Menutup pintu sehingga berdentum adalah dianggap tidak bersopan. Semasa makan di dalam suatu jamuan, seseorang yang hampir dengan bekas nasi akan mengambilkan nasi untuk orang-orang lain di sekelilingnya dan akhir sekali barulah ia mengambil nasi untuk dirinya sendiri.
Selalunya orang yang duduk paling jauh akan menerima nasinya dahulu. Orang Melayu sangat menghormati orang-orang yang lebih tua darinya. Tidaklah manis kalau bercakap dengan orang yang lebih tua dengan menggunakan perkataan ganti diri ‘engkau’ atau memanggil namanya bila berbicara, sebaliknya perkataan yang biasa digunakan adalah abang, kakak, pak cik, mak cik, tok, nenek dan sebagainya mengikut peringkat umur mereka.
Kesantunan orang-orang Melayu seperti digambarkan oleh beberapa contoh di atas kelihatannya begitu indah dan mempersonakan. Ditambah pula ugama Islam yang menjadi anutan orang-orang Melayu sangat menganjurkan berlaku baik sesama manusia, maka sifat santun yang dimiliki oleh orang-orang Melayu itu sangatlah bertepatan dengan nilai agama Islam itu sendiri.
Tetapi malangnya kesantunan orang Melayu ini tidak pula dilanjutkan kepada perkara-perkara lain dalam kehidupan moden ini. Ada di antara mereka tidak ada rasa apa-apa malah ada yang berasa megah apabila meninggikan bunyi injin motosikalnya ketika lalu di depan orang ramai ataupun lalu di depan rumah orang. Walaupun mereka sudah maklum bunyi bising motor itu boleh menyakitkan telinga orang yang mendengarnya dan juga boleh mengejutkan bayi yang sedang tidur tetapi mereka seperti tidak mahu memperdulikannya kerana bagi mereka perbuatan santun hanya untuk perkara-perkara yang tertentu sahaja.
Santun semasa membawa motorsikal tidak pernah termaktub dalam budaya orang Melayu. Di sinilah dapat diperhatikan nilai santun orang Melayu itu tidak dapat dilanjutkan kepada benda-benda yang baru yang nenek moyang mereka tidak pernah jumpa atau mengalaminya. Sebab itulah orang Melayu tak segan silu memotong barisan apabila berlaku kesesakan lalu lintas di jalan raya. Orang Melayu tak rasa malu untuk berebut naik bas dan berebut untuk mendapatkan borang permohonan rumah kos rendah.
Ini berlaku kerana perkara santun yang mereka hayati selama ini tidak termasuk perkara-perkara yang disebutkan tadi. Tidaklah menjadi kebiasaan kepada orang Melayu untuk membukakan pintu untuk orang lain dan tidak pernah dilakukan oleh orang Melayu untuk memimpin orang tua menaiki bas sehingga ketempat duduknya. Nilai baik yang seperti ini tidak pernah diturunkan kepada orang Melayu, walaupun perbuatan tadi adalah merupakan amalan biasa masyarakat Inggeris.
Bolehlah diambil kesimpulan bahawa sifat santun yang dihayati oleh kebanyakan orang Melayu selama ini adalah merupakan perbuatan yang diturunkan dari generasi ke generasi dan bukan merupakan nilai yang dihayati. Kalau sifat santun itu merupakan nilai yang dihayati tentulah mereka akan sentiasa berlaku santun dalam apa jua keadaan. Tentu sifat santun itu akan dapat dilanjutkan kepada kehidupan moden yang telah banyak berubah ini.
No comments:
Post a Comment