Tahun-tahun
akhir sebelum menjelang pilihanraya ke 13, PM Najib telah mengumumkan berbagai
habuan dan imbuhan untuk rakyat Malaysia.
Dikatakan
hutang Negara meningkat kepada lebih 400 billion ringgit untuk membiayai segala habuan
yang diberikan kepada rakyat, semata-mata untuk mengembalikan sokongan mereka
kepada BN. Ada habuan yang diberikan secara langsung dan ada habuan yang
diberikan secara tidak langsung melalui sekim dan program yang tertentu.
Sebagai
contoh, beliau mewujudkan sekim kedai rakyat 1Malaysia (KR1M) yang menjual
barang runcit dengan harga yang rendah berbanding kedai-kedai biasa. Sekim
Perumahan Rakyat 1Malaysia pula menawarkan rumah bersubsidi untuk golongan
berpendapatan rendah. Sekim Klinik 1Malaysia (KL1M) menyediakan perkhidmatan
kesihatan klinik pesakit luar dengan harga RM1. Sekim bantuan rakyat 1Malaysia
(BR1M) pula merupakan bantuan wang sebanyak RM500 kepada setiap keluarga dan
RM250 kepada orang bujang yang berpendapatan kurang dari RM3000 sebulan.
Kepada
pelajar universiti diberikan baucer sebanyak RM250 untuk membeli buku dan alat
tulis. Anak-anak sekolah pula mendapat wang tunai RM100 seorang.
Selain dari
itu kakitangan dan persara perkhidmatan awam pula mendapat bonus dan kenaikan
gaji.
Selain dari
habuan-habuan yang diberikan kepada rakyat sebelum pilihanraya, berbagai janji
juga telah dibuat oleh PM Najib jika BN menang dalam pilihanraya ke 13 ini
termasuklah hendak menurunkan harga kereta dan membina banyak kemudahan dan
pasarana di Kuala Lumpur dan kota-kota besar serata Negara.
UMNO juga
begitu bersungguh-sungguh hendak mengembalikan pentadbiran kerajaan negeri
Selangor semula kepada UMNO. Selangor adalah negeri terkaya dalam Malaysia,
tidak ada ertinya kalau memerintah Malaysia kalau tidak dapat memerintah
Selangor. Berbagai-bagai kempen telah dijalankan secara agresif melalui media
perdana, malah jawatan pengerusi perhubungan UMNO Selangor dipegang oleh PM
Najib sendiri. Hampir setiap hari TV1 dan TV3 menyiarkan keburukan dan
kelemahan kerajaan Selangor di bawah pentabiran Pakatan Rakyat.
Ke mana saja
PM Najib pergi ke merata tempat di pelusuk Negara ini pasti beliau akan
mengumumkan sesuatu yang menggembirakan penduduk tempatan, berbagai projek akan
dibina di tempat yang beliau pergi melawat, termasuklah sekolah baru, hospital
baru, masjid baru, jambatan baru dan jalanraya baru.
Untuk
memenuhi kehendak rakyat yang mahu kepada perubahan dalam sistem ekonomi,
pengurusan dan pentadbiran, PM Najib telah memperkenalkan dasar transformasinya.
PM Najib
tidak menggunakan perkataan reformasi, kerana beliau elergik dengan perkataan
reformasi yang sinonim dengan Anwar Ibrahim.
PM Najib
telah melakukan usaha yang terbaik untuk menawan kembali hati rakyat bagi
menyokong BN. Beliau sangat pemurah kepada rakyat berbanding semasa PM Pak Lah
dan PM Tun Mahathir. Tapi sayang, dari keputusan pilihanraya ke 13 yang lalu,
sangat-sangat mengeciwakan PM Najib. Dia telah melakukan yang terbaik
untuk rakyat tetapi hasilnya tidak seperti yang beliau harapkan.
Keputusan
pilihanraya ke 13 hari itu betul-betul tidak mengembirakan beliau, malah
selalunya beliau sangat bermurah hati untuk memberi cuti umum sekalipun hanya
Malaysia menang pertandingan bola sepak, tetapi beliau langsung tidak berminat
untuk mengumumkan hari Isnin selepas hari mengundi itu sebagai hari cuti. Jelas
menunjukkan beliau tidak berada dalam mood gembira ketika itu.
Bukan sahaja
tidak dapat majoriti dua per tiga, bilangan kerusi Parlimen yang dimenangi oleh
BN juga telah merosot berbanding semasa Pak Lah menjadi PM. Tun Mahathir telah
menempelak PM Najib dengan mengatakan prestasi PM Najib lebih buruk berbanding
PM Pak Lah.
Walaupun BN
menang kerana bilangan kerusi Parlimennya melebihi kerusi yang diperolehi oleh
Pakatan Rakyat, tetapi dari segi jumlah undi Pakatan Rakyat mendapat lebih
banyak undi iaitu 51%, sedangkan BN hanya mampu meraih undi sebanyak 47%
sahaja.
Ini
menunjukkan lebih separuh rakyat Malaysia adalah menyokong atau bersama-sama
dengan Pakatan Rakyat. Itu belum lagi mengambil kira undi pos, undi awal dan
undi hantu yang meragukan.
Kemenangan
BN yang hambar ini menyebabkan PM Najib tidak mendapat ucapan tahniah yang
hangat dari pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO. Mungkin PM Najib harus memikirkan
telah sampai masanya untuk beliau mengundurkan diri dari memimpin parti UMNO. Kata
orang, pandai-pandailah sendiri, jangan sampai jadi macam daun pisang yang
perlu ditarik untuk turun ke bawah.
Dalam
keadaan sekarang ini kita tidak Nampak adanya barisan kepimpinan UMNO yang histeria
dan meraung kalau PM Najib berhasrat untuk meletakkan jawatan, seperti yang
terjadi kepada PM Tun Mahathir satu masa dulu.
Sebagai
rakyat biasa saya melihat, di sebalik PM Najib yang pemurah itu, terdapat
beberapa kelemahan yang mana telah menyebabkan beliau tidak mendapat sokongan
kuat dari rakyat.
Antaranya
adalah disebabkan tiga faktor (3T) berikut, tidak Telus, tidak Tulus dan Tamak.
Mungkin bukan atas kehendaknya, PM Najib tidak dapat menjadikan pentadbirannya
sebagai pentadbiran yang Telus. Inilah masalah utama kerajaan yang terlalu lama
berkuasa, akan dihinggapi penyakit korup. Apabila kerajaan telah korup dan
telah menjadi barah, ketelusan akan hanya mempercepat kejatuhannya.
PM Najib
juga dilihat tidak tulus dan ikhlas. Mungkin beliau ikhlas semasa memberi berbagai
imbuhan dan habuan untuk rakyat itu. Tetapi masih ramai rakyat yang
mempersoalkan ketulusannya, kerana menganggap habuan itu hanya sebagai
gula-gula untuk menghadapi pilihanraya.
Sifat Tamak
pemimpin-pemimpin UMNO dengan meyalahgunakan kuasa dan kedudukan sebagai laluan
mudah untuk memperkaya diri dan keluarga, menimbunkan harta ke tahap yang tidak
munasabah menyebabkan rakyat berasa benci. Oleh kerana mereka menjadi kaya
bukan atas daya usaha sendiri tetapi atas laluan politik, mereka jadi terlalu
takut dengan kehilangan kuasa politik. Mereka sanggup melakukan apa saja
termasuk penipuan dan politik kotor untuk mengekalkan kuasa. Bagi mereka,
hilang kuasa politik, kekayaan pun turut hilang.
Sebenarnya
kuasa UMNO berada dijurang bahaya, silap langkah boleh terjerumus kepada
kehancuran.
Zahid Hamidi
terlalu bongkak dalam mengeluarkan kata-kata untuk menghalau rakyat Malaysia
yang tidak bersetuju dengannya. Mungkin dia masih dalam mimpi, sedarkah dia,
dia bukan bercakap di tahun 1990 di waktu UMNO solid mendapat sokongan rakyat.
Nanti beliau akan termalu sendiri bila dia sedar lebih separuh dari rakyat Negara
ini sedang mentertawakan beliau.
Oleh itu
hati-hatilah semasa memegang kuasa yang umpama telor di hujung tanduk itu,
bila-bila saja anda boleh dihumban oleh rakyat jika tersilap dalam tindakan.
Dari
keputusan pilihanraya ke 13, tahulah kita lebih separuh dari rakyat ini berada
di belakang Pakatan Rakyat. Dan kita pun tahu, semua media perdana, TV1 dan TV3
boleh dikatakan sebagai media UMNO. Kalaulah media perdana ini bersikap nutral,
sudah tentu kita dapat ramalkan apa akan terjadi keputusan sebenar pilihanraya
ke 13 itu.
Dari
beberapa kejadian-kejadian anih yang berlaku semasa proses pilihanraya ke 13
hari itu, tidak hairanlah kalau sebelum ini SPR dan BN tidak mahu melayan
tuntutan gerakan BERSIH. Rupanya ada udang di sebalik batu.
Kalau SPR
asyik hendak menipu dan berat sebelah kepada BN, sampai bila pun parti lawan tak
boleh menjadi pemerintah. Sistem demokrasi tidak dapat berfungsi kalau SPR
menipu. Oleh itu jangan salahkan rakyat kalau mereka beralih memilih
‘jalanraya’, bukan pilihanraya.
Jangan
sewenang-wenangnya menggunakan kuasa polis dan KDN dalam menyekat demontrasi
jalanan oleh rakyat sebagai protes kepada pilihanraya yang kotor. Bimbang ia
hanya akan menambah kebencian dan kemarahan rakyat kepada pemimpin UMNO.
No comments:
Post a Comment