Pada zaman dulu di mana rumah-rumah kita di kawasan kampung tidak mendapat bekalan tenaga elektrik, kita menggunakan cahaya pelita minyak tanah (minyak gas) untuk menerangkan rumah kita di waktu malam. Apabila sinar matahari semakin cerah di waktu pagi, kita akan memadamkan pelita kerana cahaya matahari jauh lebih terang dari cahaya pelita.
Di zaman itu tingkap atau tetingkap dan langsir dibuat untuk mengawal pencahayaan dan pengudaraan dalam rumah. Adalah suatu yang janggal kalau kita menyalakan pelita di dalam rumah pada siang hari.
Hari ini kita boleh mendapat bekalan tenaga elektrik dengan mudah dan murah. Kita tidak bimbang jika rekabentuk rumah dan pejabat mempunyai ruang-ruang dalam yang agak gelap dan tidak ditembusi cahaya matahari, kerana ia boleh diterangkan dengan cahaya lampu elektrik.
Tetapi apabila masyarakat dunia mula sedar pentingnya menjaga alam sekitar, kesan buruk dari pemanasan global dan sumber minyak bumi yang semakin berkurang, maka penggunaan lampu elektrik di waktu siang hari di dalam mana-mana bangunan boleh dianggap sebagai perbuatan membazir dan tidak mesra alam.
Oleh kerana cahaya matahari adalah sumber cahaya yang percuma, maka amat rugilah kalau kita tidak menggunakannya, sebaliknya kita mengambil jalan mudah, menggunakan cahaya lampu elektrik di dalam bangunan di waktu siang hari.
Sudah sampai masanya masyarakat dunia perlu memikirkan bagaimana kita dapat memberi pencahayaan dalam bangunan tanpa menggunakan lampu elektrik di waktu siang hari.
Sebagai contoh, Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, Singapore (gambar di atas) telah menggunakan bumbung yang membenarkan cahaya semulajadi bagi menerangi ruang dalam bangunannya.
Begitu juga dengan ruang-ruang tandas di tempat rawat dan rehat lebuhraya PLUS, banyak ruang tandas mereka telah menggunakan cahaya semulajadi.
Sebenarnya dengan sedikit bantuan dari teknologi, kereativiti dan inovasi, kita boleh menafaatkan cahaya semulajadi (matahari) bagi menerangkan semua ruang dalam bangunan. Akhirnya kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada cahaya lampu elektrik di masa depan.
Sekarang sudah ada teknologi kanta cermin mata yang berubah mengikut kecerahan cahaya (transition lens). Mungkin konsep ini boleh diserapkan pada bumbung dan tingkap yang dibuat dari kaca, di mana jika cahaya luar terlalu terang, tingkap kaca akan bertukar menjadi gelap bagi menghalang terlalu banyak cahaya masuk ke dalam bangunan.
Mungkin beberapa alat kawalan juga boleh dicipta bagi mengawal kadar kecerahan cahaya semulajadi yang masuk melalui tingkap dan bumbung, sesuai dengan keperluan penghuni dan pengguna sesuatu bangunan.
Kita juga ada teknologi kabel gentian optic (fiber optic) yang boleh digunakan untuk menyalurkan cahaya walaupun dalam keadaan yang tidak lurus. Ini juga boleh digunakan menyalurkan cahaya ke bilik-bilik dalam bangunan yang terletak jauh dari sumber cahaya semulajadi.
Pilihan lain yang boleh digunakan untuk menyalurkan cahaya kepada ruang-ruang dalam bangunan yang sukar mendapat cahaya semulajadi ialah menggunakan lampu dari sumber foto voltan (photo voltage) yang boleh disambung menggunakan dawai elektrik. Sumber foto voltan adalah sumber elektrik yang dijana dari tenaga cahaya matahari.
Sebenarnya banyak lagi teknologi dan inovasi yang boleh kita teroka bagi merealisasikan impian ‘lampu elektrik tidak sepatutnya dinyalakan di waktu siang hari’.
2 comments:
assalamualaikum encik..saya bekas pelajar encik dalam subjek circuit theory dan sedang menjalani latihan industri di MAS Subang. saya ditugaskan untuk membuat projek mencipta alat keselamatan kereta dengan memasang alat renjatan elektrik di seluruh badan kereta.
maksudnya apabila dilaraskan ke level tertentu alat tersebut aktif dan apabila penjenayah mahu mencuri kereta tersebut dengan memegang sebagai contoh pintu kereta dia akan merasa renjatan elektrik.renjatan tersebut tidak membunuh sebaliknya hanya membuat penjenayah terkejut dan cemas sahaja.
soalan saya bolehkah alat ini dipasang di kereta kerana kemungkinan apabila hujan mungkin keadaan yang tidak diingini akan berlaku.
saya berharap agar encik dapat memberi sedikit idea dan nasihat mengenai projek ini kerana ini adalah cadangan salah seorang officemate saya kerana barang berharga yang diletakkan didalam kereta dia hilang sekelip mata.
terima kasih encik
Anda boleh hubungi saya di Facebook saya untuk perbincangan lebih lanjut.
Post a Comment