Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, January 10, 2007

Poligami dan Shahrizat Jalil

Semua kita maklum poligami adalah suatu benda yang sangat dibenci oleh golongan wanita Melayu. Tidak hairanlah kalau menteri yang menjaga hal ehwal wanita Shahrizat Jalil begitu pantas memberi respon bila ada akhbar melaporkan kononnya ada ura-ura Menteri Besar Terengganu ingin memberi anugerah kepada lelaki yang mengamalkan poligami.

Mungkin respon pantas dari Shahrizat itu kerana dia memang tidak senang dengan poligami. Atau mungkin juga dia sebagai orang politik ingin dilihat sebagai pejuang dan sentiasa menjaga kepentingan golongan wanita.

Tentulah tidak wajar kalau dia hanya berdiam diri saja bila cadangan memberi anugerah itu dilihat benar-benar mencabar maruah dan seperti mempermain-mainkan golongan wanita, sedangkan beliau adalah menteri yang menjaga hal ehwal wanita.

Apa pun alasannya, luahan tidak senang hati oleh Shahrizat itu mencerminkan negatifnya pandangan wanita Melayu kepada poligami. Poligami itu lumrahnya dikaitkan kepada benda-benda yang buruk. Mereka melihat poligami sesuatu yang mesti dijauhi malah kalau boleh perlu disekat dengan apa cara sekali pun.

Kadang-kadang tindak tanduk dan sikap benci yang ditunjukkan oleh wanita kepada poligami ini seolah-olah mereka itu lupa poligami adalah suatu perkara yang dihalalkan oleh Tuhan. Adalah suatu yang tidak munasabah kalau Tuhan menghalalkan benda yang tidak baik.

Kadang-kadang kita telah terbiasa dengan norma yang di bawa dari barat sehingga semua norma yang datang dari barat itu semuanya dianggap betul dan baik. Apakah kerana orang barat melarang poligami maka kita pun mesti juga melarang poligami.

Apakah apabila wanita barat boleh berpakaian bakini di pantai dan di kolam renang maka kita pun mengatakan tidak salah juga untuk wanita-wanita Melayu kita berpakaian bakini bila berada di pantai dan kolam renang.

Malah kita melihat suatu yang janggal dan sinis bila ada pihak yang ingin mengasingkan kolam renang lelaki dan perempuan, kerana ini suatu yang tidak pernah dibuat oleh barat.

Malah kadang-kadang kita rasa bernasib baik juga kerana dari dulu lagi orang barat telah mengasingkan tandas lelaki dan tandas wanita, dan ini telah menjadi suatu norma yang mereka amalkan hingga hari ini, kebetulan pula norma ini memang selaras dengan kehendak agama kita.

Bayangkanlah kalau tandas tidak mengasingkan lelaki dan perempuan dari dulu telah menjadi norma barat, tentu kita juga akan menurutnya sama. Akan menjadi suatu yang lumrahlah pada hari ini orang lelaki dan perempuan memasuki satu tandas yang sama.

Dan kalau ada orang Malaysia hari ini yang cuba hendak mengasingkan tandas perempuan dan tandas lelaki, tentulah akan dilihat sinis juga kerana melakukan suatu yang di luar kebiasaan. Saya percaya Shahrizat sekali lagi selaku menteri yang menjaga hal ehwal wanita pasti juga menjadi orang pertama yang akan menentangnya atas alasan ’mendiskriminasi’ kaum wanita.

Dari kita membuang masa dari menentang poligami yang dihalalkan Tuhan itu lebih baiklah kita menumpukan perhatian kita untuk membela nasib kaum wanita yang masih ramai tidak terbela itu. Apakah kita rasa suka bila ramai golongan wanita kita terjebak dalam kancah maksiat, menjadi perempuan simpanan.

Kes Norita yang masih segar dalam ingatan kita itu adalah secebis kisah yang mendedahkan adanya wanita-wanita kita hidup menjadi perempuan simpanan yang jauh tersasar dari kehendak agama kita.

Walaupun ada sebahagian mereka hidup mewah kerana menjadi perempuan simpanan, tetapi apakah kehidupan seperti lebih baik dari poligami.

Hampir tidak ada usaha dan undang-undang untuk menyekat kehidupan tanpa nikah ini berbanding berbagai undang-undang dan syarat yang diada-adakan untuk menyusahkan orang lelaki untuk mengamalkan poligami. Itu belum lagi termasuk susahnya untuk berdepan dengan isteri pertama.

Kadang-kadang rasa kesal juga kerana orang barat dari dulu telah tidak mengamalkan poligami sebagai satu norma kehidupan mereka. Kalau orang barat mengamalkan poligami tentu tidak ada pihak yang berani menentang poligami. Kerana yang menentang akan dianggap kolot dan tidak liberal.

3 comments:

Anonymous said...

Orang Barat memang tidak asing dengan poligami. Belajar dengan baik sejarah dunia. Poligami memang dipraktikkan oleh orang Barat sejak sejarah bertulis bermula tetapi sejak lebih kurang 200 hingga 300 tahun dahulu, populariti poligami mula menurun dengan masyarakat orang Barat. Sehingga kini, di Utah, Amerika Syarikat, terdapat sekolompok masyarakat yang masih mengamalkan poligami.

Anonymous said...

Salam.

POLIGAMI HANYALAH UNTUK BERLAKU ADIL TERHADAP HARTA ANAK YATIM. JIKA DIRI SENDIRI TIDAK MENJAGA HAL PERIHAL ANAK YATIM, MASAKAN HENDAK BERPOLIGAMI??


Dengan nama Allah, Yang Pemurah, Yang Pengasih.

4:1. Wahai manusia, takutilah Pemelihara kamu yang mencipta kamu daripada jiwa yang satu, dan daripadanya Dia menciptakan pasangannya, dan daripada keduanya, ditaburkan di merata-rata banyak lelaki dan perempuan; dan takutilah Allah yang kepada-Nya kamu saling meminta, dan rahim-rahim (pertalian darah); sesungguhnya Allah menjagai kamu.

4:2. Berilah anak-anak yatim harta mereka, dan janganlah menukar yang buruk untuk yang baik, dan jangan kamu makan harta mereka pada harta kamu; sesungguhnya ia adalah kesalahan besar.

4:3. JIKA kamu takut bahawa kamu tidak akan berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka kahwinilah perempuan-perempuan yang nampak baik bagi kamu, dua, dan tiga, dan empat; tetapi jika kamu takut bahawa kamu tidak akan berlaku adil, maka satu sahaja, atau apa yang tangan-tangan kanan kamu memiliki; maka ia lebih dekat bagi kamu untuk tidak membuat aniaya.

-ashraff-

Anonymous said...

tidak semua wanita melayu menentang poligami tetapi lebih kepada kerisauan ataupun ketakutan terhadap tindakan tidak adil sang suami terhadap tanggungjawabnya apabila telah beristeri lebih dari 1.

lihat saja di dada2 akhbar, di kawasan perumahan mahupun teman handai kita yg mengalami atau mengenali org2 yg berpoligami. rata2 menjurus pada betapa tidak adilnya sang suami terhadap kehidupan berpoligami. samada secara lahiriah, batiniah mahupun secara materialistiknya.

ramai kaum lelaki nak berpoligami kerana hendak ikut sunnah Nabi Muhammad S.A.W. tapi kenapa tidak mahu mengikut cara baginda menjalankan poligami dlm keluarga baginda? ni belum lagi saya sentuh psl kawin rahsia dan nafkah bulanan pada isteri muda yg pastinya seorang yg bekerja.

~ Wati / Corus Hotel, KL ~

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com