Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Tuesday, October 02, 2012

Syarikat insuran perlindungan perubatan dan hospital swasta menjadikan kos merawat pesakit bertambah mahal


Harga barang yang dibeli terus dari kilang adalah jauh lebih murah berbanding jika dibeli dari peruncit. Untuk sampai ke kedai runcit, barang-barang ini terlebih dahulu melalui pemborong dan pengedar.  Sudah tentu harga barang akan menjadi lebih mahal setelah pemborong, pengedar dan peruncit mengambil sedikit keuntungan ke atas harga jualan.

Lagi banyak tingkat pemasaran yang dilalui antara kilang dan pengguna, lagi tinggilah harga yang perlu dibayar oleh pengguna. Kerana setiap tingkat pemasaran ini akan mengenakan caj bayaran bagi khidmat jualan mereka.

Perkara yang sama juga berlaku kepada kos merawat pesakit di hospital. Kos rawatan menjadi terlalu mahal apabila ada pihak yang membuat keuntungan dari perkhidmatan perubatan dan rawatan di hospital ini.

Sebelum wujudnya hospital swasta, rakyat yang sakit akan pergi ke hospital kerajaan untuk menerima rawatan. Di hospital kerajaan setiap rakyat negara ini mendapat rawatan secara percuma dan kalau pun dikenakan bayaran, bayaran yang dikenakan sangatlah rendah.

Selama ini memberi rawatan kepada rakyat yang sakit dan memberi pelajaran kepada rakyat adalah dianggap menjadi tanggungjawab pihak kerajaan. Pelajaran adalah penting untuk menyediakan rakyat yang berilmu pengetahuan bagi memajukan negara manakala rakyat yang sihat pula penting untuk memastikan produktiviti negara tidak terjejas. Oleh itu tidak hairanlah kalau selama ini kerajaan sanggup menanggung biaya hospital dan sekolah.

Walaupun kerajaan telah menanggung kos rawatan dan ubat dihospital, tetapi sebenarnya sebahagian belanja yang diperolehi untuk mengurus perkhidmatan hospital ini adalah juga datang dari cukai yang dikenakan kepada rakyat.

Kerajaan tidak membuat keuntungan dari perkhidmatan hospital yang disediakannya. Oleh itu semua kos perkhidmatan, ubat dan rawatan dihospital berada pada tahap yang paling rendah sekali. Gaji doktor yang bekerja dihospital kerajaan mempunyai sekim gaji yang sama yang ditetapkan di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam.

Apabila bilangan rakyat negara kita bertambah ramai, negara pula semakin maju, cara hidup rakyat pun berubah, penyakit mula datang dan menyerang dalam berbagai bentuk; amalan hidup yang tidak sihat, pemakanan yang tidak seimbang, kurang bersenam, penyediaan makanan yang tercemar oleh bahan kimia dan toksid, menjadikan peratusan bilangan pesakit setiap tahun bertambah.

Kerajaan tidak lagi dapat menampung jumlah pesakit yang sangat ramai, kerajaan terpaksa menggunakan wang yang banyak untuk menanggung kos ubatan dan gaji doktor yang tinggi. Akhirnya banyaklah kelemahan-kelemahan atau kekurangan yang terdapat pada hospital kerajaan yang sering menjadi rungutan orang ramai. Akhirnya lahirlah hospital swasta untuk mengisi kekurangan ini.

Hospital swasta menjadi tarikan kepada golongan yang berduit, di sana mereka dapat layanan dan rawatan yang terbaik. Bagi golongan kaya, harga tidak menjadi masalah asalkan khidmat yang diberi memuaskan hati mereka.

Kerana permintaan yang menggalakan dari golongan yang berada, perniagaan hospital swasta telah membawa pulangan yang memberangsangkan. Ramailah pelabur melabur dalam perniagaan hospital swasta ini. Hasilnya semakin banyak hospital swasta tumbuh di negara ini. Apabila hospital swasta bertambah banyak, mereka bukan sahaja bersaingan dengan hospital kerajaan tetapi juga bersaing antara hospital swasta itu sendiri.

Semua kos perbelanjaan untuk mengurus dan mengendalikan hospital swasta ini memang sepenuhnya datang dari duit pesakit mereka. Duit itulah juga digunakan untuk membayar gaji pekerja dan gaji doktor-doktor mereka, dan kita juga tahu gaji doktor mereka jauh lebih tinggi dari gaji doktor yang bekerja di hospital kerajaan.

Pengwujudan hospital swasta ini sebenarnya menyebabkan kos perubatan dan rawatan menjadi bertambah mahal kerana perkhidmatan yang mereka berikan adalah berorientasikan keuntungan.

Sebenarnya kos operasi hospital swasta ini tidak bergantung kepada wang pesakit yang membayar terus dengan wang mereka sendiri. Sebaliknya bayaran kepada hospital swasta ini dituntut dari syarikat insuran yang mana pesakit-pesakit ini telah membeli insuran perlindungan perubatan dari syarikat-syarikat insuran tersebut.

Walaupun jumlah bayaran yang dikenakan terlalu mahal dan tidak masuk akal, ini tidak akan memberi kesan kepada kedudukan kewangan pesakit, kerana apa pun jumlah kosnya akan ditanggung oleh syarikat insuran.

Pesakit tidak perlu risau jumlah kos perubatan yang dia kena bayar, sebaliknya dia hanya perlu memperuntukkan sebahagian kecil dari wang gaji atau pendapatannya setiap bulan untuk membayar sumbangan kepada syarikat insuran.

Begitulah bagusnya sistem pembiayaan perubatan menggunakan insuran ini. Di bawah sistem ini secara teorinya pesakit tidak pening kepala untuk memikirkan perbelanjaan hospital dan perubatan jika tiba-tiba ditimpa sakit.

Mungkin ia bagus untuk orang-orang kaya atau berpendapatan besar, tetapi kepada golongan yang berpendapatan sederhana dan kecil tentu akan timbul masalah untuk membayar sumbangan atau mencarum setiap bulan kepada syarikat insuran. Mereka akan berfikir banyak kali, antara belanja harian yang lebih diperlukan dengan membeli insuran perlindungan perubatan ini, apatah lagi mereka memikirkan mereka belum tentu akan jatuh sakit di masa depan.

Insuran Islam atau takaful adalah berasaskan konsep bantu membantu antara satu sama lain. Duit dipungut dari setiap orang dan dikumpulkan bagi membantu orang-orang yang ditimpa kesusahan seperti sakit, kemalangan dan kematian.

Islam sangat menggalakkan untuk membantu orang-orang yang ditimpa kesusahan. Bantuan dihulur mengikut kemampuan dan keikhlasan seseorang. Orang yang berada tentulah akan menyumbang lebih banyak dari yang kurang berada.

Tetapi insuran dan takaful yang ada hari ini mengenakan bayaran sumbangan atau caruman yang sama jumlahnya tanpa mengira orang itu kaya atau miskin. Di sinilah kelemahan yang ketara terdapat dalam sistem takaful yang ada sekarang.

Syarikat insuran mengutip dari setiap orang atau ahli dengan jumlah yang sama banyak, tiap-tiap bulan, dan duit yang terkumpul ini akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan hospital dan perubatan ahli-ahli yang jatuh sakit. Pendek kata, semua operasi hospital dan perubatan swasta adalah datang dari duit yang dikumpul oleh syarikat-syarikat insuran.

Sebaliknya, hospital kerajaan dan operasinya pula dibiayai oleh duit cukai yang dikutip oleh kerajaan. Lagi tinggi pendapatan seseorang, lagi banyaklah mereka kena cukai. Bagi golongan yang berpendapatan rendah dan miskin, mungkin tidak dicukai langsung.

Cara ini nampak lebih adil, orang kaya menyumbang lebih kepada masyarakat melalui sistem percukaian itu. Duit yang dicukai inilah yang akan digunakan bagi membiayai hospital dan perubatan kerajaan untuk warga yang sakit secara percuma tanpa mengira kaya atau miskin.

Penswastaan hospital hanya memperkayakan segelintir orang, mereka membuat perniagaan dan mengaut keuntungan yang melampau diatas penderitaan orang lain. Sikap ini sangat tidak bermoral.

Sehingga pernah kita dengar cerita-cerita, ada pesakit yang sepatutnya tidak perlu dimasukkan wad tetapi telah dimasukkan wad kerana ingin mendapatkan bayaran yang lebih.

Dan kita tidak hairan kalau ada pesakit diberi ubat dan ‘treatment’ yang tidak perlu bagi meninggikan bil perubatan mereka.

Hospital swasta mengaut keuntungan, syarikat insuran perlindungan perubatan juga mengaut keuntungan. Semua keuntungan yang mereka perolehi itu adalah datang dari duit pesakit dan orang ramai. Bila lebih banyak keuntungan dibuat, ini sebenarnya akan menambah kos perkhidmatan, kos ubat dan kos rawatan di hospital.

Keuntungan yang diperolehi oleh syarikat insuran perlindungan perubatan dan gaji kakitangan insuran itu juga dibayar dari duit orang ramai yang mereka kutip. Sepatutnya rakyat hanya membayar kos rawatan dan ubat dihospital, tetapi terpaksa juga membayar kos kepada sayarikat insuran, ini membuatkan kos keseluruhan menjadi lebih mahal.

Kalau tidak ada hospital swasta, tidak adalah syarikat insuran perubatan, mungkin kakitangan insuran itu boleh bertukar kerja ke sektor yang lebih produktif. Bukan sekadar kerja makan komisyen saja.
Pada zaman Nabi dulu, baginda pernah dihadiahkan seorang tabib untuk bekerja di Madinah, tetapi setelah lama bekerja, tabib tersebut datang mengadu kepada Nabi, tidak ada penduduk yang datang berjumpa beliau. Maksudnya tidak ada penduduk yang sakit.

Dikatakan antara sebab orang Islam ketika itu tidak ada atau kurang yang sakit adalah kerana mereka menjaga disiplin makan dan makan makanan yang baik-baik lagi halal.

Kalaulah rakyat Malaysia tidak ramai yang sakit kerana tidak memakan makanan yang boleh mendatangkan mudarat, sudah tentu kita tidak perlukan doktor dan kakitangan hospital yang ramai seperti sekarang, kita juga tidak perlu membina hospital dan kemudahannya yang banyak seperti yang ada sekarang.

Bayangkan, berapa banyak perbelanjaan negara dapat dijimatkan jika bilangan doktor dan kemudahan perubatan dapat dikurangkan kepada separuh dari yang ada sekarang.

Sudah tentu, wang yang dapat dijimatkan itu boleh pula disalurkan kepada projek untuk membina lebih banyak kemudahan untuk rakyat. Dan bila kita pergi ke hospital kerajaan untuk mendapat rawatan pasti kita akan dapat layanan yang baik kerana bilangan doktor dan kakitangan hospital ketika itu lebih ramai dari orang yang sakit.

Ini hanya boleh dicapai jika badan penguatkuasa undang-undang, termasuklah kastam, polis, pemeriksa dari Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar dapat menjalankan kerja mereka dengan amanah dan tegas, dan di pihak yang terlibat dalam penghasilan dan penyediaan bahan makanan pula, seperti petani, penternak, peniaga dan pekilang, sentiasa mengamalkan amalan baik dan tidak mengejar keuntungan jangka pendek untuk diri sendiri sahaja.

2 comments:

BeritaMelayu said...

jika rakyat pandai menjaga pemakanan mereka, maka hospital-hospital takdela banyak tumbuh macam cendawan. satu pandangan yang menarik.

Anonymous said...

ya..mmg betul syarikat insurans akn mengenakan sumbangan yg tinggi dan sama..tetapi tidak kepada syarikat takaful..takaful adalah 1 sistem sumbangan,dan sumbangan itu terlebih dahulu dirunding,plus syarikat takaful mempunyai simpanan,bukan seperti insurans,jika anda tak mengalami sakit,alhamdulillah,anda boleh ambil semula duit simpanan anda sama seperti anda simpan duit anda di bank..jadi pda para blogger..jgn cepat membuat tanggapan jika anda pon tidak tahu apa2 dan hanya cari idea untuk memajukan blog anda k..jika ada apa2 pertanyaan lebih lanjut,bolehlah hubungi saya..019-5926400..

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com