi turut memburukkan imej parti politik yang berkuasa.

SPR mesti dilihat telus, bebas dan adil seperti terdapat di Negara-negara maju, seperti Britain dan Amerika Syarikat, rakyat mereka cukup berpuashati dengan SPR Negara mereka. Kita harus belajar dari Amerika dan Britain dalam mengendalikan pilihanraya yang bermaruah.

Kalau 100 orang merusuh bolehlah ditangkap tetapi kalau sudah sampai 10,000 orang merusuh, ekonomi Negara pun boleh merudum, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

Monday, June 15, 2009

Moyang Saya Pun Kominis




KEMERDEKAAN Indonesia pada tahun 1945 dari penjajahan Belanda dan kekalahan penjajah British di tangan tentera Jepun di Tanah Melayu telah memberi suntikan semangat dan keyakinan diri kepada rakyat di Tanah Melayu di masa itu untuk membebaskan Negara mereka dari penjajahan British.

Di masa itu boleh dikatakan seperti wujud kesedaran politik yang meluas dikalangan rakyat di tanah-tanah jajahan bangsa Eropah untuk bangkit menuntut kemerdekaan negeri masing-masing.

Sementara itu di kalangan rakyat Negara penjajah itu sendiri pun telah wujud minda atau pandangan yang memperjuangkan persamaan hak sesama manusia dan juga memperjuangkan apa yang mereka namakan sebagai liberalisasi. Cetusan dari pemikiran mereka inilah juga yang telah merubah sikap penduduk-penduduk di tanah jajahan mereka untuk menuntut hak kemerdekaan.

Pertembungan Demokrasi dan Kominis

Di ambang Negara kita hendak menuntut kemerdekaan, Negara Barat ketika itu sedang mengalami persaingan ideologi ekonomi dan politik. Britain dan Amerika mempelopori sistem ekonomi kapitalis yang mempunyai sistem politik yang demokratik. Di pihak lain pula Russia mempelopori ekonomi siosalis di bawah sistem politik kominis.

Masing-masing cuba melebarkan pengaruh dan sistem mereka kepada Negara-negara lain dengan cara yang begitu agresif sehingga menimbulkan banyak huru hara dan kekacauan.

Tanah Melayu ketika itu juga tidak terlepas dari menjadi medan perebutan pengaruh antara dua fahaman ini. British menjanjikan kemerdekaan kepada rakyat Tanah Melayu dengan syarat rakyat Negara ini mesti memilih dan mengguna sistem demokrasi sebagai dasar pemerintahan.

Di pihak Negara yang berfahaman Kominis pula terutamanya Negara China mahu fahaman kominis menjadi dasar pemerintahan Negara Tanah Melayu yang merdeka, dengan itu negara-negara kominis tidak teragak-agak untuk membantu rakyat Tanah Melayu menuntut kemerdekaan dari British dengan syarat sistem kominis akan diguna pakai pada Negara Tanah Melayu yang merdeka.

Ini menyebabkan rakyat Tanah Melayu yang berjuang menuntut kemerdekaan ketika itu terbahagi kepada dua fahaman. Satu golongan kanan yang berfahaman demokrasi dan satu lagi golongan kiri yang berfahaman kominis.

Sebenarnya pertembungan dan persaingan untuk melebarkan pengaruh kapitalis dan sosialis ini bukan sahaja berlaku di Malaya sahaja tetapi hampir kepada semua Negara-negara di Asia dan di Afrika, dan terus berlanjutan walaupun Negara-negara tersebut telah lama merdeka dan hanya berakhir selepas tamatnya era ‘perang dingin’ beberapa tahun dahulu.

Oleh kerana Negara China adalah salah sebuah Negara kominis, maka pengaruhnya juga telah menyerap kepada kebanyakan orang-orang Cina di Tanah Melayu ketika itu.

Selain dari orang-orang Cina yang menganggotai Parti Kominis Malaya (PKM) terdapat juga orang-orang Melayu sendiri yang percaya hanya melalui PKM sahaja negeri Tanah Melayu ini dapat dibebaskan dari penjajahan British.

Sesetengah orang kampung pada masa itu mungkin tidak faham langsung falsafah kapitalis, demokrasi, sosialis dan kominis. Bagi mereka tidak ada niat lain selain dari mahu menghalau penjajah British dari tanah air mereka dengan apa cara sekalipun.

Kepada golongan kiri, mereka tidak percaya kepada cara golongan kanan yang mahu menuntut kemerdekaan melalui meja rundingan dengan British. Apatah lagi mereka telah melihat negara jiran mereka Indonesia mendapat kemerdekaan hanya dengan mengangkat senjata.

Tidak hairanlah kalau moyang saya juga ketika itu telah memilih dan menyertai pejuang kominis untuk memerdekakan dan menghalau British dari tanah airnya. Begitulah juga yang berlaku kepada Shamsiah Fakeh dan Rasyid Maidin. Kominis bukanlah matlamat akhir mereka, tetapi mereka hanya memperalatkan kominis sebagai landasan untuk mencapai kemerdekaan cara mereka.

Walaupun moyang saya kominis tetapi anaknya iaitu datuk saya tidak mengambil jalan kominis, sebaliknya dia bersama dengan golongan kanan. Perbezaan fahaman politik ini tidaklah menjadikan mereka bergaduh dan bermusuh antara satu sama lain kerana mereka tidak pernah beranggapan fahaman itu sebagai keutamaan tetapi hanyalah jalan untuk mencapai kemerdekaan.

Kehadiran golongan kiri ini juga telah memberi faedah politik kepada golongan kanan, kerana mereka dapat menjadi sebagai faktor pendesak untuk mempercepatkan lagi kerajaan British menyerahkan kemerdekaan Tanah Melayu kepada golongan kanan yang lebih mereka senangi.


Mahathir

Setelah Negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, ramailah orang-orang yang menyokong perjuangan kominis ini meninggalkan perjuangan bersenjata dan tidak menyokong fahaman kominis lagi. Apatah lagi bila Malaysia berada di bawah pimpinan Dr. Mahathir yang terkenal sebagai anti Barat itu.

Ini menambah keyakinan kepada mereka bahawa Malaysia bukanlah Negara yang menjadi boneka Amerika atau boneka Britain seperti yang selalu mereka labelkan sebelum itu. Ditambah pula doktrin kominis di serata dunia sudah semakin luntur dan telah mengalami beberapa perubahan dan pembaharuan.

Akhirnya pada tahun 1988 kerajaan Malaysia telah mengusahakan satu perjanjian damai dengan PKM. Hasil dari perjanjian damai itu pemimpin PKM telah secara sukarela bersetuju untuk memansuhkan PKM dengan syarat bekas-bekas ahli PKM tidak akan didakwa sebagai penjenayah perang. Sebagai balasan kerajaan Malaysia juga telah mengiktiraf mereka sebagai rakyat Malaysia yang sah dan dibenarkan untuk kembali ke Malaysia mengikut keadaan yang sesuai.

Dalam apa peperangan pun, selain dari kekuatan senjata dan tentera, perang saraf juga turut dilakukan. Berbagai bentuk propaganda disebarkan kepada rakyat bagi memenangi hati mereka. Kadang-kadang propaganda ini direka-reka dan langsung tidak bersandarkan kepada fakta. Tetapi ini tidak boleh disalahkan kepada sesiapa, kerana sudah menjadi permainan dalam peperangan, kita mesti pandai tipu muslihat. Oleh itu kita kena melihat sejarah Negara kita dengan kacamata yang betul, kadang-kadang kita terkeliru antara propaganda dan fakta.

Pihak mana yang bersalah dan pihak mana yang betul bergantung kepada neraca mana yang kita gunakan untuk menilainya. Walaupun kita yakin kita berada di pihak yang betul dan benar tetapi pada kacamata pihak lain kita mungkin dilihat sebagai pihak yang bersalah. Mungkin hari ini pilihan kita dianggap betul, tetapi tidak mustahil mungkin 20 tahun akan datang atau 30 tahun akan datang, pilihan kita dan tindakan kita itu dianggap salah oleh orang pada masa itu.

Tajuk posting akan datang: Datuk On Jaafar telah memperalatkan Raja-raja Melayu

Saturday, June 13, 2009

Kitaran Sebuah Kehidupan


PURATA satu kitar kehidupan manusia pada zaman sekarang ini adalah dalam linkungan 70 tahun.

Manakala haiwan pula ada bermacam-macam tempoh kitaran kehidupan mereka, dari serangga yang mempunyai kitar kehidupan hanya beberapa hari atau minggu hinggalah ke mamalia yang mungkin mencecah hayat 40 tahun seperti gajah. Seekor Anjing mungkin boleh hidup hingga 10 tahun.

Kalau serangga yang mempunyai kitar kehidupan satu minggu, ini bermakna pada hari ke 7, serangga tersebut telah terlalu tua dan tidak bermaya sebanding seperti manusia yang berumur 70 tahun.

Bagaimana yang kita rasakan begitu lama untuk mencecah umur 70 tahun, begitu jugalah yang dirasakan oleh seekor serangga untuk mencapai umur hari ketujuhnya.

Untuk menuju umur 70 tahun kita perlu melalui fasa-fasa kehidupan yang berbeza yang mesti dialami oleh semua orang. Bermula dari fasa bayi dikuti fasa kanak-kanak, kemudian fasa remaja, fasa dewasa dan akhir sekali fasa umur tua. Setiap fasa itu dibezakan oleh keadaan fzikal dan naluri yang berbeza.

Kalau serangga pula, ada yang mempunyai rupa bentuk yang amat berbeza antara satu fasa dengan fasa yang lain dalam kitar kehidupannya. Seperti rama-rama, sebelum jadi rama-rama dia melalui fasa menjadi ulat bulu terlebih dahulu. Masa jadi ulat bulu, dia hanya merayap tidak boleh terbang, hanya bulunya yang berbisa menjadi perisai dari menjadi serangan pemangsa. Apabila telah bertukar menjadi rama-rama, bentuknya sungguh berbeza, mempunyai kepak untuk terbang.

Nyamuk pula bermula dengan fasa jentik-jentik yang hidup dalam air kemudian bertukar menjadi nyamuk yang dewasa yang boleh terbang.

Secara tidak langsung dan mungkin tanpa kita sedari, semua binatang dan tumbuh-tumbuhan yang dijadikan ini ada peranan masing-masing dalam membentuk ekosistem alam kita ini supaya berada dalam keadaan harmoni dan seimbang.

Tumbuhan dan binatang, termasuk virus dan bacteria yang halus itu pun turut menyumbang untuk menjadikan alam ini selesa dan sesuai untuk didiami oleh kita manusia. Tentu semua manusia akan mati kerana kekurangan oksigen kalau tidak ada tumbuh-tumbuhan yang membekalkan oksigen untuk kita.

Walaupun kita nampak serangga dan haiwan setiap hari bergerak untuk mencari makan tetapi dalam masa yang sama mereka mempunyai peranan sampingan bagi mengekalkan ekosistem alam ini secara keseluruhannya berada dalam keadaan harmoni dan seimbang.

Seperti untuk membina sebuah bangunan yang besar, ada tukang paip, ada tukang elektrik, ada tukang simen, ada tukang pasang lantai, ada tukang pasng cermin tingkap, ada tukang pasang bata. Masing-masing membuat kerja masing-masing mengikut yang dikehendaki. Akhirnya akan terbinalah satu bangunan yang sempurna, selesa dan cantik.

Dalam setiap hari pun kita ada kitaran hidup kita. Seorang guru, setiap pagi akan ke sekolah, beliau akan mengajar subjek yang tertentu dari awal pagi sampailah tengahari.

Seorang penoreh getah, setiap lepas subuh akan ke kebun getah untuk menoreh dan akan selesai sebelum waktu zohor. Seorang nelayan hari-hari akan turun ke laut untuk menangkap ikan.

Setiap orang ada kitaran hidup masing-masing yang wajib mereka lakukan bagi setiap hari, setiap hari mereka akan lakukan perkara yang sama untuk tempoh waktu yang panjang. Rutin kerja kita mungkin akan berubah bila kita bertukar kerja atau profesyen, atau bila naik pangkat, atau selepas bersara.

Walaupun apa yang kita lakukan hari-hari itu adalah untuk mencari rezeki dan nafkah kehidupan kita tetapi secara tidak langsung sebenarnya kita juga menyumbang kepada kehidupan manusia lain. Ikan yang ditangkap oleh nelayan bukan sahaja untuk keperluan nelayan itu sahaja tetapi adalah juga untuk dimakan oleh manusia lain.

Bagaimana kecil pun sumbangan kita pasti akan memberi kesan kepada kehidupan manusia dan alam keseluruhannya. Apa yang kita lakukan ini seperti telah ditentukan mengikut pilihan kita. Oleh itu janganlah sekali kita membuat keburukan dan kejahatan kerana perbuatan itu akan menjejaskan keharmonian kehidupan manusia lain juga.

Sebaliknya jadilah orang yang sentiasa beruntung dalam kehidupan ini, iaitu orang yang beriman dan orang yang sentiasa membuat kebaikan. Apa saja pekerjaan baik yang kita lakukan sehari-hari akan juga memberi kebaikan kepada manusia lain dan alam keseluruhannya.

Tidak perlu kita mengumpulkan harta bertimbun untuk ditinggalkan kepada anak dan cucu-cicit kita. Kalau semua orang bersikap baik dan dan kita pula selalu ingat untuk menjalankan tanggungjawab kita dengan baik, insyallah anak-anak dan cucu-cicit kita juga akan beroleh kebaikan juga.

Yang perlu kita wariskan kepada anak dan cucu-cicit kita bukannya harta tetapi yang lebih utama ialah dengan mewariskan khazanah alam yang tidak ternilai ini, elakkannya dari terus diancam pencemaran dan elakkan penggunaan sumber alam dengan cara yang membazir.

Elakkan bersikap tamak, tidak memperkayakan diri dengan cara yang tidak beretika dan tidak hanya mementingkan faedah diri sendiri sahaja. Sikap baik inilah yang sebenarnya yang dapat menjamin kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan anak cucu kita berkekalan.

Sunday, June 07, 2009

Lawatan Lee Kuan Yew, meneroka peluang Malaysia dan Singapore untuk bercantum semula.


TENTU tidak dapat kita bayangkan kesukaran yang mungkin kita hadapi kalau setiap negeri di dalam Malaysia merupakan Negara-negara yang merdeka dengan pemerintahan sendiri.


Kesukaran yang amat ketara ialah kita kena berhenti disetiap sempadan negeri untuk proses memeriksa dan mencop passport kita setiap kali kita keluar masuk antara satu negeri ke negeri yang lain. Dan mungkin kita perlukan memohon visa jika ingin tinggal lebih lama di negeri lain.


Beratur panjang untuk membayar tol lebuh raya pun kita sudah berasa rimas apatah lagi terpaksa beratur untuk berdepan dengan kerenah imegresyen dan kastam. Katakan kita tinggal di Johor, dan kita ada urusan atau ingin melancung dengan menaiki kereta ke Pulau pinang, ini bermakna kita terpaksa berhenti untuk pemeriksaan imegresyen di enam sempadan negeri iaitu di sempadan Negeri Melaka, di sempadan Negeri Sembilan, di sempadan Negeri Selangor, di sempadan Negeri Perak, di sempadan Negeri Kedah dan akhir sekali di sempadan Negeri Pulau Pinang.


Mungkin lebih mudah kita menggunakan pengangkutan udara tetapi kosnya mungkin lebih mahal dan kita jadi ‘patah kaki’ kerana tidak dapat membawa kenderaan sendiri. Tetapi syukurlah keadaan seperti di atas tidak berlaku dan saya percaya semua kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku pada masa akan datang dan sampai bila-bila pun. Walaupun kita asalnya orang Negeri Sembilan tapi kita bebas bergerak, bekerja dan tinggal di mana-mana sahaja di dalam Malaysia yang kita suka.


Hanya kita rakyat Malaysia sahaja yang dapat merasakan bagaimana nikmatnya dan selesanya kita bebas bergerak ke semua negeri-negeri dalam Malaysia ini. Sekalipun kalau diberi pilihan setiap negeri untuk berpisah dan memerintah sendiri pasti tidak ramai rakyat yang berminat dengan pilihan itu. Dan saya percaya kalau rakyat Singapura diberikan keistimewaan bergerak bebas untuk keluar masuk ke Malaysia, tanpa perlu kepada pemeriksaan passport dan kastam, mereka bebas untuk tinggal dan bekerja di mana-mana saja mereka suka di Malaysia tanpa permit dan visa seperti rakyat Malaysia lainnya tentulah mereka tidak akan menolak keistimewaan yang diberikan kepada mereka itu.


Selama ini rakyat Singapura yang lebih 4 juta itu tertumpu dan berhimpit dalam satu negara pulau yang kecil. Keinginan rakyatnya untuk keluar masuk ke Malaysia memang tidak boleh dinafikan. Dari segi sejarahnya, geografinya dan sosial budayanya, Singapura dan Malaysia khasnya Semenanjung memang amat dekat dan rapat. Rakyat dari kedua-dua negara ini kerap keluar masuk bukan sahaja disebabkan untuk membeli belah atau urusan kerja tetapi juga untuk menziarah sanak-saudara mereka.


Sebahagian besar rakyat Singapura tidak kira mengira kaum, samada Cina, Melayu atau India mempunyai pertalian darah atau sanak saudara di Semenanjung Malaysia. Pertalian darah ini bukan sahaja telah berlaku sebelum negara ini merdeka lagi tetapi ia berterusan hingga hari ini kerana wujudnya hubungan yang dekat dari segi geografi, budaya dan bahasa mereka, menyebabkan ramai rakyat Singapura yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.


Oleh itu kalau di peringkat rakyat biasa, kita mungkin tidak menghadapi masalah besar untuk mencantumkan kedua-dua negara ini semula, malah mungkin mereka amat mengalu-alukanya. Halangan yang ada mungkin datang dari pemimpin-pemimpin politik yang masing-masing mempunyai kepentingan dan agenda yang berlainan.


Bagaimanapun perkembangan politik yang menggalakan berlaku di Malaysia baru-baru ini sedikit sebanyak mungkin dapat membuka mata pemimpin-pemimpin politik Singapura untuk menilai semula pilihan untuk bercantum semula dengan Malaysia.


Situasi Singapura dan Malaysia ini tidak banyak berbeza dengan Negara Vietnam di suatu masa dulu yang pernah berpisah sebagai dua negara iaitu Vietnam Utara dan Vietnam Selatan, Negara Jerman yang pernah berpisah sebagai Negara Jerman Barat dan Jerman Timur, Negara Yaman yang pernah berpisah sebagai Negara Yaman Utara dan Yaman Selatan.


Semua Negara-negara yang disebutkan tadi mempunyai rakyat yang sama dari segi ras dan sosial budaya tetapi negara mereka dipecahkan disebabkan perbezaan politik. Apabila keadaan politik kedua-dua negara itu mengizinkan untuk bercantum maka mereka tidak menghadapi masalah besar untuk melaksanakannya. Satu lagi negara yang masih menghadapi masalah untuk bercantum semula ketika ini ialah Korea Utara dan Korea Selatan. Apabila keadaan politik dikedua-dua negara tersebut dapat mengizinkan mereka untuk bercantum, tentu mereka akan bercantum juga menjadi satu negara, hanya masa sahaja yang akan menentukan.


Kita dan singapura pernah berada di bawah satu negara satu masa dulu, perbezaan politik telah menyebabkan kedua-dua negara ini mengambil jalan untuk berpisah. Dari psikologinya rakyat kedua-dua Negara ini masih percaya kedua-dua negara ini boleh disatukan semula. Sekiranya di suatu masa nanti wujud persafahaman politik antara kedua-dua negara ini, tidak mustahil rakyatnya akan menzahirkan hasrat untuk berada di bawah satu negara semula.


Berbeza dengan Pakistan dan Bangladesh di satu masa dulu yang pernah bersatu sebagai sebuah negara, agak mustahil untuk kedua-dua negara itu akan bercantum semula. Ini kerana kedua-dua negara itu bukan sahaja berbeza dari segi geografinya tetapi ras dan sosial budaya kedua-dua negara itu juga sangat jauh berbeza, sekalipun rakyat kedua-dua negara itu adalah beragama Islam.


Tidaklah diketahui entah berapa banyak kos yang telah dihabiskan oleh Malaysia dan Singapura untuk membawa pertikaian mereka tentang hak pemilikan beberapa ketul batu di Pulau Batu Putih atau Pedra Branca ke Makamah Antarabangsa ICJ. Memanglah banyak kesusahan dan halangan perlu dihadapi oleh kerajaan dan rakyat bila dua negara mengambil jalan untuk berpisah. Sebaliknya lebih banyak faedah yang diperolehi oleh rakyat jika dua negara ini bercantum semula.


Salah satu faedah yang tidak ternilai yang dapat dirasakan oleh rakyat ialah nikmat kebebasan pergi ke mana sahaja dan boleh tinggal dan bekerja di mana sahaja dalam negara yang bercantum ini.

Bukan masalah kaum pendatang dengan kaum pri bumi tetapi masalah diskriminasi dan peminggiran kaum.

BUKAN sahaja Negara kita Malaysia malah banyak Negara-negara di dunia yang sedang dan telah melalui konflik antara kaum pendatang dengan kaum pri bumi. Dari benua Amerika yang melibatkan kaum Red Indian penduduk pri bumi dengan pendatang bangsa Eropah, hinggalah ke benua Australia yang melibatkan penduduk asli Australia dengan pendatang kulit putih.

Kaum pri bumi merasakan hak-hak mereka dirampas oleh kaum pendatang. Manakala kaum pendatang pula terpaksa bekerja keras dan bersaing untuk meneruskan kehidupan di perantauan.

Dalam konteks kita di Malaysia, etnik suku kaum bumiputra dianggap kaum pri bumi manakala kaum Cina dan kaum India dianggap sebagai kaum pendatang.

Kenapakah selepas 50 tahun kita merdeka kita masih menganggap kaum Cina dan kaum India sebagai kaum pendatang. Sedangkan boleh dikatakan semua mereka itu lahir di Negara ini.

Telah pun menjadi satu deklarasi hak asas manusia yang disepakati seluruh dunia bahawa setiap anak adalah mempunyai hak untuk menjadi warga di tempat dia dilahirkan. Mendapat hak sebagai warganegara di tanah dia dilahirkan itu adalah hak asas kepada manusia sebagaimana hak asas manusia untuk mendapat kebebasan bersuara.

Oleh itu apa yang melanda hubungan kaum di Negara kita sekarang ini bukannya masalah kaum pendatang dengan kaum pri bumi tetapi adalah masalah diskriminasi dan peminggiran kaum.

Sikap terlalu mempertahankan kaum masing-masing menyebabkan terbinanya tembok pemisah antara kaum-kaum. Kita bukan lagi bersaing secara individu sebagai rakyat Malaysia tetapi bersaing secara perkauman. Kita semua bergerak dan bekerja untuk kaum kita bagi menyaingi kaum lain. Kita mahu kaum kita menguasai segala bidang mengatasi kaum yang lain.

Apabila kita melihat segalanya melalui kacamata perkauman, tidak mungkin kita dapat membina satu perpaduan yang luhur. Apa yang kita alami sekarang hanyalah perpaduan dalam bentuk persefahaman. Sehingga kini memang wujud persefahaman dalam politik antara kaum tetapi ini tidak bermakna ada perpaduan.

Kita sedar terdapat tembok-tembok pemisah yang tebal antara kaum-kaum ini, tetapi kita seperti tidak mengambil serius untuk memecahkan tembok-tembok penghalang ini.
Kita begitu selesa untuk terus hidup dalam kelompok dan lingkungan kaum kita sahaja.

Apabila kita bersaing berdasarkan kaum masing-masing, satu kaum itu akan cuba menguasai dan mengalahkan kaum yang lain. Bila persaingan antara kaum menjadi sengit ini akan melahirkan sikap di mana satu kaum itu mendiskriminasi dan meminggir kaum yang lain.

Pemimpin politik pula didepan kita begitu lunak melaung-laungkan perpaduan, dalam masa yang sama mereka jugalah yang terus menebalkan tembok-tembok pemisahan kaum ini. Mereka jugalah yang bangga dilihat sebagai juara dan hero yang memperjuangkan kaum masing-masing semata-mata untuk mendapat keuntungan politik bagi faedah diri mereka.

Monday, June 01, 2009

Parti yang Terlalu Kuat Tidak Untungkan Rakyat

PARTI PKR di Penanti terlalu kuat atau dominan sehingga telah memantulkan selera BN untuk bertanding di dalam pilihanraya kecil di sana.

Keadaan seperti ini tidak patut berlaku kerana ia tidak memberi keuntungan kepada rakyat dalam sebuah Negara demokrasi.

Kita tidak boleh membiarkan satu-satu parti politik itu terlalu kuat di sesuatu kawasan sehingga parti lawan dapat menjangka kekalahan mereka lebih awal.

Apabila parti UMNO atau BN tidak menyertai pertandingan di Penanti, menyebabkan kemeriahan pilihanraya kecil menjadi pudar dan tidak bersemangat seperti selalunya.

Ekoran itu tidak ada projek-projek ‘mee segera’ yang ditaburkan oleh BN semasa pilihanraya itu. Tidak ada keperluan untuk menurap jalan-jalan dengan tar. Tidak ada bantuan segera untuk mengganti atap rumah penduduk-penduduk yang usang dan bocor.

Orang-orang kuat parti dan penyokong dari luar pun tidak ada semangat hendak datang untuk berkempen di Penanti. Sudah tentu orang kuat dan penyokong parti UMNO atau BN dari luar tidak menjejakkan kaki ke Penanti kerana parti mereka tidak menyertai pilihanraya itu.

Bila mereka tidak datang berkempen maka hotel-hotel di Penanti dan sekitarnya pun tidak dapat menaikan harga sewa yang tinggi, rumah-rumah kosong pun belum tentu dapat disewakan, peniaga-peniaga terutamanya pengusaha restoran pun tidak dapat meraih untung yang banyak. Dengan kata lain tidak ada ‘durian runtuh’ yang dapat diterima rakyat di pilihanraya kecil di Penanti sepertimana pilihanraya kecil yang lain itu.

Berbanding dengan sebelum ini, setiap kali BN atau UMNO menyertai pilihanraya kecil, mencurah-curahlah projek 'mee segera' datang ke kawasan tersebut. Bila hal pelik ini ditanyakan kepada PM atau TPM maka dengan selamba kita akan dapat jawapan skema dari mereka, "Semua projek-projek ini memang kita telah rancang dari awal bukan disebabkan pilihanraya kecil". Tetapi kita tentu sangsi dengan jawapan itu, apakah di Penanti tidak ada projek-projek yang dirancang lebih awal?

Itu adalah antara kelebihan dan kebaikan yang mudah kita nampak bila mempunyai parti lawan yang kuat. Parti lawan yang kuat akan dapat mewujudkan fungsi 'check and balance' yang sangat berkesan yang mana ini akan memberi kebaikan kepada negara dan rakyat.

Oleh itu kita kena menjadi rakyat yang bijak dalam berpolitik. Kita tidak perlu taksub kepada mana-mana parti politik. Parti politik bukan agama yang mesti kita anuti. Parti politik adalah landasan untuk orang yang ingin menjadi pemimpin dalam amalan demokrasi. Demokrasi adalah mekanisma untuk memilih pemimpin yang terbaik untuk memimpin rakyat, tanpa melalui pertumpahan darah. Demokrasi menjamin yang terbaik sahaja yang akan terpilih.

Kita kena belajar dari orang Cina yang sangat cerdik dalam berpolitik, mereka tidak sentiasa memihak kepada MCA dan GERAKAN begitu juga tidak sentiasa memihak kepada DAP dalm memberi undi mereka. Bagi mereka parti mana yang dapat memberi keuntungan kepada kaum mereka pada satu-satu masa dan keadaan itu, parti itulah yang akan mereka beri undi.

Oleh itu kita patut mengambil contoh masyarakat Cina ini dalam berpolitik. Tetapi untuk masa akan datang, janganlah kepentingan kaum menjadi keutamaan dalam memberikan undi seperti yang dilakukan oleh kaum Cina ini. Sudah sampai masanya kita menukar persepsi lama ini dengan melihat keuntungan rakyat secara keseluruhan bila kita membuang undi, bukan terbatas kepada keuntungan kaum sahaja.

Kalau kita benar-benar mahu melihat konsep Satu Malaysia menjadi kenyataan, maka semua masalah hendaklah dikaitkan dengan masalah rakyat Malaysia keseluruhan bukan melihatnya sebagai masalah kaum kita sahaja.

Wednesday, May 27, 2009

Chin Peng, Pengajaran kepada semua


APA yang kita boleh ambil pelajaran dari isu Chin Peng (gambar) ialah perjuangan yang menggunakan saluran keganasan dan kekerasan akan meninggalkan kesan yang amat mengguris hati.


Kalau sesuatu ideologi yang kita anuti itu adalah terbaik pada anggapan kita mengapa perlu kita menggunakan cara yang kejam bagi memaksa orang lain menerimanya.


Perjuangan Kominis yang menggunakan taktik kejam terhadap rakyat yang menyokong pihak kerajaan di masa dulu itu, bukan sahaja menyebabkan perjuangan mereka tidak mendapat sambutan dari majoriti rakyat tetapi juga telah meninggalkan kesan ‘benci’ yang berpanjangan hingga ke hari ini.


Mungkin ada kewajarannya bila Chin Peng dan rakan-rakan dari parti Kominisnya mengangkat senjata untuk menentang kerajaan Malaya yang merdeka kerana parti kominis tidak dibenarkan bertanding dalam pilihanraya umum. Tetapi ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mereka menyiksa orang awam yang mereka syaki sebagai talibarut pihak kerajaan.


Kita boleh terima jika pertentangan mereka dihadapkan hanya kepada tentera kerajaan sebagai satu-satu cara untuk memperjuangkan ideologi mereka selepas hak mereka sebagai sebuah parti politik dinafikan oleh kerajaan ketika itu. Tetapi mereka telah melakukan perkara yang melampau dari batas-batas kemanusiaan sehingga sanggup membunuh dan menyiksa orang awam yang tidak sehaluan dengan mereka.


Perasaan benci kebanyakan rakyat Malaysia hingga hari ini kepada Chin Peng dan rakan-rakannya bukanlah disebabkan kerana mereka itu Kominis atau Cina tetapi adalah disebabkan perbuatan kejam mereka yang di luar peri kemanusiaan yang telah dilakukan kepada orang-orang awam yang tidak berdosa itu.


Isu Chin Peng ini memberi pengajaran yang sangat bermakna kepada kita semua, perjuangan yang menggunakan cara ganas, kejam dan penyiksaan, bukan sahaja akan menemui kegagalan tetapi juga akan meninggalkan kesan benci yang berpanjangan.


Walaubagaimana bagus pun ideologi atau fahaman yang hendak disebarkan kepada orang awam namun ia akan tercemar jika orang-orang yang memperjuangkannya menggunakan cara paksaan, keganasan dan kekejaman.

Yang lebih malang dan lebih teruk lagi bila masyarakat akan mengaitkan keganasan yang mereka lakukan itu dengan tabiat kaum mereka, sehingga menimbulkan rasa prejudis terhadap sesuatu kaum itu.

Monday, May 25, 2009

Rasmi, Satu Sekolah Untuk Semua, di dalam Blog ISSP


Kita tidak hairan kalau usaha mewujudkan satu sekolah untuk semua ini tidak mendapat sokongan yang menggalakkan dari parti yang memerintah. Kerana usaha ini tidak memberi apa-apa faedah politik kepada mereka.


Seperti yang kita tahu, parti politik BN adalah parti-parti yang berasaskan kaum, kekuatan dan sokongan kepada mereka selama ini adalah kerana adanya sentimen perkauman.


Jika semua kaum bersekolah di sekolah yang sama maka polarisasi kaum secara sendirinya akan beransur hilang dan semua orang tanpa mengira kaum akan dilihat sebagai rakyat Malaysia sahaja. Bila ini berlaku, fungsi parti-parti berasaskan kaum seperti UMNO, MCA dan MIC dilihat tidak relevan lagi.


Selama ini, parti-parti inilah yang diharapkan sebagai memperjuangkan ‘hak-hak’ kaum-kaum mereka hingga melahirkan sekolah-sekolah vernacular (jenis kebangsaan). Yang kononnya hendak menunjukkan kepada kaum-kaum mereka bahawa mereka telah berjaya memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak kaum mereka. Maka berasa sangat suka dan gembiralah kaum-kaum mereka dan sebagai tanda untuk mengenang jasa, parti mereka akan diundi pada setiap kali pilihanraya.


Walaupun pengwujudan satu sekolah untuk semua ini baik untuk jangka panjang bagi pembentukan satu bangsa dan satu Negara Malaysia tetapi sukar untuk dilaksanakan sebab adanya pertentangan dengan kepentingan politik pihak-pihak yang tertentu.


Saya sungguh terharu kerana usaha satu sekolah untuk semua ini telah dimulakan oleh blogger sendiri dan nampaknya telah mula mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Ini menunjukkan kesedaran telah mula timbul dikalangan rakyat Malaysia betapa perlunya anak-anak Malaysia bersekolah di satu sekolah yang sama.


Satu sekolah bermakna anak-anak dari semua kaum dapat peluang bertemu, belajar bersama, bermain bersama, berkawan dan mungkin juga bergaduh. Sedari awal tadika hinggalah ke peringkat kolej dan universiti.

Inilah cara yang paling berkesan untuk menanamkan bibit-bibit perpaduan dikalangan anak-anak dari berbagai kaum. Di situ juga perpaduan benar-benar diamalkan bukan sekadar menjadi slogan untuk mereka hafal.

Dengan cara ini sahaja kita akan dapat membentuk hubungan yang erat dan padu antara rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bukan sahaja hubungan luaran tetapi hingga kepada hubungan dalaman.


Malah ingin saya lontarkan satu soalan yang menunjukkan bagaimana selama ini sebenarnya kita telah melalui dan mengamalkan perpaduan yang ‘palsu’. Jika anda seorang Melayu, bolehkah anda sebutkan seorang rakan karib anda yang terdiri dari kaum Cina atau India?


Walaupun agak lewat untuk memasukkan logo 'Satu Sekolah Untuk Semua' ini ke dalam blog saya, tetapi pada hakikatnya saya telah lama dan telah banyak menulis berkaitan isu ini. Keperihatinan saya terhadap isu yang bersangkutan dengan perpaduan dan satu sekolah ini boleh dibaca pada tajuk-tajuk posting berikut:







Tuesday, May 19, 2009

PM Najib Tidak Sanggup dimalukan di Penanti

PM NAJIB mengambil tindakan yang betul bila beliau tidak membenarkan parti UMNO yang mewakili BN menyertai pertandingan dalam pilihanraya kecil Penanti pada 31 Mei 2009 ini.

Walaupun di depan umum PM Najib menyalahkan PKR yang menggunakan pilihanraya kecil sebagai permainan politik sebagai alasan tidak mahu parti UMNO menyertai pilihanraya kecil itu. Tetapi satu Malaya sudah tahu apa yang tersirat disebalik alasan itu, PM Najib tidak mahu beliau dimalukan dengan kekalahan di Penanti.

Sekarang ini setiap pilihanraya kecil seperti sudah menjadi Key Performance Indicator (KPI) kepada PM Najib yang menjadi kayu ukur penerimaan rakyat kepada beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang baru.

Sebelum ini rakyat di kawasan Permatang Pauh baru sahaja melalui pilihanraya kecil yang berkesudahan dengan UMNO kalah teruk. Kekalahan ini menjadikan PM Najib fobia dan ditambah pula yang sudah tentunya banyak janji-janji yang ditabur sebelum pilihanraya kecil itu tidak dapat dilaksanakan.

Tidak dinafikan juga, krisis politik di Perak yang berlarutan juga akan memberi kesan secara langsung kepada piliharaya kecil Penanti. Rakyat yang sudah bosan dengan muslihat dan dolak dalik PM Najib dan kegagalan beliau dalam menangani masalah krisis di Perak itu sudah tentu akan mencorakkan pengundian di Penanti nanti.

Daripada terus menanggung malu dan dimalukan kerana kalah, lebih baik tidak masuk bertanding. Pelik juga, PM Najib yang ingin beliau dikenali sebagai Perdana Menteri Rakyat, tetapi tidak berani pula berdepan dengan rakyat di Penanti.

Sampai bila dia boleh lari dari rakyat, mahu tak mahu pada 2013 rakyat akan mengadili beliau juga.

Oleh kerana PM Najib sudah dapat membaca yang BN bakal menerima kekalahan teruk di Penanti telah mengambil risiko yang rendah dengan tidak menyertai pertandingan dalam pilihanraya kecil itu. Tetapi ini tidak bermakna PM Najib akan memberi laluan mudah kepada PKR di Penanti. Sudah tentu calon bebas yang menyertai pertandingan di Penanti akan dijadikan proxy kepada parti BN.

Monday, May 18, 2009

Pemimpin mana yang paling petah?

PEMIMPIN dan ucapan adalah dua perkara yang tak boleh dipisahkan, tentu sukar untuk menjadi pemimpin kalau tidak ada kebolehan dan kepandaian untuk berucap. Malah tidak dapat dinafikan, kepandaian dan kepetahan mereka berucaplah yang telah mengangkat diri mereka menjadi pemimpin. Berikut adalah sedikitan ulasan tentang gaya beberapa pemimpin Negara kita berucap.

Tun Dr. Mahathir Mohammad
Semasa memberi ucapan Tun Mahathir mencerminkan seorang yang intelek. Beliau akan membawakan hujah-hujah yang kuat semasa melontarkan pandangannya. Beliau terkenal sebagai yang lantang dan berani dalam memberiikan pendapat. Beliau banyak dan tidak gentar mengkritik dunia Barat. Ini menjadikan beliau sangat disegani oleh pemimpin-pemimpin dunia. Sehingga beliau dikenali sebagai pemimpin pejuang Dunia Ketiga.





Beliau memberi ucapan tidaklah menjerit-jerit atau tidaklah berapi-api. Namun begitu, pendapat dan hujah yang dilontarkan dapat menarik orang ramai untuk mendengarnya. Suara beliau kuat dan jelas, bertenaga dari mula hingga akhir ucapannya walaupun berucap untuk masa dua jam.

Orang ramai juga tidak jemu untuk mendengar ucapannya dan akan terus mendengar dengan kyusuk sehingga beliau habis berucap.

Bahasa yang beliau gunakan dalam ucapan adalah tahap yang mudah yang boleh difahami oleh semua orang. Beliau juga banyak menggunakan contoh-contoh yang biasa berlaku dalam kehidupan bagi menjelaskan idea atau pandangan yang hendak disampaikannya.

Malah adakalanya sebaik selesai beliau memberi ucapan, hadiran bangun berdiri memberi tepukan sebagai penghargaan dan tanda bersetuju dengan pandangan bernas dan berani beliau dalam ucapan yang disampaikannya.

Beliau mempunyai kebolehan luar biasa dalam meyakinkan khalayak untuk bersetuju dan menyokong pandangan beliau. Selagi pandangan beliau itu baik mungkin ia tidak mendatangkan masalah tetapi bila pandangan beliau tidak baik, tentu ini akan menimbulkan masalah kerana orang akan terus menyangka pandangan beliau itu sebagai baik.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan Tun Mahathir adalah salah seorang yang termasuk atau telah mencapai tahap ‘Pemimpin Dunia’.

Pak Lah
Pak Lah pula bersuara lemah, kurang tenaga dalam memberi ucapan. Kadang-kadang Pak Lah cuba juga hendak berucap dengan nada yang berapi-api, tetapi selalu terputus sebelum sampai klimaks. Batuk kerap mengganggu beliau semasa memberi ucapan.





Ucapan Pak Lah lebih baik dan lebih menarik jika beliau membaca teks ucapan yang beliau telah sediakan terlebih dahulu sebelum memberi ucapan. Tetapi kalau berucap tanpa teks, ucapannya kelihatan hambar dan membosankan, apa yang kita dengar dalam ucapannya hanyalah perkataan ‘baik…. baik…. baik…lebih baik… lebih elok.. bagi perelok’.

Ucapan Pak Lah juga lebih menarik kalau beliau bercakap yang menyentuh hal agama, ini mungkin kerana beliau mempunyai latarbelakang pelajaran dan keluarga yang berteraskan agama.

Boleh dikatakan Pak Lah tidak mempunyai kekuatan yang tersendiri dalam ucapannya, sebaliknya kekuatan Pak Lah adalah pada peribadinya yang bersih dan seorang yang berintegriti. Sikapnya yang baiksangka kepada semua orang membuatkan beliau disegani oleh musuh dan kawan.

Datuk Seri Najib Tun Razak
DS Najib adalah seorang yang tidak mempunyai kepandaian atau bakat semula jadi dalam memberi ucapan. Tetapi pengalamannya menjadi ahli politik dan wakil rakyat sejak umur 20 an lagi telah banyak melatih dan mengajar beliau untuk berucap dengan baik.



Najib tidak mempunyai karisma yang boleh membuat orang terpegun untuk mendengar ucapannya. Ramai orang biasa yang boleh berucap seperti Najib.



Kadang-kadang beliau cuba menaikan semangat dan emosi orang ramai dengan gaya ucapan yang berapi-api tetapi kita boleh nampak seperti dibuat-buat dan tidak nutral.

Orang ramai suka hendak mendengar Najib berucap hanya kerana sudah menjadi kebiasaan beliau, dalam setiap kali ucapannya ada saja benda yang ingin ditawarkannya kepada orang ramai. Dari penawaran projek hinggalah kepada pemberian bonus, elaun dan kenaikan gaji dan pangkat. Faktor inilah yang membuatkan orang untuk terus menunggu ucapannya.

Anwar Ibrahim
Beliau mempunyai bakat semulajadi dalam memberi ucapan. Seperti Mahathir, Anwar juga mampu memukau orang ramai yang mendengar ucapannya. Ucapan yang menarik yang disokong dengan memek muka dan gerak tangan dan badan, menjadi ucapan beliau begitu meyakinkan sesiapa saja yang mendengarnya.




Lebihnya Anwar berbanding Mahathir, Anwar mampu untuk berucap dalam nada yang berapi-api yang boleh menegakkan bulu roma orang ramai.

Anwar juga bijak dalam menyelesaikan sesuatu isu yang timbul. Apabila ada dua pendapat yang berbeza yang boleh menjadi pertikaian, selalunya Anwar dapat memberi pandangan yang begitu baik dan boleh memuaskan hati semua pihak.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan buat masa ini, tidak ada pemimpin Malaysia yang boleh menandingi kehebatan Mahathir selain dari Anwar.

Ustaz Abdul Hadi Awang
Ustaz Hadi adalah penceramah yang hebat. Sukar untuk kita berganjak dari tempat duduk bila mendengar beliau berucap.

Setahu saya selalunya Ustaz Hadi berucap dengan nada yang berapi-api, mungkin sebab saya hanya mendengar beliau memberi ceramah sahaja. Kebiasaannya, ceramah PAS memang dipenuhi dengan ucapan yang berapi-api.

Dengan menggunakan hujah yang berlandaskan dalil ayat Quran dan Hadis dalam setiap ceramahnya, beliau mampu meyakinkan orang yang mendengar untuk bersetuju dengan pandangan beliau.




Oleh itu tidak hairanlah kalau setiap pandangan dan pendapat yang dilontarkan dalam ceramahnya dianggap oleh orang ramai sebagai fatwa. Begitulah kuatnya keyakinan orang ramai terhadap ucapan atau ceramahnya.

Sehingga kini tidak ada dikalangan pemimpin PAS yang mempunyai kebolehan dan ketokohan setanding beliau. Beliau masih kekal sebagai Presiden PAS tanpa dicabar.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com