Alhamdulillah minat orang Melayu untuk menghayati ajaran agamanya diakhir-akhir ini sangat menggalakan. Kita harus memberi pujian kepada kumpulan-kumpulan dakwah samada yang berdaftar atau yang tak berdaftar dan parti-parti politik yang telah banyak memberi sumbangan dalam menyebar dan memperjuangkan Islam di negara ini. Walaupun niat kumpulan dakwah dan parti politik ini begitu murni tetapi kadang-kadang cara mereka mencapai matlamat itu tidaklah semurni matlamatnya.
Sepatutnya apabila kita hendak mencapai sesuatu yang baik maka cara kita bertindak juga mestilah baik, barulah perjuangan kita direstui Allah. Nabi pernah ditawarkan menjadi raja oleh Arab mushrikin dengan syarat dia meninggalkan agama Islam. Kalau ikut fikiran kita, baik juga kalau nabi terima tawaran itu dan selepas jadi raja dan berkuasa bolehlah dipaksa orang masuk Islam. Tetapi itu bukanlah cara yang Allah reda, cara yang Allah hendaki adalah cara yang Nabi telah tunjukkan kepada kita.
Itulah sahaja cara kalau Islam hendak menguasai dunia. Untuk medapatkan hasil yang murni, caranya juga mesti murni. Allah tidak akan tanya hasil yang telah kita capai tetapi Allah tanya bagaimana usaha yang telah kita lakukan, adakah usaha kita itu bertepatan dengan kehendakNya atau pun tidak. Sebagai contoh, tidaklah menjadi soal berapa banyak duit yang telah kita kumpul tetapi akan ditanya kepada kita ialah bagaimana cara kita mendapatkan duit itu dan cara kita membelanjakannya, halal atau haram.
Kadang-kadang kita rasa terkilan juga dengan sikap yang ditunjukkan oleh sesetengah anggota kumpulan dakwah yang lari dari matlamat asal untuk mengajak manusia menghayati ajaran Islam bertukar menjadi mengajak manusia menjadi ahli kumpulannya. Sehingga ada yang beranggapan tidak sempurna Islam seseorang itu selagi tidak memasuki kumpulannya. Sikap seperti ini begitu bahaya yang akan menyebakan umat Islam berpecah dan berpuak kepada kumpulan-kumpulan yang tertentu.
Malah lebih bahaya dari perpecahan yang disebabkan oleh perbezaan parti politik. Kita semua sudah maklum, umat Islam telah berpecah belah disebabkan oleh perbezaan parti politik mereka. Walaupun kumpulan-kumpulan dakwah ini bukan merupakan parti-parti politik tetapi apa yang kita nampak, keadaan akhirnya sama sahaja seperti parti-parti politik malah lebih teruk lagi yang mana juga menyebabkan umat Islam berpecah dan berpuak-puak mengikut kumpulan mereka.
Tiadalah salah kita membentuk kumpulan dakwah untuk memudahkan kita menjalankan kegiatan dakwah supaya lebih berkesan berbanding jika dilakukan secara sendirian. Secara kumpulan kita lebih mudah untuk mengamal dan menghayati ajaran Islam yang syumul itu. Yang salahnya apabila kita taksub dengan kumpulan kita dengan menafikan atau meremehkan kumpulan-kumpulan lain. Mereka menganggap kumpulan mereka sahaja yang paling betul, yang betul-betul mengikut sunah manakala kumpulan lain tidak.
Tafsiran kumpulan-kumpulan dakwah yang ada pada hari ini terhadap Islam samalah bandingannya seperti cerita beberapa orang buta yang mentafsirkan gambaran rupa seekor gajah, sibuta yang memegang belalai gajah mengatakan gajah itu seperti ular, kawannya yang memegang bahagian telinga gajah mengatakan gajah itu seperti nyiru, manakala yang memegang bahagian perut gajah mengatakan gajah itu seperti dinding, dan begitulah juga dengan orang buta yang lain itu, mereka mentafsirkan gajah mengikut bahagian mana yang mereka pegang. Walaupun kita tahu apa yang ditafsirkan oleh kesemua orang buta itu tentang rupa gajah adalah tidak tepat sama sekali tetapi kita tidaklah boleh tuduh mereka salah. Apa yang mereka gambarkan itu memanglah sebahagian dari gambaran gajah.
Kalaulah semua sibuta itu dapat menerima pandangan dari rakan-rakannya yang lain dengan hati yang terbuka tentulah mereka akan dapat mengambarkan gajah itu dengan gambaran yang lebih sempurna iaitu gambaran ular tadi beserta gambaran nyiru, gambaran dinding dan gambaran lain-lainnya itu dicantumkan sekali. Sebaliknya jika mereka bertelagah dan tidak mahu menerima pandangan antara satu sama lain maka selamanyalah masing-masing kekal dengan gambaran yang tidak tepat tentang rupa gajah. Begitulah jugalah yang akan terjadi kepada kumpulan-kumpulan dakwah yang ada hari ini, jika mereka bersifat taksub tidak mahu menerima pandangan antara satu sama lain maka kekallah masing-masing dengan tafsiran yang sempit tentang Islam.
Pada masa ini bukan ada lagi manusia yang bergelar nabi. Hanya nabi sahaja yang boleh berhubung secara lansung dengan Tuhan. Kalau ada nabi barulah kita tahu secara total kumpulan atau puak siapa yang paling betul. Selagi Nabi Isa tidak turun janganlah kita begitu sombong untuk mendakwa kumpulan kitalah yang paling betul. Apa yang sepatutnya kita lakukan ialah sentiasa berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki amalan dan penghayatan kepada nilai-nilai murni yang dianjurkan Islam. Berusahalah mengajak manusia kepada ajaran Islam bukan mengajak manusia masuk kumpulan kita.
Berlapang dadalah dengan kumpulan-kumpulan lain dan bekerjasamalah dengan mereka dalam mengajak manusia kepada Islam. Kalaulah betul matlamat kita hanya satu iaitu mengajak manusia beriman dan menghayati Islam maka tidak ada sebab kita tidak boleh bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan lain dalam mencapai matlamat tersebut. Mengapa pula kita perlu bersaing dan meremehkan kumpulan-kumpulan yang lain.
Insyaallah dengan usaha yang ikhlas dan penuh takwa, kita akan sentiasa ditunjukkan Allah kepada jalan yang betul dan diredainya. Tuhan itu Maha Pemurah lagi Maha Pengampun, sekalipun ijtihad kita salah namun tetap diberi ganjaran. Paling betul bukanlah menjadi keutamaan tetapi yang lebih penting ialah keikhlasan dan ketakwaan kita kepadaNya. Jadikanlah diri kita suka kepada kebenaran. Orang yang sombong ialah orang yang menolak kebenaran.
1 comment:
Soal saya kepada saudara mudah sahaja:
Kalau orang Islam dibenarkan berdakwah kat orang lain, kenapa tidak dibenarkan juga agama lain didakwah kepada orang Islam sekiranya benar-benar adil?
Satu lagi soalan saya adalah berikut:
Saudara berkata "Itulah sahaja cara kalau Islam hendak menguasai dunia".
Tidakkah ini kelihatan seperti suatu sikap yang mendominasi? Mana dia kebebasan untuk mempunyai kepelbagaian agama di dunia? Apa salahnya ada pelbagai cara untuk berdoa atau untuk memenuhi kemahuan spiritual masing-masing?
Post a Comment