Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Thursday, October 19, 2006

Pembentukan Insan yang Takwa

Firman Allah di dalam Al Quran yang bermaksud, "Tidak memadai dengan hanya berkata tiada tuhan melainkan Allah, bahkan mereka itu akan diuji".

Setiap manusia yang beriman akan diuji oleh Allah dalam berbagai-bagai bentuk ujian. Mereka akan diuji dengan kemiskinan, dengan penyakit, dengan kelaparan dan kebuluran, dengan kesusahan dan kesengsaraan, dengan kehilangan harta benda yang disayang dan tidak kurang juga diuji dengan kemewahan, kekayaan dan kuasa.

Hanya orang-orang yang takwa sahaja yang berjaya menghadapi ujian-ujian dari Allah ini. Orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang takwa. Perbandingannya samalah sperti kita hendak menganugerahkan diploma atau ijazah dalam satu-satu bidang kepada seseorang maka mereka hendaklah melalui beberapa peperiksaan atau ujian sebelum diploma atau ijazah itu boleh dianugerahkan kepadanya. Untuk lulus dalam peperiksaan kita kenalah belajar dengan bersungguh-sungguh dan kena rajin membuat ulangkaji dan latihan-latihan.

Selalunya di sekolah-sekolah atau institut pengajian memang ada kurikulum atau sukatan pelajaran yang perlu kita ikuti sebelum kita diuji dalam satu-satu peperiksaan itu. Biasanya pelajar yang dapat mengikuti sukatan pelajaran ini dengan baik dan bersungguh-sungguh mempunyai peluang yang cerah untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan yang bakal dihadapi. Manakala pelajar yang malas atau tidak mahu belajar tentulah akan gagal.

Untuk membentuk insan yang takwa, Allah juga telah menyediakan kepada hambanya berbagai-bagai latihan bagi tujuan itu. Ada latihan itu perlu dilakukan secara harian, ada secara mingguan, ada secara bulanan dan ada juga secara tahunan. Latihan membentuk insan takwa yang dimaksudkan itu ialah sembahyang, puasa, zakat, korban, haji dan lain-lain lagi. Hambanya yang dapat melakukan latihan-latihan ini dengan baik dan istiqamah tentulah mempunyai peluang cerah untuk berjaya dalam segala ujian yang ditimpakan ke atasnya. Manakala kepada hambanya yang malas dan engkar menjalani latihan-latihan yang disediakanNya itu pastilah akan gagal menghadapi segala ujian dariNya itu.

Sembahyang melatih kita merendah diri dan tunduk kepada Allah pencipta kita. Sembahyang melatih kita tidak tunduk atau menyembah kepada yang lain selain Allah. Zikir dan sembahyang akan mengingatkan kita kepada Allah. Apabila kita sentiasa ingat kepada Allah maka sukarlah kita hendak melakukan perkara yang bertentangan dengan nilai agama, kerana kita merasakan sentiasa dalam perhatian Allah.

Puasa dapat melatih diri kita sabar bila menghadapi kelaparan, kebuluran dan kesusahan jika ditimpakan Allah kepada kita. Kita tidak akan berasa takut jika musuh Islam mengancam kita dengan kelaparan, kemiskinan dan kesusahan kerana kita telah terlatih untuk menghadapi suasana begini dalam ibadah puasa. Orang yang takwa adalah orang yang bermaruah dan punya harga diri, ketakutannya hanya kepada Allah semata. Mereka tidak akan menggadaikan prinsipnya untuk ditukar dengan keuntungan dunia.

Latihan dalam ibadah zakat dan korban mengajarkan mereka sentiasa prihatin kepada orang lain, tidak hanya hidup mementingkan diri sendiri sahaja. Mereka akan reda dan sabar jika kehilangan benda-benda yang mereka sayang kerana hati mereka telah dididik untuk menghadapi suasana seperti ini di dalam ibadah korban. Di dalam ibadah zakat dan korban ini mereka dilatih menjadi seorang yang pemurah, suka memberi dan sebaliknya tidak kedekut dan tidak suka meminta-minta.

Begitu jugalah dengan ibadah-ibadah lain itu yang tidak sempat dihuraikan di sini, semuanya itu adalah bentuk-bentuk latihan yang disediakan oleh Allah kepada hambanya untuk menjadi insan yang takwa. Oleh itu marilah kita mengerjakan ibadah-ibadah ini dengan sebaik-baiknya dan istiqamah bagi menyediakan diri kita menjadi orang yang takwa, orang yang paling mulia di sisi Allah. Wallahualam.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com