Pertamanya berita Zaid Ibrahim mencadangkan supaya kerajaan BN memohon maaf kepada bekas Hakim Negara Tun Salleh Abas. Zaid Ibrahim yang dilantik menjadi menteri di jabatan Perdana Menteri dalam kabinet baru Pak Lah telah diberi tugas untuk menjaga badan perundangan dan badan kehakiman negara ini.
Tugas utama beliau sekarang ialah untuk mengembalikan kredibiliti dan integriti badan kehakiman negara ini yang akhir-akhir ini banyak dipersoalkan oleh berbagai pihak termasuk dari luar negara.
Nik Aziz semasa sebelum pilihan raya ke 12 yang lalu ada mengatakan orang UMNO sama seperti ‘orang hutan’ kerana tidak tahu undang-undang. Tidaklah begitu jelas samada ‘orang hutan’ yang dimaksudkan oleh Tok Guru Nik Aziz itu adalah orang utan yang merupakan salah satu dari sepesis monyet atau betul-betul orang yang tinggal di dalam hutan yang masih tidak bertamaddun. Ini kerana sebutan 'orang utan' dan 'orang hutan' dalam loghat kelantan susah hendak dibezakan.
Apapun kritikan keras dari Nik Aziz itu nampaknya seperti mendapat perhatian segera dari Pak Lah dengan melantik Zaid Ibrahim yang berpengalaman luas dan pakar dalam bidang undang-undang menjadi ‘menteri undang-undang’. Dan Pak Lah sangat mengharapkan supaya Zaid dapat memberi suntikan baru kepada sistem keadilan di negara ini.
Kita harapkan juga dengan perlantikan Zaid Ibrahim sebagai ‘menteri undang-undang’ ini dapatlah beliau menunjuk ajar dan memberi bimbingan kepada ahli-ahli UMNO supaya mereka tidak lagi jahil pasal undang-undang.
Iltizam Pak Lah untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap UMNO selepas mengalami prestasi buruk pada pilihanraya umum ke 12 yang lalu memang di alu-alukan oleh semua orang.
Untuk mendapat semula keyakinan orang ramai, pendekatan parti UMNO kenalah berubah. Pemikiran masyarakat kita sekarang semakin maju, sesuai dengan masyarakat yang maju, penampilan UMNO juga kena berubah untuk disesuaikan dengan masyarakat.
Amalan politik membuli dan menakut-nakutkan bukan lagi cara yang sesuai di zaman ini. Masih segar diingatan kita bagaimana Khairi Jamaludin semasa berkempen di Kelantan telah membawa mesej ‘pado dah 18 tahun’ yang membawa maksud cukuplah 18 tahun PAS memerintah di Kelantan. Akhirnya mesej beliau itu telah disambut oleh rakyat Kelantan dengan mesej ‘padea muke mu’ melalui peti undi.
Manifesto ‘Tahun Merawat Kelantan’ telah berakhir dengan ‘Tahun Merawat UMNO’ sendiri. Cara kempen yang keterlaluan itu bukan saja tidak dapat meraih simpati orang ramai untuk mengundi UMNO sebaliknya telah menimbulkan rasa meluat orang ramai.
Kebanyakan kawasan kampung-kampung sekarang ini telah mendapat kemudahan asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan yang bertar. Harga getah dan kelapa sawit di masa ini juga agak tinggi ini menyebabkan orang-orang yang tinggal di kampung-kampung mempunyai pendapatan yang agak selesa. Oleh itu isu menakut-nakutkan untuk tidak memberi dan mengadakan kemudahan asas jika tidak mengundi UMNO tidak begitu berkesan lagi.
Di masa yang lalu isu-isu penawaran pemberian kemudahan asas inilah yang selalu dimainkan oleh UMNO setiap kali menjelang pilihanraya. Dan diwaktu itu taktik tersebut memang berkesan dan berjaya untuk meraih undi orang ramai.
Kerana UMNO tidak sensitif kepada perubahan dan kehendak rakyat menyebabkan parti itu tidak relevan lagi kepada mereka. Nasibnya mungkin jadi sama seperti danasour yang lenyap kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran.
Sejak kebelakangan ini rakyat kita telah bosan dengan masalah sosial yang tak pernah habis seperti dadah, rempit, lepak, masalah jenayah seperti ragut, rompak, samun, pecah rumah, penculikan dan pembunuhan kanak-kanak, peminjam wang haram atau along dan kenaikan harga barang, pengangkutan awam yang teruk dan kos kehidupan yang tinggi di Bandar. Semua masalah ini tidak pernah selesai dan tidak dapat ditangani oleh kerajaan BN dengan baik.
Rakyat juga begitu bosan dengan gejala rasuah yang berlaku dalam perkhidmatan awam dan swasta. Walaupun ada cubaan untuk menyembunyikan dengan alasan tidak ada bukti sahih tetapi rakyat biasa yang berdepan dan mengalami sendiri tentu tahu bagaimana teruknya amalan rasuah di negara kita.
Itu belum lagi termasuk cerita-cerita pencemar alam sekitar, kilang-kilang haram, pembalak-pembalak haram yang banyak kali disiasat tetapi selalu terlepas dari hukuman, semua perkara-perkara salahlaku ini samada disedari atau tidak, secara tidak langsung telah memberi imej buruk kepada parti yang memerintah.
Keresahan rakyat kepada isu-isu salah laku dan masalah sosial ini telah terlepas pandang oleh UMNO yang menganggapnya sebagai masalah remeh. Sebaliknya kalau kita lihat manifesto parti pembangkang dalam pilihanraya umum ke 12 lalu banyak menekankan kepada kepada sebuah kerajaan yang telus, adil dan membantu meringankan beban rakyat yang sememangnya sekian lamanya menjadi impian dan ditunggu-tunggu oleh rakyat negara ini.
UMNO hendaklah ikhlas dalam mengadakan pembangunan untuk rakyat. Tidak perlulah memberitahu rakyat supaya mereka patut mengenang jasa-jasa yang telah dibuat oleh UMNO. Tidak payahlah membelanjakan berpuluh ribu ringgit semata-mata untuk membuat papan-papan tanda besar yang tertulis perkataan “SEBUAH LAGI PROJEK OLEH KERAJAAN BARISAN NASIONAL”.
Tidak perlu jugalah dipanggil semua media perdana supaya dapat dilihat oleh rakyat setiap kali adanya majlis perasmian projek yang sudah siap atau pecah tanah untuk memulakan projek kerajaan. Kalau kita buat projek demi untuk kesenangan rakyat dengan ikhlas pasti akan dikenang rakyat juga.
Di dalam akhbar yang sama juga ada menyiarkan kenyataan Menteri Belia dan Sukan yang baru iaitu Datuk Ismail Sabri Yaakob. Beliau dipetik sebagai berkata “ramai golongan belia mengalihkan sokongan kepada pembangkang kerana kurangnya semangat patriotik dan cintakan negara”.
Dari kenyataan beliau itu jelas menunjukkan beliau tidak faham makna patriotik. Kalau menteri sendiri pun tak faham maksud patriotik apatah lagi orang biasa. Tapi yang peliknya macam mana orang yang cetek ilmu macam beliau itu boleh diangkat jadi menteri.
Tidak pernah kita dengar orang-orang Amerika yang menyokong parti Democrat dan tidak menyokong parti Republican yang memerintah Amerika Syarikat itu dituduh sebagai tidak patriotik. Nampak sangatlah Menteri Belia dan Sukan kita yang baru ini macam katak di bawah tempurung. Yang beliau nampak patriotik itu hanya bila menyokong parti UMNO sahaja.Rakyat kita sudah pandai menilai mana yang baik dan mana yang buruk, mana yang betul dan mana yang salah. Mereka tidak lagi mudah percaya dan terima bulat-bulat apa yang kita sogokkan. Kalau kita mahu parti kita terus relevan dan diterima rakyat maka kenalah sentiasa berubah mengikut keperluan rakyat. Kalau tidak, hanya orang hutan sajalah yang mahu mengundi parti kita, sedangkan orang hutan kalau pun ada, sudah tidak berapa ramai lagi bilangannya di Malaysia ini.
1 comment:
memang benar rakyat negara kita sudah maju dan tidak lagi seperti dulu.. mereka lebih berpengetahuan...
namun, kdg2 yg sy sendiri tidak faham, kenapa org2 yg berpendidikan inilah yg bertindak seperti org yg tidak bertamadun.
jika dilihat politik negara kita, pd sy sbg mahasiswi, sgt lah kotor. namun, itulah yg digelar politik. menggunakan kuasa untuk kepentingan sendiri. ahli2 politik kita bkn bertengkar utk memajukan negara, sebaliknya utk menjahanamkan negara. perebutan kuasa, pertikaian hak...di manakah akal fikiran yg waras spt seorg yg berpendidikan?
dan kita sbg rakyat. apa yg kita lakukan utk negara? sekadar membayar cukai namun meminta lebih drpd itu? kita sering bertanya apa yg kerajaan bg dan lakukan utk kita...namun apa pula yg kita lakukan sumbangkan utk negara?
permasalahan di negara kita adlh krn tiada lagi perasaan hormat menghormati, bantu-menbantu, kerjasama dan perpaduan.
sudah hilangkah adat dan budaya timur? dimanakah kita di mata dunia?
Post a Comment