Dalam Quran Tuhan telah mensarankan kepada kita supaya mendoakan ibubapa kita seperti berikut:
“Wahai Tuhan kasihani ibubapa ku seperti mana mereka telah mengasihani daku semasa aku kecil dahulu”.
Tidak ada ibu yang tidak sayangkan anaknya semasa anaknya kecil, ibu sanggup bangun dari tidur di tengah malam kerana hendak menyusukan anaknya. Ibu begitu sabar menghadapi segala macam kerenah anak-anak mereka semasa membesarkan mereka.Terlalu besar pengorbanan ibubapa kita dalam membesarkan kita semua, yang tak mungkin dapat kita membalasnya.
Walaupun setelah kita dewasa ini, ibu dan bapa kita mungkin ada yang tidak meyayangi kita lagi seperti dulu atau mereka lebih menyayangi adik beradik kita yang lain lebih dari kita, tetapi apalah sangat kekurangan itu berbanding apa yang telah mereka korbankan untuk kita semasa kecil dahulu.
Bila ibu sudah tua kebanyakan anak-anak cuba mahu mencari-cari alasan untuk tidak mahu memelihara atau menjaga mereka. Anak yang muda kata, anak yang sulunglah patut menjaga ibu mereka, anak yang lelaki pula kata, anak perempuanlah yang sesuai untuk menjaga ibu mereka, anak yang kurang berada pula kata, anak yang lebih beradalah sepatutnya menjaga ibu mereka dan bermacam-macam lagilah alasan yang mereka timbulkan bagi mengelak dari memikul tanggungjawab tersebut.
Sudah menjadi sikap orang kita sangat suka mencari alasan untuk mengelak dari bertanggungjawab tapi jarang sekali untuk memberi alasan untuk mengambil tanggungjawab. Sebagai contoh bila datang lewat, alasannya ialah kerana trafik jam.
Sebaiknya dia patut bersikap lebih rasa bertanggungjawab dengan memberi alasan, “Saya terpaksa bangun awal untuk mengelakkan trafik jam“.
Begitu jugalah dalam menjaga ibu yang sudah tua ini, sepatutnya anak-anak yang baik akan member alasan-alasan untuk bertanggungjawab seperti, saya anak yang tua sayalah yang sepatutnya menjaga ibu, atau saya mempunyai pendapatan yang lebih jadi saya patut menjaga ibu, atau saya anak perempuan jadi saya rasa ibu lebih sesuai tinggal dengan saya, atau saya anak lelaki sayalah patutnya menjaga ibu, atau anak-anak saya tak ramai jadi saya rasa ibu lebih sesuai tinggal dengan saya, atau isteri saya tak berkerja jadi saya rasa ibu lebih sesuai tinggal bersama saya.
Sebaliknya anak-anak yang bersikap buruk akan mencari segala macam alasan dan kekurangan yang ada padanya untuk mengelak dari memikul tanggungjawab. Seperti pendapatan saya kecil, isteri saya berkerja, anak-anak saya ramai, saya terlalu sibuk, ibu tak suka dengan isteri saya, suami saya tak suka dengan ibu, rumah saya sempit, rumah saya bertangga dan macam-macam lagi.
Bila suami isteri bercerai, suami isteri sanggup naik turun makamah semata-mata berebut untuk mendapat hak penjagaan anak-anak mereka. Tapi sayang tak ada kita dengar anak-anak yang mahu berebut untuk menjaga ibu mereka yang sudah tua. Sungguh saya berasa bangga kalau ada anak-anak yang sanggup naik makamah kerana berebut hendak menjaga ibu mereka yang sudah tua, tapi saya rasa perkara seperti ini mustahil boleh berlaku.
Namun begitu ada juga anak yang mahu mengenang kebaikan ibu bapa mereka. Mereka menjaga ibubapa mereka kerana adanya perasaan kasih sayang dan mahu menjadi anak yang bertanggungjawab.
Kadang-kadang kita rasa kesal juga terhadap sesetengah anak, bila sudah ada salah seorang dari adik beradik yang rela mahu menjaga ibu mereka, adik beradik yang lain itu pula langsung tidak ambil peduli. Mentang-mentang sudah ada orang yang sanggup menjaga ibu mereka jadi mereka rasa tak perlu lagi untuk bertanggungjawab.
Kalau ada adik beradik lain yang sanggup menjaga ibu kita, ini tidak bermakna kita boleh terus terlepas dari tanggungjawab tersebut. Kita yang tidak menjaga kena jugalah hulur-hulur dan menyumbang apa saja bantuan yang patut kepada adik beradik yang menjaga ibu kita itu. Janganlah buat derk ajer.
Wahai Tuhan yang Maha Pemurah, andainya tulisanku ini dapat memberi manafaat kepada pembacanya yang kerananya dapat mendatangkan pahala kepadaku walau barang sedikit pun maka aku sedekahkan akan dia kepada ibubapaku yang telah banyak berkorban dan berjasa padaku dan tiadalah terbalas oleh ku akan jasa dan pengorbanan mereka itu. Hanya Engkau sahajalah yang dapat membalasnya, sesungguhnya rahmat Mu amat luas, Engkaulah yang mengasihani dari segala yang mengasihani.
ELOK LA...
2 hours ago
No comments:
Post a Comment