Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Thursday, March 31, 2011

Malaysia Negara pendatang, dulu kini dan selamanya

Bermula seawal tahun 1400, Raja Parameswara dan orang-orangnya dari Palembang membuka negeri di Melaka, tanah semenanjung Malaysia telah menjadi penempatan baru bagi penduduk dari kawasan serantau. Termasuklah dari pulau Jawa, Sumatera dan Sulawesi.

Di waktu itu tidak ada sistem tertentu yang mengawal orang-orang luar dari membuka tanah dan penempatan baru, apatah lagi mereka yang datang itu adalah dari rumpun yang sama, agama yang sama dan budaya yang hampir sama. Mereka mempunyai raut wajah yang sama, hanya dibezakan oleh bahasa daerah yang kita kenali sebagai Jawa, Bugis, Minangkabau, Banjar, Siam, Riau dan Boyan.

Pada era penjajahan British pula, pekerja-pekerja dari Negara China dan India telah dibawa masuk oleh British ke Semenanjung untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah dan ladang-ladang getah.

Negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sistem kad pengenalan dan kewarnegaraan telah diperkenal dan diperketatkan.

Selepas itu negara kita boleh dikatakan tidak lagi membenarkan pendatang-pendatang asing datang ke negara ini. Semua pekerjaan telah dilakukan sendiri oleh anak-anak tempatan.

Kalau pun ada pendatang yang dibenarkan masuk ke Malaysia selepas kita merdeka, hanyalah terdiri dari pendatang akibat pelarian perang seperti pendatang Kemboja, Vietnam, Acheh, Thailand dan Filipina.

Sejak Tun Mahathir mengambil alih pemerintahan Malaysia, sekali lagi kita dilanda kedatangan pendatang asing. Negara kita telah menjadi tumpuan pendatang asing untuk mencari kerja, bukan sahaja dari Indonesia tetapi datang dari berbagai-bagai negara seperti India, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Vietnam.

Di bawah pimpinan Tun Mahathir, dasar penswastaan, pembangunan infrastruktur yang pesat telah memaksa negara kita membawa ramai pekerja asing dari luar yang diperlukan dalam sektor pembinaan dan penyelenggaraan.

Dalam masa yang sama, rata-rata anak tempatan mempunyai kelulusan pendidikan yang tinggi, mereka tidak selesa lagi untuk bekerja sebagai buruh bawahan dan bekerja di bawah panas terik sinar matahari. Kepada mereka apalah ertinya kalau ada sijil diploma atau ijazah tetapi membuat kerja seperti menoreh getah, atau mengambil buah kelapa sawit, atau membersih bangunan pejabat atau menjadi orang gaji. Kalau sekadar untuk membuat kerja-kerja tersebut, tidak perlulah kepada sijil diploma dan ijazah.

Majikan pula tidak ada pilihan, mereka mahu membuat keuntungan yang maksimum dengan membayar upah atau gaji pekerja yang murah. Oleh itu mengambil pendatang asing sebagai pekerja adalah pilihan terbaik untuk menjadikan barang keluaran mereka lebih murah dan beradaya saing.

Kalau kita lihat negara maju seperti Jepun, mereka tidak mengambil pendatang-pendatang asing untuk melakukan kerja-kerja di negara mereka. Mereka sanggup berkorban membayar gaji yang lebih mahal kepada anak-anak tempatan. Oleh itu hingga hari ini, mereka tidak ada masalah dengan pendatang asing.

Mereka tidak mengambil pendatang asing untuk menjadi pekerja mereka sebagai langkah untuk menjimatkan kos, sebaliknya mereka memindahkan kilang-kilang mereka ke negara lain yang mempunyai tenaga buruh yang murah, termasuklah ke negara kita.

Tidak dinafikan pendatang-pendatang asing telah menimbulkan banyak masalah kepada sosio budaya negara kita. Oleh itu perlulah kita mencari jalan untuk tidak terlalu bergantung kepada pekerja-pekerja asing ini.

Buat apalah kita terlalu memikir untuk keuntungan jangka pendek, walhal untuk jangka panjang kita akan menghadapi banyak masalah dan kerugian.

Kalau Jepun boleh, kenapa kita tidak?

Sampai bila kita akan terus menerus mengimpot pendatang asing untuk bekerja di negara kita, bilangan mereka bukan berkurang sebaliknya terus bertambah dari masa ke semasa.

Sekarang ini pun, Chow Kit sudah jadi seperti Batam, Cameron Highland sudah jadi seperti Bandung. Fikir-fikirkanlah.

Monday, March 28, 2011

TV3, berhentilah dari terus jadi 'pelacur'


Melalui slot berita mahupun program 999, saya perhatikan TV3 selalu sangat menayangkan gambar pelacur dan wanita urut sex diserbu polis, terutamanya di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Apakah tujuan TV3 menayangkan kepada khalayak berulangkali gambar-gambar wanita gebu dan seksi ini? Apakah sekadar untuk menarik lebih ramai orang menonton dan dapat menaikkan ‘rating’ penyiaran setesen TV mereka?

Mengapa terlalu memikirkan keuntungan wang ringgit sedangkan banyak kesan negatif yang akan timbul akibat darinya. Bila melihat perempuan-perempuan seksi dan gebu yang dipertontonkan itu, sudah tentu lebih ramai orang teringin hendak ke tempat-tempat tersebut bagi melempiaskan nafsu sex mereka.

Secara tidak lansung, TV3 sudah seperti memberi iklan percuma kepada kegiatan atau industri tersebut. Bila sudah ada semacam iklan percuma dari TV3 ini, manakan dapat kegiatan tak bermoral ini dapat dihapuskan. Malah ada kemungkinan semakin bertambah dan bercambah.

Ada premis pelacuran ini yang sampai beberapa kali telah diserbu polis dan penguatkuasa tetapi masih tidak serik dari terus beroperasi. Apakah ini menunjukkan kelemahan pihak polis dan penguatkuasa hingga memerlukan lebih dari sekali mengambil tindakan kepada pengusaha yang sama. Sudah tentu TV3 tidak akan menuduh pihak polis dan pihak penguatkuasa sebagai lemah, kerana dasar TV3 tidak akan mengkritik polis.

Buat sajalah kerja penangkapan dan pendakwaan tanpa perlu heboh satu dunia. Rasanya kalau orang awam sendiri tidak sukar untuk mencari dan melanggan tempat-tempat maksiat ini, sudah tentu pihak polis juga yang lebih terlatih tidak ada masalah untuk menemuinya. Mereka bukan seperti perompak dan peragut yang jauh lebih sukar untuk dikesan.

Kalau pengusaha sex haram ini telah dihukum dengan hukum berat dan dipenjara, tidak mungkin mereka boleh mengurus dan mengusahakan industri ini dari bilik penjara mereka.

Siapakah sebenar yang menjadi pelacur? Janganlah TV3 mengambil peluang lesen penyiaran yang diberikan kepada mereka untuk menjadi ‘pelacur’ demi mengaut keuntungan cepat tanpa ada rasa tanggung jawab sosial kepada masyarakat.

Friday, March 25, 2011

Kalau rakyat Sarawak mahu berubah, pilihlah parti politik nasional


Walaupun Parti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),yang dipimpin oleh Ketua Menteri Sarawak, Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud merupakan salah satu komponen parti BN tetapi parti PBB ini hanya terdapat di Sarawak sahaja.

Oleh kerana syarat untuk menjadi Perdana Menteri (PM) Malaysia mestilah dari kalangan pemimpin parti yang terbesar memenangi kerusi Parlimen, maka secara metamatiknya orang Sarawak mustahil boleh menjadi PM.

Sekalipun semua kawasan Parlimen di Sarawak dimenangi oleh parti PBB, masih belum dapat menjadikannya parti terbesar memenangi kerusi Parlimen, kerana bilangan kawasan Parlimen Sarawak (33) jauh lebih kecil dari bilangan keseluruhan kawasan Parlimen Malaysia (222).

Kemasukan UMNO ke Sabah telah meletakkan orang-orang Sabah berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Malah dalam beberapa tahun sahaja UMNO bertapak di Sabah, sudah ada ahli UMNO dari Sabah yang memegang jawatan tertinggi parti UMNO, malah ada hingga mencapai ke jawatan Naib Presiden, iaitu jawatan ketiga penting dalam hairaki kepimpinan negara.

Dan tidaklah hairan kalau dalam sedikit masa lagi rakyat Sabah juga akan terpilih untuk menduduki Seri Perdana, Putra Jaya.

Sudah sampai masanya rakyat Sarawak memikirkan perjalanan masa depan politik mereka dalam konteks Malaysia, apakah cukup sekadar menjadi pemerhati dan menjadi jaguh kampung sahaja. Tidak dinafikan, ramai anak-anak Sarawak yang berbakat untuk menjadi pemimpin Negara, tetapi mereka tidak dapat peluang untuk ditonjolkan selagi mereka tertakluk kepada sistem politik seperti yang ada sekarang.

Rakyat Sarawak harus berani berubah, sebagai rakyat Malaysia, mereka juga harus turut serta dalam menentukan hala tuju Negara Malaysia seperti rakyat di negeri-negeri lain juga. Ini hanya boleh menjadi kenyataan kalau rakyat Sarawak turut menyertai parti yang bersifat nasional, samada ada UMNO (BN) atau DAP atau PKR.

Buat masa ini tidak mungkin rakyat Sarawak dapat mengundi UMNO, kerana UMNO tidak dibenarkan bertanding di Sarawak atas dasar kesepakatan dalam BN. Oleh itu kalau rakyat Sarawak mahukan perubahan, pilihan tidak ada selain dari mengundi parti DAP, PKR atau PAS.
Selagi tidak ada rakyat Sarawak yang berada pada kedudukan sebagai Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri Malaysia, selagi itulah pembangunan yang sebenar tidak akan dapat ditumpukan di Sarawak.

Sarawak kaya dengan hasil bumi, termasuklah petroleum dan balak. Kita tidak kesal kalau minyak Sarawak kering dan balak habis ditebang kerana membiayai infrastruktur untuk kemudahan rakyat Sarawak, termasuklah membina jalan-jalan yang menghubungkan semua kawasan penempatan dan Bandar-bandar.

Yang kita kesalkan ialah bila wang minyak dan hasil balak Sarawak digunakan untuk memperkaya dan membiayai kehidupan mewah segelintir individu yang memegang kuasa politik di Sarawak.

Tuesday, March 22, 2011

Perangkap salah laku sex, berkesan jatuhkan politik seseorang


Walaupun masyarakat Barat agak liberal dalam soal sex, tetapi mereka masih tidak dapat menerima jika pemimpin politik mereka melakukan salah laku sex.

Salah laku sex yang dimaksudkan di sini bukanlah kesalahan jenayah rogol atau cabul, tetapi yang dimaksudkan ialah melakukan sex dengan wanita lain selain dari isteri mereka.

Melakukan sex dengan wanita lain selain dari isteri sendiri, bukanlah satu kesalahan dari segi undang-undang di dunia Barat. Tetapi kalau orang terkenal dan pemimpin negara mereka yang melakukannya, ianya masih dianggap tidak bermoral dan mereka yang terlibat tidak harus terus menjadi pemimpin.

Mungkin bagi masyarakat Barat, melakukan sex tanpa nikah atau melakukan sex dengan wanita selain isteri itu tidak salah dari segi undang-undang, tetapi ia masih dianggap tidak bermoral kerana berlaku curang terhadap pasangan mereka.

Sebagai manusia biasa, pemimpin-pemimpin juga tidak terlepas dari keinginan untuk mengadakan hubungan sex dengan wanita-wanita lain yang bukan isteri mereka.

Selalunya perbuatan yang berlaku secara rahsia ini akan menjadi bahan atau senjata yang berkesan untuk digunakan oleh penentang politik pemimpin-pemimpin ini.

Telah berapa banyak pemimpin-pemimpin di dunia ini yang tersungkur dan terpaksa meletak jawatan kerana pendedahan skandal sex mereka.

Tidak kurang juga pemimpin-pemimpin politik ini diperangkap untuk melakukan salah laku sex oleh musuh-musuh politik mereka.

Presiden MCA, Chua Soi Lek adalah antara pemimpin politik negara kita yang pernah menjadi mangsa perangkap salah laku sex.

Malah di saat ini pun hari-hari kita dihidangkan dengan berita-berita salah laku sex yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Samada tuduhan liwat beliau yang sedang diadili di makamah, mahupun dengan isu video beliau melanggan pelacur.

Sehingga kini beliau terus menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan salah laku sex itu dan menganggapnya sebagai fitnah yang bermotifkan politik.

Tuesday, March 15, 2011

Bom nuklear bertentangan dengan ajaran Islam

Walaupun ketika sedang berperang dengan musuh, tentera-tentera Islam masih mempunyai adab-adab atau peraturan yang mesti mereka patuhi.

Tentera-tentera Islam tidak dibenarkan membunuh orang awam, termasuklah orang tua, orang perempuan dan kanak-kanak. Mereka dilarang dari memusnahkan harta benda musuh, termasuklah tanam-tanaman dan binatang ternakan.

Bom atom atau bom nuklear adalah senjata yang tidak memilih mangsa, ia tidak dapat membezakan antara tentera dan orang awam, antara orang lelaki dan orang perempun. Bom nuklear juga tidak dapat mengenal orang tua dan kanak-kanak.

Oleh itu bom nuklear memang jelas tidak menepati syariat Islam. Kita tidak boleh menjadikan alasan untuk menggunakan bom nuklear kerana negara musuh kita ada bom nuklear. Ini samalah seperti kalau kita memberi alasan, kita boleh membunuh kanak-kanak kerana tentera musuh juga membunuh kanak-kanak Islam.

Oleh itu adalah haram kalau ada negara-negara Islam yang berhajat hendak menghasilkan senjata bom nuklear walaupun atas alasan untuk mempertahankan diri. Sebaliknya negara-negara Islam harus menentang penggunaan senjata bom nuklear dan melalui saluran PBB, mereka harus mendesak supaya negara-negara bukan Islam juga mengharamkan penggunaan dan pemilikan senjata bom nuklear ini.

Walaupun tenaga nuklear boleh digunakan untuk mendapatkan sumber tenaga elektrik yang murah, tetapi ia masih mendatangkan bahaya kepada manusia kalau berlaku kebocoron radioaktif.

Malang tidak berbau, bagaimana ketat sekalipun langkah keselamatan diambil, kesilapan dan malapetaka boleh saja terjadi diluar jangkaan manusia. Sebagai contoh, saat ini negara Jepun tengah bertarung dengan bahaya radioaktif yang bocor dari loji-loji tenaga nuklearnya akibat gegaran gempa bumi dan tsunami baru-baru ini.

Sudah tentu, yang menjadi mangsa radioaktif yang bocor ini adalah penduduk-penduduk Jepun terutamanya yang tinggal berhampiran dengan kawasan loji-loji tersebut.

Oleh itu memang wajar, mesti ada badan dunia yang menentukan piawaian terhadap pembinaan dan pengendalian loji-loji tenaga nuklear ini. Kerana kesan buruk dari kebocoran radioaktif ini bukan sahaja terkena kepada penduduk negara yang memilikinya sahaja, tetapi juga akan melibatkan penduduk negara-negara jiran yang berdekatan.

Langkah-langkah keselamatan bagi melindungi penduduk yang berhampiran dengan loji nuklear juga perlu diambil kira, termasuklah menyediakan bilik-bilik kalis radioaktif sebagai tempat perlindungan jika berlaku kebocoran bahan radioaktif.

Saturday, March 12, 2011

Strategi 'winnable candidate' PM Najib menjadi


Strategi yang diperkenalkan oleh PM Najib dengan meletakkan calon yang boleh membawa kemenangan atau ‘winnable candidate’ yang menjadi keutamaan dalam pemilihan calon yang bertanding dalam setiap pilihanraya kecil telah membuahkan hasil. Di mana BN telah menang di beberapa PRK termasuklah yang terbaru ini di Batu Sapi, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Di era kekuatan parti pembangkang yang tidak boleh dipandang remeh ini, BN terpaksa berhati-hati dalam memilih calon yang bertanding untuk partinya.

Calon yang ‘winnable candidate’ yang hendak ditonjolkan mestilah seorang yang disukai rakyat setempat, tidak ada cacat cela dan tidak ada masalah peribadi, akhlak yang baik, berkebolehan sebagai pemimpin dan usia yang muda.

Zaman ‘bermewah-mewah’ BN telah berakhir, kalau dulu calon ditentukan mengikut siapa yang kuat menyokong pucuk pimpinan, samada rakyat suka atau tidak, bukanlah perkara yang penting sangat. Malah telah menjadi sindiran kepada orang ramai, letak tunggul pun pasti BN boleh menang.

Itu dulu, keadaan sekarang telah jauh berubah, sekarang BN kena meletakkan calon yang benar-benar boleh mendapat sokongan rakyat setempat.

Sekarang barulah calon-calon yang menang bertanding dalam suatu pilihanraya itu sesuai dipanggil Wakil Rakyat, kalau dulu tu mereka tak lebih dari menjadi Wakil Pemimpin. Mereka bertugas mewakili pemimpin bukan mewakili rakyat.

Friday, March 11, 2011

Ha ha... mereka tengah sibuk hendak menyelamatkan diri

Ramai pemimpin-pemimpin negara Islam terdiri dari pemimpin yang korup, ada yang memerintah secara monarki, ada yang autokratik dan diktator.

Tidak kurang dari mereka yang mengaku mengamalkan sistem demokrasi, tetapi tidak pernah mengikut lunas-lunas demokrasi. Menyekat hak kebebasan bersuara, mengawal media dan menipu dalam pilihanraya.

Di negara mereka memang ada pilihanraya tetapi tidak ada demokrasi. Pilihanraya dijadikan topeng untuk mengabui mata masyarakat antarabangsa. Tidak hairanlah kalau pemimpin-pemimpin negara Islam ini terus kekal memerintah dan berkuasa hingga melebihi 30 tahun, malah ada yang memerintah hingga sampai mati.

Yang lebih kita kesal lagi, mereka menggunakan kuasa untuk menimbunkan harta dan kekayaan untuk diri dan kaum kerabat mereka. Adalah perkara biasa pemimpin-pemimpin negara Islam ini beserta kaum kerabat mereka mempunyai harta yang bernilai beratus juta ringgit. Belum tentu mereka boleh membina kekayaan sedemikian rupa banyaknya kalau tidak ada kaitan dengan kuasa yang mereka miliki.

Rakyat mereka pula hidup sekadar cukup hidup dan tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya. Walaupun negara-negara ini kaya dengan hasil minyak tetapi rakyat tidak dapat nikmat kekayaan itu.

Sekarang sudah ada kesedaran kepada rakyat di negara-negara ini, mereka tidak rela lagi untuk terus diperalat dan diperbodohkan oleh pemimpin-pemimpin mereka. Rakyat telah mula berani memberontak dan mahu menghumbankan pemimpin-pemimpin yang korup ini.

Pemimpin diktator Libya, Muammar Gadafi masih berdegil tidak mahu meletak jawatan atau berunding dengan rakyatnya yang memberontak. Gadafi telah menggunakan kekerasan dan sanggup memerang dan membunuh rakyatnya yang sedang memberontak.

Kedegilan Gadafi ini telah mengundang Amerika dan Nato untuk campur tangan di Libya dan mengambil tindakan sendiri terhadap Gadafi dengan membelakangkan badan dunia PBB.
Peliknya tidak ada suara bangkangan dari pertubuhan negara-negara Islam seperti OIC dan juga pertubuhan serantau terhadap tindakan biadap Amerika dan NATO itu.

Mungkinkah pemimpin-pemimpin negara Islam yang lain sedang sibuk untuk menyelamatkan diri mereka. Mereka juga sedang bersiap sedia untuk menunggu giliran menghadapi kebangkitan rakyat mereka sendiri yang sedang atau bakal akan berlaku.

Mungkin mereka tengah risau dan sedang memikirkan untuk memindahkan harta mereka yang bertimbun yang telah mereka kumpulkan itu ke tempat yang selamat. Mereka sudah tidak peduli dengan nasib Gadafi, ha ha….

Thursday, March 10, 2011

Harta anak Taib Mahmud (Mubarak Sarawak) tak kurang dari RM600 juta


Disalin dari blog Jelapang.

Shahnaz adalah kakak kepada penyanyi terkenal Sheila Majid.

Shahnaz juga merupakan menantu Ketua Menteri Sarawak Taib Mahmud. Shahnaz adalah isteri pertama Mahmud Bekir, anak Taib Mahmud.

Hari ini Shahnaz membawa kes ke mahkamah untuk minta diceraikan dan antara alasannya dia dan suaminya tidak mengadakan hubungan suami isteri sejak 2001.

Apa yang dituntut Shahnaz?

1) RM100 juta tuntutan mutaah.

2) RM300 juta harta sepencarian.

Menurut Shahnaz, suaminya, yang sudah pun memperisterikan seorang wanita Russia, selain mempunyai perniagaan berbilion ringgit, juga mempunyai kereta Mercedes Benz, Lamboghini Murcielago, Ferrari Spider, Bentley New Continental GT, Maserati Quortoporte, Audi dan Alphard.
http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2011/3/9/mstar_mahkamah/20110309100948&sec=mstar_mahkamah

Cukup menyedihkan apabila dikenangkan nasib rakyat Sarawak jika dibandingkan kemewahan Taib dan anak beranak beliau.

Dan tergamak kita termasuk Najib Razak merayu rakyat untuk terus menyokong Taib Mahmud.

Saya malu bila membaca posting Rockybru yang begitu bangga dengan usaha kerajaan untuk menyediakan elektrik 24 jam kepada rakyat Sarawak padahal negara sudah Merdeka lebih 60 tahun.
http://rockybru.com.my/2011/03/one-malaysia-sarawak-schools.html

Seharusnya kita berkempen supaya rakyat terus menyokong BN tetapi menyingkirkan Taib Mahmud di dalam pilihanraya akan datang.

Tiada beza antara Taib Mahmud dan Hosni Mubarak dan pemimpin Tunisia.

Sunday, March 06, 2011

Menyembunyikan dan tidak mengaku kelemahan, satu penyakit yang amat bahaya

Kadang-kadang rasa lucu juga bila membaca surat khabar perdana Negara kita. Apabila ada satu kumpulan rakyat hendak mengadakan demontrasi jalanan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati kepada kerajaan, akan keluarlah berita di muka depan akhbar-akhbar tersebut amaran keras dari Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara, tindakan akan diambil kepada sesiapa saja yang mengambil bahagian dalam demontrasi yang tidak mendapat permit polis itu.

Rakyat diugut dan ditakut-takutkan dengan tindakan undang-undang oleh Menteri dan Ketua Polis, sehingga hanya sekumpulan yang kecil yang betul-betul berani menghadapi risiko sahaja yang akan keluar pada hari yang ditetapkan untuk berdemontrasi itu.

Dan pada keesokan hari selepas demontrasi diadakan, akan terpampanglah berita di bahagian depan akhbar-akhbar yang sama mengatakan demontrasi jalanan yang dirancang itu tidak mendapat sambutan dari rakyat jelata.

Begitulah cara akhbar-akhbar perdana memperbodohkan rakyat dengan berita bodoh mereka.

Demontrasi jalanan yang menunjukkan rasa tidak puas hati kepada pemimpin yang memerintah sudah tentu tidak akan pernah dapat permit dari polis. Kemudian mereka takutkan rakyat dengan tindakan undang-undang jika melakukan demontrasi tanpa permit. Sudah tentu ramai yang takut diambil tindakan oleh polis dan tidak akan keluar berdemontrasi. Selepas itu mereka juga yang mengatakan demontrasi yang telah diadakan tidak mendapat sambutan. Rasa kelakar bunyinya.

Sebenarnya setiap seratus orang yang betul-betul berani keluar berdemontrasi jalanan yang tidak mendapat permit polis itu, ada lagi 900 orang lagi yang berhajat hendak menyertai demontrasi itu tetapi tidak berani kerana ugutan dari Menteri dan pihak polis.

Dan tidak mustahil, dari setiap seribu orang yang berhajat hendak menyertai demontrasi jalanan ini, ada lagi 9000 lagi di belakang mereka yang menyokong tindakan mereka itu, tetapi tidak menunjukkan sokongan dengan menyertai demontrasi yang dirancang.

Keadaannya samalah seperti kita melihat bungkah ais yang terapung di laut. Kita hanya dapat melihat satu per sembilan dari saiznya, selebihnya berada di bawah permukaan air.

Umpama api dalam sekam. Apabila apinya telah kelihatan, keadaannya sudah menjadi terlambat hendak memadamkannya, kerana bahagian sebelah dalamnya telah pun habis terbakar.

Masih ingatkah lagi akan demontrasi jalanan Hindraf pada masa PM Tun Abdullah Ahmad Badawi dulu? Tun Abdullah terlalu terpesona dengan khabar-khabar indah yang disampaikan oleh Samy Velu yang dikatakan sebagai saluran yang betul untuk kaum India menyampaikan masalah mereka.

Kumpulan Hindraf dipandang remeh dan dianggap masalah kecil, malah suara mereka disenyapkan. Oleh kerana demontrasi jalanan Hindraf tidak diberi permit malah mereka diugut, kerajaan telah tidak dapat melihat dengan jelas berapa besar saiz ‘bungkah’ yang berada di bawah permukaan. Sehinggalah bila melihat kepada keputusan pilihanraya umum 2008, barulah Tun Abdullah tahu besarnya ‘bungkah’ yang tidak kelihatan itu.

Jangan hendaknya kita menjadi seperti Mesir dan Libya. Mereka sama juga seperti Negara kita, tidak pernah membenarkan dan mengharamkan demontrasi jalanan sebagai medium untuk menunjukkan rasa tidak puas hati rakyat kepada pemimpin.

Tetapi sebaik ‘api’ kemarahan rakyat telah mula kelihatan, keadaannya sudah menjadi terlambat untuk memadamkannya.

Dengan kuasa yang ada, memang mudah untuk pemimpin menyembunyikan kelemahan kepimpinan dan pentadbiran mereka dari diketahui rakyat, tetapi tindakan ini akhirnya akan memakan diri.

Wednesday, March 02, 2011

Amerika! Campurtangan anda tidak diperlukan di Libya

Dunia sedang memerhati dengan minat perkembangan di Libya. Bukan sahaja sebahagian besar rakyat Libya meminta pemimpin diktator Muammar Gadaffi berundur dari tampuk pemerintahan Libya, malah seluruh rakyat dunia pun mahu beliau berbuat demikian. Secara umumnya, tidak akan ada orang yang suka dengan pemerintahan pemimpin dictator.

Dalam keghairahan dunia ingin menghumbankan diktator Muammar Gadaffi, Amerika seperti tidak sabar-sabar. Belum pun sampai 15 hari rakyat Libya bertarung dengan Gadaffi dan kuncu-kuncunya, Amerika telah mula merancang untuk membantu menjatuhkan Gadaffi, termasuklah langkah sekatan, pembekuan harta dan menghantar armada perangnya ke Libya.

Sikap angkuh Amerika yang membelakangkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan pertubuhan serantau sangatlah menjijikan. Amerika selalu menganggap dirinya sebagai polis dunia selalu bertindak tanpa memperdulikan undang-undang antarabangsa.

Amerika selalu bertindak cepat terhadap negara-negara Islam, seperti yang kita lihat sebelum ini kepada Iraq dan Afghanistan. Tetapi sebaliknya tidak apa-apa tindakan yang diambil oleh Amerika terhadap negara Israel yang melakukan keganasan. Itulah sikap ‘double standard’ polis dunia ini.

Kita mahu demokrasi dilaksanakan di bumi Libya tetapi kita tidak mahu Amerika yang menentukan masa depan Libya.

Di manakah badan OIC? Suaranya hampir tidak kedengaran untuk menegur tindakan kurang ajar Amerika itu. Sepatutnya IOC lah badan yang patut berada di barisan depan bila berlaku campurtangan negara luar terhadap negara Islam.

Mungkinkah pemimpin-pemimpin negara Islam sekarang ini tengah sibuk hendak mengalihkan harta-harta mereka yang bertimbun ke luar negara, kerana mereka tengah menunggu masa dan giliran untuk dihumban oleh rakyat negara mereka sendiri?

Kebetulan sekarang ini rakyat di negara-negara Islam khususnya negara-negara Arab sedang bangkit dan giat hendak menggantikan pemimpin monarki, autokratik dan dictator yang selama ini merintah mereka.

Monday, February 28, 2011

Bila harta dan duit kerajaan dianggap sebagai harta sendiri

HIDUPKAN ISTILAH ‘WANG PEMBAYAR CUKAI’ DALAM MEDIA
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Istilah memainkan peranan penting dalam menyedarkan penggunanya dan pendengar. Seringkali media melaporkan bantuan atau belanja yang dikeluarkan oleh kerajaan digambarkan seakan itu adalah harta kerajaan atau orang politik yang terbabit. Maka bantuan yang disalurkan seakan dari sifat pemurah kerajaan seperti disebut ‘kerajaan bermurah hati membantu’.

Rakyat seakan bagaikan peminta sedekah. Begitu juga apabila ada penyelewengan ataupun pembaziran, maka rakyat yang tidak faham merasakan yang rugi hanyalah kerajaan atau duit orang politik, sedangkan mereka lupa wang tersebut adalah wang mereka. Maka di sini disebutkan beberapa perkara;



i. Samada kita sedar atau tidak, setiap rakyat negara ini membayar cukar kepada kerajaan. Ini merangkumi cukai pendapatan, cukai langsung dan tidak langsung. Harga barangan yang kita beli dalam negara ini sebenarnya kita bayar bersama harga cukai. Di Malaysia kita membeli kereta dengan harga yang tinggi disebabkan faktor cukai. Begitu juga segala barangan, makanan dan stesyen TV yang dibeli merangkumi harga cukai. Maka, setiap rakyat kena tahu bahawa mereka sebenarnya setiap hari membayar cukai kepada kerajaan. Justeru wang kerajaan adalah wang rakyat.

ii. Maka, wang yang dibelanja oleh mana-mana kerajaan; samada BN atau PR atau istana-istana dalam negara adalah wang rakyat yang membayar cukai secara langsung atau tidak langsung, sedar ataupun tidak sedar. Istilah ‘wang pembayar cukai’ atau taxpayers money, atau harta awam sepatutnya sentiasa dipakai dalam media dan ungkapan rakyat.

Justeru, apabila kerajaan membelanja untuk sesuatu projek atau menyalurkan harta kepada mana-mana pihak, hendaklah dilapor atau disebut “kerajaan menggunakan wang pembayar cukai atau harta rakyat untuk projek itu dan ini”. Jika berlaku pembaziran, hendaklah dilapor dan disebutkan “kerajaan telah membazirkan wang pembayar cukai, atau merosakkan harta awam, merugikan wang rakyat”.

iii. Ungkapan ini penting supaya orang-orang politik sedar bahawa bantuan dan peruntukan yang mereka salurkan kepada rakyat bukan wang poket mereka, atau harta peribadi mereka sehingga mereka boleh mendabik dada bangga. Sebaliknya, ia sememang harta rakyat. Begitulah rakyat, mereka tidak boleh tertipu dengan merasakan seolah-olah bantuan yang diumumkan oleh orang-orang politik itu dari ‘harta persendirian’ tokoh politik tersebut, sebaliknya ia memang harta rakyat yang diuruskan oleh orang-orang politik. Ini boleh mengelakkan perasaan rakyat yang merasakan mereka bagaikan peminta sedekah kepada kerajaan dan mengelakkan orang-orang politik lupa diri terhadap wang awam yang mereka belanja atau isytiharkan dalam kempen politik mereka.

iv. Sesebuah kerajaan BUKAN dipuji kerana mereka berbelanja dengan wang rakyat atau wang pembayar cukai itu, tetapi mereka dipuji kerana pengurusan yang cemerlang dan amanah dalam mengendalikan harta awam atau harta rakyat. Ertinya, jika kerajaan berjaya mengendalikan harta rakyat dengan cemerlang dan amanah, maka kerajaan itu dipuji dan disokong, begitu juga sebaliknya.

v. Istilah ‘taxpayers money’, atau ‘taxpayers fund’ atau ‘taxpayers dollar’ sering digunakan dalam media negara maju apabila memperkatakan tentang pembelanjaan ataupun pembaziran oleh pihak kerajaan. Istilah seperti ini sebenarnya boleh membantu mengelakkan kecuaian kerajaan dan dalam masa yang sama boleh menyedarkan rakyat tentang hakikat wang yang digunakan oleh pihak kerajaan. Istilah ini juga patut dihidupkan dalam negara kita.

Thursday, February 24, 2011

Pilihanraya kampus, janganlah serius sangat prof!

Terus terang saya katakan, walaupun saya sudah hampir 30 tahun bekerja dalam universiti tetapi tidak pernah ambil pot pun tentang politik pelajar dan pilihanraya kampus. Sekadar untuk memenuhi entri blog saya ini, saya rasa terpanggil juga hendak memberi sedikit ulasan dan komen berkaitan dengannya.

Sejak zaman saya belajar di universiti lagi (tahun 1978) hinggalah sekarang, saya dapat melihat sikap pegawai-pegawai yang mengendali pilihanraya di universiti atau kampus di Negara kita masih tidak banyak berubah.

Mereka kelihatan bersikap berpihak kepada pemimpin pelajar yang menyokong parti pemerintah. Mungkin pegawai-pegawai yang berada di jawatan tinggi di universiti ini sangat bergantung kepada sokongan mereka kepada parti pemerintah maka mereka rasa terhutang budi dan sebagai balasan mereka akan pastikan pemimpin pelajar yang menyokong parti pemerintah sahaja yang akan menang dalam pilihanraya kampus.

Kadang-kadang mereka terlalu berkepentingan dan sikap mereka dilihat lebih teruk lagi dari SPR yang mengendalikan pilihanraya Negara kita.

Relax lah prof! Janganlah ambil serius sangat. Nanti prof juga yang tak boleh tidur malam, tekanan darah naik dan dapat serangan jantung. Ini bukan pilihanraya yang akan menentukan siapa nak jadi Perdana Menteri Malaysia, ia hanyalah hendak memilih pemimpin pelajar di universiti atau kampus saja. Malah bukan hendak menentukan siapa yang hendak menjadi Naib Canselor pun.

Selama ini saya sendiri pun tidak pernah tahu dan tidak pernah ambil tahu, pemimpin pelajar yang menyokong parti politik mana yang menang. Apatah lagi orang-orang luar sana, terutamanya orang-orang kampung, kalau tak percaya tanyalah kepada pak cik dan mak cik felda sana, siapa nama pemimpin pelajar yang menang pilihanraya kampus baru-baru ini. Kalau mereka boleh jawab, memang patut kita risau.

Saya lebih suka kalau pilihanraya kampus ini dilihat dari sudut akademik. Pelajar-pelajar dipamirkan dengan amalan demokrasi yang sebenar.

Tidak banyak pelajar belajar tentang demokrasi jika kita bawa corak amalan demokrasi Negara ke dalam kampus. Nanti pelajar tidak akan dapat membezakan demokrasi yang Negara kita amalkan dengan demokrasi sebenar. Akhirnya bila mereka keluar universiti, mereka akan meneruskan amalan seperti yang sedia ada, kerana kepada mereka itulah amalan demokrasi sebenar.

Berbanding orang-orang seperti saya, yang pernah tinggal di Britain walaupun untuk masa setahun, dapat merasa dan mengalami amalan demokrasi yang sangat jauh berbeza dari yang kita amalkan di Malaysia. Walaupun demokrasi yang Negara kita amalkan terlalu banyak ‘tempangnya’ tetapi masih juga kita mahu katakan ia sebagai demokrasi.

Amalan demokrasi yang kita amalkan sekarang ini sudah terlalu jauh menyimpang dari lunas-lunas dan rukun-rukunnya, dan telah menjadi sebati kepada ahli-ahli politik Negara kita, sangat sukar untuk diubah.

Sesuai sebagai pusat akademik, tempat berlakunya proses belajar dan pembelajaran, mungkin di kampus atau di universiti adalah tempat yang sangat sesuai kalau kita pamirkan amalan demokrasi yang sebenar kepada pelajar. Oleh itu bila mereka keluar dari universiti nanti, kalau pun mereka ingin melibatkan diri dengan politik, mereka telah dilengkapkan untuk menjadi ahli politik yang penuh rasa tanggungjawab, bukan sekadar menjadi ‘beruk-beruk’ politik.

Dengan itu saya menggesa supaya dihidupkan amalan demokrasi yang sebenar di kampus. Beri pelajar kebebasan bersuara dan kebebasan memberi pendapat. Beri ruang yang secukupnya untuk mereka berhujah dan meyerlahkan bakat kepimpinan mereka. Hapuskan permit-permit dan peraturan yang berat sebelah. Pihak pengurus universiti dan pihak pengendali pilihanraya kampus mestilah sentiasa mempamirkan sikap telus, adil dan bebas.

Mungkin terlalu besar risikonya kalau kita mengambil pendekatan revolusi seperti yang berlaku di Mesir, Libya dan Bahrain untuk mengubah senerio politik Negara kita. Saya rasa, langkah yang lebih baik dan selamat, kita harus memulakan perubahan itu secara evolusi dari sekarang, dan tempat yang paling sesuai untuk kita memulakannya ialah di universiti atau kampus.

Tuesday, February 22, 2011

Dunia sedang menuai pendemokrasian internet


Apakah perancangan ini disengajakan atau tidak, hari ini dunia sedang menuai benih yang mereka semai beberapa belas tahun dulu.

Kehadiran internet dan alat komunikasai yang canggih secara meluas sedekad yang lalu membuatkan dunia telah hilang sempadannya.

Raja, pemimpin diktator dan autokratik tidak mampu lagi menguasai rakyat mereka. Keputusan dan kuasa telah beralih kepada rakyat, pemimpin dan kerajaan pula telah mula bertukar menjadi pemudah cara yang mesra rakyat.

Sudah tentu sebelum sistem dan protokol internet hendak diperkenalkan ke peringkat global, ada agenda yang tersembunyi di belakangnya.

Oleh kerana ia bermula dari Barat, sudah tentu internet mesti dicipta agar mendokong atau selari dengan demokrasi dan kebebasan. Syarat-syarat pelaksanaan internet yang mereka kenakan itu mungkin asalnya bertujuan untuk mereka menembus masuk negara-negara yang bertabir besi.

Tetapi kesan dari perancangan mereka itu tidak selalunya sama seperti yang mereka harapkan. Salah satu kesan yang kita tidak duga ialah bangkitnya kesedaran rakyat negara Arab untuk menentang pemimpin-pemimpin dan raja-raja mereka yang selama ini telah mengeksploitasi rakyat untuk kepentingan diri dan keluarga mereka dan menjadi kuda tunggangan Amerika dan Israel.

Hari ini dunia sedang menuai pendemokrasian internet yang telah mereka semai beberapa belas tahun dulu.

Thursday, February 17, 2011

Raja-raja Negara Arab, demi kebaikan Islam, undurlah dari takhta


Nabi Muhammad bukanlah raja, beliau adalah rasul Tuhan dan pemimpin umat Islam di tanah Arab sebelum baginda wafat. Baginda tidak mewasiatkan supaya kepimpinan umat dan Negara Islam diambil alih oleh anak-anak baginda atau kerabat baginda setelah baginda wafat.

Nabi Muhammad meletakkan atas kebolehan dan kemampuan seseorang sebagai asas untuk menjadi pemimpin. Jauh sekali baginda meletakkan darah dan keturunan dari menjadi syarat atau asas untuk menjadi pemimpin.

Malangnya soal memilih kepimpinan dalam Islam telah banyak diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu dalam Islam, sehingga timbulnya pemerintahan dinasti dan raja dalam Negara-negara Islam, yang sangat bertentangan dengan semangat Islam itu sendiri.

Islam menekankan pemimpin yang terbaik sepanjang masa, samada dari segi akhlak dan kebolehan, mana mungkin pemimpin yang terbaik dapat dikeluarkan melalui sistem pemerintahan dinasti dan raja.

Yang menyedihkan kita, kebanyakan Negara-negara Arab di masa ini mempunyai raja, samada raja monarki mahupun raja berpelembagaan. Antaranya Raja Arab Saudi, Raja Emiriyah Arab Bersatu, Raja Kuwait, Raja Oman, Raja Bahrain, Raja Jordan dan Raja Morocco.

Malah Negara Arab yang lain seperti Mesir, Iraq dan Libya juga mempunyai raja juga sebelum raja-raja tersebut digulingkan.

Kepada setengah orang, termasuk juga umat Islam sendiri, mereka percaya pemerintahan negara Islam mesti mempunyai raja. Ini adalah pendapat dan fahaman yang amat tidak tepat terhadap Islam.

Raja-raja Negara Arab ini dan termasuk juga pemimpin-pemimpin Negara Arab yang memerintah secara dictator dan autokratik menggunakan mufti-mufti yang sentiasa mengampu mereka dan mengeluarkan fatwa yang membela dan mengukuhkan kedudukan raja-raja dan pemimpin tersebut.

Sebagai contoh, mufti Mesir‘Ali Jum’ah –yang muncul dalam TV Mesir- yang meminta rakyat Mesir menghentikan tunjuk perasaan menentang Presiden Mesir Hosni Mubarak. Beliau mengeluarkan pandangan agama tentang larangan keluar membantah Mubarak. Bahkan mengalu-alukan langkah Mubarak yang kononnya ingin membuat pembaharuan dalam masa tujuh bulan.

Padahal kita semua tahu, para penunjuk perasaan oleh rakyat itulah yang patut disokong, dan akhirnya mereka dapat membebaskan Mesir dari cengkaman Mubarak. Begitu jugalah peranan mufti-mufti di Negara-negara Arab yang lain itu, mempertahankan kedudukan pemimpin-pemimpin dan raja-raja Arab dengan fatwa ‘agama’ mereka.

Oleh itu kita menyeru kepada raja-raja dan pemimpin-pemimpin autokratik Negara Arab yang masih ada lagi itu supaya berundur dari takhta mereka demi kebaikan agama Islam. Kita tidak mahu Islam dilihat dan difahami secara tidak tepat.

Negara Arab adalah lambang Negara Islam, oleh itu mereka harus menjadi Negara contoh kepada Negara-negara Islam yang lain. Kembalilah kepada cara Islam yang sebenar.

Sepatutnya Negara-negara Arablah yang pertama mengamalkan dan mempelopori sistem demokrasi kerana demokrasi selari dengan semangat Islam yang mengutamakan keselamatan, keamanan, kebebasan dan keadilan.

Tuesday, February 15, 2011

Sekarang masa yang sesuai untuk Taib Mahmud 'Mubarak Sarawak' berundur


Jangan bila nasi dah jadi bubur baru nak berundur. Kalau dah jadi bubur, tak berguna lagi.

Seperti yang telah berlaku kepada Hosni Mubarak Mesir, bila kemarahan rakyat tidak dapat dibendung lagi, barulah hendak tawarkan macam-macam perubahan kepada rakyat Mesir, tetapi semua tawaran itu sudah terlambat dan tidak berguna lagi.

Di bawah ini adalah nasihat Mubarak Malaysia kepada Mubarak Sarawak yang dipetik dari Malaysiakini.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ketua menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud perlu menamakan penggantinya sebelum berundur daripada mengetuai pentadbiran negeri itu.

Katanya, Abdul Taib perlu bertindak demikian bagi mengelakkan Sarawak mengalami nasib yang sama seperti yang berlaku di Mesir.

Mahathir menjelaskan, presiden Mesir Hosni Mubarak telah meletakkan jawatan namun tidak ada pengganti bagi mengambil alih pentadbiran negara itu.

Mubarak akhirnya berundurdaripada jawatan presiden Mesir pada Jumaat (awal pagi Sabtu waktu Malaysia) ekoran demonstrasi berterusan selama 18 hari oleh jutaan rakyat negara itu.

Mahathir yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu bagaimanapun berkata, proses peralihan kuasa Taib perlu dijalankan dengan tertib.

Monday, February 14, 2011

Pulau Pinang jauh ketinggalan


Semasa Tanah Melayu di bawah penjajahan British dulu, Pulau Pinang, Melaka dan Singapore dikenali sebagai Negeri-negeri Selat.

Pada masa itu tahap kemajuan Pulau Pinang dan Singapore boleh dikatakan setanding atau sama. Kedua-duanya merupakan pelabuhan utama tanah jajahan British dirantau ini.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui, Pulau Pinang adalah bandar pertama di negara kita yang mendapat taraf Bandaraya. Malah jauh lebih lama sebelum Kuala Lumpur mendapat taraf Bandaraya.

Malangnya di bawah pemerintahan kerajaan BN, Pulau Pinang terus ketinggalan dari Kuala Lumpur, apa lagilah kalau hendak dibandingkan dengan Singapore.

Kalau anda dapat peluang berjalan-jalan di Singapore, usahlah anda bayangkan ia masih sama seperti pemandangan Singapore dalam filem-filem P. Ramlee itu, pasti anda silap.

Jangan anda terkejut, sebaik anda melangkah keluar dari Johor Bahru menuju Singapore, anda akan rasa seperti memasuki Bandar-bandar moden yang berada di Amerika atau Eropah.

Anda tidak akan jumpa warong-warong yang berselerak yang tidak menyenangi pandangan mata seperti yang biasa kita lihat di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Langkah kerajaan Pulau Pinang meruntuhkan warong-warong yang didirikan tanpa permit itu memang wajar sekali demi untuk menaikkan imej Bandar Pulau Pinang. Sebagai Bandar yang menjadi tumpuan pelancung, memang patut Pulau Pinang mempunyai imej bersih dan indah.

Kalau Singapore yang terletak dirantau ini boleh menjadi Bandar yang bersih, indah dan maju, kenapa Pulau Pinang tidak boleh?

Sampai bilakah TV3 mahu Pulau Pinang dikenali sebagai Bandar paling kotor?

Gambar di atas bukan di Amerika atau di Finland tetapi adalah di Singapore.

Saturday, February 12, 2011

Seorang lagi Mahafiraun tersungkur


Akhirnya seorang lagi diktator yang kononnya dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya tersungkur.

Hidup demokrasi!!!

Thursday, February 10, 2011

Demokrasi bukan hak milik Amerika

Samada pemimpin-pemimpin Arab ingin melaksanakan demokrasi di negara mereka atau tidak, bukanlah menjadi dasar yang penting bagi Amerika. Yang lebih penting bagi Amerika ialah semua pemimpin-pemimpin negara Arab ini berada di bawah penguasaan Amerika dan sentiasa boleh menjadi kuda tunggangan Amerika.

Arab adalah ancaman utama kepada negara sekutu Amerika iaitu Israel di rantau itu. Oleh itu Amerika akan sentiasa memastikan negara-negara Arab yang mengelilingi negara Israel itu tidak ada kemampuan untuk mendatangkan ancaman.

Alasan yang digunakan oleh Amerika semasa menyerang Iraq untuk menjatuhkan Sadam Husein satu ketika dulu termasuklah untuk menghidupkan demokrasi di Iraq. Tetapi agenda yang tersembunyi disebalik itu dan tidak pernah disebut ialah Sadam Husein telah menjadi ancaman kepada Israel.

Kalau benar Amerika betul-betul ambil berat untuk menghidupkan demokrasi, kenapa Amerika tidak pernah risau dengan tahap demokrasi di Arab Saudi, Qatar, Oman dan negara-negara Arab yang lain itu?

Negara Amerika dan Britain memang terkenal sebagai pengasas dan peneraju sistem politik bercorak demokrasi di dunia ini. Tetapi sekarang, politik, ekonomi dan dasar luar negara Amerika telah dikuasai dan dikawal oleh golongan Yahudi.

Oleh itu tidak hairanlah kalau berdepan dengan negara-negara Arab, faktor Israel menjadi lebih penting dari demokrasi.

Perubahan rakyat negara-negara Arab untuk mengambil demokrasi sebagai sistem politik mereka dilihat sebagai satu perkembangan yang amat baik.

Mereka tidak dipaksa untuk memilih demokrasi tetapi memilih atas kesedaran dan kerelaan mereka sendiri.

Demokrasi tidak ada kena mengena dengan agama, ia adalah satu alat atau mekanisma yang terbaik buat masa ini untuk memilih pemimpin dan untuk memastikan pemimpin terbaik akan menjadi pemimpin tanpa melalui pertumpahan darah dan keganasan.

Manusia yang mempunyai peradaban tinggi tidak akan menolak demokrasi, sebaliknya akan mengalu-ngalukannya. Demokrasi adalah cara yang bermaruah, adil, bebas, telus dan mementingkan integriti dalam memilih pucuk pimpinan.

Demokrasi bukanlah suatu fahaman, ia hanyalah cara atau mekanisma terbaik untuk memilih pemimpin dan dapat menjamin pemimpin terbaik akan menjadi pemimpin. Demokrasi tidak dapat menentukan maju mundur sesebuah negara, tetapi pemimpin yang terbaik akan dapat membawa sesebuah negara itu kepada gilang gemilang melalui dasar-dasar dan pendekatan yang dilaksanakannya.

Demokrasi tidak akan berkesan kalau pemimpin-pemimpin yang berkuasa hanya menjadikannya sebagai topeng bagi mengekalkan kuasa mereka.

Ramai pemimpin-pemimpin mendakwa mereka mengamalkan demokrasi, tetapi tindak tanduknya tidak langsung mencerminkan amalan dan rukun demokrasi itu sendiri. Mereka menyekat kebebasan media dan mengawalnya, menyekat kebebasan bersuara dan memberi pendapat, dan menyekat rakyat berhimpun dengan mengenakan permit yang dalam kawalan mereka.

Mereka berselindung di sebalik peti undi yang keputusannya akan berpihak kepada mereka, pilihanraya yang diadakan berjalan secara tidak adil, berat sebelah dan penuh dengan penipuan.

Demontrasi besar-besaran oleh rakyat Indonesia dan Mesir bagi menghalau Presiden Suharto dan Hosni Mubarak dari tampuk kuasa, berlaku selang tidak berapa lama kedua-dua pemimpin itu dipilih semula dengan kejayaan besar di mana lebih 80% dari peti undi memihak kepada mereka. Ini menunjukkan keputusan peti undi tersebut langsung tidak mencerminkan kehendak rakyatnya yang sebenar.

Mengikut logiknya, kalau sudah lebih 80% rakyat Indonesia dan Mesir telah memilih dan menyukai Suharto dan Mubarak menjadi presiden mereka, mana mungkin selang tidak berapa lama selepas itu rakyat yang sama pula yang menghalau mereka.

Persepsi demokrasi sangat luas, orang ramai mempunyai persepsi mereka sendiri terhadap demokrasi. Tidak ada siapa dapat menunjukkan yang mana satu demokrasi yang sebenar. Masing-masing negara mendakwa demokrasi cara amalan merekalah yang paling betul.

Tun Mahathir semasa era pemerintahannya pernah menyatakan, demokrasi Malaysia mestilah mengikut acuan kita sendiri. Tetapi malangnya ‘acuan kita’ itu hanya mengikut acuan beliau sendiri.

Dalam masayarakat Melayu pun pernah ada sistem politik yang berteraskan demokrasi, tetapi sekarang ini ia dikenali sebagai adat perpatih.

Lain negara, lain budaya dan lain nilai-nilainya, oleh itu tidak salah kalau demokrasi itu disesuaikan mengikut peredaran masa, budaya dan nilai setempat. Tetapi apa yang lebih penting demokrasi itu mesti mengikut acuan rakyat setempat bukan acuan pemimpin yang berkuasa.

Apa pun demokrasi itu mesti dilaksanakan secara telus, adil dan bebas. Melalui sistem demokrasi yang baik dan berkesan, seorang yang mempunyai bakat kepimpinan yang terbaik, sekalipun beliau berada jauh di ceruk kampung, pasti beliau akan terpilih.

Kita tidak mahu demokrasi seperti yang ada di Amerika, yang mana pemimpinnya ditentukan oleh pengawal media mereka walaupun yang mengundi adalah rakyatnya.

Kita tidak mahu demokrasi dimanupulasi oleh pihak-pihak yang berkepentingan sehingga ia tidak dapat berfungsi seperti yang sepatutnya.

Kalau melalui proses demokrasi, akhirnya pemimpin yang jahat atau yang ‘buruk’ terpilih menjadi pemimpin, ini menunjukkan ada yang tak kena dengan perjalanan demokrasi itu.

Umpama program realiti TV Akademi Fantasia, ia dibentuk begitu rupa supaya orang yang paling berbakat akan menjadi pemenangnya, tidak kira sekalipun kalau dia berada di tanah rancangan felda Taib Andak sekalipun, tetapi kalau dia benar-benar berbakat besar, pasti akan menjadi juara juga.

Tetapi kalau dia tidak terpilih menjadi juara sebaliknya orang kurang bagus yang terpilih, maknanya ada suatu yang tidak kena dengan sistem Akademi Fantasia itu sehingga ia tidak dapat berfungsi dengan betul. Oleh itu ia perlulah diubah atau dibaiki.

Begitu jugalah dengan demokrasi, kita tidak mahu seseorang pemimpin itu terpilih hanya kerana beliau adalah anak kepada pemimpin terdahulu, walaupun beliau tidak mempunyai bakat dan kemampuan untuk memimpin. Atau terpilih kerana dilobi kuat oleh pihak-pihak yang ada kepentingan.

Kita juga tidak perlu menceduk bulat-bulat demokrasi dari negara lain, termasuklah dari Amerika sendiri. Kenapa umur layak mengundi mesti 21 tahun kenapa tidak 30 tahun yang lebih matang dalam soal kepimpinan, atau kenapa tidak seawal umur baligh?

Kenapa kita harus mengundi pemimpin yang kita tidak tahu peribadinya seperti amalan sekarang ini, mungkin lebih baik kalau setiap rakyat dibenarkan untuk memilih pemimpin peringkat kampung atau peringkat taman perumahan mereka saja, kerana itulah orang-orang yang betul-betul mereka kenal. Manakala peringkat DUN pula, kuasa mengundi patut diberikan kepada pemimpin-pemimpin peringkat kampung tadi.

Demokrasi itu boleh jadi macam-macam bentuknya, yang penting ia dapat mencapai matlamatnya untuk memberi peluang kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang terbaik untuk memimpin mereka, tanpa menimbulkan kekacauan dan pertumpahan darah.

Seperti dalam pertandingan bola sepak, kalau undang-undang perlawanan tidak berat sebelah dan pengadil pula bersikap adil dan tidak berpihak, sudah tentu pasukan yang terbaik mepunyai peluang besar untuk menang.

Monday, February 07, 2011

Tuan jadi susah bila hamba ambil cuti raya sampai 5 hari


Pagi tadi saya pergi kedai hendak beli barang mentah untuk masak tengahari, nak beli kelapa, tetapi kelapa dah habis. Sayur tinggal dua tiga helai saja, ikan hanya tinggal stok lama, tidak segar, itu pun tinggal beberapa ekor saja.

Baru lima hari hamba ambil cuti raya Tahun Baru, tuan sudah jadi susah. Agaknya, kalau sebulan hamba bercuti, tuan boleh jadi kebulur.

Cakap sana sini berdegar-degar hendak mempertahankan ketuanan untuk terus menjadi tuan, tetapi baru 5 hari hamba cuti raya, tuan dah mengelabah, hanya mampu makan ikan sardin dan ikan bilis saja.

Di satu kedai lain pula saya nampak tuan-tuan bebaris sedang menunggu giliran untuk membaiki motorsikal mereka yang rosak, kebetulan hanya satu kedai motorsikal hamba sahaja yang buka hari ini.

Semalam saya lihat dalam berita TV, seorang tuan mengumumkan peruntukan 20 juta ringgit untuk menaik taraf Masjid Kampong Bharu. Kampong Bharu adalah lombong emas yang menjadi idaman ramai tuan selama ini. Bila satu projek dibangunkan, kedai manakah mereka akan beli simen, besi, batu-bata dan lain-lain bahan untuk projek tersebut?

Kita hanya melopong dan bertepuk tangan bila dengar pengumuman 20 juta ringgit, esok lusa akan ada lagi pengumuman projek yang bernilai 100 juta ringgit, 6 billion ringgit. Kita terus tepuk tangan dan bersorak.

Apalah megahnya menjadi tuan kalau baru 5 hari hamba ambil cuti, kita dah mengelabah tak makan.

Betul kata orang tua-tua kita, ayam mati kelaparan di kepuk, itik mati kehausan di air, semuanya gara-gara kemaruk nak jadi tuan.

Thursday, February 03, 2011

Bila demokrasi disempitkan, demontrasi jalanan akan mengisi ruang


Kebebasan berhujah, kebebasan berdebat, kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan memberi pendapat, kebebasan berhimpun adalah merupakan pakaian kepada demokrasi.

Manakala kekerasan, pertumpahan darah, keganasan, pemberontakan, peperangan, rampasan kuasa adalah nilai-nilai yang amat bertentangan dengan amalan demokrasi.

Jika rakyat tidak dibukakan ruang untuk mereka mengamalkan demokrasi, maka yang akan mengisi ruang ialah keganasan dan kekerasan.

Tidak ada empangan yang mampu menahan air dari mengalir ke laut, lambat laun empangan akan pecah juga.

Kita mungkin boleh mengenakan permit untuk menghalang rakyat dari berhimpun atau berdemontrasi, tetapi kalau sudah sampai sejuta rakyat turun untuk berdemontrasi, ada permit atau tidak ada permit, tidak mempunyai apa-apa guna lagi.

Oleh itu bukalah ruang demokrasi seluas-luasnya supaya keganasan tidak dapat mengambil tempat.

Apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir di masa sekarang ini adalah akibat pemimpin-pemimpinnya yang telah menyempitkan ruang demokrasi, maka tidak hairanlah kalau keganasan, pemberontakan, kekerasan akan digunakan untuk mengembalikan demokrasi itu, kerana itu saja jalan yang ada.

Kawalan kepada media, penggunaan jentera kerajaan, penguasaan kepada badan penguatkuasa seperti polis, badan pencegah rasuah dan penguasaan keatas badan perundangan dan kehakiman mebolehkan pemimpin-pemimpin membelakangkan demokrasi bagi pengekalan kuasa politik mereka. Tetapi lambat laun rakyat akan sedar juga yang mereka telah diperbodohkan.

Peti undi bukanlah demokrasi, peti undi hanyalah salah satu komponen dari demokrasi itu. Demokrasi tidak mempunyai apa-apa makna atau tidak sempurna kalau tidak didokong oleh kebebasan setiap rakyat untuk memberi pendapat, kebebasan media, kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun.

Demokrasi dapat menjamin pemimpin yang terbaik akan terpilih menjadi pemimpin tanpa melalui pertumpahan darah dan kekerasan.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com