Samada pemimpin-pemimpin Arab ingin melaksanakan demokrasi di negara mereka atau tidak, bukanlah menjadi dasar yang penting bagi Amerika. Yang lebih penting bagi Amerika ialah semua pemimpin-pemimpin negara Arab ini berada di bawah penguasaan Amerika dan sentiasa boleh menjadi kuda tunggangan Amerika.
Arab adalah ancaman utama kepada negara sekutu Amerika iaitu Israel di rantau itu. Oleh itu Amerika akan sentiasa memastikan negara-negara Arab yang mengelilingi negara Israel itu tidak ada kemampuan untuk mendatangkan ancaman.
Alasan yang digunakan oleh Amerika semasa menyerang Iraq untuk menjatuhkan Sadam Husein satu ketika dulu termasuklah untuk menghidupkan demokrasi di Iraq. Tetapi agenda yang tersembunyi disebalik itu dan tidak pernah disebut ialah Sadam Husein telah menjadi ancaman kepada Israel.
Kalau benar Amerika betul-betul ambil berat untuk menghidupkan demokrasi, kenapa Amerika tidak pernah risau dengan tahap demokrasi di Arab Saudi, Qatar, Oman dan negara-negara Arab yang lain itu?
Negara Amerika dan Britain memang terkenal sebagai pengasas dan peneraju sistem politik bercorak demokrasi di dunia ini. Tetapi sekarang, politik, ekonomi dan dasar luar negara Amerika telah dikuasai dan dikawal oleh golongan Yahudi.
Oleh itu tidak hairanlah kalau berdepan dengan negara-negara Arab, faktor Israel menjadi lebih penting dari demokrasi.
Perubahan rakyat negara-negara Arab untuk mengambil demokrasi sebagai sistem politik mereka dilihat sebagai satu perkembangan yang amat baik.
Mereka tidak dipaksa untuk memilih demokrasi tetapi memilih atas kesedaran dan kerelaan mereka sendiri.
Demokrasi tidak ada kena mengena dengan agama, ia adalah satu alat atau mekanisma yang terbaik buat masa ini untuk memilih pemimpin dan untuk memastikan pemimpin terbaik akan menjadi pemimpin tanpa melalui pertumpahan darah dan keganasan.
Manusia yang mempunyai peradaban tinggi tidak akan menolak demokrasi, sebaliknya akan mengalu-ngalukannya. Demokrasi adalah cara yang bermaruah, adil, bebas, telus dan mementingkan integriti dalam memilih pucuk pimpinan.
Demokrasi bukanlah suatu fahaman, ia hanyalah cara atau mekanisma terbaik untuk memilih pemimpin dan dapat menjamin pemimpin terbaik akan menjadi pemimpin. Demokrasi tidak dapat menentukan maju mundur sesebuah negara, tetapi pemimpin yang terbaik akan dapat membawa sesebuah negara itu kepada gilang gemilang melalui dasar-dasar dan pendekatan yang dilaksanakannya.
Demokrasi tidak akan berkesan kalau pemimpin-pemimpin yang berkuasa hanya menjadikannya sebagai topeng bagi mengekalkan kuasa mereka.
Ramai pemimpin-pemimpin mendakwa mereka mengamalkan demokrasi, tetapi tindak tanduknya tidak langsung mencerminkan amalan dan rukun demokrasi itu sendiri. Mereka menyekat kebebasan media dan mengawalnya, menyekat kebebasan bersuara dan memberi pendapat, dan menyekat rakyat berhimpun dengan mengenakan permit yang dalam kawalan mereka.
Mereka berselindung di sebalik peti undi yang keputusannya akan berpihak kepada mereka, pilihanraya yang diadakan berjalan secara tidak adil, berat sebelah dan penuh dengan penipuan.
Demontrasi besar-besaran oleh rakyat Indonesia dan Mesir bagi menghalau Presiden Suharto dan Hosni Mubarak dari tampuk kuasa, berlaku selang tidak berapa lama kedua-dua pemimpin itu dipilih semula dengan kejayaan besar di mana lebih 80% dari peti undi memihak kepada mereka. Ini menunjukkan keputusan peti undi tersebut langsung tidak mencerminkan kehendak rakyatnya yang sebenar.
Mengikut logiknya, kalau sudah lebih 80% rakyat Indonesia dan Mesir telah memilih dan menyukai Suharto dan Mubarak menjadi presiden mereka, mana mungkin selang tidak berapa lama selepas itu rakyat yang sama pula yang menghalau mereka.
Persepsi demokrasi sangat luas, orang ramai mempunyai persepsi mereka sendiri terhadap demokrasi. Tidak ada siapa dapat menunjukkan yang mana satu demokrasi yang sebenar. Masing-masing negara mendakwa demokrasi cara amalan merekalah yang paling betul.
Tun Mahathir semasa era pemerintahannya pernah menyatakan, demokrasi Malaysia mestilah mengikut acuan kita sendiri. Tetapi malangnya ‘acuan kita’ itu hanya mengikut acuan beliau sendiri.
Dalam masayarakat Melayu pun pernah ada sistem politik yang berteraskan demokrasi, tetapi sekarang ini ia dikenali sebagai adat perpatih.
Lain negara, lain budaya dan lain nilai-nilainya, oleh itu tidak salah kalau demokrasi itu disesuaikan mengikut peredaran masa, budaya dan nilai setempat. Tetapi apa yang lebih penting demokrasi itu mesti mengikut acuan rakyat setempat bukan acuan pemimpin yang berkuasa.
Apa pun demokrasi itu mesti dilaksanakan secara telus, adil dan bebas. Melalui sistem demokrasi yang baik dan berkesan, seorang yang mempunyai bakat kepimpinan yang terbaik, sekalipun beliau berada jauh di ceruk kampung, pasti beliau akan terpilih.
Kita tidak mahu demokrasi seperti yang ada di Amerika, yang mana pemimpinnya ditentukan oleh pengawal media mereka walaupun yang mengundi adalah rakyatnya.
Kita tidak mahu demokrasi dimanupulasi oleh pihak-pihak yang berkepentingan sehingga ia tidak dapat berfungsi seperti yang sepatutnya.
Kalau melalui proses demokrasi, akhirnya pemimpin yang jahat atau yang ‘buruk’ terpilih menjadi pemimpin, ini menunjukkan ada yang tak kena dengan perjalanan demokrasi itu.
Umpama program realiti TV Akademi Fantasia, ia dibentuk begitu rupa supaya orang yang paling berbakat akan menjadi pemenangnya, tidak kira sekalipun kalau dia berada di tanah rancangan felda Taib Andak sekalipun, tetapi kalau dia benar-benar berbakat besar, pasti akan menjadi juara juga.
Tetapi kalau dia tidak terpilih menjadi juara sebaliknya orang kurang bagus yang terpilih, maknanya ada suatu yang tidak kena dengan sistem Akademi Fantasia itu sehingga ia tidak dapat berfungsi dengan betul. Oleh itu ia perlulah diubah atau dibaiki.
Begitu jugalah dengan demokrasi, kita tidak mahu seseorang pemimpin itu terpilih hanya kerana beliau adalah anak kepada pemimpin terdahulu, walaupun beliau tidak mempunyai bakat dan kemampuan untuk memimpin. Atau terpilih kerana dilobi kuat oleh pihak-pihak yang ada kepentingan.
Kita juga tidak perlu menceduk bulat-bulat demokrasi dari negara lain, termasuklah dari Amerika sendiri. Kenapa umur layak mengundi mesti 21 tahun kenapa tidak 30 tahun yang lebih matang dalam soal kepimpinan, atau kenapa tidak seawal umur baligh?
Kenapa kita harus mengundi pemimpin yang kita tidak tahu peribadinya seperti amalan sekarang ini, mungkin lebih baik kalau setiap rakyat dibenarkan untuk memilih pemimpin peringkat kampung atau peringkat taman perumahan mereka saja, kerana itulah orang-orang yang betul-betul mereka kenal. Manakala peringkat DUN pula, kuasa mengundi patut diberikan kepada pemimpin-pemimpin peringkat kampung tadi.
Demokrasi itu boleh jadi macam-macam bentuknya, yang penting ia dapat mencapai matlamatnya untuk memberi peluang kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang terbaik untuk memimpin mereka, tanpa menimbulkan kekacauan dan pertumpahan darah.
Seperti dalam pertandingan bola sepak, kalau undang-undang perlawanan tidak berat sebelah dan pengadil pula bersikap adil dan tidak berpihak, sudah tentu pasukan yang terbaik mepunyai peluang besar untuk menang.
Thursday, February 10, 2011
Demokrasi bukan hak milik Amerika
Labels:
Amerika,
Demokrasi,
Pakatan Rakyat,
Parti politik,
politik,
UMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
my playlist
Create a playlist at MixPod.com
No comments:
Post a Comment