Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Sunday, April 28, 2013

Bukan setakat menang tetapi pastikan menang besar


55 tahun adalah satu jangka masa yang terlalu lama bagi sebuah parti berkuasa terus menerus dalam sebuah Negara yang mengamalkan demokrasi. Fenomena ini bukanlah suatu yang baik dalam sebuah Negara demokrasi, kerana ia boleh membantutkan kemajuan Negara.

Di Negara-negara maju seperti Amerika dan Britain, parti-parti politik yang memerintah sentiasa saja bertukar ganti, dan inilah antara rencah yang menjadi amalan Negara-negara tersebut sehingga dapat memacu kejayaan dan kemajuan yang berterusan.  Apabila satu parti tidak dapat menunjukkan prestasi yang meningkat dalam membawa kemajuan kepada Negara semasa memerintah, dengan segera mereka akan ditukar oleh rakyat dengan parti atau pemimpin yang lebih berupaya.

Saya rasa tahun 2013 ini adalah masa yang sesuai untuk rakyat Malaysia membuat perubahan.  Sudah terlalu lama UMNO memerintah Negara ini, walaupun setiap kali pilihanraya yang diadakan sebelum ini, UMNO selalu menang besar, ini tidak bermakna rakyat benar-benar suka kepada pemerintahan UMNO.

Ada banyak sebab mengapa UMNO terus menang dalam setiap pilihanraya. Kawalan dan penguasaan media perdana, samada akhbar mahu pun media elektronik, telah menghalang rakyat mendapat dan terdedah kepada pandangan yang berlainan dari pandangan parti UMNO.

Walaupun pemimpin-pemimpin UMNO telah banyak melakukan berbagai salah laku dan memimpin kerajaan dengan dasar-dasar yang lemah, bercambahnya rasuah dan korupsi dalam pentadbiran, tetapi semuanya itu dapat ditutup dan disembunyikan. Sebaliknya melalui media perdana yang mereka kuasai, kerajaan UMNO dipaparkan sebagai yang terbaik dan banyak membawa kemajuan kepada rakyat.

Apabila rakyat hanya mendapat maklumat dari parti yang memerintah sahaja maka sukar untuk mempastikan undi dan sokongan yang mereka beri itu adalah sokongan yang sebenar. Keadaannya akan jadi bahaya kalau rakyat tahu maklumat yang disogokkan kepada mereka itu hanyalah palsu belaka.

Keadaan inilah yang telah berlaku di Negara-negara Arab yang pemimpin mereka mengamalkan kepimpinan autokratik. Apabila rakyat mereka disedarkan, mereka telah memberontak dan menyingkirkan pemimpin-pemimpin tersebut.

Pilihanraya yang tidak berat sebelah, bebas dan bersih, sangat penting untuk menjaga keutuhan dan kedaulatan sesebuah Negara. Negara-negara luar tidak berani hendak membuli Negara yang pemimpin mereka mendapat sokongan padu dan tulin dari rakyatnya. Sebagai contoh, lihatlah bagaimana Amerika begitu mudah ‘menawan’ Iraq dan menangkap Sadam Husein, pemimpin Negara itu. Sebaliknya Amerika tidak berani bertindak kepada Iran dan Presidennya Ahmed Dinajad. Ini kerana Amerika tahu, Sadam hanya mendapat sokongan yang palsu dari rakyatnya sekalipun setiap kali pilihanraya Negara itu, Sadam mendapat lebih 90% undi. Manakala Presiden Iran dipilih melalui pilihanraya yang tidak berat sebelah dan bebas, oleh itu sokongan rakyat kepada presidennya memang sokongan yang tulin.

UMNO perlu merasa kalah untuk menjadikan mereka parti yang lebih baik pada masa hadapan.  UMNO telah banyak menggunakan taktik yang tidak beretika dan tidak bermoral semata-mata untuk mereka terus kekal berkuasa.

UMNO sering menakut-nakutkan rakyat dengan kemiskinan, kemunduran, kekacauan, huru hara, kalau parti lawan menang dalam pilihanraya.

UMNO kata, kalau Pakatan Rakyat memerintah, orang Melayu akan hilang segala-galanya seperti yang berlaku kepada orang Melayu Singapura. Adakah UMNO ini sedar apa yang dia cakap? Orang Melayu dan Bumiputra di Malaysia adalah kumpulan yang majoriti, kalau kehendak kumpulan majoriti diabaikan, alamat sepenggal sajalah Pakatan Rakyat memegang kuasa. Sudah menjadi adat demokrasi, kebajikan majoriti itulah yang akan diberi tumpuan dan perhatian, kerana sokongan dari kumpulan majoriti itulah yang akan menentukan kemenangan dalam pilihanraya.

Musuh Melayu bukan Cina, musuh Cina bukan Melayu. Musuh sebenar kita ialah manusia yang tamak dan rakus yang merompak kazanah negara untuk diri dan keluarga mereka dengan bertopengkan parti politik. Pecahkan tembok perkauman ini, sekolahkan anak-anak kita disekolah yang sama, bukan sekolah mengikut kaum yang sangat dibanggakan oleh UMNO seperti sekarang ini. Sedarlah tuan-tuan, anak-anak kita mesti dibiarkan bersekolah di sekolah yang sama dari kecil lagi, agar anak-anak kita itu dapat bergaul, berkawan dan menghapus rasa curiga. Akhirnya mereka akan dapat hidup bersama, saling membantu menghadapi apa jua keadaan, samada susah dan senang. Kita mahu membina anak watan yang sentiasa bersedia membela nasib rakyat Malaysia, bukan yang berlagak menjadi hero membela kaumnya.

Marilah kita melakar sejarah baru untuk Negara kita yang tercinta ini. Kalau tahun 1957 dingati sebagai tahun kemerdekaan, tahun 1963 sebagai tahun pembentukan Malaysia, tahun 2013 ini pula akan kita ingati sebagai tahun pemulihan demokrasi dan pilihanraya di Negara kita ini. Media perdana masih berat sebelah dan dikawal secara sistematik oleh UMNO. Begitu jelas kepada kita, UMNO telah menggunakan RTM, harta awam yang dibiayai Negara atau lebih tepat lagi wang rakyat, untuk propaganda dan alat kempen parti mereka. Kalau di Negara maju seperti Britain, perbuatan seperti ini sudah cukup untuk membuatkan parti yang memerintah kalah teruk dalam pilihanraya, tanpa perlu lagi melihat apa yang ditawarkan dalam manifestonya.

UMNO telah mewujudkan undang-undang dan permit yang menyekat kebebasan bersuara, yang sangat bercanggah dengan amalan dan prinsip demokrasi. Ingatlah tuan-tuan, pilihanraya kita belum sepenuhnya adil, bebas dan bersih. Marilah kita ubah dan kita cipta sejarah baru.

Mari kita membina Malaysia yang berpandangan baru, mari kita robohkan tembok perkauman yang telah dibina oleh UMNO sekian lama. Tembok perkauman itulah yang telah menyelamatkan UMNO dan sekutunya dalam setiap pilihanraya. Wahai rakyat, bukalah minda kamu seluas-luasnya, jangan lagi kita terus diperalat oleh UMNO, janganlah berfikir dalam kotak kaum kita saja, sampai bila kita mahu terus menjadi bahan batu api UMNO hingga kita menjadi musuh kepada kaum yang lain dalam senyap. Di depan, kita kata bersatu padu, di belakang kita saling membenci, dan tidak pernah puas hati dengan kaum lain.

Ingatlah tuan-tuan, UMNO hanya boleh menggunakan undi hantu dan kotak misteri undi pos untuk menang kalau Pakatan Rakyat mendapat lebihan bilangan undi kurang dari 200 dalam suatu kawasan pilihanraya itu. Tetapi kalau Pakatan Rakyat dapat jumlah undi dua atau tiga ribu lebih banyak dari UMNO, mereka memang tidak mampu untuk mengubah keputusan. Marilah kita mengundi dan tunjukkan satu keputusan yang jelas kepada mereka. Let’s send them a strong signal and a very clear message by voting solely for Pakatan Rakyat.

UMNO mesti dikalahkan dengan teruk, kalah sampai terduduk. Dengan ini sahaja kita dapat mengajar kesombongan dan keangkuhannya selama ini. Kalau UMNO hanya dapat dikalahkan dengan majoriti mudah (simple majority), mereka akan masih boleh bercakap besar dan masih mampu menggugat kerajaan Pakatan Rakyat.

Daim Zainudin mengatakan kalau Anwar jadi PM, ekonomi negara akan hancur. Ekonomi negara insyallah tidak akan hancur, yang pasti akan hancur ialah ekonomi perembat-perembat khazanah negara yang telah lama menjarah kekayaan negara sepanjang UMNO berkuasa. Bolehkah Mokhzani dan Mukhriz memiliki kekayaan seperti sekarang ini kalau dia bukan anak-anak kepada Mahathir? Dan mungkin Nazir di saat ini hanya setakat bertugas sebagai pengurus sebuah bank sahaja kalau dia bukan adik kepada PM Najib.

Setiap kali Negara menyambut hari kemerdekaan, kita dikompangkan di media perdana bahawa parti UMNO lah yang telah banyak berjasa dalam memerdekakan Negara. Dan sebagai balasan, UMNO meminta rakyat sentiasa mengenang dan berterima kasih dengan jasa-jasa UMNO ini. Setiap tahun jasa UMNO ini akan diulang tayang, lantaran itu, selama-lamanya rakyat Malaysia akan terasa terhutang budi kepada UMNO.

Memang tidak dinafikan Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman melalui wadah UMNO telah melakukan yang terbaik, memerdekakan Negara ini dari penjajah British. Tetapi tidak bermakna orang UMNO hari ini juga telah melakukan yang terbaik untuk Negara ini. Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman telah banyak berjasa, tetapi tidaklah wajar, kerana terlalu terhutang budi kepada mereka, hingga kita tidak boleh mengundi selain dari parti UMNO.

Kalau hari ini Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman masih lagi hidup, belum tentu mereka akan mengundi UMNO.

Mari kita jadikan tahun 2013 ini sebagai sejarah parti UMNO dikalahkan setelah memerintah selama 55 tahun, dan tahun Malaysia memasuki episod geopolitik baru.

Tuan-tuan, rakyat Malaysia yang saya muliakan, kita tidak perlu mengangkat senjata seperti yang dilakukan oleh Dato Bahaman, Mat Kilau dan Tok Janggut yang berjuang untuk kebaikan Negara dan anak cucunya dari terus dijarah oleh penindasan British. Apa yang perlu kita lakukan hanyalah dengan memangkah Pakatan Rakyat pada pilihanraya 5 Mei 2013 ini. Undi tuan-tuan sangat penting untuk merubah geopolitik Negara, demi masa depan kita dan anak cucu kita yang lebih baik.

Di manakah moyang kita semasa Dato Bahaman, Mat Kilau dan Tok Janggut berjuang mempertahankan Negara ini dari terus dijajah British? Kalau moyang kita itu turut menyebelahi atau bersama menyokong perjuangan mereka, walau sekadar memberi sokongan moral, sudah cukup untuk kita berbangga dengan moyang kita. Tetapi bagaimana kalau sebaliknya?

Moga kita juga nanti akan menjadi kebanggaan anak cucu kita kerana telah memberi undi kepada Pakatan Rakyat pada pilihanraya 5 Mei 2013. Pasti pilihanraya kali ini akan tercatat sebagai pilihanraya yang istimewa dalam sejarah Negara kita. Mari kita cipta sejarah ini, dan biarlah kita sendiri menjadi sebahagian dari sejarah itu.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com