Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Saturday, December 08, 2012

Facebook dan soal kepuasan memilih jodoh



Sebelum tahun 1960 an dahulu, soal jodoh banyak ditentukan oleh ibubapa atau keluarga. Perasaan cinta antara pasangan suami isteri hanya dipupuk selepas mereka berkahwin. Di waktu itu mereka tidak dapat memilih teruna atau gadis untuk menjadi suami atau isteri mengikut selera mereka. Mereka terpaksa menerima suami atau isteri yang telah ditentukan oleh keluarga seadanya, buruk atau baik terpaksa diterima.

Walaupun jodoh ditentukan oleh keluarga tetapi ini tidak bermakna mereka tidak boleh hidup bahagia dalam menjalani kehidupan rumahtangga. Malah kebanyakan pasangan ini kekal jodoh mereka hingga ke akhir hayat.

Selepas tahun 1960, wanita yang telah mendapat pendidikan sama seperti kaum lelaki, telah mula banyak menceburi bidang pekerjaan, mereka tidak lagi duduk di rumah seperti wanita-wanita sebelum itu. Mereka berpeluang untuk mengenali lebih ramai kaum lelaki. Mereka boleh berhubung melalui surat untuk mencurahkan perasaan mereka antara satu sama lain. Di waktu itu penggunaan telefon untuk berhubung begitu terbatas sekali.

Secara perlahan-lahan perkahwinan yang diaturkan keluarga telah beransur pupus. Teruna dan gadis lebih suka memilih kekasih mereka mengikut selera mereka. Setelah berkenal samada di tempat kerja atau berkenalan di satu majlis, atau dikenalkan oleh kawan-kawan, mereka akan jatuh cinta dan merancang untuk berkahwin.

Di waktu itu perkenalan hanya terbatas di tempat kerja atau di bandar atau di daerah di mana mereka tinggal saja. Walaupun pilihan untuk menjadi bakal suami atau bakal isteri adalah terletak di tangan mereka sendiri, tetapi pilihan masih lagi terbatas, kerana peluang untuk berkenalan dan menemui rakan lelaki atau rakan wanita masih terhad di kawasan yang kecil.

Kata pepatah, kalau tidak ada rotan, akar pun berguna. Mereka tidak boleh menunggu ‘rotan’ yang tidak muncul-muncul, oleh itu, kalau ada ‘akar’ pun sudah memadai. Malah bagi mereka, ‘akar’ yang dipilih sendiri itu lebih baik dari mendapat suami atau isteri yang dipaksakan oleh keluarga mereka. Walaupun mungkin bakal suami atau bakal isteri yang hendak mereka kahwini itu bukanlah lelaki atau wanita yang mereka impikan, sekurang-kurangnya ia telah mereka kenali hati budinya.

Apabila masuk tahun 2000, teknologi internet dan handphone telah melanda Negara ini. Kesan dari ledakan teknologi internet dan handphone ini juga telah mengubah banyak tatacara kehidupan masyarakat kita. Sekarang ini, anak muda boleh saja berkenalan dengan siapa saja yang mereka suka. Kawasan perkenalannya tidak lagi hanya terbatas kepada kawasan berhampiran tempat tinggal mereka, tetapi boleh menjangkau ke serata dunia.

Dengan hadirnya teknologi internet/handphone dapat membantu anak-anak muda memaksimumkan kepuasan dalam memilih pasangan hidup mereka. Mereka boleh memilih bakal suami atau bakal isteri yang mereka impikan.

Apakah, apabila telah berjaya memiliki pasangan hidup seperti yang mereka impikan dapat menjamin jodoh mereka kekal hingga akhir hayat dan hidup bahagia?

Biarkanlah anak muda mencari jodoh mereka dengan cara teknologi yang ada di zaman mereka. Yang timbul masalah sekarang ialah kepada pasangan suami isteri yang berada di zaman peralihan antara zaman surat pos ofis dengan teknologi Facebook.

Ramai pasangan suami isteri yang saya sebut sebagai mendapat ‘akar’ tadi mula berangan-angan untuk mencari ‘rotan’ impian mereka (yang tertangguh dulu) melalui teknologi Facebook ini.

Ramai suami dan isteri yang telah curang dan berlaku perceraian akibat kejutan teknologi internet ini. Dengan internet dan handphone mereka dengan mudah dapat mengatur pertemuan dengan siapa saja yang mereka suka secara rahsia tanpa diketahui oleh pasangan mereka.

Apabila teknologi berubah, ia juga akan turut menggugat kehidupan masyarakat kita. Sementera masyarakat kita dapat menyesuaikan kehidupan mereka dengan gelombang teknologi baru itu, banyaklah gejala negatif akan terhasil akibatnya. Serupalah macam teknologi media TV mula-mula diperkenalkan kepada masyarakat dulu, semuanya ada baik dan buruknya.

Apa yang penting ialah penghayatan kepada nilai-nilai yang baik dan murni yang digariskan oleh agama kita. Ibarat ikan yang hidup di laut, air laut yang masin tidak akan memasinkan dagingnya, tetapi setelah ikan itu mati, sedikit garam pun sudah cukup untuk memasinkan dagingnya. Begitu jugalah, bila hati kita telah mati dengan nilai agama, pengaruh jahat akan mudah menguasai diri kita.

Internet dan handphone bukanlah penentu muktamad. Seperti kata P. Ramlee, “Jodoh, rezeki, kebahagiaan itu adalah anugerah dari Tuhan jua”. Kita hanya boleh merancang tetapi Tuhan juga menentukannya.

Friday, November 30, 2012

Bandung, warganya sangat rajin berusaha


Pemandangan anak-anak muda melepak di shopping complex, couple dan aktiviti merempit adalah pemandangan biasa di Bandar-bandar di Malaysia. Tetapi di Bandung, saya tidak nampak anak-anak muda melepak.

Semua orang dan anak-anak mudanya seolah-olah tidak pandai untuk duduk diam sebaliknya melakukan apa saja kerja yang boleh menghasilkan wang walaupun hasilnya tidak seberapa. Berbagai kerja dan aktiviti mereka lakukan demi mendapatkan sedikit wang untuk hidup, dari bermain alat muzik di kalayak ramai, menjual bunga, menjual air minuman kepada pemandu dan penumpang yang terperangkap dalam kesesakan lalulintas hinggalah menjual cenderahati kepada pelancung-pelancung.

Mungkin di Malaysia, orang-orang kita jarang-jarang melakukan pekerjaan seperti itu, tetapi di Bandung, ia merupakan pemandangan yang biasa.

Rayuan berulangkali mendesak pelancung membeli barang-barang cederahati yang mereka jual menyebabkan pelancung menjadi rimas dan pening kepala.

Memang ada di sediakan kedai-kedai yang menjual barang-barang cenderahati di sediakan di kawasan kota Bandung dan di kawasan pusat pelancungan, tetapi di samping itu terdapat ramai orang perseorangan yang membawa barang jualan di tangan mereka untuk dijual kepada pelancung. Mereka akan merayu pelancung yang sama berulangkali agar membeli barang jualan mereka. Tindakan mereka itu amat merimaskan dan membuatkan kita tidak berasa selesa.

Di pusat beli belah pula, akan ada orang yang kerjanya membantu pelancung mengangkat barang-barang yang dibeli walaupun khidmat mereka itu tidak dipinta, dan sudah tentu perkhidmatan itu tidak diberi secara percuma saja. Berbeza kita di Malaysia, kita tidak pernah nampak adanya perkhidmatan seperti itu di Negara kita. Itulah warga Bandung, mereka pandai membuat peluang pekerjaan.

Kadang-kadang pelancung terasa seperti terpaksa atau tertipu, tetapi itu adalah resam harian warga kota Bandung. Mereka telah menerimanya sebagai usaha dan pencarian untuk sesuap nasi, walaupun perkara-perkara yang mereka lakukan itu mungkin tidak disenangi dan bertentangan dengan budaya pelancung yang datang.

Kadang-kadang tindak tanduk setengah dari mereka itu seperti hendak mengenakan pelancung yang tidak punya pengalaman dan tidak biasa dengan kehidupan di Bandung.

Tindakan yang tidak menyenangkan pelancung ini tidak pula dianggap sebagai perkara yang salah oleh warga Bandung yang lain. Mungkin mereka menganggap, apa yang dilakukan oleh saudara-saudara mereka itu sebagai usaha dan kerajinan, malah mereka sangat menghormati mereka, bagi mereka, pekerjaan seperti itu lebih baik dari mencuri dan meragut.

Sepanjang empat hari berada di Bandung, saya dapat memerhatikan warga Bandung ini sangat menghormati antara satu sama lain, mereka seperti saling faham memahami antara satu sama lain. Tidak pernah saya melihat mereka mengutuk atau memarahi jurujual-jurujual yang berkeliaran mencari rezeki, yang kelihatan seperti mengganggu pelancung dan peniaga yang berlesen. Mereka masih boleh bercakap dengan bahasa yang lembut dan sopan sesama mereka.

Mungkin warga Bandung ini memandang tinggi setiap orang yang mahu berusaha dengan titik peluh sendiri untuk mencari rezeki. Oleh itu tidak hairanlah kalau sukar kita nampak warga Bandung yang duduk melepak, sebaliknya mereka sentiasa saja membuat apa saja kerja, walaupun kepada kita kerja yang mereka lakukan itu seperti tidak mendatangkan hasil yang memuaskan atau tidak patut dijadikan sebagai bidang pekerjaan.

Di sepanjang tepi jalan atau di kaki lima jalan, banyak didirikan warung-warung kecil yang menjual makanan. Saya tidak nampak ramai pembeli atau pelanggannya, malah bilangan warung jauh lebih banyak dari bilangan pembeli. Itu belum termasuk penjual makanan yang bergerak, yang menggunakan kelengkapan jualan yang beroda, yang boleh ditolak ke merata tempat untuk mencari pelanggan. Di samping itu ada juga penjual yang mengandar barang jualan. Begitulah suasana kehidupan di kota Bandung, semua orang melakukan kerja untuk mencari rezeki walaupun belum tentu dapat menjanjikan hasil yang memuaskan.

Warga Bandung yang majoritinya terdiri dari etnik Sunda ini memang rajin dan sentiasa melakukan usaha untuk kesinambungan hidup mereka. Mungkin sebab itu jugalah kita jarang bertemu di Malaysia, pendatang dari Indonesia yang berasal dari daerah Bandung atau etnik Sunda. Sebaliknya yang biasa kita temui di Malaysia adalah pendatang yang datang dari Madura dan Lombok.

Untuk pergi ke gunung Tangkuban Perahu, terletaknya kawah gunung berapi, yang merupakan salah satu tempat destinasi pelancungan yang popular di Bandung, kita akan melalui kawasan perkampungan yang indah di sepanjang lereng gunung.

Keadaan jalanraya di kawasan gunung berapi berlainan dengan jalanraya ke Cameron Highland di Negara kita. Gunung dan bukit di Negara kita adalah jenis gunung lipat, oleh itu jalanrayanya banyak selekoh dan berbelok-belok mengikut contour gunung. Manakala jalanraya di kawasan gunung berapi tidak banyak selekoh, jalannya terus mendongak keatas, oleh kerana cerunnya tinggi, tidak semua kenderaan mampu mendaki melalui jalanraya di gunung di sana. Hanya kereta berkuasa tinggi saja yang mampu melalui atau mendakinya.

Penduduk perkampungan di lereng gunung di sekitar Bandung ini mengusahakan tanaman sayuran dan buah-buahan berhawa sejuk seperti strawberry dan avocado. Pemandangan kampung-kampung ini sungguh cantik, semua rumah mereka beratap genting, tidak ada yang beratap zink dan ardec seperti kampung-kampung di Malaysia. Kelihatannya seperti kawasan perkampungan yang terletak di Eropah yang mewah dan indah. Sebaliknya pemandangan rumah kampung pendalaman di Malaysia kelihatan begitu daif. Pertama kali melihat pemandangan di sana, kita rasa macam bukan berada di Indonesia kerana apa yang terbayang dalam kepala kita, rumah-rumah kampung orang Indonesia mungkin lebih cantik sedikit dari rumah-rumah kongsi di kawasan pembinaan.

Semasa berada di pusat membeli belah, kita sering diingatkan oleh warga di sana supaya sentiasa berhati-hati membawa beg duit, beg duit hendaklah sentiasa di letakkan di bahagian depan untuk mengelak dari dicuri tau dicopet. Peringatan ini memberi persepsi kepada pelancung bahawa kota Bandung bukanlah satu tempat yang begitu selamat kepada pengunjung. Selain dari bimbang duit kita dicopet, pelancung juga tidak berasa selesa dan aman dengan jurujual-jurujual perseorangan yang tidak henti-henti berulangkali merayu kita untuk membeli barang jualannya. Dan tidak kurang juga pelancung ‘terkena’ dengan taktik licik yang mereka gunakan.

Suasana di Bandung jauh berbeza dengan Bandar Perth,Australia yang pernah saya kunjungi sebelum ini. Di Perth saya berasa begitu aman dan selamat, tidak ada rasa bimbang dari ‘ditipu’ atau ‘terkena’.

Pengalaman tidor di hotel di Bandung, saya dikejutkan dengan suara azan yang datang dari masjid berhampiran. Bukan satu masjid tetapi tidak kurang dari tiga masjid. Dari suara-suara azan itu dapatlah saya bayangkan betapa banyaknya masjid yang terdapat di Bandung. Mendengar suara azan yang mendayu dari semua arah, terbayang kepada saya, syiar Islam tertegak kuat di Bandung. Tetapi apabila hari sudah siang, semasa kita menyelusuri jalan-jalan kehidupan di kotanya, saya tidak nampak penghayatan kebaikan Islamnya. Suara azan yang saya dengar pagi tadi itu hanyalah tinggal sebagai lambang sahaja, ia tidak benar-benar menjalar ke dalam kehidupan masyarakatnya.

Sebaliknya, semasa saya menginap di hotel di Perth, saya tidak dikejutkan oleh suara azan. Tetapi apabila kita menyelusuri jalan-jalan di Bandar itu, kita berasa begitu selamat, aman dan tidak ada rasa bimbang. Seolah-olah seperti kita berada di dalam sebuah kota Islam, walaupun majoriti warga Perth adalah penganut Kristian.

Tuesday, November 20, 2012

Bandung, warganya saling faham memahami


Empat hari bergerak di atas jalanraya di Kota Bandung, sudah dapat melihat resam warga kota tersebut. Kota Bandung terletak di tanah tinggi pergunungan, udaranya lebik sejuk, terutamanya di waktu malam.

Terletak di atas kawasan pergunungan, tanah ratanya sangat terhad, kebanyakan jalanraya di kota Bandung sempit-sempit dan berbukit. Tidak ada kelihatan blok atau bangunan rumah-rumah kedai seperti Bandar di Malaysia. Kedai dibina atas tanah-tanah lot di sepanjang jalan. Setiap kedai mempunyai bentuk senibina tersendiri dan unik.

Tidak banyak bangunan pencakar langit di sini. Oleh kerana jalanrayanya sempit, kesesakan lalulintas atau trafik jem atau disebut ‘macet’ di Bandung adalah merupakan perkara biasa di sini, tanpa mengira waktu. Dan sudah tentulah lalulintas menjadi lebih sesak di waktu warga Bandung hendak pergi dan balik kerja.

Sebelum sampai di Bandung, saya bayangkan jalan-jalanrayanya penuh dengan kereta buruk-buruk atau kereta lama yang uzur. Tetapi sangkaan saya itu tidak betul, sebaliknya banyak kereta baru, bersaiz besar (MPV) memenuhi jalan-jalanraya di Bandung. Kereta Kijang (Unser), Inova dan Avanza adalah kereta yang paling banyak di jalanrayanya.

Pengangkutan Angkut Kota yang merupakan pengangkutan awam kota Bandung yang sangat popular, membawa penumpang ke merata tempat, cepat dan cekap, sangat sesuai dengan keadaan jalanraya kota Bandung yang sempit dan berbukit-bukit. Kebanyakan kenderaan Angkut Kota ini menggunakan MPV Kijang (Unser).

Jalan-jalanraya di pinggir Kota Bandung jarang ada kemudahan lampu trafik, tetapi warga Bandung sudah biasa dengan keadaan jalanraya tanpa lampu trafik. Apabila kereta yang hendak keluar dari simpang untuk masuk ke jalan utama, pemandu tidak perlu menunggu keadaan jalan lengang dari kedua-dua arah untuk melintas masuk ke jalan utama. Pemandu hanya perlu bergerak perlahan masuk ke jalan utama dan secara sepontan pemandu-pemandu kereta dari kedua-dua arah di jalan utama akan memperlahankan kenderaan mereka untuk memberi laluan kepada kereta yang keluar dari simpang.
 

Kalau di Malaysia, kereta yang keluar dari simpang untuk masuk ke jalan utama terpaksa menunggu kereta-kereta di jalan utama dari kedua-dua arah lengang, barulah boleh melintas masuk ke jalan utama. Tetapi di Bandung, tidak boleh buat begitu kerana jalanrayanya sentiasa sesak dan susah untuk mencari keadaan yang lengang.

Di sinilah saya nampak, warga Bandung mempunyai sikap saling memahami antara satu sama lain. Mereka sabar menghadapi kesesakan lalulintas, tidak mementingkan diri sendiri, tidak lokek untuk memberi peluang kepada orang lain.

Di tempat-tempat letak kereta dan di sesetengah simpang,  ada orang yang menjaga untuk mengaturkan atau menguruskan kereta yang keluar masuk supaya bergerak lancar, keadaannya seperti polis trafik yang tidak rasmi. Setiap pemandu akan membayar 2000 rupiah (60 sen) kepada mereka atas perkhidmatan itu. Bagaimana mereka dapat pekerjaan itu dan siapa yang patut bekerja di tempat itu, dan bagaimana mereka membahagi-bahagikan tempat itu sesama mereka, tidaklah saya tahu. Tetapi saya tidak nampak mereka berebut untuk melakukan kerja itu, seperti sudah ada persefahaman antara mereka.

Sepanjang empat hari saya bergerak di atas jalanraya di Kota Bandung, saya tidak nampak berlaku pelanggaran antara kenderaan atau kemalangan (accident) walaupun kereta yang berada di atas jalanraya sangat banyak dan jalannya sempit. Ini menunjukkan sikap pemandunya yang sangat berhati-hati, mahir dan cekap memandu.

Mungkin empat hari adalah terlalu singkat untuk mendapat peluang melihat berlaku insiden pelanggaran atau kemalangan. Tetapi setelah melihat kepada kebanyakan kereta-kereta di kota ini, memang saya tidak nampak sebuah kereta pun yang ada kesan calar dan kemek, ini tambah meyakinkan saya, memang jarang sangat berlaku insiden pelanggaran dan kemalangan di kota Bandung ini.

Apa yang saya lihat di jalanraya adalah juga mencerminkan resam, sikat dan tabiat warga Bandung itu sendiri. Mereka mempunyai hubungan erat dan akrab antara satu sama lain, tidak mementingkan diri sendiri dan saling faham memahami.

Bagaimana budaya atau amalan sebegini dapat dibentuk dalam masyarakat di Bandung? Adakah sebab mereka mempunyai etnik yang sama iaitu majoritinya adalah etnik Sunda. Atau adakah mereka mendapat pendidikan di sekolah yang sama yang mempunyai falsafah yang sama?
 

Inilah pemandu (supir) yang telah membawa saya dan keluarga selama empat hari berjalan-jalan di sekitar Kota Bandung. Dia mahir dan cekap memandu, dedikasi dengan kerjanya, menepati masa, sangat suka membantu. Beliau boleh dihubungi melalui nombor telefon +6281321281112.
Sambungan akan datang, Bandung, warga yang rajin.

Friday, November 09, 2012

Ungkapan ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’, sudah tidak sesuai lagi


Ungkapan ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ adalah menggambarkan eratnya hubungan antara pemimpin dan rakyat.  Di zaman dulu pemimpin orang Melayu adalah raja, Negara akan menjadi aman dan makmur jika ada hubungan yang erat antara raja dan rakyat.

Tetapi zaman sekarang, pemimpin tertinggi kita ialah Perdana Menteri di peringkat Negara dan Menteri Besar dan Ketua Menteri di peringkat negeri. Oleh itu untuk disesuaikan di zaman sekarang, ungkapan yang lebih tepat ialah ‘pemimpin dan rakyat berpisah tiada’. Memang benar, untuk keamanan dan kemakmuran Negara, perlu ada persefahaman dan hubungan erat antara pemimpin dan rakyat.

Ungkapan ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ tidaklah sesuai lagi digunakan pada masa ini. Raja pada masa ini hanyalah sebagai Ketua Negara sahaja dan baginda tidak berperanan secara langsung dengan urusan dan permasalahan rakyat. Yang lebih dekat dengan rakyat jelata ialah Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Semua polisi dan dasar yang melibatkan rakyat adalah ditentukan atau di bawah kuasa Perdana Menteri sebagai pemimpin negara. Oleh itu hubungan pemimpin dengan rakyat mestilah dalam keadaan yang erat dan saling kasih mengasihi, agar dasar-dasar yang digubal tidak membebankan atau menyusahkan rakyat.

Kalau pemimpin tidak mempunyai rasa belas kepada rakyat, sudah tentu rakyat juga tidak akan rasa senang dan tenteram dengan pemimpin tersebut. Sudah pasti selepas pilihanraya, pemimpin yang tidak bertimbang rasa seperti ini akan berpisah jua dengan rakyat.

Friday, October 12, 2012

Sebaik saja aku melangkah masuk, dia dah tercongok kat dalam


Selama aku jadi pensyarah di UTM, baru semester ini aku digandingkan dengan pensyarah keturunan Cina untuk mengawasi pelajar membuat ujikaji di makmal.

Sebenarnya dari sejak aku masuk bekerja, tidak ada pensyarah keturunan Cina yang bekerja di fakulti tempat aku bekerja. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini sahaja baru ada beberapa orang pensyarah dari keturunan Cina.

Oleh kerana bilangan mereka tidak ramai, peluang untuk mengawasi pelajar membuat ujikaji di makmal bersama dengan pensyarah keturunan Cina ini memang tipis sekali.

Oleh itu, bila dapat peluang digandingkan dengan pensyarah Cina pada kali ini, ia bagaikan satu pengalaman baru buat aku.

Semasa mengajar di bilik kuliah atau menjadi pengawas di makmal, aku memang tidak suka masuk lewat, aku akan datang tepat pada waktu seperti yang terdapat dalam jadual. Dalam agama pun kita disuruh menepati janji dan masa. Bagi aku, antara ciri muslim yang baik, mesti sentiasa menepati masa dan janji.

Kalau kita umat Islam, sentiasa menepati masa dan janji, barulah orang bukan Islam akan memandang hormat kepada umat Islam.

Tidak ada bangsa di dunia ini yang maju dan berjaya, dan dalam masa yang sama mereka adalah bangsa yang tidak menepati masa.

Jadi bila aku dapat peluang digandingkan dengan pensyarah keturunan Cina untuk mengawasi pelajar membuat kerja di makmal, maka inilah masanya untuk aku, sebagai seorang Islam, menunjukkan contoh yang baik kepada pensyarah Cina ini, terutama dalam bab menepati masa.

Hari pertama aku masuk makmal untuk menjalankan tugas, aku sampai di makmal tepat jam 2.00 petang, waktu yang telah dijadualkan dalam jadual waktu. Sebaik saja aku masuk, pensyarah Cina itu telahpun berada dalam makmal. Apa yang ada dalam fikiran aku pada masa itu, mungkin dia telah datang seminit atau dua minit lebih awal dari aku.

Aku telah berjanji kepada diriku, untuk hari kedua bertugas nanti, aku akan pastikan aku akan datang ke makmal lebih awal dari pensyarah Cina itu. Aku nak tunjukkan kepadanya orang Islam sebenarnya adalah lebih bagus.

Aku telah merancang untuk kali kedua ini akan sampai di makmal pada pukul 1.50 petang iaitu 10 minit lebih awal dari waktu yang tercatat dalam jadual waktu. Dan aku pasti, kali ini aku akan lebih dulu sampai makmal dari pensyarah Cina itu.

Selang seminggu, masa untuk bertugas di makmal untuk hari kedua pun tiba, Alhamdulillah aku sampai di muka pintu makmal tepat pukul 1.50 petang seperti yang aku rancang.

Tanpa berlengah, aku pun membuka pintu makmal dan cepat-cepat melangkah masuk. Alamak! Dia sudah tercongok kat dalam.

Memang gua tabik sama lu!

Tuesday, October 02, 2012

Syarikat insuran perlindungan perubatan dan hospital swasta menjadikan kos merawat pesakit bertambah mahal


Harga barang yang dibeli terus dari kilang adalah jauh lebih murah berbanding jika dibeli dari peruncit. Untuk sampai ke kedai runcit, barang-barang ini terlebih dahulu melalui pemborong dan pengedar.  Sudah tentu harga barang akan menjadi lebih mahal setelah pemborong, pengedar dan peruncit mengambil sedikit keuntungan ke atas harga jualan.

Lagi banyak tingkat pemasaran yang dilalui antara kilang dan pengguna, lagi tinggilah harga yang perlu dibayar oleh pengguna. Kerana setiap tingkat pemasaran ini akan mengenakan caj bayaran bagi khidmat jualan mereka.

Perkara yang sama juga berlaku kepada kos merawat pesakit di hospital. Kos rawatan menjadi terlalu mahal apabila ada pihak yang membuat keuntungan dari perkhidmatan perubatan dan rawatan di hospital ini.

Sebelum wujudnya hospital swasta, rakyat yang sakit akan pergi ke hospital kerajaan untuk menerima rawatan. Di hospital kerajaan setiap rakyat negara ini mendapat rawatan secara percuma dan kalau pun dikenakan bayaran, bayaran yang dikenakan sangatlah rendah.

Selama ini memberi rawatan kepada rakyat yang sakit dan memberi pelajaran kepada rakyat adalah dianggap menjadi tanggungjawab pihak kerajaan. Pelajaran adalah penting untuk menyediakan rakyat yang berilmu pengetahuan bagi memajukan negara manakala rakyat yang sihat pula penting untuk memastikan produktiviti negara tidak terjejas. Oleh itu tidak hairanlah kalau selama ini kerajaan sanggup menanggung biaya hospital dan sekolah.

Walaupun kerajaan telah menanggung kos rawatan dan ubat dihospital, tetapi sebenarnya sebahagian belanja yang diperolehi untuk mengurus perkhidmatan hospital ini adalah juga datang dari cukai yang dikenakan kepada rakyat.

Kerajaan tidak membuat keuntungan dari perkhidmatan hospital yang disediakannya. Oleh itu semua kos perkhidmatan, ubat dan rawatan dihospital berada pada tahap yang paling rendah sekali. Gaji doktor yang bekerja dihospital kerajaan mempunyai sekim gaji yang sama yang ditetapkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam.

Apabila bilangan rakyat negara kita bertambah ramai, negara pula semakin maju, cara hidup rakyat pun berubah, penyakit mula datang dan menyerang dalam berbagai bentuk; amalan hidup yang tidak sihat, pemakanan yang tidak seimbang, kurang bersenam, penyediaan makanan yang tercemar oleh bahan kimia dan toksid, menjadikan peratusan bilangan pesakit setiap tahun bertambah.

Kerajaan tidak lagi dapat menampung jumlah pesakit yang sangat ramai, kerajaan terpaksa menggunakan wang yang banyak untuk menanggung kos ubatan dan gaji doktor yang tinggi. Akhirnya banyaklah kelemahan-kelemahan atau kekurangan yang terdapat pada hospital kerajaan yang sering menjadi rungutan orang ramai. Akhirnya lahirlah hospital swasta untuk mengisi kekurangan ini.

Hospital swasta menjadi tarikan kepada golongan yang berduit, di sana mereka dapat layanan dan rawatan yang terbaik. Bagi golongan kaya, harga tidak menjadi masalah asalkan khidmat yang diberi memuaskan hati mereka.

Kerana permintaan yang menggalakan dari golongan yang berada, perniagaan hospital swasta telah membawa pulangan yang memberangsangkan. Ramailah pelabur melabur dalam perniagaan hospital swasta ini. Hasilnya semakin banyak hospital swasta tumbuh di negara ini. Apabila hospital swasta bertambah banyak, mereka bukan sahaja bersaingan dengan hospital kerajaan tetapi juga bersaing antara hospital swasta itu sendiri.

Semua kos perbelanjaan untuk mengurus dan mengendalikan hospital swasta ini memang sepenuhnya datang dari duit pesakit mereka. Duit itulah juga digunakan untuk membayar gaji pekerja dan gaji doktor-doktor mereka, dan kita juga tahu gaji doktor mereka jauh lebih tinggi dari gaji doktor yang bekerja di hospital kerajaan.

Pengwujudan hospital swasta ini sebenarnya menyebabkan kos perubatan dan rawatan menjadi bertambah mahal kerana perkhidmatan yang mereka berikan adalah berorientasikan keuntungan.

Sebenarnya kos operasi hospital swasta ini tidak bergantung kepada wang pesakit yang membayar terus dengan wang mereka sendiri. Sebaliknya bayaran kepada hospital swasta ini dituntut dari syarikat insuran yang mana pesakit-pesakit ini telah membeli insuran perlindungan perubatan dari syarikat-syarikat insuran tersebut.

Walaupun jumlah bayaran yang dikenakan terlalu mahal dan tidak masuk akal, ini tidak akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan pesakit, kerana apa pun jumlah kosnya akan ditanggung oleh syarikat insuran.

Pesakit tidak perlu risau jumlah kos perubatan yang dia kena bayar, sebaliknya dia hanya perlu memperuntukkan sebahagian kecil dari wang gaji atau pendapatannya setiap bulan untuk membayar sumbangan kepada syarikat insuran.

Begitulah bagusnya sistem pembiayaan perubatan menggunakan insuran ini. Di bawah sistem ini secara teorinya pesakit tidak pening kepala untuk memikirkan perbelanjaan hospital dan perubatan jika tiba-tiba ditimpa sakit.

Mungkin ia bagus untuk orang-orang kaya atau berpendapatan besar, tetapi kepada golongan yang berpendapatan sederhana dan kecil tentu akan timbul masalah untuk membayar sumbangan atau mencarum setiap bulan kepada syarikat insuran. Mereka akan berfikir banyak kali, antara belanja harian yang lebih diperlukan dengan membeli insuran perlindungan perubatan ini, apatah lagi mereka memikirkan mereka belum tentu akan jatuh sakit di masa depan.

Insuran Islam atau takaful adalah berasaskan konsep bantu membantu antara satu sama lain. Duit dipungut dari setiap orang dan dikumpulkan bagi membantu orang-orang yang ditimpa kesusahan seperti sakit, kemalangan dan kematian.

Islam sangat menggalakkan untuk membantu orang-orang yang ditimpa kesusahan. Bantuan dihulur mengikut kemampuan dan keikhlasan seseorang. Orang yang berada tentulah akan menyumbang lebih banyak dari yang kurang berada.

Tetapi insuran dan takaful yang ada hari ini mengenakan bayaran sumbangan atau caruman yang sama jumlahnya tanpa mengira orang itu kaya atau miskin. Di sinilah kelemahan yang ketara terdapat dalam sistem takaful yang ada sekarang.

Syarikat insuran mengutip dari setiap orang atau ahli dengan jumlah yang sama banyak, tiap-tiap bulan, dan duit yang terkumpul ini akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan hospital dan perubatan ahli-ahli yang jatuh sakit. Pendek kata, semua operasi hospital dan perubatan swasta adalah datang dari duit yang dikumpul oleh syarikat-syarikat insuran.

Sebaliknya, hospital kerajaan dan operasinya pula dibiayai oleh duit cukai yang dikutip oleh kerajaan. Lagi tinggi pendapatan seseorang, lagi banyaklah mereka kena cukai. Bagi golongan yang berpendapatan rendah dan miskin, mungkin tidak dicukai langsung.

Cara ini nampak lebih adil, orang kaya menyumbang lebih kepada masyarakat melalui sistem percukaian itu. Duit yang dicukai inilah yang akan digunakan bagi membiayai hospital dan perubatan kerajaan untuk warga yang sakit secara percuma tanpa mengira kaya atau miskin.

Penswastaan hospital hanya memperkayakan segelintir orang, mereka membuat perniagaan dan mengaut keuntungan yang melampau diatas penderitaan orang lain. Sikap ini sangat tidak bermoral.

Sehingga pernah kita dengar cerita-cerita, ada pesakit yang sepatutnya tidak perlu dimasukkan wad tetapi telah dimasukkan wad kerana ingin mendapatkan bayaran yang lebih.

Dan kita tidak hairan kalau ada pesakit diberi ubat dan ‘treatment’ yang tidak perlu bagi meninggikan bil perubatan mereka.

Hospital swasta mengaut keuntungan, syarikat insuran perlindungan perubatan juga mengaut keuntungan. Semua keuntungan yang mereka perolehi itu adalah datang dari duit pesakit dan orang ramai. Bila lebih banyak keuntungan dibuat, ini sebenarnya akan menambah kos perkhidmatan, kos ubat dan kos rawatan di hospital.

Keuntungan yang diperolehi oleh syarikat insuran perlindungan perubatan dan gaji kakitangan insuran itu juga dibayar dari duit orang ramai yang mereka kutip. Sepatutnya rakyat hanya membayar kos rawatan dan ubat dihospital, tetapi terpaksa juga membayar kos kepada sayarikat insuran, ini membuatkan kos keseluruhan menjadi lebih mahal.

Kalau tidak ada hospital swasta, tidak adalah syarikat insuran perubatan, mungkin kakitangan insuran itu boleh bertukar kerja ke sektor yang lebih produktif. Bukan sekadar kerja makan komisyen saja.
Pada zaman Nabi dulu, baginda pernah dihadiahkan seorang tabib untuk bekerja di Madinah, tetapi setelah lama bekerja, tabib tersebut datang mengadu kepada Nabi, tidak ada penduduk yang datang berjumpa beliau. Maksudnya tidak ada penduduk yang sakit.

Dikatakan antara sebab orang Islam ketika itu tidak ada atau kurang yang sakit adalah kerana mereka menjaga disiplin makan dan makan makanan yang baik-baik lagi halal.

Kalaulah rakyat Malaysia tidak ramai yang sakit kerana tidak memakan makanan yang boleh mendatangkan mudarat, sudah tentu kita tidak perlukan doktor dan kakitangan hospital yang ramai seperti sekarang, kita juga tidak perlu membina hospital dan kemudahannya yang banyak seperti yang ada sekarang.

Bayangkan, berapa banyak perbelanjaan negara dapat dijimatkan jika bilangan doktor dan kemudahan perubatan dapat dikurangkan kepada separuh dari yang ada sekarang.

Sudah tentu, wang yang dapat dijimatkan itu boleh pula disalurkan kepada projek untuk membina lebih banyak kemudahan untuk rakyat. Dan bila kita pergi ke hospital kerajaan untuk mendapat rawatan pasti kita akan dapat layanan yang baik kerana bilangan doktor dan kakitangan hospital ketika itu lebih ramai dari orang yang sakit.

Ini hanya boleh dicapai jika badan penguatkuasa undang-undang, termasuklah kastam, polis, pemeriksa dari Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar dapat menjalankan kerja mereka dengan amanah dan tegas, dan di pihak yang terlibat dalam penghasilan dan penyediaan bahan makanan pula, seperti petani, penternak, peniaga dan pekilang, sentiasa mengamalkan amalan baik dan tidak mengejar keuntungan jangka pendek untuk diri sendiri sahaja.

Friday, September 21, 2012

Tidak wajar mendirikan masjid berasingan kerana berbeza fahaman


Masjid itu ‘rumah Allah’ iaitu tempat umat Islam melakukan ibadah terutamanya solat berjemaah, menyembah Tuhan yang Maha Esa. Masjid juga menjadi lambang kesatuan umat Islam.

Walaupun umat Islam telah terbahagi kepada berbagai aliran, berbagai mazhab dan berbagai fahaman politik tetapi mereka sepatutnya boleh dan tidak tersekat untuk bersembahyang di mana-mana masjid di muka bumi ini.

Bukan sahaja kita tidak wajar mendirikan masjid untuk kumpulan kita sendiri kerana berbeza fahaman dengan orang lain, malah kita juga tidak wajar menunaikan solat berjemaah yang berasingan mengikut aliran fahaman masing-masing di dalam masjid yang sama.

Di Negara kita Malaysia memang pernah berlaku di mana masjid didirikan kerana mengasingkan pengikut-pengikut mereka yang berbeza fahaman. Begitu juga pernah berlaku sembahyang dua imam di dalam satu masjid kerana berbeza fahaman politik.

Terdapat pemimpin-pemimpin aliran agama yang terlalu mengutamakan idealistik, menjadikan mereka taksub hingga kabur untuk melihat keutamaan dalam Islam itu sendiri.

Kadang-kadang kerana mempertahankan soal cabang yang kecil mereka sanggup mengorbankan kepentingan yang lebih besar.

Sebagai contoh, ada pemimpin aliran agama ini yang faham, perkara niat dalam ibadah tidak perlu dilafazkan, kepada mereka, melafazkan niat adalah bidaah. Oleh kerana mereka tidak bersetuju dengan masyarakat ramai yang mengamalkan lafaz niat maka mereka telah mendirikan sembahyang Jumaat untuk kumpulan mereka yang berasingan dari masjid orang awam.

Pemimpin agama seperti ini lupa tentang kepentingan yang lebih besar dalam Islam. Tindakan yang mereka lakukan itu sebenarnya hanya akan merugikan agama dan umat Islam. Konsep agama ialah nasihat, berdakwah kepada manusia kepada kebaikan, itulah yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad. Mengasingkan diri hanya akan menjauhkan manusia dari kita, akhirnya dakwah kita tidak sampai kepada sasaran.

Memang betul, niat tidak perlu dilafazkan, dan saya akui pendapat pemimpin aliran agama itu memang betul. Tetapi dalam menegakkan pendirian kita walaupun betul, tidak harus mengambil tindakan hingga sampai mendirikan sembahyang Jumaat berasingan, kerana ini akan menyebabkan lebih banyak kerosakan dan kerugian kepada agama dan masyarakat umat Islam. Samalah seperti kita hendak membunuh seekor nyamuk menggunakan bom atom.

Adalah lebih sesuai kalau kita menggunakan pendekatan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis, dalam mengubah pemikiran masyarakat. Beliau banyak menggunakan hujah dan nas dalam mendidik dan menangani berbagai isu. Beliau tidak membentuk kumpulannya sendiri, semua umat Islam adalah kumpulannya. Sebenarnya inilah cara yang betul, matalamat kita ialah hendak membetulkan pemikiran semua umat Islam, bukan hendak mewujudkan kumpulan baru.

Jangan sekali mengasingkan diri kita dari kelompok ramai, kerana ini hanya akan menambah rasa curiga orang ramai kepada kita, semakin jauhlah kita dari mereka.

Tidak dinafikan selain dari Dr. Mohd Asri, ramai juga usataz-ustaz yang berceramah di masjid yang telah membawa nilai-nilai dan hujah-hujah baru yang cuba memadamkan amalan-amalan lama yang tidak tepat yang telah sebati dalam masyarakat. Dengan kredibiliti yang mereka miliki dan kebijaksanaan dalam menyampaikan hujah dan nas, ustaz-ustaz ini telah dapat mempengaruhi masyarakat untuk berubah.

Sebenarnya inilah cara yang paling berkesan untuk mengubah masyarakat atau umat Islam, masyarakat perlu didekati bukan dijauhi. Kita kena masuk ke dalam masyarakat itu sendiri bukan mengasingkan diri kita dari mereka.

Thursday, September 20, 2012

Orang ini tak faham hubungan pengusaha dobi dapat kontrak buat jalan dengan BN


Semasa aku tengah gunting rambut di sebuah kedai gunting yang berhampiran dengan rumah aku di Johor Bahru, terdengar perbualan rancak antara tukang-tukang gunting rambut di kedai itu tentang rasa tidak puas hati mereka terhadap kerja-kerja penyelenggaraan jalanraya di kawasan berhampiran.

Mungkin sebab ada aduan orang ramai terhadap keselamatan jalanraya utama yang terdapat di taman perumahan tempat aku tinggal ini yang semakin hari semakin banyak bilangan kenderaan yang menggunakannya, maka pihak berkuasa telah mengambil beberapa langkah yang difikirkan perlu untuk mengurangkan kemalangan di situ. Ini termasuklah membina pembahagi jalan yang menggunakan batu konkrit di sepanjang jalan utama itu walaupun jalan itu hanya ada satu lorong saja.

Pembinaan pembahagi jalan itu memang menyebabkan jalan itu bertambah sempit. Tetapi itu tidaklah mendatangkan masalah sangat kepada pengguna, kerana yang lebih penting ialah keselamatan pengguna dan penduduk di situ.

Tetapi yang menjadi rungutan tukang-tukang gunting tadi ialah cara kontraktor yang membina pembahagi jalan itu melakukan kerja mereka. Cara mereka bekerja memang tidak professional, mereka tidak langsung memasang tanda-tanda amaran keselamatan. Kerap kali kenderaan terutamanya lori terlanggar pembahagi jalan yang sedang dalam pembinaan itu.

Kerja yang sedikit itu mengambil masa berminggu untuk siap, dengan tidak menghiraukan ciri-ciri keselamatan, ini boleh mendatangkan bahaya kepada pekerja dan juga pengguna.

Mutu hasil kerja mereka juga tidak kemas dan tidak cantik. Mungkin kawasan ini jauh dari pusat Bandar Johor Bahru, kemasan kerja-kerja pembinaan tidaklah menjadi keutamaan kepada pihak yang berkuasa.

Antara kata-kata yang keluar dari mulut tukang gunting itu yang sangat jelas aku dengar ialah, “kalau engkau nak tahu, kontraktor yang dapat tender buat jalan ini bukan kontraktor buat jalan tetapi taukeh yang buka kedai dobi”.

Jadi tidak hairanlah kalau kualiti dan kerja pembinaan pembahagi jalan itu amat teruk sekali.

Tetapi rungutan, marah dan rasa tidak puas hati tukang-tukang gunting itu habis sampai di situ saja. Mereka hanya marah kepada tukang dobi yang tidak pandai buat jalan itu saja, sebaliknya mereka tidak pernah hendak soalkan bagaimana pengusaha dobi itu boleh dapat kontrak buat jalan. Sebab itulah BN atau UMNO terus kekal berkuasa di Johor. Sebab ramai rakyat Johor yang masih tidak faham apa hubungan pengusaha dobi dapat kontrak buat jalan dengan kerajaan BN.

Saturday, September 08, 2012

Obama tidak lagi menghadapi halangan warna kulit untuk pemilihan presiden penggal keduanya


Obama adalah seorang pemidato hebat, namanya dikatakan sebaris dengan bekas-bekas presiden Amerika yang dikenali sebagai pemidato hebat seperti Bill Clinton, Andrew Jackson, John Kennedy, Abraham Lincoln, Ronald Reagan dan Franklin Roosevelt.

Perbezaan antara Obama dengan bekas-bekas presiden yang disebutkan tadi hanyalah pada warna kulitnya sahaja. Walaupun dalam perlembagaan Amerika yang menganut amalan politik demokrasi itu, tidak menghalang siapa sahaja untuk menjadi presiden tetapi rakyat Amerika yang majoriti berkulit putih masih sukar untuk menerima orang kulit hitam untuk menjadi presiden mereka.

Pada pemilihan presiden tahun 2008, Obama yang berkulit hitam bersaing dengan John McCain dari parti Republican yang berkulit putih. Kalau dilihat dari segi kebolehan dan meritokrasi, Obama jauh lebih hebat dari John McCain, tetapi halangan yang paling besar dihadapi oleh Obama ketika itu untuk menang dalam pemilihan itu ialah warna kulit beliau. Andainya Obama berkulit putih, sudah pasti Obama dapat mengalahkan John McCain dengan begitu mudah.

Saya percaya pemilihan presiden Amerika yang akan berlangsung pada 6 November 2012 ini yang merupakan pemilihan presiden penggal kedua bagi Obama, kemenangan akan berpihak kepada beliau. Saya berani mengatakan Obama kali ini akan menang secara mudah kerana pada pertandingan kali ini, rakyat Amerika tidak lagi melihat kepada faktor warna kulit.

Obama semasa menjadi presiden telah dapat mempamirkan dirinya kepada rakyat Amerika bahawa beliau sama sahaja seperti presiden-presiden kulit putih sebelum ini. Dia telah membuktikan, dia menjadi presiden kepada rakyat Amerika bukan menjadi presiden kepada warga kulit hitam Amerika. Dia telah memperjuangkan kepentingan rakyat Amerika keseluruhannya, bukan terbatas kepada kulit hitam sahaja.

Mungkin disebabkan warna kulit hitamnya itu juga, Obama mempunyai kelebihan, beliau mempunyai sikap menyenangi Negara-negara Asia yang jarang ada kepada presiden-presiden Amerika sebelum ini. Di bawah pentadbiran Obama, Amerika mempunyai dasar luar yang lebih mesra Asia.

Walaupun dasar Negara Amerika tidak membeza-bezakan warna kulit, tetapi diskriminasi terhadap warga kulit berwarna yang minoriti itu masih tetap berlaku dalam masyarakatnya.

Itulah Amerika, walaupun anak-anak mereka yang berbagai warna kulit bersekolah di sekolah yang sama, menggunakan bahasa yang sama sejak beratus tahun lamanya, tetapi masih juga tidak dapat mengikis sepenuhnya amalan apartheid. Apapun, sekurang-kurangnya mereka telah berusaha menghalang secara undang-undang dan menghalang faktor-faktor yang boleh menyumbang kepada amalan diskriminasi kaum dan apartheid.

Sebaliknya kita di Malaysia, dengan secara sukarela menjemput dasar apartheid dengan mengasingkan anak-anak kita bersekolah di sekolah mengikut kaum.

Monday, August 27, 2012

Cara penyelesaian perbalahan PAS dan UMNO ada dalam Surah An-Nisa’ (Quran)


Dalam pilihanraya umum 2008, UMNO telah ditolak oleh orang Melayu Islam hingga menyebabkan hilang kekuasaannya ke atas 5 negeri. Kenapa orang Melayu menolak UMNO? Ini kerana UMNO telah terlalu banyak melakukan kesilapan dan kesalahan, sehingga orang Melayu begitu marah kepada parti itu.

Kehilangan sokongan orang Melayu kepada UMNO adalah disebabkan tindak-tanduk pemimpin-pemimpin mereka juga. Pemimpin yang bertindak pilih kasih, lembab dan tidak mampu membuat perubahan, gejala rasuah yang sukar dibendung, pentadbiran yang korup dan cakap tak serupa bikin, menyebabkan rakyat tidak mahu memberi undi kepada parti itu lagi.

Seperti sudah terantuk baru terngadah, UMNO terkejut beruk dengan keputusan pada pilihanraya tahun 2008, taktik ‘kotor’ yang selalu mereka gunakan untuk memenangi piliharaya pun tidak mampu menyekat kemarahan rakyat itu.

Dalam keadaan yang cemas dan terdesak itu, mereka telah merayu dan membuat rundingan sulit dengan parti PAS untuk mengembalikan kuasa mereka, kukuh seperti sebelum ini. Kononnya mereka bertindak atas perpaduan umah, kuasa umat Islam, kuasa Melayu dan penyatuan umat Melayu. Walhal kita tahu apa niat sebenar mereka, tidak lain, ialah untuk pengekalan kuasa. Nasib baiklah ada pemimpin-pemimpin PAS yang tidak termakan ‘gula-gula’ mereka itu. Buat apalah kuasa kalau kuasa itu hanya akan menjadikan mereka tambah bermaharajalela dalam melakukan kerosakan.

Tindakan UMNO ini samalah seperti yang diterangkan dalam ayat 62 dan ayat 63, Surah An-Nisa yang bermaksud:

62. Maka bagaimanakah halnya apabila ditimpa sesuatu musibah disebabkan perbuatan tangan mereka sendiri, kemudian mereka dating kepadamu sambil bersumpah: “Demi Allah, kami tidak sekali-kali tidak menghendaki selain penyelesaian yang baik dan perdamaian yang sempurna”.

63. Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka. Kerana itu berpalinglah kamu dari mereka, dan berilah mereka pelajaran, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berbekas pada jiwa mereka.

Sejarah akan sentiasa berulang, dan Quran telah menyediakan penyelesaiannya bila menghadapi situasi begini.

Malah pihak UMNO yang terdesak ini memang patut diajar dan disindir dengan kata-kata yang memberi bekas kepada jiwa mereka seperti memulangkan paku buah keras.

Apapun, UMNO, parti yang terdesak ini masih boleh dibenarkan untuk bekerjasama dengan PAS tetapi haruslah PAS yang menjadi hakim atau pihak yang menetapkan syarat-syarat tentang perpaduan dan kerjasama itu, bukannya pihak UMNO yang berhak menentukannya, seperti diterangkan dalam ayat berikutnya iaitu ayat 65, Surah yang sama.

UMNO sering mengkritik dan mempertikai kerjasama PAS dengan DAP. Kritikan mereka itu bukanlah datang dari hati yang ikhlas tetapi lebih kepada ingin memecah belah Pakatan Rakyat. Walaupun PAS dan DAP mempunyai agama dan fahaman berlainan tetapi mereka membina kerjasama atas dasar untuk kebaikan rakyat. Mereka mahu menghapuskan rasuah, membina kerajaan yang bersih dan telus, membebaskan media perdana dari dikawal parti yang memerintah, membuka ruang kebebasan bersuara kepada rakyat, pemerintahan yang adil kepada semua dan membebaskan badan kehakiman, dan melaksanakan pilihanraya yang bersih, bebas dan adil.

Perjanjian untuk bekerjasama kearah kebaikan dan bukan kerjasama kearah kerosakan memang sangat digalakkan dalam Islam. Perjanjian ini harus dihormati walaupun dengan bukan Islam, dan berpegang pada janji itu adalah termasuk dalam akhlak umat Islam.

Tuesday, August 14, 2012

Cara nak pergi PERTH (Australia) tanpa melalui pakej pelancungan


Perkara yang paling kita bimbang untuk pergi ke suatu tempat yang kita tidak pernah sampai ialah tentang faktor keselamatan. Perth adalah bandaraya dalam sebuah Negara maju, mempunyai warga yang berakhlak baik. Anda tidak perlu berasa bimbang tentang keselamatan semasa berada di sana, tidak bimbang tentang ragut, rompak, curi dan lain-lain ancaman jenayah. Tidak ada rasa bimbang dan takut seperti kita melawat Thailand, Filipina, Indonesia malah Kuala Lumpur sendiri. Oleh itu tidak perlu menggunakan perkhidmatan agensi pelancungan untuk melawat Perth, anda hanya perlu melakukan proses yang amat mudah seperti dicatatkan di bawah untuk melancung ke Perth.


1. Tempah tiket kapal terbang melalui laman web Airasia, tempah awal untuk dapat tambang murah, bayar pakai kredit card. Link Airasia:




Kalau nasib kita baik boleh dapat harga promo serendah RM800.00 untuk tiket pergi-balik seorang.


2. Dapatkan visa ke Australia, boleh dapatkan khidmat dapatkan visa ini dari Syarikat Agen Pelancungan yang berhampiran, harga sekitar RM30 setiap visa untuk seorang. Rajawali Bintang Travel Sdn. Bhd, web: www.rajawalibintangtravel.com, tel: 07-2235989.


3. Buat booking hotel di Perth melalui online, harga sekitar AUD175 pernight bagi apartment type. Tempah awal untuk dapat harga yang lebih murah dan ada kekosongan.




City Stay Apartment Hotel, located at Wellington Street, opposite to Harbour Town..shopping centre.


Address
875 Wellington Street
Perth, 6005
Australia
Phone
+61892151515
Email
res@citystay.com.au
Travel info:
Latitude -31.94746, Longitude 115.84650
(S 031° 56.848, E 115° 50.790)


4. Kalau pergi pada bulan June dan July kena beli baju tebal kerana cuaca di sana agak sejuk. Tidak ada salji di Perth. Tukar RM ke AUD di money changer di Malaysia untuk kegunaan di sana. Wang tunai yang setara RM1000.00 bagi seorang sudah memadai untuk belanja makan dan perjalanan di sana untuk tempoh lima hari.


5. Pergi airport (departure), mesti check-in flight dua jam sebelum berlepas, beg hand luggage (beg yang dipegang penumpang) adalah percuma dan berat mesti kurang dari 7 Kg di samping itu dibenarkan juga membawa beg computer/kamera dan beg tangan wanita. Saiz beg yang dibenarkan ialah 56 cm x 36 cm x 23 cm, kalau bawa checked luggage (beg yang di tempat simpan barang) akan dikenakan bayaran yang tertentu mengikut berat. Kereta tolak bayi tidak dikenakan apa-apa bayaran tetapi hendaklah didaftarkan semasa check-in.


6. Pastikan tidak ada barang-barang yang tidak dibenarkan oleh kerajaan Australia dibawa masuk ke Negara itu seperti daging yang dimasak, tetapi makanan daging yang dalam tin atau dalam paket adalah dibenarkan.


7. Bila sampai Perth international airport, pergi dapatkan taxi, di situ ada juga sediakan telefon khas untuk memanggil teksi. Bayaran ikut meter, dari airport ke hotel sekitar AUD40.00. Kalau keluarga ramai, boleh dapatkan khidmat maxi-taxi, lebih ekonomik. Maxi taxi yang saya naiki dari airport ke hotel semasa di sana dulu ialah Roberts Maxi Taxi Service, phone: 04 1796 1792. Semasa balik dari hotel ke airport pun saya menggunakan khidmat maxi taxi yang sama, hanya maklumkan kepadanya sehari sebelum kita berangkat pulang. Robert, pemandunya sudah lanjut usia, mungkin sudah hampir hendak bersara.


8. Perkhidmat bas dalam kawasan pusat Bandar Perth adalah percuma dan sangat convenient. Dapatkan peta perjalanan bas di counter hotel.


9. Untuk makan, terdapat restoran Insans café dekat no 113 Murray Street yang dikendalikan oleh orang Malaysia dan restoran Indah dekat Barrack Street yang dikendalikan oleh orang Indonesia yang juga tidak jauh dari restoran Insans Café. Selain itu terdapat banyak juga kedai kebab yang dikendalikan oleh orang Turkey.


9. Harga makanan sangat mahal di Perth dan Australia umumnya, harga satu jenis makanan cukup untuk seorang tidak termasuk air sekitar RM27.00 atau AUD9.00.

10. Pin power socket (plug) di Australia tidak sama dengan negara kita. Oleh itu kena beli adapter untuk membolehkan kita mengecas laptop, handphone dan camera yang kita bawa. Adapter ada juga dijual di sana. Lihat gambar power socket di Australia.

11. Tempat menarik yang dicadangkan untuk dikunjungi di Perth:


Fremantle Tour


 Catch the ferry cruise to Fremantle.


 Fremantle E-Shed Market (tourists shop for souvenirs)- Saturdays and Sundays only.


 Lunch at Kailis Restaurant Fremantle Waterfront (Fish & Chips)- Own expenses.


 Fremantle City Tour (Fremantle Market, Boat Harbor, Cappuccino st)


 Cottesloe Beach.


 Lake Monger.


Free & easy


shop at the Murray and Hay Street Pedestrian Malls,


take a free bus ride around the city on Yellow, Red or Blue CATS (Central


Area Transport Service), or take a ferry ride ($2.50 return ticket) at Barrack Street Jetty crossing Swan River to South


Perth to enjoy the view of Perth City skyline.


Swan Valley Tour


 Caversham Wildlife Park-Tumbulgum Farm Show-Chocolate Factory-Honey Farm. Nougat factory


 Pray at Mohamaden Mosque (105 years old) on William Street.


Perth Tour


 Visit Kings Park to enjoy the view of Perth City from on top of a hill through the treetop


 Tree top walk at glass bridge-Botanic garden


 Walkway and multiple lookout points


At night enjoy late night shopping at Perth Mall City.


Mandurah Tour


 Macadamia nut farm & factory.


 Mandurah canal cruise


 Orchard fruit farm at Rolleystone.


shopping at Carousel Westfield.


Stop at Turkish Mosque


Peringatan: Semua maklumat ini adalah tepat dan sah pada masa saya melancung ke Perth pada 10 Jun 2012 hingga 14 Jun 2012.


Selamat mencuba.

Tuesday, August 07, 2012

Apakah adil royalti minyak setakat 5% sahaja?


Berunai, Sabah dan Sarawak adalah Negara dan negeri yang mengeluarkan minyak. Tetapi kenapa Sabah dan Sarawak tidak kaya seperti Berunai? Malah Sabah dan Sarawak adalah antara negeri-negeri yang bertaraf miskin dalam Malaysia.

Adakah andaikata kalau Sabah dan Sarawak tidak menyertai Persekutuan Malaysia dan kekal dengan pemerintahan sendiri, mereka akan menjadi Negara yang kaya seperti Berunai?

Ini semua kenalah difikirkan oleh pemimpin supaya semua pihak terutamanya rakyat mendapat keadilan.

Semasa kita dijajah oleh British. Mereka memungut segala kekayaan hasil bumi Negara kita terutamanya bijih timah dan getah. Di samping mengaut kekayaan hasil bumi Negara ini, mereka juga tidak lupa membangunkan infrastruktur yang diperlukan untuk kemudahan mereka dan rakyat Negara ini seperti jalan-jalan raya, jalan keretapi, pelabuhan, sekolah, hospital, bangunan pejabat dan kedai-kedai. Sebahagian besarnya masih boleh digunakan lagi hingga ke hari ini.

Inilah dasar penjajah, mereka mengaut hasil bumi kita, dan merekalah yang menentukan berapa bahagian yang patut kita terima. Sudah tentulah apa yang disumbangkan kepada kita jauh lebih kecil dari apa yang mereka bawa balik ke Negara mereka.

Oleh itu kita juga kena bertindak adil kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Apakah munasabah memberikan royalty setakat 5% sedangkan hasil minyak itu dari perut bumi negeri itu sendiri. Kalau kita suatu masa dulu pernah tidak menyukai penjajah kerana tidak berlaku adil dalam membahagikan kekayaan Negara kita, maka kita juga patut tidak berkelakuan seperti penjajah.

Rakyat setempat di mana hasil bumi ditemui mesti sepatutnya lebih kaya dari rakyat di tempat yang tidak mempunyai apa-apa hasil bumi. Hasil bumi yang ditemui pada sesuatu tempat itu adalah kepunyaaan orang-orang yang tinggal di tempat itu. Perbandingannya, kalau dalam kawasan tanah milik kita ada emas, maka kitalah yang berhak ke atas emas itu. Adalah tidak munasabah, tanah milik kita ada emas tetapi orang lain pula yang berhak ke atasnya dan kita kekal miskin.

Tidak dinafikan kerajaan Persekutuan ada juga menyumbang kepada pembangunan infrastruktur di Sabah dan Sarawak, tetapi kena lihat juga samada infrastruktur yang dibangunkan itu memadai dengan hasil minyak yang diperolehi dari kedua-dua negeri itu. Moga akan ada satu formula baru yang lebih adil dalam mengagihkan hasil minyak ini agar mereka terutamanya Sabah dan Sarawak tidak terasa seperti dilayan sebagai negeri jajahan.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com