Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Thursday, September 20, 2007

50 tahun negara kita 'dijajah' UMNO

Setiap tahun kita menyambut ulangtahun kemerdekaan negara, berjuta-juta ringgit wang kerajaan dibelanjakan untuk menyambutnya. Setiap sambutan yang diadakan akan sentiasa dipastikan meriah dan mesti lebih meriah dari tahun-tahun sebelumnya.

Setiap kali menyambut hari kemerdekaan rakyat diajak untuk mengenang nikmat kemerdekaan. Kita sentiasa diingatkan bahawa negara kita ini pernah dijajah oleh bangsa-bangsa asing dari luar, dan hasil kemerdekaan orang kita telah dapat memerintah negara kita sendiri.

Memang tidak dinafikan hingga hari ini sejak merdeka negara kita memang diperintah oleh orang kita sendiri, tetapi samada kita sedar atau tidak setelah lima puluh tahun merdeka kita hanya diperintah oleh satu parti sahaja iaitu parti UMNO.

Tidak ada dalam sejarah mana-mana negara di dunia ini yang diperintah oleh satu parti sahaja untuk jangkamasa hingga lebih 50 tahun kecuali negara kominis. Yang peliknya kita mendakwa negara kita sebagai negara demokrasi bukan negara kominis. Hanya ada dua kemungkinan saja yang boleh menjawab persoalan yang pelik ini, mungkin parti UMNO ini terlalu bagus sehingga UMNO layak untuk memerintah lebih 50 tahun atau satu perkara lagi mungkin demokrasi yang diamalkan tidak demokrasi yang sepatutnya. Inilah persoalan yang perlu dicari jawapannya

Setiap kali menyambut merdeka dikompangkanlah kepada orang ramai, UMNO lah yang memperjuangkan kemerdekaan kita dulu. Kita diberitahu terlalu besar jasa UMNO kerana telah memerdekakan negara ini dari penjajah British. Kita diperingatkan segala kemajuan dan kemakmuran negara yang kita nikmati hari ini adalah hasil dari kemerdekaan yang kita perolehi.

Mungkin sebab itulah sebagai mengenang budi dan jasa parti UMNO dalam memerdekakan negara ini maka kita sebagai rakyat terus memberi mandat kepada UMNO untuk terus memerintah sehingga lebih 50 tahun.

Padahal kalau difikirkan secara rasionalnya, orang-orang yang memperjuangkan kemerdekaan negara kita dulu bukanlah lagi berada dalam UMNO sekarang, yang tinggal hanyalah nama parti UMNO sahaja yang kebanyakan ahlinya terdiri dari generasi selepas merdeka.

Lagipun diperingkat awalnya penubuhan UMNO itu bukanlah dalam bentuk parti politik untuk bertanding bagi memerintah negara tetapi lebih kepada wadah penyatuan orang Melayu bagi menuntut kemerdekaan. Orang-orang Melayu yang berada di bawah UMNO itu juga kemudiannnya menubuhkan parti-parti politik yang lain. Oleh itu tidaklah tepat kalau kita kata parti UMNO yang memperjuangkan kemerdekaan tetapi yang tepatnya semua orang Melayu ketika itu telah bersatu di bawah UMNO untuk menuntut kemerdekaan negara.

Sebagai contoh apakah parti Keadilan Rakyat yang baru beberapa tahun ditubuhkan itu tidak layak untuk memerintah negara ini hanya kerana parti ini tidak mempunyai sejarah dalam memperjuangkan kemerdekaan negara ini. Apakah datuk nenek mereka tidak pernah bersama-sama orang Melayu lain memperjuangkan kemerdekaan.

Dan tidak pelik juga kalau ahli-ahli parlimen dari parti pembangkang telah tidak menyahut seruan merdeka yang dibuat oleh ahli parlimen UMNO di dalam Dewan Parlimen tidak berapa lama dulu, kerana mereka mungkin merasakan negara ini masih dijajah iaitu ‘dijajah’ oleh UMNO.


Dan bagi UMNO pula negara ini hanya diperintah oleh rakyat negara ini sendiri jika orang UMNO yang memerintah. Kalau orang dari parti lain yang memerintah negara ini seolah-olah dianggap diperintah oleh rakyat asing. Tidak hairanlah kalau UMNO sanggup buat apa saja termasuk mencabul kesucian demokrasi demi mengekalkan ‘kemerdekaan’ negara ini dari diperintah oleh parti lain.

Setiap tahun kita dibuai dengan sambutan kemerdekaan yang meriah yang dihidangkan oleh kerajaan UMNO, untuk kita semua benar-benar terasa negara kita telah merdeka. Sehingga kita lupa sebenarnya mereka iaitu parti UMNO telah 'menjajah' kita lebih 50 tahun.


Artikel ini pernah juga tersiar dalam Malaysiakini.com dalam ruangan Letters (dengan suntingan):
http://www.malaysiakini.com/letters/75035


Wednesday, September 12, 2007

Kerja Tolak Habuk

Pok pok pok… bujang lapok…. Tak ada mancis tak ada rokok… naik basikal terhangguk-hangguk…… tak ada kerja …. Tolak habukkkk.

Bila tak ada kerja tak ada lah gaji. Kalau tak ada gaji tak adalah duit nak menyara kehidupan. Bila tak ada duit macam-macam boleh jadi termasuklah minta sedekah, menipu, mencuri, merompak.dan sebagainya.

Apabila ramai yang tak ada pekerjaan, jenayah akan bertambah banyak, ketenteraman awam tergugat.

Satu masa dulu, ada negara seperti United Kingdom, menyediakan elaun bulanan kepada rakyatnya yang menganggur. Walaupun elaun yang dibayar tidaklah tinggi tapi dapat membantu mereka sementara mendapat kerja.

Di negara kita pula, langkah mengatasi masalah pengangguran ini oleh kerajaan ialah dengan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan, melalui sektor awam dan swasta. Pelabur-pelabur dari dalam dan luar sentiasa dialu-alukan untuk melabur di negara ini bagi menambah peluang pekerjaan.

Apa saja bentuk pelaburan akan kita terima, yang pentingnya ia dapat memberi pekerjaan kepada rakyat kita dan mereka dapat gaji dari pekerjaan itu. Ada gaji ada lah duit, bila ada duit dapatlah mereka menyara kehidupan.

Kalau kita renungkan semula, kebanyakan pekerjaan yang diwujudkan pada hari ini boleh dikategorikan sebagai kerja ‘tolak habuk’.

Maksud kerja ‘tolak habuk’ disini ialah kerja yang tak banyak memberikan faedah kepada orang ramai. Samalah seperti orang yang menolak habuk ke sana dan ke mari, nampak seperti dia buat kerja tetapinya sebenarnya kerja tersebut tidak membawa apa-apa faedah.

Sebagai contoh, kebanyakan produk yang dikeluarkan oleh kilang-kilang seperti kereta, motorsikal, basikal dan barang-barang elektrik seperti TV, mesin basuh, kipas angin, komputer, peti sejuk dan sebagainya dibuat bukan untuk tahan lama.

Kereta dibuat untuk tahan kurang dari 10 tahun, barang elektrik pula kebanyakannya tidak boleh bertahan lebih dari 5 tahun.

Mungkin tujuan produk-produk ini dibuat tidak tahan lama supaya orang ramai akan terus menerus membeli barang-barang tersebut dari masa ke semasa, oleh itu barangan kilang tersebut akan sentiasa ada permintaan. Dengan itu pekerja kilang terus dapat bekerja dan mendapat gaji.

Sebaliknya kalau barangan tersebut dibuat tahan untuk jangkamasa yang lama, sudah tentu orang akan membeli sekali sahaja, akibatnya pekerja kilang akan tidak ada kerja atau kurang kerja, akhirnya ramailah orang yang tak bekerja.

Kalau di zaman dulu, kereta dibuat begitu kukuh dan tahan, kebanyakan orang beli satu kereta saja seumur hidupnya, kereta yang dibuat juga tidak memerlukan servis yang kerap. Berbanding zaman sekarang, ada orang terpaksa membeli lebih dari empat atau lima kereta seumur hidupnya, kereta yang dibuat masa kini juga memerlukan servis yang kerap.

Kerana semata-mata untuk memberi pekerjaan kepada orang ramai kita telah menukar prinsip dari mengeluarkan produk yang tahan lama kepada produk yang tidak tahan lama.

Kalau kita boleh membuat dan mengeluarkan barangan untuk tahan lebih lama kenapa kita dengan sengaja membuat barang yang tidak tahan. Kalaulah benar dengan mengeluarkan barang yang tidak tahan lama itu dapat menambah peluang pekerjaan dan dapat memastikan orang sentiasa ada kerja, tetapi adakah kita sedar kerja yang diwujudkan atas prinsip itu adalah seperti kerja ‘tolak habuk’.

Sebenarnya banyak lagi jenis-jenis kerja ‘tolak habuk’ yang terdapat disekeliling kita tetapi tidak semua sempat dihuraikan di sini.

Kalau lihat kepada permainan kanak-kanak, macam-macam permainan kanak-kanak telah dicipta, berapa banyak duit dihabiskan oleh ibubapa untuk membeli permainan kanak-kanak. Kilang-kilang telah dibina semata-mata untuk mengeluarkan barang permainan kanak. Banyaklah peluang pekerjaan diwujudkan untuk mengeluarkan permainan kanak-kanak ini.

Berbanding masa dulu, ibubapa tidak pernah membelikan barang mainan kanak-kanak, barang-barang mainan untuk kanak di masa itu dibuat sendiri dari barang-barang terpakai atau dari bahan-bahan yang terdapat disekitar mereka yang boleh didapati secara percuma.

Pada asalnya kita tidak perlu membelikan barang-barang mainan kanak-kanak tetapi kini ia sudah macam kemestian. Ini sendirinya dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada ramai orang, bukankah pekerjaan seperti ini adalah juga sama seperti kerja ‘tolak habuk’.

Nampaknya sekarang, cara mudah untuk menyelesaikan masalah tidak ada pekerjaan ialah dengan cara mewujudkan kerja ‘tolak habuk’. Kita nampak seperti mereka bekerja tetapi sebenarnya pekerjaan mereka itu tidaklah mendatangkan banyak faedah.

Mungkin cara United Kingdom yang memberi elaun kepada rakyatnya yang menganggur seperti membazir dan tidak bijak, tetapi rasanya tidak ada beza sangat dengan memberi gaji kepada pekerja-pekerja yang membuat kerja ‘tolak habuk’ ini.

Dari manakah datang duit untuk membayar elaun penganggur dan gaji pekerja ‘tolak habuk’ ini kalau tidak dari duit pekerja-pekerja yang ‘sebenar’. Kita yang membuat kerja sebenar inilah seperti para petani, penternak, pensyarah, guru, jurutera, secara tidak langsung yang membayar elaun penganggur dan gaji pekerja ‘tolak habuk’ itu.

Akibatnya nilai duit kita menjadi semakin mengecil kerana tanpa kita sedari terpaksa menanggung pekerja-pekerja ‘tolak habuk’ ini. Duit yang kita dapat dari gaji sentiasa rasa seperti tidak cukup. Bila duit tidak cukup, akan memberi ruang kepada orang untuk melakukan perkara-perkara yang tidak diingini.

Mungkin sebab itu jugalah antara sebab masalah jenayah tidak pernah selesai walaupun peluang pekerjaan banyak. Kerana pekerjaan yang banyak itu kebanyakannya adalah jenis pekerjaan ‘tolak habuk’.

Kalau kerja tolak habuk yang disebut dalam lirik lagu P. Ramlee itu tidak mendapat apa-apa gaji kerana kerja tersebut tidak memberi apa-apa faedah tetapi pekerjaan ‘tolak habuk’ yang kita bincangkan di sini adalah dibayar gaji walaupun juga tidak banyak memberi faedah.


Tetapi kalau kerja sapu habuk memang patut diberi gaji kerana kerja ini dapat membersihkan persekitaran kita, memang ada faedahnya.

Tuesday, August 28, 2007

Kewajaran perlambakan ilmu diperingkat kanak-kanak

Satu sikap pelik yang melanda masyarakat kita hari ini ialah berasa bangga bila melakukan perkara-perkara yang tak baik. Sebagai contoh, ada sesetengah orang kita rasa megah bila ia berjaya menggunakan telefon dengan tidak dikenakan bayaran. Mereka rasa bangga bila dapat menggunakan kaedah tertentu dapat mengelak dari membayar tempat letak kereta. Berasa bangga dengan menggunakan muslihat tertentu dapat melepaskan barang-barang bercukai dari dikenakan cukai oleh kastam. Berasa bangga berjaya menggunakan kad kredit palsu dan menggunakan alat tertentu dapat mengelak dari kena perangkap laju semasa memandu. Sehinggakan seperti sudah tertanam dalam pemikiran masyarakat kita iaitu mereka akan sentiasa mencari jalan bagaimana untuk mengelak dari dikenakan bayaran dan mengelak dari dikenakan tindakan undang-undang. Dalam perkara-perkara sedemikian mereka nampak begitu kreatif. Bukankah lebih baik jika kreativiti yang ada pada mereka itu dihalakan kepada mencipta perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan kepada masyarakat.

Mungkin satu cara untuk menghalang gejala yang disebutkan di atas dari terus menular dalam masyarakat kita ialah melalui pendidikan. Pendidikan di peringkat rendah iaitu di peringkat kanak-kanak harus menekankan kepada pembinaan peribadi mulia. Mereka perlu dididik untuk mencintai kebaikan dan berbangga untuk melakukan kebaikan. Rasa bangga untuk melakukan kebaikan dan menyumbang perkara-perkara baik kepada masyarakat perlu ditanamkan kepada pemikiran mereka. Nilai-nilai mulia seperti rajin, suka membantu, sabar, bertolak ansur, prihatin perlu disuburkan dalam jiwa mereka. Manakala nilai-nilai yang tercela seperti pemalas, tidak sabar, mementingkan diri sendiri, menipu, meniru perlulah dikikis dan dihindarkan dari mereka.

Sebaliknya apa yang kita nampak hari ini, pendidikan peringkat rendah kita lebih berorientasikan pendidikan pengetahuaan yang mana segala macam jenis ilmu dilambakkan kepada mereka, dari ilmu berbentuk agama hinggalah kepada ilmu sains, metamatik dan komputer kerana kita mengharapkan kanak-kanak ini akan menjadi orang yang berilmu pengetahuan luas dan bermaklumat. Tetapi hasilnya, orang-orang yang terdidik di bawah sistem seperti ini begitu banyak mendatangkan masalah kepada kita. Mereka memang berilmu luas tetapi di waktu yang sama moral mereka tidak boleh dibanggakan.

Di samping mendidik nilai-nilai mulia yang disebutkan tadi, perkara lain yang perlu ditekankan dalam pendidikan peringkat rendah ini ialah melatih kanak-kanak ini berfikir, melatih mereka mengeluarkan pendapat samada melalui lisan mahupun tulisan dan melatih mereka cara-cara berinteraksi dengan rakan-rakan dan masyarakatnya. Matapelajaran yang dapat mengasah fikiran kanak-kanak perlu diwujudkan, dengan cara ini kita akan dapat menghasilkan manusia yang mampu berfikir. Kalau mengimbau zaman lampau, latihan berfikir bagi mengasah daya fikir kanak-kanak secara tidak formal memang telah wujud dalam masyarakat Melayu kita, bentuk permainan tradisional yang dinamakan ‘teka-teki’ itu sebenarnya adalah satu alat yang bertujuan menguji dan mengasah kanak-kanak berfikir. Sepatutnya bentuk permainan yang seperti ini boleh kita sesuaikan dengan keadaan zaman ini untuk dikembangkan kepada kanak-kanak hari ini bagi tujuan yang sama.

Latihan bertutur dan menggalakkan mereka memberi pendapat di dalam bilik-bilik darjah akan menjadikan mereka manusia yang berani mengeluarkan pendapat bila dikehendaki. Guru-guru kita sekarang ini begitu sibuk mengajarkan berbagai-bagai ilmu pengetahuan kepada murid-muridnya sehinggakan tiada masa untuk melatih kanak-kanak ini bertutur dengan baik dan tiada masa untuk mendengar pendapat mereka. Sistem yang melambakkan segala macam ilmu pengetahuan kepada kanak-kanak seperti yang ada sekarang ini perlu dikaji semula kesesuaiannya. Apa perlunya mengajarkan perbezaan Haji Tammatuk dengan Haji Kiran kepada kanak-kanak yang masih mentah sedangkan mereka akan pergi menunaikan haji mungkin pada umur lima puluhan. Bolehkah mereka ingat apa yang mereka belajar lima puluh tahun dahulu. Kadang-kadang pengetahuan agama yang diajarkan kepada kanak-kanak ini lebih kepada untuk mendidik mereka menjadi khadi bukan untuk mendidik mereka menjadi manusia berakhlak mulia.

Kenalah kita lihat semula kesesuaian dan keperluan suatu ilmu itu diajarkan di peringkat sekolah rendah. Murid-murid bukan sahaja terpaksa belajar benda-benda yang tidak sesuai dan tidak perlu, malah kerajaan terpaksa menggaji lebih ramai guru untuk mengajar topik-topik yang tidak banyak manafaatnya itu. Bukankah lebih baik kalau guru-guru tersebut bekerja di dalam sektor-sektor yang lebih produktif.

Pendidikan diperingkat rendah perlulah menekankan pendidikan yang dapat menghasilkan manusia berperibadi mulia yang mampu berfikir dan mengeluarkan buah fikiran.Pernah pensyarah di United Kingdom mendakwa, lebih baik memberi syarahan kepada dinding daripada memberi syarahan kepada penuntut Malaysia kerana dinding dapat memantulkan balik suaranya. Rasa kurang berani kedepan, kurang berani untuk bertanya, kurang berani memberi pendapat dan buah fikiran ini, sebenarnya sedikit sebanyak ia adalah berpunca dari cara kita menerima pendidikan di peringkat rendah. Cara yang mana guru sahaja bercakap dan murid diam adalah cara pendidikan yang dianggap betul di sini. Oleh itu sudah sampai masanya sistem pendidikan kita berubah kepada sistem pendidikan yang dapat menghasilkan manusia yang mampu berfikir, bukan setakat menghafal sahaja dan manusia yang mampu mencipta, bukan setakat mengguna sahaja.

Thursday, August 16, 2007

Suara anak merdeka

Mungkin Wee Meng Chee telah melakukan kesalahan yang agak berat kerana telah mengubah suai lagu Negara Ku yang sepatutnya sentiasa dihormati oleh setiap warga. Apatah lagi lagu itu telah di’rap’kan, yang mana kita tahu lagu rentak ‘rap’ ini dianggap oleh kebanyakan orang sebagai muzik kelas rendah atau ‘under ground music’.

Kalau kita menyorot kembali bagaimana muzik rap ini bermula, ia tercetus dari luahan tidak kepuasan hati anak-anak muda kulit hitam Amerika terhadap layanan yang mereka terima dari warga kulit putih yang mendominan negara mereka.

Mungkin untuk tujuan sama Wee Meng Chee juga telah memilih muzik rentak ‘rap’ ini untuk menyatakan tidak puas hatinya terhadap beberapa polisi kerajaan terhadap kaumnya atau terhadap sikap ‘buruk’ pegawai-pegawai kerajaan yang didominan oleh orang Melayu.

Dan kenapa Wee Meng Chee memilih lagu Negara Ku sebagai asas lagu ciptaannya itu mungkin kerana lagu itu merupakan lambang negara Malaysia, negara di mana dia menjadi warganya. Sudah tentu dengan menggunakan lagu Negara Ku beliau akan mendapat perhatian dari semua rakyat Malaysia, dan perhatian inilah yang memang beliau inginkan.

Mungkin ada sebahagian tuduhan-tuduhannya yang dilemparkan dalam lagu itu ada asasnya. Pepatah ada mengatakan, kalau tiada angin masakan pohon bergoyang. Kadang-kadang apa yang dialami oleh rakyat jelata diperingkat bawah sukar untuk sampai ke peringkat atas sebab-sebab yang tertentu. Atas alasan boleh menyentuh sensitiviti perkauman, sensitiviti agama dan macam-macam sensitivi lagi, suara rakyat yang tidak puas hati terhadap sesuatu perkara terus terpendam dalam hati masing-masing.

Setelah 50 tahun kita merdeka, sudah pasti sebahagian besar rakyat negara ini adalah lahir selepas negara merdeka. Sudah tentu semua anak-anak Malaysia tidak kira kaum merasakan negara ini adalah negara mereka dan mempunyai hak untuk bersuara dan mendapat layanan yang saksama.

Memang betul kita mempunyai kontrak sosial yang telah dipersetujui di masa orang tua kita hendak memerdekakan negara kita ini dahulu. Tetapi untuk generasi sekarang, apakah kontrak sosial itu masih relevan. Kita kena juga melihatnya dari segi nilai kemanusiaan sejagat. Kalau air yang kita jual ke Singapura pada harga tiga sen bagi setiap 1000 liter padu pada tahun 1965, apakah harga itu masih berpatutan dan munasabah di masa ini. Walaupun dari segi undang-undang Singapura tidak salah untuk tidak mengkaji semula harga itu di waktu ini, tetapi dari segi moralnya apakah Singapura boleh dianggap sebagai bertimbang rasa.

Kita boleh saja mengekalkan kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh orang tua kita dahulu tanpa boleh disoal, tetapi kita akan lebih dihormati lagi jika kita bermurah hati kepada semua rakyat untuk mengkajinya semula supaya ia sentiasa menepati keadilan dan tidak ada pihak yang terinaya.

Kita tak boleh selamanya hanya mendengar lagu merdu yang didendangkan oleh UMNO, MCA dan MIC, perlunya juga kita mendengar lagu sebenar dari semua lapisan rakyat yang mungkin tak sedap untuk didengar.

Mungkin Meng Chee kurang ‘patriotik’ kerana mencemar lagu Negara Ku, tetapi rasanya lebih tidak patriotik lagi orang-orang yang mengamalkan rasuah, tidak amanah yang menjadi kegusaran Meng Chee dalam lirik lagunya.

Wednesday, August 08, 2007

Apa perlunya kantin di tender setiap tahun?

Telah menjadi kebiasaan kantin-kantin di negara ini terutamanya di pejabat-pejabat kerajaan dan sekolah akan melalui proses tender untuk setiap tahun atau dua tahun sekali. Tujuan asal tender itu memanglah baik, ia dapat menjamin kakitangan dan murid sentiasa mendapat makanan yang lebih baik, lebih sedap dengan harga yang berpatutan.


Tetapi dengan membuka tender bagi setiap tahun atau setiap dua tahun ini tidak kurang juga telah banyak mengundang perkara-perkara yang tidak sihat dan amalan yang negatif.


Satu perkara yang tidak sihat boleh berlaku dalam pemberian dan kelulusan tender ini ialah memberi ruang kepada pegawai-pegawai yang meluluskan tender terlibat dengan amalan rasuah. Mungkin ada pengusaha kantin yang begitu ghairah untuk memenangi tender tidak teragak-agak untuk merasuah pegawai-pegawai tersebut.


Mungkin juga ada pegawai-pegawai yang berkuasa dalam pemberian tender ini turut mempunyai kepentingan dalam pengendalian kantin. Samada beliau secara tidak langsung menjadi rakan kongsi dengan pengusaha kantin tersebut ataupun mempunyai hubungan saudara dengan pengusaha kantin itu.


Apabila pegawai-pegawai yang meluluskan pemberian tender kantin ini ada kepentingan diri maka matlamat untuk mendapatkan makanan terbaik dengan harga berpatutan tidak mungkin akan dapat dicapai. Pengusaha kantin yang tulin yang betul-betul berminat dalam mengendalikan kantin tentunya tidak akan dapat bertanding secara adil bila pegawai-pegawai tersebut mempunyai kepentingan diri.


Untuk mengelakkan perkara-perkara yang negatif ini, adalah lebih baik jika pengendali kantin terus dikekalkan selagi orang ramai berpuashati dengan perkhidmatan mereka.


Selagi tiada aduan dan rungutan dari orang ramai terhadap kebersihan, kualiti makanan dan harga makanan yang mereka tawarkan, tidak ada sebab untuk kita menukar pengusaha-pengusaha kantin tersebut.


Bayangkan kalau setelah dua tahun atau setelah empat tahun seorang pengusaha kantin itu tidak dapat mengekalkan peniagaannya disebabkan gagal untuk memenangi tender seterusnya maka beliau dan pekerjanya akan kehilangan sumber pendapatan secara mendadak. Ini samalah seperti orang yang bekerja dalam satu jabatan, setelah dua tahun bekerja dia diberhentikan secara mendadak, tentulah beliau akan kehilangan punca pendapatan.


Tidak ada pekerja yang suka diberhentikan secara tiba-tiba setelah berapa lama bekerja, begitu jugalah akan berlaku kepada pengusaha-pengusaha kantin. Sudah tentu ini akan menimbulkan kesulitan kepada mereka.


Tidak ada salahnya kita membenarkan pengusaha-pengusaha kantin terus kekal dalam perniagaannya, dengan cara itu mereka dapat menumpukan sepenuhnya kepada usaha mereka tanpa bimbang untuk diberhentikan. Pembantu dan pekerja kantin juga akan menganggap pekerjaan mereka sebagai kerja tetap yang ada jaminan masa depan dan bukan sebagai untuk kerja sementara sahaja.

Friday, July 27, 2007

Malaysia Negara Islam?

Apalah ada pada nama, mungkin sebab itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Najib tidak mahu melayan pihak-pihak yang ingin membincangkan soal Malaysia sebagai ‘Negara Islam’.

Kehidupan kita adalah ditentukan oleh kita sendiri dan masyarakat di sekeliling kita. Samada kita hendak labelkan negara kita sebagai negara Islam atau tidak, ianya bukanlah sesuatu boleh mempengaruhi kehidupan kita.

Bila Datuk Najib mendakwa Malaysia sebagai negara Islam, apakah kehidupan orang-orang bukan Islam akan terjejas dan akan berubah dari keadaan sebelumnya? Saya fikir tidak ada apa yang akan berubah, mereka akan terus menjalani kehidupan seperti yang biasa mereka lakukan hari-hari.

Lainlah kalau dakwaan Datuk Najib itu menyebabkan kehidupan kita terganggu, memang ada alasanlah untuk kita mempersoalkannya.

Oleh kerana dengan label yang digunakan oleh pemimpin-pemimpin yang tertentu itu tidak akan mengubah kehidupan kita maka sebab itulah mereka tidak mahu melayan perbincangan-perbincangan yang berkaitan dengannya. Kalau dibincangkan pun ia hanya akan membuang masa dan boleh menyentuh sensitiviti kaum.

Tentulah janggal kalau Malaysia sebagai pengerusi pertubuhan OIC tetapi bukan negara Islam. Untuk menjadi anggota kepada OIC mestilah terlebih dahulu negara kita dilihat sebagai negara Islam. Untuk dilihat sebagai negara Islam mestilah ada ciri-ciri yang mereka fikirkan wajar.

Apa yang kita nampak semua negara yang menganggotai pertubuhan OIC mempunyai pemimpin di kalangan orang Islam, mungkin inilah syarat utama untuk diiktiraf sebagai negara Islam.

Negara Turki dan Indonesia sebagai contoh walaupun mereka memegang prinsip sekular dalam bernegara tetap diiktiraf juga sebagai anggota OIC atas sebab pemimpin mereka Islam. Biasanya kalau sesebuah negara itu mempunyai rakyat yang majoriti beragama Islam maka secara logiknya pemimpin mereka pun akan terdiri dari kalangan orang Islam juga.

Sebaliknya sekalipun sesebuah negara itu mempunyai penduduk Islam yang ramai seperti India tetap juga tidak diterima menjadi anggota OIC kerana pemimpinnya bukanlah orang Islam.

Oleh itu apa sangatlah kita hendak bising dengan label negara Islam atau tidak, kerana negara Islam atau tidak itu ditentukan oleh struktur masyarakatnya. Kalau kita suka, kita pun boleh labelkan England sebagai negara Islam, tapi masalahnya takut orang akan ketawakan kita.

Tuesday, July 10, 2007

Kita tak boleh lari dari dihukum oleh alam

Ramai orang menyangka selagi mereka dapat melepaskan diri dari dikenakan tindakan undang-undang selagi itulah mereka merasakan diri mereka selamat. Mereka lupa, sekali pun mereka terlepas dari dihukum oleh undang-undang, sebenarnya mereka tidak boleh terlepas dari dihukum oleh alam.

Mungkin mereka selamat dari dikenakan tindakan undang-undang, namun begitu lambat laun pasti tidak akan terlepas dari menerima hukum alam akibat dari perbuatan buruk mereka itu, tanpa mereka sendiri sedari.

Sebagai contoh, kita mungkin boleh mengambil jalan mudah dengan membuang sampah dan sisa toksid ke dalam longkang, parit atau sungai tanpa dapat dikesan oleh pihak penguat kuasa undang-undang. Tetapi perbuatan buruk kita ini akhirnya akan membuatkan parit dan longkang tersumbat. Setiap kali hujan, banjir kilat akan melanda yang mungkin boleh merosakkan harta benda awam dan harta benda kita sendiri.Bila banjir kilat kerap berlaku di Bandar, akan turut juga menjejaskan perniagaan dan sedikit sebanyak menjejaskan industri pelancungan.

Sungai dan laut yang dicemari akan membunuh kehidupan air. Sungai dan laut yang sepatutnya dapat memberikan orang ramai sumber air bersih dan sumber makanan seperti ikan tidak dapat di manafaatkan lagi. Bukan sahaja nelayan akan kehilangan sumber pendapatan, kita juga sebagai pengguna terpaksa membayar lebih mahal untuk mendapatkan air dan ikan kerana sumber tersebut telah semakin berkurang.

Sebenarnya kehidupan kita di alam ini sentiasa bergantung dan saling memerlukan antara satu sama lain. Setiap tindak tanduk dan perbuatan kita tetap menerima ‘tindakan berantai’. Kalau kita melakukan perkara baik ia akan menghasilkan rantaian tindakbalas yang baik sebaliknya kalau kita melakukan perkara yang tidak baik pula ia akan menghasilkan rantaian tindakbalas yang tidak baik.

Sesetengah dari kita mempunyai sikap tidak menjaga kemudahan awam yang disediakan kerajaan dengan baik kerana beranggapan kemudahan awam bukan harta milik kita. Malah lebih menyedihkan ada yang sanggup dengan sengaja merosakkan kemudahan awam ini. Perbuatan buruk mereka itu bukan sahaja akan menyusahkan orang ramai termasuk diri mereka sendiri yang menggunakannya tetapi juga lebih banyak wang diperlukan oleh kerajaan atau pihak yang menyediakannya bagi menyelenggara dan membaikinya.

Wang yang diguna untuk membaiki itu adalah datang dari cukai yang dikutip atau keuntungan syarikat yang menyediakan kemudahan itu. Sedangkan wang cukai dan hasil keuntungan itu adalah dibayar oleh orang ramai juga. Sepatutnya wang yang digunakan untuk membaiki kerosakan tersebut boleh digunakan untuk menambah lebih banyak lagi kemudahan awam.

Malah bagi menampung kos penyenggaraan dan pembaikan yang tinggi ini memaksa pihak yang menyediakan kemudahan ini menaikan harga barangan dan perkhidmatan yang mereka berikan, yang tentunya kita juga yang akan menanggung bebannya.

Peniaga-peniaga yang tidak berhemah, menipu pelanggan, tidak bertimbang rasa, menjual barangan dengan harga yang tinggi kerana mementingkan keuntungan pasti akan kehilangan pelanggan akhirnya. Sekalipun peniaga-peniaga seperti ini boleh terlepas dari dikenakan tindakan undang-undang namun perniagaan mereka pasti tidak akan kekal lama kerana pelanggan akan berasa serik untuk berurusan dengan peniaga yang sedemikian.

Di sinilah pentingnya kita menghindarkan dari melakukan perkara-perkara tidak baik kerana kesan buruknya tetap kita terima juga sekalipun kita boleh terlepas dari tindakan undang-undang.

Kalau kita hanya memejamkan mata dengan masalah dadah dewasa ini dengan beranggapan ia bukan masalah kita, itu adalah sikap yang tidak betul. Sekalipun kita tidak terlibat dengan gejala dadah tetapi dapatkah kita menjamin anak-anak kita atau saudara mara kita dari terus terlepas dari jangkitan masalah dadah ini. Dan dapatkah kita menjamin yang kita boleh terlepas dari berlaku ke atas diri kita perbuatan jenayah seperti kes pecah rumah, kes ragut, kes curi yang banyak dilakukan oleh penagih-penagih dadah kerana terdesak bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah.

Tenaga kerja untuk membangunkan negara akan lumpuh kalau banyak anak muda kita menagih dadah, akhirnya negara kita bergantung kepada buruh asing yang juga tidak kurang membawa masalah sosial kepada kita.

Apakah pengedar-pengedar dadah yang memiliki kekayaan kerana hasil dadah boleh hidup senang selamanya, padahal akibat perbuatan mereka itu menjadikan bilangan penagih dadah semakin ramai. Dapatkah pengedar-pengedar dadah ini menikmati kekayaannya dengan selesa kalau semua orang adalah penagih-penagih dadah.

Rasuah juga adalah amalan yang amat tercela, penerima rasuah merasakan diri mereka mendapat faedah dan keuntungan tanpa perlu kerja bersusah payah. Tetapi dengan memberi rasuah, pihak yang membina bangunan, jalanraya, jambatan umpamanya terpaksa menggunakan bahan-bahan murah dan tidak berkualiti pada binaannya bagi menampung wang rasuah yang terpaksa diberi itu.

Akibatnya binaan yang disiapkan tidak dapat bertahan lama atau cepat rosak kerana tidak mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Akhirnya lebih banyak wang terpaksa dibelanjakan untuk membaiki atau membina semula binaan yang rosak ini. Binaan yang tidak berkualiti ini bukan sahaja akan merbahayakan orang ramai tetapi juga secara tidak langsung terpaksa menanggung beban membayar semua kos-kos yang tak perlu itu.

Penipisan lapisan ozon, pemanasan global, taufan yang kerap berlaku adalah bentuk-bentuk tindakbalas alam kepada manusia kerana perbuatan buruk sesetengah manusia yang tamak tanpa menghiraukan kesannya kepada alam kita.

Tindakan undang-undang dikenakan kepada individu yang melakukan kesalahan sebaliknya hukum alam bukan sahaja akan terkena kepada orang yang membuat salah tetapi orang yang tidak buat salah pun akan terkena juga tempiasnya.

Di sinilah pentingnya tanggung jawab sosial perlu ada di kalangan setiap kita bagi mengatasi kepincangan dalam masyarakat bagi menjamin kehidupan kita sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Sekalipun kita tidak suka melakukan kejahatan atau kesalahan, kita juga perlu ambil tahu masalah yang ada dalam masyarakat kita dengan menyumbang tenaga, fikiran atau wang ringgit untuk menyelesaikan penyakit-penyakit yang ada dalam masyarakat kita. Kebaikan yang kita berikan ini pastinya akan menghasilkan rantaian tindakbalas kebaikan, yang faedahnya akan kembali kepada kita juga.

Oleh itu setiap malam sebelum kita tidor haruslah kita bertanya pada diri kita, apakah kebaikan yang telah lakukan di siang harinya kerana ini saja dapat menjamin kebaikan yang berterusan kepada diri kita di keesokan hari.

Wednesday, June 27, 2007

Penyakit Hasad Dengki orang kita

Satu dari perangai buruk kebanyakan orang kita, tidak senang melihat orang lain lebih dari kita. Kita rasa susah hati bila kawan kita atau jiran kita lebih kaya atau lebih berjaya dari kita. Kalau boleh biarlah mereka itu tidak mendapat lebih dari apa yang kita ada atau sekurang-kurangnya sama dengan apa yang kita ada. Perasaan iri hati ini memang telah sebati dengan budaya orang Melayu.


Malah di zaman yang lampau, ada di antara mereka yang sanggup menggunakan cara kotor seperti menabur fitnah dan menggunakan ilmu hitam atau sihir semata-mata tidak suka melihat saingan mereka lebih maju darinya. Apabila kesedaran beragama di kalangan masyarakat kita semakin bertambah baik maka penggunaan ilmu hitam untuk menghapuskan pesaing makin bertambah kurang.


Namun begitu perasaan iri dan rasa tidak senang dengan kejayaan orang lain itu masih juga belum hilang dari masyarakat kita. Padahal agama kita juga melarang perasaan iri yang sedemikian. Perasaan iri seperti inilah yang boleh menghalang bangsa kita dari mencapai kejayaan dan kemajuan.

Orang Cina mempunyai satu pegangan yang begitu menarik yang berkaitan dengan kejiranan iaitu ‘jiran yang kaya lebih baik dari jiran yang miskin’. Sepintas lalu falsafah ini kelihatan biasa saja tetapi jika diamati dengan teliti, ia boleh memberi kesan yang besar kepada sesuatu masyarakat yang menghayati falsafah tersebut. Berbanding dengan fahaman masyarakat Melayu, masyarakat kita tidak berasa senang dengan jiran yang lebih kaya.


Padahal kalau kita menggunakan fikiran yang rasional, jiran yang kaya sebenarnya tidak akan menyusahkan kita sekalipun mereka tidak memperdulikan kita. Tetapi jika jiran kita miskin, bukan saja mereka tidak mampu untuk membantu kita, silap-silap mereka pula meminta bantuan dari kita, paling kurang pinjam cili atau garam. Kalau jiran kita kaya tentu anak-anak kita akan diutamakan untuk bekerja dikilang atau dipejabat mereka.


Kalau kita membuka kedai runcit tentulah kedai kita akan maju kerana orang-orang kaya ini mampu berbelanja besar. Tetapi jika jiran-jiran kita miskin, mereka bukan saja tidak mampu untuk berbelanja besar di kedai kita, silap haribulan mereka beli pun cara hutang.


Ini bukanlah bermakna kita benci jiran yang miskin tetapi yang hendak ditekankan di sini ialah tidak seharusnya kita iri dengan jiran kita yang lebih kaya atau lebih berjaya dari kita. Sebenarnya banyak faedah yang kita dapat bila jiran kita kaya. Kalaupun faedah itu tidak kita dapat secara lansung, secara tidak lansung kita akan dapat juga faedahnya.


Berdasarkan kepada inilah dapat kita lihat kenapa masyarakat Cina tidak ada menaruh perasaan iri terhadap jirannya yang lebih kaya. Orang Melayu kalau buka kedai, suka kalau ditempat itu hanya ada satu kedai dia sahaja, jadi semua orang akan bertumpu ke kedai dia sahaja. Kita kena ingat, mana ada orang nak pergi ke pekan yang mempunyai satu atau dua kedai sahaja.


Orang mesti tertarik ke pekan yang mempunyai banyak kedai yang tentunya mempunyai banyak pilihan. Sebaliknya pekedai Cina tidak pernah berasa bimbang jika orang lain membuka kedai berdekatan dengan kedainya, kerana ini akan menarik lebih ramai lagi orang untuk datang ke kawasan itu.

Tuesday, June 19, 2007

Musuh Utama Umat Islam ialah Kebodohan bukan Israel

Pertelingkahan antara dua kumpulan Palestine yang bersaing untuk mendapatkan kuasa baru-baru ini mendedahkan kepada kita betapa tidak cerdiknya umat Islam dalam menyelesaikan masalah mereka.

Jelaslah kepada kita musuh utama Islam hari ini bukanlah disebabkan Israel terlalu kuat tetapi disebabkan kebodohan umat Islam itu sendiri.

Sungguh menghairankan dan memalukan bila Kumpulan Militan Palestine Fatah berperang dengan Kumpulan Militan Palestine Hamas sedangkan kedua-duanya diwujudkan untuk memerangi Israel.

Menang jadi arang, kalah jadi abu, manakala pihak Israel pula mendapat kemenangan percuma tanpa melepaskan sebutir peluru pun.

Kita memang tahu benar dasar pecah dan perintah yang biasa diamalkan oleh kuasa barat dalam menguasai dunia ketiga tetapi kita seperti terus merelakan diri kita menjadi mangsa kepada dasar itu.

Kerana kebodohan kita menjadikan kita tak kenal kawan dan tak kenal lawan. Kadang-kadang kawan sendiri kita lihat sebagai musuh.

Kita boleh saja berbeza pendapat dalam politik sesama kita, tetapi tidak sepatutnya sampai mengangkat senjata, berbunuhan atau berperang sesama sendiri walau atas apa alasan jua, kerana ianya hanya akan menguntungkan musuh kita.

Selain dari dasar pecah dan perintah yang amat berkesan dalam melemahkan musuh, pihak barat juga menggunakan pendekatan ‘penglabelan negatif’ dan pendekatan mengurangkan bilangan musuh.

Sebagai contoh walaupun musuh tradidisi Israel adalah umat Islam dan Kristian keseluruhannya tetapi Israel tidak memerangi semua dalam satu masa. Sebaliknya mereka akan memerang musuh yang paling utama yang kelompoknya sangat kecil mengikut keutamaan. Buat masa ini serangan atau musuh Israel hanya ditumpukan kepada kumpulan militan Hamas. Malah pada suatu masa dulu Israel telah mengalihkan dan mengistiharkan kumpulan militan Hizbullah di Lebanon sebagai musuh yang di perangi.

Apabila media barat melaporkan tentang program pengkayaan nukliar Iran, mereka akan merujuk Iran sebagai ‘Rejim’ Ahmadinejad, mereka tidak merujuk kepada Iran keseluruhannya. Tetapi bila mereka merujuk kepada Amerika Syarikat, mereka akan merujuknya sebagai ‘Pentadbiran’ Bush, seolah-olah Bush pemimpin yang mendapat restu rakyat Amerika manakala Ahmadinejad pemimpin yang bersendirian. Padahal kita tahu kedua-dua pemimpin itu adalah pilihan rakyat mereka.

Kumpulan militan yang menentang agenda barat dan Israel dilabel sebagai ‘pengganas’. Negara yang menyokong mereka dianggap ‘liberal’. ‘Hak asasi manusia’ dan ‘demokrasi’ dijadikan alasan untuk mereka camputangan untuk menurunkan pemimpin sesebuah negara yang tidak sehaluan dengan mereka. Walhal Kepimpinan Hamas yang dipilih secara demokrasi pun tidak pula mendapat sokongan mereka. Di situ jelas betapa double standard nya mereka terhadap demokrasi.

Media barat juga selalu melabelkan negara-negara Amerika Utara dan negara-negara Eropah sebagai ‘masyarakat antarabangsa’ untuk kepentingan dunia barat. Sekalipun negara-negara tersebut hanyalah mewakili beberapa negara sahaja di dunia ini. Apabila media barat melaporkan program nukliar Iran tidak disenangi oleh masyarakat antarabangsa ini bermakna tidak semestinya majoriti negara di dunia ini tidak senang, tetapi sudah memadai dengan beberapa buah negara di Amerika Utara dan Eropah sahaja.

Di pihak pejuang-pejuang militan Islam pula, bukan sahaja tidak menggunakan pendekatan mengecilkan bilangan musuh malah mereka bermusuhan dan berperang sesama sendiri. Mereka bukan sahaja berperang dengan Israel tapi dalam masa yang sama mereka berperang dengan Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah, malah negara Islam yang pro Barat pun mereka serang.

Umat Islam terlalu ghairah untuk mati syahid di bunuh oleh musuh Islam, tetapi apa yang kita lihat kebanyakan mereka berakhir dengan mati berbunuhan sesama mereka atau mati dengan meletupkan diri sendiri.

Masih banyak cara yang lebih bermoral dan lebih bermaruah untuk mendapatkan mati syahid. Sudahkah kita berjuang untuk memajukan umat Islam dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi. Sudahkah kita berjuang untuk mendidik umat Islam menghayati nilai-nilai murni. Sudahkah kita berjuang untuk berunding secara damai dan berdailog dalam menyelesaikan pertikaian antara sesama Islam dan dengan Barat. Sudahkah kita berjuang dengan hujah dan berdebat secara bijaksana dengan golongan bijak pandai bukan Islam. Sudahkah kita menyampaikan risalah Islam secara menyeluruh dan hikmah kepada orang bukan Islam. Saya rasa inilah medan-medan jihad yang patut menjadi keutamaan kita.

Kita kena lihat keutamaan dalam perjuangan kita. Apakah dengan mendedahkan dada kita kepada senjata musuh yang canggih-canggih itu sebagai keutamaan kita. Yang jelasnya kebodohan kita dalam memahami Islam itulah sebenarnya musuh utama kita di waktu ini.

Wednesday, May 30, 2007

Minda umat Islam kena berubah

Apa yang dapat kita simpulkan dari membaca tulisan-tulisan Dr Mohd Asri (Mufti Perlis) di akhbar ialah beliau adalah seorang yang berfikiran besar, dapat memahami Islam secara lebih tepat dan menyeluruh. Beliau bukan saja dapat memahami apa yang tersurat malah lebih penting lagi dapat melihat apa yang tersirat dalam ajaran Islam itu.

Dengan adanya orang-orang seperti Dr Mohd Asri ini dalam Jabatan Agama Islam telah mula dapat mengubah imej Jabatan Agama Islam yang sebelum ini dilihat oleh orang ramai lebih menonjol sebagai Jabatan Menangkap Orang Berkhalwat.

Peranan jabatan agama islam tidak sepatutnya menonjol sebagai jabatan yang menangkap orang buat maksiat sebagai keutamaannya tetapi harus berperanan yang lebih besar dari itu.

Di dalam zaman yang telah jauh berubah, yang sentiasa mengalami perubahan, orang-orang yang duduk di jabatan agama Islam sepatutnya menjadi tumpuan untuk memberi panduan yang betul dan tepat bagaimana cara orang-orang Islam harus menjalani kehidupan moden ini berteraskan nilai-nilai Islam.

Dr. Mohd Asri dapat melihat lebih jauh ke hadapan, di mana dia melihat nilai-nilai murni dan kekuatan yang ada pada ajaran Islam itu boleh menjadi aset dan pemacu yang amat penting kepada umat Islam untuk menguasai dan peneraju segala bidang didunia ini termasuk ekonomi, sain teknologi, dan politik.

Sebagai orang Islam kita diberi tanggungjawab untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mengajak kepada kebaikan adalah umpama mengubati penyakit manusia manakala mencegah kemungkaran umpama sekadar memberi ubat kepada tanda-tanda penyakit.

Apabila kita memberi nasihat supaya banyak bersenam dan menjaga makanan yang seimbang bagi mengelakkan terkena penyakit diabetes, perlakuan kita itu adalah mengajak orang kepada kebaikan Tetapi bila kaki seseorang itu telah didapati berkudis kerana mengidap penyakit diabetes maka kakinya terpaksa dipotong bagi mengelakkan merebak dan menjadi lebih teruk. Padahal dengan memotong kaki bukanlah ubat menyembuhkan penyakit tersebut sebaliknya sekadar menghapuskan tanda penyakit.

Menangkap orang berkhalwat adalah umpama kita cuba menghapuskan tanda-tanda penyakit yang datang dari masyarakat yang telah sakit. Sepatutnya penekanan dan usaha harus dilipat gandakan kepada mengubati penyakit masyarakat. Tak sepatutnya kita terlalu membesar-besarkan benda yang remeh temeh yang hanya akan menambah keaiban dan merendahkan masyarakat kita.

Sebalikanya Jabatan Agama Islam perlu memainkan peranan dalam usaha memberi idea dan aktiviti-aktiviti yang dapat menjauhkan masyarakat dari terjebak dalam kegiatan yang tidak bermoral seperti dadah, hiburan yang melampau, samseng, mat rempit dan rasuah. Mereka harus ada sikap yang lebih proaktif dan usaha sentiasa digerakkan bagi mencari jalan yang dapat membawa umat kepada agenda yang lebih besar bagi menghadapi cabaran dunia global ini.

Artikel ini pernah juga keluar dalam Surat Pembaca Malaysiakini:

http://www.malaysiakini.com/letters/68740

Wednesday, April 25, 2007

Kesucian Demokrasi telah banyak dicemar

Demokrasi adalah satu-satunya sistem atau mekanisma yang membolehkan orang yang terbaik dapat diangkat menjadi pemimpin atau ketua secara aman tanpa menumpahkan darah.

Sistem demokrasi akan dapat memastikan yang menjadi pemimpin atau ketua kita adalah sentiasa dari kalangan yang terbaik. Pentingnya pemimpin yang terbaik menjadi pemimpin kerana dia akan dapat memberi keamanan dan keadilan kepada kita semua seterusnya dapat membawa negara kearah gemilang dan terbilang.

Tetapi di zaman yang serba canggih ini banyak demokrasi yang diamalkan oleh negara-negara di dunia hari ini telah tercemar dari semangat asalnya. Ini telah menyebabkan demokrasi itu tidak dapat mencapai matlamatnya. Kita tidak boleh salahkan sistem demokrasi itu kalau matlamatnya tidak tercapai tetapi yang bersalah di sini ialah orang-orang yang melaksanakannya telah mencemar amalan demokrasi itu sendiri.

Kalau kita hendak membina jambatan dan bangunan kita kenalah meminta pandangan jurutera supaya jambatan dan bangunan yang dibina itu kukuh dan selamat. Kalau kita sakit kita kena jumpa doktor pakar untuk mengetahui penyakit kita dengan tepat dan apa ubat yang perlu kita ambil.

Begitu jugalah bila kita serahkan tugas pemilihan pemimpin kepada rakyat. Kita kena pastikan orang-orang yang diberi tanggungjawab untuk memilih pemimpin itu mestilah terdiri dari yang arif tentang kepimpinan atau sekurang-kurangnya dia betul-betul tahu dan kenal dengan pemimpin itu.

Tetapi yang berlaku pada hari ini, ramai di antara kita tidak tahu dan kenal pun pemimpin yang kita beri undi. Mungkin kita kenal pun hanya melalui akhbar-akhbar dan poster saja. Bagaimana dapat kita dapat memilih pemimpin yang terbaik padahal kita tidak pernah kenal dari dekat calon-calon pemimpin yang bertanding selain dari membaca akhbar dan dengar cakap-cakap orang.

Kalau amalan demokrasi ini tidak kita ubah kepada cara yang lebih baik dan lebih berkesan maka selamanyalah kita tidak akan dapat hasil yang baik dari sistem demokrasi itu.

Sepatutnya pemilihan pucuk pimpinan ini harus bermula di peringkat yang lebih kecil seperti peringkat kampung atau jalan atau taman perumahan. Biasanya kita lebih kenal dan lebih dekat dengan orang-orang yang ada di kampung kita, atau orang-orang yang tinggal di jalan yang sama atau orang-orang yang tinggal satu taman perumahan dengan kita.

Oleh itu semua rakyat hanya diberi tanggungjawab untuk memilih pemimpin di peringkat unit terkecil ini sahaja, samada diperingkat kampung, jalan atau taman perumahan kerana pemimpin yang kita pilih itu memang orang yang betul-betul kita kenal.

Manakala pemimpin-pemimpin peringkat kampung dan taman perumahan ini pula diberi tanggungjawab untuk memilih pemimpin mukim mereka. Pemimpin-pemimpin peringkat mukim pula diberi tanggungjawab untuk memilih pemimpin daerah mereka. Seterusnya pemimpin-pemimpin daerah pula dipertanggungjawabkan untuk memilih pemimpin negeri.

Pemimpin-peminpin negeri negeri pula diberi tanggungjawab untuk memilih pemimpin negara. Dengan cara sebegini sistem demokrasi itu akan menjadi lebih berkesan kerana orang-orang yang memilih memang benar-benar tahu apa yang mereka pilih.

Apa yang kita lihat hari ini, pemilihan calon terlalu bergantung kepada media, termasuklah akhbar, media elektronik dan internet. Orang ramai mengundi dan memilih pemimpin betul-betul berdasarkan apa yang dihidangkan oleh media. Akhirnya walaupun yang mengundi dan memilih itu rakyat tetapi hakikatnya medialah yang menentukan calon mana yang harus menang.

Tidak keterlaluan kalau kita katakan pemimpin yang diangkat secara demokrasi hari ini bukanlah benar-benar dipilih oleh rakyat tetapi adalah dipilih oleh media.

Walaupun Bush yang pro Israel bukanlah seorang Yahudi tetapi dia masih boleh menang menjadi presiden kerana media di US dikawal dan dikuasai oleh orang-orang Yahudi.

Dan semua kita juga tahu di Malaysia kebanyakan media perdana memang dikawal dan dikuasai oleh parti yang memerintah. Mereka akan pastikan ketua yang mengetuai media perdana ini sentiasa di kalangan orang-orang yang pro kepada mereka. Kerana mereka sangat sedar media sangat berkuasa dalam menentukan siapa yang menjadi pemimpin.

Selagi kita sendiri yang suka melihat sistem demokrasi ini tercemar semata-mata untuk kepentingan parti dan peribadi maka selagi itulah matlamat murni demokrasi itu tidak dapat dicapai.

Akhirnya kita tidak dapat mengangkat pemimpin yang terbaik di kalangan kita, dan yang ruginya kita juga.

Buat masa ini demokrasi adalah cara terbaik untuk memastikan orang yang terbaik dapat menjadi pemimpin, tetapi yang perlu diperbaiki ialah cara pelaksanaannya supaya ia dapat betul-betul berkesan dalam mencapai matlamatnya. Perkara-perkara yang boleh mencemar dan melemahkannya haruslah dihindarkan.

Rasul dan nabi adalah pilihan Allah untuk menjadi pemimpin. Di zaman sekarang tidak ada nabi lagi. Maka cara terbaik memilih pemimpin ialah dengan kaedah persepakatan atau persetujuan ramai, dan ini selaras dengan semangat demokrasi, bagaimanapun biarlah orang yang arif sahaja dibenarkan untuk memilih pemimpin kita.

Dalam pada itu kita kena ingat juga bahawa masyarakat yang baik akan lahir pemimpin yang baik juga. Kalau dalam kumpulan samseng, mereka akan memilih samseng juga untuk mengetuai kumpulan mereka.

Monday, April 23, 2007

PEMBAHAGIAN PUSAKA MENGIKUT ADAT

Tuhan itu Maha Bijaksana. Kalau kita meneliti setiap yang diciptanya, semuanya dicipta sangat sempurna sekali. Dalam mencipta sesuatu Dia tidak pemah melakukan proses 'try and error' seperti yang sering manusia lakukan dalam mencipta sesuatu.

Tidak pernah Tuhan itu lupa mewujudkan mekanisma air sejat naik menjadi awan bila Dia menjadikan sungai mengalir dari daratan ke laut. Tentulah akan kering air sungai kalau Dia terlupa nak menjadikan mekanisma kejadian awan itu.


Bagaimanalah kalau Tuhan itu tersilap menjadikan kanta dalam mata manusia sehingga kita tidak boleh melihat dengan jelas dan terang. Terpaksalah kita memakaikan cermin mata kepada kanak-kanak yang dilahirkan supaya penglihatan mereka dapat dibetulkan semula.


Seperti mana Tuhan tidak pemah silap dan lupa bila Dia menciptakan sesuatu begitulah juga Dia tidak pemah silap dan lupa bila Dia menurunkan isi Quran kepada kita. Tidak ada apa yang dilupakan oleh Allah tentang apa pun berkaitan isi kandungan Quran itu, ini telah pun diperakukan oleh Allah di dalam Quran itu sendiri.


Adalah sangat bahaya percakapan orang yang mengatakan hukum yang di buat oleh manusia itu lebih baik dari hukum yang disarankan oleh Allah dalam Quran. Bimbang perkataan seperti itu seolah-olah seperti mereka mengatakan manusia lebib bijak dari Allah yang menciptakannya.


Pemah saya meminta pendapat beberapa orang tua di Negeri Sembilan tentang kenapa pembahagian harta pusaka mengikut cara adat khususnya tanah pusaka masih di amalkan di negerl itu. Ramai dari mereka itu mengatakan pembahagian cara adat ini lebih baik bebanding cara faraid (agama Islam) kerana ia dapat membela dan memberi perlindungan kepada wanita-wanita di negeri ini bila berlaku perceraian.


Jawapan mereka yang seperti itu menyebabkan saya berfikir panjang, telah terlupakah Tuhan akan perkara membela nasib wanita yang bercerai ini semasa Dia menciptakan hukum faraid yang begitu jelas diperincikan dalam Quran itu. Tidak mungkin Tuhan itu terlupa, Maha Suci Tuhan dari sifat tersebut. Semestinyalah Tuhan lah yang lebih bijak dan lebih mengetahui tentang kehidupan manusia yang dijadikanNya ini. Sungguh bahaya perkataan orang-orang tua ini, bimbang seperti seolah-olah mereka mengatakan hukum manusia itu lebih baik dari hukum Allah.


“Tuhan itu tiada keliru dan tiada lupa”............ Thaha ayat 52.


Dosa kerana kesalahan tidak melaksanakan hukum Allah kerana tidak ada upaya atau kuasa untuk melaksanakannya mungkin bolehlah di maafkanNya. Tetapi bagaimana kalau mengatakan bukum manusia lebih baik dari hukum Allah, kerana ini samalah seperti mengatakan manusia lebih bijak dari Allah, silap-silap tanpa disedari oleh mereka boleh membawa kepada syirik, nauzubillah.


Hukum Allah itulah sebenamya yang lebih baik dan lebih berkat. Islam itu bermakna selamat sejahtera, sesiapa yang mengamal dan menghayatinya dalam kehidupannya pasti akan beroleh kesejahteraan. Di sebalik kebaikan yang didakwa oleh pengamal adat harta pusaka di Negeri Sembilan ini, terdapat beberapa kelemahannya yang begitu nyata di zaman sekarang ini. Mungkin ia sesuai untuk suatu masa di zaman dahulu, tetapi ia tidaklah sesuai untuk sepanjang masa seperti hukum Quran yang sentiasa relevan dan sesuai sepanjang zaman.


Kesan dari amalan pembahagian harta cara adat ini telah menyebabkan anak-anak lelaki Negeri Sembilan yang berkahwin dengan orang luar dan bekerja di perantauan tidak balik lagi selepas mereka bersara. Mereka lebih senang membina kehidupan di tempat lain kerana mereka tidak ada tanah untuk balik ke kampung asal mereka. Mengikut adatnya anak lelaki memang tidak dapat mewarisi tanah pusaka.


Kehilangan anak-anak lelaki Negeri Sembilan akibat perantauan ini menyebabkan negeri ini banyak mengalami kekurangan tenaga fizlkal dan mental yang sepatutnya boleh digembelingkan bagi membangunkan negeri ini. Tidak dinafikan Negeri Sembilan banyak juga melahirkan bijak pandai dan graduan-graduan universiti tetapi penghijrahan mereka yang tidak kembali itu tidak dapat dimanafaatkan kembali oleh negerl ini. Itulah antara sebab-sebab sampai sekarang Negeri Sembilan masih mundur berbanding negeri-negeri jirannya. Salah satu faktor kemunduran negeri ini adalah kerana adat yang sudah tidak relevan lagi itu mencengkam kuat masyarakat di negeri ini. Kalau negeri tidak membangun dan mundur akhirnya bukan sahaja nasib kaum wanita tidak dapat dibela, malah nasib kaum lelaki di negeri inipun tidak ketentuan.


Untuk kebaikan dan kemajuan negeri ini maka masyarakat di Negeri Sembilan perlulah membuang amalan pembahagian harta cara adat yang lapuk ini. Kita ambilah dan ikutlah cara sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Allah dalam Quran. Tidak salah kita mencipta aturan kehidupan kita mengikut fikiran kita sendiri, tetapi jika ada aturan yang lebih baik kenapa pula kita tidak mahu berubah kepada yang lebih baik. Apa lagi aturan itu datangnya dari Allah yang tentunya paling sempuma.


"Sekiranya engkau turut kemahuan mereka sesudah datang pengetahuan kepada mu, tentulah engkau termasuk orang-orang yang melanggar peraturan”......... Al-Baqarah ayat 145.


Kalau masyarakat Negeri Sembilan telah mempunyai kesedaran tentang Islam yang tinggi, maka sudah sampai masanyalah mereka berunding dengan pihak kerajaan untuk menghapuskan sama sekali pembahagian tanah cara adat ini. Undang-undang perlulah digubal oleh pihak kerajaan negeri atau persekutuan supaya tidak membenarkan lagi berlakunya pembahagian harta pusaka dan tanah secara adat lagi dimana-mana jua di negeri ini kecuali tanah yang sebelum itu telah dipusakai secara adat. Di samping itu kerajaan kenalah menggalakkan dan membenarkan pemilik tanah secara sukarela membahagikan tanah pusaka yang dipusakainya secara adat itu kepada anak-anaknya atau warisnya secara Islam. Wallahualam.

Thursday, April 12, 2007

Undang-undang Hakcipta yang menindas

Beberapa kurun lamanya negara-negara ketiga telah dijajah oleh negara maju yang sebahagian besarnya adalah negara barat yang penghuninya bangsa berkulit putih dan selama itu jugalah mereka telah mengaut hasil bumi negara-negara ketiga ini untuk memperkayakan negara mereka sendiri. Yang amat dikesalkan sebagai balasan dari itu, apa yang diperolehi oleh negara-negara ketiga ini setelah mereka merdeka, mereka terus dibiarkan dengan kemiskinan dan kemunduran.

Layanan daripada negara maju terhadap negara-negara membangun atau negara ketiga sehingga kini amat tidak memuaskan hati dan menyedihkan sekali. Mereka negara maju yang selalu melaungkan keadilan dan hak asasi manusia tidak pernah melayan negara-negara ketiga ini dengan cara yang adil. Malah rakyat negara ketiga ini terus menjadi hamba kepada mereka.

Walaupun rakyat negara ketiga adalah penghuni terbesar dunia tetapi mereka terus dibelenggu oleh peraturan berat sebelah yang dicipta dan dipaksakan oleh negara-negara maju ini. Apalah ertinya demokrasi yang mereka laungkan sedangkan suara majoriti rakyat dunia ketiga di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tidak pernah diambil kira. Malah dasar-dasar dan keputusan yang diambil oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ditentukan oleh beberapa kerat negara maju ini sahaja. Negara-negara ketiga disekat dari memusnahkan hutan mereka bagi tujuan pembangunan industri, perladangan dan pertanian, dan bagi mendapatkan hasil balaknya. Kononnya kawasan hutan perlu dikekalkan bagi membekalkan oksigen untuk kesinambungan kehidupan seluruh manusia di dunia ini.

Tetapi negara-negara maju ini hanya tahu mengarah namun tidak pernah menyumbang atau membayar apa-apa imbuhan kepada negara-negara ketiga ini sebagai pampasan kerana tidak meneroka hutan mereka.

Yang kesalnya undang-undang melarang memusnahkan hutan ini mereka buat dan paksakan kepada kita setelah mereka sendiri memusnahkan hutan di negara mereka bagi tujuan pembangunan. Tentulah tidak adil selepas itu mereka pula memaksa kita mengekalkan hutan kita bagi tujuan membekalkan oksigen kepada mereka tanpa kita menerima apa-apa balasan atau bayaran dari mereka. Kalaulah oksigen yang dihasilkan oleh hutan ini boleh kita kawal dan jual tentulah negara-negara ketiga ini telah menjadi kaya raya seperti negara-negara Asia Tengah yang menjadi kaya raya hasil dari jualan minyak yang terdapat di perut buminya. Setiap tahun negara-negara ketiga menghantar beribu-ribu pelajar untuk belajar di institusi pengajian tinggi di negara-negara maju. Negara maju ini bukan saja meraih keuntungan dari yuran dan perbelanjaan pelajar-pelajar ini malah mereka juga dapat manafaat dari hasil penyelidikan yang dilakukan oleh penuntut-penuntut dari negara ketiga ini.

Mereka terus mengekploitasi pelajar-pelajar dari luar ini untuk memajukan bidang penyelidikan dan pembangunan di negara tersebut tanpa diberi apa-apa imbuhan selain dari ijazah yang mereka terima. Undang-undang hakcipta yang mereka paksakan untuk semua negara di dunia hanyalah undang-undang yang berat sebelah yang memihak kepada mereka. Memang patut undang-undang hakcipta perlu wujud tetapi ia perlulah mengambil kira berbagai aspek supaya ia lebih adil untuk semua. Sepatutnya undang-undang hakcipta perlu juga mengambil kira tempoh masa, kepentingan kepada pengguna, tahap persaingan, jenis barangan dan sumbangan atau belanja yang telah dikeluarkan untuk menghasilkannya.

Bayangkan bagaimana kaya rayanya Edison pada hari ini jika dia mendapat satu sen dari setiap mentol tungsten yang orang ramai gunakan sehingga kini. Begitu juga dengan pengetip kuku yang telah memudahkan kita memotong kuku, tentulah juga perekanya juga akan menjadi kaya raya kalau dia hidup pada masa undang-undang hakcipta ini digubal. Apakah patut semua keuntungan akhir hasil perisian komputer dilonggokkan kepada Bill Gates seorang sahaja padahal sebelum itu beribu ahli sains yang lain yang sama-sama telah memerah otak untuk memajukan bidang komputer dan perisiannya tidak mendapat bayaran yang setimpal seperti mana yang diterima oleh Bill Gates. Sebenarnya sumbangan Bill Gates kepada kemajuan bidang komputer keseluruhan hanyalah begitu kecil sahaja tetapi ia telah mengambil kesempatan menggunakan kelemahan undang-undang hakcipta ini untuk memperkayakan dirinya sehingga ke tahap yang tidak munasabah.

Mungkin kita boleh terima hakikat untuk mengimport barangan teknologi canggih yang kita tidak ada kemampuan untuk membuatnya bagi kegunaan dalam negara kita. Tetapi adalah agak keterlaluan kalau syarikat-syarikat seperti Mc Donald, Kentucky Fried Chicken, Coca-cola membawa balik keuntungan berjuta ringgit setiap tahun ke negara mereka semata-mata hasil dari menggorengkan ayam dan menyediakan minuman untuk rakyat di negara ketiga. Inilah dia hasil dari undang-undang hakcipta yang telah dipaksakan kepada kita yang kita nampak begitu berat sebelah yang tujuannya hanya menjaga kepentingan diri mereka untuk terus memperkayakan negara mereka.

Pernah satu masa dulu di Malaysia pihak yang menyediakan tempat untuk penyanyi Michael Jackson membuat persembahan berasa bangga kerana telah mendapat keuntungan besar dan sudah tentu Michael Jackson sendiri telah berjaya membawa balik keuntungan yang entah berapa juta ringgit pula hasil dari persembahannya itu. Tetapi persoalan yang harus kita fikirkan bersama, dari poket siapakah datangnya wang itu? Patutkah kita mendabik dada menyatakan kita telah mendapat untung sedangkan wang rakyat kita telah dibawa balik ke negara mereka?

Memang suatu amalan yang baik jika mengasihi binatang seperti anjing dan kucing. Malah negara-negara maju juga telah menyumbang belanja yang besar dalam usaha untuk memastikan hidupan liar seperti panda, gajah, harimau, badak sumbu, gorila dan orang utan tidak pupus di dunia ini.

Tetapi bolehkah kita menghargai kasih sayang dan prihatin mereka kepada binatang-binatang ini sedangkan mereka menutup hati dari merasa belas kepada manusia-manusia yang sedang bertarung dengan maut akibat kebuluran di merata-rata tempat di negara ketiga. Pernah dikatakan kalau dikumpulkan lebihan sarapan pagi yang dibuang oleh seluruh rakyat Amerika Syarikat, ia boleh menampung semua mangsa kebuluran di benua

Afrika. Bukanlah kita rasa iri dengan kekayaan negara-negara maju ini, tetapi apa yang kita minta dari mereka ialah layanan dan sikap mereka kepada negara-negara ketiga perlulah lebih adil. Janganlah menjadikan kemiskinan dan kemunduran negara-negara ketiga ini untuk mereka terus menindas dan memeras.

Dunia ini Tuhan jadikan untuk semua manusia bukan untuk satu-satu bangsa sahaja. Setiap dari kita mempunyai hak untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik dan disamping itu perlu juga mempunyai rasa tanggungjawab untuk membantu orang lain mendapatkan kehidupan yang lebih baik di dunia ini.

Thursday, April 05, 2007

Dasar Penswastaan tidak sepatutnya sampai membebankan rakyat.

Penswastaan adalah satu-satunya cara yang amat berkesan untuk menyelesaikan masalah ketidakcekapan dan tidak produktif yang berlaku dalam perkhidmatan-perkhidmatan yang diuruskan oleh pihak kerajaan.Rungutan orang ramai terhadap kualiti perkhidmatan awam yang diberikan oleh badan-badan kerajaan sebelum ini telah mendorong pemerintah untuk menswastakan satu demi satu badan-badan kerajaan ini.

Walaupun mutu perkhidmatan awam ini bertambah baik selepas ia diswastakan tetapi rakyat terpaksa membayar lebih mahal kepada semua khidmat yang diberi berbanding sebelum ia diswastakan. Sebagai contoh jika bayaran bil telefon sebelum diswastakan sekitar RM25.00 sebulan tetapi setelah beberapa tahun diswastakan untuk penggunaan yang sama harganya telah meningkat menjadi sekitar RM55.00. Dapat diperhatikan ia telah meningkat lebih dua kali ganda. Begitulah juga dengan bayaran elektrik dan air, semua bayaran meningkat apabila diswastakan. Apabila diswastakan, badan-badan ini kena memikirkan tentang keuntungan. Untuk member keuntungan kepada perniagaan, syarikat terpaksa mengenakan cas yang sesuai supaya kerugian tidak berlaku. Sudah tentu pengguna atau rakyatlah terpaksa menanggung cas yang dikenakan itu.

Memanglah bagus kalau dasar penswastaan dapat memberikan perkhidmatan yang cekap dan terbaik kepada rakyat tetapi sepatutnya ia tidaklah sampai membebankan rakyat dengan bayaran-bayaran perkhidmatan yang tinggi. Kalaupun bayaran cas perkhidmatan yang dikenakan itu tidak mungkin dapat dikurangkan daripada harga sebelum ianya diswastakan setidak-tidaknya hendaklah sama seperti harga sebelum ini supaya ia tidak menambah beban kepada rakyat. Dasar penswastaan harus dilihat sebagai cara untuk menambah kecekapan kepada perkhidmatan awam tetapi bukannya sampai untuk mencari keuntungan yang akan membebankan rakyat.

Keadaan bertambah malang menimpa rakyat jelata bila dasar penswastaan ini telah memperkayakan orang-orang yang memegang kuasa politik di negara ini. Pemimpin-pemimpin politik beserta suku sakatnya mempunyai kaitan rapat dan berkepentingan dalam semua projek-projek dan badan-badan kerajaan yang telah disawastakan itu. Mereka mungkin mempunyai hubungan secara langsung seperti menjadi pengerusi atau lembaga pengarah atau secara tidak langsung melalui pemilikan saham yang besar yang khas diperuntukkan kepada mereka.

Sejak dasar penswastaan ini rancak berjalan, tidak kedengaranlah lagi pemimpin-pemimpin politik yang lantang memperjuangkan perit dan derita yang ditanggung oleh rakyat terhadap bayaran-bayaran mahal yang dikenakan oleh pihak-pihak swasta ini. Kalau dulu pemimpin-pemimpin politik digambarkan sebagai pejuang nasib rakyat tetapi sekarang pemimpin politik seperti menjadi seteru rakyat pula. Ini semua kerana gara-gara pemimpin-pemimpin politik telah mempunyai kepentingan dalam syarikat-syarikat swasta ini. Inilah buruknya akibat bila pemimpin-pemimpin politik terlibat atau berkepentingan dalam perniagaan dan syarikat-syarikat swasta. Keuntungan pada syarikat-syarikat swasta atau perniagaan yang dia terlibat akan juga member keuntungan pada dirinya. Perjuangan untuk membela nasib rakyat atau untuk meringankan masalah rakyat akan jatuh kepada nombor dua.

Sebagai Menteri yang bertanggungjawab kepada PLUS syarikat yang membina lebuh raya Malaysia, memang tidak boleh dinafikan Datuk Samy Vellu juga secara tidak langsung ada mempunyai kepentingan dalam syarikat pembinaan lebuhraya ini. Oleh itu setiap kali pihak PLUS memohon kenaikan bayaran tol lebuhraya, Datuk Samy Vellu tidak teragak-agak untuk menyokong permintaan PLUS itu dengan berkata, "permohonan oleh pihak PLUS untuk menaikkan tol itu memang tidak boleh ditolak lagi". Sepatutnya sebagai orang politik tentulah dia terlebih dahulu melihat kepada beban yang ditanggung rakyat di atas kenaikan tol itu tetapi ini tidak berlaku kepadanya. Akhirnya rakyat secara sendirian membuat protes hinggalah kerajaan terpaksa akur supaya kenaikannya dikaji semula. Kajian itu dibuat bukan dengan niat untuk mengurangkan beban rakyat tetapi lebih kepada untuk meredakan marah rakyat.

Sebagai untuk menunjukkan perihatin kepada masalah rakyat dan pengguna, maka dibentuklah satu kementerian yang dinamakan Kementerian Hal Ehwal Pengguna yang tugasnya mengambil berat kepada masalah-masalah barang-barang keperluan pengguna. Seperti yang disebut sebelum ini, oleh kerana pemimpin-pemimpin politik dan orang-orang yang memegang kuasa aktif terlibat dalam perniagaan maka peranan kementerian ini untuk menjaga kepentingan pengguna tidak dapat berjalan dengan begitu berkesan. Tugas mereka akhirnya jadi seperti melepaskan batuk ditangga.

Mereka tidak mungkin dapat memberi khidmat yang berkesan kerana mereka itu mempunyai kepentingan yang bercanggah. Sebagai contoh semasa perang harga minyak petrol sedang rancak berjalan, berkatalah Datuk Megat Junid menteri hal ehwal pengguna ini, "jika dibiarkan perang harga ini berterusan, syarikat minyak akan rugi dan mungkin tutup". Sebagai menteri hal ehwal pengguna sepatutnya dia sepatutnya suka perang harga itu berlaku kerana pengguna atau rakyat akan menikmati harga petrol yang rendah tetapi sebaliknya dia cuba menjaga kepentingan syarikat minyak.Bukanlah lebih baik dia menjadi Menteri Petrolium saja.

Selalu saja kita mendengar pembeli-pembeli rumah marah-marah dan keciwa kerana rumah mereka gagal disiapkan oleh pihak pemaju rumah dalam masa yang telah dijanjikan. Mereka terpaksa membayar pinjaman kepada bank walaupun rumah belum boleh diduduki. Ini sungguh membebankan pembeli kerana dalam masa yang sama mereka terpaksa membayar sewa rumah. Yang bertambah malang lagi beban biawak hidup yang dipikul oleh pembeli ini bukanlah disebabkan oleh kesalahan pembeli itu sendiri.

Ini tidak termasuk rasa tidak puas hati pembeli rumah terhadap kualiti rumah yang dijanjikan, masalah rumah terbengkalai dan sebagainya. Walaupun banyak aduan telah dibuat kepada pihak yang berkuasa seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan namun keadaanya tetap juga tidak berubah dan jawapannya yang biasa diterima oleh pembeli bagi menyedapkan hati mereka ialah, siasatan akan dijalankan. Satu sebab tindakan tegas tidak diambil terhadap pihak pemaju yang tidak bertanggungjawab ini ialah kerana pihak yang memegang kuasa dalam hal perumahan ini juga mempunyai kepentingan dalam syarikat-syarikat pemaju perumahan ini samada secara langsung atau pun secara tidak langsung.

Tidak hairanlah kalau nasib pembeli-pembeli rumah ini tidak mendapat pembelaan, dan setiap undang-undang yang digubal lebih berat melindungi pemaju dari membela pembeli. Selagi pihak yang memegang kuasa mempunyai kepentingan dalam projek-projek perumahan selagi itulah pembeli rumah tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Jika pihak berkuasa benar-benar ingin melihat pembeli mendapat layanan yang baik kenapa tidak syaratkan kepada pemaju rumah supaya membina rumah dahulu kemudian baru jual.

Kalau kereta yang berharga ratusan ribu ringgit boleh dibina dulu kemudian baru dijual kenapa rumah tidak boleh dibuatkan cara ini. Ataupun setidak-tidaknya pihak pemaju dikehendaki membayar bayaran bulanan kepada bank selagi pembeli tidak boleh menduduki rumah tersebut.

Dalam masa rakyat sibuk dengan isu nasib buruk hak asasi manusia di Malaysia di akhir-akhir ini, pihak kerajaan BN pula cuba menonjolkan diri sebagai hero hak asasi manusia dengan cuba mencadangkan penubuhan satu suruhanjaya hak asasi manusia peringkat Malaysia. Langkah ini dilihat oleh pengkritik sebagai menutup tindak-tanduk pihak kerajaan yang telah banyak melanggar dan mencabul hak manusia itu sendiri.

Pelaksanaan akta ISA yang mana akta seperti ini hanya wujud di tiga negara saja di dunia demokrasi itu jelas menunjukkan tidak prihatinnya kerajaan kita kepada hak asasi manusia. Apakah istimewanya demokrasi negara kita sehingga boleh menghalalkan akta ISA ini. Kepada pemimpin-pemimpin politik dan pemegang-pemegang kuasa seperti Malaysia isu hak asasi manusia adalah merupakan musuh yang boleh menggugat kekuasaan politik mereka.
Tidak mungkin ada orang yang ingin mempertahankan musuhnya. Akhirnya suruhanjaya hak asasi yang ingin ditubuhkan oleh pihak kerajaan ini hanya akan menjadi kuda tunggangan yang akan menghalalkan pelanggaran dan pencabulan oleh pihak yang berkuasa ke atas hak asasi manusia itu sendiri.

Contoh terdekat kita telah melihat BPR sebuah badan yang ditubuhkan bagimemerangi rasuah yang berlaku di Negara ini telah tidak dapat berjalan dengan berkesan bila ada kepentingan yang bercanggah. Oleh kerana adanya pengaruh kuasa politik, BPR tidak dapat menjalankan tugasnya denganbebas. Tambah malang BPR telah digunakan oleh pemimpin politik yang berkuasa untuk mengekalkan kuasanya. BPR boleh diarahkan oleh pemimpin politik ini untuk menyiasat rasuah musuh-musuh politiknya dan sebaliknyaboleh menahan BPR dari menyiasat kes rasuah suku sakat, rakan-rakan dan dirinya sendiri. Walaupun tujuan asal BPR itu bagus untuk membentuknegara yang bersih dari rasuah tetapi oleh kerana dia adalah badan yangdikuasai oleh pemimpin politik yang berkuasa maka BPR tidak dapatmenjalankan tugasnya dengan baik bila bercanggah dengan kepentingan pemimpin politik yang berkuasa.

Begitulah juga dengan nasib yang berlaku ke atas makamah negara kita, kita telah menyaksikan peguam negara dan makamah telah menjadi tunggangan pemimpin politik yang berkuasa bagi memperkukuhkan kuasanya.Musuh-musuh politik yang menggugat ditelanjangi dan direka kesalahannya di makamah sementara salah laku rakan dan sekutu politiknya di halang dari dihadapkan ke makamah. Hakim tidak dapat membuat keputusan dengan bebas di makamah sebaliknya hakim hanyalah membaca keputusan yang telah diberikan kepadanya.
Walaupun makamah masih dianggap adil kepada rakyat biasa tetapi bila melibatkan pemimpin politik yang berkuasa makamah tidak boleh membuat keputusan yang bercanggah dengan kepentingan pemimpin ini. Bila terhakis kebebasan makamah maka terhakis jugalah keadilan makamah itu.

Institusi polis juga tidak terlepas dari diperalatkan untuk menyekat kebebasan bersuara. Pihak polis berkuasa untuk memberi permit kepada pihak-pihak yang ingin mengadakan sebarang perhimpunan atas alasan kesalamatan awam. Kita tahu polis bukanlah satu badan yang benar-benar bebas. Ketua Polis Negara dilantik dengan restu Menteri dan Perdana Menteri. Perhimpunan yang bercanggah dengan kepentingan politik pemimpin yang berkuasa sudah tentu tidak akan mendapat permit polis.


Walaupun pada dasarnya rakyat negara ini boleh bebas berhimpun dan menunjuk perasaan mereka tetapi pemimpin politik yang berkuasa dapat menyekat rakyat dari berhimpun untuk menggugat kedudukannya dengan menggunakan kuasa yang ada pada polis ini. Akhirnya kebebasan berhimpun di negara kita ini hanya wujud secara teorinya saja, hakikatnya masih terdapat sekatan dan halangannya. Rakyat hanya mempunyai kebebasan untuk berhimpun dan menunjuk perasaan jika berhimpun untuk menyokong pendirian kerajaan.

Dengan terhakisnya kebebasan makamah dan institusi polis yang boleh dipertikaikan kewibawaannya maka undang-undang yang boleh menyekat seseorang yang bertanding dalam pilihanraya jika dia melakukan kesalahan yang dijatuhkan hukuman oleh makamah melebihi setahun penjara atau denda melebihi RM2000.00 nampaknya tidak lagi relevan di dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Kerana dibimbangkan undang-undang ini akan digunakan oleh pemimpin yang berkuasa untuk menghalang musuh-musuh politik beliau dari bertanding dalam pilihanraya dengan cara mereka-reka atau megada-ngadakan kesalahan mereka.


Media siaran di Malaysia juga samada yang diuruskan olehkerajaan atau pihak swasta jelas di kuasai oleh pemimpin politik yang berkuasa.Perlantikkan orang-orang yang mengetuai badan-badan siaran ini adalah secara langsung atau tak langsung mendapat restu dari pemimpin-pemimpin politik yang berkuasa. Di samping itu, kebenaran menerbit apa-apa juga media siaran adalah di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri yang tidak memungkinkan berita-berita dan pandangan-pandangan yang hendak disiar dan dihebahkan berlawanan dengan kepentingan kementerian ini.

Media siaran yang bebas adalah salah satu ciri yang harus ada dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Apalah yang kita hendak banggakan Malaysia sebagai sebuah Negara demokrasi sedangkan dalam masa yang sama pihak pemerintah cuba menghakis semangat demokrasi itu sendiri.


Cukupkah demokrasi itu hanya dengan peti undi saja? Apalah ertinya demokrasi tanpa adanya kebebasan bersuara, tanpa adanya kebebasan untuk berhimpun, tanpa media siaran yang bebas. Malah SPR yang mengedalikan pilihanraya di Malaysia ini pun telah dipertikaikan ketelusannya oleh orang ramai. Dari masalah pengundi hantu, kesalahan pendaftaran yang ketara, pendaftaran dengan kad pengenalan palsu, undi pos yang meragukan hinggalah kepada sistem pengesanannya yang begitu lemah. Selain itu jawatan pengerusi SPR yang bertanggugjawab mengendalikan pilihanraya di Malaysia ini juga dilantik oleh pemimpin politik yang berkuasa yang sudah tentunya sukar untuk dipastikan dia dapat berkecuali atau bebas dalam urusan kerjanya itu.

Sikap pemimpin berkuasa di Malaysia tidak mahu menerima pemerhati-pemerhati antarabangsa untuk memerhatikan perjalanan piliharaya di negara ini juga sungguh menghairankan kita. Apa ruginya kita membenarkan mereka datang untuk memerhati perjalanan pilihanraya kita malah kalau pilihanraya kita dapat diakui oleh mereka itu benar-benar bebas tentulah akan mengharumkan lagi nama Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi yang baik di dunia. Kecualilah kalau pemimpin yang berkuasa ini ingin mengamalkan taktik kotor dalam pilihanraya tentulah dia ada sebab berasa takut untuk menerima pemerhati-pemerhati luar ini.


Pernah di satu ketika semasa isu menghapuskan kekebalan Raja-raja sedang memuncak, berkatalah pemimpin politik yang berkuasa ketika itu, "pemimpin politik kalau tak betul rakyat boleh turunkan dia dengan peti undi atau pilihanraya, tetapi kalau raja buat salah, tidak ada cara kita boleh turunkan dia. Itulah sebab kenapa perlu raja boleh dihadapkan ke makamah". Tetapi dengan berbagai sekatan dan halangan yang dikenakan ke atas rakyat sekarang ini, peluang untuk kita menukar pemimpin politik yang membuat silap melalui peti undi ini amatlah sukar malah hampir mustahil berlaku. Nasib demokrasi di negara kita pada masa mendatang nampaknya semakin sempit dan kabur. Wallahualam.

Artikel ini telah ditulis dalam tahun 1999.

Tuesday, April 03, 2007

Ubatilah penyakit bukan sekadar mengubati tanda penyakit.

Gejala-gejala yang tidak senangi berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini adalah merupakan tanda-tanda penyakit akibat dari masyarakat yang sakit.

Contohnya bila ada pengguna-pengguna jalan raya yang tidak berdisiplin, melakukan kesalahan seperti memotong barisan, melanggar lampu isyarat, memandu laju, menukar lorong sesuka hati dan memotong dengan cara yang bahaya, semuanya itu mencerminkan sikap dan tabiat sebenar pengguna jalan raya itu sendiri.

Orang yang bersikap mementingkan diri sendiri, tidak perihatin dengan orang sekitarnya akan terbawa-bawa di jalan raya dan orang ini tidak teragak-agak untuk memotong barisan bila berlaku kesesakan jalan raya. Mereka akan memotong kenderaan yang lain dengan cara yang merbahaya tanpa memikirkan keselamatan pengguna yang lain.

Orang yang bersikap tamak pula dapat dilihat di jalanraya dengan cara mereka memandu yang suka menukar-nukar lorong. Apabila barisan kereta di lorong kiri lebih laju bergerak, dia akan mengalih pemanduan kesebelah kiri, kalau barisan sebelah kanan bergerak lebih laju, dia akan bertukar kesebelah kanan tanpa memikirkan perbuatannya itu akan menyusahkan pengguna-pengguna yang lain.

Orang yang gelojoh untuk mengejar keuntungan, sikapnya itu juga dapat dilihat di jalan raya. Mereka yang jenis ini suka memandu laju, melanggar lampu isyarat dan memotong dengan cara yang bahaya. Bagaimana dia begitu gelojoh untuk sampai ke destinasinya begitulah sikapnya yang gelojoh untuk mengejar keuntungan dan kekayaan dalam kehidupannya walaupun dengan jalan yang salah.

Tidak kurang juga pengguna-pengguna jalan raya yang bersikap menunjuk-nunjuk dan bangga diri akan terbawa-bawa perangai buruk mereka itu di jalanraya dengan menunjukkan kehebatan dengan mempamerkan kereta mewah mereka di jalanraya seolah-olah orang lain tidak mampu untuk memiliki kereta seperti dia. Ada juga ingin menunjuk-nunjuk yang kereta dialah yang paling laju atau dialah pemandu yang paling hebat dan bergaya.

Mereka yang mengalami tekanan emosi dan tekanan mental juga tidak kurang boleh mendatangkan merbahaya kepada diri mereka dan pengguna lain jika memandu. Mereka akan menggunakan jalan raya untuk melepaskan geram dan emosi mereka.

Sekiranya masyarakat kita tidak berpenyakit iaitu masyarakat yang betul-betul menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni seperti tidak tamak, tidak mementingkan diri sendiri, bertimbang rasa, perihatin dengan orang sekitar. Maka sudah pasti sifat-sifat yang mulia ini akan juga dipamirkan oleh mereka semasa mereka menggunakan jalan raya.

Begitu juga dengan masalah mat rempit, masalah dadah dan seks bebas, itu juga merupakan tanda-tanda penyakit yang datang dari masyarakat kita yang tempang dan sakit. Kehidupan masyarakat kita yang terlalu mementingkan keseronokan dan mengejar kebendaan telah menyebabkan anak-anak jadi terbiar dan terabai. Ibubapa sibuk bekerja mencari kesenangan dalam bentuk kebendaan, akibatnya anak-anak kurang mendapat kasih sayang dan didikan yang baik.

Akhirnya ramai anak-anak mencari keseronokan dan kasih sayang di luar rumah. Mereka sentiasa saja berasa tidak cukup dan tidak puas dengan keseronokan yang mereka dapat. Mereka sentiasa mencari-cari keseronokan baru sehingga boleh mendatangkan bahaya dan merosakkan diri mereka sendiri seperti mencuba dadah, berlumba haram dan melakukan seks bebas.

Rasuah, merompak, meragut, menipu, mencuri, mencemar alam sekitar dan membuang sampah merata-rata adalah juga gejala yang timbul akibat dari masyarakat kita yang sudah hilang dari menghayati nilai-nilai baik seperti bekerja keras, rajin, semangat juang tinggi, berperinsip, bersih, bertanggungjawab, ikhlas dan jujur.

Sekadar mengeluarkan saman, mendenda, menghukum penjara orang yang melakukan kesalahan dan menangkap serta mengaibkan orang yang berkhalwat bukanlah benar-benar dapat menyelesaikan masalah selagi punca penyakit tidak diubati.

Thursday, March 01, 2007

Syiah lahir hasil dari perbalahan politik

Selepas kewafatan Saidina Othman bin Affan sebagai Khalifah umat Islam, orang Islam di Tanah Arab telah berpecah untuk menentukan siapa yang sepatutnya yang paling layak untuk mengambil alih jawatan Khalifah. Di waktu itu terdapat dua tokoh yang sangat berwibawa iaitu Saidina Ali bin Abi Talib yang mendapat sokongan kuat penduduk Mekah dan Madinah dan seorang lagi Muawiyah bin Abu Sufian yang merupakan Gabenor di wilayah Syam yang sangat dihormati dan berpengaruh kuat di wilayah tersebut. Bermula dari krisis kepimpinan antara Saidina Ali bin Abi Talib dan Muawiyah inilah tercetusnya fahaman Syiah.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan fahaman Syiah ini diwujudkan bagi kepentingan politik pihak tertentu. Biasanya bila berlaku krisis politik antara dua pihak yang ingin merebut kekuasaan, masing-masing akan menggunakan apa cara sekalipun untuk mendapatkan kemenangan. Ini termasuklah menggunakan agama untuk menjayakan cita-cita politik mereka.

Begitu jelas di dalam sejarah Islam, semasa Saidina Ali menjawat jawatan Khalifah, tidak pernah kita dengar dari mulut Saidina Ali sendiri yang mengatakan Khalifah Abu Bakar, Khalifah Omar dan Khalifah Osman adalah orang-orang yang patut dibenci sebagaimana orang-orang berfahaman Syiah hari ini membenci nama-nama tersebut.

Kalaulah Saidina Abu Bakar, Saidina Omar dan Saidina Osman adalah orang yang telah membuat salah tentulah semasa Saidini Ali memegang tampuk kuasa sebagai Khalifah, beliau tidak akan teragak-agak untuk memaklumkan kepada umat Islam di waktu itu akan kesalahan mereka dan mereka patut dicela.

Kenapa pula ada di kalangan setengah fahaman Syiah terlalu benci dengan Khalifah Abu Bakar, Omar dan Osman sehingga berasa malu untuk menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama khalifah tersebut. Padahal Saidina Ali yang diagung-agungkan oleh pihak Syiah ini tidak pernah pun memburuk-burukan dan membenci para sahabat tersebut. Kenapa pula mereka sanggup melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan oleh Saidina Ali sendiri.

Mereka boleh kata, Saidina Ali tidak berani atau segan untuk menegur atau mendedahkan kesalahan Khalifah Abu Bakar, Omar dan Osman semasa pemerintahan khalifah-khalifah tersebut. Tetapi apa alasan untuk beliau tidak berbuat demikian semasa beliau sendiri berkuasa setelah dilantik menjadi Khalifah.

Berbanding dengan orang Islam yang berfahaman sunah waljamaah yang sebenar, mereka lebih mementingkan keluhuran agama dan tidak mahu agama digunakan untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu. Mereka melihat dan memuliakan Saidina Ali sama seperti Saidina Abu Bakar, Omar dan Osman. Mengiktiraf keempat-empat mereka sama taraf sebagai Khulafak Ar Rasyidin.

Malah pengasas mazhab sunnah waljamaah seperti Imam Syafie, Imam Hambal dan Imam Hanafi pernah dipenjara dan disiksa oleh pemerintah kerana tidak sanggup menggadaikan kebenaran agama Islam.

Pihak Syiah memburuk-burukan Abu Bakar dan Omar dengan mengatakan mereka lebih mementingkan jawatan Khalifah daripada menguruskan jenazah baginda Rasulullah semasa baginda wafat. Saidina Ali mereka puji kerana melakukan perkara yang sebaliknya. Kenapa kita harus memperlekehkan Abu Bakar dan Omar dalam hal ini kerana kedua-dua perkara itu sama pentingnya.

Semasa Saidina Ali menguruskan jenazah Rasulullah, Abu Bakar melihat pentingnya bagi meneruskan risalah Rasul bagi menyelamatkan manusia untuk beriman kepada Allah yang Maha Esa. Dan inilah tujuan utama Rasul diturunkan Allah, apakah perkara ini kurang penting dari menguruskan jenazah Rasul.

Malah Saidina Abu Bakar sendiri telah memulangkan semula semua wang gaji jawatan Khalifahnya kerana bimbang tidak mendapat keredaan Allah s.w.t, kerana pada pendapat beliau Rasulullah sendiri tidak pernah mengambil upah dalam tugas menyebarkan syiar Islam. Apakah dengan itu masih sanggup kita menuduh Abu Bakar lebih mementingkan jawatan Khalifah?

Kita telah melihat bagaimana penggunaan agama untuk kepentingan cita-cita politik ini telah banyak berlaku hinggalah ke hari ini. Namun fahaman Syiah ini adalah antara contoh yang paling awal dalam sejarah Islam di mana agama telah digunakan untuk kepentingan politik.


Pastinya kita sudah dapat membaca tujuan mereka memburuk-burukkan Abu Bakar, Omar dan Osman itu adalah untuk menonjolkan Ali sebagai seorang yang lebih baik dan lebih mulia. Dengan cara ini mereka beranggapan dapat mengalihkan sokongan umat Islam kepada gerakan Syiah. Inilah yang dikatakan penggunaan taktik kotor dalam politik. Mereka menggunakan nama Saidina Ali agar umat Islam menyokong kepimpinan dan politik mereka. Cerita-cerita kehebatan Saidina Ali direka-reka secara berlebihan. Ada di kalangan mereka mendewa-dewakan Saidina Ali sehingga boleh membawa ke tahap memesongkan akidah.


Malangnya ada sesetengah umat Islam tidak menyedari yang diri mereka telah digunakan untuk kepentingan politik pihak-pihak tertentu. Akhirnya mereka terus taksub dengan kumpulan dan fahaman mereka. Cara terbaik untuk mengukur kebenaran fahaman yang kita anuti ialah dengan kembali kepada ajaran Quran dan Sunah Rasul.

Wednesday, February 14, 2007

Betulkah perang itu suatu jenayah?

Apabila berlaku perselisihan faham antara dua orang sehingga salah seorang dari mereka menjadi hilang sabar dan terus menyerang lawannya dengan menggunakan kekerasan, maka dari segi undang-undangnya orang yang menyerang menggunakan kekerasan itu boleh didakwa telah melakukan jenayah.

Maksud menggunakan kekerasan di sini ialah apa saja cara yang beliau gunakan yang boleh membawa kecederaan atau kematian kepada lawannya termasuklah menampar, menumbuk, menendang, menanduk, menolak atau menggunakan senjata serperti kayu, besi, senjata tajam, senjata api atau lain-lain yang seumpamanya.

Sekalipun pihak yang melakukan kekerasan itu berada di pihak yang benar dalam sesuatu pertelingkahan yang menjadi punca mereka bergaduh, tetapi dia tetap dianggap melakukan jenayah kerana telah melakukan kekerasan.

Namun begitu orang yang menggunakan kekerasan untuk melawan dan mempertahankan dirinya dari terus dicederakan, tidaklah dianggap sebagai melakukan jenayah. Demi untuk menjaga keselamatan dari cedera dan kematian kita wajib untuk mempertahankan diri kita dari diserang selagi kita berdaya.

Kalau pertelingkahan yang membabitkan kekerasan itu berlaku antara dua individu atau antara dua kumpulan, kita selalu merujuknya sebagai pergaduhan. Tetapi bila melibatkan antara dua negara, kita merujuknya sebagai perang.

Di zaman dahulu adalah satu perkara biasa jika satu negara menyerang negara yang lain sebagai satu cara untuk menguasai kekayaan dan wilayah. Banyaklah rakyat yang tidak berdosa terbunuh dan sengsara bila berlaku peperangan.

Saya fikir di zaman sekarang yang lebih bertamaddun ini tentulah tidak wajar kita menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan perselisihan faham yang berlaku antara kita. Kalau berlaku pertengkaran antara kita yang menyebabkan masing-masing tidak puas hati, kita ada makamah untuk menyelesaikan perselisihan kita itu.

Tapi mungkin juga kadang-kadang bila mengingatkan prosedur makamah yang agak rumit dan mahal menyebabkan ada di kalangan orang awam lebih suka mengambil tindakan mengikut cara mereka sendiri.

Di peringkat negara pun harus ada nilai seperti itu, negara yang menyerang negara lain hendaklah dianggap melakukan jenayah. Mana-mana negara yang memulakan peperangan mestilah dihukum kerana telah melakukan jenayah. Dan negara yang diserang pula wajib untuk membalas serangan tersebut sebagai mempertahankan negaranya.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sepatutnya memainkan peranan penting dan harus diberi mandat untuk menjadi makamah dunia bagi mengadili jika berlaku perselisihan faham antara negara-negara ahlinya. Malah PBB juga harus ada kuasa untuk menghukum negara-negara yang melakukan jenayah perang ini.

Sekalipun Bush dan Blair ada alasan kuat untuk menyerang Iraq, namun di zaman manusia yang lebih bertamaddun ini kita tidak boleh terima untuk sebuah negara menyerang mana-mana negara lain.

Kita sokong usaha mereka untuk memerangi kekaganasan tetapi bukan dengan cara memerangi negara lain. Kesalahan mereka bukan kerana memerangi kegaganasan tetapi kerana menyerang negara Iraq. Jenayah perang harus menerima hukuman.

Artikel ini juga telah tersiar dalam ruangan surat pembaca Malaysiakini:

http://www.malaysiakini.com/letters/63686

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com