Sebagai sebuah negara yang mengamalkan pemerintahan sistem demokrasi kebanyakan dari rakyat negara ini faham secara kasar dengan apa yang dimaksudkan dan apa yang dikehendakki oleh sistem ini. Tetapi mungkin tidak semua rakyat Malaysia faham sistem demokrasi ini secara terperinci. Malah demokrasi itu sendiri telah ditafsirkan secara berbeza antara satu negara dengan negara lain atau antara pemimpin dengan pemimpin yang lain.
Selalunya sistem demokrasi yang sebenar atau demokrasi tulin dirujuk kepada sistem demokrasi yang diamal oleh Amerika Syarikat dan United Kingdom. Namun begitu pengubahsuaian terhadap sistem demokrasi ini terus berlaku bila ia diterapkan kepada negara-negara lain mengikut kepentingan pemimpin dan rakyat sesebuah negara. Malah ada negara yang hanya mengambil nama demokrasi sahaja padahal semangatnya tidak ada langsung.
Malah di Malaysia sendiri pemimpinnya secara terus terang mengatakan demokrasi yang mereka amalkan adalah mengikut acuan mereka sendiri. Secara kasarnya rakyat Malaysia nampak demokrasi itu berkait rapat dengan peti undi. Mereka tahu mereka boleh pilih pemimpin yang mereka suka atau parti politik yang mereka suka untuk memimpin atau memerintah mereka melalui peti undi.
Dengan kata lain apa yang mereka faham dengan demokrasi ialah pemimpin dan parti yang memerintah boleh ditukar menggunakan peti undi. Padahal demokrasi itu sendiri lebih dari hanya peti undi, demokrasi itu sebenarnya mempunyai semangatnya sendiri yang sepatutnya perlu difahami dan diamalkan. Selain dari peti undi, demokrasi juga harus ada hak kebebasan bersuara, hak mengkritik dan hak menyampaikan pendapat, tanpa disekat dan diancam.
Banyak kelemahan-kelemahan perjalanan pilihanraya negara kita yang telah dipertikaikan oleh orang ramai. Kelemahan-kelemahan yang berlaku itu telah menjejaskan semangat dan sistem demokrasi itu sendiri. Antara kelemahan ketara dalam amalan pilihanraya kita ialah jumlah undi dikira mengikut kawasan bukan dikira untuk seluruh Malaysia. Pilihanraya di Indonesia pernah menyaksikan Megawati Sukarno dan partinya telah mendapat undi terbesar diberikan oleh rakyat Indonesia. Pilihanraya di Indonesia itu benar-benar mencerminkan kehendak rakyat Indonesia yang tidak boleh dipertikaikan lagi.
Tidak seperti di Malaysia, jumlah kawasan yang menang samada kawasan parlimen atau kawasan undangan negeri menentukan parti mana yang dapat memerintah. Seperti pilihanraya Sabah suatu masa dulu, walaupun parti BN menang di Sabah atas dasar banyak kawasan yang mereka menangi tetapi dari segi bilangan pengundi, lebih ramai pengundi di Sabah mengundi parti pembangkang berbanding parti BN.
Malah mengira jumlah undi mengikut kawasan yang kita amalkan di Malaysia ini telah mengundang banyak kelemahan-kelemahan yang lain. Antaranya parti-parti politik yang merasakan mereka kuat disatu-satu kawasan itu akan cuba memindahkan penyokong-penyokongnya untuk mengundi di kawasan lain yang parti mereka lemah. Oleh kerana kita tidak ada mekanisma yang berkesan untuk menyekat perkara ini dari berlaku maka ia telah menjejaskan sistem demokrasi yang kita amalkan. Tetapi jika jumlah undi dikira untuk seluruh Malaysia, pemindahan pengundi ke kawasan lain tidak akan menjejaskan atau memberi apa-apa kesan kepada keputusan pilihanraya.
Selain dari itu parti yang memerintah atau yang berkuasa sudah tentu akan mengambil kesempatan untuk membuat pengubahsuaian sempadan pilihan raya bagi membantunya menang lebih banyak kawasan. Kawasan yang mereka kuat mungkin boleh dipecahkan kepada dua atau lebih. Atau satu cara lagi dengan mengubah sempadan supaya sebahagian besar wilayah peyokongnya dapat dimasukkan ke kawasan yang mereka lemah. Tetapi jika jumlah undi dikira untuk seluruh Malaysia tentulah penipuan yang mengikut undang-undang ini dapat dielakkan.
Sering juga kita mendengar gejala pengundi hantu, orang yang dah mati masih berdaftar sebagai pengundi, sudah tentulah kad pengenalannya itu dibawa oleh orang hidup yang lain untuk mengundi. Ada juga orang yang tak pernah mendaftar tetapi telah didaftarkan oleh orang lain sebagai pengundi.
Pernah juga kita mendengar tidak telusnya undi pos. Siapakah yang dapat menjamin undi yang diberikan oleh polis dan tentera melalui undi pos ini tidak akan diubah dalam perjalanan dari pusat mengundi ke pusat pengiraan undi.
Satu lagi kelemahan cara menang kawasan ini ianya tidak mencerminkan bilangan jumlah pengundi di kawasan itu. Sebagai contoh ada kawasan pengundinya 30,000 orang ada pula kawasan jumlah pengundinya 90,000 orang. Tetapi bila di parlimen suara kedua-dua kawasan ini dianggap sama besar saja. Oleh itu sistem ini tidak mencerminkan suara majoriti yang menjadi sebahagian semangat demokrasi itu. Menang banyak kawasan belum tentu mencermin kehendak rakyat terbanyak.
Kelemahan-kelemahan yang terdapat dalam sistem pilihanraya yang diamalkan di negara kita perlu diperbetulkan semula supaya dia ianya bersesuaian dengan semangat demokrasi.
Pilihanraya yang adil dan SPR yang telus dapat membuatkan semua pihak berasa puas hati. Pengendali pilihanraya samalah seperti pengadil dalam permainan bolasepak. Jika pengadil jelas dilihat bersikap tidak adil atau berat sebelah, ia akan menyebabkan pemain dan para penyokongnya rasa tidak puas hati malah boleh menjemput mereka untuk merusuh membantah keputusan pengadil.
Tetapi jika pengadil benar-benar bersikap adil, semua pihak akan berasa puas hati, pemain dan penyokong tentunya dapat menerima kekalahan mereka. Begitu jugalah dengan pilihanraya yang berjalan dan dikendalikan dengan adil dan telus, tentu juga akan membuatkan semua pihak berasa puas hati, dapat menerima apa saja keputusan yang mereka dapat. Seperti di Indonesia, walaupun sebelum ini banyak berlaku rusuhan di sana sini tetapi setelah pilihanraya dapat berjalan secara adil dan telus walaupun memakan masa berbulan akhirnya telah menyebabkan semua pihak yang bersengketa berpuas hati dan sekaligus dapat menamatkan rusuhan yang berlaku di sana.
Pilihanraya yang adil dan telus akan menampakkan kepada rakyat, pihak yang menang jelas menangnya dan pihak yang kalah jelas kalahnya. Sebaliknya pilihanraya yang penuh dengan penipuan dan ketidakadilan akan mengundang kepada rusuhan dan perasaan tidak puas hati malah akan dikutuk oleh genarasi akan datang dan diingat sejarah sebagai amalan yang tidak bermaruah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
my playlist
Create a playlist at MixPod.com
No comments:
Post a Comment