Kerajaan tidak lagi mampu untuk menampung perbelanjaan hospital dan perubatan untuk rakyat yang diberikan secara percuma.
Oleh itu kerajaan telah cuba mengurangkan beban perbelanjaan hospital dan perubatan ini dengan cara menggalakkan pengwujudan hospital-hospital swasta.
Hospital-hospital swasta dapat memberi khidmat dan layanan yang jauh lebih baik dari hospital kerajaan. Jarang sekali pesakit merungut dengan layanan di hospital swasta berbanding hospital kerajaan.
Mungkin untuk beberapa tahun akan datang hospital kerajaan akan menjadi hospital untuk golongan berpendapatan rendah dan miskin sahaja.
Bayaran yang dikenakan oleh hospital swasta memanglah mahal sesuai dengan layanan dan khidmat yang diberikan.
Sebenarnya kos operasi hospital swasta ini tidak bergantung kepada wang pesakit yang membayar terus dengan wang mereka sendiri. Sebaliknya bayaran kepada hospital swasta ini dituntut dari syarikat insuran yang mana pesakit-pesakit ini telah membeli insuran perlindungan perubatan dari syarikat-syarikat insuran tersebut.
Walaupun jumlah bayaran yang dikenakan terlalu mahal dan tidak masuk akal, ini tidak akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan pesakit, kerana apa pun jumlah kosnya akan ditanggung oleh syarikat insuran.
Pesakit tidak perlu risau jumlah kos perubatan yang dia kena bayar, sebaliknya dia hanya perlu memperuntukkan sebahagian kecil dari wang gaji atau pendapatannya setiap bulan untuk membayar sumbangan kepada syarikat insuran.
Begitulah bagusnya sistem pembiayaan perubatan menggunakan insuran ini. Di bawah sistem ini secara teorinya pesakit tidak pening kepala untuk memikirkan perbelanjaan hospital dan perubatan jika tiba-tiba ditimpa sakit.
Mungkin ia bagus untuk orang-orang kaya atau berpendapatan besar, tetapi kepada golongan yang berpendapatan sederhana dan kecil tentu akan timbul masalah untuk membayar sumbangan atau mencarum setiap bulan kepada syarikat insuran. Mereka akan berfikir banyak kali, antara belanja harian yang lebih diperlukan dengan membeli insuran perlindungan perubatan ini, apatah lagi mereka memikirkan mereka belum tentu akan jatuh sakit di masa depan.
Insuran Islam atau takaful adalah berasaskan konsep bantu membantu antara satu sama lain. Duit dipungut dari setiap orang dan dikumpulkan bagi membantu orang-orang yang ditimpa kesusahan seperti sakit, kemalangan dan kematian.
Islam sangat menggalakkan untuk membantu orang-orang yang ditimpa kesusahan. Bantuan dihulur mengikut kemampuan dan keikhlasan seseorang. Orang yang berada tentulah akan menyumbang lebih banyak dari yang kurang berada.
Tetapi insuran dan takaful yang ada hari ini mengenakan bayaran sumbangan atau caruman yang sama jumlahnya tanpa mengira orang itu kaya atau miskin. Disinilah kelemahan yang ketara terdapat dalam sistem takaful yang ada sekarang.
Syarikat insuran mengutip dari setiap orang atau ahli dengan jumlah yang sama banyak, tiap-tiap bulan, dan duit yang terkumpul ini akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan hospital dan perubatan ahli-ahli yang jatuh sakit. Pendek kata, semua operasi hospital dan perubatan swasta adalah datang dari duit yang dikumpul oleh syarikat-syarikat insuran.
Manakala hospital kerajaan dan operasinya pula dibiayai oleh duit cukai yang dikutip oleh kerajaan. Lagi tinggi pendapatan seseorang, lagi banyaklah mereka kena cukai. Bagi golongan yang berpendapatan rendah dan miskin, mungkin tidak dicukai langsung.
Cara ini nampak lebih adil, orang kaya menyumbang lebih kepada masyarakat melalui sistem percukaian itu. Duit yang dicukai inilah yang akan digunakan bagi membiayai hospital dan perubatan kerajaan untuk warga yang sakit secara percuma tanpa mengira kaya atau miskin.
Penswastaan hospital hanya memperkayakan segelintir orang, mereka membuat perniagaan dan mengaut keuntungan yang melampau diatas penderitaan orang lain. Sikap ini sangat tidak bermoral.
Sehingga pernah kita dengar cerita-cerita, ada pesakit yang sepatutnya tidak perlu dimasukkan wad tetapi telah dimasukkan wad kerana ingin mendapatkan bayaran yang lebih.
Dan kita tidak hairan kalau ada pesakit diberi ubat dan ‘treatment’ yang tidak perlu bagi meninggikan bil perubatan mereka.
Hospital dan sekolah adalah perkara asas yang sangat penting yang diperlukan rakyat dan negara. Kedua-dua perkara ini perlu diberikan secara percuma kepada rakyat. Negara tidak boleh maju dan produktif tanpa rakyat yang berilmu dan sihat.
PERHATIKAN DAN FAHAMKAN ISU BERKAITAN TEMUBUAL.
52 minutes ago
No comments:
Post a Comment