Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, November 20, 2013

Mari kita belajar asas kawalan automatik pada sebuah robot


Apakah proses yang berlaku kepada anggota tubuh badan kita apabila kita hendak mengambil gelas minuman yang terletak di atas meja? Pertama, mata kita sebagai sensor akan melihat jarak antara tangan kita dengan gelas. Kemudian otak kita akan memberi arahan untuk menggerakkan tangan ke arah gelas.

Tangan kita akan terus bergerak ke arah gelas, dalam masa yang sama mata akan terus memerhatikan baki perbezaan jarak antara kedudukan tangan dan kedudukan gelas di atas meja itu. Tangan akan diarahkan oleh otak untuk bergerak sehinggalah perbezaan jarak antara tangan dan gelas yang dikesan oleh mata kita menjadi kosong, bermakna tangan kita telah sampai pada gelas.

Apabila tangan kita telah sampai di kedudukan terletaknya gelas itu, otak kita akan mengarahkan tangan kita untuk berhenti dan selepas itu otak akan membuat arahan perlakuan yang lain pula, bergantung kepada kehendak kita.

Begitulah prinsip yang digunakan untuk menggerakkan tangan robot untuk mengambil gelas minuman yang terletak di atas meja. Bermula dengan sensor yang dapat mengesan perbezaan jarak antara kedudukan tangan dan gelas. Jarak ini akan ditukar dalam unit volt (elektrik) kerana robot hanya dapat bekerja dalam unit elektrik sahaja. Katakan pada asalnya jarak antara tangan dan gelas adalah 50 cm. Jarak 50 cm ini akan dikesan sebagai 5 volt unit elektrik. 5 volt elektrik digunakan sebagai bekalan untuk menggerakkan tangan robot. Dengan bekalan tenaga elektrik 5 volt ini tangan robot akan bergerak laju menuju gelas.

Apabila tangan robot sudah melalui jarak 10 cm, isyarat suap balik negative akan di tambah kepada bekalan 5 volt yang menggerakkan tangan robot tadi. Isyarat suap balik negative itu merupakan unit volt yang mempunyai kutub sonsang (nilai negative) berbanding kutub bekalan 5 volt yang menggerakkan tangan robot tadi.

Nilai volt suap balik negative ini mewakili berapa jauh jarak yang telah dilalui oleh tangan robot itu. Katakan setiap 10 cm yang dilalui diwakilkan dengan -1 volt (negative) unit elektrik. Unit volt yang negative ini akan disuap balik atau ditambah kepada bekalan yang menggerakkan tangan robot tadi.

Apabila -1 ditambah kepada +5, jumlah yang tinggal ialah +4 volt. Tangan robot akan terus bergerak menuju gelas minuman tetapi mungkin lebih perlahan dari nilai bekalan yang asal tadi iaitu +5 volt. Apabila tangan robot telah bergerak sejauh 40 cm bermakna ia telah mengesan -4 volt dan bekalan yang menggerakkan tangan robot itu sekarang hanya tinggal 5-4 = 1 volt sahaja.

Apabila tangan robot sudah mencapai kedudukan gelas minuman yang sejauh 50 cm dari jarak asalnya, maka bekalan yang tinggal untuk menggerakkan tangan robot itu ialah 5-5 = 0 volt. Ini bermakna tangan robot tidak boleh digerakkan lagi kerana bekalan telah mencapai nilai sifar (0 volt).

Oleh kerana robot bekerja dalam ruang tiga dimensi, maka tangan robot itu mestilah boleh bergerak dalam tiga dimensi iaitu kiri kanan, atas bawah dan depan belakang. Tentunya alat sensor dan motor yang menggerakkan tangan robot itu perlu lebih banyak dan bertambah kompleks lagi.

Dalam binaan sebuah robot, tenaga yang disalurkan untuk menggerakkan anggota robot adalah melalui wayar atau kabel elektrik. Begitu dengan signal yang dihantar kepada pusat pemproses. Semuanya menggunakan wayar. Wayar-wayar ini disusun dengan rapi dan tidak boleh salah dan putus. Kalau tersalah, fungsi dan perlakuan robot itu akan jadi kacau bilau.

Dalam tubuh badan kita pula, semua signal dihantar dari sensor ke otak atau dari otak kebahagian anggota tubuh badan kita yang lain adalah melalui urat saraf. Tubuh badan kita memiliki alat kawalan yang sangat hebat dan menakjubkan. Walaupun untuk mengambil gelas minuman di atas meja merupakan perlakuan yang mudah kepada kita, tetapi ia merupakan satu proses yang amat rumit jika hendak dibina kepada robot. Itupun robot masih tidak akan dapat melakukan sebagus atau seunggul yang dilakukan oleh manusia.

Tubuh badan kita penuh dengan sistem kawalan, dari mengambil gelas minuman hinggalah menentukan masa bila kita perlu mengambil makanan, masa bila kita patut berhenti mengambil makanan. Tanpa adanya sistem kawalan kita juga tidak boleh berdiri tegak. Siapakah yang menjadikan urat saraf beserta sistem kawalan tubuh badan kita ini, hingga semua fungsi dan perlakuannya berjalan lancar dan tidak haru biru atau kacau bilau?

Wednesday, October 02, 2013

Harga insuran yang kita bayar akan jadi murah jika negara tidak banyak jenayah dan tidak banyak kemalangan


Menjadi matlamat setiap syarikat yang terlibat dengan perniagaan untuk mencari keuntungan sebanyak yang mungkin. Termasuklah syarikat yang terlibat dalam perniagaan insuran.

Keuntungan yang diperolehi oleh syarikat insuran banyak bergantung kepada berapa ramai bilangan pelanggan mereka yang membuat tuntutan dalam setiap tahun.

Lebih ramai pelanggan membuat tuntutan menyebabkan syarikat insuran terpaksa mengeluarkan jumlah gantirugi yang besar dan ini akan menjejaskan kewangan dan keuntungan syarikat.

Satu cara untuk syarikat insuran mengelakkan kerugian ialah dengan menaikkan harga insuran yang dikenakan kepada pelanggan mereka. Tetapi syarikat insuran tidak boleh menaikkan harga terlalu tinggi kerana mereka juga bersaing dengan beberapa syarikat insuran yang lain. Kalau harga yang dikenakan terlalu tinggi, pelanggan mereka akan lari ke syarikat insuran lain.

Oleh itu untuk memastikan harga insuran berada pada tahap yang rendah, jenayah mestilah juga berada pada kadar yang rendah. Kurang jenayah maka kuranglah berlaku kecurian kenderaan, dan kuranglah pelanggan membuat tuntutan gantirugi kepada syarikat insuran.

Keupayaan dan kecekapan polis untuk menyelesaikan kes curi kenderaan juga mestilah berada pada tahap yang tinggi. Kalau kenderaan yang dicuri dapat ditemui oleh polis dengan cepat, sudah tentu syarikat insuran tidak perlu membayar ganti rugi kepada pelanggannya.

Satu perkara lagi faktor yang membuatkan pelanggan menuntut pampasan ialah bila berlaku kemalangan kepada kenderaan. Kenderaan yang terlibat dengan kemalangan perlu dibaiki atau diganti baru, dan kosnya ditanggung oleh syarikat insuran. Lebih ramai pelanggan membuat tuntutan, lebih banyaklah kos yang terpaksa ditanggung oleh syarikat insuran. Untuk mengelak dari terus mengalami kerugian, syarikat insuran tidak ada pilihan selain dari menaikan kadar premium atau harga insuran yang dikenakan kepada pelanggan mereka.

Itu belum termasuk lagi kerugian yang ditanggung oleh syarikat insuran disebabkan penipuan yang dilakukan oleh bengkel-bengkel kereta yang mengenakan caj membaiki yang jauh lebih tinggi dari caj sebenar.

Bagaimana kemalangan dapat dikurangkan? Ini perlu kepada pemandu yang berhemah, kenderaan yang selamat dan jalanraya yang sempurna.

Bagaimana kecurian dapat dikurangkan? Ini melibatkan moral dan akhlak rakyat Negara ini.

Yang pastinya harga insuran yang dikenakan oleh syarikat insuran kepada kita itu sangat berkait rapat dengan sikap kita semua.    

Thursday, September 19, 2013

UMNO membodohkan orang kampung untuk terus memerintah


Cuti hari Malaysia hari tu sey ado balik kampung. Sampai di kampung, omak sey cakap ado jiran namo Husin (bukan namo sobonar) nak buek kenuri doa selamat malam tu. Mulo tu maleh yo nak poie tompi sobab omak sey kuek yo ngajak, sey pun setuju lah.

Sey samo omak sey sampai ghumah Husin dalam pukul 9.00 malam. Majlis doa selamat baru nak mulo. Husin sebagai tuan ghumah membori sedikit ucapan dan kato alu-aluan. Husin menorangkan tujuan majlis doa selamat itu diadokan adolah sebagai tando kesyukuran atas kemenangan beberapa orang kampung itu dalam parti UMNO untuk jawatan Ketuo Bahagian dan Ketua Wanita.

Ketua Bahagian dan Ketua Wanita peringkat mano sey pun tak berapo pasti, sey pun tak ambik pot bonar pasal organisasi politik ini, baik parti UMNO mahupun parti Pakatan Rakyat. Yang pasti eh bukanlah Ketua Wanita UMNO Malaysia, yang masih disandang oleh Dato’ Shahrizat Jalil itu.

Solosai Husin membori kata-kata aluan, dio mintak imam membacokan doa untuk majlis itu. Sebolum imam membaco doa, dio cakap sambil menyindir bercampur lawak, “ini bukan doa selamat, ini doa UMNO”. Tersongeh Husin dan hadiran mendongar sindiran tajam imam itu.

Lopeh selosai doa selamat dibacokan, Husin menjomput hadiran untuk menikmati makanan barbeque yang disediokan di kawasan lapang di luar ghumahnya.

Sambil menikmati hidangan yang agak lazat juga itu, ado seorang bernamo Adang Kemi (juga bukan namo sebonar) sodang rancak bercerito. Sey pun cubo menghampiri kumpulannya itu memasang telingo untuk mendongar apo yang diceritokan oleh beliau itu. Ini mesti ado cerito sodap, sobab itu ramai yang berkumpul mendongar cerito dia.

Adang Kemi adolah penduduk asal kampung itu juga. Dio tigo tahun lobih tuo dari sey. Dio memang pandai bercerito, sapo pun memang gomar dongar dio bercerito, dio bercerito sambil belawak. Memang tak jomu mendongar cerito dio.

Dio bercerito kisah-kisah lamo yang berlaku di kampung dan pokan Kuala Pilah. Cerito berkisar dengan kehidupan dan aktiviti orang kampung di maso dulu.  Kisah kotam rambut tukang gunting Mat Tepeng yang menyopit, kisah main hoki buah pinang, kisah senapang buluh buah cenoghai, kisah melastik burung, kisah menjual ayam ngoram, kisah menjual pucuk gelugor dan berbagai-bagai kisah lagi hinggalah kepada kisah daifnya keadaan jalan di kampung di masa tahun 60 an dulu.

Setelah mengimbau kisah-kisah mundur, susah dan miskin di masa dulu, dia cubo membandingkan dengan kehidupan yang amat selesa di zaman ini. Akhirnya beliau cubo menyedarkan dan menginsafkan pendengar-pendengar ceritonya supaya terus menyokong UMNO, kerana semuo pembangunan dan keselesaan yang dinikmati oleh orang kampung pada hari ini adolah disobabkan UMNO.

Begitulah parti UMNO menggunakan macai seperti Adang Kemi ini untuk terus memperbodohkan orang-orang kampung. Tidakkah macai ini tahu, Singapura yang tidak ado UMNO itu telah lobih maju dari Malaysia?

Kalau UMNO sudah jadi kerajaan, memang tanggungjawab UMNO lah untuk membangun dan menyediakan segala kemudahan, hasil dari cukai yang dikutip dan sumber bumi Negara ini. Kalau diberi kepada parti lain, pembangunan akan dilaksanakan juga.
UMNO terus memperbodohkan macai dan orang kampung untuk mereka terus berkuasa. Dengan kuasa yang ada, kumpulan elit UMNO dan kroninya akan terus dapat membalun kekayaan Negara tanpa diganggu gugat.

Friday, August 23, 2013

Ilmu yang bermanafaat.


Maksud hadis :

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal dunia, maka amalnya terputus kecuali tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanafaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (HR Muslim).

Tidak boleh dinafikan, hadis di atas telah mendorong orang-orang Islam di zaman kegemilangannya dulu untuk mencari dan menyibarkan ilmu yang bermanafaat kepada masyarakat. Hingga hari ini ilmu-ilmu yang mereka sampaikan itu masih dipelajari dan dimanafaatkan oleh umat manusia. Berdasar hadis di atas, walaupun sarjana-sarjana Islam ini telah lama meninggal dunia tetapi mereka tidak putus-putus menerima pahala dari amal soleh yang mereka telah lakukan di masa hidup mereka itu.

Dari ratusan cendiakawan dan ilmuwan Islam itu, di bawah dicatitkan beberapa orang dari mereka.

1. AL-FARABI
Antara sumbangan Al-Farabi adalah dalam bidang Logik, matematik, musik, falsafah, psikologi dan pendidikan.

2. AL-BATANI
Al Battani (sekitar 858-929) adalah seorang ahli astronomi dan matematik dari Arab.

Salah satu pencapaiannya yang terkenal dalam astronomi adalah tentang penentuan Tahun Matahari sebagai 365 hari, 5 jam, 46 minit dan 24 saat.

Al Battani juga menemukan sejumlah persamaan trigonometri.

Mewujudkan atau menyusun jadual mengira tangen.

3. IBNU SINA
Beliau adalah ahli falsafah dan kedoktoran (perubatan). Karyanya telah menjadi rujukan di bidang kedoktoran selama berabad-abad.

Dia dianggap oleh banyak orang sebagai Bapa Kedoktoran Moden.



4. MUHAMMAD BIN MUSA AL-KHAWARIZMI
Al-Khawārizmī adalah seorang ahli matematik, astronomi, astrologi, dan geografi yang berasal dari Persia.
Buku pertamanya, al-Jabar. Digelar juga sebagai Bapa Aljabar.
Perkataan logarisme dan logaritma diambil dari kata Algorismi, sebutan Latin untuk nama beliau.


5. UMAR KHAYYAM
Pada masa hidupnya, ia terkenal sebagai seorang pakar matematik dan astronomi.

Juga seorang sastrawan yang terkenal.

6. MUHAMMAD BIN ZAKARIYA AL-RAZI
Ar-Razi sejak muda telah mempelajari falsafah, kimia, matematik dan kesusastraan. Bidang utamanya ialah kedoktoran.

Ar-Razi juga dikenali sebagai ilmuwan pelbagai bidang dan dianggap sebagai salah satu ilmuwan terbesar dalam sejarah.


7. ABU MUSA JABIR BIN HAYYAN
Sumbangan terbesar Jabir adalah dalam bidang kimia.

Bapa Kimia Arab ini dikenal karena karya-karyanya yang sangat berpengaruh pada ilmu kimia dan metalurgi.

Kitab Al-Kimya (diterjemahkan ke Inggeris menjadi The Book of the Composition of Alchemy)

 

Apa yang mendorong mereka untuk menghabiskan masa dan tenaga mereka dalam mencari dan menyebarkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat, tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mengharapkan pahala yang berpanjangan. Kalau di zaman kita sekarang ini, dorongannya mungkin dalam bentuk bayaran, habuan dan pangkat. Masa dulu tidak ada gelaran professor yang hendak dikejar. Kalau melihat kepada besarnya sumbangan mereka itu mungkin mereka layak untuk diberikan gelaran professor, tidak cukup satu, tetapi setara dengan tiga atau empat gelaran professor.

Sebagai orang Islam dan beriman, kita yakin kehidupan yang kekal abadi itu ialah di akhirat, beruntunglah orang dapat memasuki syurga Allah s.w.t di akhirat nanti. Syarat yang ditetapkan Allah untuk memasuki syurgaNya ialah beriman dan beramal soleh. Mencari dan mendapatkan ilmu yang bermanafaat dan mengajarkannya adalah merupakan amal soleh yang ganjarannya disisi Allah ialah syurga, kehidupan yang kekal abadi di alam akhirat. Banyak firman-firman Tuhan dalam banyak surah di dalam Quran menyatakan prasyarat kepada ganjaran syurga itu adalah beriman dan membuat amal soleh, antaranya:

Surah 18 Al-Kahi ayat 107 & 108:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat tetamu (yang serba mewah).
Mereka kekal di dalamnya, (dan) tidak ingin berpindah daripadanya.

Surah 69 Al-Haqqah ayat 24:

"Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)!"

Surah 76 Al- Insan ayat 5:

Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum dari piala: sejenis minuman yang bercampur dengan "Kafur", -

Surah 77 Al-Mursalat ayat 43- 44:

"Makanlah dan minumlah kamu dengan lazatnya, disebabkan apa yang kamu telah kerjakan."
Sesungguhnya, demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan amal-amal yang baik.

Surah 83 Al-Mutaffifin ayat 22:

Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat:

Surah 98 Al-Baiyina ayat 7 & 8:

Seungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.
Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.

Dan yang paling biasa kita dengar ialah surah 103 Al-Asr:

Demi Masa!
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -
Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Orang alim pernah memberitahu, dunia ini adalah tempat kita memberi atau menyumbang, jangan fikirkan untuk mendapat balasan. Di akhirat pula tempat kita menerima dan di sana tidak perlu lagi untuk kita memberi.

 

Sunday, August 18, 2013

Sistem Tanah Adat Perpatih bercanggah dengan ajaran Islam?


Pembahagian harta pusaka kepada waris-waris yang berhak menerima sangat jelas diterangkan di dalam Quran yang kita kenali sebagai Faraid. Sebagai orang yang beriman yang mengaku Tuhan itu Maha Bijaksana, Maha Adil dan Maha Mengetahui tentulah kita tidak akan mengatakan sistem pembahagian harta pusaka yang dicipta oleh manusia lebih baik dari sistem faraid.

Dalam sistem Tanah Adat Perpatih, tanah adat hanya boleh diwariskan kepada anak-anak perempuan sahaja. Kalau kebetulan sebuah keluarga itu hanya ada mempunyai anak lelaki sahaja, yang berhak mewarisi tanah adat keluarga itu ialah anak perempuan dari adik beradik perempuan kepada ibu keluarga itu.

Kepada penyokong-penyokong Adat Perpatih yang taksub, yang berpegang kuat kepada kata-kata “biar mati anak jangan mati adat”, suka saya mengingatkan mereka dengan firman Tuhan ini:

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah,” mereka menjawab: “(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami”. “(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?”--(Al Baqarah ayat 170)

Berbagai-bagai alasan diberikan oleh mereka yang kuat mempertahankan sistem tanah adat perpatih ini supaya ia dikekalkan, antaranya:

Sistem Tanah Adat Perpatih dikatakan dapat memberi perlindungan kepada kaum wanitanya. Contohnya, kalau berlaku perceraian, tidaklah mereka itu hidup merempat kerana sekurang-kurangnya mereka memiliki tanah. Orang lelaki bila berkahwin dengan wanita Negeri Sembilan, mereka suami isteri akan tinggal di atas tanah adat milik ibu wanita itu dan wanita itu akan mewarisi tanah adat itu sekiranya ibunya meninggal dunia. Lelaki dan isterinya boleh tinggal di dalam rumah mertuanya atau membina rumah berasingan di atas tanah yang sama.

Oleh itu apabila berlaku perceraian, lelaki itu akan keluar dari rumah yang dibina di atas tanah adat milik isterinya, sedangkan si isteri terus dapat tinggal di tanah adat itu tanpa menjejaskan kehidupannya. Dengan itu kaum wanita dapat perlindungan dari sistem Tanah Adat Perpatih ini.

Apakah Tuhan kurang bijak sehingga Dia terlupa untuk memasukkan unsur memberi perlindungan kepada kaum wanita semasa Dia mencipta sistem Faraid?

Kita kena ingat, bagaimana hebat pun pemikiran manusia ini tidak akan dapat menelah hikmah peraturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan itu, sesungguhnya Dialah yang lebih mengetahui tentang makhluk yang Dia ciptakan. Perhatikan firman Tuhan ini:

(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. –(An nisaa ayat 11)

Mereka yang kuat mempertahankan sistem tanah adat ini juga mengatakan, tanah adat ini bukan hak milik mutlak penama tanah tersebut tetapi ia adalah tanah yang diwakafkan kepada suku masyarakat tersebut. Suku adalah puak yang disandarkan kepada keturunan mengikut jurai (perut) ibu. Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku yang berlainan. Antara suku-suku yang terdapat di sana ialah Suku Biduanda, Suku Tanah Datar, Suku Seri Melenggang, Suku Paya Kumbuh dan Suku Selemak. Nama-nama suku ini diambil berdasarkan nama-nama asal tempat mereka datang di Sumatera sana.

Hubungan sesama suku sangat erat, bagaikan saudara rapat, hinggakan lelaki dan wanita yang datang dari suku yang sama tidak dibenarkan berkahwin walaupun dari segi agama mereka halal untuk berkahwin.

Mereka mendakwa pihak berkuasa agama Islam dan instutusi agama Islam di Negeri Sembilan telah menyepakati bahawa pembahagian pusaka dalam sistem Tanah Adat ini tidak bercanggah dengan Islam kerana ia merupakan tanah yang diwakafkan kepada suku. Manakala penama tanah itu hanyalah sebagai pemegang amanah kepada tanah tersebut. Pemegang amanah ini akan diwariskan kepada anak perempuan dari jurai (nasab) ibu sebagai perut suku.

Perkataan ‘wakaf’ yang dirujuk oleh mereka itu sangat kabur dan meragukan, adakah mulut mereka sahaja yang mengatakan ‘wakaf’? Padahal belum pernah kita mendengar takrifan wakaf sedemikian rupa yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w, jauh sekali adanya nas dalam Quran yang membenarkan wakaf yang sedemikian.

Apakah yang dimaksudkan dengan wakaf menurut ajaran Islam? Apakah tanah boleh diwakafkan kepada suku atau satu kelompok masyarakat, kemudian dibenarkan seorang individu untuk mengerjakan tanah dan mendirikan rumah untuk keuntungan atau faedah individu tersebut? Apakah Nabi pernah membenarkan wakaf dalam bentuk yang demikian?

Selain dari masyarakat yang mengamalkan Adat Perpatih, pernahkah ada pihak-pihak lain di dunia Islam yang mewakafkan tanah mereka sama seperti yang berlaku dalam sistem Tanah Adat Perpatih ini.

Harap ahli agama di Negeri Sembilan perlu menilai semula apa yang mereka dakwa selama ini sistem Tanah Adat itu adalah menggunakan konsep tanah wakaf yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Kadang-kadang institusi agama dan ahli-ahli agama di Negeri Sembilan lebih suka duduk dalam zon selesa, tidak mahu berkonfrantasi dengan ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua adat sehingga enggan hendak mengeluarkan pendapat yang berlawanan. Tetapi ingatlah, mereka sebagai golongan yang lebih arif tentang Quran dan ajaran agama hendaklah ingat dengan amaran keras oleh Tuhan ini:

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan hukum-hukum , ayat-ayat yang diturunkan Allah dari al-Kitab, dan membeli dengannya harga yang murah, mereka itu tidak makan dalam perut mereka melainkan api Neraka…! dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari Qiyamat, tidak membersihkan mereka (dari dosa2 mereka) dan bagi mereka azab yang sangat pedihh!!”--(Surah al-Baqarah: ayat 174-176)

Ada juga penyokong adat ini memberi alasan, kalau sistem Tanah Adat ini bercanggah dengan ajaran Islam, kenapa Mufti Negeri Sembilan dan Ahli-ahli agama di Negeri Sembilan tidak pernah menunjukkan tanda tidak bersetuju sedangkan mereka lebih arif dalam soal agama berbanding kita orang biasa? Quran dan hadis yang dibaca oleh mereka adalah Quran dan hadis yang sama juga dibaca oleh kita orang biasa. Tidaklah menjadi dosa kalau kita orang biasa memberi pandangan dan teguran sekiranya ada perkara-perkara yang kita tahu dan kita fikirkan tidak sesuai dengan ajaran Quran dan Hadis. Manusia bukan Nabi yang maksum, tidak terlepas dari kesalahan.

Ustaz Azhar Idrus juga pernah mengkritik sistem pembahagian Tanah Adat dalam ceramahnya (boleh dilihat di link berikut):


Sistem tanah adat Perpatih ini mungkin sangat unggul dan sesuai pada zaman ia dicipta oleh pengasasnya ratusan tahun dahulu, di masa itu masyarakat hidup berasaskan pertanian sara diri. Itulah kelemahan sistem ciptaan manusia, ia hanya sesuai untuk satu-satu masa tetapi tidak untuk sepanjang masa. Sekarang kita telah masuk kepada masyarakat industri, sosio-ekonomi masyarakat telah jauh berbeza. Sekarang barulah kita nampak banyak kelemahan-kelemahan hasil dari pengekalan sistem Tanah Adat ini.

Tetapi yang lebih penting, kita perlu betulkan semula sistem tanah adat ini supaya ia menurut ajaran Islam yang murni. Kalau air di hulu sudah keruh, air yang sampai di hilir akan keruh juga. Kalau sistem tanah adat ini telah bercanggah dengan Islam, maka hasil yang diperolehi dari tanah adat ini, samada hasil kebunnya, perniagaan dan harta lain yang diperolehi dari mengusahakannya akan menjadi subahat yang tidak lagi ketentuan halal haramnya.

Tamsilannya samalah seperti kita mengambil rasuah, hasil dari duit rasuah itu kita buat perniagaan, keuntungannya kita beli harta, kemudian harta dan duit itu kita guna pakai dan wariskan pula kepada anak-anak kita. Sudah tentulah halal dan haram tidak ketentuan lagi.

Masyarakat kita hari ini tidak lagi bergantung kepada pertanian sara diri, ramai anak-anak Negeri Sembilan telah berpindah ke tanah rancangan felda, berpindah ke bandar-bandar besar serata Negara bekerja di kilang-kilang dan jabatan kerajaan. Kebanyakan mereka terus menetap di tempat mereka bekerja dan tidak mahu lagi balik ke kampung. Akhirnya banyaklah rumah tinggal dan terbiar di kampung-kampung kerana anak-anak keberatan untuk pulang dan menetap di kampung.

Oleh kerana tanah adat ini milik suku maka penamanya (pemegang amanah) tidak boleh menjual kepada orang lain kecuali kepada ahli suku mereka saja. Di zaman sekarang ini adalah perkara biasa orang Melayu dari luar Negeri Sembilan bekerja di jabatan kerajaan, kilang-kilang, pelbagai syarikat multinasional, institusi pengajian tinggi dan sekolah-sekolah di Negeri Sembilan. Mereka tinggal di sana untuk jangka panjang, mereka berminat untuk membeli tanah-tanah terbiar di sepanjang jalan utama di pinggir-pinggir Bandar di Negeri Sembilan. Tetapi masalahnya tanah-tanah adat itu tidak boleh dijual kepada mereka. Akhirnya tanah terbiar yang menjadi belukar, rumah menjadi usang tanpa penghuni.

Sekarang ini kalau kita pergi melihat kawasan kampung-kampung tradisional di Negeri Sembilan, adalah pemandangan biasa kalau kita melihat orang-orang tua tinggal bersendirian yang diselangi tanah jiran-jiran mereka yang telah ditumbuhi belukar dengan rumah usang tanpa penghuni.

Dalam masyarakat Adat Perpatih, orang lelaki yang berkahwin dengan wanita di sebuah kampung itu dipanggil orang semenda (somondo) kepada suku isterinya, dia diamanahkan untuk menjaga dan mengusahakan tanah dan harta pesaka isterinya. Secara automatik orang lelaki yang berkahwin ini akan tinggal dan menetap di tanah adat yang akan diwarisi oleh isterinya. Lelaki ini dan isterinya mungkin tinggal sebumbung dengan mertuanya ataupun mendirikan rumah berasingan di dalam tanah adat yang sama.

Semua kebajikan ibubapa si isteri akan dijaga oleh pasangan suami isteri ini. Kelihatannya tanggungjawab untuk menjaga ibubapa dalam masyarakat adat Perpatih terutama semasa mereka tua terletak atas bahu anak perempuan dengan dibantu oleh suaminya. Ini tidak jadi masalah, kerana norma ini telah diterima pakai dengan baik oleh masyarakat adat perpatih. Tidaklah akan menjadi kesalahan dan cacian kalau anak lelaki tidak mengambil berat kebajikan atau tidak menjaga ibubapa mereka. Sebaliknya adalah menjadi kesalahan kalau anak perempuan tidak mahu atau enggan menjaga ibubapa mereka.

Norma ini sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Dalam Islam tanggungjawab utama untuk menjaga ibubapa terutama semasa mereka tua adalah terletak dibahu anak lelaki.
Ibubapa dalam masyarakat adat Perpatih lebih selesa dan tidak berasa kekok tinggal di rumah anak perempuan mereka berbanding kalau berada di rumah anak lelaki mereka.

Kalau di masa dulu, adalah suatu yang normal jika di hari mantai atau di malam raya, orang lelaki yang telah berkahwin akan berada di rumah mertuanya bersama-sama isterinya, dan akan di pandang janggal oleh masyarakat kalau lelaki itu membawa isterinya ke rumah ibubapa lelaki tersebut di waktu-waktu itu.

Apabila masyarakat adat Perpatih ini telah terdedah kepada budaya orang Melayu di luar Negeri Sembilan, kerana ramai penduduknya yang pergi bekerja di luar Negeri Sembilan, malah ada yang telah berkahwin dengan orang Melayu dari negeri-negeri lain, maka berlakulah pertembungan norma dan nilai yang berbeda. Ada kalanya boleh menimbulkan konflik keluarga jika tidak ada tolenrasi antara mereka.
Selain dari masalah tanah adat yang terbiar, di bawah diceritakan beberapa kes, dimana terdapatnya kelemahan-kelemahan sistem tanah adat ini yang boleh menjadi renungan kita bersama:

Kes 1:

Banyak saya perhatikan, sedih juga melihat keadaan di mana ibu tinggal seorang diri di rumah yang semakin usang di atas tanah adat di kampung-kampung. Sedangkan anak lelaki mereka bekerja di Bandar, berjawatan tinggi dan bergaji besar.

Kerana sudah biasa hidup suasana kampung, ibu-ibu ini tidak berasa selesa untuk tinggal dengan anak-anak mereka di Bandar, apatah lagi rasa kekok bila tinggal serumah dengan menantu perempuan. Bagi si ibu, tanah adat yang diwarisinya itu adalah tanah kepunyaannya dan dia mahu mati di situ.

Kepada anak lelaki pula, mereka mahu kalau ibu mereka tinggal sekali dengannya di Bandar, di rumah besar, selesa dan mempunyai kemudahan yang serba lengkap. Anak-anak lelaki ini tidak mahu membina rumah yang baru untuk ibu mereka di tanah adat kepunyaan ibu mereka di kampung atas alasan rumah itu nanti tidak akan dapat diwarisi oleh mereka atau anak-anak mereka selepas ibu mereka meninggal dunia. Kerana mengikut adat Perpatih, tanah adat diwarisi oleh anak-anak perempuan sahaja.

Inilah sebahagian dilema yang dihadapi oleh orang-orang di tanah adat. Ditelan mati emak, diluah mati bapa, akhirnya anak yang mati. Perbilangan adatnya memang cantik, dalam cantik itu ada yang tak kena. Renung-renungkan.

Kes 2:

Di bulan puasa baru-baru ini di kampung saya ada seorang wanita meninggal dunia kerana barah. Dia adalah ibu tunggal mempunyai tiga anak lelaki. Semua anak-anaknya sudah berumahtangga dan menetap di bandar. Wanita ini tinggal di atas tanah adat miliknya dan telah membina rumah yang agak cantik juga, saya anggarkan harga rumah ini tidak kurang dari RM200,000. Mengikut adat Perpatih, oleh kerana beliau tidak ada anak perempuan, maka waris yang berhak untuk mendiami rumah tersebut ialah anak saudaranya yang perempuan dari anak kepada adik beradik perempuan si mati. Itulah sistem adat perpatih, anak buah perempuan lebih berhak dari anak lelaki sendiri.

Kes 3:

Ada kawan lelaki saya berkahwin dengan wanita Negeri Sembilan. Lelaki itu telah membina rumah banglo untuk kediaman mereka berharga RM2 juta di atas tanah adat milik wanita itu. Jodoh mereka tidak panjang, selepas berkahwin selama 6 tahun mereka bercerai tanpa mempunyai anak. Oleh kerana tanah adat tidak boleh dijual maka lelaki itu tidak dapat menuntut apa-apa, walaupun beliau sendiri yang telah mengeluarkan belanja membina rumah itu. Sebaliknya lelaki itulah yang kena keluar dari rumah tersebut selepas mereka bercerai.

Sekarang ini semuanya terserah kepada warga adat di Negeri Sembilan, jika mereka sepakat untuk membersihkan sistem Tanah Adat ini kepada cara Islam, maka itu adalah pilihan yang terbaik dan sangat berkat kepada mereka.

Dengan adanya keazaman politik, nasihat yang benar dari ahli-ahli ugama dan persetujuan ketua-ketua masyarakat sendiri, semua tanah-tanah adat di Negeri Sembilan ini bolehlah ditukar menjadi milik mutlak kepada penama atau orang-orang yang tinggal di atas tanah itu. Dan gantikanlah segala urusan yang berkaitan dengan tanah itu mengikut ajaran Islam. Apa yang telah berlaku di masa silam, anggaplah ia sebagai kesilapan, moga Tuhan ampunkan dosa kita semua. Apabila kita telah insaf dan kembali kepada Islam dengan sukarela dan atas rasa taqwa, maka yang lampau itu tidaklah menjadi dosa lagi.

Kepada diri saya pula, saya tidak ada apa-apa kepentingan dalam memperjuangkan perkara ini melainkan atas rasa tanggungjawab agama sahaja. Saya juga tidak teragak-agak untuk menolak dari menerima bahagian saya  jika tanah adat ini di bahagi-bahagikan mengikut cara faraid pada masa akan datang.

Saya juga ada menulis beberapa artikel yang berkaitan adat Perpatih di link berikut:

Kontrak Sosial dalam adat Perpatih


Kalau tak masuk suku, macamana ekau nak kawin


Demokrasi bukan milik Amerika

Thursday, July 04, 2013

Demokrasi adalah cara orang kafir?


Ada orang kata demokrasi adalah cara kafir, sebagai orang Islam kita tidak boleh mengambil cara orang kafir, sebaliknya kena ikut politik cara Islam. Tetapi bagaimanakah yang dikatakan politik cara Islam itu? Ada orang kata politik cara Islam itu ialah seperti sistem pemerintahan Khulafak Ar Rasyidin semasa umat Islam dipimpin oleh Abu Bakar As Sidiq, Umar Al Khatab, Othman ibnu Affan dan Ali Abi Talib, yang merupakan sahabat akrab Nabi Muhammad s.a.w.

Pernah satu masa dulu, saya berfikiran seperti itu juga. Demokrasi diambil dari tamaddun Greek, bukan berasal dari Islam, sudah tentu tidak mengikut dan mungkin bercanggah dengan cara Islam.

Tetapi selepas itu, pandangan saya terhadap demokrasi telah berubah. Saya menyedari, demokrasi bukanlah agama dan ia tidak akan mengubah akidah kita jika kita mengguna pakai demokrasi.

Saya menganggap demokrasi hanyalah alat atau mekanisma yang dicipta oleh manusia untuk memilih ketua bagi memimpin dan mentadbir rakyat dan Negara tanpa melalui kekerasan dan pertumpahan darah.

Melalui demokrasi rakyat dapat memilih pemimpin yang terbaik di kalangan mereka. Sudah tentu rakyat mahu orang yang baik dan berwibawa untuk menjadi pemimpin mereka. Oleh itu demokrasi dapat menjamin hanya orang terbaik sahaja akan menjadi pemimpin.

Untuk menjadikan demokrasi dapat mencapai matlamatnya, ia perlu disokong oleh beberapa prinsip dan rukun yang perlu dipatuhi. Ini termasuklah hak kebebasan bersuara dan memberi pandangan, pilihanraya yang bersih, bebas dan adil. Pertandingan dalam pilihanraya mestilah di atas gelanggang yang sama rata.

Oleh itu demokrasi tidak ada kena mengena dengan akidah agama kita. Demokrasi tidak menghalang untuk mengamalkan agama kita. Malah pemimpin yang baik itu adalah datang dari pegangan agamanya yang baik.

Agama adalah sangat penting, agama adalah pengisian utama kepada sistem demokrasi itu sendiri. Ceramah agama dan usaha dakwah, mengajak manusia kepada kebaikan mestilah sentiasa menjadi lebih utama dari ceramah politik. Demokrasi tanpa agama, umpama badan tanpa roh.

Demokrasi tidak akan dapat membentuk masyarakat yang baik, sebaliknya penghayatan agamalah yang akan membentuk masyarakat yang baik.

Demokrasi tidak lebih dari alat yang telah dicipta oleh manusia untuk kegunaan mereka sendiri. Sama juga seperti alat-alat lain, contohnya kereta. Kereta adalah kenderaan yang dapat membawa kita ke mana saja dengan selesa dan lebih cepat. Kereta adalah dicipta oleh orang bukan Islam, apakah kerana kereta dicipta oleh orang kafir maka kita tidak boleh menggunakan kereta?

Kalau kita mahu, kita boleh saja terus menggunakan unta sebagai kenderaan kita, tetapi ini tidaklah bermakna dapat menambahkan keislaman kita. Dan kalau kita menggunakan kereta, ia juga tidak akan mengurangkan keislaman kita.

Islam tidak pernah menetapkan bagaimana seorang pemimpin itu dipilih. Nabi Muhammad sendiri pun tidak pernah mengarahkan cara bagaimana seorang pemimpin itu harus dipilih. Seolah-olahnya soal pemilihan kepimpinan dalam Islam diserahkan bulat-bulat kepada kebijaksanaan dan budibicara manusia sendiri.

Nabi Muhammad adalah pemimpin umat Islam di masa baginda menjadi rasul. Corak kepimpinan Nabi Muhammad adalah berasaskan kepada kenabian dan kerasulan. Kebanyakan rasul-rasul yang diutus oleh Tuhan secara automatik menjadi pemimpin kepada kaumnya.

Kepimpinan yang kita katakan sebagai Khulafak Ar Rasyidin itu pula adalah kepimpinan yang berasaskan para sahabat. Apabila Nabi Muhammad wafat, maka pengganti yang paling layak untuk memimpin umat Islam ketika itu ialah sahabat-sahabat baginda yang juga merupakan orang-orang yang sangat dihormati oleh orang Islam ketika itu. Abu Bakar As Sidiq, Umar Al Khatab, Osman bin Affan dan Ali bin Abi Talib telah dipilih menjadi khalifah atau pemimpin mengikut kedudukan mereka sebagai sahabat yang paling kanan kepada Nabi. Semua pemilihan mereka sebagai khalifah atau pemimpin itu telah mendapat persetujuan dari semua umat Islam di Madinah dan Mekah ketika itu, terutamanya di kalangan sahabat-sahabat lain.

Apabila jajahan umat Islam bertambah luas, bilangan umat Islam bertambah ramai, pemilihan untuk menggantikan Khalifah atau pemimpin yang meninggal dunia telah menjadi kompleks. Jawatan Khalifah telah menjadi rebutan kepada pihak-pihak yang berkepentingan. Peperangan dan pertumpahan darah tidak dapat lagi dielakkan kerana masing-masing mahu menjadi Khalifah.

Untuk megelakkan banyak berlaku peperangan dan pertumpahan darah, ada Khalifah yang telah menetapkan supaya jawatan Khalifah akan diambil alih anak-anak mereka secara turun menurun. Maka lahir pemerintahan bercorak dinasti seperti Bani Umaiyah dan Bani Abasiyah.

Walaupun sistem dinasti dan sistem raja dapat mengelakkan banyak peperangan dan pertumpahan darah semasa hendak memilih pengganti setelah seorang pemimpin itu meninggal dunia, tetapi ia tidak dapat menjamin penggantinya adalah seorang yang baik. Nilai-nilai baik kepimpinan tidak boleh diturunkan atau diwariskan kepada anak, kalau anak yang menggantikannya berperangai buruk dan kejam, sudah tentu akan mendatangkan kesusahan kepada rakyat jelata.

Berbagai-bagai cara dan kaedah telah dicuba oleh manusia untuk memilih pemimpin mereka. Kumpulan Syiah pula memilih pemimpin kerohanian mereka melalui salah silah keturunan Ali bi Abi Talib dan Fatimah anak Rasullullah. Kebelakangan ini ada gerakan yang menggelar diri mereka Hizbut Tahrir ingin menghidupkan semula sistem kepimpinan khalifah. Kita tidak ada masalah apa sahaja sistem yang hendak diperkenalkan, tetapi kita menolak sama sekali sistem yang berunsur kekerasan, paksaan dan keganasan. Islam adalah keamanan, oleh itu semua bentuk keganasan, kekerasan dan paksaan adalah berlawanan sama sekali dengan fitrah Islam. Apakah sistem Khilafah yang ingin mereka tegakkan itu betul-betul akan mengikut acuan sistem Khilafah Ar Rasyidin yang dulu itu? Lain orang lain pentafsirannya.

Setakat ini sistem demokrasi adalah cara yang terbaik dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Sejak kereta dicipta, telah banyak penambahbaikan telah dilakukan untuk menjadikannya lebih selamat, lebih ekonomi dan lebih sesuai dengan perubahan zaman. Demokrasi juga perlu berubah dan diperbaiki mengikut peredaran zaman dan perubahan teknologi. Demokrasi juga wajar disesuaikan dengan sosio budaya masyarakat setempat. Tidak salah kalau kita mengambil demokrasi mengikut acuan kita sendiri. Yang salahnya kalau mengikut acuan sepihak sahaja tanpa dipersetujui oleh semua pihak yang bertanding. Tentulah tidak betul kalau dalam satu perlawanan bolasepak, pengadilnya adalah penyokong pasukan tuan rumah dan peraturan permainan ditentukan oleh tuan rumah.

Dan tidak betul juga kalau ada orang mengatakan Islam mesti diperjuangkan melalui demokrasi. Walaupun Islam tidak mestinya diperjuangkan melalui saluran demokrasi tetapi ia boleh diperjuangkan melalui saluran demokrasi. Tidak ada yang cara yang terlebih baik dalam memperjuangkan Islam melainkan dengan cara yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w iaitu dengan cara berdakwah dan menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada masyarakat.

Bukanlah sistem politik itu yang sepenuhnya menentukan pemimpin itu baik atau buruk, tetapi sekurang-kurangnya demokrasi dapat memastikan pemimpin yang terpilih adalah pemimpin yang diterima oleh majoriti rakyat. Dan jika ada pemimpin yang berperangai buruk, rakyat dapat berpeluang untuk menggantikannya melalui proses pilihanraya.

Tidak dinafikan ada juga pemimpin yang sangat baik dan dihormati oleh rakyat mereka yang lahir dari bukan sistem bukan demokrasi seperti Nabi Sulaiman dan Nabi Daud dari sistem raja, Presiden Zia Hul Haq dari sistem pemerintahan tentera, Mao Tze Tong dan Fiedal Castro dari sistem kominis dan Umar Abdul Aziz dari sistem dinasti.

Monday, June 17, 2013

Peluang untuk memulihkan Demokrasi sudah terlepas


Sebelum ini saya memikirkan pilihanraya umum ke 13 (PRU13) yang lepas adalah merupakan peluang yang paling baik untuk demokrasi di Negara ini dapat dipulihkan dan meletakkannya di atas landasannya yang betul. Saya berfikiran demikian kerana mengandaikan Pakatan Rakyat akan mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya itu, dan sudah tentu peluang untuk memulihkan demokrasi memang akan berlaku di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat yang telah lama menjadi mangsa pencabulan demokrasi.

Parti UMNO telah lama memegang kuasa, sejak merdeka 56 tahun dulu, tidak ada parti politik yang dapat menjatuhkan kuasa UMNO. Sudah menjadi kelaziman, apabila terlalu lama berkuasa, mereka tidak terlepas melakukan berbagai kesalahan dan kesilapan. Di Negara-negara maju yang mengamalkan demokrasi, parti pemerintah yang banyak melakukan kesilapan akan ditukar oleh rakyatnya melalui proses pilihanraya yang bebas dan adil.

Tetapi di Negara-negara ketiga, parti pemerintah menggunakan kuasa mereka untuk mencabul demokrasi supaya kemenangan sentiasa berpihak kepada mereka pada setiap kali pilihanraya diadakan.

Di Malaysia, demokrasi yang diamalkan adalah menggunakan acuan UMNO. Pertandingan dalam pilihanraya berjalan secara berat sebelah, media perdana digunakan oleh parti pemerintah sebagai alat propaganda dan alat kempen parti mereka, tanpa memberi peluang yang adil kepada parti lawan untuk menggunakan kemudahan yang sama.

Jawatankuasa yang mengendalikan pilihanraya atau dikenali sebagai Suruhan Jaya Pilihanraya (SPR) juga dilihat berpihak kepada parti pemerintah. Masih banyak lompang-lompang yang terdapat dalam proses pilihanraya itu yang boleh terdedah kepada penipuan.

Dengan kata lain demokrasi yang diamalkan oleh Negara kita ini amat jelas dalam keadaan yang tempang.   

Akhirnya saya terpaksa menerima hakikat bahawa memang sukar untuk memulihkan demokrasi dengan menggunakan saluran demokrasi yang tempang.

Nampaknya Tuhan masih lagi mahu mengekalkan UMNO di tampuk kuasa walaupun saya menjangka riwayat UMNO tamat pada PRU13 yang lepas. Kita hanya mampu merancang dan meramal, tapi ketentuan sebenar adalah di tangan Tuhan.

Mungkin Tuhan mahu UMNO jatuh dengan cara lain. Dia saja yang tahu macamana UMNO akan jatuh, kadang-kadang dengan jalan yang tidak terduga oleh kita.

Siapakah yang dapat menduga kejatuhan Hosni Mubarak bukan selain dari cara pilihanraya? Siapakah dapat menduga kejatuhan Muamar Gadafi dengan cara dibunuh oleh rakyatnya sendiri?

Siapakah dapat menjangka kejatuhan Presiden Suharto selain dari sistem pilihanraya?

Hosni Mubarak dan Presiden Suharto adalah antara pemimpin Negara yang mengamalkan demokrasi, tetapi sayangnya mereka telah mengubah demokrasi yang diamalkan mengikut acuan mereka sendiri.

Perancangan Tuhan selalunya berbeza dan tidak terjangka oleh pemikiran kita. Itulah Tuhan, Yang Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa.

Sebagai hamba kita hanya mampu berikhtiar dan berdoa.


Mungkin demokrasi ala Amerika atau Britain tidak sesuai untuk Negara kita. Mungkin ada betulnya dakwaan itu, demokrasi haruslah mengikut acuan kita sendiri. Saya pun setuju, demokrasi harus mengikut acuan kita sendiri, tetapi ini bukan bermakna mesti mengikut acuan UMNO.


PRU13 telah menyaksikan bagaimana integriti masyarakat Malaysia telah merosot begitu rupa. Berbagai bentuk penipuan dan politik kotor telah berlaku. Semuanya ini adalah mencerminkan masyarakat kita yang kuat menipu, tidak amanah, tidak jujur.

Kita terlalu menumpukan pencapaian anak-anak kita dalam akademik, semuanya hendak mengejar gred A dalam semua subjek, tetapi sistem nilai anak-anak kita hancur.

Sistem pendidikan kita gagal melahirkan insan yang ada integriti.

Yang jadi polis, SPR, menteri dan pegawai-pegawai lainnya adalah datang dari masyarakat juga (kecuali pegawai keselamatan yang ramai datang dari Nepal). Kalau mereka tidak ada integriti, tidak amanah, tidak jujur, perasuah dan penipu, itu sebenarnya mencerminkan masyarakat kita yang telah rosak dan telah hilang amalan nilai-nilai murni.

Dengan kata lain masyarakat yang tidak ada integriti akan melahirkan polis yang tidak ada integriti. Masyarakat yang tidak ada integriti akan juga melahirkan ahli-ahli politik yang tidak ada integriti.

Perlu dicari kaedah dan punca penyelesaian untuk menjadikan masyarakat kita berakhlak baik.

Akhlak yang baik bukan boleh didapati melalui ceramah-ceramah dan khutbah sahaja, tetapi perlu dilatih dan melalui contoh tauladan.

Di Negara Jepun dan Negara maju yang lain, adalah menjadi perkara biasa menterinya meletakkan jawatan kalau berlaku kecuaian yang boleh menyebabkan kemalangan atau kerugian yang melibatkan agensi di bawah kementeriannya. Tetapi di Malaysia tidak ada menteri yang mempunyai sikap seperti itu. Rasa bertanggungjawab, amanah, jujur atau nilai-nilai integriti telah lama terhakis dari masyarakat Malaysia.

Lihat sahajalah tindakbalas orang ramai di Negara kita bila melihat lori yang membawa beras dan duit syiling terbalik.

Tuesday, May 21, 2013

PM Najib sudah buat yang terbaik untuk mengembalikan sokongan rakyat



Tahun-tahun akhir sebelum menjelang pilihanraya ke 13, PM Najib telah mengumumkan berbagai habuan dan imbuhan untuk rakyat Malaysia.


Dikatakan hutang Negara meningkat kepada lebih 400 billion ringgit untuk membiayai segala habuan yang diberikan kepada rakyat, semata-mata untuk mengembalikan sokongan mereka kepada BN. Ada habuan yang diberikan secara langsung dan ada habuan yang diberikan secara tidak langsung melalui sekim dan program yang tertentu.


Sebagai contoh, beliau mewujudkan sekim kedai rakyat 1Malaysia (KR1M) yang menjual barang runcit dengan harga yang rendah berbanding kedai-kedai biasa. Sekim Perumahan Rakyat 1Malaysia pula menawarkan rumah bersubsidi untuk golongan berpendapatan rendah. Sekim Klinik 1Malaysia (KL1M) menyediakan perkhidmatan kesihatan klinik pesakit luar dengan harga RM1. Sekim bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) pula merupakan bantuan wang sebanyak RM500 kepada setiap keluarga dan RM250 kepada orang bujang yang berpendapatan kurang dari RM3000 sebulan.

Kepada pelajar universiti diberikan baucer sebanyak RM250 untuk membeli buku dan alat tulis. Anak-anak sekolah pula mendapat wang tunai RM100 seorang.


Selain dari itu kakitangan dan persara perkhidmatan awam pula mendapat bonus dan kenaikan gaji.


Selain dari habuan-habuan yang diberikan kepada rakyat sebelum pilihanraya, berbagai janji juga telah dibuat oleh PM Najib jika BN menang dalam pilihanraya ke 13 ini termasuklah hendak menurunkan harga kereta dan membina banyak kemudahan dan pasarana di Kuala Lumpur dan kota-kota besar serata Negara.


UMNO juga begitu bersungguh-sungguh hendak mengembalikan pentadbiran kerajaan negeri Selangor semula kepada UMNO. Selangor adalah negeri terkaya dalam Malaysia, tidak ada ertinya kalau memerintah Malaysia kalau tidak dapat memerintah Selangor. Berbagai-bagai kempen telah dijalankan secara agresif melalui media perdana, malah jawatan pengerusi perhubungan UMNO Selangor dipegang oleh PM Najib sendiri. Hampir setiap hari TV1 dan TV3 menyiarkan keburukan dan kelemahan kerajaan Selangor di bawah pentabiran Pakatan Rakyat.


Ke mana saja PM Najib pergi ke merata tempat di pelusuk Negara ini pasti beliau akan mengumumkan sesuatu yang menggembirakan penduduk tempatan, berbagai projek akan dibina di tempat yang beliau pergi melawat, termasuklah sekolah baru, hospital baru, masjid baru, jambatan baru dan jalanraya baru.


Untuk memenuhi kehendak rakyat yang mahu kepada perubahan dalam sistem ekonomi, pengurusan dan pentadbiran, PM Najib telah memperkenalkan dasar transformasinya.

PM Najib tidak menggunakan perkataan reformasi, kerana beliau elergik dengan perkataan reformasi yang sinonim dengan Anwar Ibrahim.


PM Najib telah melakukan usaha yang terbaik untuk menawan kembali hati rakyat bagi menyokong BN. Beliau sangat pemurah kepada rakyat berbanding semasa PM Pak Lah dan PM Tun Mahathir. Tapi sayang, dari keputusan pilihanraya ke 13 yang lalu, sangat-sangat mengeciwakan   PM Najib. Dia telah melakukan yang terbaik untuk rakyat tetapi hasilnya tidak seperti yang beliau harapkan.


Keputusan pilihanraya ke 13 hari itu betul-betul tidak mengembirakan beliau, malah selalunya beliau sangat bermurah hati untuk memberi cuti umum sekalipun hanya Malaysia menang pertandingan bola sepak, tetapi beliau langsung tidak berminat untuk mengumumkan hari Isnin selepas hari mengundi itu sebagai hari cuti. Jelas menunjukkan beliau tidak berada dalam mood gembira ketika itu.


Bukan sahaja tidak dapat majoriti dua per tiga, bilangan kerusi Parlimen yang dimenangi oleh BN juga telah merosot berbanding semasa Pak Lah menjadi PM. Tun Mahathir telah menempelak PM Najib dengan mengatakan prestasi PM Najib lebih buruk berbanding PM Pak Lah.


Walaupun BN menang kerana bilangan kerusi Parlimennya melebihi kerusi yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat, tetapi dari segi jumlah undi Pakatan Rakyat mendapat lebih banyak undi iaitu 51%, sedangkan BN hanya mampu meraih undi sebanyak 47% sahaja.


Ini menunjukkan lebih separuh rakyat Malaysia adalah menyokong atau bersama-sama dengan Pakatan Rakyat. Itu belum lagi mengambil kira undi pos, undi awal dan undi hantu yang meragukan.


Kemenangan BN yang hambar ini menyebabkan PM Najib tidak mendapat ucapan tahniah yang hangat dari pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO. Mungkin PM Najib harus memikirkan telah sampai masanya untuk beliau mengundurkan diri dari memimpin parti UMNO. Kata orang, pandai-pandailah sendiri, jangan sampai jadi macam daun pisang yang perlu ditarik untuk turun ke bawah.

Dalam keadaan sekarang ini kita tidak Nampak adanya barisan kepimpinan UMNO yang histeria dan meraung kalau PM Najib berhasrat untuk meletakkan jawatan, seperti yang terjadi kepada PM Tun Mahathir satu masa dulu.


Sebagai rakyat biasa saya melihat, di sebalik PM Najib yang pemurah itu, terdapat beberapa kelemahan yang mana telah menyebabkan beliau tidak mendapat sokongan kuat dari rakyat.

Antaranya adalah disebabkan tiga faktor (3T) berikut, tidak Telus, tidak Tulus dan Tamak. Mungkin bukan atas kehendaknya, PM Najib tidak dapat menjadikan pentadbirannya sebagai pentadbiran yang Telus. Inilah masalah utama kerajaan yang terlalu lama berkuasa, akan dihinggapi penyakit korup. Apabila kerajaan telah korup dan telah menjadi barah, ketelusan akan hanya mempercepat kejatuhannya.


PM Najib juga dilihat tidak tulus dan ikhlas. Mungkin beliau ikhlas semasa memberi berbagai imbuhan dan habuan untuk rakyat itu. Tetapi masih ramai rakyat yang mempersoalkan ketulusannya, kerana menganggap habuan itu hanya sebagai gula-gula untuk menghadapi pilihanraya.


Sifat Tamak pemimpin-pemimpin UMNO dengan meyalahgunakan kuasa dan kedudukan sebagai laluan mudah untuk memperkaya diri dan keluarga, menimbunkan harta ke tahap yang tidak munasabah menyebabkan rakyat berasa benci. Oleh kerana mereka menjadi kaya bukan atas daya usaha sendiri tetapi atas laluan politik, mereka jadi terlalu takut dengan kehilangan kuasa politik. Mereka sanggup melakukan apa saja termasuk penipuan dan politik kotor untuk mengekalkan kuasa. Bagi mereka, hilang kuasa politik, kekayaan pun turut hilang.


Sebenarnya kuasa UMNO berada dijurang bahaya, silap langkah boleh terjerumus kepada kehancuran.


Zahid Hamidi terlalu bongkak dalam mengeluarkan kata-kata untuk menghalau rakyat Malaysia yang tidak bersetuju dengannya. Mungkin dia masih dalam mimpi, sedarkah dia, dia bukan bercakap di tahun 1990 di waktu UMNO solid mendapat sokongan rakyat. Nanti beliau akan termalu sendiri bila dia sedar lebih separuh dari rakyat Negara ini sedang mentertawakan beliau.


Oleh itu hati-hatilah semasa memegang kuasa yang umpama telor di hujung tanduk itu, bila-bila saja anda boleh dihumban oleh rakyat jika tersilap dalam tindakan.


Dari keputusan pilihanraya ke 13, tahulah kita lebih separuh dari rakyat ini berada di belakang Pakatan Rakyat. Dan kita pun tahu, semua media perdana, TV1 dan TV3 boleh dikatakan sebagai media UMNO. Kalaulah media perdana ini bersikap nutral, sudah tentu kita dapat ramalkan apa akan terjadi keputusan sebenar pilihanraya ke 13 itu.


Dari beberapa kejadian-kejadian anih yang berlaku semasa proses pilihanraya ke 13 hari itu, tidak hairanlah kalau sebelum ini SPR dan BN tidak mahu melayan tuntutan gerakan BERSIH. Rupanya ada udang di sebalik batu.



Kalau SPR asyik hendak menipu dan berat sebelah kepada BN, sampai bila pun parti lawan tak boleh menjadi pemerintah. Sistem demokrasi tidak dapat berfungsi kalau SPR menipu. Oleh itu jangan salahkan rakyat kalau mereka beralih memilih ‘jalanraya’, bukan pilihanraya.


Jangan sewenang-wenangnya menggunakan kuasa polis dan KDN dalam menyekat demontrasi jalanan oleh rakyat sebagai protes kepada pilihanraya yang kotor. Bimbang ia hanya akan menambah kebencian dan kemarahan rakyat kepada pemimpin UMNO.

Tuesday, May 07, 2013

Lu tipu, lu tanggunglah sendiri


Banyak keraguan dan banyak penipuan di dakwa berlaku dalam pilihanraya umum 5 Mei 2013 yang lepas.

Di zaman alat-alat komunikasi moden dan internet yang canggih ini, segala bentuk penipuan akan dapat ditunjukkan dan disebarkan kepada orang ramai dengan begitu cepat sekali.

Kalau kita melihat kepada jumlah undi keseluruhannya, tanpa mengira faktor penipuan, jumlah undi popular masih didahului oleh Pakatan  Rakyat. Menunjukkan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat memang kuat.

Walaupun media cetak dan media elektronik utama Negara di kawal dan dikuasai sepenuhnya oleh UMNO, yang telah menjadi medium kempen utama UMNO, tetapi sokongan pengundi kepada Pakatan masih dapat mengatasi sokongan kepada UMNO.

Dengan pertandingan yang berat sebelah dan terdapatnya permainan kotor dan penipuan dalam pilihanraya ke 13 ini, mencerminkan mandat yang diterima oleh PM Najib itu merupakan sebuah mandat yang palsu dan tidak boleh diterjemahkan sebagai sokongan rakyat kepada beliau.

Rakyat tidak ada masalah untuk menerima kemenangan UMNO dalam pilihanraya tetapi biarlah kemenangan itu diperolehi dengan cara bermaruah.

Apabila suatu pertandingan yang berlangsung, berlaku penipuan secara terang-terangan, ini akan menyebabkan banyak pihak yang tidak berpuas hati.

Ini akan hanya menjemput penyokong Pakatan Rakyat turun berdemontrasi di jalanraya sebagai menunjukkan rasa tidak puas hati mereka.

PM Najib harus bersedia menghadapi siri-siri demontrasi yang akan berlangsung dari masa ke semasa. Kata orang, berani buat, beranilah tanggung.

Saya percaya, dalam masa lima tahun akan datang ini, kerajaan PM Najib tidak akan dapat duduk tenteram, akan diganyang oleh siri-siri demontrasi, terutamanya menuntut demokrasi yang murni dan pilihanraya yang bersih, bebas dan adil.

Apabila rakyat hidup-hidup ditipu dengan dakwat kekal yang tidak kekal, mampukah UMNO mengekalkan pemerintahannya?

Sunday, April 28, 2013

Bukan setakat menang tetapi pastikan menang besar


55 tahun adalah satu jangka masa yang terlalu lama bagi sebuah parti berkuasa terus menerus dalam sebuah Negara yang mengamalkan demokrasi. Fenomena ini bukanlah suatu yang baik dalam sebuah Negara demokrasi, kerana ia boleh membantutkan kemajuan Negara.

Di Negara-negara maju seperti Amerika dan Britain, parti-parti politik yang memerintah sentiasa saja bertukar ganti, dan inilah antara rencah yang menjadi amalan Negara-negara tersebut sehingga dapat memacu kejayaan dan kemajuan yang berterusan.  Apabila satu parti tidak dapat menunjukkan prestasi yang meningkat dalam membawa kemajuan kepada Negara semasa memerintah, dengan segera mereka akan ditukar oleh rakyat dengan parti atau pemimpin yang lebih berupaya.

Saya rasa tahun 2013 ini adalah masa yang sesuai untuk rakyat Malaysia membuat perubahan.  Sudah terlalu lama UMNO memerintah Negara ini, walaupun setiap kali pilihanraya yang diadakan sebelum ini, UMNO selalu menang besar, ini tidak bermakna rakyat benar-benar suka kepada pemerintahan UMNO.

Ada banyak sebab mengapa UMNO terus menang dalam setiap pilihanraya. Kawalan dan penguasaan media perdana, samada akhbar mahu pun media elektronik, telah menghalang rakyat mendapat dan terdedah kepada pandangan yang berlainan dari pandangan parti UMNO.

Walaupun pemimpin-pemimpin UMNO telah banyak melakukan berbagai salah laku dan memimpin kerajaan dengan dasar-dasar yang lemah, bercambahnya rasuah dan korupsi dalam pentadbiran, tetapi semuanya itu dapat ditutup dan disembunyikan. Sebaliknya melalui media perdana yang mereka kuasai, kerajaan UMNO dipaparkan sebagai yang terbaik dan banyak membawa kemajuan kepada rakyat.

Apabila rakyat hanya mendapat maklumat dari parti yang memerintah sahaja maka sukar untuk mempastikan undi dan sokongan yang mereka beri itu adalah sokongan yang sebenar. Keadaannya akan jadi bahaya kalau rakyat tahu maklumat yang disogokkan kepada mereka itu hanyalah palsu belaka.

Keadaan inilah yang telah berlaku di Negara-negara Arab yang pemimpin mereka mengamalkan kepimpinan autokratik. Apabila rakyat mereka disedarkan, mereka telah memberontak dan menyingkirkan pemimpin-pemimpin tersebut.

Pilihanraya yang tidak berat sebelah, bebas dan bersih, sangat penting untuk menjaga keutuhan dan kedaulatan sesebuah Negara. Negara-negara luar tidak berani hendak membuli Negara yang pemimpin mereka mendapat sokongan padu dan tulin dari rakyatnya. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana Amerika begitu mudah ‘menawan’ Iraq dan menangkap Sadam Husein, pemimpin Negara itu. Sebaliknya Amerika tidak berani bertindak kepada Iran dan Presidennya Ahmed Dinajad. Ini kerana Amerika tahu, Sadam hanya mendapat sokongan yang palsu dari rakyatnya sekalipun setiap kali pilihanraya Negara itu, Sadam mendapat lebih 90% undi. Manakala Presiden Iran dipilih melalui pilihanraya yang tidak berat sebelah dan bebas, oleh itu sokongan rakyat kepada presidennya memang sokongan yang tulin.

UMNO perlu merasa kalah untuk menjadikan mereka parti yang lebih baik pada masa hadapan.  UMNO telah banyak menggunakan taktik yang tidak beretika dan tidak bermoral semata-mata untuk mereka terus kekal berkuasa.

UMNO sering menakut-nakutkan rakyat dengan kemiskinan, kemunduran, kekacauan, huru hara, kalau parti lawan menang dalam pilihanraya.

UMNO kata, kalau Pakatan Rakyat memerintah, orang Melayu akan hilang segala-galanya seperti yang berlaku kepada orang Melayu Singapura. Adakah UMNO ini sedar apa yang dia cakap? Orang Melayu dan Bumiputra di Malaysia adalah kumpulan yang majoriti, kalau kehendak kumpulan majoriti diabaikan, alamat sepenggal sajalah Pakatan Rakyat memegang kuasa. Sudah menjadi adat demokrasi, kebajikan majoriti itulah yang akan diberi tumpuan dan perhatian, kerana sokongan dari kumpulan majoriti itulah yang akan menentukan kemenangan dalam pilihanraya.

Musuh Melayu bukan Cina, musuh Cina bukan Melayu. Musuh sebenar kita ialah manusia yang tamak dan rakus yang merompak kazanah negara untuk diri dan keluarga mereka dengan bertopengkan parti politik. Pecahkan tembok perkauman ini, sekolahkan anak-anak kita disekolah yang sama, bukan sekolah mengikut kaum yang sangat dibanggakan oleh UMNO seperti sekarang ini. Sedarlah tuan-tuan, anak-anak kita mesti dibiarkan bersekolah di sekolah yang sama dari kecil lagi, agar anak-anak kita itu dapat bergaul, berkawan dan menghapus rasa curiga. Akhirnya mereka akan dapat hidup bersama, saling membantu menghadapi apa jua keadaan, samada susah dan senang. Kita mahu membina anak watan yang sentiasa bersedia membela nasib rakyat Malaysia, bukan yang berlagak menjadi hero membela kaumnya.

Marilah kita melakar sejarah baru untuk Negara kita yang tercinta ini. Kalau tahun 1957 dingati sebagai tahun kemerdekaan, tahun 1963 sebagai tahun pembentukan Malaysia, tahun 2013 ini pula akan kita ingati sebagai tahun pemulihan demokrasi dan pilihanraya di Negara kita ini. Media perdana masih berat sebelah dan dikawal secara sistematik oleh UMNO. Begitu jelas kepada kita, UMNO telah menggunakan RTM, harta awam yang dibiayai Negara atau lebih tepat lagi wang rakyat, untuk propaganda dan alat kempen parti mereka. Kalau di Negara maju seperti Britain, perbuatan seperti ini sudah cukup untuk membuatkan parti yang memerintah kalah teruk dalam pilihanraya, tanpa perlu lagi melihat apa yang ditawarkan dalam manifestonya.

UMNO telah mewujudkan undang-undang dan permit yang menyekat kebebasan bersuara, yang sangat bercanggah dengan amalan dan prinsip demokrasi. Ingatlah tuan-tuan, pilihanraya kita belum sepenuhnya adil, bebas dan bersih. Marilah kita ubah dan kita cipta sejarah baru.

Mari kita membina Malaysia yang berpandangan baru, mari kita robohkan tembok perkauman yang telah dibina oleh UMNO sekian lama. Tembok perkauman itulah yang telah menyelamatkan UMNO dan sekutunya dalam setiap pilihanraya. Wahai rakyat, bukalah minda kamu seluas-luasnya, jangan lagi kita terus diperalat oleh UMNO, janganlah berfikir dalam kotak kaum kita saja, sampai bila kita mahu terus menjadi bahan batu api UMNO hingga kita menjadi musuh kepada kaum yang lain dalam senyap. Di depan, kita kata bersatu padu, di belakang kita saling membenci, dan tidak pernah puas hati dengan kaum lain.

Ingatlah tuan-tuan, UMNO hanya boleh menggunakan undi hantu dan kotak misteri undi pos untuk menang kalau Pakatan Rakyat mendapat lebihan bilangan undi kurang dari 200 dalam suatu kawasan pilihanraya itu. Tetapi kalau Pakatan Rakyat dapat jumlah undi dua atau tiga ribu lebih banyak dari UMNO, mereka memang tidak mampu untuk mengubah keputusan. Marilah kita mengundi dan tunjukkan satu keputusan yang jelas kepada mereka. Let’s send them a strong signal and a very clear message by voting solely for Pakatan Rakyat.

UMNO mesti dikalahkan dengan teruk, kalah sampai terduduk. Dengan ini sahaja kita dapat mengajar kesombongan dan keangkuhannya selama ini. Kalau UMNO hanya dapat dikalahkan dengan majoriti mudah (simple majority), mereka akan masih boleh bercakap besar dan masih mampu menggugat kerajaan Pakatan Rakyat.

Daim Zainudin mengatakan kalau Anwar jadi PM, ekonomi negara akan hancur. Ekonomi negara insyallah tidak akan hancur, yang pasti akan hancur ialah ekonomi perembat-perembat khazanah negara yang telah lama menjarah kekayaan negara sepanjang UMNO berkuasa. Bolehkah Mokhzani dan Mukhriz memiliki kekayaan seperti sekarang ini kalau dia bukan anak-anak kepada Mahathir? Dan mungkin Nazir di saat ini hanya setakat bertugas sebagai pengurus sebuah bank sahaja kalau dia bukan adik kepada PM Najib.

Setiap kali Negara menyambut hari kemerdekaan, kita dikompangkan di media perdana bahawa parti UMNO lah yang telah banyak berjasa dalam memerdekakan Negara. Dan sebagai balasan, UMNO meminta rakyat sentiasa mengenang dan berterima kasih dengan jasa-jasa UMNO ini. Setiap tahun jasa UMNO ini akan diulang tayang, lantaran itu, selama-lamanya rakyat Malaysia akan terasa terhutang budi kepada UMNO.

Memang tidak dinafikan Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman melalui wadah UMNO telah melakukan yang terbaik, memerdekakan Negara ini dari penjajah British. Tetapi tidak bermakna orang UMNO hari ini juga telah melakukan yang terbaik untuk Negara ini. Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman telah banyak berjasa, tetapi tidaklah wajar, kerana terlalu terhutang budi kepada mereka, hingga kita tidak boleh mengundi selain dari parti UMNO.

Kalau hari ini Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman masih lagi hidup, belum tentu mereka akan mengundi UMNO.

Mari kita jadikan tahun 2013 ini sebagai sejarah parti UMNO dikalahkan setelah memerintah selama 55 tahun, dan tahun Malaysia memasuki episod geopolitik baru.

Tuan-tuan, rakyat Malaysia yang saya muliakan, kita tidak perlu mengangkat senjata seperti yang dilakukan oleh Dato Bahaman, Mat Kilau dan Tok Janggut yang berjuang untuk kebaikan Negara dan anak cucunya dari terus dijarah oleh penindasan British. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah dengan memangkah Pakatan Rakyat pada pilihanraya 5 Mei 2013 ini. Undi tuan-tuan sangat penting untuk merubah geopolitik Negara, demi masa depan kita dan anak cucu kita yang lebih baik.

Di manakah moyang kita semasa Dato Bahaman, Mat Kilau dan Tok Janggut berjuang mempertahankan Negara ini dari terus dijajah British? Kalau moyang kita itu turut menyebelahi atau bersama menyokong perjuangan mereka, walau sekadar memberi sokongan moral, sudah cukup untuk kita berbangga dengan moyang kita. Tetapi bagaimana kalau sebaliknya?

Moga kita juga nanti akan menjadi kebanggaan anak cucu kita kerana telah memberi undi kepada Pakatan Rakyat pada pilihanraya 5 Mei 2013. Pasti pilihanraya kali ini akan tercatat sebagai pilihanraya yang istimewa dalam sejarah Negara kita. Mari kita cipta sejarah ini, dan biarlah kita sendiri menjadi sebahagian dari sejarah itu.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com