BUKAN sahaja Negara kita Malaysia malah banyak Negara-negara di dunia yang sedang dan telah melalui konflik antara kaum pendatang dengan kaum pri bumi. Dari benua Amerika yang melibatkan kaum Red Indian penduduk pri bumi dengan pendatang bangsa Eropah, hinggalah ke benua Australia yang melibatkan penduduk asli Australia dengan pendatang kulit putih.
Kaum pri bumi merasakan hak-hak mereka dirampas oleh kaum pendatang. Manakala kaum pendatang pula terpaksa bekerja keras dan bersaing untuk meneruskan kehidupan di perantauan.
Dalam konteks kita di Malaysia, etnik suku kaum bumiputra dianggap kaum pri bumi manakala kaum Cina dan kaum India dianggap sebagai kaum pendatang.
Kenapakah selepas 50 tahun kita merdeka kita masih menganggap kaum Cina dan kaum India sebagai kaum pendatang. Sedangkan boleh dikatakan semua mereka itu lahir di Negara ini.
Telah pun menjadi satu deklarasi hak asas manusia yang disepakati seluruh dunia bahawa setiap anak adalah mempunyai hak untuk menjadi warga di tempat dia dilahirkan. Mendapat hak sebagai warganegara di tanah dia dilahirkan itu adalah hak asas kepada manusia sebagaimana hak asas manusia untuk mendapat kebebasan bersuara.
Oleh itu apa yang melanda hubungan kaum di Negara kita sekarang ini bukannya masalah kaum pendatang dengan kaum pri bumi tetapi adalah masalah diskriminasi dan peminggiran kaum.
Sikap terlalu mempertahankan kaum masing-masing menyebabkan terbinanya tembok pemisah antara kaum-kaum. Kita bukan lagi bersaing secara individu sebagai rakyat Malaysia tetapi bersaing secara perkauman. Kita semua bergerak dan bekerja untuk kaum kita bagi menyaingi kaum lain. Kita mahu kaum kita menguasai segala bidang mengatasi kaum yang lain.
Apabila kita melihat segalanya melalui kacamata perkauman, tidak mungkin kita dapat membina satu perpaduan yang luhur. Apa yang kita alami sekarang hanyalah perpaduan dalam bentuk persefahaman. Sehingga kini memang wujud persefahaman dalam politik antara kaum tetapi ini tidak bermakna ada perpaduan.
Kita sedar terdapat tembok-tembok pemisah yang tebal antara kaum-kaum ini, tetapi kita seperti tidak mengambil serius untuk memecahkan tembok-tembok penghalang ini.
Kita begitu selesa untuk terus hidup dalam kelompok dan lingkungan kaum kita sahaja.
Apabila kita bersaing berdasarkan kaum masing-masing, satu kaum itu akan cuba menguasai dan mengalahkan kaum yang lain. Bila persaingan antara kaum menjadi sengit ini akan melahirkan sikap di mana satu kaum itu mendiskriminasi dan meminggir kaum yang lain.
Pemimpin politik pula didepan kita begitu lunak melaung-laungkan perpaduan, dalam masa yang sama mereka jugalah yang terus menebalkan tembok-tembok pemisahan kaum ini. Mereka jugalah yang bangga dilihat sebagai juara dan hero yang memperjuangkan kaum masing-masing semata-mata untuk mendapat keuntungan politik bagi faedah diri mereka.
NFA
8 hours ago