Empat hari
bergerak di atas jalanraya di Kota Bandung, sudah dapat melihat resam warga
kota tersebut. Kota Bandung terletak di tanah tinggi pergunungan, udaranya
lebik sejuk, terutamanya di waktu malam.
Terletak di
atas kawasan pergunungan, tanah ratanya sangat terhad, kebanyakan jalanraya di
kota Bandung sempit-sempit dan berbukit. Tidak ada kelihatan blok atau bangunan
rumah-rumah kedai seperti Bandar di Malaysia. Kedai dibina atas tanah-tanah lot
di sepanjang jalan. Setiap kedai mempunyai bentuk senibina tersendiri dan unik.
Tidak banyak
bangunan pencakar langit di sini. Oleh kerana jalanrayanya sempit, kesesakan
lalulintas atau trafik jem atau disebut ‘macet’ di Bandung adalah merupakan
perkara biasa di sini, tanpa mengira waktu. Dan sudah tentulah lalulintas
menjadi lebih sesak di waktu warga Bandung hendak pergi dan balik kerja.
Sebelum sampai
di Bandung, saya bayangkan jalan-jalanrayanya penuh dengan kereta buruk-buruk
atau kereta lama yang uzur. Tetapi sangkaan saya itu tidak betul, sebaliknya
banyak kereta baru, bersaiz besar (MPV) memenuhi jalan-jalanraya di Bandung.
Kereta Kijang (Unser), Inova dan Avanza adalah kereta yang paling banyak di
jalanrayanya.
Pengangkutan
Angkut Kota yang merupakan pengangkutan awam kota Bandung yang sangat popular,
membawa penumpang ke merata tempat, cepat dan cekap, sangat sesuai dengan
keadaan jalanraya kota Bandung yang sempit dan berbukit-bukit. Kebanyakan
kenderaan Angkut Kota ini menggunakan MPV Kijang (Unser).
Jalan-jalanraya
di pinggir Kota Bandung jarang ada kemudahan lampu trafik, tetapi warga Bandung
sudah biasa dengan keadaan jalanraya tanpa lampu trafik. Apabila kereta yang
hendak keluar dari simpang untuk masuk ke jalan utama, pemandu tidak perlu
menunggu keadaan jalan lengang dari kedua-dua arah untuk melintas masuk ke
jalan utama. Pemandu hanya perlu bergerak perlahan masuk ke jalan utama dan
secara sepontan pemandu-pemandu kereta dari kedua-dua arah di jalan utama akan
memperlahankan kenderaan mereka untuk memberi laluan kepada kereta yang keluar
dari simpang.
Kalau di
Malaysia, kereta yang keluar dari simpang untuk masuk ke jalan utama terpaksa
menunggu kereta-kereta di jalan utama dari kedua-dua arah lengang, barulah
boleh melintas masuk ke jalan utama. Tetapi di Bandung, tidak boleh buat begitu
kerana jalanrayanya sentiasa sesak dan susah untuk mencari keadaan yang
lengang.
Di sinilah
saya nampak, warga Bandung mempunyai sikap saling memahami antara satu sama
lain. Mereka sabar menghadapi kesesakan lalulintas, tidak mementingkan diri
sendiri, tidak lokek untuk memberi peluang kepada orang lain.
Di tempat-tempat
letak kereta dan di sesetengah simpang, ada orang yang menjaga untuk mengaturkan atau menguruskan
kereta yang keluar masuk supaya bergerak lancar, keadaannya seperti polis
trafik yang tidak rasmi. Setiap pemandu akan membayar 2000 rupiah (60 sen)
kepada mereka atas perkhidmatan itu. Bagaimana mereka dapat pekerjaan itu dan
siapa yang patut bekerja di tempat itu, dan bagaimana mereka
membahagi-bahagikan tempat itu sesama mereka, tidaklah saya tahu. Tetapi saya
tidak nampak mereka berebut untuk melakukan kerja itu, seperti sudah ada
persefahaman antara mereka.
Sepanjang
empat hari saya bergerak di atas jalanraya di Kota Bandung, saya tidak nampak berlaku
pelanggaran antara kenderaan atau kemalangan (accident) walaupun kereta yang
berada di atas jalanraya sangat banyak dan jalannya sempit. Ini menunjukkan
sikap pemandunya yang sangat berhati-hati, mahir dan cekap memandu.
Mungkin
empat hari adalah terlalu singkat untuk mendapat peluang melihat berlaku insiden
pelanggaran atau kemalangan. Tetapi setelah melihat kepada kebanyakan
kereta-kereta di kota ini, memang saya tidak nampak sebuah kereta pun yang ada
kesan calar dan kemek, ini tambah meyakinkan saya, memang jarang sangat berlaku
insiden pelanggaran dan kemalangan di kota Bandung ini.
Apa yang
saya lihat di jalanraya adalah juga mencerminkan resam, sikat dan tabiat warga
Bandung itu sendiri. Mereka mempunyai hubungan erat dan akrab antara satu sama
lain, tidak mementingkan diri sendiri dan saling faham memahami.
Bagaimana
budaya atau amalan sebegini dapat dibentuk dalam masyarakat di Bandung? Adakah
sebab mereka mempunyai etnik yang sama iaitu majoritinya adalah etnik Sunda.
Atau adakah mereka mendapat pendidikan di sekolah yang sama yang mempunyai
falsafah yang sama?
Inilah
pemandu (supir) yang telah membawa saya dan keluarga selama empat hari berjalan-jalan
di sekitar Kota Bandung. Dia mahir dan cekap memandu, dedikasi dengan kerjanya,
menepati masa, sangat suka membantu. Beliau boleh dihubungi melalui nombor
telefon +6281321281112.
Sambungan akan datang, Bandung, warga yang rajin.
No comments:
Post a Comment