Sejak jabatan aku mendapat sijil ISO beberapa tahun dulu, bertimbun-timbun fail telah terkumpul bagi menyimpan segala macam dokumen bagi memenuhi kehendak dan syarat ISO.
Itulah ISO, semua amalan kerja tercatat dan direkod cantik di atas kertas, tetapi belum tentu semua kerja sudah dibuat cantik dan beres.
Yang kaki culas tetap akan culas juga. Jangan haraplah engkau boleh jumpa dalam failnya ada tercatat 'pergi keluar hantar dan ambil anak sekolah' dan 'pergi minum pagi dan minum petang di luar kawasan tempat kerja berjam-jam lamanya'.
Sambung semula kisah tadi. Kerana tidak sanggup lagi duduk bersama fail-fail dan kertas yang semakin sesak ini, aku terfikir hendak membuang saja semua kertas-kertas lama ini.
Tengah memilih kertas-kertas lama yang hendak dibuang, aku terpandang kepada satu nama yang tercatat pada kertas soalan ujian subjek Teknologi Elektrik kod DEL1022 bertarikh 23 Februari 1984. Nama itu sama dengan nama Menteri Shaziman Abu Mansor.
Nama ini bukanlah satu nama yang biasa masyarakat Melayu, aku rasa tidak ada orang lain lagi yang bernama seperti itu.
Oleh itu aku amat pasti Menteri ini pernah mengikuti kelas yang aku ajar pada masa tersebut. Kelas itu adalah kelas tahun dua diploma Kejuruteraan Awam (2DKA) dan aku mengajar subjek elektrik kepada mereka.
Tetapi aku tidak boleh mengingat mereka yang berada dalam kelas yang aku ajar ketika itu. Ini memang kelemahan diri aku, sukar hendak mengingat wajah-wajah pelajar yang pernah mengikuti kelas aku, apatah lagi hendak mengingati nama-nama mereka. Kalau ada pun yang aku ingat mungkin tak ramai.
Aku juga tak ingat kenapa aku tulis nama beliau dan beberapa nama pelajar lain beserta markah-markah ujian (U), kuiz (K) dan Tugasan (T) pada kertas itu di waktu tersebut.
Mungkin mereka mempunyai kes yang tertentu yang memaksa aku mencatat nama mereka pada kertas tersebut. Dan kertas ini aku simpan kerana ia adalah kertas soalan ujian, memang menjadi kebiasaan, satu sampel kertas soalan ujian dan peperiksaan sepanjang aku mengajar akan aku simpan.
Kalaulah nama beliau tidak ada tercatat di atas kertas itu, sampai bila-bila pun aku tidak pernah tahu yang dia pernah mengikuti kelas aku.
Pada waktu itu (1984) aku baru setahun menjadi tenaga pengajar di UTM.
No comments:
Post a Comment