Semasa aku tengah gunting rambut di sebuah kedai gunting
yang berhampiran dengan rumah aku di Johor Bahru, terdengar perbualan rancak
antara tukang-tukang gunting rambut di kedai itu tentang rasa tidak puas hati
mereka terhadap kerja-kerja penyelenggaraan jalanraya di kawasan berhampiran.
Mungkin sebab ada aduan orang ramai terhadap keselamatan
jalanraya utama yang terdapat di taman perumahan tempat aku tinggal ini yang
semakin hari semakin banyak bilangan kenderaan yang menggunakannya, maka pihak
berkuasa telah mengambil beberapa langkah yang difikirkan perlu untuk
mengurangkan kemalangan di situ. Ini termasuklah membina pembahagi jalan yang menggunakan
batu konkrit di sepanjang jalan utama itu walaupun jalan itu hanya ada satu
lorong saja.
Pembinaan pembahagi jalan itu memang menyebabkan jalan itu
bertambah sempit. Tetapi itu tidaklah mendatangkan masalah sangat kepada
pengguna, kerana yang lebih penting ialah keselamatan pengguna dan penduduk di situ.
Tetapi yang menjadi rungutan tukang-tukang gunting tadi
ialah cara kontraktor yang membina pembahagi jalan itu melakukan kerja mereka.
Cara mereka bekerja memang tidak professional, mereka tidak langsung memasang tanda-tanda
amaran keselamatan. Kerap kali kenderaan terutamanya lori terlanggar pembahagi
jalan yang sedang dalam pembinaan itu.
Kerja yang sedikit itu mengambil masa berminggu untuk siap, dengan
tidak menghiraukan ciri-ciri keselamatan, ini boleh mendatangkan bahaya kepada
pekerja dan juga pengguna.
Mutu hasil kerja mereka juga tidak kemas dan tidak cantik. Mungkin
kawasan ini jauh dari pusat Bandar Johor Bahru, kemasan kerja-kerja pembinaan
tidaklah menjadi keutamaan kepada pihak yang berkuasa.
Antara kata-kata yang keluar dari mulut tukang gunting itu yang
sangat jelas aku dengar ialah, “kalau engkau nak tahu, kontraktor yang dapat
tender buat jalan ini bukan kontraktor buat jalan tetapi taukeh yang buka kedai
dobi”.
Jadi tidak hairanlah kalau kualiti dan kerja pembinaan
pembahagi jalan itu amat teruk sekali.
Tetapi rungutan, marah dan rasa tidak puas hati
tukang-tukang gunting itu habis sampai di situ saja. Mereka hanya marah kepada
tukang dobi yang tidak pandai buat jalan itu saja, sebaliknya mereka tidak
pernah hendak soalkan bagaimana pengusaha dobi itu boleh dapat kontrak buat
jalan. Sebab itulah BN atau UMNO terus kekal berkuasa di Johor. Sebab ramai rakyat
Johor yang masih tidak faham apa hubungan pengusaha dobi dapat kontrak buat
jalan dengan kerajaan BN.
No comments:
Post a Comment