Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Thursday, November 30, 2006

Sensitiviti Kaum Sampai Bila?

Beberapa ucapan berbau perkauman telah dilontarkan oleh beberapa perwakilan Umno dalam perhimpunan parti Umno tahun 2006 yang lalu bukan mencerminkan sikap keseluruhan orang Melayu.

Tetapi oleh kerana ia diucapkan oleh orang-orang politik yang mewakili suara ramai, tentulah ucapan itu tidak boleh dipandang ringan dalam sebuah negara yang berbilang kaum.

Malah ada dicadangkan pada masa depan perhimpunan parti politik tidak boleh lagi dibuat secara siaran langsung di TV bagi mengelakkan isu-isu sensitif yang menyentuh kaum lain dari tersebar keluar.

Semua fenomena yang berlaku ini seperti memberi isyarat kepada kita betapa setelah 50 tahun merdeka, masyarakat kita masih belum cukup matang bila mengeluarkan kata-kata atau ucapan. Menunjukkan ada di antara kita tidak sensitif terhadap keperluan dan kehendak kaum lain. Atau mungkin juga kaum yang mendengar kata-kata itu telah menjadi sensitif bila ada kaum lain meyentuh hal-hal yang berkaitan dengan kaumnya.

Ini mungkin terjadi akibat kita terlalu sangat ingin menjaga hati kaum-kaum lain sehinggakan kita tidak dapat menerima kritikan kaum lain dan begitulah juga sebaliknya.

Andai kata kita mempunyai seorang sahabat karib yang kita kenal dari bangku sekolah lagi, tentu secara semulajadinya kita akan menyayangi kawan kita itu. Kalau kita membuat kritikan dan teguran kepadanya tentulah kita membuat teguran itu dengan ikhlas demi kebaikan sahabat kita itu juga.

Begitu juga kalau kita ditegur dan dikritik oleh sahabat karib kita itu, tentu kita akan berasa suka dan berlapang dada dengan teguran tersebut kerana kita tahu teguran sahabat kita itu memang berniat baik.

Pepatah Melayu ada mengatakan ‘tak kenal maka tak cinta’. Dengan melihat kepada keadaan masyarakat kita sekarang ini, susah untuk melihat dua orang dari kaum yang berlainan dapat menjadi sahabat karib. Kalau ada pun terlalu sedikit bilangannya. Tanyalah pada diri kita adakah kita mempunyai sahabat karib dari kaum lain? Kalau ada seorang sahabat karib kita yang datang dari kaum lain pun sudah boleh dibanggakan. Bukan kita tidak mahu bersahabat tetapi peluang untuk menjadi sahabat itu hampir tidak ada sama sekali.

Bermula dengan sekolah yang berasingan mengikut kaum, kemudian kita bekerja di lapangan yang juga mengikut kaum. Macam mana kita boleh menjadi sahabat karib sedangkan kesempatan untuk bergaul dan bertemu pun tidak ada?

Akhirnya kita hidup di dalam satu negara yang sama tetapi bekerja untuk ‘survival’ kaum masing-masing. Seolah-olah kita berada dalam sebuah negara yang mengamalkan ‘apartheid’ yang bukan didokong oleh undang-undang tetapi hati kita sendiri yang mahukannya begitu.

Struktur masyarakat kita yang membentuk polarisasi kaum inilah yang telah membentuk cara berpolitik masyarakat kita. Secara teorinya memang mudah parti PPP mahu bergabung dengan parti Gerakan kerana dasar perjuangan kedua-dua parti itu hampir sama, yang tidak berasaskan kaum.

Tetapi secara realitinya, ia tidak akan menjadi kenyataan, malah adalah lebih mudah jika Gerakan bergabung dengan MCA dan juga lebih mudah untuk PPP bergabung dengan MIC. Tentu tuan-tuan telah dapat menelah maksud saya itu.

Walaupun kita tidak mampu memaksa warga yang berlainan kaum ini menjadi sahabat karib tetapi usaha yang serius perlulah dilakukan dari sekarang supaya dapat mengubah keadaan ini.

Kita boleh menawarkan insentif-insentif tertentu untuk menggalakan anak-anak kita bersekolah di sekolah yang sama. Insentif juga patut diberikan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai pekerja yang berbilang kaum di setiap peringkat. Mungkin juga memberi insentif yang menarik kepada taman-taman perumahan yang kejiranannya terdiri dari berbagai kaum.

Seterusnya memberi galakan atau insentif kepada persatuan-persatuan yang ahli-ahlinya melibatkan semua kaum. Walaupun untuk jangka pendek kita terpaksa berbelanja besar bagi mewujudkan insentif-insentif ini tetapi jangka panjang ia akan menguntungkan negara.

Apa yang kita ingin tuai pada masa akan datang adalah bergantung kepada apa yang kita semai pada hari ini.


Artikel ini telah juga tersiar di Malaysiakini:
http://www.malaysiakini.com/letters/60215

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com