Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, February 02, 2007

Motivasi Unggul

Kesusahan dan kemiskinan hidup kadang-kadang boleh menjadi sebagai pendorong kepada kita untuk menjadi seorang yang berjaya.

Saya masih ingat semasa saya kecil iaitu di era tahun 60 an, kehidupan keluarga kami ketika itu memang susah dan daif. Ketika itu ibu sering memperingatkan saya belajar rajin-rajin supaya boleh berjaya dalam pelajaran hingga ke peringkat lebih tinggi supaya boleh dapat pekerjaan bergaji besar.

Di waktu itu kesusahan hiduplah yang mendorong kita untuk berjaya dalam pelajaran. Hanya kejayaan dalam pelajaran sahaja yang boleh menjamin kehidupan yang lebih baik. Ini kerana di masa itu ibubapa kita melihat orang yang mempunyai pendapatan yang baik, yang punya kehidupan yang lebih mewah dalam masyarakat seperti guru, doktor, jurutera, pegawai-pegawai pentadbir kerajaan adalah merupakan orang yang mempunyai kelulusan tinggi dalam pelajaran.

Mereka telah dapat memiliki jawatan-jawatan itu kerana kejayaan mereka dalam pelajarannya, lagi tinggi kelulusan pelajaran mereka, lagi tinggilah gaji atau pendapatan mereka. Kesenangan hidup yang mereka perolehi itu telah menjadi dorongan kepada anak-anak dari golongan susah dan miskin untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah keadaan hidup kepada yang lebih baik dan selesa.

Tetapi sekarang di era tahun 2000 ini lebih ramai rakyat Malaysia yang mempunyai kehidupan yang selesa. Rata-ratanya mempunyai pekerjaan yang tetap, mampu memiliki kenderaan dan rumah yang baik. Anak-anak mereka tidak lagi mengalami rasa susah seperti yang mereka alami pada masa yang lampau. Apa saja kehendak anak-anak akan dapat dipenuhi oleh ibubapa mereka. Dorongan untuk mereka belajar rajin-rajin hampir tidak ada kerana mereka tidak pernah merasakan hidup susah.

Kehidupan anak-anak zaman sekarang yang tidak pernah merasa kesusahan dan kemiskinan tidak dapat memberi semangat untuk mereka belajar bersungguh-sungguh. Malah mereka lebih suka untuk berhibur dan membuang masa bersama rakan-rakan mereka. Masa yang sepatutnya digunakan untuk mentelaah pelajaran dan mendapatkan kemahiran mereka habiskan untuk mencari hiburan dan keseronokan.

Bentuk hiburan yang mereka cari sentiasa saja tidak pernah memuaskan hati mereka. Sehinggalah ada yang mencari bentuk hiburan yang boleh merbahayakan diri mereka seperti lumba haram, dadah dan hubungan seks bebas semata-mata untuk memenuhi keseronokan.

Kalau zaman dulu kesusahan hidup telah menjadi dorongan untuk seseorang itu belajar bersungguh-sungguh tetapi kini faktor itu tidak boleh lagi dijadikan sebagai pendorong kerana rata-ratanya anak-anak muda sekarang hidup dalam keluarga senang.

Oleh itu di zaman ini kita kenalah mencari pendekatan yang lain untuk menjadi pendorong kepada anak-anak kita untuk mereka rajin belajar.

Kalau di barat, naluri ingin tahu yang dipupuk kepada anak-anak mereka adalah menjadi pendorong utama untuk mereka belajar dan mendalami sesuatu bidang. Perasaan ingin tahu yang kuat yang dimiliki oleh orang-orang barat ini telah membuatkan mereka sentiasa maju kedepan berbanding bangsa-bangsa di dunia ini.

Mereka sanggup mengorbankan masa, keseronokan dan keselesaan hidup semata-mata untuk mengkaji atau mempelajari bidang-bidang yang mereka minati atau yang mereka ingin tahu. Mereka berlumba-lumba untuk menjadi orang pertama dalam suatu penemuan dan penciptaan.

Mungkin juga keghairahan untuk mendapat nama sebagai orang pertama yang berjaya dalam suatu penemuan dan penciptaan menjadikan mereka berlumba-lumba, tetapi saya rasa dorongan oleh perasaan ingin tahu itulah yang menjadi faktor utama membuatkan mereka dapat mencapai kejayaan itu.

Apakah kita juga hendak mengambil pendekatan yang menjadi amalan orang barat ini? Setelah melihat kejayaan orang barat ini, mungkin kita juga boleh mengambil naluri ingin tahu ini untuk disemai kepada anak-anak kita untuk menjadi pendorong untuk mereka belajar rajin-rajin.

Tetapi bagi saya, kalau kita melihat semula kepada agama kita, di sana juga ada pendorong yang lebih kuat untuk menjadikan kita bangsa yang maju dan berjaya.

Banyak firman-firman dalam Quran yang menyatakan Tuhan akan menganugerahkan syurga kepada orang Islam sekiranya mereka beriman dan membuat kebaikan. Sebagai orang Islam kehidupan yang abadi ialah di alam akhirat. Semua dari kita mahu menjadi penghuni syurga di alam abadi itu.

Tidak semua orang layak memasuki syurga kecuali kepada mereka yang memenuhi kehendak atau syarat dari Tuhan tadi iaitu mereka yang beriman dan banyak membuat kebaikan. Antara ayat-ayat yang menyebutkan perkara tersebut adalah seperti:

“Sesungguhnya orang2 yang beriman dan mengerjakan amal saleh mereka itu adalah sebaik2 makhluk. Balasan bagi mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga ‘Adn…..” ayat 6-7 Surah Al Bayyinah.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan amal saleh….” Surah Al Ashr.

Saya rasa inilah pendorong yang paling terbaik untuk menjadikan kita orang yang maju dan berjaya. Kalau kita betul-betul dapat menghayati firman Tuhan ini barang sudah tentu kita tidak punya cukup masa untuk hal-hal lain, tidak ada masa untuk memikirkan keseronokan, semuanya kita akan tumpukan untuk membuat kebaikan atau membuat sesuatu yang akan memberi manafaat kepada manusia.

Semua tenaga, fikiran dan masa yang kita ada akan dicurahkan untuk kearah membuat kebaikan. Saya percaya berasaskan pegangan inilah yang telah banyak mendorong Abu Sina , Sinan, Al Jabar, Al Khawarizmi dan ramai lagi cendiakawan Islam di suatu masa dulu mengungguli segala bidang keilmuan seperti sains, teknologi, astronomi, kejuruteraan, pelayaran dan perubatan.

Segala sumbangan mereka yang begitu banyak itu telah banyak memberi manafaat kepada manusia hinggalah ke hari ini dan memang layaklah untuk mereka mendapat anugerah syurga dari Tuhan seperti yang telah dijanjikanNya. Apatah lagi mereka itu tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan dunia, hanya mengharapkan balasan dari Tuhannya sahaja.

Kalaulah pegangan ini dapat dikembalikan semula untuk dihayati oleh generasi zaman ini, saya percaya ia akan menjadi pendorong kepada pelajar kita untuk belajar bersungguh-sungguh kerana pada minda mereka telah tersemat bahawa dengan ilmu yang mereka pelajari itu akan dapat digunakan untuk membuat kebaikan yang akan memberi manafaat kepada manusia.

Kesannya kepada golongan pekerja pula, semangat bekerja akan bertambah kuat, khidmat yang diberikan akan cuba diberi sebaik mungkin, kerja tidak lagi semata-mata mengharapkan gaji dan upah. Konsep kalau ada upah baru buat kerja, bukanlah lagi menjadi pegangan yang utama.

Kepada peniaga pula berniaga bukanlah untuk semata-mata mencari keuntungan tetapi lebih utama lagi dapat memberi khidmat kepada orang ramai untuk mendapatkan barang-barang keperluan mereka. Peniaga ini akan bekerja bersungguh-sungguh bukan untuk mengejar keuntungan tetapi untuk memberi khidmat kepada pengguna seramai dan sebaik yang mungkin. Balasan yang yang mereka harapkan bukanlah keuntungan dunia tetapi balasan dari Tuhan itulah yang menjadi harapan sebenar mereka.

Pengilang dan pengeluar barangan keperluan pula akan mengeluarkan barang-barang yang berkualiti yang dapat memberi kebaikan kepada orang ramai, jauh sekali dari berniat mengeluarkan barang-barang atau menggunakan bahan-bahan yang boleh memudaratkan kehidupan dan kesihatan manusia.

Seandainya semua kita dapat berpegang dan menghayati firman Tuhan di atas sudah tentu semua orang akan bergerak kearah satu tujuan iaitu berlumba-lumba untuk melakukan atau menyumbang kepada kebaikan, sebanyak dan sebaik mungkin. Saya rasa inilah satu-satunya pendekatan yang paling unggul yang dapat menjadi pendorong utama untuk kita menjadi umat terbilang.

Wallahulam..

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com