Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Thursday, April 05, 2007

Dasar Penswastaan tidak sepatutnya sampai membebankan rakyat.

Penswastaan adalah satu-satunya cara yang amat berkesan untuk menyelesaikan masalah ketidakcekapan dan tidak produktif yang berlaku dalam perkhidmatan-perkhidmatan yang diuruskan oleh pihak kerajaan.Rungutan orang ramai terhadap kualiti perkhidmatan awam yang diberikan oleh badan-badan kerajaan sebelum ini telah mendorong pemerintah untuk menswastakan satu demi satu badan-badan kerajaan ini.

Walaupun mutu perkhidmatan awam ini bertambah baik selepas ia diswastakan tetapi rakyat terpaksa membayar lebih mahal kepada semua khidmat yang diberi berbanding sebelum ia diswastakan. Sebagai contoh jika bayaran bil telefon sebelum diswastakan sekitar RM25.00 sebulan tetapi setelah beberapa tahun diswastakan untuk penggunaan yang sama harganya telah meningkat menjadi sekitar RM55.00. Dapat diperhatikan ia telah meningkat lebih dua kali ganda. Begitulah juga dengan bayaran elektrik dan air, semua bayaran meningkat apabila diswastakan. Apabila diswastakan, badan-badan ini kena memikirkan tentang keuntungan. Untuk member keuntungan kepada perniagaan, syarikat terpaksa mengenakan cas yang sesuai supaya kerugian tidak berlaku. Sudah tentu pengguna atau rakyatlah terpaksa menanggung cas yang dikenakan itu.

Memanglah bagus kalau dasar penswastaan dapat memberikan perkhidmatan yang cekap dan terbaik kepada rakyat tetapi sepatutnya ia tidaklah sampai membebankan rakyat dengan bayaran-bayaran perkhidmatan yang tinggi. Kalaupun bayaran cas perkhidmatan yang dikenakan itu tidak mungkin dapat dikurangkan daripada harga sebelum ianya diswastakan setidak-tidaknya hendaklah sama seperti harga sebelum ini supaya ia tidak menambah beban kepada rakyat. Dasar penswastaan harus dilihat sebagai cara untuk menambah kecekapan kepada perkhidmatan awam tetapi bukannya sampai untuk mencari keuntungan yang akan membebankan rakyat.

Keadaan bertambah malang menimpa rakyat jelata bila dasar penswastaan ini telah memperkayakan orang-orang yang memegang kuasa politik di negara ini. Pemimpin-pemimpin politik beserta suku sakatnya mempunyai kaitan rapat dan berkepentingan dalam semua projek-projek dan badan-badan kerajaan yang telah disawastakan itu. Mereka mungkin mempunyai hubungan secara langsung seperti menjadi pengerusi atau lembaga pengarah atau secara tidak langsung melalui pemilikan saham yang besar yang khas diperuntukkan kepada mereka.

Sejak dasar penswastaan ini rancak berjalan, tidak kedengaranlah lagi pemimpin-pemimpin politik yang lantang memperjuangkan perit dan derita yang ditanggung oleh rakyat terhadap bayaran-bayaran mahal yang dikenakan oleh pihak-pihak swasta ini. Kalau dulu pemimpin-pemimpin politik digambarkan sebagai pejuang nasib rakyat tetapi sekarang pemimpin politik seperti menjadi seteru rakyat pula. Ini semua kerana gara-gara pemimpin-pemimpin politik telah mempunyai kepentingan dalam syarikat-syarikat swasta ini. Inilah buruknya akibat bila pemimpin-pemimpin politik terlibat atau berkepentingan dalam perniagaan dan syarikat-syarikat swasta. Keuntungan pada syarikat-syarikat swasta atau perniagaan yang dia terlibat akan juga member keuntungan pada dirinya. Perjuangan untuk membela nasib rakyat atau untuk meringankan masalah rakyat akan jatuh kepada nombor dua.

Sebagai Menteri yang bertanggungjawab kepada PLUS syarikat yang membina lebuh raya Malaysia, memang tidak boleh dinafikan Datuk Samy Vellu juga secara tidak langsung ada mempunyai kepentingan dalam syarikat pembinaan lebuhraya ini. Oleh itu setiap kali pihak PLUS memohon kenaikan bayaran tol lebuhraya, Datuk Samy Vellu tidak teragak-agak untuk menyokong permintaan PLUS itu dengan berkata, "permohonan oleh pihak PLUS untuk menaikkan tol itu memang tidak boleh ditolak lagi". Sepatutnya sebagai orang politik tentulah dia terlebih dahulu melihat kepada beban yang ditanggung rakyat di atas kenaikan tol itu tetapi ini tidak berlaku kepadanya. Akhirnya rakyat secara sendirian membuat protes hinggalah kerajaan terpaksa akur supaya kenaikannya dikaji semula. Kajian itu dibuat bukan dengan niat untuk mengurangkan beban rakyat tetapi lebih kepada untuk meredakan marah rakyat.

Sebagai untuk menunjukkan perihatin kepada masalah rakyat dan pengguna, maka dibentuklah satu kementerian yang dinamakan Kementerian Hal Ehwal Pengguna yang tugasnya mengambil berat kepada masalah-masalah barang-barang keperluan pengguna. Seperti yang disebut sebelum ini, oleh kerana pemimpin-pemimpin politik dan orang-orang yang memegang kuasa aktif terlibat dalam perniagaan maka peranan kementerian ini untuk menjaga kepentingan pengguna tidak dapat berjalan dengan begitu berkesan. Tugas mereka akhirnya jadi seperti melepaskan batuk ditangga.

Mereka tidak mungkin dapat memberi khidmat yang berkesan kerana mereka itu mempunyai kepentingan yang bercanggah. Sebagai contoh semasa perang harga minyak petrol sedang rancak berjalan, berkatalah Datuk Megat Junid menteri hal ehwal pengguna ini, "jika dibiarkan perang harga ini berterusan, syarikat minyak akan rugi dan mungkin tutup". Sebagai menteri hal ehwal pengguna sepatutnya dia sepatutnya suka perang harga itu berlaku kerana pengguna atau rakyat akan menikmati harga petrol yang rendah tetapi sebaliknya dia cuba menjaga kepentingan syarikat minyak.Bukanlah lebih baik dia menjadi Menteri Petrolium saja.

Selalu saja kita mendengar pembeli-pembeli rumah marah-marah dan keciwa kerana rumah mereka gagal disiapkan oleh pihak pemaju rumah dalam masa yang telah dijanjikan. Mereka terpaksa membayar pinjaman kepada bank walaupun rumah belum boleh diduduki. Ini sungguh membebankan pembeli kerana dalam masa yang sama mereka terpaksa membayar sewa rumah. Yang bertambah malang lagi beban biawak hidup yang dipikul oleh pembeli ini bukanlah disebabkan oleh kesalahan pembeli itu sendiri.

Ini tidak termasuk rasa tidak puas hati pembeli rumah terhadap kualiti rumah yang dijanjikan, masalah rumah terbengkalai dan sebagainya. Walaupun banyak aduan telah dibuat kepada pihak yang berkuasa seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan namun keadaanya tetap juga tidak berubah dan jawapannya yang biasa diterima oleh pembeli bagi menyedapkan hati mereka ialah, siasatan akan dijalankan. Satu sebab tindakan tegas tidak diambil terhadap pihak pemaju yang tidak bertanggungjawab ini ialah kerana pihak yang memegang kuasa dalam hal perumahan ini juga mempunyai kepentingan dalam syarikat-syarikat pemaju perumahan ini samada secara langsung atau pun secara tidak langsung.

Tidak hairanlah kalau nasib pembeli-pembeli rumah ini tidak mendapat pembelaan, dan setiap undang-undang yang digubal lebih berat melindungi pemaju dari membela pembeli. Selagi pihak yang memegang kuasa mempunyai kepentingan dalam projek-projek perumahan selagi itulah pembeli rumah tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Jika pihak berkuasa benar-benar ingin melihat pembeli mendapat layanan yang baik kenapa tidak syaratkan kepada pemaju rumah supaya membina rumah dahulu kemudian baru jual.

Kalau kereta yang berharga ratusan ribu ringgit boleh dibina dulu kemudian baru dijual kenapa rumah tidak boleh dibuatkan cara ini. Ataupun setidak-tidaknya pihak pemaju dikehendaki membayar bayaran bulanan kepada bank selagi pembeli tidak boleh menduduki rumah tersebut.

Dalam masa rakyat sibuk dengan isu nasib buruk hak asasi manusia di Malaysia di akhir-akhir ini, pihak kerajaan BN pula cuba menonjolkan diri sebagai hero hak asasi manusia dengan cuba mencadangkan penubuhan satu suruhanjaya hak asasi manusia peringkat Malaysia. Langkah ini dilihat oleh pengkritik sebagai menutup tindak-tanduk pihak kerajaan yang telah banyak melanggar dan mencabul hak manusia itu sendiri.

Pelaksanaan akta ISA yang mana akta seperti ini hanya wujud di tiga negara saja di dunia demokrasi itu jelas menunjukkan tidak prihatinnya kerajaan kita kepada hak asasi manusia. Apakah istimewanya demokrasi negara kita sehingga boleh menghalalkan akta ISA ini. Kepada pemimpin-pemimpin politik dan pemegang-pemegang kuasa seperti Malaysia isu hak asasi manusia adalah merupakan musuh yang boleh menggugat kekuasaan politik mereka.
Tidak mungkin ada orang yang ingin mempertahankan musuhnya. Akhirnya suruhanjaya hak asasi yang ingin ditubuhkan oleh pihak kerajaan ini hanya akan menjadi kuda tunggangan yang akan menghalalkan pelanggaran dan pencabulan oleh pihak yang berkuasa ke atas hak asasi manusia itu sendiri.

Contoh terdekat kita telah melihat BPR sebuah badan yang ditubuhkan bagimemerangi rasuah yang berlaku di Negara ini telah tidak dapat berjalan dengan berkesan bila ada kepentingan yang bercanggah. Oleh kerana adanya pengaruh kuasa politik, BPR tidak dapat menjalankan tugasnya denganbebas. Tambah malang BPR telah digunakan oleh pemimpin politik yang berkuasa untuk mengekalkan kuasanya. BPR boleh diarahkan oleh pemimpin politik ini untuk menyiasat rasuah musuh-musuh politiknya dan sebaliknyaboleh menahan BPR dari menyiasat kes rasuah suku sakat, rakan-rakan dan dirinya sendiri. Walaupun tujuan asal BPR itu bagus untuk membentuknegara yang bersih dari rasuah tetapi oleh kerana dia adalah badan yangdikuasai oleh pemimpin politik yang berkuasa maka BPR tidak dapatmenjalankan tugasnya dengan baik bila bercanggah dengan kepentingan pemimpin politik yang berkuasa.

Begitulah juga dengan nasib yang berlaku ke atas makamah negara kita, kita telah menyaksikan peguam negara dan makamah telah menjadi tunggangan pemimpin politik yang berkuasa bagi memperkukuhkan kuasanya.Musuh-musuh politik yang menggugat ditelanjangi dan direka kesalahannya di makamah sementara salah laku rakan dan sekutu politiknya di halang dari dihadapkan ke makamah. Hakim tidak dapat membuat keputusan dengan bebas di makamah sebaliknya hakim hanyalah membaca keputusan yang telah diberikan kepadanya.
Walaupun makamah masih dianggap adil kepada rakyat biasa tetapi bila melibatkan pemimpin politik yang berkuasa makamah tidak boleh membuat keputusan yang bercanggah dengan kepentingan pemimpin ini. Bila terhakis kebebasan makamah maka terhakis jugalah keadilan makamah itu.

Institusi polis juga tidak terlepas dari diperalatkan untuk menyekat kebebasan bersuara. Pihak polis berkuasa untuk memberi permit kepada pihak-pihak yang ingin mengadakan sebarang perhimpunan atas alasan kesalamatan awam. Kita tahu polis bukanlah satu badan yang benar-benar bebas. Ketua Polis Negara dilantik dengan restu Menteri dan Perdana Menteri. Perhimpunan yang bercanggah dengan kepentingan politik pemimpin yang berkuasa sudah tentu tidak akan mendapat permit polis.


Walaupun pada dasarnya rakyat negara ini boleh bebas berhimpun dan menunjuk perasaan mereka tetapi pemimpin politik yang berkuasa dapat menyekat rakyat dari berhimpun untuk menggugat kedudukannya dengan menggunakan kuasa yang ada pada polis ini. Akhirnya kebebasan berhimpun di negara kita ini hanya wujud secara teorinya saja, hakikatnya masih terdapat sekatan dan halangannya. Rakyat hanya mempunyai kebebasan untuk berhimpun dan menunjuk perasaan jika berhimpun untuk menyokong pendirian kerajaan.

Dengan terhakisnya kebebasan makamah dan institusi polis yang boleh dipertikaikan kewibawaannya maka undang-undang yang boleh menyekat seseorang yang bertanding dalam pilihanraya jika dia melakukan kesalahan yang dijatuhkan hukuman oleh makamah melebihi setahun penjara atau denda melebihi RM2000.00 nampaknya tidak lagi relevan di dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Kerana dibimbangkan undang-undang ini akan digunakan oleh pemimpin yang berkuasa untuk menghalang musuh-musuh politik beliau dari bertanding dalam pilihanraya dengan cara mereka-reka atau megada-ngadakan kesalahan mereka.


Media siaran di Malaysia juga samada yang diuruskan olehkerajaan atau pihak swasta jelas di kuasai oleh pemimpin politik yang berkuasa.Perlantikkan orang-orang yang mengetuai badan-badan siaran ini adalah secara langsung atau tak langsung mendapat restu dari pemimpin-pemimpin politik yang berkuasa. Di samping itu, kebenaran menerbit apa-apa juga media siaran adalah di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri yang tidak memungkinkan berita-berita dan pandangan-pandangan yang hendak disiar dan dihebahkan berlawanan dengan kepentingan kementerian ini.

Media siaran yang bebas adalah salah satu ciri yang harus ada dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Apalah yang kita hendak banggakan Malaysia sebagai sebuah Negara demokrasi sedangkan dalam masa yang sama pihak pemerintah cuba menghakis semangat demokrasi itu sendiri.


Cukupkah demokrasi itu hanya dengan peti undi saja? Apalah ertinya demokrasi tanpa adanya kebebasan bersuara, tanpa adanya kebebasan untuk berhimpun, tanpa media siaran yang bebas. Malah SPR yang mengedalikan pilihanraya di Malaysia ini pun telah dipertikaikan ketelusannya oleh orang ramai. Dari masalah pengundi hantu, kesalahan pendaftaran yang ketara, pendaftaran dengan kad pengenalan palsu, undi pos yang meragukan hinggalah kepada sistem pengesanannya yang begitu lemah. Selain itu jawatan pengerusi SPR yang bertanggugjawab mengendalikan pilihanraya di Malaysia ini juga dilantik oleh pemimpin politik yang berkuasa yang sudah tentunya sukar untuk dipastikan dia dapat berkecuali atau bebas dalam urusan kerjanya itu.

Sikap pemimpin berkuasa di Malaysia tidak mahu menerima pemerhati-pemerhati antarabangsa untuk memerhatikan perjalanan piliharaya di negara ini juga sungguh menghairankan kita. Apa ruginya kita membenarkan mereka datang untuk memerhati perjalanan pilihanraya kita malah kalau pilihanraya kita dapat diakui oleh mereka itu benar-benar bebas tentulah akan mengharumkan lagi nama Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi yang baik di dunia. Kecualilah kalau pemimpin yang berkuasa ini ingin mengamalkan taktik kotor dalam pilihanraya tentulah dia ada sebab berasa takut untuk menerima pemerhati-pemerhati luar ini.


Pernah di satu ketika semasa isu menghapuskan kekebalan Raja-raja sedang memuncak, berkatalah pemimpin politik yang berkuasa ketika itu, "pemimpin politik kalau tak betul rakyat boleh turunkan dia dengan peti undi atau pilihanraya, tetapi kalau raja buat salah, tidak ada cara kita boleh turunkan dia. Itulah sebab kenapa perlu raja boleh dihadapkan ke makamah". Tetapi dengan berbagai sekatan dan halangan yang dikenakan ke atas rakyat sekarang ini, peluang untuk kita menukar pemimpin politik yang membuat silap melalui peti undi ini amatlah sukar malah hampir mustahil berlaku. Nasib demokrasi di negara kita pada masa mendatang nampaknya semakin sempit dan kabur. Wallahualam.

Artikel ini telah ditulis dalam tahun 1999.

Tuesday, April 03, 2007

Ubatilah penyakit bukan sekadar mengubati tanda penyakit.

Gejala-gejala yang tidak senangi berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini adalah merupakan tanda-tanda penyakit akibat dari masyarakat yang sakit.

Contohnya bila ada pengguna-pengguna jalan raya yang tidak berdisiplin, melakukan kesalahan seperti memotong barisan, melanggar lampu isyarat, memandu laju, menukar lorong sesuka hati dan memotong dengan cara yang bahaya, semuanya itu mencerminkan sikap dan tabiat sebenar pengguna jalan raya itu sendiri.

Orang yang bersikap mementingkan diri sendiri, tidak perihatin dengan orang sekitarnya akan terbawa-bawa di jalan raya dan orang ini tidak teragak-agak untuk memotong barisan bila berlaku kesesakan jalan raya. Mereka akan memotong kenderaan yang lain dengan cara yang merbahaya tanpa memikirkan keselamatan pengguna yang lain.

Orang yang bersikap tamak pula dapat dilihat di jalanraya dengan cara mereka memandu yang suka menukar-nukar lorong. Apabila barisan kereta di lorong kiri lebih laju bergerak, dia akan mengalih pemanduan kesebelah kiri, kalau barisan sebelah kanan bergerak lebih laju, dia akan bertukar kesebelah kanan tanpa memikirkan perbuatannya itu akan menyusahkan pengguna-pengguna yang lain.

Orang yang gelojoh untuk mengejar keuntungan, sikapnya itu juga dapat dilihat di jalan raya. Mereka yang jenis ini suka memandu laju, melanggar lampu isyarat dan memotong dengan cara yang bahaya. Bagaimana dia begitu gelojoh untuk sampai ke destinasinya begitulah sikapnya yang gelojoh untuk mengejar keuntungan dan kekayaan dalam kehidupannya walaupun dengan jalan yang salah.

Tidak kurang juga pengguna-pengguna jalan raya yang bersikap menunjuk-nunjuk dan bangga diri akan terbawa-bawa perangai buruk mereka itu di jalanraya dengan menunjukkan kehebatan dengan mempamerkan kereta mewah mereka di jalanraya seolah-olah orang lain tidak mampu untuk memiliki kereta seperti dia. Ada juga ingin menunjuk-nunjuk yang kereta dialah yang paling laju atau dialah pemandu yang paling hebat dan bergaya.

Mereka yang mengalami tekanan emosi dan tekanan mental juga tidak kurang boleh mendatangkan merbahaya kepada diri mereka dan pengguna lain jika memandu. Mereka akan menggunakan jalan raya untuk melepaskan geram dan emosi mereka.

Sekiranya masyarakat kita tidak berpenyakit iaitu masyarakat yang betul-betul menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni seperti tidak tamak, tidak mementingkan diri sendiri, bertimbang rasa, perihatin dengan orang sekitar. Maka sudah pasti sifat-sifat yang mulia ini akan juga dipamirkan oleh mereka semasa mereka menggunakan jalan raya.

Begitu juga dengan masalah mat rempit, masalah dadah dan seks bebas, itu juga merupakan tanda-tanda penyakit yang datang dari masyarakat kita yang tempang dan sakit. Kehidupan masyarakat kita yang terlalu mementingkan keseronokan dan mengejar kebendaan telah menyebabkan anak-anak jadi terbiar dan terabai. Ibubapa sibuk bekerja mencari kesenangan dalam bentuk kebendaan, akibatnya anak-anak kurang mendapat kasih sayang dan didikan yang baik.

Akhirnya ramai anak-anak mencari keseronokan dan kasih sayang di luar rumah. Mereka sentiasa saja berasa tidak cukup dan tidak puas dengan keseronokan yang mereka dapat. Mereka sentiasa mencari-cari keseronokan baru sehingga boleh mendatangkan bahaya dan merosakkan diri mereka sendiri seperti mencuba dadah, berlumba haram dan melakukan seks bebas.

Rasuah, merompak, meragut, menipu, mencuri, mencemar alam sekitar dan membuang sampah merata-rata adalah juga gejala yang timbul akibat dari masyarakat kita yang sudah hilang dari menghayati nilai-nilai baik seperti bekerja keras, rajin, semangat juang tinggi, berperinsip, bersih, bertanggungjawab, ikhlas dan jujur.

Sekadar mengeluarkan saman, mendenda, menghukum penjara orang yang melakukan kesalahan dan menangkap serta mengaibkan orang yang berkhalwat bukanlah benar-benar dapat menyelesaikan masalah selagi punca penyakit tidak diubati.

Thursday, March 01, 2007

Syiah lahir hasil dari perbalahan politik

Selepas kewafatan Saidina Othman bin Affan sebagai Khalifah umat Islam, orang Islam di Tanah Arab telah berpecah untuk menentukan siapa yang sepatutnya yang paling layak untuk mengambil alih jawatan Khalifah. Di waktu itu terdapat dua tokoh yang sangat berwibawa iaitu Saidina Ali bin Abi Talib yang mendapat sokongan kuat penduduk Mekah dan Madinah dan seorang lagi Muawiyah bin Abu Sufian yang merupakan Gabenor di wilayah Syam yang sangat dihormati dan berpengaruh kuat di wilayah tersebut. Bermula dari krisis kepimpinan antara Saidina Ali bin Abi Talib dan Muawiyah inilah tercetusnya fahaman Syiah.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan fahaman Syiah ini diwujudkan bagi kepentingan politik pihak tertentu. Biasanya bila berlaku krisis politik antara dua pihak yang ingin merebut kekuasaan, masing-masing akan menggunakan apa cara sekalipun untuk mendapatkan kemenangan. Ini termasuklah menggunakan agama untuk menjayakan cita-cita politik mereka.

Begitu jelas di dalam sejarah Islam, semasa Saidina Ali menjawat jawatan Khalifah, tidak pernah kita dengar dari mulut Saidina Ali sendiri yang mengatakan Khalifah Abu Bakar, Khalifah Omar dan Khalifah Osman adalah orang-orang yang patut dibenci sebagaimana orang-orang berfahaman Syiah hari ini membenci nama-nama tersebut.

Kalaulah Saidina Abu Bakar, Saidina Omar dan Saidina Osman adalah orang yang telah membuat salah tentulah semasa Saidini Ali memegang tampuk kuasa sebagai Khalifah, beliau tidak akan teragak-agak untuk memaklumkan kepada umat Islam di waktu itu akan kesalahan mereka dan mereka patut dicela.

Kenapa pula ada di kalangan setengah fahaman Syiah terlalu benci dengan Khalifah Abu Bakar, Omar dan Osman sehingga berasa malu untuk menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama khalifah tersebut. Padahal Saidina Ali yang diagung-agungkan oleh pihak Syiah ini tidak pernah pun memburuk-burukan dan membenci para sahabat tersebut. Kenapa pula mereka sanggup melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Saidina Ali sendiri.

Mereka boleh kata, Saidina Ali tidak berani atau segan untuk menegur atau mendedahkan kesalahan Khalifah Abu Bakar, Omar dan Osman semasa pemerintahan khalifah-khalifah tersebut. Tetapi apa alasan untuk beliau tidak berbuat demikian semasa beliau sendiri berkuasa setelah dilantik menjadi Khalifah.

Berbanding dengan orang Islam yang berfahaman sunah waljamaah yang sebenar, mereka lebih mementingkan keluhuran agama dan tidak mahu agama digunakan untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu. Mereka melihat dan memuliakan Saidina Ali sama seperti Saidina Abu Bakar, Omar dan Osman. Mengiktiraf keempat-empat mereka sama taraf sebagai Khulafak Ar Rasyidin.

Malah pengasas mazhab sunnah waljamaah seperti Imam Syafie, Imam Hambal dan Imam Hanafi pernah dipenjara dan disiksa oleh pemerintah kerana tidak sanggup menggadaikan kebenaran agama Islam.

Pihak Syiah memburuk-burukan Abu Bakar dan Omar dengan mengatakan mereka lebih mementingkan jawatan Khalifah daripada menguruskan jenazah baginda Rasulullah semasa baginda wafat. Saidina Ali mereka puji kerana melakukan perkara yang sebaliknya. Kenapa kita harus memperlekehkan Abu Bakar dan Omar dalam hal ini kerana kedua-dua perkara itu sama pentingnya.

Semasa Saidina Ali menguruskan jenazah Rasulullah, Abu Bakar melihat pentingnya bagi meneruskan risalah Rasul bagi menyelamatkan manusia untuk beriman kepada Allah yang Maha Esa. Dan inilah tujuan utama Rasul diturunkan Allah, apakah perkara ini kurang penting dari menguruskan jenazah Rasul.

Malah Saidina Abu Bakar sendiri telah memulangkan semula semua wang gaji jawatan Khalifahnya kerana bimbang tidak mendapat keredaan Allah s.w.t, kerana pada pendapat beliau Rasulullah sendiri tidak pernah mengambil upah dalam tugas menyebarkan syiar Islam. Apakah dengan itu masih sanggup kita menuduh Abu Bakar lebih mementingkan jawatan Khalifah?

Kita telah melihat bagaimana penggunaan agama untuk kepentingan cita-cita politik ini telah banyak berlaku hinggalah ke hari ini. Namun fahaman Syiah ini adalah antara contoh yang paling awal dalam sejarah Islam di mana agama telah digunakan untuk kepentingan politik.


Pastinya kita sudah dapat membaca tujuan mereka memburuk-burukkan Abu Bakar, Omar dan Osman itu adalah untuk menonjolkan Ali sebagai seorang yang lebih baik dan lebih mulia. Dengan cara ini mereka beranggapan dapat mengalihkan sokongan umat Islam kepada gerakan Syiah. Inilah yang dikatakan penggunaan taktik kotor dalam politik. Mereka menggunakan nama Saidina Ali agar umat Islam menyokong kepimpinan dan politik mereka. Cerita-cerita kehebatan Saidina Ali direka-reka secara berlebihan. Ada di kalangan mereka mendewa-dewakan Saidina Ali sehingga boleh membawa ke tahap memesongkan akidah.


Malangnya ada sesetengah umat Islam tidak menyedari yang diri mereka telah digunakan untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu. Akhirnya mereka terus taksub dengan kumpulan dan fahaman mereka. Cara terbaik untuk mengukur kebenaran fahaman yang kita anuti ialah dengan kembali kepada ajaran Quran dan Sunah Rasul.

Wednesday, February 14, 2007

Betulkah perang itu suatu jenayah?

Apabila berlaku perselisihan faham antara dua orang sehingga salah seorang dari mereka menjadi hilang sabar dan terus menyerang lawannya dengan menggunakan kekerasan, maka dari segi undang-undangnya orang yang menyerang menggunakan kekerasan itu boleh didakwa telah melakukan jenayah.

Maksud menggunakan kekerasan di sini ialah apa saja cara yang beliau gunakan yang boleh membawa kecederaan atau kematian kepada lawannya termasuklah menampar, menumbuk, menendang, menanduk, menolak atau menggunakan senjata serperti kayu, besi, senjata tajam, senjata api atau lain-lain yang seumpamanya.

Sekalipun pihak yang melakukan kekerasan itu berada di pihak yang benar dalam sesuatu pertelingkahan yang menjadi punca mereka bergaduh, tetapi dia tetap dianggap melakukan jenayah kerana telah melakukan kekerasan.

Namun begitu orang yang menggunakan kekerasan untuk melawan dan mempertahankan dirinya dari terus dicederakan, tidaklah dianggap sebagai melakukan jenayah. Demi untuk menjaga keselamatan dari cedera dan kematian kita wajib untuk mempertahankan diri kita dari diserang selagi kita berdaya.

Kalau pertelingkahan yang membabitkan kekerasan itu berlaku antara dua individu atau antara dua kumpulan, kita selalu merujuknya sebagai pergaduhan. Tetapi bila melibatkan antara dua negara, kita merujuknya sebagai perang.

Di zaman dahulu adalah satu perkara biasa jika satu negara menyerang negara yang lain sebagai satu cara untuk menguasai kekayaan dan wilayah. Banyaklah rakyat yang tidak berdosa terbunuh dan sengsara bila berlaku peperangan.

Saya fikir di zaman sekarang yang lebih bertamaddun ini tentulah tidak wajar kita menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan perselisihan faham yang berlaku antara kita. Kalau berlaku pertengkaran antara kita yang menyebabkan masing-masing tidak puas hati, kita ada makamah untuk menyelesaikan perselisihan kita itu.

Tapi mungkin juga kadang-kadang bila mengingatkan prosedur makamah yang agak rumit dan mahal menyebabkan ada di kalangan orang awam lebih suka mengambil tindakan mengikut cara mereka sendiri.

Di peringkat negara pun harus ada nilai seperti itu, negara yang menyerang negara lain hendaklah dianggap melakukan jenayah. Mana-mana negara yang memulakan peperangan mestilah dihukum kerana telah melakukan jenayah. Dan negara yang diserang pula wajib untuk membalas serangan tersebut sebagai mempertahankan negaranya.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sepatutnya memainkan peranan penting dan harus diberi mandat untuk menjadi makamah dunia bagi mengadili jika berlaku perselisihan faham antara negara-negara ahlinya. Malah PBB juga harus ada kuasa untuk menghukum negara-negara yang melakukan jenayah perang ini.

Sekalipun Bush dan Blair ada alasan kuat untuk menyerang Iraq, namun di zaman manusia yang lebih bertamaddun ini kita tidak boleh terima untuk sebuah negara menyerang mana-mana negara lain.

Kita sokong usaha mereka untuk memerangi kekaganasan tetapi bukan dengan cara memerangi negara lain. Kesalahan mereka bukan kerana memerangi kegaganasan tetapi kerana menyerang negara Iraq. Jenayah perang harus menerima hukuman.

Artikel ini juga telah tersiar dalam ruangan surat pembaca Malaysiakini:

http://www.malaysiakini.com/letters/63686

Friday, February 09, 2007

Nasib Si Ibu Tua

Dalam Quran Tuhan telah mensarankan kepada kita supaya mendoakan ibubapa kita seperti berikut:

“Wahai Tuhan kasihani ibubapa ku seperti mana mereka telah mengasihani daku semasa aku kecil dahulu”.

Tidak ada ibu yang tidak sayangkan anaknya semasa anaknya kecil, ibu sanggup bangun dari tidur di tengah malam kerana hendak menyusukan anaknya. Ibu begitu sabar menghadapi segala macam kerenah anak-anak mereka semasa membesarkan mereka.Terlalu besar pengorbanan ibubapa kita dalam membesarkan kita semua, yang tak mungkin dapat kita membalasnya.

Walaupun setelah kita dewasa ini, ibu dan bapa kita mungkin ada yang tidak meyayangi kita lagi seperti dulu atau mereka lebih menyayangi adik beradik kita yang lain lebih dari kita, tetapi apalah sangat kekurangan itu berbanding apa yang telah mereka korbankan untuk kita semasa kecil dahulu.

Bila ibu sudah tua kebanyakan anak-anak cuba mahu mencari-cari alasan untuk tidak mahu memelihara atau menjaga mereka. Anak yang muda kata, anak yang sulunglah patut menjaga ibu mereka, anak yang lelaki pula kata, anak perempuanlah yang sesuai untuk menjaga ibu mereka, anak yang kurang berada pula kata, anak yang lebih beradalah sepatutnya menjaga ibu mereka dan bermacam-macam lagilah alasan yang mereka timbulkan bagi mengelak dari memikul tanggungjawab tersebut.

Sudah menjadi sikap orang kita sangat suka mencari alasan untuk mengelak dari bertanggungjawab tapi jarang sekali untuk memberi alasan untuk mengambil tanggungjawab. Sebagai contoh bila datang lewat, alasannya ialah kerana trafik jam.
Sebaiknya dia patut bersikap lebih rasa bertanggungjawab dengan memberi alasan, “Saya terpaksa bangun awal untuk mengelakkan trafik jam“.

Begitu jugalah dalam menjaga ibu yang sudah tua ini, sepatutnya anak-anak yang baik akan member alasan-alasan untuk bertanggungjawab seperti, saya anak yang tua sayalah yang sepatutnya menjaga ibu, atau saya mempunyai pendapatan yang lebih jadi saya patut menjaga ibu, atau saya anak perempuan jadi saya rasa ibu lebih sesuai tinggal dengan saya, atau saya anak lelaki sayalah patutnya menjaga ibu, atau anak-anak saya tak ramai jadi saya rasa ibu lebih sesuai tinggal dengan saya, atau isteri saya tak berkerja jadi saya rasa ibu lebih sesuai tinggal bersama saya.

Sebaliknya anak-anak yang bersikap buruk akan mencari segala macam alasan dan kekurangan yang ada padanya untuk mengelak dari memikul tanggungjawab. Seperti pendapatan saya kecil, isteri saya berkerja, anak-anak saya ramai, saya terlalu sibuk, ibu tak suka dengan isteri saya, suami saya tak suka dengan ibu, rumah saya sempit, rumah saya bertangga dan macam-macam lagi.

Bila suami isteri bercerai, suami isteri sanggup naik turun makamah semata-mata berebut untuk mendapat hak penjagaan anak-anak mereka. Tapi sayang tak ada kita dengar anak-anak yang mahu berebut untuk menjaga ibu mereka yang sudah tua. Sungguh saya berasa bangga kalau ada anak-anak yang sanggup naik makamah kerana berebut hendak menjaga ibu mereka yang sudah tua, tapi saya rasa perkara seperti ini mustahil boleh berlaku.

Namun begitu ada juga anak yang mahu mengenang kebaikan ibu bapa mereka. Mereka menjaga ibubapa mereka kerana adanya perasaan kasih sayang dan mahu menjadi anak yang bertanggungjawab.

Kadang-kadang kita rasa kesal juga terhadap sesetengah anak, bila sudah ada salah seorang dari adik beradik yang rela mahu menjaga ibu mereka, adik beradik yang lain itu pula langsung tidak ambil peduli. Mentang-mentang sudah ada orang yang sanggup menjaga ibu mereka jadi mereka rasa tak perlu lagi untuk bertanggungjawab.

Kalau ada adik beradik lain yang sanggup menjaga ibu kita, ini tidak bermakna kita boleh terus terlepas dari tanggungjawab tersebut. Kita yang tidak menjaga kena jugalah hulur-hulur dan menyumbang apa saja bantuan yang patut kepada adik beradik yang menjaga ibu kita itu. Janganlah buat derk ajer.

Wahai Tuhan yang Maha Pemurah, andainya tulisanku ini dapat memberi manafaat kepada pembacanya yang kerananya dapat mendatangkan pahala kepadaku walau barang sedikit pun maka aku sedekahkan akan dia kepada ibubapaku yang telah banyak berkorban dan berjasa padaku dan tiadalah terbalas oleh ku akan jasa dan pengorbanan mereka itu. Hanya Engkau sahajalah yang dapat membalasnya, sesungguhnya rahmat Mu amat luas, Engkaulah yang mengasihani dari segala yang mengasihani.

Friday, February 02, 2007

Motivasi Unggul

Kesusahan dan kemiskinan hidup kadang-kadang boleh menjadi sebagai pendorong kepada kita untuk menjadi seorang yang berjaya.

Saya masih ingat semasa saya kecil iaitu di era tahun 60 an, kehidupan keluarga kami ketika itu memang susah dan daif. Ketika itu ibu sering memperingatkan saya belajar rajin-rajin supaya boleh berjaya dalam pelajaran hingga ke peringkat lebih tinggi supaya boleh dapat pekerjaan bergaji besar.

Di waktu itu kesusahan hiduplah yang mendorong kita untuk berjaya dalam pelajaran. Hanya kejayaan dalam pelajaran sahaja yang boleh menjamin kehidupan yang lebih baik. Ini kerana di masa itu ibubapa kita melihat orang yang mempunyai pendapatan yang baik, yang punya kehidupan yang lebih mewah dalam masyarakat seperti guru, doktor, jurutera, pegawai-pegawai pentadbir kerajaan adalah merupakan orang yang mempunyai kelulusan tinggi dalam pelajaran.

Mereka telah dapat memiliki jawatan-jawatan itu kerana kejayaan mereka dalam pelajarannya, lagi tinggi kelulusan pelajaran mereka, lagi tinggilah gaji atau pendapatan mereka. Kesenangan hidup yang mereka perolehi itu telah menjadi dorongan kepada anak-anak dari golongan susah dan miskin untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah keadaan hidup kepada yang lebih baik dan selesa.

Tetapi sekarang di era tahun 2000 ini lebih ramai rakyat Malaysia yang mempunyai kehidupan yang selesa. Rata-ratanya mempunyai pekerjaan yang tetap, mampu memiliki kenderaan dan rumah yang baik. Anak-anak mereka tidak lagi mengalami rasa susah seperti yang mereka alami pada masa yang lampau. Apa saja kehendak anak-anak akan dapat dipenuhi oleh ibubapa mereka. Dorongan untuk mereka belajar rajin-rajin hampir tidak ada kerana mereka tidak pernah merasakan hidup susah.

Kehidupan anak-anak zaman sekarang yang tidak pernah merasa kesusahan dan kemiskinan tidak dapat memberi semangat untuk mereka belajar bersungguh-sungguh. Malah mereka lebih suka untuk berhibur dan membuang masa bersama rakan-rakan mereka. Masa yang sepatutnya digunakan untuk mentelaah pelajaran dan mendapatkan kemahiran mereka habiskan untuk mencari hiburan dan keseronokan.

Bentuk hiburan yang mereka cari sentiasa saja tidak pernah memuaskan hati mereka. Sehinggalah ada yang mencari bentuk hiburan yang boleh merbahayakan diri mereka seperti lumba haram, dadah dan hubungan seks bebas semata-mata untuk memenuhi keseronokan.

Kalau zaman dulu kesusahan hidup telah menjadi dorongan untuk seseorang itu belajar bersungguh-sungguh tetapi kini faktor itu tidak boleh lagi dijadikan sebagai pendorong kerana rata-ratanya anak-anak muda sekarang hidup dalam keluarga senang.

Oleh itu di zaman ini kita kenalah mencari pendekatan yang lain untuk menjadi pendorong kepada anak-anak kita untuk mereka rajin belajar.

Kalau di barat, naluri ingin tahu yang dipupuk kepada anak-anak mereka adalah menjadi pendorong utama untuk mereka belajar dan mendalami sesuatu bidang. Perasaan ingin tahu yang kuat yang dimiliki oleh orang-orang barat ini telah membuatkan mereka sentiasa maju kedepan berbanding bangsa-bangsa di dunia ini.

Mereka sanggup mengorbankan masa, keseronokan dan keselesaan hidup semata-mata untuk mengkaji atau mempelajari bidang-bidang yang mereka minati atau yang mereka ingin tahu. Mereka berlumba-lumba untuk menjadi orang pertama dalam suatu penemuan dan penciptaan.

Mungkin juga keghairahan untuk mendapat nama sebagai orang pertama yang berjaya dalam suatu penemuan dan penciptaan menjadikan mereka berlumba-lumba, tetapi saya rasa dorongan oleh perasaan ingin tahu itulah yang menjadi faktor utama membuatkan mereka dapat mencapai kejayaan itu.

Apakah kita juga hendak mengambil pendekatan yang menjadi amalan orang barat ini? Setelah melihat kejayaan orang barat ini, mungkin kita juga boleh mengambil naluri ingin tahu ini untuk disemai kepada anak-anak kita untuk menjadi pendorong untuk mereka belajar rajin-rajin.

Tetapi bagi saya, kalau kita melihat semula kepada agama kita, di sana juga ada pendorong yang lebih kuat untuk menjadikan kita bangsa yang maju dan berjaya.

Banyak firman-firman dalam Quran yang menyatakan Tuhan akan menganugerahkan syurga kepada orang Islam sekiranya mereka beriman dan membuat kebaikan. Sebagai orang Islam kehidupan yang abadi ialah di alam akhirat. Semua dari kita mahu menjadi penghuni syurga di alam abadi itu.

Tidak semua orang layak memasuki syurga kecuali kepada mereka yang memenuhi kehendak atau syarat dari Tuhan tadi iaitu mereka yang beriman dan banyak membuat kebaikan. Antara ayat-ayat yang menyebutkan perkara tersebut adalah seperti:

“Sesungguhnya orang2 yang beriman dan mengerjakan amal saleh mereka itu adalah sebaik2 makhluk. Balasan bagi mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga ‘Adn…..” ayat 6-7 Surah Al Bayyinah.

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan amal saleh….” Surah Al Ashr.

Saya rasa inilah pendorong yang paling terbaik untuk menjadikan kita orang yang maju dan berjaya. Kalau kita betul-betul dapat menghayati firman Tuhan ini barang sudah tentu kita tidak punya cukup masa untuk hal-hal lain, tidak ada masa untuk memikirkan keseronokan, semuanya kita akan tumpukan untuk membuat kebaikan atau membuat sesuatu yang akan memberi manafaat kepada manusia.

Semua tenaga, fikiran dan masa yang kita ada akan dicurahkan untuk kearah membuat kebaikan. Saya percaya berasaskan pegangan inilah yang telah banyak mendorong Abu Sina , Sinan, Al Jabar, Al Khawarizmi dan ramai lagi cendiakawan Islam di suatu masa dulu mengungguli segala bidang keilmuan seperti sains, teknologi, astronomi, kejuruteraan, pelayaran dan perubatan.

Segala sumbangan mereka yang begitu banyak itu telah banyak memberi manafaat kepada manusia hinggalah ke hari ini dan memang layaklah untuk mereka mendapat anugerah syurga dari Tuhan seperti yang telah dijanjikanNya. Apatah lagi mereka itu tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan dunia, hanya mengharapkan balasan dari Tuhannya sahaja.

Kalaulah pegangan ini dapat dikembalikan semula untuk dihayati oleh generasi zaman ini, saya percaya ia akan menjadi pendorong kepada pelajar kita untuk belajar bersungguh-sungguh kerana pada minda mereka telah tersemat bahawa dengan ilmu yang mereka pelajari itu akan dapat digunakan untuk membuat kebaikan yang akan memberi manafaat kepada manusia.

Kesannya kepada golongan pekerja pula, semangat bekerja akan bertambah kuat, khidmat yang diberikan akan cuba diberi sebaik mungkin, kerja tidak lagi semata-mata mengharapkan gaji dan upah. Konsep kalau ada upah baru buat kerja, bukanlah lagi menjadi pegangan yang utama.

Kepada peniaga pula berniaga bukanlah untuk semata-mata mencari keuntungan tetapi lebih utama lagi dapat memberi khidmat kepada orang ramai untuk mendapatkan barang-barang keperluan mereka. Peniaga ini akan bekerja bersungguh-sungguh bukan untuk mengejar keuntungan tetapi untuk memberi khidmat kepada pengguna seramai dan sebaik yang mungkin. Balasan yang yang mereka harapkan bukanlah keuntungan dunia tetapi balasan dari Tuhan itulah yang menjadi harapan sebenar mereka.

Pengilang dan pengeluar barangan keperluan pula akan mengeluarkan barang-barang yang berkualiti yang dapat memberi kebaikan kepada orang ramai, jauh sekali dari berniat mengeluarkan barang-barang atau menggunakan bahan-bahan yang boleh memudaratkan kehidupan dan kesihatan manusia.

Seandainya semua kita dapat berpegang dan menghayati firman Tuhan di atas sudah tentu semua orang akan bergerak kearah satu tujuan iaitu berlumba-lumba untuk melakukan atau menyumbang kepada kebaikan, sebanyak dan sebaik mungkin. Saya rasa inilah satu-satunya pendekatan yang paling unggul yang dapat menjadi pendorong utama untuk kita menjadi umat terbilang.

Wallahulam..

Friday, January 19, 2007

Khalifah Umar Abdul Aziz

Kita mahu kalau boleh Raja kita atau Perdana Menteri kita atau pemimpin-pemimpin kita berkelakuan seperti Khalifah Umar Abdul Aziz. Banyak kita dengar cerita-cerita tentang Khalifah Umar Abdul Aziz yang begitu amanah dan takwa orangnya. Ramai di kalangan kita suka membandingkan sifat mulia Umar itu dengan sifat yang dimiliki pemimpin kita tetapi tidak pernah pula membandingkannya dengan diri kita sendiri.


Pernah satu ketika seorang pensyarah di universiti memberi khutbah Jumaat menggesa pemimpin negara mencontohi tingkah laku Khalifah Umar Abdul Aziz. Tetapi sayangnya di masa yang lain, apabila berbual hal-hal yang peribadi iaitu pasal kereta dan pasal rumah dengan rakan-rakan di biliknya tidak pula pernah ia cuba untuk memadamkan lampu dan alat pedingin biliknya seperti yang dilakukan oleh Umar apabila ada orang datang mengunjunginya bukan atas urusan kerja. Bagi saya tingkah laku Umar Abdul Aziz bukan hanya perlu dicontohi oleh pemimpin sahaja tetapi perlu dicontohi oleh semua orang.


Sudah menjadi tabiat dikalangan orang-orang kita, suka menyuruh orang lain berkelakuan baik tetapi diri sendiri tak pernah diperiksa, seperti kata bidalan; ‘kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi’. Dakwah itu mestilah dimulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu sebelum cuba berdakwah kepada orang lain, barulah hasilnya lebih berjaya. Pemimpin yang baik itu adalah datang dari masyarakat yang baik juga.


Tidak mungkin kita dapat memilih pemimpin yang baik dikalangan kumpulan samseng. Di zaman Khalifah Umar Abdul Aziz itupun bukanlah bermakna beliau seorang sahaja yang bersifat takwa dan amanah tetapi sebenarnya majoriti rakyatnya adalah juga bersifat demikian. Tetapi oleh kerana Umar adalah Khalifah maka cerita-cerita mengenai dirinya tentulah lebih menonjol daripada cerita-cerita rakyat kebanyakan.



Kita sebagai pekerja memang patut mecontohi nilai-nilai mulia yang dimiliki oleh Umar Abdul Aziz ini terutamanya tentang sifat amanahnya. Seorang pekerja yang baik dan amanah bukan sahaja tidak mengambil dan mengguna barang-barang dan kemudahan pejabatnya untuk kepentingan peribadi dan keluarga malah ia sanggup pula berkorban untuk menggunakan barang-barang peribadinya untuk kegunaan pejabat.


Pekerja yang takwa akan sentiasa berasa bimbang kalau-kalau wang gaji yang diterimanya setiap bulan itu tidak setimpal dengan kerja dan keringat yang telah disumbangkannya. Gaji yang terlalu tinggi yang tak sepadan dengan kerja yang dilakukan tentulah akan menjadi haram. Orang yang bersifat takwa tentu sekali akan berasa bimbang pada setiap kali menerima gaji, bimbang kalau-kalau wang gaji itu terkandung bahagian yang ia tidak patut terima.


Setakat ini belum pernah pula kita dengar orang datang kepada majikannya untuk memulangkan sebahagian wang gajinya atas alasan kerja yang dilakukannya pada bulan itu tidak sepadan dengan wang gaji yang ia terima. Yang banyak kita dengar ialah orang datang kepada majikannya untuk menuntut kenaikan gaji, tetapi mungkin juga agaknya mereka berasa gaji yang mereka terima itu terlalu sedikit berbanding dengan kerja yang terlalu banyak.

Wednesday, January 10, 2007

Poligami dan Shahrizat Jalil

Semua kita maklum poligami adalah suatu benda yang sangat dibenci oleh golongan wanita Melayu. Tidak hairanlah kalau menteri yang menjaga hal ehwal wanita Shahrizat Jalil begitu pantas memberi respon bila ada akhbar melaporkan kononnya ada ura-ura Menteri Besar Terengganu ingin memberi anugerah kepada lelaki yang mengamalkan poligami.

Mungkin respon pantas dari Shahrizat itu kerana dia memang tidak senang dengan poligami. Atau mungkin juga dia sebagai orang politik ingin dilihat sebagai pejuang dan sentiasa menjaga kepentingan golongan wanita.

Tentulah tidak wajar kalau dia hanya berdiam diri saja bila cadangan memberi anugerah itu dilihat benar-benar mencabar maruah dan seperti mempermain-mainkan golongan wanita, sedangkan beliau adalah menteri yang menjaga hal ehwal wanita.

Apa pun alasannya, luahan tidak senang hati oleh Shahrizat itu mencerminkan negatifnya pandangan wanita Melayu kepada poligami. Poligami itu lumrahnya dikaitkan kepada benda-benda yang buruk. Mereka melihat poligami sesuatu yang mesti dijauhi malah kalau boleh perlu disekat dengan apa cara sekali pun.

Kadang-kadang tindak tanduk dan sikap benci yang ditunjukkan oleh wanita kepada poligami ini seolah-olah mereka itu lupa poligami adalah suatu perkara yang dihalalkan oleh Tuhan. Adalah suatu yang tidak munasabah kalau Tuhan menghalalkan benda yang tidak baik.

Kadang-kadang kita telah terbiasa dengan norma yang di bawa dari barat sehingga semua norma yang datang dari barat itu semuanya dianggap betul dan baik. Apakah kerana orang barat melarang poligami maka kita pun mesti juga melarang poligami.

Apakah apabila wanita barat boleh berpakaian bakini di pantai dan di kolam renang maka kita pun mengatakan tidak salah juga untuk wanita-wanita Melayu kita berpakaian bakini bila berada di pantai dan kolam renang.

Malah kita melihat suatu yang janggal dan sinis bila ada pihak yang ingin mengasingkan kolam renang lelaki dan perempuan, kerana ini suatu yang tidak pernah dibuat oleh barat.

Malah kadang-kadang kita rasa bernasib baik juga kerana dari dulu lagi orang barat telah mengasingkan tandas lelaki dan tandas wanita, dan ini telah menjadi suatu norma yang mereka amalkan hingga hari ini, kebetulan pula norma ini memang selaras dengan kehendak agama kita.

Bayangkanlah kalau tandas tidak mengasingkan lelaki dan perempuan dari dulu telah menjadi norma barat, tentu kita juga akan menurutnya sama. Akan menjadi suatu yang lumrahlah pada hari ini orang lelaki dan perempuan memasuki satu tandas yang sama.

Dan kalau ada orang Malaysia hari ini yang cuba hendak mengasingkan tandas perempuan dan tandas lelaki, tentulah akan dilihat sinis juga kerana melakukan suatu yang di luar kebiasaan. Saya percaya Shahrizat sekali lagi selaku menteri yang menjaga hal ehwal wanita pasti juga menjadi orang pertama yang akan menentangnya atas alasan ’mendiskriminasi’ kaum wanita.

Dari kita membuang masa dari menentang poligami yang dihalalkan Tuhan itu lebih baiklah kita menumpukan perhatian kita untuk membela nasib kaum wanita yang masih ramai tidak terbela itu. Apakah kita rasa suka bila ramai golongan wanita kita terjebak dalam kancah maksiat, menjadi perempuan simpanan.

Kes Norita yang masih segar dalam ingatan kita itu adalah secebis kisah yang mendedahkan adanya wanita-wanita kita hidup menjadi perempuan simpanan yang jauh tersasar dari kehendak agama kita.

Walaupun ada sebahagian mereka hidup mewah kerana menjadi perempuan simpanan, tetapi apakah kehidupan seperti lebih baik dari poligami.

Hampir tidak ada usaha dan undang-undang untuk menyekat kehidupan tanpa nikah ini berbanding berbagai undang-undang dan syarat yang diada-adakan untuk menyusahkan orang lelaki untuk mengamalkan poligami. Itu belum lagi termasuk susahnya untuk berdepan dengan isteri pertama.

Kadang-kadang rasa kesal juga kerana orang barat dari dulu telah tidak mengamalkan poligami sebagai satu norma kehidupan mereka. Kalau orang barat mengamalkan poligami tentu tidak ada pihak yang berani menentang poligami. Kerana yang menentang akan dianggap kolot dan tidak liberal.

Monday, December 18, 2006

Siapalah yang Nak Sakit

Satu masa dulu rakyat negara kita telah dikejutkan dengan berita sebuah hospital swasta tidak mahu merawat seorang pemuda yang luka parah akibat ditikam oleh penjenayah gara-gara pemuda itu tidak dapat mengadakan wang deposit yang agak besar juga jumlahnya. Akibatnya pemuda itu mati disebabkan lewat mendapat rawatan. Ekoran peristiwa itu orang ramai begitu kesal dengan tindakan hospital itu kerana pada fikiran mereka di waktu kecemasan hospital tersebut masih lagi mementingkan keuntungan wang ringgit berbanding untuk menyelamatkan nyawa.

Peristiwa pahit ini telah memberi satu tanggapan kepada orang ramai yang kewujudan hospital swasta di negara ini adalah semata untuk mencari keuntungan dari khidmat yang mereka berikan kepada pesakit.

Sebelum wujudnya hospital swasta, rakyat yang sakit akan pergi ke hospital kerajaan untuk menerima rawatan. Di hospital kerajaan setiap rakyat negara ini mendapat rawatan secara percuma dan kalau pun dikenakan bayaran, bayaran yang dikenakan sangatlah rendah.

Selama ini memberi rawatan kepada rakyat yang sakit dan memberi pelajaran kepada rakyat adalah dianggap menjadi tanggungjawab pihak kerajaan. Pelajaran adalah penting untuk menyediakan rakyat yang berilmu pengetahuan bagi memajukan negara manakala rakyat yang sihat pula penting untuk memastikan produktiviti negara tidak terjejas. Tidak hairanlah kalau selama ini kerajaan sanggup menanggung biaya hospital dan sekolah.

Di Jerman contohnya, setiap orang yang belajar di sana tidak dikenakan apa-apa yuran sekalipun hingga ke peringkat universiti. Di United Kingdom pula rakyatnya yang sakit mendapat rawatan secara percuma sepenuhnya dengan tidak mengorbankan keselesaan dan kualiti rawatan. Ini menunjukkan betapa kerajaan kedua-dua negara maju ini memandang begitu penting kepada pelajaran dan kesihatan bagi menjamin kesinambungan kemakmuran negara mereka.

Apabila bilangan rakyat negara kita bertambah ramai, negara pula semakin maju, cara hidup rakyat pun berubah, penyakit mula datang dan menyerang dalam berbagai bentuk; amalan hidup yang tidak sihat, pemakanan yang tidak seimbang, kurang bersenam, penyediaan makanan yang tercemar oleh bahan kimia dan toksid, menjadikan peratusan bilangan pesakit setiap tahun bertambah.

Kerajaan tidak lagi dapat menampung jumlah pesakit yang sangat ramai, kerajaan terpaksa menggunakan wang yang banyak untuk menanggung kos ubatan dan gaji doktor yang tinggi. Akhirnya banyaklah kelemahan-kelemahan atau kekurangan yang terdapat pada hospital kerajaan yang sering menjadi rungutan orang ramai. Akhirnya lahirlah hospital swasta untuk mengisi kekurangan ini.

Hospital swasta menjadi tarikan kepada golongan yang berduit, di sana mereka dapat layanan dan rawatan yang terbaik. Bagi golongan kaya, harga tidak menjadi masalah asalkan khidmat yang diberi memuaskan hati mereka.

Kerana permintaan yang menggalakan dari golongan yang berada, perniagaan hospital swasta telah membawa pulangan yang memberangsangkan. Ramailah pelabur melabur dalam perniagaan hospital swasta ini. Hasilnya semakin banyak hospital swasta tumbuh di negara ini. Apabila hospital swasta bertambah banyak, mereka bukan sahaja bersaingan dengan hospital kerajaan tetapi juga bersaing antara hospital swasta itu sendiri.

Untuk menjaga kepentingan pelabur, pihak pengurus hospital sawasta ini sentiasa memikirkan untuk membuat keuntungan dari perniagaan hospital ini. Mungkin sebab ini jugalah mereka keberatan menerima kes-kes kecemasan kecuali pesakit terlebih dahulu membayar deposit untuk mendapat rawatan. Tentunya untuk memberi rawatan percuma atau murah kepada pesakit tidak ada langsung dalam pemikiran pengurusan hospital swasta ini.

Semua kos perbelanjaan untuk mengurus dan mengendalikan hospital swasta ini memang sepenuhnya datang dari duit pesakit mereka. Duit itulah juga digunakan untuk membayar gaji pekerja dan gaji doktor-doktor mereka, dan kita juga tahu gaji doktor mereka lebih tinggi dari doktor yang bekerja di hospital kerajaan.

Tidak boleh dinafikan kewujudan hospital-hospital swasta ini telah dapat mengurangkan sedikit beban kerajaan untuk menyediakan kemudahan rawatan kepada rakyat yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan sepenuhnya.

Ada juga dicadangkan supaya golongan yang berpendapat tinggi dikenakan sedikit bayaran bila mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, dengan cara ini bayaran itu dapat membantu kerajaan menampung untuk menyediakan kemudahan hospital kerajaan yang lebih baik, berkualiti dan lebih mesra pesakit.

Dengan cara lain mungkin kerajaan boleh memberi subsidi kepada hospital-hospital yang ada. Dengan adanya subsidi ini hospital swasta ini tidaklah terlalu bergantung kepada duit pesakit, malah hospital swasta ini boleh pula menawarkan harga rawatan yang lebih rendah kepada pesakit mereka. Harga rawatan yang rendah akan menarik lebih ramai pesakit dari kalangan rakyat berpendapatan sederhana untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta. Mungkin juga tidak akan berlaku lagi kes hospital swasta menolak pesakit yang ingin mendapatkan rawatan kecemasan.

Sekurang-kurangnya dengan memberi subsidi, kerajaan dapat mengurangkan tanggungjawabnya dalam mengurus dan mengendali hospital, sebaliknya hanya menjadi sebagai badan pemantau. Walaupun nampak seperti kerajaan terpaksa keluar belanja untuk memberi subsidi tetapi ini masih lagi untung berbanding untuk menyediakan hospital yang berkualiti secara percuma kepada seluruh rakyat.

Yang mungkin perlu difikirkan oleh pihak kerajaan ialah bagaimana mekanisma yang perlu diwujudkan supaya subsidi ini tidak disalah guna atau ‘bocor’ seperti yang berlaku pada subsidi minyak diesel.

Artikel ini juga pernah keluar di Malaysiakini:
http://www.malaysiakini.com/letters/61005

Thursday, November 30, 2006

Sensitiviti Kaum Sampai Bila?

Beberapa ucapan berbau perkauman telah dilontarkan oleh beberapa perwakilan Umno dalam perhimpunan parti Umno tahun 2006 yang lalu bukan mencerminkan sikap keseluruhan orang Melayu.

Tetapi oleh kerana ia diucapkan oleh orang-orang politik yang mewakili suara ramai, tentulah ucapan itu tidak boleh dipandang ringan dalam sebuah negara yang berbilang kaum.

Malah ada dicadangkan pada masa depan perhimpunan parti politik tidak boleh lagi dibuat secara siaran langsung di TV bagi mengelakkan isu-isu sensitif yang menyentuh kaum lain dari tersebar keluar.

Semua fenomena yang berlaku ini seperti memberi isyarat kepada kita betapa setelah 50 tahun merdeka, masyarakat kita masih belum cukup matang bila mengeluarkan kata-kata atau ucapan. Menunjukkan ada di antara kita tidak sensitif terhadap keperluan dan kehendak kaum lain. Atau mungkin juga kaum yang mendengar kata-kata itu telah menjadi sensitif bila ada kaum lain meyentuh hal-hal yang berkaitan dengan kaumnya.

Ini mungkin terjadi akibat kita terlalu sangat ingin menjaga hati kaum-kaum lain sehinggakan kita tidak dapat menerima kritikan kaum lain dan begitulah juga sebaliknya.

Andai kata kita mempunyai seorang sahabat karib yang kita kenal dari bangku sekolah lagi, tentu secara semulajadinya kita akan menyayangi kawan kita itu. Kalau kita membuat kritikan dan teguran kepadanya tentulah kita membuat teguran itu dengan ikhlas demi kebaikan sahabat kita itu juga.

Begitu juga kalau kita ditegur dan dikritik oleh sahabat karib kita itu, tentu kita akan berasa suka dan berlapang dada dengan teguran tersebut kerana kita tahu teguran sahabat kita itu memang berniat baik.

Pepatah Melayu ada mengatakan ‘tak kenal maka tak cinta’. Dengan melihat kepada keadaan masyarakat kita sekarang ini, susah untuk melihat dua orang dari kaum yang berlainan dapat menjadi sahabat karib. Kalau ada pun terlalu sedikit bilangannya. Tanyalah pada diri kita adakah kita mempunyai sahabat karib dari kaum lain? Kalau ada seorang sahabat karib kita yang datang dari kaum lain pun sudah boleh dibanggakan. Bukan kita tidak mahu bersahabat tetapi peluang untuk menjadi sahabat itu hampir tidak ada sama sekali.

Bermula dengan sekolah yang berasingan mengikut kaum, kemudian kita bekerja di lapangan yang juga mengikut kaum. Macam mana kita boleh menjadi sahabat karib sedangkan kesempatan untuk bergaul dan bertemu pun tidak ada?

Akhirnya kita hidup di dalam satu negara yang sama tetapi bekerja untuk ‘survival’ kaum masing-masing. Seolah-olah kita berada dalam sebuah negara yang mengamalkan ‘apartheid’ yang bukan didokong oleh undang-undang tetapi hati kita sendiri yang mahukannya begitu.

Struktur masyarakat kita yang membentuk polarisasi kaum inilah yang telah membentuk cara berpolitik masyarakat kita. Secara teorinya memang mudah parti PPP mahu bergabung dengan parti Gerakan kerana dasar perjuangan kedua-dua parti itu hampir sama, yang tidak berasaskan kaum.

Tetapi secara realitinya, ia tidak akan menjadi kenyataan, malah adalah lebih mudah jika Gerakan bergabung dengan MCA dan juga lebih mudah untuk PPP bergabung dengan MIC. Tentu tuan-tuan telah dapat menelah maksud saya itu.

Walaupun kita tidak mampu memaksa warga yang berlainan kaum ini menjadi sahabat karib tetapi usaha yang serius perlulah dilakukan dari sekarang supaya dapat mengubah keadaan ini.

Kita boleh menawarkan insentif-insentif tertentu untuk menggalakan anak-anak kita bersekolah di sekolah yang sama. Insentif juga patut diberikan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai pekerja yang berbilang kaum di setiap peringkat. Mungkin juga memberi insentif yang menarik kepada taman-taman perumahan yang kejiranannya terdiri dari berbagai kaum.

Seterusnya memberi galakan atau insentif kepada persatuan-persatuan yang ahli-ahlinya melibatkan semua kaum. Walaupun untuk jangka pendek kita terpaksa berbelanja besar bagi mewujudkan insentif-insentif ini tetapi jangka panjang ia akan menguntungkan negara.

Apa yang kita ingin tuai pada masa akan datang adalah bergantung kepada apa yang kita semai pada hari ini.


Artikel ini telah juga tersiar di Malaysiakini:
http://www.malaysiakini.com/letters/60215

Tuesday, November 21, 2006

Apa itu Dakwah?

Alhamdulillah minat orang Melayu untuk menghayati ajaran agamanya diakhir-akhir ini sangat menggalakan. Kita harus memberi pujian kepada kumpulan-kumpulan dakwah samada yang berdaftar atau yang tak berdaftar dan parti-parti politik yang telah banyak memberi sumbangan dalam menyebar dan memperjuangkan Islam di negara ini. Walaupun niat kumpulan dakwah dan parti politik ini begitu murni tetapi kadang-kadang cara mereka mencapai matlamat itu tidaklah semurni matlamatnya.


Sepatutnya apabila kita hendak mencapai sesuatu yang baik maka cara kita bertindak juga mestilah baik, barulah perjuangan kita direstui Allah. Nabi pernah ditawarkan menjadi raja oleh Arab mushrikin dengan syarat dia meninggalkan agama Islam. Kalau ikut fikiran kita, baik juga kalau nabi terima tawaran itu dan selepas jadi raja dan berkuasa bolehlah dipaksa orang masuk Islam. Tetapi itu bukanlah cara yang Allah reda, cara yang Allah hendaki adalah cara yang Nabi telah tunjukkan kepada kita.


Itulah sahaja cara kalau Islam hendak menguasai dunia. Untuk medapatkan hasil yang murni, caranya juga mesti murni. Allah tidak akan tanya hasil yang telah kita capai tetapi Allah tanya bagaimana usaha yang telah kita lakukan, adakah usaha kita itu bertepatan dengan kehendakNya atau pun tidak. Sebagai contoh, tidaklah menjadi soal berapa banyak duit yang telah kita kumpul tetapi akan ditanya kepada kita ialah bagaimana cara kita mendapatkan duit itu dan cara kita membelanjakannya, halal atau haram.

Kadang-kadang kita rasa terkilan juga dengan sikap yang ditunjukkan oleh sesetengah anggota kumpulan dakwah yang lari dari matlamat asal untuk mengajak manusia menghayati ajaran Islam bertukar menjadi mengajak manusia menjadi ahli kumpulannya. Sehingga ada yang beranggapan tidak sempurna Islam seseorang itu selagi tidak memasuki kumpulannya. Sikap seperti ini begitu bahaya yang akan menyebakan umat Islam berpecah dan berpuak kepada kumpulan-kumpulan yang tertentu.


Malah lebih bahaya dari perpecahan yang disebabkan oleh perbezaan parti politik. Kita semua sudah maklum, umat Islam telah berpecah belah disebabkan oleh perbezaan parti politik mereka. Walaupun kumpulan-kumpulan dakwah ini bukan merupakan parti-parti politik tetapi apa yang kita nampak, keadaan akhirnya sama sahaja seperti parti-parti politik malah lebih teruk lagi yang mana juga menyebabkan umat Islam berpecah dan berpuak-puak mengikut kumpulan mereka.

Tiadalah salah kita membentuk kumpulan dakwah untuk memudahkan kita menjalankan kegiatan dakwah supaya lebih berkesan berbanding jika dilakukan secara sendirian. Secara kumpulan kita lebih mudah untuk mengamal dan menghayati ajaran Islam yang syumul itu. Yang salahnya apabila kita taksub dengan kumpulan kita dengan menafikan atau meremehkan kumpulan-kumpulan lain. Mereka menganggap kumpulan mereka sahaja yang paling betul, yang betul-betul mengikut sunah manakala kumpulan lain tidak.


Tafsiran kumpulan-kumpulan dakwah yang ada pada hari ini terhadap Islam samalah bandingannya seperti cerita beberapa orang buta yang mentafsirkan gambaran rupa seekor gajah, sibuta yang memegang belalai gajah mengatakan gajah itu seperti ular, kawannya yang memegang bahagian telinga gajah mengatakan gajah itu seperti nyiru, manakala yang memegang bahagian perut gajah mengatakan gajah itu seperti dinding, dan begitulah juga dengan orang buta yang lain itu, mereka mentafsirkan gajah mengikut bahagian mana yang mereka pegang. Walaupun kita tahu apa yang ditafsirkan oleh kesemua orang buta itu tentang rupa gajah adalah tidak tepat sama sekali tetapi kita tidaklah boleh tuduh mereka salah. Apa yang mereka gambarkan itu memanglah sebahagian dari gambaran gajah.


Kalaulah semua sibuta itu dapat menerima pandangan dari rakan-rakannya yang lain dengan hati yang terbuka tentulah mereka akan dapat mengambarkan gajah itu dengan gambaran yang lebih sempurna iaitu gambaran ular tadi beserta gambaran nyiru, gambaran dinding dan gambaran lain-lainnya itu dicantumkan sekali. Sebaliknya jika mereka bertelagah dan tidak mahu menerima pandangan antara satu sama lain maka selamanyalah masing-masing kekal dengan gambaran yang tidak tepat tentang rupa gajah. Begitulah jugalah yang akan terjadi kepada kumpulan-kumpulan dakwah yang ada hari ini, jika mereka bersifat taksub tidak mahu menerima pandangan antara satu sama lain maka kekallah masing-masing dengan tafsiran yang sempit tentang Islam.

Pada masa ini bukan ada lagi manusia yang bergelar nabi. Hanya nabi sahaja yang boleh berhubung secara lansung dengan Tuhan. Kalau ada nabi barulah kita tahu secara total kumpulan atau puak siapa yang paling betul. Selagi Nabi Isa tidak turun janganlah kita begitu sombong untuk mendakwa kumpulan kitalah yang paling betul. Apa yang sepatutnya kita lakukan ialah sentiasa berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki amalan dan penghayatan kepada nilai-nilai murni yang dianjurkan Islam. Berusahalah mengajak manusia kepada ajaran Islam bukan mengajak manusia masuk kumpulan kita.


Berlapang dadalah dengan kumpulan-kumpulan lain dan bekerjasamalah dengan mereka dalam mengajak manusia kepada Islam. Kalaulah betul matlamat kita hanya satu iaitu mengajak manusia beriman dan menghayati Islam maka tidak ada sebab kita tidak boleh bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan lain dalam mencapai matlamat tersebut. Mengapa pula kita perlu bersaing dan meremehkan kumpulan-kumpulan yang lain.


Insyaallah dengan usaha yang ikhlas dan penuh takwa, kita akan sentiasa ditunjukkan Allah kepada jalan yang betul dan diredainya. Tuhan itu Maha Pemurah lagi Maha Pengampun, sekalipun ijtihad kita salah namun tetap diberi ganjaran. Paling betul bukanlah menjadi keutamaan tetapi yang lebih penting ialah keikhlasan dan ketakwaan kita kepadaNya. Jadikanlah diri kita suka kepada kebenaran. Orang yang sombong ialah orang yang menolak kebenaran.

Nilai Melayu yang diturun diturun dari generasi ke generasi

Orang melayu memang terkenal dengan sifat santunnya. Sebagai contoh, mereka bukan sahaja tunduk dan mejulurkan tangan apabila terpaksa lalu di depan orang malah hendak lalu dibelakang orang pun mereka akan meminta izin dulu kepada orang tersebut. Apabila mereka menutup pintu, mereka akan menutupnya dengan perlahan.

Menutup pintu sehingga berdentum adalah dianggap tidak bersopan. Semasa makan di dalam suatu jamuan, seseorang yang hampir dengan bekas nasi akan mengambilkan nasi untuk orang-orang lain di sekelilingnya dan akhir sekali barulah ia mengambil nasi untuk dirinya sendiri.


Selalunya orang yang duduk paling jauh akan menerima nasinya dahulu. Orang Melayu sangat menghormati orang-orang yang lebih tua darinya. Tidaklah manis kalau bercakap dengan orang yang lebih tua dengan menggunakan perkataan ganti diri ‘engkau’ atau memanggil namanya bila berbicara, sebaliknya perkataan yang biasa digunakan adalah abang, kakak, pak cik, mak cik, tok, nenek dan sebagainya mengikut peringkat umur mereka.

Kesantunan orang-orang Melayu seperti digambarkan oleh beberapa contoh di atas kelihatannya begitu indah dan mempersonakan. Ditambah pula ugama Islam yang menjadi anutan orang-orang Melayu sangat menganjurkan berlaku baik sesama manusia, maka sifat santun yang dimiliki oleh orang-orang Melayu itu sangatlah bertepatan dengan nilai agama Islam itu sendiri.


Tetapi malangnya kesantunan orang Melayu ini tidak pula dilanjutkan kepada perkara-perkara lain dalam kehidupan moden ini. Ada di antara mereka tidak ada rasa apa-apa malah ada yang berasa megah apabila meninggikan bunyi injin motosikalnya ketika lalu di depan orang ramai ataupun lalu di depan rumah orang. Walaupun mereka sudah maklum bunyi bising motor itu boleh menyakitkan telinga orang yang mendengarnya dan juga boleh mengejutkan bayi yang sedang tidur tetapi mereka seperti tidak mahu memperdulikannya kerana bagi mereka perbuatan santun hanya untuk perkara-perkara yang tertentu sahaja.


Santun semasa membawa motorsikal tidak pernah termaktub dalam budaya orang Melayu. Di sinilah dapat diperhatikan nilai santun orang Melayu itu tidak dapat dilanjutkan kepada benda-benda yang baru yang nenek moyang mereka tidak pernah jumpa atau mengalaminya. Sebab itulah orang Melayu tak segan silu memotong barisan apabila berlaku kesesakan lalu lintas di jalan raya. Orang Melayu tak rasa malu untuk berebut naik bas dan berebut untuk mendapatkan borang permohonan rumah kos rendah.


Ini berlaku kerana perkara santun yang mereka hayati selama ini tidak termasuk perkara-perkara yang disebutkan tadi. Tidaklah menjadi kebiasaan kepada orang Melayu untuk membukakan pintu untuk orang lain dan tidak pernah dilakukan oleh orang Melayu untuk memimpin orang tua menaiki bas sehingga ketempat duduknya. Nilai baik yang seperti ini tidak pernah diturunkan kepada orang Melayu, walaupun perbuatan tadi adalah merupakan amalan biasa masyarakat Inggeris.

Bolehlah diambil kesimpulan bahawa sifat santun yang dihayati oleh kebanyakan orang Melayu selama ini adalah merupakan perbuatan yang diturunkan dari generasi ke generasi dan bukan merupakan nilai yang dihayati. Kalau sifat santun itu merupakan nilai yang dihayati tentulah mereka akan sentiasa berlaku santun dalam apa jua keadaan. Tentu sifat santun itu akan dapat dilanjutkan kepada kehidupan moden yang telah banyak berubah ini.

Thursday, October 19, 2006

Pembentukan Insan yang Takwa

Firman Allah di dalam Al Quran yang bermaksud, "Tidak memadai dengan hanya berkata tiada tuhan melainkan Allah, bahkan mereka itu akan diuji".

Setiap manusia yang beriman akan diuji oleh Allah dalam berbagai-bagai bentuk ujian. Mereka akan diuji dengan kemiskinan, dengan penyakit, dengan kelaparan dan kebuluran, dengan kesusahan dan kesengsaraan, dengan kehilangan harta benda yang disayang dan tidak kurang juga diuji dengan kemewahan, kekayaan dan kuasa.

Hanya orang-orang yang takwa sahaja yang berjaya menghadapi ujian-ujian dari Allah ini. Orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang takwa. Perbandingannya samalah sperti kita hendak menganugerahkan diploma atau ijazah dalam satu-satu bidang kepada seseorang maka mereka hendaklah melalui beberapa peperiksaan atau ujian sebelum diploma atau ijazah itu boleh dianugerahkan kepadanya. Untuk lulus dalam peperiksaan kita kenalah belajar dengan bersungguh-sungguh dan kena rajin membuat ulangkaji dan latihan-latihan.

Selalunya di sekolah-sekolah atau institut pengajian memang ada kurikulum atau sukatan pelajaran yang perlu kita ikuti sebelum kita diuji dalam satu-satu peperiksaan itu. Biasanya pelajar yang dapat mengikuti sukatan pelajaran ini dengan baik dan bersungguh-sungguh mempunyai peluang yang cerah untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan yang bakal dihadapi. Manakala pelajar yang malas atau tidak mahu belajar tentulah akan gagal.

Untuk membentuk insan yang takwa, Allah juga telah menyediakan kepada hambanya berbagai-bagai latihan bagi tujuan itu. Ada latihan itu perlu dilakukan secara harian, ada secara mingguan, ada secara bulanan dan ada juga secara tahunan. Latihan membentuk insan takwa yang dimaksudkan itu ialah sembahyang, puasa, zakat, korban, haji dan lain-lain lagi. Hambanya yang dapat melakukan latihan-latihan ini dengan baik dan istiqamah tentulah mempunyai peluang cerah untuk berjaya dalam segala ujian yang ditimpakan ke atasnya. Manakala kepada hambanya yang malas dan engkar menjalani latihan-latihan yang disediakanNya itu pastilah akan gagal menghadapi segala ujian dariNya itu.

Sembahyang melatih kita merendah diri dan tunduk kepada Allah pencipta kita. Sembahyang melatih kita tidak tunduk atau menyembah kepada yang lain selain Allah. Zikir dan sembahyang akan mengingatkan kita kepada Allah. Apabila kita sentiasa ingat kepada Allah maka sukarlah kita hendak melakukan perkara yang bertentangan dengan nilai agama, kerana kita merasakan sentiasa dalam perhatian Allah.

Puasa dapat melatih diri kita sabar bila menghadapi kelaparan, kebuluran dan kesusahan jika ditimpakan Allah kepada kita. Kita tidak akan berasa takut jika musuh Islam mengancam kita dengan kelaparan, kemiskinan dan kesusahan kerana kita telah terlatih untuk menghadapi suasana begini dalam ibadah puasa. Orang yang takwa adalah orang yang bermaruah dan punya harga diri, ketakutannya hanya kepada Allah semata. Mereka tidak akan menggadaikan prinsipnya untuk ditukar dengan keuntungan dunia.

Latihan dalam ibadah zakat dan korban mengajarkan mereka sentiasa prihatin kepada orang lain, tidak hanya hidup mementingkan diri sendiri sahaja. Mereka akan reda dan sabar jika kehilangan benda-benda yang mereka sayang kerana hati mereka telah dididik untuk menghadapi suasana seperti ini di dalam ibadah korban. Di dalam ibadah zakat dan korban ini mereka dilatih menjadi seorang yang pemurah, suka memberi dan sebaliknya tidak kedekut dan tidak suka meminta-minta.

Begitu jugalah dengan ibadah-ibadah lain itu yang tidak sempat dihuraikan di sini, semuanya itu adalah bentuk-bentuk latihan yang disediakan oleh Allah kepada hambanya untuk menjadi insan yang takwa. Oleh itu marilah kita mengerjakan ibadah-ibadah ini dengan sebaik-baiknya dan istiqamah bagi menyediakan diri kita menjadi orang yang takwa, orang yang paling mulia di sisi Allah. Wallahualam.

Tuesday, October 17, 2006

Taktik menakut-nakutkan oleh Lee Kuan Yew

Isu peminggiran kaum Cina di Malaysia dan Indonesia secara sistematik terlalu relatif dan subjektif. Pada pandangan Lee Kuan Yew, peminggiran berlaku tetapi kepada pemimpin Malaysia dan Indonesia tuduhan itu adalah tidak benar.

Bagi saya, dakwaan Lee Kuan Yew itu sekalipun benar, ia mempunyai tujuan yang lebih dari itu. Ia merupakan suatu strategi politik bagi terus mendapat sokongan rakyat Singapura kepada parti yang diwakilinya.

Satu taktik yang paling berkesan untuk menarik sokongan rakyat kepada parti ialah dengan cara menakut-nakutkan. Taktik ini bukan saja telah banyak kali digunakan oleh Lee Kuan Yew tetapi juga digunakan oleh ahli-ahli politik negara kita.

Kesilapan yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew ialah dia mengeluarkan kenyataan itu secara terbuka dan di depan wartawan luar negara. Bila dibuat secara terbuka maka pemimpin Indonesia dan Malaysia terpaksa bertindak balas kepada kenyataan itu.

Berbanding dengan ahli-ahli politik di Malaysia, taktik menakutkan ini dilakukan secara berhati-hati dan kalaupun menyentuh soal kaum, ia akan dibuat di majlis tertutup yang dihadiri oleh kaum-kaum tertentu sahaja.

Dulu pernah juga sekali Lee Kuan Yew menakut-nakutkan rakyatnya dengan mengatakan Singapura tidak ada pilihan melainkan bercantum semula dengan Malaysia jika rakyatnya tidak dapat mempertahankan kedudukan ekonomi mereka.

Taktik menakut-nakutkan ini ternyata amat berkesan dan saya tidak fikir Lee Kuan Yew akan berhenti menggunakannya sebagai salah satu senjata politiknya pada masa depan.

Sebaliknya tentulah tidak memberi apa-apa faedah politik kepada Lee Kuan Yew kalau dia mengakui kaum Melayu di Singapura telah dipinggir secara sistematik di negara itu, walaupun ia adalah suatu yang amat ketara.

Artikel ini pernah keluar pada Malaysiakini:
http://www.malaysiakini.com/letters/58161

Friday, September 08, 2006

Bekerja Untuk Nama

Sudah diketahui umum adanya kaitan yang rapat antara nama yang popular dengan banyaknya imbuhan yang diperolehi.

Atas kepercayaan itulah kebanyakan kita berusaha kearah bekerja untuk mendapatkan nama kerana bila kita ada nama maka cepat dan mudahlah untuk kita naik ke atas dalam jabatan dan tentulah gaji kita akan meningkat.

Kadang-kadang kalau ada kelemahan yang berlaku dalam jabatan atau di tempat kita bekerja akan cuba disorokkan dari diketahui orang ramai demi menjaga nama kita. Sebaliknya kalau ada kejayaan yang kita lakukan dalam jabatan kita walaupun tak sebesar mana akan ditonjolkan secara berlebihan agar nama kita akan diketahui orang.

Itulah budaya yang semakin menular dalam masyarakat kita sekarang ini, bekerja untuk nama dan ada yang melabelkannya sebagai budaya ‘tumpang semangkuk’.

Budaya sonsang ini telah banyak memporak perondakan kehidupan kita sehingga telah mengganggu cara kehidupan kita yang sepatutnya lebih bermaruah.

Umpamanya kalau disekolah-sekolah ada guru-guru yang berhempas pulas menunjuk ajar murid-murid mereka agar ramai murid-murid ini yang akan mendapat gred A atau lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan. Ini adalah kesan dari prestasi seorang guru dan guru besar itu diukur dari berapa ramai murid di suatu sekolah itu mendapat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR atau SPM.

Makin ramai murid di suatu sekolah itu yang lulus cemerlang dalam peperiksaan utama tersebut, makin harumlah nama sekolah itu dan sudah tentulah juga guru-guru dan guru besar yang bertanggungjawab di atas kejayaan itu akan mendapat perhatian ramai. Seterusnya peluang untuk naik pangkat dan mendapat anugerah juga menjadi lebih cerah.

Maka tidak hairanlah kita sebagai natijahnya, cara pengajaran di sekolah-sekolah hari ini lebih berorentasikan peperiksaan. Tujuan asal peperiksaan dan ujian diadakan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran adalah untuk melatih pelajar menggunakan daya fikir mereka bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Melalui ujian dan peperiksaan kita dapat mewujudkan murid-murid yang berkemampuan berfikir.

Apa yang kita dapati di sekolah-sekolah hari ini, kesan dari bekerja untuk nama ini, murid-murid didedahkan dengan contoh-contoh soalan peperiksaaan dan guru akan menunjukkan murid-murid ini cara menyelesaikan soalan-soalan tersebut. Dengan cara demikian murid-murid akan menjadi mahir untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan kerana mereka telah diberitahu cara untuk menyelesaikannya.

Walaupun murid-murid ini akan mendapat kelulusan cemerlang dalam peperiksaan utama yang disebutkan tadi tetapi ini tidak bermakna murid-murid tersebut terdiri dari murid yang boleh berfikir kerana ada kemungkinan mereka telah menghafal dan tahu cara penyelesaian soalan peperiksaan itu dari apa yang telah diajar oleh guru mereka.

Dengan itu tujuan asal peperiksaan itu diwujudkan untuk menghasilkan insan yang boleh berfikir tidak mencapai matlamatnya sebaliknya kita hanya berjaya mewujudkan insan yang tahu mengguna dan menghafal kaedah yang disediakan, tak ubah seperti robot.

Sepatunya apa yang hendak kita keluarkan dari sistem persekolahan kita ialah manusia yang boleh berfikir dan mencipta, bukannya manusia yang seperti robot, hanya setakat tahu membuat kerja-kerja yang telah diprogramkan sahaja.

Membuat soalan peperiksaan bukanlah suatu perkara yang mudah. Soalan itu dibuat supaya murid dapat menggunakan daya fikir mereka di samping pengetahuan yang telah mereka belajar. Di sinilah kita akan dapat menguji setakat mana murid itu boleh berfikir dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang diberi.

Oleh kerana kita tidak mampu membuat soalan peperiksaan yang betul-betul berbeza pada setiap tahun peperiksaan maka ada kemungkinan soalan yang hampir sama bentuk dan konsepnya akan diulang semula pada peperiksaan di tahun-tahun akan datang. Luang inilah yang akan digunakan oleh sebahagian murid-murid yang mampu menghafal berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan walaupun tanpa menggunakan fikiran.

Kiranya tiada usaha untuk membetulkan sistem pengajaran dan pembelajaran yang berorentasikan peperiksaan ini, kita bimbang negara kita tidak akan dapat mengeluarkan modal insan kelas pertama seperti yang kita rancangkan.

Artikel ini juga pernah tersiar dalam Malaysiakini ruangan letters:

http://www.malaysiakini.com/letters/61338

Wednesday, August 23, 2006

Buang Bayi

Di akhir-akhir ini berita buang bayi kerap sangat kedengaran di negara kita ini. Betapa seriusnya masalah ini sehingga pernah pihak berkuasa mecadangkan supaya bank bayi diwujudkan bagi menyelamatkan nyawa bayi yang bakal menjadi mangsa pembuangan ini. Bagaimanapun cadangan itu terpaksa dibatalkan kerana bantahan dari masyarakat dan ahli agama yang memandang pegwujudan bank bayi itu sebagai benda yang negatif dan ‘memalukan’.


Sebenarnya ibu yang melahirkan anak luar nikah ini bukannya tidak sayang kepada anaknya. Ibu mana yang tidak sayangkan anak, binatang yang tidak mempunyai akal fikiran itu pun mempunyai rasa kasih sayang terhadap anak-anaknya apatah lagi kita manusia yang diberi akal fikiran ini. Yang membuatkan ibu-ibu tersebut melahirkan anaknya secara rahsia dan kemudian membuang bayi ini adalah kerana tidak sanggup menanggung malu dan berdepan dengan masyarakat.


Perasaan malu untuk berdepan dengan masyarakat akibat perbuatan sumbangnya itu mengatasi rasa kasih sayangnya terhadap bayi yang dilahirkannya itu. Kita hanya tahu mencerca mereka sahaja bila kita melihat atau mendengar bayi-bayi yang tak berdosa itu dibuang di merata-rata tempat. Tetapi fikirkanlah kalau kita sendiri berada di tempat mereka, kita juga mungkin akan melakukan perkara yang sama kerana sememangnya tiada pilihan lain. Itu sahaja cara yang dapat menutup perasaan malu dari dihina masyarakat.


Dalam perkara membuang bayi ini kita sebagai anggota masyarakat harus juga dipersalahkan. Kita selalunya memandang hina kepada mereka yang mengandungkan anak luar nikah tetapi kita tidak pernah memandang hina kepada anak-anak muda yang bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Padahal pergaulan bebas inilah punca sebenar kepada masalah buang bayi ini. Kita tidak pernah melarang dan mencaci anak-anak muda kita yang bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Di dalam Quran, Tuhan bukan sahaja melarang perbuatan zina tetapi perkara-perkara yang mendekatkan kepada zina juga turut dilarang.


Pergaulan bebas lelaki perempuan itu adalah satu perkara yang mendekatkan kepada zina yang sepatutnya anggota masyarakat membenci dan membenterasnya secara bersungguh-sungguh. Kalau di zaman dulu terutamanya di kampong-kampong, seorang wanita berjalan seiring dengan seorang lelaki tanpa ada orang ketiga boleh dianggap salah dan dilarang, tetapi zaman sekarang kalau lelaki dan wanita berjalan berpimpin tangan atau berjalan sambil berpelukan sudah menjadi perkara biasa kepada kita.


Zaman dulu kalau ada perempuan yang melahirkan anak luar nikah memanglah wajar mereka menerima penghinaan kerana perkara-perkara yang medekatkan kepada zina itu memang dilarang dan dibenci oleh masyarakat di masa itu. Tetapi di masa ini apakah wajarnya kita untuk menghina perempuan yang melahirkan anak luar nikah ini sedangkan perkara yang mendekatkan kepada zina seperti pergaulan bebas ini kita biarkan tanpa kutukan.


Zina tidak akan berlaku jika tidak dimulakan dengan perkara-perkara yang boleh mendekatkan kepadanya. Sebelum suatu perbuatan zina itu boleh berlansung mestilah ia dimulakan dengan bunga-bunganya. Zina yang berlaku tanpa bunga zina adalah dipanggil rogol.

Balik Raya

Balik beraya juga kadangkala boleh memberi masalah kepada pasangan suami isteri terutamanya kepada pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Pasangan yang sedang bercinta atau yang akan melansungkan perkahwinan jarang sekali memikirkan hendak beraya di mana setelah mereka berkahwin nanti. Setelah berkahwin mulalah berbalah hendak balik beraya di rumah keluarga ibubapa masing-masing.


Si isteri hendak beraya di rumah ibubapanya begitu juga si suami ingin beraya di rumah ibubapa dia. Tersilap langkah kalau tidak kena rundingnya boleh berlaku pertengkaran antara suami dan isteri tersebut. Malah ada yang sampai jadi kes polis. Tujuan raya ialah untuk bergembira tetapi kalau suami isteri bergaduh bolehkah raya itu disambut dengan gembira. Hari yang sepatutnya untuk bergembira menjadi hari untuk mereka berduka.


Di Malaysia masalah balik raya ini hanya berlaku kepada kaum Melayu sahaja tetapi ia tidak berlaku kepada kaum Cina ketika mereka menyambut Tahun Baru Cina. Ini kerana kaum Cina memang telah ada peraturan atau adat yang telah mengaturkan perkara ini sehingga ia tidak menimbulkan masalah atau menjadi suatu isu kepada mereka. Mengikut adat kaum Cina, si isteri mesti mengikut suami balik beraya di rumah keluarga suami. Adat ini tidak boleh dilanggar kerana ia telah menjadi satu hukum agama kepada mereka. Di dalam Islam ada dinyatakan dengan jelas bahawa suami adalah merupakan ketua di dalam rumah tangga.


Selaku ketua suami berhak membuat sebarang keputusan manakala si isteri harus patuh kepada semua keputusan yang dibuat oleh suami asalkan perkara-perkara yang diputuskan itu tidak tidak melanggar batas-batas syarak. Si isteri mempunyai hak untuk memberi nasihat dan cadangan kepada suaminya tetapi kata putusnya tetap pada suami. Kalau suami sudah memutuskan untuk balik beraya di rumah keluarganya (keluarga suami) maka tidak wajar si isteri membantah keputusan itu sehingga menimbulkan pergaduhan. Membantah keputusan yang dibuat oleh suami itu boleh dianggap sebagai melakukan dosa kerana balik beraya di rumah keluarga suami itu bukanlah perkara yang melanggar batas syarak.


Sebenarnya hak suami sebagai ketua keluarga ini memang telah jelas, malangnya ada di antara para isteri yang memandang ringan perkara ini. Bezanya antara peraturan kaum Cina dan Islam dalam masalah balik raya ini, bagi kaum Cina peraturan balik raya ini telah menjadi satu ketetapan yang tak boleh dipinda lagi manakala di dalam Islam ia memberikan kuasa kepada suami dalam menentukannya. Jadi keputusan ke mana hendak balik beraya itu terserahlah kepada suami. Kalau suami sudah memutuskan untuk beraya pada setiap tahun di rumah keluarganya maka itu tidaklah menjadi kesalahan dalam Islam sebaliknya isteri membantah keputusan suami itulah yang sebenarnya bersalah.

Emak Mertua dan Menantu Perempuan

Calon menantu perempuan yang dipilih sendiri oleh anak lelakinya kadangkala tidak berkenan di hati si ibu. Kadangkala berlakulah konflik yang berlarut-larutan antara ibu mertua dan menantu perempuan. Dapat kita perhatikan dalam masyarakat kita masa kini terdapatnya hubungan yang tidak begitu menyenangkan di antara ibu mertua dengan menantu perempuan. Mungkin keadaan ini wujud disebabkan tanggapan masyarakat yang mengatakan menantu perempuan itu mestilah melayan mertuanya dengan sebaik mungkin.

Tanggapan seperti ini telah meletakkan si ibu kepada status yang boleh menyebabkannya rasa terhina kalau membantu menantu perempuannya membuat kerja-kerja rumah. Apabila bersama dengan menantu perempuan tidaklah manis dipandang jika ibu mertua dibiarkan mengemas rumah dan memasak.

Akibat tanggapan masyarakat yang sedemikian maka banyaklah ibu mertua yang tidak rela menjadi ‘hamba’ kepada menantu perempuannya tetapi pada masa yang sama dia sanggup pula kerja bermatian-matian di rumah anak perempuannya sendiri.

Malah si ibu rela menjadi hamba kepada anak perempuannya dengan harapan menantu lelakinya akan berasa suka kepada anaknya kerana semua kerja-kerja rumah terurus dengan baik. Padahal yang menguruskan kerja-kerja rumah tersebut bukanlah isterinya tetapi mertuanya sendiri. Untuk menutup kelemahan anak perempuannya yang tak pandai mengurus rumah tangga si ibu sanggup menjadi ‘hamba’ kepada anaknya itu.

Sebaliknya kalau tinggal di rumah menantu perempuannya, si ibu tidak sanggup pula membantu membuat kerja-kerja rumah. Dia berasa bimbang kalau dikata orang dia menjadi hamba menantu perempuannya. Malah kalau menantunya itu tidak dapat menyempurnakan kerja-kerja rumah dengan sebaiknya maka teruklah menerima sindiran dan cercaannya seperti kata umpatan ‘tak pandai jaga laki’, ‘tak pandai ngurus rumah tangga’, ‘pemalas’ dan lain-lain lagi.

Tidaklah menjadi umpatan dan cercaan jika pasangan suami isteri yang bekerja meminta pertolongan ibu kepada isteri tersebut untuk menguruskan rumah tangga dan menjaga anak-anak mereka. Tetapi kalau diminta ibu si suami untuk mengambil tugas-tugas tersebut tentulah akan keluar kata-kata seperti ‘kau ingat aku ini orang gaji kau?’, ‘bini kau mahu bekerja suruhlah dia cari orang gaji kenapa susahkan aku pula’. Kalau anak perempuannya bersalin si ibu sanggup menjaga anak perempuannya itu sampai habis pantang tetapi kalau menantunya bersalin tidaklah sanggup untuk dia berbuat demikian.

Ibu-ibu rasa senang hati dan gembira bila suami kepada anak-anak perempuan mereka dapat mengadakan bermacam peralatan dan kelengkapan rumah untuk anak perempuan mereka. Tetapi kalau anak lelaki mereka membeli peralatan dan kelengkapan rumah untuk rumah tangganya sendiri mulalah kita dengar kata-kata tidak baik keluar dari mulut si ibu tadi seperti ‘laki takut bini’, ‘melebihkan isteri dari mak bapak’ dan lain-lain lagi yang menunjukkan rasa tidak senang hatinya apabila melihat anak lelakinya membeli perkakas rumah untuk rumah tangganya.

Apa lagilah kalau peralatan yang dibeli itu tidak pernah ada di rumah ibunya sendiri maka timbullah rasa iri di hati ibu tersebut. Perasaan iri ini timbul kerana biasanya ibu menganggap peralatan yang dibeli oleh anak lelakinya itu akan memberi kemudahan dan kesenangan kepada menantunya. Sebab itulah kalau suami kepada anak perempuannya membeli kelengkapan rumah, si ibu tidak berasa iri atau marah kerana ini akan menyenangkan atau mengembirakan anak perempuannya.

Di sini dapat kita perhatikan, si ibu tidak melihat satu unit rumah tangga itu sebagai milik suami isteri tetapi ia melihatnya sebagai milik anak perempuan sahaja, manakala suami dianggap sebagai penumpang sahaja. Bagi si ibu, rumah tangga anak lelakinya seperti tidak mempunyai apa-apa kaitan dengannya. Malah kesenangan dan kemewahan yang dimiliki oleh keluarga anak lelakinya kadang kala menambahkan rasa iri di hati si ibu.

Sementara itu terdapat juga di kalangan isteri yang bersikap buruk terhadap ibu mertuanya. Perasaan kasih suami kepada ibunya kadangkala menyebabkan si isteri berasa iri hati. Kadangkala ada dikalangan isteri yang bersikap benci kepada ibu mertuanya malah lebih jauh lagi menghasut suaminya supaya juga benci kepada si ibu tersebut dengan niat dapat melunturkan kasih suaminya terhadap ibunya. Apabila ini dapat dicapai maka kasih dan perhatian suaminya akan tertumpu kepada dirinya dan anak-anaknya sahaja.

Perkara seperti ini sering juga berlaku kepada ibu tiri. Anak tiri selalu menjadi mangsa kebencian ibu tiri kerana dia berasa iri dengan kasih sayang suaminya terhadap anak tirinya. Kadangkala layanan yang diterima oleh anak angkat jauh lebih baik dari yang diterima oleh anak tiri. Kadangkala perbuatan isteri membenci mertua ini akan memakan diri sendiri. Samalah seperti kita nak dapatkan kasih sayang Tuhan dengan membenci Nabi Muhammad. Oleh kerana Nabi Muhammad itu sangat dikasihi Allah maka bolehkah kita dapat kasih sayang Allah dengan membenci Nabi Muhammad?.

Apabila si isteri membenci mertua sebenarnya dia menambahkan kebencian suaminya kepada dirinya sendiri. Bagaimana dalamnya kasih suami kepada isteri itu bergantung juga kepada bagaimana dalamnya kasih isteri kepada mertuanya. Kisah perang antara mertua dan menantu perempuan ini tidak akan ada akhirnya selagi ibu mertua tidak mahu melayan menantu perempuannya seperti anaknya sendiri dan menantu perempuan pula tidak mahu melayan ibu mertuanya seperti ibunya sendiri.

Kalau mereka tidak mahu juga berubah sikap selagi itulah di dalam kehidupan seorang perempuan itu dia akan mengalami keadaan di mana apabila berkahwin dia menjadi musuh kepada ibu mertuanya dan apabila anak lelakinya kahwin dia akan bermusuh dengan menantunya pula.

Jodoh Dulu dan Jodoh Sekarang

Pada zaman dulu, pemilihan jodoh dalam suatu perkahwinan itu kebanyakannya ditentukan oleh ibubapa. Ibubapa memainkan peranan penting dalam menentukan jodoh untuk anak-anaknya. Di masa itu istilah ‘cinta dulu kemudian kahwin’ hampir tidak ada samasekali, yang ada hanyalah ‘kahwin dulu kemudian cinta’. Ibubapa akan memilih gadis-gadis yang baik untuk dijadikan menantunya.

Cantik seorang gadis itu bukanlah menjadi ciri utama dalam memilih menantu. Keutamaan adalah kepada budi bahasa dan adab sopan si gadis tersebut serta kebolehannya mengurus rumah tangga seperti pandai mengemas, pandai memasak dan tidak keluar rumah dengan sesuka hatinya. Gadis-gadis yang tidak mempunyai ciri-ciri seperti yang disebutkan itu alamat sukarlah untuk mendapatkan jodohnya sekalipun rupa parasnya memang ada.

Di waktu itu, sangat malulah kalau seorang gadis itu lambat dipinang orang, kerana ia memberi makna perangai gadis itu terlalu teruk sehinggakan tiada siapa yang ingin hendak mengambilnya menjadi menantu. Oleh itu semua anak-anak gadis di waktu itu akan cuba menjadi gadis yang diinginkan oleh calon mertuanya. Berlumba-lumbalah mereka untuk menghayati dan mengamalkan ciri-ciri yang disebutkan tadi walaupun pada mulanya mungkin kerana terpaksa tetapi lama kelamaan ia menjadi suatu kebiasaan. Amalan memilih jodoh di zaman dulu itu secara tidak langsung dapat mengawal anak-anak gadis supaya berkelakuan baik.

Pada masa ini kaum wanita mendapat peluang untuk bekerja, sama seperti kaum lelaki. Setelah tamat persekolahan anak-anak muda ini samada perempuan atau lelaki akan cuba mendapatkan pekerjaan yang banyak terdapat di bandar. Di zaman dulu adalah suatu yang janggal jika ada ibubapa yang membenarkan anak perempuannya bekerja apatah lagi kalau tinggal berjauhan. Apabila anak-anak perempuan bekerja dan tinggal berjauhan dengan ibubapa maka mereka akan terlepas dari kawalan ibubapa. Peluang untuk anak-anak perempuan yang bekerja ini untuk bertemu dengan kaum lelaki lebih mudah lagi.

Perubahan sosio budaya masyarakat Melayu ini juga telah memberi kesan kepada cara pemilihan jodoh dalam masyarakat itu sendiri. Pada hari ini, anak-anak muda tidak mahu lagi jodoh mereka ditentukan oleh orang tua mereka. Sebaliknya mereka sendirilah yang mencari dan memilih teman yang mereka suka untuk menjadi calon isteri atau calon suami. Bagi lelaki, mereka akan memilih gadis yang cantik lagi menawan untuk menjadi suri rumah tangganya. Tidak seperti pilihan orang tua, anak-anak muda ini kadang kala memilih pasangannya hanya mengikut kehendak nafsu mereka semata-mata.

Memanglah benar rupa paras yang cantik itu penting untuk menarik seorang lelaki itu untuk berkahwin, tetapi rupa paras yang cantik sahaja tidak cukup untuk mengekalkan sesuatu perkahwinan atau membahagiakan perkahwinan itu. Nilai yang baik seperti berbudi bahasa, pandai berkemas, pandai memasak yang selalu ditekankan oleh orang tua itulah yang biasanya dapat mengekalkan dan membahagiakan sesuatu rumah tangga itu.

Oleh kerana rupa paras yang cantik mejadi pilihan dan rebutan maka kebanyakan anak gadis sekarang terus mengabaikan tugas-tugas yang biasanya dilakukan oleh seorang wanita seperti mengemas rumah dan memasak. Budi bahasa dan adab sopan tidak perlu diambil berat lagi dan perkara yang penting kepada mereka sekarang ialah mesti pandai berhias diri dan bergaya. Kalau ada rupa dan gaya tentunya jodoh tidak ke mana. Banyaklah yang kita dengar hari ini, walaupun seorang gadis itu malas berkemas, malas memasak, tidak sopan santun tetapi kahwin juga dia. Ini tidaklah menghairankan kerana rupa parasnya yang cantik telah menyebabkan dia mendapat jodoh.

Gadis-gadis yang terperap di dalam rumah yang suatu masa dulu sebagai lambang gadis suci tentulah sukar mendapat jodohnya di zaman ini. Tidak hairanlah kalau anak-anak gadis sekarang jarang lekat di rumah. Teruna mana yang dapat mereka temui kalau hanya terperap di rumah, alamat jadi anak dara tualah kalau mereka masih juga mahu memerap di rumah. Di majlis-majlis keramaian, di pesta-pesta hiburan, di bandar-bandar adalah tempat anak-anak muda kita hari ini mencari jodoh mereka.

Mana yang mereka rasa berkenan akan mereka pikat untuk dijadikan kekasih atau calon isteri. Itulah antara sebabnya banyak rumah tangga hari ini porak puranda dan tidak bahagia kerana asas yang dipilih untuk menjadi isteri atau suami bukan lagi pada nilai-nilai yang baik tetapi sebaliknya banyak berasaskan nafsu semata. Tidak dapat dinafikan cara pemilihan jodoh yang diamalkan pada hari ini telah menyumbang kepada keruntuhan akhlak masyarakat kita hari ini.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com