Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".
Showing posts with label ilmu. Show all posts
Showing posts with label ilmu. Show all posts

Friday, August 23, 2013

Ilmu yang bermanafaat.


Maksud hadis :

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal dunia, maka amalnya terputus kecuali tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanafaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (HR Muslim).

Tidak boleh dinafikan, hadis di atas telah mendorong orang-orang Islam di zaman kegemilangannya dulu untuk mencari dan menyibarkan ilmu yang bermanafaat kepada masyarakat. Hingga hari ini ilmu-ilmu yang mereka sampaikan itu masih dipelajari dan dimanafaatkan oleh umat manusia. Berdasar hadis di atas, walaupun sarjana-sarjana Islam ini telah lama meninggal dunia tetapi mereka tidak putus-putus menerima pahala dari amal soleh yang mereka telah lakukan di masa hidup mereka itu.

Dari ratusan cendiakawan dan ilmuwan Islam itu, di bawah dicatitkan beberapa orang dari mereka.

1. AL-FARABI
Antara sumbangan Al-Farabi adalah dalam bidang Logik, matematik, musik, falsafah, psikologi dan pendidikan.

2. AL-BATANI
Al Battani (sekitar 858-929) adalah seorang ahli astronomi dan matematik dari Arab.

Salah satu pencapaiannya yang terkenal dalam astronomi adalah tentang penentuan Tahun Matahari sebagai 365 hari, 5 jam, 46 minit dan 24 saat.

Al Battani juga menemukan sejumlah persamaan trigonometri.

Mewujudkan atau menyusun jadual mengira tangen.

3. IBNU SINA
Beliau adalah ahli falsafah dan kedoktoran (perubatan). Karyanya telah menjadi rujukan di bidang kedoktoran selama berabad-abad.

Dia dianggap oleh banyak orang sebagai Bapa Kedoktoran Moden.



4. MUHAMMAD BIN MUSA AL-KHAWARIZMI
Al-Khawārizmī adalah seorang ahli matematik, astronomi, astrologi, dan geografi yang berasal dari Persia.
Buku pertamanya, al-Jabar. Digelar juga sebagai Bapa Aljabar.
Perkataan logarisme dan logaritma diambil dari kata Algorismi, sebutan Latin untuk nama beliau.


5. UMAR KHAYYAM
Pada masa hidupnya, ia terkenal sebagai seorang pakar matematik dan astronomi.

Juga seorang sastrawan yang terkenal.

6. MUHAMMAD BIN ZAKARIYA AL-RAZI
Ar-Razi sejak muda telah mempelajari falsafah, kimia, matematik dan kesusastraan. Bidang utamanya ialah kedoktoran.

Ar-Razi juga dikenali sebagai ilmuwan pelbagai bidang dan dianggap sebagai salah satu ilmuwan terbesar dalam sejarah.


7. ABU MUSA JABIR BIN HAYYAN
Sumbangan terbesar Jabir adalah dalam bidang kimia.

Bapa Kimia Arab ini dikenal karena karya-karyanya yang sangat berpengaruh pada ilmu kimia dan metalurgi.

Kitab Al-Kimya (diterjemahkan ke Inggeris menjadi The Book of the Composition of Alchemy)

 

Apa yang mendorong mereka untuk menghabiskan masa dan tenaga mereka dalam mencari dan menyebarkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat, tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mengharapkan pahala yang berpanjangan. Kalau di zaman kita sekarang ini, dorongannya mungkin dalam bentuk bayaran, habuan dan pangkat. Masa dulu tidak ada gelaran professor yang hendak dikejar. Kalau melihat kepada besarnya sumbangan mereka itu mungkin mereka layak untuk diberikan gelaran professor, tidak cukup satu, tetapi setara dengan tiga atau empat gelaran professor.

Sebagai orang Islam dan beriman, kita yakin kehidupan yang kekal abadi itu ialah di akhirat, beruntunglah orang dapat memasuki syurga Allah s.w.t di akhirat nanti. Syarat yang ditetapkan Allah untuk memasuki syurgaNya ialah beriman dan beramal soleh. Mencari dan mendapatkan ilmu yang bermanafaat dan mengajarkannya adalah merupakan amal soleh yang ganjarannya disisi Allah ialah syurga, kehidupan yang kekal abadi di alam akhirat. Banyak firman-firman Tuhan dalam banyak surah di dalam Quran menyatakan prasyarat kepada ganjaran syurga itu adalah beriman dan membuat amal soleh, antaranya:

Surah 18 Al-Kahi ayat 107 & 108:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).
Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.

Surah 69 Al-Haqqah ayat 24:

"Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!"

Surah 76 Al- Insan ayat 5:

Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: sejenis minuman yang bercampur dengan "Kafur", -

Surah 77 Al-Mursalat ayat 43- 44:

"Makanlah dan minumlah kamu dengan lazatnya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan."
Sesungguhnya, demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang baik.

Surah 83 Al-Mutaffifin ayat 22:

Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat:

Surah 98 Al-Baiyina ayat 7 & 8:

Seungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.
Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.

Dan yang paling biasa kita dengar ialah surah 103 Al-Asr:

Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Orang alim pernah memberitahu, dunia ini adalah tempat kita memberi atau menyumbang, jangan fikirkan untuk mendapat balasan. Di akhirat pula tempat kita menerima dan di sana tidak perlu lagi untuk kita memberi.

 

Wednesday, August 11, 2010

Bulan Menjamu Selera


Bulan Ramadhan yang sepatutnya untuk mengawal nafsu makan dan mengurangkan makan, telah bertukar menjadi bulan untuk kita menjamu selera dengan pelbagai masakan dan kueh mueh.

Ada beberapa kesalahan yang dilakukan oleh seorang muslim itu yang dikenakan hukuman dengan memberi makan fakir miskin. Dan jika tidak mampu, mereka kena berpuasa untuk jumlah hari tertentu. Denda berpuasa itu adalah tujuan untuk mengurangkan mereka makan.

Dengan pengurangan makan melalui puasa itu adalah diharapkan makanan yang tidak menjadi makanan kepada mereka itu akan menjadi rezeki kepada orang lain pula.

Bila seseorang itu tidak berpuasa, dia tidak mengambil sarapan pagi, tidak makan tengahari, tidak ada minum petang. Mungkin semua makanan yang sepatutnya dia makan pada hari biasa itu akan menjadi rezeki kepada orang lain pula.

Tetapi hari ini tujuan puasa telah tidak mencapai tujuan asal, tidak keterlaluan kalau dikatakan jumlah belanja untuk membeli makan di bulan puasa lebih besar berbanding hari-hari biasa.

Bulan puasa seperti telah menjadi bulan pesta makan. Banyak bazaar ramadhan menjual bermacam masakan dan kueh mueh, hingga menarik kita untuk berbelanja lebih dari yang sepatutnya.

Hotel-hotel juga turut menyediakan buffet ramadhan yang menyediakan berbagai sajian masakan yang enak dan lazat.

Tuesday, June 08, 2010

Insuran perlindungan perubatan membebankan rakyat

Kerajaan tidak lagi mampu untuk menampung perbelanjaan hospital dan perubatan untuk rakyat yang diberikan secara percuma.

Oleh itu kerajaan telah cuba mengurangkan beban perbelanjaan hospital dan perubatan ini dengan cara menggalakkan pengwujudan hospital-hospital swasta.

Hospital-hospital swasta dapat memberi khidmat dan layanan yang jauh lebih baik dari hospital kerajaan. Jarang sekali pesakit merungut dengan layanan di hospital swasta berbanding hospital kerajaan.

Mungkin untuk beberapa tahun akan datang hospital kerajaan akan menjadi hospital untuk golongan berpendapatan rendah dan miskin sahaja.

Bayaran yang dikenakan oleh hospital swasta memanglah mahal sesuai dengan layanan dan khidmat yang diberikan.

Sebenarnya kos operasi hospital swasta ini tidak bergantung kepada wang pesakit yang membayar terus dengan wang mereka sendiri. Sebaliknya bayaran kepada hospital swasta ini dituntut dari syarikat insuran yang mana pesakit-pesakit ini telah membeli insuran perlindungan perubatan dari syarikat-syarikat insuran tersebut.

Walaupun jumlah bayaran yang dikenakan terlalu mahal dan tidak masuk akal, ini tidak akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan pesakit, kerana apa pun jumlah kosnya akan ditanggung oleh syarikat insuran.

Pesakit tidak perlu risau jumlah kos perubatan yang dia kena bayar, sebaliknya dia hanya perlu memperuntukkan sebahagian kecil dari wang gaji atau pendapatannya setiap bulan untuk membayar sumbangan kepada syarikat insuran.

Begitulah bagusnya sistem pembiayaan perubatan menggunakan insuran ini. Di bawah sistem ini secara teorinya pesakit tidak pening kepala untuk memikirkan perbelanjaan hospital dan perubatan jika tiba-tiba ditimpa sakit.

Mungkin ia bagus untuk orang-orang kaya atau berpendapatan besar, tetapi kepada golongan yang berpendapatan sederhana dan kecil tentu akan timbul masalah untuk membayar sumbangan atau mencarum setiap bulan kepada syarikat insuran. Mereka akan berfikir banyak kali, antara belanja harian yang lebih diperlukan dengan membeli insuran perlindungan perubatan ini, apatah lagi mereka memikirkan mereka belum tentu akan jatuh sakit di masa depan.

Insuran Islam atau takaful adalah berasaskan konsep bantu membantu antara satu sama lain. Duit dipungut dari setiap orang dan dikumpulkan bagi membantu orang-orang yang ditimpa kesusahan seperti sakit, kemalangan dan kematian.

Islam sangat menggalakkan untuk membantu orang-orang yang ditimpa kesusahan. Bantuan dihulur mengikut kemampuan dan keikhlasan seseorang. Orang yang berada tentulah akan menyumbang lebih banyak dari yang kurang berada.

Tetapi insuran dan takaful yang ada hari ini mengenakan bayaran sumbangan atau caruman yang sama jumlahnya tanpa mengira orang itu kaya atau miskin. Disinilah kelemahan yang ketara terdapat dalam sistem takaful yang ada sekarang.

Syarikat insuran mengutip dari setiap orang atau ahli dengan jumlah yang sama banyak, tiap-tiap bulan, dan duit yang terkumpul ini akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan hospital dan perubatan ahli-ahli yang jatuh sakit. Pendek kata, semua operasi hospital dan perubatan swasta adalah datang dari duit yang dikumpul oleh syarikat-syarikat insuran.

Manakala hospital kerajaan dan operasinya pula dibiayai oleh duit cukai yang dikutip oleh kerajaan. Lagi tinggi pendapatan seseorang, lagi banyaklah mereka kena cukai. Bagi golongan yang berpendapatan rendah dan miskin, mungkin tidak dicukai langsung.

Cara ini nampak lebih adil, orang kaya menyumbang lebih kepada masyarakat melalui sistem percukaian itu. Duit yang dicukai inilah yang akan digunakan bagi membiayai hospital dan perubatan kerajaan untuk warga yang sakit secara percuma tanpa mengira kaya atau miskin.

Penswastaan hospital hanya memperkayakan segelintir orang, mereka membuat perniagaan dan mengaut keuntungan yang melampau diatas penderitaan orang lain. Sikap ini sangat tidak bermoral.

Sehingga pernah kita dengar cerita-cerita, ada pesakit yang sepatutnya tidak perlu dimasukkan wad tetapi telah dimasukkan wad kerana ingin mendapatkan bayaran yang lebih.

Dan kita tidak hairan kalau ada pesakit diberi ubat dan ‘treatment’ yang tidak perlu bagi meninggikan bil perubatan mereka.

Hospital dan sekolah adalah perkara asas yang sangat penting yang diperlukan rakyat dan negara. Kedua-dua perkara ini perlu diberikan secara percuma kepada rakyat. Negara tidak boleh maju dan produktif tanpa rakyat yang berilmu dan sihat.

Friday, February 02, 2007

Motivasi Unggul

Kesusahan dan kemiskinan hidup kadang-kadang boleh menjadi sebagai pendorong kepada kita untuk menjadi seorang yang berjaya.

Saya masih ingat semasa saya kecil iaitu di era tahun 60 an, kehidupan keluarga kami ketika itu memang susah dan daif. Ketika itu ibu sering memperingatkan saya belajar rajin-rajin supaya boleh berjaya dalam pelajaran hingga ke peringkat lebih tinggi supaya boleh dapat pekerjaan bergaji besar.

Di waktu itu kesusahan hiduplah yang mendorong kita untuk berjaya dalam pelajaran. Hanya kejayaan dalam pelajaran sahaja yang boleh menjamin kehidupan yang lebih baik. Ini kerana di masa itu ibubapa kita melihat orang yang mempunyai pendapatan yang baik, yang punya kehidupan yang lebih mewah dalam masyarakat seperti guru, doktor, jurutera, pegawai-pegawai pentadbir kerajaan adalah merupakan orang yang mempunyai kelulusan tinggi dalam pelajaran.

Mereka telah dapat memiliki jawatan-jawatan itu kerana kejayaan mereka dalam pelajarannya, lagi tinggi kelulusan pelajaran mereka, lagi tinggilah gaji atau pendapatan mereka. Kesenangan hidup yang mereka perolehi itu telah menjadi dorongan kepada anak-anak dari golongan susah dan miskin untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah keadaan hidup kepada yang lebih baik dan selesa.

Tetapi sekarang di era tahun 2000 ini lebih ramai rakyat Malaysia yang mempunyai kehidupan yang selesa. Rata-ratanya mempunyai pekerjaan yang tetap, mampu memiliki kenderaan dan rumah yang baik. Anak-anak mereka tidak lagi mengalami rasa susah seperti yang mereka alami pada masa yang lampau. Apa saja kehendak anak-anak akan dapat dipenuhi oleh ibubapa mereka. Dorongan untuk mereka belajar rajin-rajin hampir tidak ada kerana mereka tidak pernah merasakan hidup susah.

Kehidupan anak-anak zaman sekarang yang tidak pernah merasa kesusahan dan kemiskinan tidak dapat memberi semangat untuk mereka belajar bersungguh-sungguh. Malah mereka lebih suka untuk berhibur dan membuang masa bersama rakan-rakan mereka. Masa yang sepatutnya digunakan untuk mentelaah pelajaran dan mendapatkan kemahiran mereka habiskan untuk mencari hiburan dan keseronokan.

Bentuk hiburan yang mereka cari sentiasa saja tidak pernah memuaskan hati mereka. Sehinggalah ada yang mencari bentuk hiburan yang boleh merbahayakan diri mereka seperti lumba haram, dadah dan hubungan seks bebas semata-mata untuk memenuhi keseronokan.

Kalau zaman dulu kesusahan hidup telah menjadi dorongan untuk seseorang itu belajar bersungguh-sungguh tetapi kini faktor itu tidak boleh lagi dijadikan sebagai pendorong kerana rata-ratanya anak-anak muda sekarang hidup dalam keluarga senang.

Oleh itu di zaman ini kita kenalah mencari pendekatan yang lain untuk menjadi pendorong kepada anak-anak kita untuk mereka rajin belajar.

Kalau di barat, naluri ingin tahu yang dipupuk kepada anak-anak mereka adalah menjadi pendorong utama untuk mereka belajar dan mendalami sesuatu bidang. Perasaan ingin tahu yang kuat yang dimiliki oleh orang-orang barat ini telah membuatkan mereka sentiasa maju kedepan berbanding bangsa-bangsa di dunia ini.

Mereka sanggup mengorbankan masa, keseronokan dan keselesaan hidup semata-mata untuk mengkaji atau mempelajari bidang-bidang yang mereka minati atau yang mereka ingin tahu. Mereka berlumba-lumba untuk menjadi orang pertama dalam suatu penemuan dan penciptaan.

Mungkin juga keghairahan untuk mendapat nama sebagai orang pertama yang berjaya dalam suatu penemuan dan penciptaan menjadikan mereka berlumba-lumba, tetapi saya rasa dorongan oleh perasaan ingin tahu itulah yang menjadi faktor utama membuatkan mereka dapat mencapai kejayaan itu.

Apakah kita juga hendak mengambil pendekatan yang menjadi amalan orang barat ini? Setelah melihat kejayaan orang barat ini, mungkin kita juga boleh mengambil naluri ingin tahu ini untuk disemai kepada anak-anak kita untuk menjadi pendorong untuk mereka belajar rajin-rajin.

Tetapi bagi saya, kalau kita melihat semula kepada agama kita, di sana juga ada pendorong yang lebih kuat untuk menjadikan kita bangsa yang maju dan berjaya.

Banyak firman-firman dalam Quran yang menyatakan Tuhan akan menganugerahkan syurga kepada orang Islam sekiranya mereka beriman dan membuat kebaikan. Sebagai orang Islam kehidupan yang abadi ialah di alam akhirat. Semua dari kita mahu menjadi penghuni syurga di alam abadi itu.

Tidak semua orang layak memasuki syurga kecuali kepada mereka yang memenuhi kehendak atau syarat dari Tuhan tadi iaitu mereka yang beriman dan banyak membuat kebaikan. Antara ayat-ayat yang menyebutkan perkara tersebut adalah seperti:

“Sesungguhnya orang2 yang beriman dan mengerjakan amal saleh mereka itu adalah sebaik2 makhluk. Balasan bagi mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga ‘Adn…..” ayat 6-7 Surah Al Bayyinah.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan amal saleh….” Surah Al Ashr.

Saya rasa inilah pendorong yang paling terbaik untuk menjadikan kita orang yang maju dan berjaya. Kalau kita betul-betul dapat menghayati firman Tuhan ini barang sudah tentu kita tidak punya cukup masa untuk hal-hal lain, tidak ada masa untuk memikirkan keseronokan, semuanya kita akan tumpukan untuk membuat kebaikan atau membuat sesuatu yang akan memberi manafaat kepada manusia.

Semua tenaga, fikiran dan masa yang kita ada akan dicurahkan untuk kearah membuat kebaikan. Saya percaya berasaskan pegangan inilah yang telah banyak mendorong Abu Sina , Sinan, Al Jabar, Al Khawarizmi dan ramai lagi cendiakawan Islam di suatu masa dulu mengungguli segala bidang keilmuan seperti sains, teknologi, astronomi, kejuruteraan, pelayaran dan perubatan.

Segala sumbangan mereka yang begitu banyak itu telah banyak memberi manafaat kepada manusia hinggalah ke hari ini dan memang layaklah untuk mereka mendapat anugerah syurga dari Tuhan seperti yang telah dijanjikanNya. Apatah lagi mereka itu tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan dunia, hanya mengharapkan balasan dari Tuhannya sahaja.

Kalaulah pegangan ini dapat dikembalikan semula untuk dihayati oleh generasi zaman ini, saya percaya ia akan menjadi pendorong kepada pelajar kita untuk belajar bersungguh-sungguh kerana pada minda mereka telah tersemat bahawa dengan ilmu yang mereka pelajari itu akan dapat digunakan untuk membuat kebaikan yang akan memberi manafaat kepada manusia.

Kesannya kepada golongan pekerja pula, semangat bekerja akan bertambah kuat, khidmat yang diberikan akan cuba diberi sebaik mungkin, kerja tidak lagi semata-mata mengharapkan gaji dan upah. Konsep kalau ada upah baru buat kerja, bukanlah lagi menjadi pegangan yang utama.

Kepada peniaga pula berniaga bukanlah untuk semata-mata mencari keuntungan tetapi lebih utama lagi dapat memberi khidmat kepada orang ramai untuk mendapatkan barang-barang keperluan mereka. Peniaga ini akan bekerja bersungguh-sungguh bukan untuk mengejar keuntungan tetapi untuk memberi khidmat kepada pengguna seramai dan sebaik yang mungkin. Balasan yang yang mereka harapkan bukanlah keuntungan dunia tetapi balasan dari Tuhan itulah yang menjadi harapan sebenar mereka.

Pengilang dan pengeluar barangan keperluan pula akan mengeluarkan barang-barang yang berkualiti yang dapat memberi kebaikan kepada orang ramai, jauh sekali dari berniat mengeluarkan barang-barang atau menggunakan bahan-bahan yang boleh memudaratkan kehidupan dan kesihatan manusia.

Seandainya semua kita dapat berpegang dan menghayati firman Tuhan di atas sudah tentu semua orang akan bergerak kearah satu tujuan iaitu berlumba-lumba untuk melakukan atau menyumbang kepada kebaikan, sebanyak dan sebaik mungkin. Saya rasa inilah satu-satunya pendekatan yang paling unggul yang dapat menjadi pendorong utama untuk kita menjadi umat terbilang.

Wallahulam..

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com