Nabi Muhammad bukanlah raja, beliau adalah rasul Tuhan dan pemimpin umat Islam di tanah Arab sebelum baginda wafat. Baginda tidak mewasiatkan supaya kepimpinan umat dan Negara Islam diambil alih oleh anak-anak baginda atau kerabat baginda setelah baginda wafat.
Nabi Muhammad meletakkan atas kebolehan dan kemampuan seseorang sebagai asas untuk menjadi pemimpin. Jauh sekali baginda meletakkan darah dan keturunan dari menjadi syarat atau asas untuk menjadi pemimpin.
Malangnya soal memilih kepimpinan dalam Islam telah banyak diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu dalam Islam, sehingga timbulnya pemerintahan dinasti dan raja dalam Negara-negara Islam, yang sangat bertentangan dengan semangat Islam itu sendiri.
Islam menekankan pemimpin yang terbaik sepanjang masa, samada dari segi akhlak dan kebolehan, mana mungkin pemimpin yang terbaik dapat dikeluarkan melalui sistem pemerintahan dinasti dan raja.
Yang menyedihkan kita, kebanyakan Negara-negara Arab di masa ini mempunyai raja, samada raja monarki mahupun raja berpelembagaan. Antaranya Raja Arab Saudi, Raja Emiriyah Arab Bersatu, Raja Kuwait, Raja Oman, Raja Bahrain, Raja Jordan dan Raja Morocco.
Malah Negara Arab yang lain seperti Mesir, Iraq dan Libya juga mempunyai raja juga sebelum raja-raja tersebut digulingkan.
Kepada setengah orang, termasuk juga umat Islam sendiri, mereka percaya pemerintahan negara Islam mesti mempunyai raja. Ini adalah pendapat dan fahaman yang amat tidak tepat terhadap Islam.
Raja-raja Negara Arab ini dan termasuk juga pemimpin-pemimpin Negara Arab yang memerintah secara dictator dan autokratik menggunakan mufti-mufti yang sentiasa mengampu mereka dan mengeluarkan fatwa yang membela dan mengukuhkan kedudukan raja-raja dan pemimpin tersebut.
Sebagai contoh, mufti Mesir‘Ali Jum’ah –yang muncul dalam TV Mesir- yang meminta rakyat Mesir menghentikan tunjuk perasaan menentang Presiden Mesir Hosni Mubarak. Beliau mengeluarkan pandangan agama tentang larangan keluar membantah Mubarak. Bahkan mengalu-alukan langkah Mubarak yang kononnya ingin membuat pembaharuan dalam masa tujuh bulan.
Padahal kita semua tahu, para penunjuk perasaan oleh rakyat itulah yang patut disokong, dan akhirnya mereka dapat membebaskan Mesir dari cengkaman Mubarak. Begitu jugalah peranan mufti-mufti di Negara-negara Arab yang lain itu, mempertahankan kedudukan pemimpin-pemimpin dan raja-raja Arab dengan fatwa ‘agama’ mereka.
Oleh itu kita menyeru kepada raja-raja dan pemimpin-pemimpin autokratik Negara Arab yang masih ada lagi itu supaya berundur dari takhta mereka demi kebaikan agama Islam. Kita tidak mahu Islam dilihat dan difahami secara tidak tepat.
Negara Arab adalah lambang Negara Islam, oleh itu mereka harus menjadi Negara contoh kepada Negara-negara Islam yang lain. Kembalilah kepada cara Islam yang sebenar.
Sepatutnya Negara-negara Arablah yang pertama mengamalkan dan mempelopori sistem demokrasi kerana demokrasi selari dengan semangat Islam yang mengutamakan keselamatan, keamanan, kebebasan dan keadilan.
1 comment:
Harap-harap para mufti di Malaysia tidak bertindak membelakangkan hukum apabila berhadapan dengan pemerintah.
Post a Comment