Janji DS Anwar hendak memperuntukan jawatan Timbalan Perdana II kepada parti DAP jika Pakatan Rakyat berkuasa, merupakan penawaran yang sangat menguntungkan untuk didagangkan dalam pasaran politik dan sekaligus boleh menjerat percaturan politik PM Najib.
Cuba mengalihkan dari jerat politik Anwar, PM Najib mengelak dari mengulas isu jawatan TPM itu, sebaliknya menuduh Anwar sebagai pembohong dan tidak akan memenuhi janji yang beliau buat itu dengan merujuk kepada peristiwa ‘lompatan kuasa’ 16 September oleh Anwar yang tidak menjadi.
Hanya tinggal 9 tahun sahaja lagi kita akan menuju tahun 2020. Salah satu dari isu yang mesti ditangani dalam mencapai cabaran Wawasan 2020 ialah:
“Pembentukan Satu Negara Bangsa Malaysia. Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu negara bangsa adalah menjadi pra-syarat kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk kerjasama untuk maju tidak akan terjalin.”
Tidaklah salah kalau Anwar menawarkan jawatan TPM II kepada DAP yang tentunya seorang yang bukan Melayu, kerana kita hanya memerlukan dua kali pilihan raya umum sahaja lagi untuk sampai ke tahun 2020. Selari dengan semangat Wawasan 2020, memang sudah sampai masanya bermula dari sekarang, kalau tidak pun membenarkan orang bukan Melayu menjadi PM, menjadi TPM pun sudah memadai.
Sepatutnya PM Najib yang memperkenalkan gagasan 1Malaysia lebih kedepan untuk memberikan jawatan TPM kepada parti komponen BN yang bukan Melayu, tetapi nampaknya beliau tidak menunjukkan minat dalam isu ini.
Penawaran oleh Anwar ini bukanlah satu janji kosong, memang realiti politik masyarakat Malaysia akan menuju kearah itu, hanya UMNO sahaja yang masih tidak mahu berubah dengan kehendak masyarakat. Tidakkah beliau sedar, atas sebab mengambil perkiraan itu jugalah Wawasan 2020 itu telah dibentuk.
Sudah tentu penawaran Anwar itu mampu menarik sokongan masyarakat bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat (PR) pada pilihanraya umum akan datang ini. Dikatakan jika PR terus dapat mengekalkan sokongan dari 70% masyarakat Cina seperti ditunjukkan dalam PRK di Hulu Selangor dan Sibu, ada kemungkinan BN akan menghadapi masalah besar untuk mengekalkan kuasa pada pilihanraya umum ke 13 nanti.
Isu TPM ini betul-betul telah menjerat kepimpinan PM Najib. Kepimpinan DS Najib tidak mencerminkan 1Malaysia yang dicanangnya. Beliau bukan sahaja tidak pernah terfikir untuk melantik TPM di kalangan parti komponen BN yang lain, malah meneruskan tradisi pemimpin UMNO sebelum ini, tidak membenarkan kementerian yang penting seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran diketuai dikalangan parti komponen MCA dan MIC.
Menteri Kewangan yang terakhir dari MCA ialah Tun Tan Siew Sin semasa Tunku Abdul Rahman menjadi PM.
1 comment:
jangan jadi seperti pak kadok udah ... menang nama maruah dan negara tergadai ... fikir-fikirkanlah wahai orang melayu ... kemanakah akan kau bawa bangsa ini ... jangan hanya mengikut membuta tuli ... pak turut ... d_iman
Post a Comment