Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Sunday, May 30, 2010

Isu TPM, Anwar menjerat PM Najib


Janji DS Anwar hendak memperuntukan jawatan Timbalan Perdana II kepada parti DAP jika Pakatan Rakyat berkuasa, merupakan penawaran yang sangat menguntungkan untuk didagangkan dalam pasaran politik dan sekaligus boleh menjerat percaturan politik PM Najib.

Cuba mengalihkan dari jerat politik Anwar, PM Najib mengelak dari mengulas isu jawatan TPM itu, sebaliknya menuduh Anwar sebagai pembohong dan tidak akan memenuhi janji yang beliau buat itu dengan merujuk kepada peristiwa ‘lompatan kuasa’ 16 September oleh Anwar yang tidak menjadi.

Hanya tinggal 9 tahun sahaja lagi kita akan menuju tahun 2020. Salah satu dari isu yang mesti ditangani dalam mencapai cabaran Wawasan 2020 ialah:

“Pembentukan Satu Negara Bangsa Malaysia. Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu negara bangsa adalah menjadi pra-syarat kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk kerjasama untuk maju tidak akan terjalin.”

Tidaklah salah kalau Anwar menawarkan jawatan TPM II kepada DAP yang tentunya seorang yang bukan Melayu, kerana kita hanya memerlukan dua kali pilihan raya umum sahaja lagi untuk sampai ke tahun 2020. Selari dengan semangat Wawasan 2020, memang sudah sampai masanya bermula dari sekarang, kalau tidak pun membenarkan orang bukan Melayu menjadi PM, menjadi TPM pun sudah memadai.

Sepatutnya PM Najib yang memperkenalkan gagasan 1Malaysia lebih kedepan untuk memberikan jawatan TPM kepada parti komponen BN yang bukan Melayu, tetapi nampaknya beliau tidak menunjukkan minat dalam isu ini.

Penawaran oleh Anwar ini bukanlah satu janji kosong, memang realiti politik masyarakat Malaysia akan menuju kearah itu, hanya UMNO sahaja yang masih tidak mahu berubah dengan kehendak masyarakat. Tidakkah beliau sedar, atas sebab mengambil perkiraan itu jugalah Wawasan 2020 itu telah dibentuk.

Sudah tentu penawaran Anwar itu mampu menarik sokongan masyarakat bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat (PR) pada pilihanraya umum akan datang ini. Dikatakan jika PR terus dapat mengekalkan sokongan dari 70% masyarakat Cina seperti ditunjukkan dalam PRK di Hulu Selangor dan Sibu, ada kemungkinan BN akan menghadapi masalah besar untuk mengekalkan kuasa pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Isu TPM ini betul-betul telah menjerat kepimpinan PM Najib. Kepimpinan DS Najib tidak mencerminkan 1Malaysia yang dicanangnya. Beliau bukan sahaja tidak pernah terfikir untuk melantik TPM di kalangan parti komponen BN yang lain, malah meneruskan tradisi pemimpin UMNO sebelum ini, tidak membenarkan kementerian yang penting seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran diketuai dikalangan parti komponen MCA dan MIC.
Menteri Kewangan yang terakhir dari MCA ialah Tun Tan Siew Sin semasa Tunku Abdul Rahman menjadi PM.

Tuesday, May 25, 2010

Singapore ada sebab kuat untuk selesaikan masalah tertangguh


Pemimpin Singapore sudah nampak masa depan senerio politik Malaysia yang tidak dapat ditentukan untuk menyebelahi parti BN lagi.

Oleh itu tidak seperti sebelum ini yang banyak berlaku tarik tali, mereka telah menimbangkan secara serius untuk menyelesaikan masalah yang tertangguh dan berlarutan antara dua Negara sebelum pilihanraya umum ke 13 ini.

Semua masalah yang timbul sebelum ini adalah masalah yang mereka timbulkan di bawah kepimpinan parti PAP di Singapore dan kepimpinan parti BN di Malaysia. Pemimpin parti-parti inilah yang telah menandatangani segala perjanjian yang telah dibuat antara kedua-dua Negara dan mereka mempunyai persepsi dan kepentingan yang tersendiri terhadap sesuatu isu.

Keadaan politik Malaysia yang sukar diramal untuk terus berada dibawah penguasaan parti BN selepas pilihanraya umum ke 13 amat membimbangkan pemimpin Singapore.

Hubungan dua hala yang selama ini banyak menguntungkan Singapore, mungkin akan menjadi sukar bila kepimpinan Malaysia bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat.

Singapore mengambil langkah bijak kerana cuba menyelesaikan masalah-masalah yang tertangguh itu secepat mungkin kerana mereka tidak mahu mengambil risiko kalau menyelesaikannya dengan kerajaan baru yang mempunyai dasar atau polisi luar Negara yang tentunya berbeza.

Walaupun kita mengalu-ngalukan tindakan positif pemimpin Singapore itu, tetapi kita sebagai rakyat Malaysia juga mempunyai hak untuk tahu samada segala jalan penyelesaian yang diutarakan oleh Singapore itu benar-benar menguntungkan Malaysia?

Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali, seperti perjanjian air dan pembinaan tambak Johor di masa silam, akhirnya telah menjerat kita semula.

Friday, May 21, 2010

Lampu tidak sepatutnya dipasang di siang hari

Pada zaman dulu di mana rumah-rumah kita di kawasan kampung tidak mendapat bekalan tenaga elektrik, kita menggunakan cahaya pelita minyak tanah (minyak gas) untuk menerangkan rumah kita di waktu malam. Apabila sinar matahari semakin cerah di waktu pagi, kita akan memadamkan pelita kerana cahaya matahari jauh lebih terang dari cahaya pelita.

Di zaman itu tingkap atau tetingkap dan langsir dibuat untuk mengawal pencahayaan dan pengudaraan dalam rumah. Adalah suatu yang janggal kalau kita menyalakan pelita di dalam rumah pada siang hari.

Hari ini kita boleh mendapat bekalan tenaga elektrik dengan mudah dan murah. Kita tidak bimbang jika rekabentuk rumah dan pejabat mempunyai ruang-ruang dalam yang agak gelap dan tidak ditembusi cahaya matahari, kerana ia boleh diterangkan dengan cahaya lampu elektrik.

Tetapi apabila masyarakat dunia mula sedar pentingnya menjaga alam sekitar, kesan buruk dari pemanasan global dan sumber minyak bumi yang semakin berkurang, maka penggunaan lampu elektrik di waktu siang hari di dalam mana-mana bangunan boleh dianggap sebagai perbuatan membazir dan tidak mesra alam.

Oleh kerana cahaya matahari adalah sumber cahaya yang percuma, maka amat rugilah kalau kita tidak menggunakannya, sebaliknya kita mengambil jalan mudah, menggunakan cahaya lampu elektrik di dalam bangunan di waktu siang hari.

Sudah sampai masanya masyarakat dunia perlu memikirkan bagaimana kita dapat memberi pencahayaan dalam bangunan tanpa menggunakan lampu elektrik di waktu siang hari.

Sebagai contoh, Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, Singapore (gambar di atas) telah menggunakan bumbung yang membenarkan cahaya semulajadi bagi menerangi ruang dalam bangunannya.

Begitu juga dengan ruang-ruang tandas di tempat rawat dan rehat lebuhraya PLUS, banyak ruang tandas mereka telah menggunakan cahaya semulajadi.

Sebenarnya dengan sedikit bantuan dari teknologi, kereativiti dan inovasi, kita boleh menafaatkan cahaya semulajadi (matahari) bagi menerangkan semua ruang dalam bangunan. Akhirnya kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada cahaya lampu elektrik di masa depan.

Sekarang sudah ada teknologi kanta cermin mata yang berubah mengikut kecerahan cahaya (transition lens). Mungkin konsep ini boleh diserapkan pada bumbung dan tingkap yang dibuat dari kaca, di mana jika cahaya luar terlalu terang, tingkap kaca akan bertukar menjadi gelap bagi menghalang terlalu banyak cahaya masuk ke dalam bangunan.

Mungkin beberapa alat kawalan juga boleh dicipta bagi mengawal kadar kecerahan cahaya semulajadi yang masuk melalui tingkap dan bumbung, sesuai dengan keperluan penghuni dan pengguna sesuatu bangunan.

Kita juga ada teknologi kabel gentian optic (fiber optic) yang boleh digunakan untuk menyalurkan cahaya walaupun dalam keadaan yang tidak lurus. Ini juga boleh digunakan menyalurkan cahaya ke bilik-bilik dalam bangunan yang terletak jauh dari sumber cahaya semulajadi.

Pilihan lain yang boleh digunakan untuk menyalurkan cahaya kepada ruang-ruang dalam bangunan yang sukar mendapat cahaya semulajadi ialah menggunakan lampu dari sumber foto voltan (photo voltage) yang boleh disambung menggunakan dawai elektrik. Sumber foto voltan adalah sumber elektrik yang dijana dari tenaga cahaya matahari.

Sebenarnya banyak lagi teknologi dan inovasi yang boleh kita teroka bagi merealisasikan impian ‘lampu elektrik tidak sepatutnya dinyalakan di waktu siang hari’.

Wednesday, May 19, 2010

Thailand dan Undi Pos

Di kebelakangan ini, boleh dikatakan hari-hari kita dapat melihat di dalam berita di setesen-setesen TV negara kita demontrasi jalanan yang sedang berlaku di Negara jiran kita Thailand.

Demontrasi jalanan di Thailand ini telah mengingatkan kita kepada beberapa siri demontrasi jalanan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia di beberapa kawasan popular di dalam Bandaraya Kuala Lumpur di suatu masa dulu.

Walaupun demontrasi di Kuala Lumpur itu tidak pernah mendapat liputan di setesen-setesen TV kita, tetapi saya masih dapat menontonnya melalui stesen TV Singapura. Kedudukan Johor Bahru yang hampir dengan Singapura membolehkan saya menonton berita yang dipancarkan dari setesen TV negara itu.

Kalau kita perhatikan, tujuan, bentuk dan semarak demontrasi di kedua-dua tempat itu lebih kurang sama saja. Ia merupakan demontrasi rakyat yang dipimpin oleh pihak parti pembangkang yang tidak berpuashati dengan perjalanan demokrasi yang dikuasai oleh parti yang memerintah.

Disamping pujian kita kepada rakyat yang berani menzahirkan perasaan tidak puas hati mereka kepada pemerintah atas nama untuk memperjuangkan keadilan dan demokrasi tulen, kita juga sangat bersimpati kepada mereka kerana telah menyebabkan perniagaan dan kegitan ekonomi Negara menjadi lumpuh, malah terpaksa mengorbankan sejumlah nyawa dan ramai yang cedera. Moga pengorbanan mereka itu akan diingat sebagai wira pejuang demokrasi dalam sejarah negara.

Saya tidak pasti samada di Thailand terdapat undi pos atau tidak seperti yang terdapat di Negara kita yang telah mengundang banyak kontraversi dan ‘tidak telus’ itu. Tetapi saya amat percaya sebab utama berlakunya demontrasi jalanan ini adalah disebabkan pengendalian piliharaya yang tidak adil, tidak bebas dan tidak telus.

Kalau pengadil perlawanan bola sepak dilihat memihak dan tidak dapat berlaku adil, pasti akan mengundang rasa tidak puas hati di kalangan penyokong dan boleh membawa pergaduhan dan rusuhan.

Pasukan bola yang terbaik permainannya hanya boleh menang dalam perlawanan itu kalau pengadilnya dapat berfungsi dengan adil dan tidak memihak. Sebaliknya kalau pengadil yang ‘kotor’, boleh dibeli, pasukan bola yang lekeh pun boleh menang, asalkan mereka mampu untuk membeli pengadil tersebut.

Keadaan di Thailand itu umpama nasi yang telah menjadi bubur, kerusakan yang berlaku itu amat sukar untuk dibaiki semula.

Oleh itu, kepada pihak yang mengendalikan pilihanraya di Negara kita dan parti yang memerintah harus mengambil iktibar dari peristiwa yang berlaku di Thailand ini.

Pastikan pilihanraya dijalankan dengan adil, bebas dan telus, sehingga kedua-dua pihak yang bertanding berasa cukup puas hati. Jangan sekali-sekali kita menyediakan ruang dan luang yang boleh menyebabkan mereka berasa tidak puas hati dengan perjalanan pilihanraya, kerana akibatnya sangatlah buruk.

Bukan sahaja SPR harus telus, bebas dan adil, malah media perdana, polis dan agensi-agensi kerajaan yang lain juga harus berlaku adil kepada kedua-dua pihak yang bertanding.

Monday, May 17, 2010

Maharajah Brooke ini mesti diturunkan


Apa hak Rajah Brooke ini kerana tidak membenarkan beberapa individu rakyat Malaysia dari memasuki negeri Sarawak?

Apakah Sarawak sebuah Negara atau sebuah negeri dalam Malaysia?

Tidak pernah berlaku di mana seorang menteri besar atau ketua menteri dalam mana-mana negeri di Malaysia boleh menghalang mana-mana rakyat Malaysia dari negeri lain untuk memasuki negeri di bawah pentadbiran mereka.

Apa istimewanya Rajah Brooke ini sehingga dia berkuasa melampaui semangat perlembagaan Malaysia?

Sudah sampai masanya saki baki Raja Beruk ini diturunkan dari terus menerus menjajah bumi Sarawak.

Wednesday, May 12, 2010

Mustahil orang Sarawak boleh jadi PM tanpa jadi ahli UMNO


Walaupun Parti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),yang dipimpin oleh Ketua Menteri Sarawak, Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud merupakan salah satu komponen parti BN tetapi parti PBB ini hanya terdapat di Sarawak sahaja.

Oleh kerana syarat untuk menjadi Perdana Menteri (PM) Malaysia mestilah dari kalangan pemimpin parti yang terbesar memenangi kerusi Parlimen, maka secara metamatiknya orang Sarawak mustahil boleh menjadi PM.

Sekalipun semua kawasan Parlimen di Sarawak dimenangi oleh parti PBB, masih belum dapat menjadikannya parti terbesar memenangi kerusi Parlimen, kerana bilangan kawasan Parlimen Sarawak (28) jauh lebih kecil dari bilangan keseluruhan kawasan Parlimen Malaysia (222).

Kemasukan UMNO ke Sabah telah meletakkan orang-orang Sabah berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Malah dalam beberapa tahun sahaja UMNO bertapak di Sabah, sudah ada ahli UMNO dari Sabah yang memegang jawatan tertinggi parti UMNO, malah ada hingga mencapai ke jawatan Naib Presiden, iaitu jawatan ketiga penting dalam hairaki kepimpinan negara.

Dan tidaklah hairan kalau dalam sedikit masa lagi rakyat Sabah juga akan terpilih untuk menduduki Seri Perdana, Putra Jaya.

Sudah sampai masanya rakyat Sarawak memikirkan perjalanan masa depan politik mereka dalam konteks Malaysia, apakah cukup sekadar menjadi pemerhati dan menjadi jaguh kampung sahaja. Tidak dinafikan, ramai anak-anak Sarawak yang berbakat untuk menjadi pemimpin Negara, tetapi mereka tidak dapat peluang untuk ditonjolkan selagi mereka tertakluk kepada sistem politik seperti yang ada sekarang.

Rakyat Sarawak harus berani berubah, sebagai rakyat Malaysia, mereka juga harus turut serta dalam menentukan hala tuju Negara Malaysia seperti rakyat di negeri-negeri lain juga. Ini hanya boleh menjadi kenyataan kalau rakyat Sarawak turut menyertai parti yang bersifat nasional, samada ada UMNO (BN) atau PKR.

Sunday, May 09, 2010

Raja Seminggu

Kita biasa mendengar istilah Raja Sehari. Di bawah adalah gambar Raja Sehari:

Selain dari itu ada juga yang dinamakan Raja Seminggu. Di sini saya petik berita dari akhbar Utusan Malaysia (9 Mei 2010) berkaitan dengan Raja Seminggu ini:

SIBU 8 Mei - Barisan Nasional (BN) menggangap setiap pengundi adalah ‘raja’ dan berharap setiap seorang daripada mereka tanpa mengira kaum akan membantu dan menyokong BN dalam pilihan raya.
Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehubungan itu, BN perlu mengetahui bagaimana untuk menguruskan golongan itu dengan baik agar tidak hanya mendapat sokongan daripada satu-satu
kaum sahaja.

Pengundi akan di layan seperti Raja sepanjang kempen pilihanraya yang tempohnya lebih kurang seminggu.




Selepas habis tempoh itu, mereka akan kembalilah semula menjadi hamba rakyat seperti biasa.

Wednesday, May 05, 2010

Kalau kita tak bunuh, kita akan dibunuh


Selalu kita dengar berita dimana penjenayah dan perompak ditembak mati oleh polis. Skrip berita yang dilapurkan media setiap kali penjenayah ini ditembak mati hampir sama saja. Polis terpaksa melepaskan tembakan atau membalas tembakan kerana penjenayah terlebih dahulu menembak polis atau cuba menyerang polis. Penjenayah yang ditembak mati itu pula adalah penjenayah yang sangat dikehendaki dan sangat bahaya.

Dengan justifikasi atau alasan yang diberi, orang ramai rasa berpuas hati dan tidak pernah mempersoalkan kematian mereka. Orang ramai juga tidak ambil pusing pihak mana yang menembak dan menyerang terlebih dahulu. Malah orang ramai rasa lega bila penjenayah yang didakwa merbahaya ini dapat dibunuh dan ditumpaskan, dengan harapan tidak ada lagilah penjenayah di masa akan datang.

Mangsa-mangsa yang pernah mengalami dirompak dan dicederakan oleh penjenayah tentu sangat gembira bila ada berita penjenayah ditembak mati oleh polis.

Telah banyak juga penjenayah telah ditembak mati dan telah banyak geng penjenayah telah tumpas, tetapi kejadian jenayah tidak juga berkurang.

Tidak dinafikan anggota dan pasukan polis rasa tertekan dengan banyaknya kejadian jenayah yang berlaku sekarang ini. Penjenayah-penjenayah ini pula sangat licik hingga sukar dijejaki.

Masyarakat pula sentiasa menyalahkan kelembaban pihak polis kerana tidak dapat membenteras kejadian jenayah yang tidak pernah habis-habis.

Selalunya skrip oleh pihak polis bila berlaku penjenayah ditembak mati berjalan lancar seperti biasa sehinggalah kejadian itu berlaku kepada adik Aminul Rasyid Amzah. Kalaulah dalam kejadian itu bukan adik Aminul Rasyid tetapi adalah seorang penjenayah yang sangat dikehendaki, tentulah orang ramai tidak akan bertanya pihak mana yang menyerang terlebih dahulu dan berapa banyak das tembakan yang dilepaskan.

Integriti mesti ada kepada setiap warga termasuk juga anggota polis. Penjenayah tidak boleh dihukum dicabut nyawanya tanpa melalui proses makamah. Polis atau siapa saja dibenarkan mengambil tindakan mempertahankan diri. Polis juga patut membalas tembakan jika berdepan dengan penjenayah yang cuba menyerang polis dengan senjata api. Tetapi adakah prinsip-prinsip ini benar-benar diamalkan oleh setiap anggota polis?

Kita tidak boleh membunuh orang semata-mata kerana takut kita akan dibunuh. Dan lebih tercela lagi kalau ada pemikiran yang tertanam pada seorang anggota polis, bahawa mudah untuk naik pangkat jika dapat membunuh penjenayah.

Friday, April 30, 2010

Dunia sekarang dikuasai oleh Syaitan

Syaitan adalah musuh anak Adam yang nyata. Permusuhan yang tidak bersekudahan ini bermula sejak Nabi Adam hinggalah hari kiamat.

Iblis yang dilaknat Allah kerana angkuh, berdendam untuk menyesatkan umat manusia dari jalan yang benar. Berbagai cara dilakukan oleh Iblis dan Syaitan bagi menghalang manusia dari mengikut jalan yang diredai Allah.

Seperti manusia, Iblis juga dianugerah oleh Tuhan kebolehan untuk berfikir. Syaitan-syaitan ini begitu pandai menghasut dan menggoda pemikiran manusia untuk melakukan kerja-kerja maksiat yang dilarang.

Mereka juga bijak menggunakan manusia untuk menyesatkan manusia lain. Tanpa disedari syaitan telah memperkudakan orang Barat dan Yahudi untuk menyesatkan manusia seluruh dunia.

Syaitan telah menggunakan orang Yahudi dan Barat untuk mengangkat nilai-nilai maksiat supaya dilihat mulia oleh manusia.

Siapa saja yang menentang nilai tamaddun yang disaran oleh Yahudi dan Barat yang didokong oleh Syaitan ini, akan dilabel sebagai tidak mengikut aliran masyarakat antarabangsa.

Pakaian yang mendedahkan aurat hingga sekadar memakai coli dan seluar dalam sahaja di tempat awam, tidak dianggap sebagai salah atau tidak bermoral.

Berzina atau melakukan hubungan seks dengan kerelaan tanpa ikatan perkahwinan, bukanlah satu kesalahan yang boleh didakwa dimakamah sivil.

Pertandingan ratu cantik juga dianggap sebagai suatu acara yang sangat berprestij dan bermaruah.

Nilai-nilai maksiat ini mereka angkat menjadi mulia, secara halus mereka didik semua manusia dengan nilai-nilai buruk ini melalui media yang memang dikuasai dan dikawal oleh syaitan-syaitan ini.

Dengan mudah mereka masuk ke rumah kita melalui TV, internet dan VCD, hari-hari pemikiran kita dan anak-anak kita diasuh dengan budaya maksiat yang ingin mereka terapkan.

Anak-anak kita bergaul bebas yang langsung tidak boleh kita kawal. Anak-anak menjadi liar dan keluar rumah ikut suka hati mereka, semua ini adalah asuhan yang mereka dapat yang tersirat disebalik keseronokan menonton filem-filem Hollywood ini.

Melahirkan anak luar nikah bukan lagi menjadi bahan cacian masyarakat, malah di Barat mereka diberi layanan yang baik.

Kita sering ditakutkan dengan hantu-hantu gila seperti pontianak, langsuir, hantu raya, pelesit dan toyol. Sebenarnya, musuh kita yang nyata bukanlah hantu-hantu gila ini, sebaliknya adalah Iblis dan syaitan yang menggunakan manusia Barat dan Yahudi untuk menyesatkan manusia dari jalan yang benar.

Siapa yang cuba melawan arus akan menerima nasib dipinggirkan, dan akan dilabel dengan label-label yang negatif seperti tidak liberal, konservatif, pelampau, fundamental dan sebagainya.

Kalau di zaman lampau, pakaian yang menutup aurat yang biasa dipakai oleh wanita-wanita di waktu itu, seperti dalam gambar di atas melambangkan wanita-wanita yang terhormat. Tetapi sekarang, dengan usaha giat Syaitan dan kuncu-kuncunya telah dapat menukar persepsi masyarakat, di mana pakaian wanita yang menjolok mata seperti dalam gambar di bawah pula menjadi lambang wanita yang disanjung.

Sangat jelas kepada kita, norma-norma hidup masyarakat antarabangsa sekarang ini adalah dikuasai ditentukan oleh iblis dan syaitan.



Tuesday, April 27, 2010

Belon udara panas ‘pembakaran dalam’ yang selamat


Belon udara panas yang ada sekarang menggunakan konsep pembakaran luar dimana bahanapi gas mampat (LNG) dibakar bagi memanaskan udara bagi menolak naik belon ke atas.

Walaupun langkah keselamatan yang ketat telah diambil, namun pembakaran luar mendedahkan nyalaan api yang boleh menyebabkan kebakaran bila berlaku kemalangan yang tidak diduga.

Oleh itu untuk mengelakkan ketakutan kita dari menaikki belon panas yang menggunakan pembakaran luar ini, di sini ingin saya perkenalkan konsep belon udara panas ‘pembakaran dalam’.

Pembakaran dalam ini menggunakan enjin yang akan menggerakkan penjana elektrik. Penjana elektrik ini pula membekalkan tenaga elekrik bagi memanaskan udara di dalam belon.

Di sini kita menggunakan tenaga elektrik untuk memanaskan udara, menggantikan pembakaran langsung dari nyalaan api yang terdedah yang digunakan oleh belon udara panas yang ada sekarang.

Bahanapi gas termampat disalurkan kepada enjin, sama seperti enjin kereta yang menggunakan bahanapi gas (NGV). Enjin pula akan menggerakkan penjana elektrik yang akan membekalkan tenaga elektrik.

Keadaan penjana ini sama seperti penjana (generator) mudahalih yang digunakan oleh penjual pasar malam untuk menyalakan lampu. Kalau penjana pasar malam itu menggunakan minyak petrol sebagai sumber tenaganya, tetapi untuk penjana belon udara panas ini kita menggunakan gas asli yang termampat.

Tenaga elektrik yang dihasilkan oleh penjana ini akan digunakan untuk memanaskan udara dalam belon seperti udara panas yang dikeluarkan oleh alat pengering rambut elektrik.

Secara bandingannya, tentu risiko rambut kita terbakar sangat tinggi kalau kita menggunakan nyalaan api untuk mengeringkan rambut kita berbanding menggunakan pengering rambut elektrik.

Mungkin tidak memadai menggunakan pengering rambut untuk memanaskan udara belon yang besar, oleh itu kita perlu mencari elemen pemanas elektrik yang berkuasa tinggi.

Selain dari dapat mengurangkan bahaya kebakaran, belon udara panas yang menggunakan kuasa elektrik juga mempunyai banyak kelebihan. Tenaga elektrik yang dijana itu juga boleh digunakan untuk memutarkan kipas bagi menolak belon ke destinasi yang kita kehendaki, tidak hanya mengikut arah tiupan angin sahaja.

Kekurangan yang mungkin ada pada belon udara panas elektrik ini ialah kurang cekap, dan kuasa keluaran yang lebih kecil. Tetapi masalah ini boleh diatasi dengan menggabungkan ‘pembakaran luar’ dengan ‘pembakaran dalam’ ini. Pada permulaan untuk memanaskan belon semasa di daratan, kita menggunakan pembakaran langsung (luar), dan selepas belon mula naik ke udara, kita boleh tukar kepada pemanasan elektrik.

Di bawah adalah gambar komponen keseluruhan belon udara panas elektrik yang dicadangkan:



Wednesday, April 21, 2010

Antara integriti dan pembangunan

Macam-macam dasar telah digubal, macam-macam program dan rancangan telah diwujudkan, dari DEB hinggalah ke MEB, dari Wawasan 2020 hinggalah ke 1Malaysia, semuanya itu adalah atas nama untuk membangun dan untuk maju.

Walaupun sebelum merdeka, tahap pembangunan bandar-bandar di Malaysia seperti Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, sama saja seperti bandar Singapura. Tetapi hari ini kita dapat lihat perbezaan yang begitu jauh antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Hampir setiap hari Perdana Menteri dan Menteri-menteri di Malaysia bercakap pasal pembangunan dalam TV, radio dan suratkhabar tetapi keadaan pembangunan Kuala Lumpur atau Pulau Pinang tidak juga setanding dengan Singapura.

Singapura merupakan negara pulau yang kecil dimana tanah dan sumber semulajadi yang begitu terbatas, masih dapat menyediakan rumah kediaman dan kemudahan asas yang selesa kepada rakyatnya. Sebaliknya Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru masih ramai rakyat yang tinggal berhimpit di kawasan setinggan dengan pemandangan yang meloyakan.

Manakala rakyat yang tinggal di kawasan taman-taman perumahan pula sering mengadu khidmat kebersihan yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan tidak memuaskan. Sampah lambat dipungut, longkang-longkang dan parit sering tersumbat. Anjing-anjing liar yang banyak, ‘mengembur’ tong sampah, menambah burukkan keadaan pemandangan sekitar.

Kerja-kerja projek pembinaan yang tidak mengikut peraturan telah menyebabkan parit dan sungai dipenuhi timbunan tanah dan sampah. Bila musim hujan, berlakulah banjir dan tanah runtuh yang sering menjejaskan keselesaan hidup rakyat.

Sebenarnya pemimpin dan rakyat kita mempunyai rancangan, dasar, program yang sangat lengkap dan cantik untuk membangunkan negara kita ini, tetapi kita masih tidak berjaya seperti Singapura kerana kita tidak ada INTEGRITI.

Aduan rakyat tidak pernah menjadi keutamaan kecuali kalau ada nilai politik dan kalau ada nilai ekonomi. Anjing-anjing liar tidak akan dihambat sehinggalah kalau ada berita di TV kanak-kanak yang kena baham anjing.

Ada seorang tua di kampung saya di Kuala Pilah marah-marah dan merungut kerana wakil rakyat ditempatnya telah menyampaikan hadiah kerusi roda kepada beliau di majlis penyampaian bantuan untuk warga emas di kampung itu. Beliau marah kerana diberikan kerusi roda, walhal beliau masih boleh berjalan, walaupun kaki beliau sekali-sekala memang sakit.

Orang dah nak bagi kerusi roda pun jadi masalah kepada orang tua ini, kalau tak nak pakai simpan sajalah, atau pun jual saja kepada orang lain.

Sebaliknya di kampung mertua saya di Johor Bahru pula, seorang yang hilang upaya untuk bekerja telah lebih setahun memohon bantuan JKM tetapi hingga sekarang masih tidak menerima apa-apa bantuan lagi.

Itulah beza antara Kuala Pilah dan Johor Bahru, satu di kawasan yang keadaan UMNO begitu genting dan satu lagi di kawasan yang 50 tahun lagi pun UMNO belum tentu kalah.

Semua keadaan penyelewengan yang telah menyusahkan kehidupan rakyat ini hanya akan dapat diatasi jika semua rakyat ada kesedaran untuk memilih INTEGRITI.

Friday, April 16, 2010

Politik yang bermuka-muka


Didepan orang Melayu mereka bercakap berapi-api mengutuk Israel dan memperjuangkan hak Palestin. Tetapi dalam masa yang sama mereka mengalu-ngalukan syarikat gergasi yang banyak menyumbang kepada Israel untuk melabur di Negara ini.

Semasa kemuncak kempen memboikot barangan yang membiayai kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin, nama Coca Cola adalah termasuk dalam senarai syarikat utama yang diboikot.

Sebagai Negara yang begitu simpati dengan penginayaan yang dilakukan keatas rakyat Palestin sewajarnya kita menjauhkan diri dari membantu syarikat-syarikat gergasi ini dari terus menjana kekayaan yang jelas telah membiayai Israel. Tetapi perkara sebaliknya pula yang berlaku.

Seperti yang diberitakan dalam Utusan Malaysia bertarikh 14 April 2010, “Perdana Menteri berkata, antara usaha yang sedang dilakukan oleh Malaysia ialah menarik lebih banyak pelaburan dari AS dan baru-baru ini Coca Cola sebagai contoh, telah bersetuju melabur RM1 bilion”.

Yang lebih menyedihkan, Syarikat Coca-cola akan mendirikan kilangnya di atas tanah yang dibeli daripada TH (Tabung Haji) Properties di Nilai, Negeri Sembilan dan upacara pecahtanahnya telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Hj Abdul Razak pada 15 Mac 2010.

Tabung Haji yang sepatutnya dekat dengan hati nurani umat Islam sanggup mengkhianati rakyat Palestin hanya semata-mata untuk sedikit keuntungan dunia.

Kita masih boleh terima kalau Negara kita membeli barang-barang berteknologi tinggi dari syarikat-syarikat penyokong Israel ini, disebabkan kita masih tidak ada kemampuan dan keupayaan untuk membuat dan mengeluarkannya.

Tetapi apakah rasionalnya kalau syarikat-syarikat luar membawa balik keuntungan berjuta-juta dollar ke Negara mereka hanya hasil dari menyediakan minuman dan menggorengkan ayam untuk rakyat Negara ini?

Apakah pembelaan terhadap nasib malang rakyat Palestin ini hanya sebagai retorik dan dijadikan modal untuk mendapat sokongan politik semata? Agar dapat dilihat oleh pengundi Melayu, merekalah juara dalam memperjuangkan Islam.

Sunday, April 11, 2010

He! he! kaki ampu sudah terkena




Saya rasa gelihati bila baca berita dibawah dalam Mingguan Malaysia hari ini (11 April 2010):

‘Kerabat raja’ ditahan


KUANTAN 10 April – Seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
ditahan kerana menyamar sebagai kerabat diraja Pahang supaya dapat mengadakan
lawatan ke semua kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri ini.
Bagaimanapun, penyamarannya dengan menggunakan gelaran Tuan Muda terbongkar
apabila salah seorang pelatih PLKN di Kem Cahaya Gemilang, Cherating di sini
mengetahui identiti sebenarnya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan,
Supritendan Zulkifli Taha berkata, pelajar berusia 18 tahun itu menyamar sebagai
anak angkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dengan
memakai gelaran Tuan Muda.

Kerana sifat mengampu yang berlebih-lebih pada pegawai-pegawai kerajaan ini menyebabkan mereka begitu seronok bila ada ‘orang besar’ hendak datang melawat tempat mereka. Ini baru anak angkat raja, belum lagi yang datang itu anak raja. Kalau anak raja tentu lebih hebat sambutannya, mungkin ada karpet merah sekali.

Seronok juga kita melihat sekali-sekala orang yang kuat ampu ini terkena.
Budaya ampu ini sudah semacam menjadi amalan dan budaya sesetengah orang kita. Dikatakan, untuk ‘naik keatas’ tidak perlu sangat kepada ‘kemampuan’ seseorang tetapi yang lebih penting ialah ‘pengampuan’ seseorang.

Telah menjadi sindiran, doa yang perlu kita baca setiap hari untuk berjaya meraih pangkat dan tender ialah berbunyi “Wa anfu sana, Wa anfu sini”.

Di Malaysia, apa yang kita tahu tidaklah begitu penting, tetapi yang lebih penting ialah siapa yang tahu kita.

Walaupun ‘pelajar cermerlang’ telah ditangkap kerana kesalahan menyamar sebagai ‘Tuan Muda’, tetapi banyak pengajaran yang kita boleh dapat dari peristiwa itu.

Dengan keadaan pegawai-pegawai kita yang kuat mengampu, bolehkah ‘pelajar cemerlang’ ini dapat kebenaran untuk melawat kem PLKN ini dengan mudah tanpa ada gelaran ‘Tuan Muda’ atau anak angkat raja?

Moga pihak hakim yang mengadili kes ‘pelajar cemerlang’ ini akan dapat mempertimbangkan keadaan ini dan meringankan hukuman beliau atau memaafkannya dengan amaran, tanpa dikenakan apa-apa hukuman. Sebaliknya biarlah peristiwa yang mengaibkan ini menjadi hukuman kepada pegawai-pegawai yang kuat mengampu ini.

Sebagai tambahan, saya diberitahu, pernah berlaku di mana seorang professor di sebuah universiti sanggup bangun pagi dan menggunakan kereta dan pemandu universiti untuk pergi ke lapangan terbang KLIA semata-mata hendak bersalam dengan Naib Canselor universiti tersebut yang hendak berangkat untuk lawatan ke luar negara.

Hai! Prof., kuat ampu nampak.

Wednesday, April 07, 2010

UTM cipta jarum suntik yang tidak menyakitkan

UTM cipta jarum suntik yang tidak menyakitkan

07/02/2012 12:03pm

JOHOR BAHRU 7 Februari – Selamat tinggal jarum suntik yang menyakit dan menakutkan. Berita gembira kepada mereka yang takut kepada jarum suntik. Dengan ciptaan teknologi terbaru hasil penyelidikan di Pusat Kecermerlangan Teknologi Nano (NTEC) UTM di bawah pimpinan Dato’ Prof. Ir. Dr. Jalal bin Abdul Wahub, tidak berapa lama lagi dunia akan menggunakan jarum suntik yang tidak memberikan rasa sakit.

Dengan menggunakan jarum suntik teknologi baru ini, pesakit hanya merasakan seperti digigit lintah atau nyamuk sahaja. Sememangnya teknologi jarum suntik baru ini adalah diadaptasi dari teknik penghisapan darah oleh haiwan lintah dan nyamuk. Setelah beberapa tahun membuat kajian terhadap haiwan lintah dan nyamuk yang menggigit dan menghisap darah tanpa menyakitkan pemangsanya, para penyelidik di pusat ini telah dapat membangun dan menghasilkan jarum suntik yang hampir serupa seperti yang digunakan oleh lintah dan nyamuk.

Mereka mendapati haiwan lintah dan nyamuk ini dijadikan dengan muncung yang halus dan boleh lentur. Semasa menggigit, haiwan-haiwan ini juga mengeluarkan enzim yang boleh mencairkan darah dan mengurangkan rasa sakit kepada pemangsa.

Menggunakan teknologi nano, jarum suntik yang halus dan boleh lentur ini telah dapat dibangunkan oleh penyelidik-penyelidik di pusat ini, dan tentunya ciptaan ini bakal merubah teknologi suntikan dalam dunia perubatan.

Bila diajukan soalan bagaimana mulanya beliau mendapat idea untuk mencetuskan jarum suntik yang dinamakan Lintek ini, Prof. Jalal berkata, “Eseh maso kocik-kocik dulu solalu nolong orang tuo ko sawah, memang solalu kono gigit lintah dan nyamuk ni, tak semonggah boto….. tak sodar bilo lintah ni menggigit kito.. bilo sodar, porut eh dah buncit kekonyangan..… tu lah, tak semonggah boto.”

“Lintah ni ado duo jonih, satu yang duduk dalam sawah, tu yang kito selalu sobut sebagai lintah, dio hidup dalam air. Satu jonih lagi yang dudok dalam kobun gotah, yang biaso kito panggil pacat, pacat ni tak mormolukan air, asal tompek tu lombab dan sojuk, boleh lah dio hidup….. tak semonggah boto”, ujar beliau dengan panjang lebar.



Semua hasil cipta jarum suntik Lintek ini telah dipaten dan sebuah syarikat tempatan telah menunjukkan minat untuk bekerjasama bagi mengeluarkan produk tersebut yang dijangka mendapat permintaan yang menggalakkan dari seluruh dunia. Hasil eksport produk ini ke luar negara dijangka mampu menjana pendapatan Negara hingga mencecah satu billion ringgit dalam tahun pertama pengeluarannya.

Seterusnya, bila ditanyakan penyelidikan masa depan beliau selepas penghasilan ciptaan jarum suntik Lintek ini, Prof. Jalal menjelaskan, “Buek maso ni kito hanya koluarkan jarum suntikan untuk kogunaan suntikan vaksin, pongambilan sampel darah posakit koncing manih dan jarum suntikan insulin… pado maso akan datang mungkin kito akan hasilkan jarum suntikan yang boleh digunokan untuk jarum suntikan bagi pondormaan darah… kek sini kito masih monghadapi sikit masalah… sobab jarum Lintek ni tak boleh tombus urek tunjang….

tak semonggah boto”.

“Mako pulak, orang ramai takut nak dormo darah sobab takut dan ngilu bilo tengok jarum…. tak semonggah boto”.

Difahamkan hari pelancaran dan pengumuman jumlah peruntukan untuk mengeluarkan produk jarum Lintek ini akan disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 29 Februari 2012 akan datang ini. -Bertakadanama


Artikel ini hanyalah rekaan semata bagi menggalakkan pemikiran kritikal dan kreatif kepada pembaca, tiada kena mengena dengan yang masih hidup mahupun yang telah meninggal.



Tuesday, March 30, 2010

Dakwaan palsu oleh pengeluar alat penjimat tenaga elektrik

Mungkin anda pernah didatangi oleh jurujual alat penjimat tenaga elektrik (electric energy saver device) yang cuba mempengaruhi anda dengan dakwaan alat yang mereka jual boleh membantu menjimatkan bil elektrik sehingga 30 peratus.

Sebenarnya dakwaan mereka itu tidak pernah pun disahkan oleh mana-mana badan yang berautoriti, kalau ada pun mungkin pengesahan oleh Sirim yang hanya memperakukan alat itu selamat untuk digunakan.

Tenaga elektrik disalurkan kepada perkakasan elekrik di dalam rumah kita seperti lampu, kipas, peti sejuk, mesin basuh, periuk elektrik dan sebagainya, adalah melalui dawai-dawai elektrik.

Dawai-dawai elekrik ini dibuat dari bahan tembaga yang disalut dengan penebat. Setiap talian dawai ini mempunyai sedikit rintangan yang akan menyebabkan sedikit kehilangan tenaga elektrik apabila arus elektrik mengalir melaluinya.

Nilai rintangan dawai elektrik ini bergantung kepada saiz luas keratan rentas dawai dan panjang dawai tersebut. Untuk rumah-rumah, biasanya menggunakan dawai bersaiz luas keratan rentas 1.5 mm persegi untuk lampu dan 2.5 mm persegi untuk soket (plug).

Lagi panjang dawai yang kita gunakan, lagi tinggilah nilai rintangannya, dan lagi banyaklah tenaga elektrik yang akan hilang pada dawai tersebut.

Kehilangan kuasa elektrik pada dawai ini memang tidak boleh dihilangkan kerana tidak mungkin kita dapat menghilangkan rintangan elektrik yang wujud secara semulajadi pada setiap bahan pengalir elektrik. Kita hanya boleh mengurangkan kehilangan tenaga atau kuasa elektrik pada dawai ini dengan cara menggunakan saiz dawai yang lebih kasar (besar) atau menggunakan jarak dawai sependek yang mungkin.

Tetapi kedua-dua faktor ini mempunyai kekangan yang tersendiri. Sebagai contoh, tidak mungkin semua perkakas elektrik di rumah kita mesti terletak berhampiran dengan meter kw-j bagi mendapatkan jarak penyambungan dawai yang pendek.

Selain dari itu, satu lagi cara yang boleh digunakan untuk mengurangkan kuasa yang hilang pada dawai elektrik ialah dengan meningkatkan nilai ‘faktor kuasa’ perkakasan elektrik di rumah kita. Selalunya inilah ‘hujah’ yang biasa digunakan oleh jurujual-jurujual alat penjimat tenaga elektrik ini untuk melariskan jualannya.

Apakah faktor kuasa? Apakah kesannya kepada bil elektrik di rumah kita?

Setengah-setengah perkakas elektrik di rumah kita menggunakan elektromagnet untuk berfungsi, seperti motor pada kipas angin, ballast pada lampu fluorescence (selalu kita sebut lampu panjang atau kalimantang), motor pada mesin basuh dan motor pada peti sejuk.

Elektromagnet pada perkakasan elektrik tersebut akan menyebabkan lebihan arus elektrik diperlukan bagi digunakan untuk menghasilkan magnet. Oleh itu arus yang mengalir dalam dawai menjadi lebih tinggi berbanding dengan kuasa sebenar yang digunakan oleh perkakasan tersebut.

Sebagai contoh, kalau faktor kuasa lampu panjang bernilai serendah 0.5, ini bermakna arus elektrik yang mengalir dalam dawai adalah dua kali ganda dari yang diperlukan oleh lampu itu.

Dengan menggunakan alat-alat tertentu, faktor kuasa ini boleh dibaiki atau ditingkatkan menjadi 0.9, malah hingga ke nilai satu pun boleh. Apabila faktor kuasa lampu tadi mencapai nilai satu, ini bermakna arus yang mengalir dalam dawai sekadar cukup membekalkan kuasa yang digunakan oleh lampu itu sahaja tanpa ada lebihan arus. Secara teorinya perkara ini adalah betul dan boleh dilakukan.

Tetapi kita kena ingat, bukan semua perkakas elektrik di rumah kita mempunyai faktor kuasa rendah atau mempunyai elektromagnet untuk beroperasi. Sebagai contoh, periuk elektrik, cerek elektrik, seterika dan oven elektrik, adalah perkakasan elektrik yang berkuasa tinggi dan mempunyai faktor kuasa bernilai satu. Oleh itu untuk perkakasan elektrik seperti itu, tidak ada cara kita dapat lakukan mengurangkan arus elektrik yang mengalir melalui dawainya dengan cara mengubahsuai faktor kuasanya.

Yang boleh kita gunakan secara berkesan untuk mengurangkan arus elektrik yang mengalir dalam dawai menggunakan kaedah peningkatan faktor kuasa ini, hanyalah kepada lampu-lampu panjang, kipas, mesin basuh, penyaman udara dan peti sejuk.

Katakan kita ambil satu keadaan yang paling ekstrim (the worst case); untuk satu talian dawai yang menghubungkan 10 buah lampu panjang yang berkuasa 40 watt setiap satu, yang jaraknya antara satu sama lain adalah 10 meter dan fator kuasanya 0.5, didapati kehilangan kuasa elektrik pada dawai itu adalah tidak sampai 3 peratus.

Lampu adalah perkakasan elektrik yang mempunyai faktor kuasa yang bernilai rendah, selain dari kipas angin, lampu juga adalah antara perkakasan elektrik yang lama penggunaannya dalam sehari. Oleh itu sangat sesuai kalau kita ambil lampu sebagai contoh kajian kita di sini.

Kalau kita menggunakan alat penjimat tenaga elektrik yang boleh membaiki faktor kuasa lampu kepada satu, kita dapat mengurangkan arus yang mengalir dalam dawai kepada hampir separuh dan dapat mengurangkan kuasa yang hilang pada dawai sebanyak 75%.

Memang bunyinya besar, 75%. Hakikatnya 75% daripada kuasa yang hilang pada dawai. Sedangkan kuasa yang hilang pada dawai tidak pun sampai 3% dari seluruh jumlah kuasa yang digunakan oleh perkakasan elektrik dirumah kita.

Ini bermakna dengan menggunakan alat penjimat tenaga elektrik, paling bagus pun ia hanya boleh mengurangkan kehilangan kuasa pada dawai elektrik sebanyak 2.25% (75% dari 3%) daripada jumlah penggunaan kuasa elektrik di rumah kita.

Katakan kita menggunakan 300 unit tenaga elektrik setiap bulan yang harga bil elektriknya sebanyak RM90.00 sebulan (andaikan harga 30 sen untuk satu unit tenaga). Maka jumlah tenaga yang dapat dijimatkan oleh alat penjimat tenaga elektrik yang paling bagus ialah 8.25 unit (2.75% dari 300 unit). Oleh itu jumlah bil yang dapat dijimatkan pula sekitar RM2.50 sebulan.

Semua kiraan di atas adalah berdasarkan kes yang terburuk (the worst case), untuk keadaan yang sebenar, harga bil yang dapat dijimatkan mungkin lebih kecil lagi. Sedangkan jurujual yang menjual alat penjimat tenaga ini mendakwa alat tersebut boleh menjimatkan bil elektrik anda hingga 30%, bermakna bil RM90 sebulan akan turun menjadi RM63 sebulan. Dakwaan jurujual ini adalah mustahil boleh berlaku.

Palsu

Malah ada setengah pengguna mendakwa bil elektrik mereka bukan saja tidak berkurang tetapi sebaliknya meningkat bila menggunakan alat penjimat tenaga ini. Adalah tidak mustahil alat penjimat tenaga ini boleh bertindak sebaliknya.

Umpama seperti hendak menutralkan cairan yang bersifat alkali, kita perlu menambah sejumlah asid kepada cairan tadi. Tetapi kalau kita tambahkan asid kepada cairan yang sudah pun nutral sifatnya, ini akan menjadikan cairan nutral tadi bersifat asid.

Begitulah juga kalau kita memasang alat penjimat tenaga ini kepada perkakasan elektrik yang asalnya mempunyai faktor kuasa satu seperti periuk, cerek dan seterika, ia akan menyebabkan faktor kuasa perkakas tersebut menjadi kurang dari satu, dan sudah tentu arus elektrik yang mengalir dalam dawai bertambah dari yang sepatutnya.

Oleh itu tidak hairanlah kalau alat penjimat tenaga ini boleh juga menyebabkan bertambahnya kehilangan kuasa pada dawai jika ia dipasang pada perkakasan elektrik yang mempunyai faktor kuasa satu.

Tetapi kalau ada juga pengguna yang mendakwa penggunaan tenaga elektrik di rumah mereka kurang 20% sejak menggunakan alat penjimat tenaga elektrik, bagaimana ini boleh terjadi?
Seperti yang telah saya terangkan tadi, secara teorinya tidak mungkin alat penjimat tenaga elektrik ini dapat menjimatkan tenaga lebih dari 3%.

Tetapi kalau ada yang membuktikan ia boleh jimat sampai 20%, kemungkinan alat penjimat tenaga tersebut melakukannya dengan cara menyusutkan voltan yang dihubungkan ke perkakasan elektrik di rumah kita.

Sebagai contoh, kalau kita menggunakan lampu suluh (torch light) yang mendapat bekalan 4 buah bateri, setiap bateri berkadar 1.5 volt, jadi jumlah voltah keseluruhannya ialah 6 volt. Kalau kita gunakan 3 buah bateri sahaja, jumlah voltannya kurang menjadi 4.5 volt. Walaupun jumlah voltan berkurang tetapi lampu suluh itu masih menyala, yang berbeza hanya kecerahan cahaya sahaja. Dengan voltan 4.5 volt, cahaya lampu menjadi kurang cerah berbanding voltan 6 volt.

Begitulah juga kalau alat penjimat tenaga elektrik yang dijual ini telah berfungsi sebagai penyusut voltan, ia akan menyebabkan kuasa operasi lampu, kipas, mesin basuh, seterika dan perkakasan elektrik di rumah kita tidak berada pada tahap kuasa penuh.

Kalau sebuah lampu berkuasa 32 watt, kalau dikurangkan kepada 26 watt sekalipun dengan menyusutkan sedikit voltan yang dihubungkan kepadanya, masih sukar untuk mata kita mengesan pengurangan kuasa ini.

Ini bukanlah cara penjimatan kuasa yang sebenar yang kita mahukan, sebaliknya ia lebih tepat dinamakan alat pengurang kuasa.

Apabila hari-hari kita makan dua pinggan nasi, kemudian kita kurangkan kepada satu pinggan nasi sahaja, sudah tentu perbelanjaan kita akan berkurang, tetapi apakah satu pinggan itu dapat memenuhi keperluan kita sebenar. Ini bukan penjimatan tetapi pengurangan.

Thursday, March 25, 2010

Alangkah bagusnya kalau semua ahli bebas


“Kefala ana fenin la… fenin la… mana satu yang butut la…. yang butut la. Afa sudah jadi dengan folitik la… negara kita funya folotik la”.

Ya, kalau P. Ramlee masih hidup, beliau pun pening kepala dengan politik Negara kita sekarang. Seperti sudah tidak ada kredibiliti dan integriti. Matlamat menghalalkan cara.

Beberapa pendedahan yang dibuat oleh beberapa Ahli Yang Berhormat yang keluar dan dipecat dari parti PKR akhir-akhir ini sungguh mengejutkan kita semua.

Apakah setelah menjadi ahli bebas, baru mereka mahu mendedahkan salah laku yang berlaku dalam kelompok mereka?

Kalau kita mahu menegakkan dan memperjuangkan kebenaran, tidak patut kita menyembunyikan apa saja perkara yang tidak beretika yang berlaku dalam parti dan kelompok kita.

Kadang-kadang bila kita menjadi ahli parti, kita takut hendak mendedahkan perkara-perkara yang boleh membawa imej buruk kepada parti kita sebaliknya kita tidak segan silu untuk memburukkan atau mengada-ngadakan cerita buruk parti lawan.

Semua yang kita lakukan untuk faedah politik parti kita, demi untuk menang dan berkuasa, hingga tidak lagi mempersoalkan integriti dan kredibiliti diri kita.

Sudah banyak kerosakan telah berlaku, gara-gara tuduhan liar yang kita lakukan hanya semata-mata mahu mengikutkan nafsu untuk berkuasa.

Kalau dalam PKR berlaku perkara sedemikian, maka kita tidak hairan kalau dalam parti UMNO, MCA, DAP, MIC, PAS dan lain-lain kelompok juga berlaku perkara-perkara salah laku, tetapi tidak ada ahli yang berani mendedahkannya kerana ingin menjaga imej kelompok mereka.

Alangkah bagusnya kalau kita semua menjadi ahli bebas, dengan itu saja kita akan berani mendedahkan apa saja perkara salah laku tanpa ada apa-apa kepentingan untuk menjaga nama mana-mana kelompok.

Sunday, March 21, 2010

Mudah mencari 7P, 7M dan 7K dalam Bahasa Melayu

Mungkin ramai antara kita yang masih ingat kepada satu dasar yang dipanggil 3M yang diperkenalkan di peringkat sekolah rendah pada satu masa dulu. 3M tersebut bermaksud Menulis, Membaca dan Mengira.

Di universiti awam negara kita pula ada polisi yang digelar 7P, yang menggalakkan tenaga pengajarnya terlibat secara aktif dalam 7 bidang iaitu Pengajaran, Penyelidikan, Penulisan, Penyeliaan, Pentadbiran, Perundingan dan Perkhidmatan Masyarakat.

Dalam Bahasa Melayu kita tidak ada masalah untuk menamakan polisi atau dasar yang kita buat menggunakan huruf awalan yang serupa, sekalipun untuk mengumpulkannya hingga menjadi 10P atau 10M atau 10K, kalau kita mahu. Ini kerana imbuhan atau penambahan dalam Bahasa Melayu terletak di bahagian depan kata dasar (akar) di samping di bahagian akhirnya.

Imbuhan seperti ‘Per’, ‘Ke’ dan ‘Me’ adalah penambahan yang memang terletak di depan kata akar. Oleh itu apa yang dikatakan sebagai 3M atau 7P itu bukanlah melambangkan kata akar tetapi hanyalah merupakan huruf-huruf imbuhan sahaja. Kalau kita renungkan semula, sebutan kepada 3M dan 7P itu sebenarnya tidak mempunyai apa-apa keunikan. Kerana kata dasar untuk 3M itu adalah Tulis, Baca dan Kira, sepatutnya disebut TBK.

Polisi yang pernah diperkenalkan oleh kerajaan suatu masa dulu yang disebut sebagai BCA, begitu unik kerana huruf-huruf singkatan ini semuanya menggunakan kata akar dari perkataan Bersih, Cekap dan Amanah.

Oleh itu tidak hairan kalau kita melihat kepada nama-nama singkatan (kependekkan), samada ada nama polisi, nama pertubuhan, nama jabatan dan kementerian, mesti ada huruf P, atau B, atau K, atau M. Oleh kerana huruf-huruf ini seperti wajib ada dalam nama-nama singkatan, menyebabkan nama-nama ini seperti hilang keunikannya.

Singkatan ‘KK’ terkenal untuk Kementerian Kesihatan, walhal ia hanya merupakan huruf-huruf dari imbuhan ‘Ke’. LPKP merupakan panggilan singkatan untuk Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan, mengandungi imbuhan ‘Per’.

Sebaliknya dalam struktur Bahasa Inggeris pula, imbuhan banyak terletak di bahagian akhir kata dasar seperti imbuhan ‘ion’, ‘ed’, ‘ment’ dan ‘ing’. Sebagai contoh, ‘Developed’, ‘Development’ dan ‘Developing’, yang datang dari kata akar ‘Develop’.

Dapat kita perhatikan, imbuhan kepada kata akar Bahasa Inggeris tidak menjejaskan huruf awalan kata dasar itu sendiri. Apa sahaja imbuhan yang kita tambah kepada kata akar ‘Develop’, huruf awalnya terus kekal sebagai huruf ‘D’ yang melambangkan kata akar itu sendiri. Untuk mengetahui apakah imbuhan yang digunakan dalam nama yang menggunakan huruf-huruf singkatan ini, kita kenalah melihat namanya dalam tulisan yang penuh.

Singkatan ‘UN’ adalah nama untuk pertubuhan United Nations. Di dalam Bahasa Melayu ia dinamakan sebagai ‘PBB’ atau penuhnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang terkandung huruf awal imbuhan ‘Per’ dan ‘Ber’. Oleh itu nama singkatan dalam Bahasa Inggeris adalah lebih unik berbanding dalam Bahasa Melayu.

Apakah kita perlu merombak dan menukar cara menulis nama yang menggunakan huruf-huruf singkatan ini?

Saya berpendapat memang baik kalau kita menggunakan huruf awalan kata dasar dalam menulis nama-nama singkatan bagi memberi keunikan dan lebih penghayatan kepada nama-nama tersebut.

Sebagai contoh nama singkatan untuk Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu wajar ditulis sebagai TBS yang mengambil awalan huruf kata akarnya iaitu Tubuh, Bangsa dan Satu.
Tidak patut kata imbuhan menjadi lebih penting dari kata akar, sehingga huruf awalan imbuhan menjadi sebahagian dari nama singkatan itu.

Tuesday, March 16, 2010

Warna hijau pada kanvas lori menyumbang kepada kemalangan


Kita pun tidak faham kenapa lori-lori di Negara kita menggunakan kanvas pembalut badannya yang berwarna hijau.

Kalau di siang hari warna hijau memang kelihatan cantik, tetapi bila waktu malam, warna hijau sukar untuk dilihat.

Kalau lori-lori ini dapat menukar kanvas pembalutnya kepada warna putih atau oren, tentu lebih mudah dapat dilihat oleh pengguna-pengguna jalanraya yang lain ketika di waktu malam kerana warna putih dan oren dapat memantulkan cahaya dengan baik.

Dengan menggunakan warna putih atau oren, pemandu kenderaan yang mengekori lori-lori ini dapat mengenalpasti kedudukan lori-lori tersebut dengan lebih cepat dan mempunyai masa yang cukup untuk otak mereka bertindakbalas.

Lori-lori yang berat ini selalunya bergerak perlahan, oleh itu pemandu kereta yang lebih laju mengekorinya di waktu malam tidak dapat mengagak kelajuan lori didepannya. Sehinggalah apabila telah dekat pemandu kereta ini baru sedar lori itu bergerak terlalu perlahan. Kadang-kadang bila sedar, keadaan sudah menjadi terlalu lambat untuk bertindak dan berakhir dengan kemalangan.

Mata kita lebih peka dengan warna cerah seperti putih, kuning, merah dan oren, sebaliknya tidak peka kepada warna gelap seperti hitam dan hijau yang tidak dapat memantulkan cahaya dengan baik.

Kalaulah lori-lori yang bergerak di waktu malam ini dapat menukar kanvas pembalut badannya kepada warna putih dan oren, tentu ia dapat banyak membantu mengurangkan kemalangan yang melibatkan pelanggaran dengan lori.



Wednesday, March 10, 2010

Kenapa saya memilih ke Program SPACE (UTM)


BAGI membantu UTM mendapat pengiktirafan sebagai research university (RU), universiti kita harus mempunyai peratusan bilangan pensyarah yang mempunyai kelulusan PhD yang tinggi.

Oleh itu pihak pentadbiran universiti telah mengambil langkah wajar dengan cara ‘memindahkan’ pensyarah-pensyarah lamanya yang tidak memiliki kelayakan PhD ke Program SPACE supaya dengan ketiadaan mereka itu, angka peratusan tenaga pengajarnya yang ada PhD akan menjadi tinggi.

Pensyarah-pensyarah lama yang telah berumur melebihi umur 45 tahun ini telah dikenalpasti tidak berminat dan tidak aktif dalam penyelidikan, sebaliknya mereka lebih berminat kepada dunia pengajaran sahaja. Oleh itu amat sesuai jika mereka ini dipindahkan ke Program SPACE yang terasnya hanya menumpukan kepada pengajaran untuk program diploma dan sarjana muda.

Saya adalah salah seorang tenaga pengajar yang termasuk dalam kumpulan pensyarah lama ini. Saya mula bertugas di UTM pada tahun 1983 sebaik sahaja lulus dari program sarjana muda di UTM sendiri. Di waktu itu program utama UTM adalah program diploma, bilangan pelajar diploma jauh lebih ramai dari pelajar sarjana muda.

Di masa saya itu, hanya ada satu kelas (seksyen) untuk sarjana muda elektrik yang bilangan pelajarnya tidak sampai pun 60 orang. Jumlah tenaga pengajar di Fakulti Kejuruteraan Elektrik ketika itu pun tidak ramai, tidak sampai pun 30 orang. Tumpuan UTM ketika itu memang sepenuhnya kepada pengajaran, malah keperluan untuk mendapatkan pensyarah yang memiliki PhD hampir tidak ada di waktu itu.

Saya berminat untuk bertugas di UTM pun adalah atas dasar sebab minat untuk kerja mengajar. Ketika itu tidak ada dalam fikiran saya untuk terlibat dengan dunia penyelidikan. Ramai rakan-rakan saya menolak tawaran dari bertugas di UTM kerana mereka tidak berminat untuk mengajar dan terpikat dengan tawaran dan peluang kerjaya yang lebih hebat di luar universiti.

Pada sekitar tahun 80 an, universiti tempatan memang sukar untuk mendapatkan pelajar-pelajar kelas pertama untuk menjadi tenaga pengajarnya. Pelajar yang terbaik dan kelas pertama ini sering dilamar dan mendapat tawaran gaji yang tinggi di syarikat kerajaan dan sektor swasta, kalau ada pun yang bertugas di universiti, ini kerana minat dan kepuasan mereka untuk mengajar itu melebihi kehendak mereka kepada gaji yang tinggi.

Akhirnya universiti-universti tempatan hanya mampu mendapatkan kumpulan pelajar yang sederhana pandai dan kurang pandai sahaja untuk menjadi tenaga pengajar mereka.
Tidak boleh dinafikan keupayaan untuk membuat penyelidikan dan menemukan ilmu-ilmu baru memerlukan otak yang bergeliga dan pintar.

Bukan maksud saya hendak merendahkan sesiapa, setakat manalah kehebatan penyelidikan yang mampu dilakukan oleh orang yang tidak lulus SPM. Kebijaksanaan, kepintaran otak adalah anugerah Tuhan yang tidak boleh dipelajari, kita harus terima hakikat ini. Kelunakan suara penyanyi Siti Nurhaliza dan Mawi bukanlah suatu yang boleh dipelajari walupun kita semua boleh memasuki kelas vocal.

Untuk menjadikan universiti kita sebagai research university yang cemerlang, kita tidak ada pilihan, melainkan mesti mengambil pelajar-pelajar kelas pertama, yang luar biasa pintar dan bijaksananya bagi berkhidmat dan menyumbang tenaga di universiti ini.

Untuk menggarap ilmu baru, menemukan ilmu baru dan membuat penyelidikan dalam bidang-bidang baru, kita perlukan orang-orang yang luar biasa dari segi kemampuan otaknya sebagai pra syarat utama. Kemudian barulah infrastruktur dan kemudahan yang lain.

Kita boleh mengajarkan ilmu kepada siapa saja yang berminat untuk belajar, tetapi tidak ada guru yang boleh mengajarkan kebijaksanaan. Kebijaksaan itu adalah anugerah Tuhan kepada siapa yang dikehendakiNya.

Akhir Tahun 80 an kita telah menghadapi kemelesetan ekonomi, kerajaan mula mengurangkan bilangan pelajar yang dihantar keluar negara. Sebaliknya bilangan pengambilan pelajar di universiti tempatan ditambah dengan banyaknya. Bilangan universiti tempatan juga turut ditambah.

Sekarang ini lepasan pelajar peringkat ijazah begitu ramai sehingga tidaklah mudah untuk memilih kerja. Universiti-universiti tempatan pun sekarang telah boleh memilih pelajar-pelajar terbaik dan kelas pertama sahaja untuk menjadi tenaga pengajarnya.

Ini adalah merupakan suasana yang baik untuk universiti kita untuk menuju tahap universiti cemerlang, kelas dunia di masa-masa depan. Tenaga-tenaga pengajar yang luar biasa pintar ini bakal menjadi professor-professor tersohor di masa depan, setanding dengan professor di negara-negara maju.

Kita tidak mahu setiap kali ada bangunan runtuh, jalan runtuh atau tanah runtuh, setiap kali itu juga Samy Velu akan ditemu bual bagi mengetahui sebab-sebab musibah itu. Sebaliknya dimasa-masa depan kita mahu ada professor dari universiti yang akan ditemubual bagi menerangkan bagaimana secara saintifiknya bagaimana keruntuhan itu boleh berlaku. Ini hanya boleh berlaku kalau professor kita lebih bijak dan tersohor dari Samy Velu.

Peluang yang diberikan oleh UTM untuk berpindah ke Program SPACE ibarat orang mengantuk disorongkan bantal. Saya mengambil tawaran ini sebagai perkara yang positif. Hala tuju universiti kita telah jauh berubah berbanding 20 tahun lalu, kita bergerak ke arah research university, sedangkan saya tidak dapat lagi menyesuaikan diri dengan suasana baru ini.

Universiti telah menyediakan jalan keluar bagi pensyarah-pensyarah lama seperti saya ini. Saya rasakan ini adalah jalan keluar yang terbaik setakat ini.

Saya merasakan saya tidak mampu mempamirkan prestasi atau perform seperti yang dikehendaki oleh universiti dalam mencapai research university, oleh itu tidak ada salahnya kalau saya menyahut seruan universiti untuk saya berpindah ke Program SPACE.

Sekalipun dari segi undang-undangnya, UTM tidak ada hak untuk mengarahkan saya untuk berpindah ke Program SPACE, tetapi dari segi moralnya memang wajar untuk saya berpindah, kerana dengan perpindahan itu akan dapat membantu UTM untuk mencapai research university, tanpa menjejaskan tugas saya untuk terus mengajar.

Kalau kita sendiri sudah tidak dapat membantu memberi sumbangan dalam menjayakan UTM untuk mencapai research university, sekurang-kurangnya pengorbanan kita untuk berpindah ke SPACE itu juga akan dapat membantu walaupun sedikit.

Selama ini pun saya merasakan diri saya tidak dapat memberi sumbangan yang banyak kepada UTM kerana kemampuan dan kebolehan saya yang terbatas.

Atas sebab itu jugalah saya memilih untuk bersara pada umur 55 dan tidak melanjutkan kepada umur 58. Lebih cepat saya bersara adalah lebih baik kerana akan dapat diganti dengan tenaga baru yang lebih berkemampuan untuk membawa universiti kearah yang lebih gemilang.

Tuesday, March 09, 2010

Zulkifli Nordin, kehilangan besar kepada PKR


Seorang yang bersuara lantang dan berani. Berprinsip dan terkenal sebagai pejuang penegak keadilan. Orang seperti beliau inilah yang harus ada dan amat cucuk dalam parti yang bernama Parti Keadilan Rakyat.

Parti yang membawa nama ‘Keadilan’ sepatutnya mengalu-alukan orang seperti Zulkifli Nordin ini, tetapi amat mengeciwakan kerana parti ini juga yang memecat dan menendang beliau keluar.

Kita tidak terkilan jika ada ahli parti PKR yang hendak keluar dan melompat ke parti lain kerana merasakan mereka tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti. Tetapi memecat ahli parti boleh memberi gambaran parti itu tidak demokratik.

Kalau PKR dan PR benar-benar mahu memperjuangkan kemurnian demokrasi, tentunya pandangan yang berbeza seperti YB Zulkifli Nordin ini bukan merupakan masalah kepada parti itu, sebaliknya ia dilihat sebagai amalan yang sihat dalam demokrasi dan parti.

Itulah hak yang telah dijamin oleh sistem demokrasi, dimana setiap orang berhak dan bebas memberi pendapat selagi tidak menyalahi undang-undang dan perlembagaan Negara.

PKR dan PR tidak boleh terikut-ikut dengan cara UMNO dan BN. UMNO dan BN melihat pendapat yang berbeza sebagai ancaman kepada parti, mereka yang berbeza pendapat dengan pemimpin parti akan mengalami nasib disingkir dan dicantas.

Pada satu masa dulu sayap pemuda UMNO terkenal mempunyai pandangan yang sangat berbeza dengan pemimpin parti. Inilah yang menjadikan UMNO kuat dan dipandang tinggi ketika itu, mereka telah meraikan perbezaan pendapat. Tetapi kemudian keadaan itu tidak berlaku lagi dalam UMNO, selepas itu perbezaan pendapat berakhir dengan perpecahan, penyingkiran dan penubuhan parti baru.

PKR dan PR harus ada keunikan tersendiri, tidak harus mengikut UMNO dan BN dalam segala tindakan. Pendapat Zulkifli Nordin belum tentu betul, tetapi kita tidak boleh menghalang beliau dan orang lain dalam memberi pendapat mereka. Inilah perjuangan yang perlu ditegakkan oleh PR dan PKR, menjadikan rukun demokrasi benar-benar diamalkan di Malaysia.

Semasa DSAI diinaya oleh Firaun Besar pada masa dulu, Zulkifli Nordin dengan lantang dan berani bersama rakan-rakan yang lain menunjukkan sikap penentangannya kepada Firaun Besar semata-mata untuk menegakkan keadilan.

Oleh itu kita harus memberi peluang kepada orang seperti Zulkifli Nordin ini untuk terus berada dalam parti PKR, yang akan memperkukuhkan amalan ‘check and balance’ dalam parti itu sendiri.

Kita tidak boleh membiarkan parti PKR terus dikuasai oleh Firaun-firaun Kecil yang bernafsu tinggi untuk berkuasa dengan mengamalkan cara yang kotor, autokratik dan tidak demokratik.

Parti PKR tidak boleh membiarkan Firaun-firaun Kecil yang ada dalam parti PKR bagi menentukan samada pandangan dan tindakan saudara Zulkifli Nordin itu betul atau tidak, sebaliknya harus diserahkanlah kepada ahli-ahli parti dan orang ramai yang menentukan nasibnya, kerana di akhirnya orang ramai juga yang akan membuat pilihan.

Saya melihat pemecatan Zulkifli Nordin adalah satu kerugian besar kepada Parti Keadilan Rakyat.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com