Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, September 29, 2010

Kontrak Sosial dalam Adat Perpatih


Sistem politik Perpatih pernah diamalkan beberapa ratus tahun dahulu di daerah Negeri Sembilan dan sekitarnya, tetapi kini ia hanya tinggal sebagai adat istiadat sahaja yang kita kenali sebagai ‘Adat Perpatih’.

Sistem Politik Perpatih adalah sistem pemerintahan yang mempunyai elemen demokrasi, di mana pemimpin-pemimpin dipilih oleh rakyat.

Di daerah Negeri Sembilan dan sekitarnya didiami oleh penduduk yang terdiri dari berbagai-bagai suku. Suku merujuk kepada dari daerah asal mereka di Sumatera sana. Kalau mereka datang dari daerah Paya Kumbuh, mereka digelar Suku Paya Kumbuh.

Dikatakan terdapat 12 suku yang berlainan tinggal di daerah Negeri Sembilan dan sekitarnya. Saya sendiri adalah dari Suku Tanah Mendatar. Ini bermakna moyang saya dulu berasal dari daerah Tanah Mendatar di Sumatera yang mungkin telah berhijrah ke Negeri Sembilan sekitar 400 tahun dahulu.

Sistem politik Perpatih di Negeri Sembilan masa dulu memberi peluang kepada penduduk dari setiap suku untuk memilih ketua suku mereka yang digelar sebagai Buapak.

Buapak-buapak dari suku-suku ini akan memilih pemimpin mereka yang digelar Lembaga. Jika timbul masalah atau jika berlaku pertelingkahan antara suku-suku, Datuk Lembagalah yang akan menyelesaikannya.

Pemimpin masyarakat yang tertinggi di satu-satu daerah digelar Undang. Dari nama gelarannya itu kita sudah dapat membayangkan dibahu Undang inilah segala peraturan digubal dan dikuat kuasa bagi menjamin kemajuan dan keharmonian kehidupan masyarakat sesuatu di daerah tersebut.

Terdapat empat orang Undang yang mewakili dearah masing-masing di Negeri Sembilan, antaranya Undang Johol, Undang Sungai Ujong dan Undang Rembau.

Undang tidak boleh dilantik dari suku-suku lain selain dari Suku Biduanda. Suku Biduanda diberi hak istimewa menjadi Undang kerana mereka adalah suku yang terawal datang ke Negeri Sembilan dan mereka juga telah ramai berkawin campur dengan Orang Asli di Negeri Sembilan.

Biasalah tu, orang yang kemudian datang kenalah ‘respect’ orang yang dah lama datang.

Kalau kita masuk asrama pun sama juga, yang junior teruk kena raging dengan senior.

Samalah juga kesnya, orang Cina dan orang India yang baru datang dari negara asal mereka di satu masa dulu, kenalah ‘respect’ orang Melayu yang sudah lama menetap di Malaysia.

Walaupun di Negeri Sembilan ada Raja yang mempunyai kuasa politik tertinggi di zaman itu, yang digelar Yang Di Pertuan Besar atau Yam Tuan, tetapi empat orang Undang tadi mempunyai kuasa penuh dalam memilih dan melantik Yam Tuan. Kalau anak raja yang kaki botol, kirim salamlah.

Itulah kontrak sosial yang berlaku dalam politik Perpatih. Sampai sekarang pun ‘post’ Undang tak boleh diberi kepada suku-suku lain.

Sekarang ini kita telah menggunakan sistem politik demokrasi Raja Berpelembagaan yang diadaptasi dari Britain. Ekoran dari itu Politik Perpatih ini telah diserap menjadi Adat Perpatih yang hanya berfungsi untuk mengurus soal-soal adat dan tanah adat sahaja.

Kalaulah Perpatih masih menjadi amalan sistem politik di Negeri Sembilan hingga hari ini, sudah tentu hari-hari aku turun berdemontrasi di Kuala Pilah, menuntut reformasi kepada sistem pemilihan Undang yang tidak adil.

Mana boleh, aku dan bapak aku yang lahir di Negeri Sembilan dinafikan hak untuk masuk bertanding menjadi Undang hanya kerana bukan dari Suku Biduanda.

Aku boleh terima terma ‘kontrak sosial’ antara Suku Biduanda dan suku-suku lain itu digunapakai ketika di awal-awal penhijrahan sekitar 400 tahun dulu, sebagai menghormati Suku Biduanda yang datang jauh lebih awal.

Tetapi bila bapak dan aku sendiri memang lahir di Negeri Sembilan, tentulah tidak adil kalau ‘kontrak sosial’ itu masih dikenakan kepada kami semua.

Walaupun ‘kontrak sosial’ dalam Adat Perpatih terus berlaku hingga hari ini, tetapi aku tidak kisah dan tidak ambil pot pun. Ini kerana adat perpatih bukan lagi dalam bentuk sistem politik seperti 300 tahun dulu. Kini ia hanya digunakan dalam adat istiadat Melayu yang tidak menjejas atau mengatur kehidupan aku pun.

Begitulah juga kalau kita berada di tempat orang-orang Cina dan orang-orang India di Malaysia di zaman sekarang ini, bukan saja mereka, malah bapa-bapa mereka pun ada yang lahir di Malaysia. Sudah tentu mereka juga mahu dilayan secara lebih adil, sama seperti warga Malaysia yang lain. Mereka bukan pendatang seperti moyang mereka dulu, yang mesti menghormati penduduk tempatan.

Sudah tentu mereka akan terus berjuang untuk menghapuskan apa yang disebut sebagai ‘kontrak sosial’ itu, berjaya atau tidak, itu soal lain.

Friday, September 24, 2010

Sosila Malai Mere Minkijar Inspector Sahab


Mungkin sekarang ini ramai pengarah dan pengeluar filem Bollywood sedang memikirkan untuk membuat satu cerita filem yang ada kaitan dengan kisah pembunuhan Sosilawati oleh peguam yang menjadi suspek utama dalam kes tersebut.

Di tangan pengarah-pengarah filem Bollywood, cerita ini akan menjadi lebih menarik yang tentunya dipenuhi oleh elemen-elemen suspen dan thriller, yang membuatkan penonton cemas dan tidak boleh duduk diam di kerusinya.

Seperti biasa dalam filem-filem Bollywood akan ada pegawai-pegawai polis yang tamak yang boleh dibeli oleh samseng berprofil tinggi. Pegawai-pegawai polis ini akan melindungi kerja-kerja gelap ketua samseng yang berpengaruh ini, dan sebagai balasan, pegawai-pegawai polis ini akan mendapat habuan yang besar dari ketua samseng tersebut.

Di sana akan ditonjolkan seorang manusia yang mempunyai dua wajah yang berbeza. Di satu wajah dia dilihat sebagai seorang peguam memperjuangkan keadilan dan membela rakyat yang memerlukan pembelaan, dan di sebalik itu dia seorang yang kejam, yang sanggup membunuh ramai orang untuk memenuhi agenda dan kepentingannya.

Sudah terbayang juga kepada kita filem itu akan disulami oleh tarian-tarian yang ditarikan oleh penari-penari wanita jelita yang berpakaian menjolok mata bagi menghiburkan tetamu-tetamu istimewa ketua samseng tersebut, berlangsung dalam kediaman mewah lagi eksklusif.

Untuk menjadikan lebih menarik lagi dan tidak mengeciwakan penonton, watak Sosilawati dalam cerita ini tidak akan dimatikan, sebaliknya dia mungkin menjadi hero yang akan menggunakan segala kepintarannya untuk mendedah dan menghapuskan kerja-kerja jahat si peguam itu.

Penonton tentu sentiasa berasa cemas melihat Sosilawati, seorang perempuan, cuba melepaskan diri dari cengkaman peguam yang berpura baik itu. Sedangkan di kawasan itu hampir tidak ada jalan untuk keluar, di kawal rapi dan bertembok tinggi.

Di akhir cerita filem yang penuh aksi ini, penonton berasa lega, Soliwati akhirnya dapat melepaskan diri, peguam jahat dan polis yang bersubahat dengannya ditangkap dan akan dihadapkan ke makamah untuk dihukum atas segala kesalahan yang mereka lakukan.

Saya tidak nampak, jika kisah ini mahu difilemkan oleh pengeluar filem di Negara kita seperti Datuk Yusuf Haslam, akan menjadi satu filem yang menarik. Kerana pengarah filem kita terikat dengan etika, polis mesti dilihat baik di dalam filem.

Kalau mahu difilemkan juga, ia tidak lebih kelihatan seperti siri drama Gerak Khas di RTM yang membosankan penonton itu.

Sunday, September 19, 2010

Peristiwa 13 Mei adalah angkara Lee Kuan Yew


Tidak boleh dinafikan wujudnya penglibatan secara tidak langsung Lee Kuan Yew dalam mencetuskan peristiwa rusuhan perkauman 13 Mei 1969.

Kalau kita menyorot kembali sejarah rusuhan kaum ini, ia telah pun bermula di Singapura pada tahun 1964. Ia berlaku pada sambutan Maulidurasul pada 21 Julai 1964, ketika itu Singapura berada dalam Malaysia dan Lee Kuan Yew sebagai Ketua Menterinya.

Tentulah pendekatan politik Lee Kuan Yew yang terkenal dengan slogan “Malaysian Malaysia” itu telah menimbulkan suasana tegang antara orang Melayu dan orang Cina yang mana kebanyakan orang Melayu tidak boleh menerima gagasan yang dihasratkan oleh Lee Kuan Yew itu.

Kalau orang Melayu Singapura di waktu itupun tidak dapat menerima gagasan Malaysian Malaysia Lee Kuan Yew, apatah lagi orang Melayu di Semenanjung.

Cita-cita besar Lee Kuan Yew untuk mengembangkan pengaruh dan kuasanya ke Semenanjung telah tidak disenangi oleh Tunku sebagai Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Ekoran itu Tunku telah mengambil tindakan memisahkan Singapura dari Persekutuan Malaysia pada tahun berikutnya.

Lee Kuan Yew dan kaum Cina yang mendominan politik di Singapura selepas berpisah dengan Malaysia telah menyemarak dan membangkitkan semangat baru kepada kaum Cina di Semenanjung (Malaysia).

Di bawah parti politik DAP yang merupakan lanjutan parti PAP di Singapura, kaum Cina Malaysia meneruskan perjuangan “Malaysian Malaysia” yang telah hasratkan oleh Lee Kuan Yew itu.

Gagasan Malaysian Malaysia yang dibawa oleh DAP ini terus menerus menyebabkan pergeseran politik antara kaum Cina dan kaum Melayu di Malaysia.

Orang Cina Malaysia sebagai warganegara yang sah, mahukan hak yang sama dan mahu mereka dilayan sama seperti orang Melayu dan Bumiputera. Sedangkan orang Melayu mahukan hak-hak istimewa diberi kepada orang Melayu dan Bumiputera bagi membolehkan mereka bersaing dengan kaum-kaum lain terutamanya dalam ekonomi dan pelajaran.

Lee Kuan Yew dan orang-orang Cina yang lahir di Singapura dan Malaysia tidak dapat menerima 'status' yang berbeza antara mereka dan orang Melayu. Walaupun pada masa itu lebih ramai orang Cina bukan dilahirkan di sini, tetapi mereka telah mendapat taraf kerakyatan sebagai syarat untuk mendapatkan kemerdekaan dari kerajaan British.

Kesilapan pemimpin kita pada masa itu mungkin kerana melihat orang Cina Malaysia dan Singapura yang dilahirkan di sini sama saja dengan orang Cina Malaysia dan Singapura yang imagrasi dan dilahirkan di Negara China.

Pergeseran politik perkauman ini sampai kepada kemuncaknya apabila tercetusnya peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Peristiwa ini telah banyak memberi pengajaran kepada kita semua, luka dari peristiwa ini sangat sukar untuk disembuhkan.

Mungkin kerana Lee Kuan Yew telah berasa terhutang budi yang besar kepada penduduk-penduduk imagrasi dalam mencapai cita-cita dan agenda politiknya, hingga hari ini kerajaan Singapura di bawah nasihat Lee Kuan Yew terus mengamalkan dasar kerakyatan terbuka kepada imagrasi, terutamanya dari Negara China, Taiwan dan Hong Kong.

Walaupun peristiwa berdarah 13 Mei ini berlaku di Malaysia, Lee Kuan Yew juga tidak boleh terlepas sebagai orang telah bertanggungjawab menyebabkan peristiwa itu berlaku.

Tuesday, September 14, 2010

Sultan Kelantan, rakyat yang berkuasa


Walaupun ada peruntukan dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan untuk menggantikan Sultan yang gering dengan Sultan yang baru tetapi seingat kita keadaan ini tidak pernah berlaku dalam sejarah moden raja-raja Melayu.

Mungkin pemasyhuran Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru bagi menggantikan ayahandanya yang gering pada 13 September 2010 itu boleh dianggap kali pertama berlaku dalam sejarah moden ini.

Orang Melayu yang secara tradisinya sangat setia kepada Sultan dan Raja tidak tergamak hendak menurunkan Rajanya walaupun dalam keadaan gering sekalipun. Tindakan ini amatlah kurang manis melainkan kalau atas kehendak Sultan yang gering itu sendiri.

Mereka lebih rela dan selesa melantik pemangku Sultan bagi mewakili Sultan yang gering daripada menurunkan takhta Raja yang gering.

Dalam Negara yang mengamalkan sistem demokrasi Raja berpelembagaan, kita telah mengambil acuan dari sistem di Britain. Raja adalah sebagai simbol Ketua Negara atau Ketua Negeri yang tidak mempunyai kuasa politik. Raja tidak boleh mencampuri urusan pentadbiran dan politik Negara dan negeri.

Tetapi kebanyakan orang Melayu masih dibayangi oleh sistem pemerintahan beraja (Monarki) yang bertapak sejak 600 tahun dahulu.

Mereka begitu taat dan setia kepada Raja sehingga tidak mampu untuk membantah jika Raja masuk campur urusan dalam hal-hal pentadbiran Negara dan Negeri.

Sebenarnya tidaklah menjadi masalah besar sangat kalau Pemangku Sultan Kelantan terus dikekalkan di jawatannya selagi Sultan masih gering atau sehingga Sultan mangkat, tanpa melantik Sultan yang baru. Kerana secara teorinya dalam sistem demokrasi Raja berpelembagaan, peranan Sultan bukanlah terlalu penting sangat sehingga menyebabkan pentadbiran dan politik negeri boleh tergendala tanpa kehadirannya.

Tetapi kerana keadaan tidak mengikut seperti teori atau seperti yang tertulis, peranan Sultan telah menjadi begitu penting. Ekoran perebutan takhta antara anak-anak Sultan Kelantan telah dilihat sebagai keadaan yang merbahaya kepada pentadbiran dan politik di Kelantan.

Oleh itu tidak hairanlah kalau pihak yang ‘berkuasa’ di Kelantan telah mengambil langkah yang drastik dengan melantik Sultan yang baru bagi menggantikan Sultan yang gering.

Tengku Muhammad Faris adalah anak sulung kepada Sultan yang gering, mempunyai peribadi dan akhlak yang baik. Adalah sangat sesuai kalau beliau menjadi Sultan Kelantan. Sikapnya yang mesra rakyat pasti tidak akan memberi kesusahan kepada rakyat Kelantan.

Yang lebih penting lagi beliau dapat diharapkan untuk memahami tanggungjawab beliau sebagai Raja dalam negeri yang mengamalkan sistem demokrasi raja berpelembagaan yang tidak akan memberi kesusahan dan tidak mencampuri urusan pentadbiran dan politik negeri Kelantan.

Sunday, September 12, 2010

Hospital tidak ada ubat kalau kena tungau

Aku masih ingat masa aku kecil-kecil dulu, kalau aku kena tungau, emak aku tidak pernah bawa klinik atau hospital. Ubatnya cukup mudah, emak aku akan sapu minyak gas (minyak tanah) di tempat yang kena tungau itu. Minyak gas ini cukup berkesan untuk menyelesaikan masalah tungau, semua orang kampong aku tahu benar cara menghapuskan tungau menggunakan minyak gas ini.

Minyak gas ketika itu memang mudah didapati, masa itu orang kampong memang simpan minyak gas di rumah bagi menyalakan pelita. Kampung ketika itu tidak ada elektrik, semua penduduk bergantung kepada cahaya pelita untuk menerangkan rumah di waktu malam.

Tungau adalah serangga yang sangat halus yang berwarna oren. Tungau ini suka melekap di bahagian ‘burung’ budak lelaki. Bila sudah kena tungau, ‘burung’ kanak-kanak ini akan jadi bengkak membening dan gatal, memang rasa tidak selesa sekali.

Itu cerita aku 40 tahun dahulu. Tetapi kisah tungau ini tidak pernah habis. Kini giliran anak-anak aku pula yang kena tungau. Setiap kali aku dan anak-anak balik kampong, ada saja anak kecil aku yang kena tungau.

Sekarang ini susah nak dapat minyak gas lagi, orang kampong sudah tidak guna minyak gas lagi, semua orang sudah pakai lampu elektrik. Kedai pun sudah tidak ada jual minyak gas lagi.
Oleh itu aku tidak ada pilihan, bila ‘burung’ anak aku membengkak kena tungau, aku terpaksa hantar dia ke hospital. Hospital bukanlah jauh dari kampong aku, tak sampai 5 Km pun.

Macam aku tak percaya, semasa doktor beri ubat, tidak ada satu ubat pun bertujuan untuk membunuh atau menghalau tungau yang melekat pada ‘burung’ anak akau itu. Ubat yang diberi hanyalah ubat penahan sakit (paracetamol) dan ubat mengurangkan rasa gatal. Sebaliknya doktor memberi nasihat, kalau bengkak ‘burung’ anak itu aku boleh menyebabkan dia susah hendak kencing maka dia perlu disunatkan. Sampai begitu sekali besarnya masalah yang dibawa oleh tungau ini.

Sungguh aku tidak sangka, selama ini rupanya di hospital tidak ada ubat untuk penyakit kena tungau ini. Selama ini aku ingatkan emak aku guna minyak gas untuk mengubat penyakit kena tungau kerana malas nak bawa aku ke hospital, tetapi kini barulah aku tahu memang hospital tidak ada ubat untuk menghapuskan tungau.

Mentang-mentanglah di Negara-negara Barat tidak ada masalah tungau, hingga tidak ada siapa yang hendak mengkaji dan mencari ubat bagi menghapuskan tungau ini.

Baru-baru ini aku ada dengar cerita dari kawan-kawan, cara yang mereka gunakan untuk mengatasi masalah tungau. Salah satu cara yang mereka gunakan yang menarik minat aku ialah menggunakan Vicks Vaporub.

Setelah aku cuba kepada anak aku sendiri, Vicks Vaporub ini memang berkesan, setelah disapu dengan Vicks, rasa gatalnya mula berkurang dan dalam masa dua hari bengkaknya telah menyusut kepada keadaan asal.

Tidak seperti minyak gas, Vicks ada dijual di mana-mana. Vicks juga lebih selamat berbanding minyak gas. Mungkin anda juga boleh mencubanya jika anda ada masalah tungau seperti yang aku hadapi ini.


Wednesday, September 01, 2010

Lagi kes mati kerana terjun, lari dari ditangkap khalwat

Berita ini dipetik dari blog Khadi Kluang:

Pagi ini bila saya datang pejabat, saya diberitahu oleh penguatkuasa, ada
satu kes kematian tentera terjun hotel. Kejadian berlaku di Batu Pahat, malam
minggu semalam. Mulanya saya hendak diamkan perkara ini, tak mahu dihebahkan.
Kemudian, bila saya baca akhbar Sinar Harian hari ni, rupanya cerita dah tersiar
di akhbar dan sudah dalam pengetahuan umum.

Serbuan penguatkuasa dalam
jam 2.45 pagi, lelaki ini dipercayai melarikan diri dengan terjun dari tingkat
tiga hotel berkenaan. Semasa mengetuk pintu beberapa kali, pintu tidak dibuka,
kemudian kedengaran bunyi bising. Lelaki ini ditemui berlemuran darah dan mati
kerana kecederaan parah di kepala.

Kerana perasaan malu dari ditangkap berkhalwat, ramai lelaki atau perempuan yang lebih sanggup terjun dari bangunan hotel yang tinggi untuk mengelak dari ditangkap.

Kalau mereka betul-betul lari dari ditangkap dan semasa melarikan diri itu mereka terjatuh, insyallah Tuhan akan ampunkan dosa mereka. Tetapi bagaimana kalau mereka sengaja terjun untuk menamatkan riwayat mereka kerana tidak sanggup menanggung malu kalau tertangkap, tentu mereka tidak akan mendapat keampunan dari Tuhan.

Adalah tidak berbaloi kalau kita hendak menangkap mereka yang melakukan kesalahan khalwat itu, tetapi berakhir dengan dosa membunuh diri, yang tidak ada pengampunannya.

Kalau kita tahu mereka sanggup bunuh diri untuk menutup rasa malu, adalah lebih baik kita tidak pergi menangkapnya, kerana sekalipun mereka melakukan dosa zina, mereka masih ada peluang untuk bertaubat dan mungkin satu masa nanti mereka akan bertaubat dari kesalahan itu.

Tetapi kalau mereka sudah bunuh diri, mana ada masa untuk mereka bertaubat lagi?

Saya bukanlah setuju, orang-orang yang berkhalwat ini dibiarkan saja. Tetapi sebelum kita bersungguh-sungguh hendak menangkap dan menyerbu orang yang berkhalwat ini, kenalah tengok puncanya kenapa ramai orang berkhalwat.

Kita mesti ubatkan penyakit bukan mengubat tanda-tanda penyakit.

Budaya masyarakat kita melihat lelaki kawin lebih dari satu, sesuatu amalan yang tidak dapat diterima. Lelaki yang kawin lebih dari satu dianggap telah melakukan perkara yang salah dan tidak mengikut norma kehidupan masyarakat.

Kaum wanita di Negara kita tidak dapat menerima amalan poligami, bukan sahaja ditentang oleh wanita biasa malah wanita yang berpendidikan agama pun masih tidak dapat menerima budaya poligami.

Oleh kerana poligami bukanlah satu perkara yang mudah untuk diamalkan di negara kita, tidak semudah kawin satu atau monogamy, maka mereka yang berkeinginan untuk mempunyai isteri lebih terpaksa melupakan hasrat mereka. Sebaliknya mereka lebih selesa berkhalwat secara sembunyi dengan kekasih mereka di bilik-bilik hotel.

Oleh itu selagi amalan poligami tidak mudah dan selagi kaum wanita menentang poligami, maka wajar buat sementara waktu ini segala bentuk serbuan dan tangkapan kes khalwat oleh penguatkuasa Jabatan Agama ini dihentikan bagi mengelakkan lebih ramai lagi orang terjun membunuh diri atau boleh merbahayakan keselamatan diri pesalah.

Tidak perlulah pihak Jabatan Agama menghantar orang-orangnya pergi mengintip orang melakukan zina atau khalwat, semata-mata untuk memenuhi syarat mesti dilihat oleh empat orang saksi.

Islam mensyaratkan perlakuan zina mesti dilihat oleh empat orang saksi bukanlah bermakna pegawai-pegawai agama ini perlu mengintip dan mengintai orang-orang berkhalwat dari satu hotel ke satu hotel, untuk membuat serbuan dan penangkapan.

Apa yang dimaksudkan dengan mesti dilihat oleh empat orang saksi bererti pasangan itu melakukan zina bukan secara sembunyi-sembunyi tetapi sengaja melakukan zina di depan orang ramai.

Kalau berzina di tempat awam tanpa berselindung, ini seolah-olah mereka mahu mencabar hukum Tuhan, mereka itu sudah berperangai seperti binatang, malah lebih hina lagi dan memang layak kalau mereka direjam saja.

Umpama murid yang membuat kesalahan menghisap rokok. Tentu tidak sama kalau mereka menghisap rokok secara sembunyi-sembunyi dalam tandas dengan menghisap rokok di depan murid lain dan di depan guru secara terang-terang. Kalau murid ini menghisap rokok secara terang-terang, ini seolah-olah sudah mencabar guru disiplin yang menjaga undang-undang sekolah supaya sentiasa dipatuhi. Sudah tentu guru tidak akan teragak-agak untuk membuang murid itu dari sekolah.

Tetapi jika masyarakat kita terutamanya wanita telah dapat menerima dengan hati terbuka amalan poligami, maka tidaklah salah kalau kita giat menyerbu dan menangkap orang-orang yang berkhalwat di hotel-hotel kalau mereka masih mahu juga melakukannya. Malah saya yakin, mereka yang ditangkap khalwat dalam situasi begini, tidak akan lari dan tidak berasa malu kalau mereka dicekup, mereka memang melakukannya kerana menurutkan nafsu jahat mereka semata tanpa mahu berkahwin. Walhal ketika itu amalan poligami telah diterima masyarakat dan proses perkahwinan telah dimudahkan.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com