Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Saturday, July 05, 2008

Tidak perlu bising-bising, Bersumpah dengan Al Quran sudah memadai.

Tidak ada saksi yang melihat perlakuan liwat Anwar Ibrahim, mungkin berlaku mungkin tidak, hanya Allah sahaja yang tahu.

Kalau ada gambar rakaman videonya seperti yang telah berlaku kepada kes bekas Menteri Kesihatan Chua Soi Lek, maka sudah tentu kita tidak perlu lagi kepada empat orang saksi.

Di masa zaman Nabi dulu, memang tidak ada perakam video, maka syarat utama yang diperlukan di masa itu untuk mengesahkan tuduhan seseorang yang disabitkan dengan kesalahan zina mestilah disaksikan oleh empat orang.

Oleh itu di zaman moden ini, sebagai pilihan selain dari membawakan empat saksi sebagai syarat untuk membuat tuduhan zina kepada seseorang, rakaman video juga boleh dijadikan bahan bukti yang sah untuk mendakwa seseorang atas kesalahan zina atau liwat. Video yang dijadikan bahan bukti itu mestilah disahkan oleh pakar sebagai bukan palsu dan tidak diubah suai.

Di kalangan orang bukan Melayu, persepsi hubungan seks di luar perkahwinan tidaklah merupakan satu kesalahan yang begitu berat berbanding persepsi orang Melayu. Seperti yang telah berlaku pada Chua Soi Lek, pendedahan hubungan seks haramnya yang diikuti dengan pengakuannya tidaklah membuatkan beliau berundur dari jawatan kerajaan dan politik yang disandangnya. Malah semua penyokongnya dan kebanyakan masyarakat Cina tetap setia di belakang beliau.

Beliau hanya melepaskan jawatan hanya bila di nasihat oleh Pak Lah, sebagai menghormati Pak Lah yang menganjurkan Islam Hadhari, tentulah perbuatan seks haram beliau itu tidak selari dengan semangat Islam Hadhari.

Untuk menyelesaikan kemelut kes liwat Anwar pula Dr. Asri Mufti Perlis telah mencadangkan satu penyelesaian yang terbaik dengan cara bersumpah mengikut syariat Islam. Saya dan mungkin ramai lagi orang Melayu yang beragama Islam bersetuju dengan cadangan beliau itu. Rasanya inilah cadangan yang paling tepat untuk penyelesaian kepada masalah ini.

Anwar tidak perlu bimbang kes liwatnya akan menyebabkan dia boleh kalah dalam pilihanraya kecil yang ingin disertainya nanti. Kalau dia tidak pernah melakukan perbuatan liwat, dia boleh membersihkan namanya dengan menjalani acara sumpah yang dicadangkan itu. Sekali dia bersumpah dengan Al Quran atas nama Allah, pasti akan memberi keyakinan kepada orang-orang Melayu untuk terus menyokongnya.

Malah orang Melayu yang selama ini yang masih was-was terhadap diri beliau juga turut akan berubah untuk memberi kepercayaan sepenuhnya dan menyokong beliau kalau beliau berani untuk melakukan sumpah ini.

Tidak perlu timbul soal samada mangsa yang diliwat Saiful Bukhari perlu juga melakukan acara bersumpah ini. Yang penting di sini Anwar perlu melakukan sumpah penafian perbuatan liwatnya untuk membersihkan namanya dan untuk memulihkan keyakinan orang Melayu kepada diri beliau.

Makamah Dunia adalah dikendalikan oleh manusia yang punya banyak kelemahan, kadang-kadang boleh dimanipulasi sehingga orang yang bersalah pun boleh terlepas dari hukuman. Tetapi tidak ada siapa yang boleh lari dari hukuman Makamah Tuhan.

Sunday, June 29, 2008

Sudah sampai ajal UMNO

Telah menjadi lumrah alam setiap tamaddun akan menemui masa ajalnya. Tidak ada kegemilangan sesuatu tamaddun yang akan terus kekal melainkan akhirnya akan menemui masa ajalnya.

Itulah juga yang bakal dihadapi oleh organisasi politik UMNO sekarang, UMNO telah pun memerintah Negara kita lebih dari 50 tahun dan UMNO telah pun melalui zaman kegemilangannya.

Apabila berada di zaman kemuncak kekuasaannya, berbagai perkara-perkara bobrok telah menjadi amalannya. Sehingga amalan-amalan buruk ini sukar untuk dihilangkan dari budaya UMNO kerana ianya telah mendarah daging.

Apabila Pak Lah yang terkenal dengan sifat ‘bersih’ itu mengambil alih kuasa dari Dr. Mahathir, semua rakyat telah berasa lega kerana merasakan seperti telah keluar dari mulut harimau.

Dalam ucapan-ucapan aluannya sebagai Perdana Menteri, Pak Lah telah memberi keyakinan kepada kita untuk membuat perubahan, seperti menghapuskan rasuah, mengembalikan kredibiliti polis, badan pencegah rasuah dan badan kehakiman.

Tetapi keyakinan saya kepada Pak Lah buat pertama kalinya hilang bila Yong Teck Lee, presiden parti politik SAPP Sabah dikenakan dakwaan rasuah oleh Badan Pencegah Rasuah hanya sehari selepas Yong Teck Lee membuat kenyataan terbuka tidak yakin dengan kepimpinan Pak Lah.

Sedangkan kes rasuah tersebut dikatakan telah berlaku sekitar 12 tahun yang lalu.
Tindakan Badan Pencegah Rasuah itu telah meloyakan tekak saya dengan kepimpinan Pak Lah. Nampaknya Pak Lah tidak banyak beza dengan Dr. Mahathir dalam cara menghapuskan penentang politiknya.

Selagi pemimpin-pemimpin politik disekelilingnya menunjukkan sokongan kepadanya selagi itulah kesalahan-kesalahan mereka tidak akan dibongkar, tetapi apabila mereka cuba hendak menggugat dan menentangnya maka bersedialah untuk menghadapi tindakan makamah dengan kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan walaupun kesalahan itu berpuluh tahun telah berlalu.

Nampaknya Badan Pencegah Rasuah masih lagi menjadi tunggangan pemimpin politik yang memerintah untuk dijadikan sebagai senjata politik untuk mengugut penentangnya.

Kita berasa amat sedih dan kesal bila membaca pendedahan bagaimana Dr. Mahathir telah menguasai badan kehakiman dan badan perundangan bagi kepentingan politiknya semasa beliau menjadi Perdana Menteri dulu. Di bawah hakim-hakim itulah juga kes Anwar Ibrahim telah diadili.

Dan kini sekali lagi Anwar Ibrahim disabitkan dengan kesalahan liwat untuk kali keduanya selepas tahun 1998. Secara peribadi saya tidak yakin beliau akan dapat pengadilan yang seadilnya memandangkan tidak ada jaminan yang pemimpin parti memerintah tidak akan menggunakan polis dan badan kehakiman bagi menghapuskan penentang politiknya.

Friday, June 20, 2008

Batu Karang dalam pundi kencing.


Sebelah adalah gambar batu karang yang telah dikeluarkan melalui satu pembedahan dari pundi kencing saya. Pembedahan ini telah dilakukan pada tahun 2001. Asalnya bersaiz 4 cm, lebih besar sedikit dari yang ditunjukkan dalam gambar ini.


Menyusut sedikit setelah saya rendam dalam air. Apabila direndam dalam air, secara perlahan-lahan bahagian permukaannya larut ke dalam air, menyebabkan air bertukar menjadi kuning pekat seperti warna air kencing.


Ini menunjukkan sekiranya kita mengamalkan meminum banyak air kosong, dapat membantu melarutkan batu karang yang ada dalam pundi kencing kita.


Untuk memudahkan anda menggambarkan saiz batu karang tersebut, gambar batu karang ini telah diambil bersama-sama dengan bola golf.


Banyak-banyaklah minum air kosong untuk menghindarkan batu tetapi awas bukan minum air mineral dan air tapis yang mengguna batu galian kerana bimbang mineral-mineral itu boleh mendak menjadi batu dalam buah pinggang dan pundi kencing kita.

Jambatan Kedua Pulau Pinang yang membazir.

Perbelanjaan untuk membina jambatan ini adalah antara empat ribu juta hingga enam ribu juta ringgit dan panjangnya hampir dua kali ganda panjang jambatan yang pertama yang telah ada sekarang.

Saya fikir ia merupakan satu jumlah pembelanjaan yang sangat besar sedangkan keperluaannya bukanlah terlalu utama sangat.

Apakah kerana projek ini berada di Pulau Pinang yang merupakan negeri Pak Lah maka projek mega ini boleh diteruskan sedangkan projek jambatan bengkok menggantikan tambak ke Singapura dengan mudah dibatalkan begitu saja.

Rasanya jambatan bengkok yang dicadangkan itu jauh lebih banyak faedahnya kepada Negara berbanding jambatan kedua Pulau Pinang yang hendak dibina itu, ini kerana dengan adanya jambatan bengkok itu akan membolehkan kapal-kapal lalu di Selat Johor, dan ini dapat memajukan lagi pelabuhan-pelabuhan yang ada di persisirnya.

Pembinaan jambatan kedua pulau pinang hanya akan menambah kesesakan kereta di bahagaian pulau tersebut. Apa yang lebih perlu dilakukan ialah memperbaiki sistem pengangkutan awam supaya lebih selesa dan cekap di negeri itu bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Apabila jambatan yang dibina terlalu panjang, kerana kononnya hendak dapat nama jambatan terpanjang, di masa akan datang kereta yang melaluinya semakin bertambah dan jambatan menjadi sesak, dan bila kerajaan mula memikirkan untuk melebarkannya, sudah tentu untuk melebarkan jambatan yang panjang terpaksa menggunakan kos yang tinggi berbanding untuk melebarkan jambatan yang pendek.

Kalaulah jambatan pertama yang ada sekarang ini dilebarkan menjadi lapan lorong sekalipun bagi menampung kesesakan lalulintas, rasanya belanja yang perlu digunakan tidaklah sebanyak membina jambatan kedua yang dicadangkan itu. Ini kerana jambatan yang pertama itu jauh lebih pendek dan kos melebarkannya tentulah jauh lebih murah.

Apakah projek jambatan kedua pulau Pinang ini betul-betul diperlukan atau hanya semata-mata hendak menyediakan projek untuk kontraktor kroni?

Bukanlah sepanjang masa jambatan ini sesak, yang biasanya sesak hanya waktu pagi dan petang iaitu masa orang ramai pergi dan balik bekerja dan juga di waktu cuti perayaan.

Yang membuatkan kesesakan lalulintas menjadi lebih teruk adalah disebabkan oleh perlahannya kenderaan kerana terpaksa membayar tol. Kalau pembayaran tol ini dapat di tiadakan tentulah pergerakkan lalulintas boleh bergerak lancar.

Mungkin kalau projek jambatan kedua ini digantikan dengan jambatan untuk laluan monorail atau LRT antara Bandar Butterworth dengan George Town adalah lebih berfaedah lagi. Jarak jambatan yang lebih pendek antara dua bandar ini dapat menjimatkan banyak kos dan memang lebih praktikal untuk membina jambatan untuk monorail atau LRT di kawasan Bandar yang sesak dengan bangunan.

Walaupun projek mega seperti jambatan kedua ini mungkin dapat memberi peluang pekerjaan yang banyak kepada orang ramai tetapi ia bukanlah suatu projek yang betul-betul perlu dan memberi manafaat keapada rakyat untuk jangka masa panjang.

Lebih besar kos jambatan kedua yang bakal dibina nanti, semakin tinggilah beban bayaran tol yang akan dikenakan keatas rakyat yang menggunakannya bagi membiayai semula kos pembinaan dan penyenggaraan projek tersebut.

Perlukah negeri seperti Pulau Pinang yang kecil yang terkenal di kalangan pelancong luar itu dipenuhi dengan kereta bila kenderaan-kenderaan ini lebih mudah keluar masuk setelah terbinanya jambatan kedua nanti.

Langkah yang lebih tepat pada masa sekarang ini selari dengan kenaikan harga minyak dan langkah berjimat dalam perbelanjaan kerajaan ialah dengan membatalkan projek mega jambatan kedua Pulau Pinang ini, sebaliknya tumpuan lebih perlu diberikan bagi mempertingkatkan pengangkutan awam seperti membina monorail dan LRT serta sistem pengangkutan bas yang cekap dan murah bagi menarik orang ramai menggunakannya.

Wednesday, June 18, 2008

Duit rebat minyak sepatutnya RM950

Ramai antara kita yang bersetuju dengan makanisma yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk membayar rebat kepada rakyat bagi menggantikan sistem harga minyak bersubsidi di pam sebelum ini.

Dengan sistem yang diperkenalkan sekarang ini kerajaan ingin menghapuskan harga minyak petrol dan diesel yang bersubsidi di pam dan ini akan menyebabkan harga minyak di pam menjadi tinggi, sama seperti harga minyak di pasaran bebas.

Untuk mengurangkan beban rakyat kerana terpaksa membeli minyak yang 41 peratus lebih mahal itu, kerajaan telah membayar wang rebat minyak kepada rakyat yang layak bermula pada 14 April 2008 yang lalu.

Mekanisma yang diperkenalkan oleh kerajaan itu memang merupakan satu kaedah yang paling berkesan untuk mengelakkan kebocoran atau ketirisan dalam pemberian subsidi minyak.
Selepas ini subsidi minyak tidak lagi dapat dinikmati oleh rakyat dari Negara jiran kita yang telah lama menikmati harga minyak yang rendah kerana bersubsidi ini.

Tentunya setiap tahun berjuta-juta ringgit wang kerajaan kita telah dihabiskan bagi menanggung rakyat Negara jiran melalui subsidi minyak ini.

Harga minyak yang lebih tinggi di pam juga akan dapat mengurangkan kegiatan penyeludupan minyak ke negara-negara jiran. Penyeludupan minyak bersubsidi ke Negara jiran juga telah membawa banyak kerugian kepada Negara kita.

Oleh itu tidak ada sebab kita menentang mekanisma dalam pengurusan minyak yang diperkenalkan oleh kerajaan ini kerana dia dapat membendung dari berlakunya kebocoran dalam pemberian subsidi.

Yang perlu pihak kerajaan membuat kajian dan perincian semula ialah jumlah bayaran rebat minyak yang telah ditawarkan oleh kerajaan itu, adakah ia benar-benar cukup untuk menampung keperluan rakyat bagi meringankan beban mereka bagi membeli minyak yang telah naik harga itu.

Katakan secara purata seorang yang berkereta menggunakan minyak dalam lingkungan RM200.00 sebulan sebelum ini, tetapi setelah harga naik 41 peratus, beliau kini kena berbelanja sebanyak RM282.00 sebulan untuk minyak.

Dengan itu dalam setahun beliau terpaksa membayar RM984.00 lebih mahal dari harga dahulu. Sedangkan untuk kereta, kerajaan hanya membayar rebat minyak sebanyak RM625.00 sahaja setahun. Ini bermakna secara keseluruhannya beliau telah membayar RM359.00 lebih mahal berbanding harga minyak sebelum ini untuk setahun.

Berdasarkan statistik ini kerajaan perlu menaikan nilai bayaran rebat minyak ini sekurang-kurangnya kepada RM950.00 supaya rakyat tidak merasakan beban dari kenaikan harga minyak yang tinggi di pam.

Mungkin ada orang mengatakan tidak adil membayar dengan kadar yang sama untuk semua jenis kuasa kereta, tentulah ini lebih menguntungkan kepada pengguna-pengguna kenderaan seperti Perodua Kancil berbanding kereta Proton Waja, kerana kereta Kancil menggunakan minyak kurang dari Waja untuk jarak perjalanan yang sama.

Tetapi masih ada kebaikan di sebalik keadaan itu, kerana ini boleh menggalakkan orang ramai cenderung untuk membeli dan menggunakan kereta yang berkuasa kecil dan secara tidak langsung boleh menjimatkan penggunaan minyak.

Bagi setiap orang hanya dibenarkan menuntut bayaran bagi sebuah kenderaan persendirian miliknya sahaja. Manakala kenderaan awam dan syarikat seperti bas dan lori memang baik diberi bayaran rebat yang tinggi kerana ia dapat mengurangkan kos harga pengangkutan dan dengan itu dapat membantu menurunkan harga barang.

Pengangkutan awam seperti bas memang patut diberi subsidi yang tinggi untuk menjadikan pengangkutan ini beroperasi dengan kos yang rendah. Pengangkutan awam yang selesa, cekap dan murah akan dapat menarik orang ramai menggunakannya. Ini juga akan dapat menjimatkan penggunaan minyak kerana dapat mengurangkan kenderaan persendirian bergerak di jalanraya.

Sekiranya rakyat Malaysia dapat menggunakan minyak dengan jimat dan cekap, sudah tentu kita dapat mengeksport lebih banyak minyak ke luar Negara. Dengan paras harga minyak dunia yang tinggi di masa sekarang ini sudah tentu memberi lebih pendapatan kepada Negara kita.

Rasanya tidak perlulah kita menganjurkan demontrasi jalanan bagi membantah kenaikan harga minyak. Harga minyak yang tinggi ini bukan sahaja melanda Negara kita tetapi juga telah melanda seluruh dunia. Kalau pun perlu untuk berdemontrasi, tuntutan kita ialah supaya kerajaan menimbangkan semula supaya harga rebat minyak yang dibayar sekarang ini dinaikkan kepada harga yang lebih berpatutan.

Wednesday, June 11, 2008

Layakkah Mufti kita mengeluarkan fatwa?

Perlantikan Mufti di Negara kita ini adalah di bawah kuasa sultan dan raja negeri-negeri setelah mendapat nasihat dari Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Melihat kepada proses perlantikan mufti itu, kita dapati ia tidak terlepas dari pengaruh politik atau penguasa sesebuah negeri. Tentu tidak ada jaminan sesuatu fatwa yang hendak diputuskan atau difatwakan itu benar-benar bebas dari kehendak penguasa atau pemimpin politik.

Ada kemungkinan mufti yang tidak sehaluan dengan kehendak kepimpinan negeri boleh ditamatkan jawatannya dan seterusnya boleh pula digantikan dengan orang-orang yang difikirkan sehaluan dengan kepimpinan untuk dilantik menjadi mufti.

Selagi kuasa penuh perlantikan mufti terletak dalam tangan pemimpin negeri, tidak mungkin mufti dapat benar-benar bebas dalam memberikan fatwa sesuatu isu atau masalah yang sedang berlaku.

Ada kemungkinan juga pemimpin-pemimpin politik boleh menggunakan institusi mufti untuk kepentingan dan agenda mereka.

Oleh itu untuk menjaga kredibiliti setiap fatwa yang diputuskan oleh institusi mufti maka kenalah terlebih dahulu dipastikan institusi mufti ini benar-benar bebas dari pengaruh penguasa terutamanya dalam soal perlantikannya.

Kita tidak mahu mufti kita sama tarafnya dengan mufti di Negara Soviet Union di satu masa dulu. Walaupun institusi mufti ada tetapi mereka terikat dengan kehendak dan aspirasi regim Moscow.

Fatwa oleh ulama dan mufti yang bebas bukan sahaja akan dipatuhi oleh rakyat sesuatu Negara itu tetapi juga turut dihormati dan dipatuhi oleh masyarakat Islam seluruh dunia.

Sebagai contoh, ulama Yusof Al Qardhawi dari mesir, dia bukan sahaja dapat membebaskan dirinya dari pengaruh mana-mana kumpulan politik tetapi juga bebas dari segala kepentingan duniawi.

Tidak hairanlah kalau fatwa beliau dihormati bukan sahaja oleh masyarakat Mesir tetapi juga oleh masyarakat Islam seluruh dunia.

Oleh itu mesti ada pemisahan kuasa antara pihak esekutif atau penguasa dengan institusi mufti bagi menjaga kredibiliti setiap fatwa yang diputuskan.

Kemungkinan berlaku berlainan pandangan dan pendapat antara institusi mufti yang bebas dan penguasa tentu ada. Tetapi ini lebih baik dari mempunyai mufti yang fatwa mereka sentiasa mengikut telunjuk penguasa. Sedangkan fatwa mestilah tidak boleh sama sekali bercanggah dengan ruh Al Quran dan Sunnah, dan tidak boleh tunduk dengan kepentingan-kepentingan lain.


Tugas institusi mufti adalah megeluarkan fatwa terhadap sesuatu isu, terpulanglah kepada pihak penguasa dan rakyat untuk mematuhinya atau pun tidak. Sebagai contoh, andaikata peraduan kuiz yang ditaja oleh syarikat perkhidmatan telefon itu diputuskan fatwanya oleh institusi mufti sebagai haram kerana ada unsur judi, maka tidak semestinya pihak yang menaja kuiz itu perlu memberhentikan program kuiz itu. Yang pentingnya di sini ialah orang ramai telah dapat panduan tentang halal dan haram tentang program kuiz itu.


Di sinilah pentingnya institusi mufti yang bebas, supaya fatwa yang diputuskannya tidak di pengaruhi oleh penguasa dan tidak terikat dengan apa-apa kepentingan selain dari memberi garis panduan yang betul kepada umat Islam bersesuaian dengan ruh Al Quran dan sunnah nabi, demi kesejahteraan dan keberkatan hidup manusia itu sendiri.

Thursday, June 05, 2008

Minyak Naik Harga, 'hadiah' dari Pak lah selepas pilihanraya

Tentu sebelum pilihanraya ke 12 yang lepas lagi sudah ada dalam kepala Pak Lah untuk menaikkan harga minyak petrol dan diesel yang telah pun dilakukan semalam (4 Jun 2008).

Tapi niat dan rancangan untuk menaikkan minyak itu terpaksa dirahsiakan sehinggalah selepas pilihanraya. Kalau diberitahu sebelum pilihanraya tentulah BN boleh kalah atau tidak membantu BN dalam pilihananraya kerana pada masa kempen itu parti pembangkang telah pun menabur janji untuk menurunkan harga minyak.

Semalam adalah kenaikan pertama selepas pilihanraya, dan akan dikuti oleh beberapa siri kenaikan lagi sehingga harga minyak yang dijual di pam minyak sama dengan harga di pasaran bebas. Maknanya di akhir nanti kerajaan tidak lagi mengawal harga minyak dan harga minyak petrol dan diesel di pam minyak tidak lagi harga bersubsidi.

Bagaimanapun kerajaan telah menawarkan sekim yang berbentuk bantuan wang petrol dan diesel kepada golongan yang berpendapatan rendah sebagai ganti sekim subsidi yang sedia ada.
Kita tidak pasti bagaimana penerimaan rakyat dengan sekim bantuan wang petrol itu. Mungkin rakyat terpaksa terima juga daripada langsung tak ada bantuan. Sekim bantuan petrol tidaklah sama seperti sekim subsidi sebelum ini. Dari sekim yang baru ini setiap rakyat dapat bantuan dari kerajaan berupa sejumlah wang yang tetap setahun sekali, tidak bergantung kepada berapa banyak minyak yang mereka gunakan.

Sebagai contoh sebuah motorsikal akan diberi bantuan duit minyak sebanyak RM150, kalau pengunanya kerap menggunakan motor tersebut tentulah RM150 itu tidak banyak dapat membantu. Tetapi kalau dengan sekim subsidi sebelum ini, harga minyak sentiasa rendah dan kita boleh menggunakannya seberapa banyak tanpa bimbang dengan pertambahan kos.

Katakan seorang yang menggunakan motorsikal membelanjakan RM50 sebulan untuk minyak petrol sebelum ini, maknanya sekarang beliau berbelanja RM70 sebulan untuk petrol setelah harga naik 40%. Untuk jumlah setahun sekarang beliau berbelanja sebanyak RM840, setelah ditolak duit bantuan minyak dari kerajaan sebanyak RM150, jumlah bersih ialah RM690. Tetapi untuk harga lama iaitu harga sebelum subsidi di struktur semula, beliau hanya membelanjakan sebanyak RM600 sahaja setahun.

Walaupun mungkin sekim baru ini tidak begitu menarik tetapi nampaknya ia merupakan mekanisma sangat berkesan untuk membasmi ketirisan dalam pemberian subsidi.
Apabila minyak petrol dan diesel dijual di pam dengan harga tanpa subsidi, sudah tentu tidak ada lagi subsidi yang tiris kepada warga asing, dengan itu kerajaan akan dapat menjimatkan perbelanjaan yang banyak.

Langkah kerajaan untuk berjimat ini memang bagus. Tetapi janganlah berhenti pada minyak sahaja. Sebelum ini telah banyak berlaku wang kerajaan dibelanjakan dengan cara yang tidak berhemah. Projek kerajaan dilaksanakan dengan cara yang membazir.

Janganlah hendaknya penjimatan dari duit subsidi minyak yang ditarik balik ini dialihkan pula untuk membangunkan projek-projek koridor Pak Lah dan akan masuk pula ke dalam poket kontraktor-kontraktor yang dianugerahkan tender untuk membangunkan projek-projek di koridor tersebut.

Rasuah juga perlu dibenteras dengan bersungguh-sungguh dan berkesan, amalan rasuah yang berluas-luasa menyebabkan kos projek menjadi lebih mahal dan mutu projek yang dihasilkan tidak memuaskan.

Di awal tahun 80 an bilangan kereta persendirian tidaklah sebanyak sekarang ini, masa itu yang bekerja sebagai guru pun tidak cukup kemampuan membeli atau menggunakan kereta. Tetapi sekarang ini hampir semua orang yang bergaji tetap boleh memiliki kereta.

Mungkin di awal tahun 80 an dulu kerajaan tidak ada masalah untuk memberi subsidi minyak kerana bilangan kereta tidak banyak seperti hari ini, oleh itu jumlah isipadu minyak yang digunakan pada masa itu tidaklah sebesar hari ini.

Kadang-kadang polisi kerajaan yang menggalakkan rakyat membeli kereta untuk menyokong industri kereta nasional juga telah menyumbang kepada pertambahan bilangan kereta dan minyak yang digunakan. Walaupun kita tahu sumber minyak dalam bumi tidak akan bertambah dan satu hari nanti ia akan habis dan kering juga namun minyak telah digunakan dengan cara yang paling tidak cekap.

Tidak hairanlah harga minyak akan terus meningkat kerana makin hari sumber minyak makin berkurang, sedangkan penggunaannya semakin bertambah.

Apakah semua orang perlu menggunakan kereta?

Sudah sampai masanya kita perlu memikirkan bagaimana kita dapat mengurangkan penggunaan minyak dan menggunakannya dengan cara yang paling cekap. Kita berjimat menggunakan minyak bukanlah semata bertujuan untuk menjimatkan berbelanjaan kita tetapi yang lebih penting lagi untuk melambatkan dunia dari kehabisan sumber minyak.

Tidak dapat dinafikan penggunaan minyak petrol dan diesel secara berlebihan dan tidak terkawal ini turut juga menyumbang kepada pencemaran alam dan pemanasan global yang mengancam kehidupan manusia di bumi ini.

Mungkin banyak kebaikan dan hikmah disebalik kenaikan harga minyak ini, sekalipun ramai rakyat yang mengundi BN pada pilahanraya yang lalu rasa menyesal mengundi BN disebabkan kerajaan BN telah menaikan harga minyak yang tinggi melambung ini.

Monday, June 02, 2008

Subsidi dan keperluannya.

Subsidi biasanya dirujuk kepada bantuan kerajaan secara langsung bagi mengurang kos yang ditanggung oleh rakyat samada dalam membeli barang-barang keperluan atau pun kos untuk mengeluarkan barang-barang keperluan di dalam negeri.

Umpamanya harga minyak petrol, harga yang kita bayar di stesen minyak itu bukanlah harga pasaran sebenar, kalau ikut harga pasaran bebas, harga yang perlu kita bayar adalah jauh lebih tinggi lagi, yang mungkin sekali ganda lebihnya.

Ini bermakna setiap kali kita membeli petrol, pihak kerajaan juga turut membayar sebahagiannya untuk kita. Begitu jugalah dengan beberapa barang keperluan yang lain yang diberi subsidi oleh kerajaan seperti beras, tepung, gula, minyak masak dan lain-lainnya.

Tujuan asal kerajaan memberikan subsidi adalah untuk mengurangkan beban rakyat untuk membeli barang-barang keperluan mereka. Mungkin secara kebetulan kerajaan kita mempunyai wang yang banyak dari hasil bumi Negara ini, oleh itu kerajaan rasa bertanggungjawab untuk mengembalikan keuntungan hasil bumi ini kepada rakyat dalam bentuk pemberian subsidi.

Selain dari wang ada juga subsidi diberikan dalam bentuk bantuan menyediakan kemudahan infrastruktur dan lain-lain keistimewaan kepada pihak pengeluar barangan dalam negeri yang berkepentingan nasional, tujuannya ialah untuk menjadikan syarikat-syarikat tempatan ini lebih berdaya saing.

Dengan adanya subsidi dari kerajaan itu, dapatlah syarikat-syarikat ini megeluarkan barangan mereka dengan kos yang lebih rendah seterusnya dapat menjual barangan mereka dengan harga yang lebih murah.

Kenaikan harga barang sentiasa mendapat perhatian rakyat, apabila harga barang naik ia akan memberi masalah kepada kuasa beli rakyat. Kadang-kadang ia memberi masalah yang berantai, walaupun asalnya hanya satu barang saja yang naik harga tetapi oleh kerana barang itu diperlukan untuk menghasilkan barang-barang lain maka keseluruhan kos kehidupan juga akan meningkat.

Oleh kerana kenaikan harga barang ini melibatkan kehidupan orang ramai maka ia dengan mudah telah dijadikan isu politik oleh ahli-ahli politik untuk meraih sokongan. Sebuah kerajaan boleh tumbang disebabkan hanya tidak dapat membendung kenaikan harga barang.
Katakan harga minyak diesel atau petrol meningkat sebanyak 10 sen untuk satu litre, oleh kerana kenderaaan pengangkutan penghantaran barang-barang menggunakan minyak maka kos penghantaran akan turut meningkat. Bila kos pengangkutan meningkat, barang-barang yang dijual juga terpaksa dijual lebih mahal untuk menampung kos pengangkutan tadi. Semua harga barang akan menjadi lebih mahal, akibatnya orang ramai akan menuntut kenaikan gaji untuk menampung kos kehidupan yang meningkat. Inilah yang dipanggil masalah berantai.

Masalah itu tidak akan berhenti di situ sahaja, kitaran kenaikan harga barang ini akan berterusan dan masalahnya akan bertambah besar melainkan langkah-langkah yang sesuai diambil.

Satu cara mudah yang boleh mengatasi masalah ini oleh pihak kerajaan ialah dengan memberi subsidi. Umpamanya, sepatutnya rakyat terpaksa membayar untuk kenaikan 10 sen se litre harga minyak petrol dan diesel tadi tetapi kenaikan itu ditanggung oleh kerajaan melalui tambahan subsidi. Dengan adanya subsidi dari kerajaan itu, rakyat masih dapat membeli minyak dengan harga lama tanpa ada tambahan harga.

Tapi sampai bila kerajaan dapat menahan kenaikan harga minyak ini dengan cara memberi subsidi. Lama kelamaan perbezaan harga minyak yang bersubsidi dengan harga minyak sebenar di pasaran bebas akan menjadi terlalu besar.

Sampai di satu tahap kerajaan juga tidak akan ada kemampuan dari segi kewangan untuk menampung pemberian subsidi yang begitu besar ini.

Masalah subsidi ini diburukkan lagi dengan adanya ketirisan. Maksudnya sebahagian subsidi yang diberikan oleh kerajaan itu jatuh ke tangan orang-orang yang tidak berhak menerimanya.
Rakyat dari Negara jiran kita turut mengambil kesempatan dan mendapat untung dari harga barang dan servis yang bersubsidi ini.

Tidak dapat dinafikan ramai rakyat Singapura dan Selatan Thailand datang membeli petrol, diesel dan barang-barang lain yang lebih murah berbanding Negara mereka disebabkan barang-barang ini mendapat subsidi dari kerajaan kita. Ini bermakna kerajaan turut memberi subsidi kepada sebahagiaan besar rakyat Negara jiran kita itu.

Oleh itu perlu dilihat semula samada kedatangan pelancung ke Negara kita ini betul-betul memberi keuntungan bersih kepada kita. Setiap kali mereka makan dan membeli belah, sebenarnya mereka membayar dengan harga subsidi. Jangan sampai tanpa kita sedari kita yang yang menanggung pelancung yang sepatutnya kedatangan mereka mestilah membawa keuntungan kepada kita.

Biarlah pelancung yang datang ke negara kita itu kerana benar-benar tertarik dengan produk-produk pelancungan yang ada, kita tidak mahu mereka datang semata-mata tertarik untuk membeli dan menikmati barang berharga murah kerana bersubsidi.

Dilema yang dihadapi oleh kerajaan sekarang tidak berdaya untuk menarik semula subsidi yang diberikan selama ini. Usahkan untuk menghapuskan subsidi, untuk mengurangkannya pun kerajaan tidak mampu kerana subsidi telah menjadi kebiasaan dan darah daging rakyat Negara ini. Sehingga ada rakyat Negara kita yang tidak tahu harga barangan yang mereka beli itu adalah harga subsidi.

Subsidi adalah jalan mudah untuk mengelakkan kenaikan harga barang keperluan rakyat tetapi bila kerajaan tidak mampu lagi memberi subsidi yang semakin bertambah dari masa ke semasa ditambah dengan sumber kewangan kerajaan yang semakin terhad, akhirnya kerajaan akan berhadapan dengan masalah yang lebih besar. Tentunya rakyat tidak boleh menerima kenyatan kalau mereka terpaksa membayar dengan harga tanpa subsidi.

Langkah kerajaan untuk mengurangkan ketirisan subsidi terutamanya kepada rakyat Negara jiran memanglah wajar kerana ini dapat menjimatkan banyak wang kerajaan, tetapi mampukah kerajaan membasmi ketirisan tersebut dengan cara yang berkesan. Jangan sampai harga alat kawalan kecurian yang kita perlukan untuk memantau kecurian lebih mahal dari harga barang yang kita bimbang dicuri.

Subsidi bukanlah penyelesai konkrit untuk mengekang kenaikan harga barang. Banyak buruk dari baik kalau kita menggunakan mekanisma subsidi dalam mengawal harga barang. Sebaliknya cara yang lebih tepat untuk mengawal kenaikan harga barang ialah dengan cara mengeluarkan barang keperluan rakyat dengan banyak menggunakan kos yang minimum dan cekap.

Penawaran yang banyak akan mengurangkan harga barangan. Bila harga satu barang dapat diturunkan ianya akan menurunkan harga barang yang lain yang mungkin menggunakan barang yang telah turun harga tadi dalam pengeluarannya. Kitaran penurunan harga barang akan menyumbang dalam penurunan keseluruhan kos hidup rakyat.

Kadang-kadang rasa pelik juga, di Malaysia harga kambing boleh mencecah RM400 seekor, padahal di Australia harga seekor kambing tidak sampai RM50, di mana silapnya? Kenapa harga kambing terlalu mahal di Malaysia. Kalau seekor kambing boleh dimakan dagingnya oleh seorang dewasa untuk masa seminggu, maknanya dalam masa seminggu rakyat Malaysia kena berbelanja RM400 untuk lauk manakala rakyat Australia baru berbelanja RM50 untuk tempoh masa yang sama.

Sekalipun kerajaan ingin berhasrat untuk menghapuskan subsidi pada barang-barang keperluan, dalam masa yang sama kerajaan kenalah mengambil pendekatan lain untuk menurunkan harga barangan.

Bagaimana pun adalah menjadi tanggungjawab dan kewajiban kerajaan untuk memberi subsidi kepada perkhidmatan kesihatan iaitu hospital dan pelajaran iaitu sekolah kepada rakyat Malaysia. Kesihatan dan pelajaran adalah dua perkara asas yang diperlukan oleh setiap rakyat. Rakyat yang berpelajaran dan sihat adalah aset penting sebagai modal insan untuk kemajuan Negara.

Perkhidmatan hospital dan sekolah mesti ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan dan rakyat berhak mendapatkannya secara percuma. Dan kita tidak berasa bimbang akan berlaku ketirisan subsidi dalam dua sektor ini kerana mudah kita dapat menyekat dan mengawal warga asing dari mendapat perkhidmatan untuk sektor tersebut.

Friday, May 30, 2008

Pusat Pentadbiran Tuhan terletak 18 juta Km dari Bumi?

Kalau kita perhatikan ayat Al Quran dalam Surah Al Sajadah, ada menggambarkan jarak antara bumi dengan pusat pentadbiran Tuhan, Di sini di tuliskan terjemahan ayat tersebut:

“Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepadaNya dalam satu hari yang kadarnya adalah seribu tahun menurut perhitunganmu”. (32:5)

Maknanya segala urusan bumi akan sampai ke Pusat Pentadbiran Tuhan itu dalam masa satu hari dan kalau mengikut perjalanan manusia jarak tersebut mengambil masa 1000 tahun untuk sampai.

Kalau setahun mengandungi 360 hari, ini bermakna 1000 tahun ada 360000 hari semuanya.
Oleh kerana ayat ini turun di zaman Nabi Muhammad s.a.w tentulah ayat ini merujuk kepada kemampuan perjalanan yang di buat oleh manusia umum ketika itu.

Di masa itu perjalanan manusia dari satu tempat ke satu tempat adalah menggunakan unta. Jarak perjalanan yang boleh ditempuh oleh unta yang berbeban dalam masa sehari adalah 50 Km.

Oleh itu untuk masa 360000 hari, jauh jarak yang mampu ditempuh oleh manusia ketika itu ialah:

360000 x 50 km = 18,000,000 km

Kesimpulannya, kalau berdasarkan ayat di atas bolehlah dianggarkan jarak Pusat Pentadbiran Tuhan dengan bumi adalah 18 juta Km.

Untuk panduan kita, jarak antara bumi dan matahari adalah 150 juta Km.
Jarak antara orbit bumi dengan orbit planet Marikh (planet yang terdekat dengan bumi) adalah 77 juta Km.

Wallahualam.

Sunday, May 25, 2008

Tidak ada sebab Singapura dan Malaysia tidak boleh bercantum semula.

TENTU tidak dapat kita bayangkan kesukaran yang mungkin kita hadapi kalau setiap negeri di dalam Malaysia merupakan Negara-negara yang merdeka dengan pemerintahan sendiri.

Kesukaran yang amat ketara ialah kita kena berhenti disetiap sempadan negeri untuk proses memeriksa dan mencop passport kita setiap kali kita keluar masuk antara satu negeri ke negeri yang lain. Dan mungkin kita perlukan memohon visa jika ingin tinggal lebih lama di negeri lain.

Beratur panjang untuk membayar tol lebuh raya pun kita sudah berasa rimas apatah lagi terpaksa beratur untuk berdepan dengan kerenah imegresyen dan kastam.

Katakan kita tinggal di Johor, dan kita ada urusan atau ingin melancung dengan menaiki kereta ke Pulau pinang, ini bermakna kita terpaksa berhenti untuk pemeriksaan imegresyen di enam sempadan negeri iaitu di sempadan Negeri Melaka, di sempadan Negeri Sembilan, di sempadan Negeri Selangor, di sempadan Negeri Perak, di sempadan Negeri Kedah dan akhir sekali di sempadan Negeri Pulau Pinang.

Mungkin lebih mudah kita menggunakan pengangkutan udara tetapi kosnya mungkin lebih mahal dan kita jadi ‘patah kaki’ kerana tidak dapat membawa kenderaan sendiri.

Tetapi syukurlah keadaan seperti di atas tidak berlaku dan saya percaya semua kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku pada masa akan datang dan sampai bila-bila pun. Walaupun kita asalnya orang Negeri Sembilan tapi kita bebas bergerak, bekerja dan tinggal di mana-mana sahaja di dalam Malaysia yang kita suka.

Hanya kita rakyat Malaysia sahaja yang dapat merasakan bagaimana nikmatnya dan selesanya kita bebas bergerak ke semua negeri-negeri dalam Malaysia ini. Sekalipun kalau diberi pilihan setiap negeri untuk berpisah dan memerintah sendiri pasti tidak ramai rakyat yang berminat dengan pilihan itu.

Dan saya percaya kalau rakyat Singapura diberikan keistimewaan bergerak bebas untuk keluar masuk ke Malaysia, tanpa perlu kepada pemeriksaan passport dan kastam, mereka bebas untuk tinggal dan bekerja di mana-mana saja mereka suka di Malaysia tanpa permit dan visa seperti rakyat Malaysia lainnya tentulah mereka tidak akan menolak keistimewaan yang diberikan kepada mereka itu.

Selama ini rakyat Singapura yang lebih 4 juta itu tertumpu dan berhimpit dalam satu negara pulau yang kecil. Keinginan rakyatnya untuk keluar masuk ke Malaysia memang tidak boleh dinafikan.

Dari segi sejarahnya, geografinya dan sosial budayanya, Singapura dan Malaysia khasnya Semenanjung memang amat dekat dan rapat. Rakyat dari kedua-dua negara ini kerap keluar masuk bukan sahaja disebabkan untuk membeli belah atau urusan kerja tetapi juga untuk menziarah sanak-saudara mereka. Sebahagian besar rakyat Singapura tidak kira mengira kaum, samada Cina, Melayu atau India mempunyai pertalian darah atau sanak saudara di Semenanjung Malaysia.

Pertalian darah ini bukan sahaja telah berlaku sebelum negara ini merdeka lagi tetapi ia berterusan hingga hari ini kerana wujudnya hubungan yang dekat dari segi geografi, budaya dan bahasa mereka, menyebabkan ramai rakyat Singapura yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.

Oleh itu kalau di peringkat rakyat biasa, kita mungkin tidak menghadapi masalah besar untuk mencantumkan kedua-dua negara ini semula, malah mungkin mereka amat mengalu-alukanya. Halangan yang ada mungkin datang dari pemimpin-pemimpin politik yang masing-masing mempunyai kepentingan yang berlainan.

Bagaimanapun perkembangan politik yang menggalakan berlaku di Malaysia baru-baru ini sedikit sebanyak mungkin dapat membuka mata pemimpin-pemimpin politik Singapura untuk menilai semula pilihan untuk bercantum semula dengan Malaysia.

Situasi Singapura dan Malaysia ini tidak banyak berbeza dengan Negara Vietnam di suatu masa dulu yang pernah berpisah sebagai dua negara iaitu Vietnam Utara dan Vietnam Selatan, Negara Jerman yang pernah berpisah sebagai Negara Jerman Barat dan Jerman Timur, Negara Yaman yang pernah berpisah sebagai Negara Yaman Utara dan Yaman Selatan.

Semua Negara-negara yang disebutkan tadi mempunyai rakyat yang sama dari segi ras dan sosial budaya tetapi negara mereka dipecahkan disebabkan perbezaan politik. Apabila keadaan politik kedua-dua negara itu mengizinkan untuk bercantum maka mereka tidak menghadapi masalah besar untuk melaksanakannya.

Satu lagi negara yang masih menghadapi masalah untuk bercantum semula ketika ini ialah Korea Utara dan Korea Selatan. Apabila keadaan politik dikedua-dua negara tersebut dapat mengizinkan mereka untuk bercantum, tentu mereka akan bercantum juga menjadi satu negara, hanya masa sahaja yang akan menentukan.

Kita dan singapura pernah berada di bawah satu negara satu masa dulu, perbezaan politik telah menyebabkan kedua-dua negara ini mengambil jalan untuk berpisah. Dari psikologinya rakyat kedua-dua Negara ini masih percaya kedua-dua negara ini boleh disatukan semula. Sekiranya di suatu masa nanti wujud persafahaman politik antara kedua-dua negara ini, tidak mustahil rakyatnya akan menzahirkan hasrat untuk berada di bawah satu negara semula.

Berbeza dengan Pakistan dan Bangladesh di satu masa dulu yang pernah bersatu sebagai sebuah negara, agak mustahil untuk kedua-dua negara itu akan bercantum semula. Ini kerana kedua-dua negara itu bukan sahaja berbeza dari segi geografinya tetapi ras dan sosial budaya kedua-dua negara itu juga sangat jauh berbeza, sekalipun rakyat kedua-dua negara itu adalah beragama Islam.

Tidaklah diketahui entah berapa banyak kos yang telah dihabiskan oleh Malaysia dan Singapura untuk membawa pertikaian mereka tentang hak pemilikan beberapa ketul batu di Pulau Batu Putih atau Pedra Branca ke Makamah Antarabangsa ICJ. Memanglah banyak kesusahan dan halangan perlu dihadapi oleh kerajaan dan rakyat bila dua negara mengambil jalan untuk berpisah.

Sebaliknya lebih banyak faedah yang diperolehi oleh rakyat jika dua negara ini bercantum semula. Salah satu faedah yang tidak ternilai yang dapat dirasakan oleh rakyat ialah nikmat kebebasan pergi ke mana sahaja dan boleh tinggal dan bekerja di mana sahaja dalam negara yang bercantum ini.

Monday, May 19, 2008

Benarlah Mahathir Pernah Menguasai Badan Kehakiman.


“Kalau saya rasa orang itu patut dilantik, saya lantik. Kalau saya ingat orang itu tidak patut dilantik walaupun dicadangkan oleh hakim, saya tidak lantik”. Itu antara kata-kata Dr. Mahathir yang telah dipetik dari Mingguan Malaysia 13 Mei 2008 yang lalu, bila diminta komen beliau berhubung kes penyiasatan Klip video Datuk V.K. Lingam.


“Saya bukan posmen. Bila ketua hakim cadang, saya pun kata lulus dan pergi kepada Yang di-Pertuan Agong dan saya nasihat Agong lulus. Kalau macam itu, baik kita kata perlantikan ketua hakim harus diputuskan oleh ketua hakim. Jadi, saya tidak ada peranan itu, saya tidak mahu jadi posmen”, tambah beliau lagi.


Dari pengakuan terbuka yang dibuat oleh beliau itu jelas menunjukkan semasa menjadi menjadi Perdana Menteri dulu beliau berkuasa penuh untuk melantik Ketua Hakim yang disukainya.
Oleh itu kita rasa tidak pelik kalau semua keputusan makamah yang beliau mempunyai kepentingan semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu sentiasa saja berpihak kepada beliau.


Antara ciri-ciri yang mesti ada pada sebuah negara demokrasi, perlunya ada pengasingan kuasa antara badan esekskutif dan badan kehakiman. Kalau kita merujuk kepada pengakuanDr. Mahathir di atas, nampaknya negara kita telah gagal dalam menghayati amalan ini kerana Perdana Menteri berkuasa penuh untuk melantik Ketua Hakim.


Oleh itu memanglah patut kalau sistem badan kehakiman negara dirombak semula atau dilakukan reformasi supaya ia selari dengan amalan demokrasi.


Mungkin sebab itu jugalah Mahathir tidak suka demokrasi cara Barat, kerana pada anggapan beliau demokrasi ala Barat meletakkan peranan Perdana Menteri hanya sebagai posmen sahaja dalam badan kehakiman. Itulah dia Mahathir, dia mahu berkuasa penuh dalam segala hal. Tidak hairanlah kalau ada orang menggelarkan beliau sebagai dictator.


Pada tanggapan beliau buat apa jadi Perdana Menteri kalau tidak berkuasa penuh. Malah Raja-raja pun kecut dan tidak berani bersuara semasa beliau menjadi Perdana Menteri dulu. Malah di bawah pemerintahan beliau jugalah kekebalan raja-raja telah dilucutkan.


Alasannya ketika itu, kalau pemimpin politik termasuk beliau sendiri buat salah walaupun tidak dapat didakwa di makamah tetapi masih boleh diturunkan melalui proses pilihanraya, sebaliknya tidak apa yang boleh menurunkan raja kalau baginda melakukan kesalahan.


Memanglah benar pilihanraya boleh menurunkan pemimpin politik yang berbuat salah, tetapi apalah ertinya pilihanraya di waktu itu kalau pengerusi suruhanjaya pilihanraya adalah dilantik oleh beliau sendiri. Di samping itu beliau menggunakan undang-undang yang digubal untuk memastikan parti beliau terus menang dalam setiap pilihanraya.


Malah beliau juga tidak teragak-agak menggunakan makamah yang dikuasainya untuk mendakwa penentang-penentang politiknya.


Oleh itu sangat penting pemisahan kuasa antara badan esekskutif dengan badan kehakiman supaya dapat mengelakkan badan kehakiman dan badan perundangan ini ditunggangi oleh badan esekskutif untuk kepentingan mereka. Dengan adanya pemisahan itu dapatlah menjamin sistem demokrasi menjadi benar-benar berkesan.


Walaupun pemimpin politik secra teorinya boleh diturunkan melalui proses pilihanraya tetapi mereka boleh memunipulasi undang-undang dan badan kehakiman untuk terus mengekalkan kuasa mereka. Berbagai akta boleh mereka gubal yang sama sekali bertentangan dengan semangat dan amalan demokrasi. Ini boleh berlaku disebabkan bila tidak ada pengasingan kuasa yang jelas antara badan esksekutif dan badan kehakiman.

Monday, May 12, 2008

Kisah sebenar kematian Altantuya.









Tersebutlah alkisah seorang wanita Mongolia bernama Altantuya, telah datang ke Malaysia dari negaranya Mongolia semata-mata hendak mencari suami yang dikasihi bernama Abdul Razak Baginda.

Dengan susah payah akhirnya bertemulah dia dengan suaminya yang tercinta itu. Entah kenapa agaknya terasa malu sangatlah Si Razak ini hendak mengaku Altantuya itu adalah isteri dia, lantas dihalau si isteri yang setia itu.

Adapun selepas dihalau itu, Altantuya terasa begitu tersangat keciwa, Altantuya keciwa kerana Razak Baginda malu hendak mengaku dirinya adalah isterinya yang sah. Samalah seperti ibu Si Tenggang yang keciwa kerana Si Tenggang malu hendak mengaku dirinya adalah ibu kandung yang melahirkannya.

Kalau ibu Tenggang menyumpah Tenggang menjadi batu kerana keciwa dengan perbuatan anaknya itu, lain ceritanya dengan Altantuya.

Altantuya yang sangat keciwa itu, ingin menghabiskan riwayat hidupnya. Dia ingin tubuh badannya hancur luluh tanpa dapat dikesan oleh sesiapa pun.

Lalu Altantuya mengupah beberapa orang polis gerakan khas untuk memenuhi hasratnya itu. Altantuya terpaksa meminta bantuan anggota polis kerana hanya polis sahaja yang ada bahan peletup yang boleh digunakan untuk meletupkan dirinya hancur berkecai.

Akhirnya terlaksanalah impian Altantuya yang malang itu.
Maka pembunuhan Altantuya itu tidak boleh disalahkan kepada siapa pun, kerana itu adalah atas kehendak dirinya sendiri.


Kalau ada pun yang bersalah, hanyalah beberapa orang anggota polis yang terbabit, itupun bukan atas kesalahan membunuh tetapi atas kesalahan kerana bersubahat membantu Altantuya membunuh diri dan atas kesalahan tidak melaporkan kematian Altantuya.
Anggota-anggota polis tersebut boleh diambil tindakan tatatertib, dibuang kerja dan mungkin dikenakan hukuman penjara untuk beberapa tahun.

Mungkin cerita ini boleh diberi kepada Yusof Haslam untuk dijadikan drama bersiri yang menarik untuk setesen TV Malaysia. Pasti orang Malaysia suka nak tengok drama sedih yang menyayat hati ini.

Pemimpin-pemimpin politik pun suka jalan cerita macam itu sebab skrip dalam cerita itu tidak ada yang mengaitkan atau memburuk-burukan mereka.

Oleh itu bila hendak buat cerita pastikan cerita kita itu tidak membabitkan atau memburuk-burukan mana-mana pemimpin politik, kalau tidak maka nasib mereka yang membuat cerita itu akan menerima padah sama seperti nasib Raja Reformasi dalam gambar ini.







Mungkin Raja Reformasi ini telah tidak dapat membezakan ‘watak’ suami dalam citra Altantuya iaitu Abdul Razak Baginda dengan Najib Razak, kedua-dua orang ini memang nampak macam sama, nama mereka sama-sama ada Razak, kulit mereka pun sama putih. Tetapi yang membezakan keduanya ialah Razak Baginda bekerja sebagai penganalisis politik, manakala Najib Razak adalah pemimpin politik.




Supaya kita tidak keliru dan tersilap orang di masa-masa akan datang, di sini ditunjukkan semula gambar kedua-duanya, gambar yang berwajah muram dan murung itu adalah gambar Abdul Razak Baginda manakala gambar yang sedang ketawa besar itu adalah gambar Najib Razak.












Adakah Datuk Seri Najib Razak masih boleh ketawa besar macam dalam gambar ini selepas Pemilihan UMNO yang berlangsung bulan Disember 2008 akan datang ini?. Sama-samalah kita saksikan nanti.

Wednesday, April 30, 2008

Kita hanya ada Negara, tetapi tiada Bangsa Malaysia

Setelah 50 tahun negara kita merdeka tetapi masih belum kelihatan rupa bangsa identiti Malaysia. Yang ada hanyalah warga Malaysia keturunan Melayu, warga Malaysia keturunan Cina, warga Malaysia keturunan India dan warga Malaysia keturunan lain-lain.

Singapura nampaknya jauh di hadapan dari kita dalam soal pembentukan identiti bangsa. Walaupun rakyatnya terdiri dari pelbagai kaum tetapi mereka dapat mempamerkan diri mereka sebagai bangsa Singapura atau ‘Singaporean’.

Apakah kita rasa selesa dengan keadaan negara yang tidak mempunyai bangsa seperti yang ada sekarang?

Apakah kita tidak mahu mengimpikan sebuah negara yang berciri satu bangsa satu negara?

Kita memang setuju, tidak wajar ada unsur paksaan dalam pembentukan identiti bangsa. Sebagai rakyat yang merdeka kita tidak boleh menyekat mana-mana kaum dari mempelajari dan mengamalkan budaya dan agama mereka. Tetapi ini bukanlah halangan dalam pembentukan identiti bangsa Malaysia.

Kita mengalu-ngalukan pembentukan rupa identiti bangsa Malaysia itu biarlah berlaku secara ‘natural’ atau semulajadi.

Oleh kerana tidak ada unsur paksaan dan tidak ada keperluan segera untuk menghasilkan bangsa Malaysia maka kita tidak pernah menetapkan tempoh masa yang diperlukan untuk mencapai matlamat bangsa Malaysia ini.

Tetapi setelah 50 tahun berlalu, pencapaian kita dalam pembentukan bangsa Malaysia terlalu perlahan dan amat mengeciwakan.

Bukan sahaja kita jauh dari pembentukan bangsa Malaysia, malah perasaan curiga antara kaum masih menebal di kalangan kita. Orang Melayu tidak percaya kepada orang Cina begitu jugalah sebaliknya. Orang Melayu berjuang untuk orang Melayu, orang Cina pula berjuang untuk survival kaum mereka.

Orang Melayu rasa curiga kalau orang Cina mendapat kuasa atau menjadi pemimpin kerana takut kepentingan dan keistimewaan mereka akan hilang. Orang Cina pula tidak percaya pemimpin Melayu dapat membela nasib kaum Cina.

Selagi ada sikap prejudis dan curiga dikalangan kaum-kaum ini, selagi itulah mencerminkan kita gagal dalam pembembentukan bangsa Malaysia, ataupun kita masih belum berjaya dalam membentuk bangsa Malaysia yang kita inginkan.

Menambah buruk keadaan bila ada ahli-ahli politik yang bersikap orportunis, mengambil kesempatan dari keadaan polarisasi kaum yang melebar ini. Kewujudan polarisasi kaum ini digunakan oleh ahli-ahli politik untuk membangkitkan sentimen perkauman, dengan cara ini mereka dapat meraih undi dengan mudah dan memenangkan mereka dalam pilihanraya.

Pemisahan kaum ini dapat memberi kelebihan kepada orang-orang politik yang ada kepentingan, oleh itu tidak ada sebab mereka ingin menghapuskannya.

Untuk masa jangka pendek memang mereka untung kerana memberi jalan mudah memenangi pilihanraya, tetapi untuk jangka masa panjang semua rakyat akan rugi kerana amalan ini hanya menambah menjauhkan kita dari pembentukan bangsa Malaysia.

Oleh itu peranan ahli-ahli politik sangat penting dalam hasrat hendak mencapai pembentukan bangsa Malaysia. Mesti ada kesedaran yang tinggi pada ahli-ahli politik untuk menjayakannya.

Apa yang saya nampak yang menjadi halangan utama dalam pembentukan bangsa Malaysia ialah setiap kaum di negara ini menjalani kehidupan harian mereka secara terpisah-pisah.

Setiap kaum berasa lebih selesa untuk bekerja dan menjalankan aktiviti sesama kaum mereka sahaja. Ekoran dari itu tidak ada interaksi yang akrab antara satu kaum dengan kaum yang lain.

Apabila peluang untuk berinteraksi antara kaum tidak ada, maka sukarlah untuk mereka mengenal lebih rapat antara satu sama lain.

Tak kenal maka tak cinta, perasaan prihatin dan sayang kepada orang lain itu hanya timbul dan boleh terjalin bila kita dapat berpeluang berkawan dan menjalani aktiviti atau membuat kerja bersama-sama.

Dari pengalaman kita, apabila ada dua orang dari kaum yang berlainan menjalin persahabatan yang mungkin terhasil dari bekerja di tempat yang sama untuk tempoh masa yang panjang, perasaan curiga dan rasa tidak percaya kepada sahabatnya akan hilang dengan sendirinya. Di waktu itu kepentingan mereka bersama lebih diutamakan dari kepentingan kaum mereka sendiri.

Oleh itu kalau semua kita benar-benar ikhlas hendak melihat bangsa Malaysia terbentuk, usaha kearah itu mestilah digerakkan secara bersungguh-sungguh kerana ia akan mendatangkan banyak manafaat kepada negara dan generasi kita akan datang.

Kita juga menyeru kepada pemimpin-pemimpin politik yang ada di negara kita ini untuk duduk semeja mencari jalan dan berusaha keras ke arah pembentukan bangsa Malaysia ini.

Lupakanlah keuntungan politik jangka pendek yang hanya berupa kepentingan politik peribadi sahaja.

Tidak mungkin kita dapat membentuk satu bangsa Malaysia, kalau setiap kaum di negara ini menjalani hidup secara berpisah-pisah.

Telah lama berlaku di mana anak-anak telah diasingkan bersekolah mengikut kaum sejak dari tadika lagi. Peluang untuk mereka menjalin persahabatan hampir tidak ada.

Akhirnya kita membesar dalam kaum masing-masing, berkawan dan bersahabat dengan kaum kita sendiri. Sehingga sukar kita mempunyai sahabat karib yang terdiri dari kaum lain. Bertanyalah kepada diri kita, berapa orangkah sahabat karib kita yang berasal dari kaum lain? Rata-rata jawapannya adalah tidak ada.

Hasil dari itu, rasa tidak percaya kepada kaum lain terus tersemat di sanubari kita, sehingga semua kita sentiasa bekerja keras untuk merebut kuasa politik, kekayaan ekonomi dan lain-lainnya supaya menjadi milik kaum kita.

Secara sedar atau tidak, telah tertanam dalam pemikiran kita, kaum mana yang berkuasa dan kaya, kaum itulah yang akan mengambil semuanya dari kita.

Apabila suatu kaum itu dapat memiliki kuasa politik dan kuasa ekonomi, kaum tersebut akan menjadi ‘tuan’ kepada kaum yang lain. Akhirnya kita sentiasa ‘memusuhi’ kaum lain kerana tidak mahu mereka menjadi ‘tuan’ kepada kita.

Mereka yang lahir di bumi Malaysia ini, tidak kira dari kaum mana pun dia datang, dia adalah anak bumi negara ini. Mereka mempunyai hak yang sama seperti anak-anak yang lain. Mereka bukan dilahirkan untuk menjadi ‘tuan’ dan tidak pula menjadi ‘hamba’, hak dan peluang mereka sepatutnya sama.

Apabila kita berpeluang berada di luar negara, orang Melayu Malaysia lebih selesa untuk berkawan dengan orang Melayu Indonesia atau Melayu Berunai berbanding dengan orang Cina dan orang India Malaysia. Orang Cina Malaysia pula lebih selesa untuk berkawan dengan orang Cina dari Negara China berbanding dengan orang Melayu dan India Malaysia.

Sehingga hari ini kita nampak kepentingan kaum terus menerus menjadi agenda utama rakyat negara ini melebihi agenda bangsa Malaysia.

Satu Negara Satu Bangsa Malaysia telah menjadi impian pemimpin-pemimpin kita yang lalu, tetapi kalau kita tidak mulakan dengan langkah pertama dari sekarang, kita tidak akan sampai ke mana-mana walau untuk 100 tahun lagi..

Tulisan ini ditulis sebagai mengenang dan menghargai pejuang bangsa Malaysia: Rustam A. Sani.

Thursday, April 24, 2008

Ada kerja ada gaji.

Jika anda seorang rakyat Malaysia, telah mempunyai keluarga , tinggal di kawasan Bandar, selain dari terpaksa membeli barang makanan dan membeli rumah untuk hidup, anda juga perlu membuat beberapa bayaran lain.

Bayaran-bayaraan itu termasuklah bil elektrik, bil air, bil telefon talian tetap, membeli gas untuk memasak, bil khidmat pembersihan air kumbahan Indah Water, bayaran cukai pintu dan bayaran cukai tanah. Semua bayaran-bayaran ini perlu dijelaskan setiap bulan atau setiap tahun atau secara berkala.

Selain dari itu anda juga kena membayar ansuran kereta, lesen memandu, cukai jalan, insuran kereta, cukai pendapatan dan mungkin juga kena membayar bil internet, bil telefon bimbit dan bayaran langganan untuk TV Astro.

Bagi yang berniaga pula mereka kena bayar lesen perniagaan. Dan setiap kali kita meletak kenderaan di kawasan bandar kita dikenakan pula bayaran tempat letak kereta.

Untuk menanggung semua bayaran-bayaran ini, kita terpaksa bekerja atau makan gaji. Bagi mereka yang berpendapatan rendah pula, isteri terpaksa keluar bekerja bagi meringankan beban suami. Bila isteri keluar bekerja, mereka terpaksa mengupah orang untuk menjaga anak-anak mereka di rumah atau menghantar anak-anak mereka ke pusat penjagaan kanak-kanak.

Tidak mungkin seseorang itu boleh tinggal di bandar tanpa ada pekerjaan. Untuk memungkinkan orang dapat meneruskan hidup di Bandar, kerajaan sentiasa menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada orang ramai.

Banyaklah jabatan-jabatan dan agensi-agensi diwujudkan supaya orang ramai dapat bekerja, pelabur-pelabur asing pun digalakkan melabur di Negara ini bagi membanyakkan lagi peluang-peluang pekerjaan.

Tetapi kadang-kadang menjadi soalan kepada kita juga, apakah kerja-kerja yang diwujudkan itu betul-betul memberi manafaat kepada manusia itu sendiri atau semata-mata hanya untuk memberi kerja kepada orang ramai agar mereka dapat gaji dan dari gaji itu dapatlah mereka membayar segala bayaran yang disenaraikan tadi?

Selama ini kita tak pernah membayar mat-mat rempit yang kerjanya berlumba haram di jalan raya, tak pernah bayar kaki-kaki lepak di shopping-shopping kompleks, kerana semua mereka membuat kerja-kerja yang tak berfaedah dan memang tidak patut pun mereka diberi gaji.

Tapi apalah bezanya mereka itu dengan pemain-pemain bola professional yang tak habis-habis mengejar bola untuk disumbatkan ke dalam gol dan juga pelumba-pelumba F1 yang membawa kereta berpusing-pusing melalui track yang berulang-ulang yang tak pernah sampai ke mana itu. Orang-orang ini nampaknya macam buat kerja yang tak berfaedah juga tetapi mereka dibayar gaji yang sungguh lumayan.

Apabila orang ramai pergi menonton pertandingan bola dan lumba kereta ini, mereka bukan saja terpaksa mengeluarkan wang untuk membeli tiket tetapi juga banyak masa dibuang bagi menonton pertandingan itu. Kalaulah masa yang dibazirkan itu digunakan untuk bercucuk tanam atau bergotong royong membersih kawasan kediaman mereka, tentulah rasanya lebih bermanafaat lagi.

Bila ada orang-orang membuat kerja-kerja yang tak berfaedah ini atau kurang berfaedah ini mendapat bayaran gaji dan kadang-kadang gaji mereka jauh lebih tinggi pula dari orang yang membuat kerja yang berfaedah, tentu keadaan ini akan menimbulkan masalah kepada nilai duit.

Bandingannya samalah seperti setiap kali kita menerima gaji pada setiap bulan, sebahagian wang kita itu dirompak oleh perompak, kita yang penat-penat bekerja tetapi perompak dengan senang mendapat wang dari hasil rompakan. Oleh kerana setiap bulan kita terpaksa berkongsi dengan perompak, tentulah jumlah wang yang kita dapat setiap bulan itu kurang dari yang sepatutnya, ini akan menyebabkan kuasa beli kita turut menyusut.

Atau pun samalah juga kalau ramai orang yang kerjanya hanya meminta sedekah, sehingga kita terpaksa member sebahagian dari gaji kita kepada peminta-peminta sedekah ini. Dengan cara ini juga wang kita juga boleh berkurang kerana terpaksa berkongsi dengan peminta-peminta sedekah tersebut.

Kita juga kurang faham, sudahlah cukai jalan kena bayar, lesen memandu pun kena bayar juga. Selain dari membebankan pengguna ia juga menyusahkan kerana terpaksa membuat dua bayaran. Rasanya cukuplah orang ramai perlu lulus dalam ujian memandu dan diberi sijil lulus memandu, tetapi tak perlulah sijil itu dikenakan bayaran setiap tahun.

Kalau sijil lulusan diploma dan ijazah tidak pernah dikenakan bayaran setiap tahun setelah dianugerahkan, logiknya kenapa pula sijil lulus memandu dikenakan bayaran tiap-tiap tahun.

Begitu juga dengan cukai tanah, apa perlunya kita kena membayar cukai tanah, kalau duit cukai tanah yang kita bayar tiap-tiap tahun itu bertujuan untuk menampung gaji pekerja-pekerja yang bekerja di pejabat tanah tentulah tidak kena dan tidak patut. Mungkin orang ramai memerlukan khidmat pekerja pejabat tanah ini hanya sekali dua sahaja dalam seumur hidup tetapi kenapa mereka kena bayar cukai tanah bagi tiap-tiap tahun dan selama-lamanya.

Sekalipun di atas tanah itu dibuat tapak perniagaan dan atas sebab itu tuan tanah kena membayar cukai, pun alasan itu tidak boleh dipakai juga kerana keuntungan hasil dari dari perniagaan itu akan juga dikenakan cukai pendapatan.

Kalau kita kena bayar cukai pintu setiap tahun, itu kita fahamlah kerana duit itu akan diguna oleh pihak berkuasa tempatan untuk mengutip sampah dan membersih kawasan rumah kita.

Begitu juga dengan lesen perniagaan yang peniaga atau pengusaha kena bayar setiap tahun. Sedangkan mereka juga kena bayar cukai pendapatan. Cukuplah mereka diberi lesen untuk berniaga tetapi tak wajarlah dikenakan bayaran untuk lesen tersebut bagi setiap tahun.

Oleh itu kerajaan kena lihat balik cukai-cukai yang bertindih ini, ia bukan sahaja akan membebankan orang ramai tapi juga akan menyusutkan kuasa beli mereka.

Janganlah hendaknya cukai-cukai ini diwujudkan hanya untuk memberi gaji kepada pekerja-pekerja dalam agensi-agensi yang sengaja diwujudkan bagi memberi peluang untuk orang bekerja.

Yang lebih penting ialah memastikan kerja-kerja yang diwujudkan itu betul-betul berkesan, memberi manafaat atau faedah kepada orang ramai.

Dalam Islam kita dicela dari meminta-minta, tetapi sebaliknya digalakkan bekerja untuk menyara kehidupan walaupun dengan menjual kayu api. Jika semua orang membuat kerja, ia akan dapat meninggikan nilai duit kita dan dalam masa yang sama dapat menurunkan inflasi dan kos hidup.

Bayangkan kalau ramai orang bekerja menanam padi dan sayur-sayuran, beras dan sayuran akan mudah diperolehi, dengan itu harga beras dan sayuran akan menjadi murah. Bila barang makanan murah, kuasa beli kita menjadi besar.

Antara sebab kenapa harga barang tak pernah turun ialah kerana ramai orang tidak bekerja, kalaupun bekerja, kebanyakan kerja yang diwujudkan itu tidak benar-benar bermanafaat kepada manusia. Selain dari itu, kita kurang memberi tumpuan kepada bidang-bidang pekerjaan yang mengeluarkan makanan, sedangkan kita tahu makanan itu adalah keperluan utama untuk kehidupan manusia.

Inflasi juga boleh meningkat kalau amalan rasuah tidak dibenteras kerana rasuah menyebabkan penambahan kos dan juga menjejaskan kualiti barangan yang dihasilkan.

Jual beli dengan mengambil keuntungan yang berlebihan juga boleh menyumbang kepada inflasi. Sikap jimat cermat pula boleh membantu mengurangkan inflasi kerana bila kita berjimat dan berhemah semasa berbelanja, kita dapat mengurangkan permintaan kepada sesuatu barangan. Harga barangan sesuatu barangan itu meningkat bila terlalu banyak permintaan.

Riba pula sangat dilarang dalam Islam kerana ia amalan yang menindas dan turut menyumbang kepada inflasi. Jika riba 10 peratus dikenakan ke atas setiap pinjaman, bermakna jika kita pinjam RM100, pada tahun hadapan nilai RM100 itu akan menjadi hampir RM110. Amalan riba akan menyebabkan nilai duit sentiasa menurun dari setahun ke setahun.

Thursday, April 17, 2008

Pak Lah tak selesa dengan Najib.

Tidak mengejutkan bila Pak Lah membuat kenyataan baru-baru ini, beliau akan melakukan proses peralihan kuasa kepada Najib hanya selepas permilihan UMNO pada bulan Disember 2008 akan datang ini.

Pak Lah didesak berundur dari jawatan Presiden UMNO oleh sebahagian besar ahli-ahli UMNO ekoran kemerosotan prestasi BN pada piliharaya umum ke 12 yang lalu. Walaupun tidak patut kemerosotan itu dibebankan kepada Pak Lah seorang tetapi dalam keadaan UMNO yang telah tenggelam punca sekarang ini, UMNO telah menjadikan Pak Lah sebagai kambing hitam mereka.

Untuk meredakan kemarahan orang ramai terutamanya orang-orang UMNO yang tengah berang itu Pak Lah terpaksa mengalah untuk melakukan proses peralihan kuasa kepada penggantinya tetapi hanya selepas pemilihan UMNO akan datang ini.

Apabila Pak Lah dilihat mahu berundur, barulah ahli-ahli UMNO berasa agak lega sedikit.

Walupun Pak Lah mengatakan Najiblah yang akan menggantinya selepas beliau berundur tetapi kita tahu Pak Lah tidak selesa kalau Najib menjadi PM. Dia hanya berkata begitu kerana secara tradisinya Timbalan Presiden akan mengambil tempat Presiden apabila Presiden berundur.

Tujuan dia berkata demikian adalah juga bagi meredakan penyokong-penyokong Najib yang telah lama memasang angan-angan hendak melihat Najib menjadi PM.

Semasa Pak Lah mengambil jawatan PM dari Tun Mahathir, Pak Lah mengambil masa yang lama juga untuk melantik Najib menjadi Timbalan Perdana Menteri, tetapi Pak Lah akhirnya terpaksa juga melantik Najib kerana di waktu itu beliau tidak ada banyak 'pilihan politik'.

Mungkin ada strategi Pak Lah yang tersendiri kenapa beliau memberi syarat untuk peralihan kuasanya ditangguhkan selepas pemilihan UMNO Disember 2008 ini.

Pertamanya Pak Lah hendak memulihkan semula keyakinan orang ramai terhadap diri beliau. Keduanya adalah untuk mencari pengganti yang disukainya yang bakal memimpin negara ini. Sudah tentu Pak Lah mahu penggantinya nanti mempunyai aspirasi politik seperti beliau juga.

Aspirasi Pak Lah dengan Mahathir adalah berlawanan sekali, Pak Lah suka untuk memajukan sektor pertanian sedangkan Mahathir suka kepada projek mega. Dalam keadaan dunia yang bakal menghadapi krisis makanan ini, polisi Pak Lah lebih pragmatik.

Pak Lah tahu Najib adalah orang yang disukai Mahathir untuk menjadi PM. Oleh itu Pak Lah melihat kalau Najib menjadi PM tentu sedikit sebanyak cara politik dan polisinya akan terikut-ikut cara Tun Mahathir.

Hanya pada pemilihan UMNO akan datang ini sajalah peluang yang ada pada Pak Lah untuk beliau mencari pengganti beliau yang disukainya. Tentunya Pak Lah tidak berasa ralat untuk berundur dari jawatan PM, tetapi yang menjadi ralat kepada beliau ialah bila tidak dapat pengganti yang disukainya.

Telajak perahu boleh diundur tetapi terlajak kata kalau tak dikota buruk padahnya. Pak Lah telah memberi janji untuk berundur. Penyokong-penyokong Najib pula telah meletakkan harapan yang tinggi kepada janji Pak Lah tersebut.

Mampukah Najib mempertahankan jawatannya pada pemilihan UMNO bulan Disember 2008 ini? Kalaulah dibuatnya Najib tewas dan orang Pak Lah menang dalam pertandingan itu nanti, tentu nasib politik Pak Lah akan berubah sama sekali.

Selain dari itu nasib Najib juga ditentukan oleh pilihanraya umum ke 13, kemaraan Pakatan Rakyat seperti sukar untuk dibendung. Kalau Pakatan Rakyat dapat memerintah negara ini, tidak ada erti lagilah kepada Najib sekalipun dia menang dalam pemilihan UMNO akan datang ini.

Monday, April 07, 2008

PRU 12, Mahathir yang patut dipersalahkan.

Kemerosotan perestasi BN dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu telah diambil kesempatan oleh bekas PM yang lalu, Dr. Mahathir Mohamad, untuk menyalahkan Pak Lah di atas kemerosotan itu.

Mahathir mempunyai agenda yang belum selesai, tetapi beliau terpaksa meletakkan jawatan secara sukarela bila diganyang bertali arus oleh pendemonstrasi reformasi dan menerima isyarat protes yang jelas dari rakyat pada pilihanraya umum tahun 1999 dengan merosotnya undi orang Melayu kepada BN.

Mahathir telah cuba menutup segala kesalahan yang dilakukannya sepanjang 22 tahun beliau memerintah dengan meletakkan segala kesalahan itu atas bahu Pak Lah.

Itulah cara Mahathir, menutup kesalahan dengan kesalahan lain. Akhirnya cara itu jugalah yang telah memakan dirinya, yang membuatkan beliau kehilangan kuasa. Bila kesalahan telah menjadi bertimbun seperti bangkai gajah pasti tidak akan dapat ditutup lagi.

Kita kena ingat Mahathir mempunyai agenda yang belum selesai. Dia tidak akan duduk diam selagi agenda beliau tidak tercapai.

Mahathir pandai berkata-kata, walau nampak lurus tapi katanya berbelit, siapa mendengar pasti terpesona, tidak ada orang yang mampu berhujah dengannya, akhirnya jadilah dia pemimpin yang autokratik. Tidak ada orang yang berani menyanggah cakapnya. Kalau ada yang berani menegur, alamat tidak akan dapat naik ke atas. Akhirnya barisan kepimpinan UMNO dipenuhi oleh pengampu-pengampu beliau sahaja.

Secara ‘sistematik’ beliau telah menguasai badan perundangan dan kehakiman, dan juga secara terancang telah menguasai semua media perdana, pentadbir agensi-agensi kerajaan dan universiti-universiti awam, termasuk juga badan suruhanjaya pilihanraya.

Apa yang beliau lakukan itu sangat menyimpang jauh dari amalan demokrasi, beliau menjadikan demokrasi hanya sebagai topeng sahaja,

Dari masa ke semasa dijemputlah ahli-ahli akademik yang dianugerahkan gelaran professor bagi membincangkan kehebatan manusia yang bernama Mahathir dan projek meganya di media-media elektronik dan akhbar perdana.

Sehingga telah tertanam dalam benak fikiran orang Melayu dan rakyat Malaysia ketika itu, tidak ada orang lain yang boleh menggantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia. Malah lebih ekstrim lagi, ada orang yang percaya Malaysia akan jatuh miskin kalau Mahathir turun dari jawatan PM. Pernah di satu ketika dulu, Rafidah Aziz hampir jadi histeria bila Mahathir mengacah hendak letak jawatan.

Mahathir secara terang menolak demokarasi ala barat, beliau sering menegaskan demokrasi mestilah mengikut acuan kita. Tapi yang jelasnya bukan acuan kita tapi acuan beliau sendiri.

Tidak hairanlah kalau pemilihan dalam UMNO telah menggunakan sistem kuota, kerana itulah demokrasi ciptaan atau acuan Mahathir.

Apabila ada orang melabelkan beliau sama seperti diktatator, secara sinis beliau menjawab, beliaulah satu-satunya diktator yang ada di dunia ini yang dipilih melalui proses demokrasi. Memanglah betul melalui proses demokrasi tetapi melalui demokrasi acuan beliau sendiri.

Mahathir telah menyuburkan budaya ampu, calon-calon BN yang bertanding untuk menjadi Wakil Rakyat atau Wakil Parlimen bukan lagi berdasarkan orang disukai rakyat tetapi berdasarkan orang yang disukai Mahathir.

Letak tunggul pun sebagai calon, pasti akan menang asalkan tunggul itu disukai oleh Mahathir. Rakyat ketika itu sudah menjadi macam lembu yang langsung tidak boleh berfikir.

Walaupun barisan kepimpinan yang berada disekeliling Mahathir ketika itu sering dikaitkan dengan perkara-perkara salah laku dan tak bermoral seperti rasuah, kaki perempuan dan terlibat dengan jenayah, tetapi tidak pernah dilakukan siasatan atau pendakwaan selagi mereka patuh kepada telunjuk Mahathir. Kalau pun terpaksa disiasat, Mahathir akan kata kepada rakyat, seseorang itu tidak boleh disabitkan kesalahan selagi dia tidak diputuskan sebagai bersalah oleh ‘Makamah Malaysia’.

Akta rahsia rasmi telah digunakan untuk menangkap orang yang memberitahu ada orang yang membuat salah. Akhirnya bukan pencuri yang ditangkap tetapi orang yang memberitahu ada orang mencuri itu yang ditangkap.

Mahathir bercita-cita hendak meramaikan orang Melayu bergelar jutawan. Beliau mahu ada orang Melayu yang boleh berniaga dan menjadi usahawan supaya mereka ini akan menjadi jutawan. Tetapi malangnya peniaga dan usahawan Melayu yang cuba dibentuk itu adalah usahawan segera. Mereka tidak berilmu dan pengalaman luas, mereka banyak bergantung kepada projek kerajaan. Malah ada diantara mereka itu yang hanya ambil komisyen sahaja, sedangkan projek dibuat oleh orang lain. Di zaman beliaulah juga munculnya ramai usahawan-usahawan Ali Baba.

Pada tahun 1998 ketika krisis matawang melanda di Asia Tenggara, ekonomi Malaysia jatuh merudum. Untuk menjaga usahawan segera ini untuk terus hidup, Mahathir terpaksa ‘bail out’ beberapa syarikat yang dipunyai oleh kroninya dan membina lebih banyak projek. Kononnya pembinaan projek-projek ini adalah untuk membantu merancakkan kegiatan ekonomi negara.

Tetapi yang lebih rancak kelihatannya ialah kebanjiran pendatang-pendatang asing untuk bekerja di sektor pembinaan dan perladangan. Kebanjiran pendatang asing ini bukan saja telah membawa pulang bersama mereka duit kita tetapi juga menimbulkan banyak masalah sosial kepada kita.

Bermacam-macam projek telah dirancang untuk dibina bagi menjaga periuk nasi usahawan-usahawan segera ini, walaupun ada projek-projek yang dibina itu tidak langsung bermanafaat kepada rakyat dan kuliti binaannya pula sangat rendah. Selepas dibina ada yang langsung tidak digunakan dan setengahnya pula mengalami berbagai-bagai kerosakan dan masalah.

Apakah patut semua kesalahan yang telah dibuat oleh Mahathir itu dipikulkan ke atas bahu Pak Lah. Apabila Mahathir meletak jawatan pada tahun 2003, rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi, ketelusan, keadilan dan nilai-nilai yang baik telah merasa lega kerana terlepas dari cengkaman Mahathir.

Harapan rakyat begitu tinggi kepada Pak Lah untuk membuat pembaharuan dan menghapuskan segala amalan-amalan buruk yang berlaku semasa di bawah pimpinan Mahathir. Pada pilihanraya tahun 2004 Pak Lah mendapat sokongan padu dari rakyat dengan mendapat mandat yang besar.

Tapi sayang, amalan buruk itu rupanya telah menjadi barah yang sukar ditangani oleh Pak Lah. Pada pilihanraya umum ke 12 yang lalu menunjukkan kekeciwaan rakyat kepada Pak Lah tentang apa yang menjadi harapan mereka kepada beliau sebelum itu.

Wednesday, April 02, 2008

Bersaing dengan Gergasi.

Kekalahan BN di Pulau Pinang telah membuatkan ahli perniagaan dari kalangan orang Melayu di sana berada dalam keadaan yang resah dan tidak menentu. Kebimbangan mereka itu timbul kerana parti yang mengetuai kerajaan negeri sekarang ini adalah parti DAP yang tidak berapa senang dengan beberapa polisi BN dalam pengeluaran tender projek kerajaan.

Ditambah pula parti DAP adalah parti yang didominan oleh kaum Cina, ini menambah rasa curiga peniaga-peniaga Melayu kepada polisi-polisi yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan baru ini yang sudah tentu tidak akan memberi kelebihan kepada mereka.

Di hari-hari awal Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang beliau telah mengeluarkan kenyataan bahawa semua tender kerajaan akan menggunakan sistem tender terbuka bagi menjamin keadilan dan ketelusan.

Mungkin niat beliau itu baik untuk menunjukkan bahawa kerajaan yang beliau pimpin akan mengamalkan dasar-dasar yang bersih, telus, adil dan saksama yang menjadi prinsip perjuangan partinya selama ini.

Tetapi masalahnya timbul bila peniaga Melayu yang selalu mendapat bantuan dan sokongan dari kerajaan sebelum ini, tidak mampu untuk bersaing bila pengeluaran tender dibuat secara terbuka.

Mereka sedar komuniti perniagaan di negara ini dikuasai oleh kaum Cina, perniagaan mereka begitu teguh dan sukar untuk disaingi dan ditembusi oleh kaum-kaum lain.

Mungkin Lim Guan Eng hanya melihat perkara ini secara menyeluruh dan tidak begitu sensitif dengan masalah orang Melayu maka beliau mungkin terlepas pandang akan perkara tersebut.

Kebimbangan ini juga turut disuarakan oleh Perdana Menteri kita Pak Lah dalam perjumpaan dengan ADUN-ADUN UMNO di Pulau Pinang baru-baru ini. Selaku presiden pemimpin parti orang Melayu tentulah beliau ada sebab untuk bimbang tentang perkara yang ada hubung kait dengan orang Melayu.

Sampai bilakah agaknya kita dapat memecahkan batas-batas perkauman bila melihat sesuatu isu yang berlaku di negara kita ini. Walaupun kita tinggal dalam satu negara yang sama tetapi tiap-tiap kaum masih mengamalkan kehidupan yang berasingan.

Walaupun dari dulu pemimpin-pemimpin kita melaung-laungkan perpaduan tetapi perpaduan antara kaum masih berada pada ikatan yang longgar. Setiap kaum lebih selesa bergaul, berkawan dan menjalankan aktiviti kehidupan dalam kelompok kaum masing-masing.

Mereka lebih selesa bersekolah di sekolah yang berasingan mengikut kaum masing-masing, mereka lebih cenderung untuk membela nasib kaum masing-masing dan persatuan-persatuan yang mereka wujudkan adalah juga untuk menjaga kepentingan kaum masing-masing.

Kalau di zaman penjajahan British dahulu sektor pekerjaan telah dibahagi-bahagikan mengikut kaum. Setelah kita merdeka bidang-bidang pekerjaan masih lagi mencerminkan pembahagian kaum walaupun bukan dasar kerajaan untuk membahagikan mereka mengikut kaum. Sebagai contoh, sektor perniagaan masih didominasi oleh kaum Cina manakala sektor kerajaan didominasi oleh kaum Melayu.

Hakikatnya interaksi antara kaum dalam kehidupan seharian-harian kita tidak begitu terjalin erat. Perpaduan yang wujud antara kaum di negara ini bukanlah suatu perpaduan yang tulen. Yang kita nampak itu sebenarnya bukanlah perpaduan tetapi lebih kepada persefahaman.

Memang tidak dinafikan memang wujud persefahaman antara pemimpin-pemimpin kaum ini dalam memenuhi tuntutan kaum masing-masing melalui badan-badan politik yang mewakili kaum-kaum mereka. Selama ini persefahaman yang diambil melalui hubungan politik inilah yang telah berjaya mengekalkan keamanan antara kaum-kaum ini.

Tapi sampai bilakah kita harus menjalani hidup seperti ini. Selesakah kita menjalani kehidupan seperti yang kita amalkan sekarang ini untuk selama-lamanya. Setiap kaum sentiasa hidup dengan mencurigai kaum yang lain, setiap kaum hanya memikirkan survival kaum masing-masing sahaja. Orang Melayu berjuang untuk membela nasib orang Melayu, orang Cina berjuang untuk membela nasib orang Cina dan orang India pula berjuang untuk membela nasib kaum India.

Sudah sampai masanya kita meleburkan batas-batas dan jurang-jurang perkauman yang ada ini. Kita tidak boleh lagi melihat seseorang mengikut kaum mereka. Setiap orang harus dilihat sebagai rakyat Malaysia.

Kalau orang Jawa atau orang Banjar, orang Kedah, orang Kelantan boleh kita lihat sama seperti orang Melayu lainnya, kenapa kita tidak boleh melihat orang Cina dan orang India seperti itu juga. Begitu juga dengan orang Cina, kalau mereka dapat menerima dan melayan orang Kek, orang Hailam dan orang Hainan sama seperti orang Cina lainnya, kenapa pula mereka tidak boleh menerima dan melayan orang Melayu dan orang India sama seperti itu juga.

Sepatutnya sebagai warga negara atau rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab kita semua untuk membela nasib rakyat Malaysia yang lain tanpa dibatasi oleh kaum dan agama.

Kalau anak muda Melayu ramai menagih dadah, kalau anak muda India ramai terlibat dengan geng samun, apakah penagih dadah Melayu ini tidak akan mencuri wang orang Cina atau apakah geng samun India ini tidak akan menyamun taukeh-taukeh Cina? Selagi kita tinggal dalam negara yang sama, apa sahaja masalah yang dihadapi oleh orang lain akan juga memberi masalah kepada kita juga.

Oleh itu kita tidak boleh kata ini adalah masalah orang Melayu, orang Melayulah yang mesti menyelesaikannya. Saya tak nampak taukeh-taukeh Cina yang punya wang berjuta boleh hidup dengan aman kalau dikelilingi oleh penyamun, penjenayah dan penculik.

Memang tidak boleh dinafikan banyak peniaga-peniaga yang kaya raya di Malaysia ini adalah dikalangan orang-orang Cina. Ini kita tidak hairan kerana bidang perniagaan telah menjadi budaya dan darah daging orang Cina. Perniagaan mereka berjaya adalah hasil usaha gigih mereka sendiri.

Kepandaian dan kemahiran dalam selok belok perniagaan, sikap rajin dan cekal yang mereka miliki menjadikan mereka berjaya dan menjadi kaya raya walupun kadang-kadang bermula dari sebuah kedai runcit yang kecil. Memang layaklah untuk mereka menjadi kaya hasil dari titik peluh dan usaha mereka itu.

Berbanding orang Melayu, perniagaan belum lagi menjadi budaya orang Melayu, kalau ada pun mungkin pada orang Melayu di Kelantan. Kalau kita lihat sikap orang Melayu berniaga, banyak sangat kelemahan-kelemahan yang ada pada mereka, mereka tak serajin orang Cina, orang Cina buka kedai pukul 6 pagi, orang Melayu pukul 10 baru nak buka kedai. Itu belum lagi kalau kita tengok benda-benda yang lain.

Sampai bila kita hendak hidup hanya mengharapkan atas semangat tolong Melayu tetapi sikap kita tidak pernah hendak menolong diri kita sendiri.

Sikap orang Melayu kena berubah, kita tak sepatutnya selama-lamanya hidup di atas pertolongan dan ihsan orang lain atau kerajaan.

Walaupun sistem tender terbuka memberi tamparan hebat kepada peniaga dan usahawan Melayu tetapi ia merupakan ubat yang paling mujarab kepada mereka.

Selepas ini mereka harus sedar untuk menjadi peniaga dan usahawan yang berjaya mereka harus bermula dari bawah kerana kejayaan yang diperoleh melalui jalan politik tidak akan dapat menjamin mengekalkan kejayaan yang mereka miliki.

Sebagai timbal balas, kepada peniaga dan usahawan yang berjaya, sebagai warga Malaysia mereka harus punya tanggungjawab sosial kepada warga yang lainnya tanpa mengira kaum dan agama. Janganlah ada lagi sikap diskriminasi bila berurus niaga dengan kaum-kaum lain. Pendek kata layanilah kaum-kaum lain itu seperti kita melayani kaum kita sendiri.

Kesejahteraan kaum lain adalah kesejahteran kita juga, kerana kita semua adalah rakyat Malaysia.

Wednesday, March 26, 2008

Parti Orang Hutan

Banyak berita yang menarik perhatian saya bila membaca Mingguan Malaysia 23 Mac 2008 yang lalu berkaitan perkembangan politik semasa negara kita.

Pertamanya berita Zaid Ibrahim mencadangkan supaya kerajaan BN memohon maaf kepada bekas Hakim Negara Tun Salleh Abas. Zaid Ibrahim yang dilantik menjadi menteri di jabatan Perdana Menteri dalam kabinet baru Pak Lah telah diberi tugas untuk menjaga badan perundangan dan badan kehakiman negara ini.

Tugas utama beliau sekarang ialah untuk mengembalikan kredibiliti dan integriti badan kehakiman negara ini yang akhir-akhir ini banyak dipersoalkan oleh berbagai pihak termasuk dari luar negara.

Nik Aziz semasa sebelum pilihan raya ke 12 yang lalu ada mengatakan orang UMNO sama seperti ‘orang hutan’ kerana tidak tahu undang-undang. Tidaklah begitu jelas samada ‘orang hutan’ yang dimaksudkan oleh Tok Guru Nik Aziz itu adalah orang utan yang merupakan salah satu dari sepesis monyet atau betul-betul orang yang tinggal di dalam hutan yang masih tidak bertamaddun. Ini kerana sebutan 'orang utan' dan 'orang hutan' dalam loghat kelantan susah hendak dibezakan.

Apapun kritikan keras dari Nik Aziz itu nampaknya seperti mendapat perhatian segera dari Pak Lah dengan melantik Zaid Ibrahim yang berpengalaman luas dan pakar dalam bidang undang-undang menjadi ‘menteri undang-undang’. Dan Pak Lah sangat mengharapkan supaya Zaid dapat memberi suntikan baru kepada sistem keadilan di negara ini.

Kita harapkan juga dengan perlantikan Zaid Ibrahim sebagai ‘menteri undang-undang’ ini dapatlah beliau menunjuk ajar dan memberi bimbingan kepada ahli-ahli UMNO supaya mereka tidak lagi jahil pasal undang-undang.

Iltizam Pak Lah untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap UMNO selepas mengalami prestasi buruk pada pilihanraya umum ke 12 yang lalu memang di alu-alukan oleh semua orang.

Untuk mendapat semula keyakinan orang ramai, pendekatan parti UMNO kenalah berubah. Pemikiran masyarakat kita sekarang semakin maju, sesuai dengan masyarakat yang maju, penampilan UMNO juga kena berubah untuk disesuaikan dengan masyarakat.

Amalan politik membuli dan menakut-nakutkan bukan lagi cara yang sesuai di zaman ini. Masih segar diingatan kita bagaimana Khairi Jamaludin semasa berkempen di Kelantan telah membawa mesej ‘pado dah 18 tahun’ yang membawa maksud cukuplah 18 tahun PAS memerintah di Kelantan. Akhirnya mesej beliau itu telah disambut oleh rakyat Kelantan dengan mesej ‘padea muke mu’ melalui peti undi.

Manifesto ‘Tahun Merawat Kelantan’ telah berakhir dengan ‘Tahun Merawat UMNO’ sendiri. Cara kempen yang keterlaluan itu bukan saja tidak dapat meraih simpati orang ramai untuk mengundi UMNO sebaliknya telah menimbulkan rasa meluat orang ramai.

Kebanyakan kawasan kampung-kampung sekarang ini telah mendapat kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan yang bertar. Harga getah dan kelapa sawit di masa ini juga agak tinggi ini menyebabkan orang-orang yang tinggal di kampung-kampung mempunyai pendapatan yang agak selesa. Oleh itu isu menakut-nakutkan untuk tidak memberi dan mengadakan kemudahan asas jika tidak mengundi UMNO tidak begitu berkesan lagi.

Di masa yang lalu isu-isu penawaran pemberian kemudahan asas inilah yang selalu dimainkan oleh UMNO setiap kali menjelang pilihanraya. Dan diwaktu itu taktik tersebut memang berkesan dan berjaya untuk meraih undi orang ramai.

Kerana UMNO tidak sensitif kepada perubahan dan kehendak rakyat menyebabkan parti itu tidak relevan lagi kepada mereka. Nasibnya mungkin jadi sama seperti danasour yang lenyap kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran.

Sejak kebelakangan ini rakyat kita telah bosan dengan masalah sosial yang tak pernah habis seperti dadah, rempit, lepak, masalah jenayah seperti ragut, rompak, samun, pecah rumah, penculikan dan pembunuhan kanak-kanak, peminjam wang haram atau along dan kenaikan harga barang, pengangkutan awam yang teruk dan kos kehidupan yang tinggi di Bandar. Semua masalah ini tidak pernah selesai dan tidak dapat ditangani oleh kerajaan BN dengan baik.

Rakyat juga begitu bosan dengan gejala rasuah yang berlaku dalam perkhidmatan awam dan swasta. Walaupun ada cubaan untuk menyembunyikan dengan alasan tidak ada bukti sahih tetapi rakyat biasa yang berdepan dan mengalami sendiri tentu tahu bagaimana teruknya amalan rasuah di negara kita.

Itu belum lagi termasuk cerita-cerita pencemar alam sekitar, kilang-kilang haram, pembalak-pembalak haram yang banyak kali disiasat tetapi selalu terlepas dari hukuman, semua perkara-perkara salahlaku ini samada disedari atau tidak, secara tidak langsung telah memberi imej buruk kepada parti yang memerintah.

Keresahan rakyat kepada isu-isu salah laku dan masalah sosial ini telah terlepas pandang oleh UMNO yang menganggapnya sebagai masalah remeh. Sebaliknya kalau kita lihat manifesto parti pembangkang dalam pilihanraya umum ke 12 lalu banyak menekankan kepada kepada sebuah kerajaan yang telus, adil dan membantu meringankan beban rakyat yang sememangnya sekian lamanya menjadi impian dan ditunggu-tunggu oleh rakyat negara ini.

UMNO hendaklah ikhlas dalam mengadakan pembangunan untuk rakyat. Tidak perlulah memberitahu rakyat supaya mereka patut mengenang jasa-jasa yang telah dibuat oleh UMNO. Tidak payahlah membelanjakan berpuluh ribu ringgit semata-mata untuk membuat papan-papan tanda besar yang tertulis perkataan “SEBUAH LAGI PROJEK OLEH KERAJAAN BARISAN NASIONAL”.

Tidak perlu jugalah dipanggil semua media perdana supaya dapat dilihat oleh rakyat setiap kali adanya majlis perasmian projek yang sudah siap atau pecah tanah untuk memulakan projek kerajaan. Kalau kita buat projek demi untuk kesenangan rakyat dengan ikhlas pasti akan dikenang rakyat juga.

Di dalam akhbar yang sama juga ada menyiarkan kenyataan Menteri Belia dan Sukan yang baru iaitu Datuk Ismail Sabri Yaakob. Beliau dipetik sebagai berkata “ramai golongan belia mengalihkan sokongan kepada pembangkang kerana kurangnya semangat patriotik dan cintakan negara”.

Dari kenyataan beliau itu jelas menunjukkan beliau tidak faham makna patriotik. Kalau menteri sendiri pun tak faham maksud patriotik apatah lagi orang biasa. Tapi yang peliknya macam mana orang yang cetek ilmu macam beliau itu boleh diangkat jadi menteri.

Tidak pernah kita dengar orang-orang Amerika yang menyokong parti Democrat dan tidak menyokong parti Republican yang memerintah Amerika Syarikat itu dituduh sebagai tidak patriotik. Nampak sangatlah Menteri Belia dan Sukan kita yang baru ini macam katak di bawah tempurung. Yang beliau nampak patriotik itu hanya bila menyokong parti UMNO sahaja.

Rakyat kita sudah pandai menilai mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang betul dan mana yang salah. Mereka tidak lagi mudah percaya dan terima bulat-bulat apa yang kita sogokkan. Kalau kita mahu parti kita terus relevan dan diterima rakyat maka kenalah sentiasa berubah mengikut keperluan rakyat. Kalau tidak, hanya orang hutan sajalah yang mahu mengundi parti kita, sedangkan orang hutan kalau pun ada, sudah tidak berapa ramai lagi bilangannya di Malaysia ini.

Friday, March 21, 2008

Siapa yang berkuasa, Pak Lah atau Raja?

Apabila berlaku ketidaksefahaman dalam perlantikan Menteri Besar di negeri Perlis dan Terengganu di antara Pak Lah dan Raja di negeri-negeri tersebut selepas pilihanraya umum ke 12 yang lalu telah membuatkan kita sebagai rakyat menjadi keliru, siapakah sebenarnya lebih berkuasa antara Pak Lah dan Raja.

Sahidan Kassim mendakwa yang dia telah mendapat surat kuasa dari Pak Lah untuk menjadi Menteri Besar Perlis tetapi Raja Perlis pula telah melantik Mohd Isa Sabu untuk menjadi Menteri Besar.

Apabila negara kita mendapat kemerdekaan dari Great Britain pada tahun 1957, negara kita telah menjadi sebuah negara Demokrasi Raja Berpelembagaan dengan mengambil Britain sebagai model dalam membentuk pelembagaannya.

Kalau mengikut perlembagaan Britain, Raja tidak boleh sama sekali mencampuri urusan politik negara, Raja hanya menjadi simbol ketua Negara dan tidak lebih dari itu. Kalau perlembagaan kita mengikut model Britain, ini bermakna tindakan Raja Perlis melantik orang yang tidak mendapat restu Pak Lah itu boleh dianggap telah ‘tersasar’ dari model yang diguna pakai di Britain.

Di zaman silam, kebanyakan negara didunia ini ditadbir berasaskan sistem raja, di masa itu raja adalah orang yang paling berkuasa dalam sesebuah negara. Nabi Daud dan Nabi Sulaiman adalah juga raja. Di hari ini sistem raja yang berkuasa penuh ini dipanggil sebagai monarki. Antara Negara-negara yang masih mengamalkan sistem monarki adalah seperti Brunei dan Arab Saudi.

Memang banyak kelemahan sistem raja monarki ini, kelemahan yang paling ketara ialah dalam penggantian raja yang telah mangkat. Dalam sistem beraja, raja yang mangkat tidak boleh digantikan oleh orang lain kecuali anak lelaki baginda yang paling tua. Kalaulah anak lelaki itu tidak baik dan tidak mempunyai kemampuan menjadi pemimpin sudah tentu akan memberi banyak masalah kepada rakyat dan Negara itu.

Atas sebab kelemahan-kelemahan yang ada pada sistem raja itulah manusia di dunia hari ini telah menolak sistem beraja. Akhirnya di masa ini tidak banyak lagi negara di dunia ini yang mempunyai raja. Di kalangan negara-negra ASEAN pun hanya Malaysia, Thailand dan Brunei sahaja yang masih ada raja.

Ada setengah negara terus membuang sistem beraja, tetapi ada setengah negara seperti Britain dan Malaysia telah mengambil jalan tengah, raja terus kekal menjadi simbol Ketua Negara tetapi mereka tidak boleh mencampuri urusan politik negara.

Pada zaman sekarang ini terlalu sedikit negara-negara di dunia ini yang masih mempunyai raja. Pernah dikatakan, dari sejumlah raja-raja yang ada di dunia hari ini, hampir separuh darinya adalah datang dari Malaysia. Apa tidaknya, selain dari Agong, kita ada sembilan raja yang ‘memerintah’ di negeri-negeri dalam Malaysia. Begitulah banyaknya bilangan raja-raja di Malaysia.

Di bawah amalan demokrasi rakyat diberi kuasa untuk memilih pemimpin yang mereka suka di kalangan mereka untuk memimpin mereka. Oleh itu pemimpin yang dipilih oleh rakyat itulah sepatutnya yang paling berkuasa untuk mentadbir negara dan memimpin rakyat. Oleh itu tidaklah ‘manis’ kalau raja menolak permintaan Pak Lah, kerana Pak Lah adalah pemimpin yang telah dipilih oleh rakyat secara demokrasi.

Sebagai sebuah negara demokrasi raja berpelembagaan, tidak wajar bagi raja untuk campur tangan dalam urusan politik negara. Dan Pak Lah yang kapasitinya sebagai Presiden UMNO mempunyai kuasa penuh untuk memilih siapa saja yang disukainya untuk menjadi Menteri Besar jika parti UMNO menang dalam pilihanraya di sesuatu negeri itu.

Nampaknya kredibiliti Pak Lah semakin tercalar bila raja telah ‘membelakangkan’ Pak Lah dalam perlantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu baru-baru ini. Sebenarnya sebelum ini pun Pak Lah yang selalu menekankan kredibiliti dan integriti dalam pentadbirannya telah tidak bertindak seperti apa yang dicakapkannya.

Bila berdepan dengan pihak-pihak yang mahukan beliau meletakkan jawatan ekoran prestasi BN merosot dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu, Pak Lah dengan tegas mengatakan dia tidak takut kepada sesiapa pun kecuali kepada Allah.

Tetapi semua orang tahu, pilihanraya umum ke 12 di adakan setahun lebih awal kerana untuk mengelakkan dari Anwar Ibrahim dapat bertanding dalam pilihanraya tersebut. Jadi ini sudah bertentangan dengan apa yang diucapkan oleh beliau yang hanya takut kepada Allah sahaja.

Pak Lah juga tidak mahu wujudnya kumpulan-kumpulan dalam UMNO atau ‘klik’ dalam UMNO seperti di masa-masa lalu, dan beliau telah berazam untuk menghapuskannya. Tetapi dari senarai barisan kabinet yang dilantiknya baru-baru ini, ramai menteri-menteri yang pro Najib telah digugurkan walaupun mereka menang dalam pilihanraya ke 12 yang lalu, sebaliknya orang yang dikatakan pro Pak Lah telah dilantik jadi menteri walaupun mereka tidak bertanding dalam pilihanraya itu.

Kenapalah Pak Lah menjadi takut kepada Najib? Adakah Pak Lah takut hilang kuasa dan ingin menjadi PM untuk beberapa penggal lagi? Kalau kita tak mampu melawan musuh kita maka kenapa tidak kita jadikan mereka sebagai kawan.

Pak Lah juga tidak mengecam orang-orang UMNO yang membuat demonstrasi jalanan di depan bangunan Komtar Pulau Pinang yang membantah kenyataan kontraversial Lim Guan Eng terhadap dasar DEB. Padahal sebelum ini Pak Lah orang yang paling keras mengecam demontrasi jalanan oleh Hindraf dan BERSIH. Malah beliau mengatakan demontrasi jalanan bukan budaya orang kita, apakah ia kini sudah boleh dijadikan budaya kita?

Walaupun Pak Lah mempunyai banyak polisi yang BAIK-BAIK untuk negara, tetapi kelemahan yang ketara pada beliau ialah beliau tidak ada keberanian. Mungkin ini ada hubung kait dengan sejarah politik beliau sendiri.

Pak Lah adalah satu-satunya pemimpin UMNO yang menjawat jawatan Timbalan Presiden dan Presiden secara lantikan bukannya secara bertanding. Oleh itu beliau tidak cukup latihan melalui proses untuk menjadi orang yang berani seperti pemimpin-pemimpin UMNO yang lalu. Oleh itu tidak hairanlah juga kalau beliau tidak cukup berani untuk berhadapan dengan raja.

Walaupun yang menentukan Pak Lah kekal di dalam Parlimen adalah rakyat di Kepala Batas sahaja tetapi untuk kekal menjadi Perdana Menteri Malaysia ia banyak bergantung kepada kepimpinan UMNO. Tidak hairanlah kalau Pak Lah memastikan orang-orang ‘kuat’ di dalam UMNO adalah orang-orang yang juga menyokongnya.

Sudah sampai masanya amalan demokrasi sebenar perlu disuburkan semula di dalam UMNO dari peringkat akar umbi hingga peringkat tertinggi kepimpinan, kerana dengan cara itu sajalah dapat mengembalikan kepercayaan orang ramai kepada UMNO dan dapat mengeluarkan pemimpin yang berani.

Tuesday, March 18, 2008

Sambutan Kemerdekaan Negara Tahun 2008 sungguh bermakna

Setelah lima puluh tahun kita menyambut kemerdekaan di bawah kerajaan BN yang tak mampu untuk dicabar itu akhirnya untuk tahun 2008 ini kita bakal menyambut kemerdekaan negara dengan parti pembangkang yang kuat di mana lima negeri di bawah penguasaan parti pembangkang.

Tahun 2008 merupakan titik peralihan senerio politik yang bersejarah buat rakyat Malaysia. Kalau tahun 1957 merupakan tarikh negara kita merdeka tetapi tahun 2008 ini adalah tarikh rakyat kita merdeka. Pada tahun 2008 ini menampakkan sebahagian besar pemikiran rakyat kita benar-benar telah merdeka. Ini dapat dilihat dengan jelas dari keputusan pilihanraya umum ke 12 yang lalu.


Kalau sebelum ini dengan menggunakan segala jentera kerajaan yang ada, parti BN telah berjaya menanamkan kedalam minda sebahagian besar rakyat negara ini bahawa parti pembangkang tidak ada kemampuan dan tidak mempunyai kebolehan untuk memerintah negara ini. Tetapi tanggapan yang seperti itu kini sudah dapat dilepasi setelah pakatan parti pembangkang telah berjaya mengambil alih kerajan di lima buah negeri dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu.

Ini adalah satu kejayaan yang sangat besar kepada peralihan minda rakyat Malaysia terhadap geopolitik negara ini, malah tidak keterlaluan ia boleh dianggap sebagai suatu 'revolusi' politik seperti yang pernah dialami oleh negara Indonesia beberapa tahun yang lalu setelah tumbangnya regim Suharto. Dan ini akan menjadi titik permulaaan untuk negara kita menuju kearah pemerintahan yang benar-benar demokratik, adil dan telus.

Kerajaan yang demokratik, adil dan telus sentiasa menjadi matlamat kita kerana ia adalah prasyarat kepada keamanan, keharmonian dan kemajuan sesebuah negara.

Tentunya sambutan Kemerdekaan Tahun 2008 akan datang ini sungguh bermakna sekali buat rakyat Malaysia setelah 50 tahun minda mereka 'dijajah' oleh parti BN.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com