Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, January 19, 2007

Khalifah Umar Abdul Aziz

Kita mahu kalau boleh Raja kita atau Perdana Menteri kita atau pemimpin-pemimpin kita berkelakuan seperti Khalifah Umar Abdul Aziz. Banyak kita dengar cerita-cerita tentang Khalifah Umar Abdul Aziz yang begitu amanah dan takwa orangnya. Ramai di kalangan kita suka membandingkan sifat mulia Umar itu dengan sifat yang dimiliki pemimpin kita tetapi tidak pernah pula membandingkannya dengan diri kita sendiri.


Pernah satu ketika seorang pensyarah di universiti memberi khutbah Jumaat menggesa pemimpin negara mencontohi tingkah laku Khalifah Umar Abdul Aziz. Tetapi sayangnya di masa yang lain, apabila berbual hal-hal yang peribadi iaitu pasal kereta dan pasal rumah dengan rakan-rakan di biliknya tidak pula pernah ia cuba untuk memadamkan lampu dan alat pedingin biliknya seperti yang dilakukan oleh Umar apabila ada orang datang mengunjunginya bukan atas urusan kerja. Bagi saya tingkah laku Umar Abdul Aziz bukan hanya perlu dicontohi oleh pemimpin sahaja tetapi perlu dicontohi oleh semua orang.


Sudah menjadi tabiat dikalangan orang-orang kita, suka menyuruh orang lain berkelakuan baik tetapi diri sendiri tak pernah diperiksa, seperti kata bidalan; ‘kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi’. Dakwah itu mestilah dimulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu sebelum cuba berdakwah kepada orang lain, barulah hasilnya lebih berjaya. Pemimpin yang baik itu adalah datang dari masyarakat yang baik juga.


Tidak mungkin kita dapat memilih pemimpin yang baik dikalangan kumpulan samseng. Di zaman Khalifah Umar Abdul Aziz itupun bukanlah bermakna beliau seorang sahaja yang bersifat takwa dan amanah tetapi sebenarnya majoriti rakyatnya adalah juga bersifat demikian. Tetapi oleh kerana Umar adalah Khalifah maka cerita-cerita mengenai dirinya tentulah lebih menonjol daripada cerita-cerita rakyat kebanyakan.



Kita sebagai pekerja memang patut mecontohi nilai-nilai mulia yang dimiliki oleh Umar Abdul Aziz ini terutamanya tentang sifat amanahnya. Seorang pekerja yang baik dan amanah bukan sahaja tidak mengambil dan mengguna barang-barang dan kemudahan pejabatnya untuk kepentingan peribadi dan keluarga malah ia sanggup pula berkorban untuk menggunakan barang-barang peribadinya untuk kegunaan pejabat.


Pekerja yang takwa akan sentiasa berasa bimbang kalau-kalau wang gaji yang diterimanya setiap bulan itu tidak setimpal dengan kerja dan keringat yang telah disumbangkannya. Gaji yang terlalu tinggi yang tak sepadan dengan kerja yang dilakukan tentulah akan menjadi haram. Orang yang bersifat takwa tentu sekali akan berasa bimbang pada setiap kali menerima gaji, bimbang kalau-kalau wang gaji itu terkandung bahagian yang ia tidak patut terima.


Setakat ini belum pernah pula kita dengar orang datang kepada majikannya untuk memulangkan sebahagian wang gajinya atas alasan kerja yang dilakukannya pada bulan itu tidak sepadan dengan wang gaji yang ia terima. Yang banyak kita dengar ialah orang datang kepada majikannya untuk menuntut kenaikan gaji, tetapi mungkin juga agaknya mereka berasa gaji yang mereka terima itu terlalu sedikit berbanding dengan kerja yang terlalu banyak.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com