Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Monday, June 17, 2013

Peluang untuk memulihkan Demokrasi sudah terlepas


Sebelum ini saya memikirkan pilihanraya umum ke 13 (PRU13) yang lepas adalah merupakan peluang yang paling baik untuk demokrasi di Negara ini dapat dipulihkan dan meletakkannya di atas landasannya yang betul. Saya berfikiran demikian kerana mengandaikan Pakatan Rakyat akan mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya itu, dan sudah tentu peluang untuk memulihkan demokrasi memang akan berlaku di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat yang telah lama menjadi mangsa pencabulan demokrasi.

Parti UMNO telah lama memegang kuasa, sejak merdeka 56 tahun dulu, tidak ada parti politik yang dapat menjatuhkan kuasa UMNO. Sudah menjadi kelaziman, apabila terlalu lama berkuasa, mereka tidak terlepas melakukan berbagai kesalahan dan kesilapan. Di Negara-negara maju yang mengamalkan demokrasi, parti pemerintah yang banyak melakukan kesilapan akan ditukar oleh rakyatnya melalui proses pilihanraya yang bebas dan adil.

Tetapi di Negara-negara ketiga, parti pemerintah menggunakan kuasa mereka untuk mencabul demokrasi supaya kemenangan sentiasa berpihak kepada mereka pada setiap kali pilihanraya diadakan.

Di Malaysia, demokrasi yang diamalkan adalah menggunakan acuan UMNO. Pertandingan dalam pilihanraya berjalan secara berat sebelah, media perdana digunakan oleh parti pemerintah sebagai alat propaganda dan alat kempen parti mereka, tanpa memberi peluang yang adil kepada parti lawan untuk menggunakan kemudahan yang sama.

Jawatankuasa yang mengendalikan pilihanraya atau dikenali sebagai Suruhan Jaya Pilihanraya (SPR) juga dilihat berpihak kepada parti pemerintah. Masih banyak lompang-lompang yang terdapat dalam proses pilihanraya itu yang boleh terdedah kepada penipuan.

Dengan kata lain demokrasi yang diamalkan oleh Negara kita ini amat jelas dalam keadaan yang tempang.   

Akhirnya saya terpaksa menerima hakikat bahawa memang sukar untuk memulihkan demokrasi dengan menggunakan saluran demokrasi yang tempang.

Nampaknya Tuhan masih lagi mahu mengekalkan UMNO di tampuk kuasa walaupun saya menjangka riwayat UMNO tamat pada PRU13 yang lepas. Kita hanya mampu merancang dan meramal, tapi ketentuan sebenar adalah di tangan Tuhan.

Mungkin Tuhan mahu UMNO jatuh dengan cara lain. Dia saja yang tahu macamana UMNO akan jatuh, kadang-kadang dengan jalan yang tidak terduga oleh kita.

Siapakah yang dapat menduga kejatuhan Hosni Mubarak bukan selain dari cara pilihanraya? Siapakah dapat menduga kejatuhan Muamar Gadafi dengan cara dibunuh oleh rakyatnya sendiri?

Siapakah dapat menjangka kejatuhan Presiden Suharto selain dari sistem pilihanraya?

Hosni Mubarak dan Presiden Suharto adalah antara pemimpin Negara yang mengamalkan demokrasi, tetapi sayangnya mereka telah mengubah demokrasi yang diamalkan mengikut acuan mereka sendiri.

Perancangan Tuhan selalunya berbeza dan tidak terjangka oleh pemikiran kita. Itulah Tuhan, Yang Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa.

Sebagai hamba kita hanya mampu berikhtiar dan berdoa.


Mungkin demokrasi ala Amerika atau Britain tidak sesuai untuk Negara kita. Mungkin ada betulnya dakwaan itu, demokrasi haruslah mengikut acuan kita sendiri. Saya pun setuju, demokrasi harus mengikut acuan kita sendiri, tetapi ini bukan bermakna mesti mengikut acuan UMNO.


PRU13 telah menyaksikan bagaimana integriti masyarakat Malaysia telah merosot begitu rupa. Berbagai bentuk penipuan dan politik kotor telah berlaku. Semuanya ini adalah mencerminkan masyarakat kita yang kuat menipu, tidak amanah, tidak jujur.

Kita terlalu menumpukan pencapaian anak-anak kita dalam akademik, semuanya hendak mengejar gred A dalam semua subjek, tetapi sistem nilai anak-anak kita hancur.

Sistem pendidikan kita gagal melahirkan insan yang ada integriti.

Yang jadi polis, SPR, menteri dan pegawai-pegawai lainnya adalah datang dari masyarakat juga (kecuali pegawai keselamatan yang ramai datang dari Nepal). Kalau mereka tidak ada integriti, tidak amanah, tidak jujur, perasuah dan penipu, itu sebenarnya mencerminkan masyarakat kita yang telah rosak dan telah hilang amalan nilai-nilai murni.

Dengan kata lain masyarakat yang tidak ada integriti akan melahirkan polis yang tidak ada integriti. Masyarakat yang tidak ada integriti akan juga melahirkan ahli-ahli politik yang tidak ada integriti.

Perlu dicari kaedah dan punca penyelesaian untuk menjadikan masyarakat kita berakhlak baik.

Akhlak yang baik bukan boleh didapati melalui ceramah-ceramah dan khutbah sahaja, tetapi perlu dilatih dan melalui contoh tauladan.

Di Negara Jepun dan Negara maju yang lain, adalah menjadi perkara biasa menterinya meletakkan jawatan kalau berlaku kecuaian yang boleh menyebabkan kemalangan atau kerugian yang melibatkan agensi di bawah kementeriannya. Tetapi di Malaysia tidak ada menteri yang mempunyai sikap seperti itu. Rasa bertanggungjawab, amanah, jujur atau nilai-nilai integriti telah lama terhakis dari masyarakat Malaysia.

Lihat sahajalah tindakbalas orang ramai di Negara kita bila melihat lori yang membawa beras dan duit syiling terbalik.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com