Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, August 27, 2010

Guna kereta sendiri lebih berbaloi dari teksi


Di sini saya ingin membuat perbandingan, yang mana lebih menguntungkan antara menggunakan kereta sendiri dengan pengangkutan awam tanpa mengorbankan keselesaan kita.

Pengangkutan awam yang lebih selesa dan cekap, yang hampir sama seperti menggunakan kereta sendiri adalah perkhidmatan teksi.

Oleh itu dalam perbandingan ini, saya banyak menggunakan perkhidmatan teksi untuk pengangkutan awam. Manakala jenis kereta persendirian yang akan digunakan disini ialah Nazaria, kereta kelas tinggi (2500 cc) untuk keluarga besar.

Mari kita mulakan dengan menggunakan pengangkutan awam. Andaikan kita pergi kerja, balik makan tengahari, dan pulang kerja dengan menaiki teksi. Tambang sekali perjalanan adalah RM10 untuk jarak 5 Km. Oleh itu tambang teksi sehari untuk kita ke tempat kerja adalah RM40 dan untuk setahun RM9,600.00 (andaian 20 hari bekerja sebulan).

Di hujung minggu kita tentu akan membawa keluarga ke Bandar untuk berehat dan membeli belah barang-barang keperluan dapur. Katakan Bandar terletak 20 Km dari rumah kita, tambang pergi dan balik sekitar RM60. Oleh kerana kita perlukan dua buah teksi untuk mengangkut keluarga dan barang-barang yang kita beli maka tambang teksi yang diperlukan dihujung minggu itu menjadi RM120. Dan untuk setahun jumlahnya adalah RM5,760.00.

Katakan selain dari itu, sekali sekala kita ada urusan di luar seperti membawa anak ke hospital atau pergi bank dan bayar bil, yang mungkin kita lakukan 2 kali dalam masa sebulan. Untuk ini kita kena membayar tambang teksi sebanyak RM120 sebulan. Dalam setahun jumlahnya RM1,440.00.

Kemudian sekali sekala kita akan balik kampong untuk melawat orang tua kita di kampong. Katakan kita tinggal di Johor Bahru dan kampong kita sejauh di Kuala Lumpur. Untuk menjimatkan belanja kita tidak naik teksi tetapi memadai dengan menaiki bas sahaja. Tambang bas RM31 sekali perjalanan. Katakan kita ada 7 orang ahli keluarga dan kita balik kampong sebanyak 4 kali setiap tahun. Oleh itu belanja tambang untuk balik kampong adalah RM1,736.00.

Semasa berada di kampong kita perlu juga bergerak untuk pergi ke pasar dan melawat sedara mara. Katakan kita terpaksa mengeluarkan duit tambang teksi untuk itu sebanyak RM200.00 setiap kali kita berada di kampung. Kalau setahun jumlahnya menjadi RM800.00.

Itulah tambang-tambang yang kita perlukan kalau kita menggunakan pengangkutan awam untuk kita menjalankan aktiviti harian. Jika dijumlahkan bernilai RM19,336.00 semuanya setahun dan untuk tempoh 9 tahun, jumlahnya adalah RM174,024.00.

Sekarang cuba kita lihat pula perbelanjaan jika kita menggunakan kereta sendiri sebagai pengangkutan, dan kereta yang kita gunakan ialah kereta Nazaria yang kita beli secara bayaran ansuran selama 9 tahun (pinjaman bank).

Katakan ini kereta dibeli pada tahun 2005 dengan harga RM103,00.00. Bayaran bulanan untuk kereta ini ialah RM1,065.00. Jumlah ansuran yang perlu dibayar untuk setahun ialah RM12,780.00.

Kereta perlu diservis tiga kali dalam masa setahun, setiap kali servis memakan belanja sekitar RM300.00. Oleh itu dalam setahun jumlah belanja untuk servis kereta adalah RM900.00.

Selain dari itu beberapa komponen kereta perlu diganti untuk tempoh yang tertentu seperti ‘timing belt’, tayar, ‘spark plug’ dan lain-lain lagi yang belanja purata untuk ini adalah RM1,000.00 setahun.

Duit minyak kereta untuk kita pergi kerja dan membawa keluarga ke Bandar bagi setiap minggu adalah sekitar RM70. Oleh itu untuk setahun jumlahnya menjadi sekitar RM3,360.00.

Duit minyak untuk kita balik kampong pula berjumlah RM140 untuk pergi balik, manakala duit tol pula RM80 untuk pergi dan balik. Oleh itu jumlah duit minyak dan tol untuk setahun (empat kali balik kampong) adalah RM880.00.

Untuk jalan-jalan semasa berada di kampong, kita perlukan RM50 lagi duit minyak setiap kali kita berada di kampong. Untuk setahun jumlahnya ialah RM200.00 (empat kali balik kampong).
Cukai jalan untuk kereta Nazaria adalah RM800 setahun dan purata insuran kereta yang perlu dibayar ialah RM500 setahun.

Jika dijumlahkan semua kos yang kita perlukan semasa menggunakan kereta Nazaria sebagai kenderaaan bagi menjalankan aktiviti kehidupan harian kita ialah RM20,420.00 bagi setahun. Dan untuk 9 tahun jumlahnya adalah RM183,780.00.

Selepas 9 tahun, semua ansuran kereta kita sudah selesai, kereta Nazria itu akan menjadi milik kita sepenuhnya. Ketika itu, kita boleh menjual kereta itu, mungkin di waktu itu boleh laku sekitar RM20,000.00 sahaja. Dengan wang tunai yang kita dapat hasil jualan kereta itu, jumlah kos pengangkutan sebenar yang kita keluarkan untuk tempoh 9 tahun itu bukanlah RM183,780.00, tetapi perlu ditolak dengan wang tunai RM20,000.00 yang kita dapat hasil dari jualan kereta itu.

Setelah ditolak RM20,000.00, jumlahnya menjadi RM163,780.00.

Dari dua angka ini, kos pengangkutan awam RM174,024.00 dan kos kereta sendiri RM163,780.00, memang lebih berbaloi jika kita menggunakan kenderaan sendiri berbanding menggunakan pengangkutan awam.

Di sini saya menggunakan kereta Nazaria sebagai perbandingan, bayangkan berapa banyak lagi boleh kita jimatkan kalau menggunakan kereta Perodua Alza.

Perhatian: Agar tidak berlaku berat sebelah (bias), penulis telah mengambil kiraan untuk pengangkutan awam menggunakan kos yang serendah mungkin dan mengambil kiraan untuk kereta persendirian pula menggunakan kos yang setinggi mungkin.

Monday, August 23, 2010

Masih boleh berdoa untuk Lim Guan Eng


Khabbab keluar dari persembunyiannya dan berkata, “Demi Allah, baru kemarin aku mendengar Rasulullah s.a.w. mendoa supaya Umar atau 'Amr ibn Hisyam masuk Islam.

Riwayat diatas adalah dipetik dari laman web berikut:

Cerita Rasullullah berdoa kepada Allah s.w.t agar dua orang kafir yang bernama Umar masuk Islam sangat mashur dalam sejarah Islam.

Kedua-dua Umar ini sangat kuat dan keras tentangannya kepada perkembangan awal agama Islam di tanah Arab.

Kedua-dua Umar itu juga adalah orang yang dipandang tinggi dan sangat berpengaruh dalam masyarakat Mekah ketika itu.

Oleh itu tidak salah kalau kita mencontohi Rasullulah mendoakan mana-mana orang bukan Islam yang bernama ‘Umar’ supaya mereka diberi taufik dan hidayah untuk memeluk agama Islam.

Dan sangat bertentangan dengan sunah dan amatlah tidaklah betul kalau kita mendoakan orang yang bernama Lim Guan Eng supaya masuk Islam. Kerana ini tidak pernah dilakukan oleh Rasullullah sendiri.

Tetapi kalau kita masih juga mahu mendoakan beliau masuk Islam maka namanya hendaklah disebut dalam doa itu sebagai “Umar Abdul Aziz Pulau Pinang” bukan "Lim Guan Eng". Kerana pada nama itu ada “Umar”.

Amaran: Ini hanya pendapat penulis sahaja, bukan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Friday, August 20, 2010

Chua Soi Lek ditangkap berkhalwat?


Wayang politik baru saja bermula. Di sebelah pihak, DS Chua Soi Lek memegang watak hero bagi memperjuangkan dan membela kaum Cina, di satu pihak lagi TS Muhyidin Yasin menjadi hero bagi mempertahan dan memperjuangkan nasib orang Melayu.

Sekarang ini mereka berdua kelihatan sedang hebat berkungfu dan berpencak silat, rakyat sedang menonton dengan penuh minat.

MCA adalah parti orang Cina, parti ini mesti dilihat oleh kaum Cina bagi memperjuangkan nasib kaum Cina Malaysia. Takkan lah pula parti DAP mahupun GERAKAN lebih dilihat sebagai parti memperjuangkan orang-orang Cina, ini sudah tentu akan menjatuhkan maruah MCA.

Nanti apa kata orang Cina, MCA parti Cina tetapi tidak menjadi juara dalam memperjuangkan nasib orang Cina. Buat apa nak sokong MCA kalau mereka tidak kuat memperjuangkan nasib orang Cina.

UMNO pun begitu juga. Takkan nak biarkan PKR dan PAS sebagai parti yang dilihat juara dalam memperjuangkan kedudukan orang-orang Melayu.

Kalau orang Cina tidak mahu dipinggirkan maka mereka harus menyokong dan memberi undi kepada MCA supaya DS Chua Soi Lek dapat terus menjadi hero mereka dalam memperjuangkan nasib orang Cina.
Begitu juga dengan orang Melayu, mereka harus memberi sokongan dan undi kepada UMNO supaya TS Muhyidin dapat terus mengekang nafsu DS Chua Soi Lek.

Akhirnya siapakah yang akan menang dalam pergaduhan ini, parti MCA dengan heronya Soi Lek atau parti UMNO dengan heronya Muhyidin?

Sudah tentu tidak lain dan tidak bukan, yang akan menang ialah parti BN. Inilah namanya strategi politik.

Sama seperti rancangan gusti (WWF) dalam TV. Seorang ahli gusti membawa watak penggusti ganas dan main kotor, seorang lagi penggusti membawa watak baik. Penonton begitu teruja hendak menonton perlawanan mereka. Penonton mahu penggusti yang ‘baik’ ini menang, mereka mahu penggusti ‘jahat’ ini dibelasah teruk sebagai hukuman.

Kadang kala penggusti ‘baik’ ini kena berlakon kalah untuk menarik lebih ramai lagi penonton untuk datang menonton untuk menyaksikan perlawanan mereka yang akan datang.

Lebih ramai orang suka dan datang menonton lebih banyak duit dapat dikutip. Sudah tentu, yang akan menjadi lebih kaya ialah taukeh yang menganjurkan pertandingan gusti ini.

Penonton seperti kena tipu. Ini dinamakan penipuan yang terancang atau penipuan yang tidak menyalahi undang-undang.

Pernah sekali pertandingan gusti ini diadakan di Singapura. Pada malam pertandingan itu, dua-dua ahli gusti ini memaki hamun antara sama lain. Bergusti bagai nak berbunuhan lagaknya.
Pagi besoknya orang nampak mereka baik saja duduk bersarapan di satu meja, siap boleh gelak ketawa lagi.

Lama kelamaan, saya yang suka menonton rancangan gusti ini rasa seperti diperbodohkan. Walaupun menontonnya di TV tidak kena bayar tetapi ia telah mengambil masa tidor saya. Rasanya tidor lebik baik dari menonton program yang membodohkan kita ini.

Kadang-kadang kita ada dengar pemimpin-pemimpin politik ini mempunyai rumah yang harga berpuluh juta ringgit, siap dengan kolam renang lagi. Hidup mereka mewah, selain dari gaji, dengan kedudukan dan kuasa yang ada, mereka gunakan untuk membuat kekayaan yang melimpah ruah. Kepada mereka inilah kita gantungkan harapan untuk memperjuangkan nasib bangsa kita.

Sampai bila kita hendak terus diperbodohkan?

Adalah tidak logik dan tidak munasabah untuk mengatakan DS Chua Soi Lek ditangkap khalwat, tetapi kalau beliau pernah diintip berkhalwat, itu memang betullah.

Tuesday, August 17, 2010

Hukum minum arak di bulan Ramadhan

Terbaca satu berita yang disiarkan dalam akhbar Harian Metro:

KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila ada wanita Islam mabuk ketika berparti di sebuah pusat hiburan di ibu kota seolah-olah tidak menghormati bulan Ramadan.
Perbuatan biadab wanita terbabit terbongkar dalam serbuan polis di pusat
hiburan berkenaan, Sabtu lalu. Ketika diserbu, lima wanita itu berpelukan dengan teman lelaki masing-masing sambil berjoget, malah tidak menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Adakah berita ini betul-betul satu berita yang mengejutkan seperti yang dilapurkan? Ini memberitahu kita, adalah satu perkara biasa dan bukanlah mengejutkan kalau wanita Islam meminum arak di dalam pusat hiburan pada hari-hari lain selain dari bulan Ramadhan.

Saya tidak yakin wanita-wanita yang minum arak ini akan berpuasa di siang harinya. Bagi saya berita ini bukanlah satu berita yang mengejutkan dan tidak ada nilai berita pun.

Mungkin sudah tidak ada berita lain yang hendak dimuatkan, sekadar untuk memenuhkan ruang akhbar itu saja. Seperti kata orang , anjing menggigit posmen tidak mempunyai nilai berita, yang dikatakan berita bila posmen menggigit anjing.

Adakah agaknya orang yang pergi pusat hiburan yang tidak minum arak? Bukanlah satu perkara yang mengejutkan kalau orang minum arak di pusat-pusat hiburan. Saya hanya terkejut kalau dalam masjid ada orang minum arak.

Bagi mereka yang biasa minum arak tidak akan dapat mengubah mereka untuk tidak meminum arak pada bulan Ramadhan. Orang yang biasa merompak juga tidak akan dapat mengubah mereka untuk tidak merompak di bulan Ramadhan.

Hanya satu saja perkara pelik yang biasa diceramahkan oleh ramai ustaz, iaitu pencuri yang biasa mencuri ayam, apabila pencuri ini hendak makan ayam yang dicurinya itu, terlebih dahulu dia akan menyembelih ayam itu. Kerana dia tahu adalah haram memakan ayam yang tidak disembelih.

Thursday, August 12, 2010

Bung Mokhtar, makamah sivil atau makamah syariah yang patut mengadilinya?


“Sayak tidak bersalah, sayak bukan buat maksiat, sayak bernikah. Kenapak sayak dipenjarak?”, mungkin itulah antara kata-kata yang dijeritkan oleh Bung Mokhtar kepada Hakim Makamah Syariah yang mengadili beliau.

Pelik juga kes Bung Mokhtar ini, semua orang tahu beliau mempunyai pendapatan yang boleh atau mampu untuk berkahwin sampai empat. Dari segi zahir semua orang tahu yang beliau mampu. Tetapi kenapa beliau boleh dihukum sampai sebulan penjara kerana kesalahan berpoligami tanpa izin.

Tidak tahulah kita kalau beliau tidak mampu dari segi batin, rasanya hakim pun tidak tahu kecuali isteri pertama beliau dan Zizie saja yang tahu.

Saya rasa elok undang-undang hal yang berkaitan keizinan untuk beristeri lebih dari satu ini diletakkan di bawah Makamah Sivil walaupun ianya banyak melibatkan orang-orang Islam.

Kita tidak mahu, undang-undang yang tidak kena mengena dengan agama Islam ini dikaitkan dengan Islam. Bila masa pula adanya undang-undang dalam Quran yang mengatakan mesti mendapat izin makamah syariah terlebih dahulu sebelum mahu berpoligami.

Memang betul dakwaan yang mengatakan kita mesti ada undang-undang dan peraturan dalam bernegara dan bermasyarakat untuk menjamin keharmonian dan keamanan. Tetapi kenapa undang-undang kebenaran berpoligami ini diletakkan di bawah makamah syariah?

Apabila ia diletakkan di bawah makamah syariah, ia boleh mengelirukan orang ramai, seolah-olah ia datang dari ajaran Islam tetapi sebenarnya tidak.

Kalaupun kebenaran berpoligami ini hendak dijadikan undang-undang, lebih baik ia diletakkan di bawah undang-undang sivil supaya ia tidak dikaitkan dengan agama Islam.

Kita begitu sensitif dan sibuk dengan perkahwinan poligami yang bilangannya amat kecil dalam masyarakat kita. Sebaliknya kalau seorang lelaki bujang yang hendak berkahwin, tidak pernah pula dipersoalkan samada gaji beliau cukup atau tidak untuk menanggung isterinya, walaupun gajinya mungkin kurang dari RM600 sebulan.

Wednesday, August 11, 2010

Bulan Menjamu Selera


Bulan Ramadhan yang sepatutnya untuk mengawal nafsu makan dan mengurangkan makan, telah bertukar menjadi bulan untuk kita menjamu selera dengan pelbagai masakan dan kueh mueh.

Ada beberapa kesalahan yang dilakukan oleh seorang muslim itu yang dikenakan hukuman dengan memberi makan fakir miskin. Dan jika tidak mampu, mereka kena berpuasa untuk jumlah hari tertentu. Denda berpuasa itu adalah tujuan untuk mengurangkan mereka makan.

Dengan pengurangan makan melalui puasa itu adalah diharapkan makanan yang tidak menjadi makanan kepada mereka itu akan menjadi rezeki kepada orang lain pula.

Bila seseorang itu tidak berpuasa, dia tidak mengambil sarapan pagi, tidak makan tengahari, tidak ada minum petang. Mungkin semua makanan yang sepatutnya dia makan pada hari biasa itu akan menjadi rezeki kepada orang lain pula.

Tetapi hari ini tujuan puasa telah tidak mencapai tujuan asal, tidak keterlaluan kalau dikatakan jumlah belanja untuk membeli makan di bulan puasa lebih besar berbanding hari-hari biasa.

Bulan puasa seperti telah menjadi bulan pesta makan. Banyak bazaar ramadhan menjual bermacam masakan dan kueh mueh, hingga menarik kita untuk berbelanja lebih dari yang sepatutnya.

Hotel-hotel juga turut menyediakan buffet ramadhan yang menyediakan berbagai sajian masakan yang enak dan lazat.

Thursday, August 05, 2010

Menteri Fasola anggap mahasiswa tak matang politik

Menteri Fasola, mantan Naib Canselor UiTM mengakui langkah membenarkan penglibatan pelajar secara aktif tanpa sekatan dalam politik Negara, ada baik dan ada buruknya.

Beliau membuat kenyataan ini ketika menjawab soalan yang diajukan kepada beliau oleh Ahmad A. Talib dalam rancangan Soal Jawab di TV3 yang disiarkan malam tadi (4 Ogos 2010).

Beliau memberi amaran, jika tidak ditangani secara baik ia boleh membawa implikasi buruk kepada Negara, sambil merujuk kepada kegiatan aktif pelajar dalam politik pada tahun 70-an sebelum akta AUKU diperkenalkan.

Inilah masalah orang-orang yang berfahaman seperti Menteri Fasola ini. Kepada mereka UMNO dan BN adalah pihak yang sentiasa betul. Semua orang yang menyokong UMNO dan BN, mereka anggap sebagai berada di atas landasan yang betul.

Menteri Fasola dan orang-orang seangkatannya mempunyai kefahaman yang sempit tentang demokrasi dan politik. Malangnya mereka juga mahu rakyat Malaysia yang lain juga melihat politik dan demokrasi secara sempit seperti mereka juga.

Di kepala mereka, parti pembangkang adalah pengkhianat, pembelot dan musuh Negara, yang mesti dijauhi oleh semua orang. Inilah mentaliti yang ingin mereka tanamkan dalam kepala rakyat Malaysia.

Bagi mereka, jika mahasiswa menyokong parti UMNO dan BN, ianya tidak menjadi kesalahan. Mahasiswa dibenarkan berpolitik selagi mereka menyokong UMNO dan BN. Tetapi jika mahasiswa menyokong parti pembangkang, mereka akan dituduh terlibat dengan politik dan boleh diambil tindakan tatatertib.

Orang seperti Menteri Fasola memang tidak dapat menerima kenyataan bahawa parti lain selain BN ada juga hak untuk memerintah Negara ini. Dalam mana-mana Negara yang mengamalkan sistem demokrasi, memberi hak seluas-luasnya kepada setiap rakyatnya untuk memilih pemimpin mereka tanpa mengira dari parti mana mereka berada.

Selama ini mahasiswa dan pelajar memberontak bukan disebabkan oleh politik, tetapi disebabkan orang-orang seperti Menteri Fasola ini yang mahu pelajar dan mahasiswa secara ‘paksa’ menyokong UMNO dan BN. Menteri Fasola mahu memastikan UMNO dan BN terus menerus berada ditampuk kuasa untuk selamanya dengan apa cara sekalipun.

Sebenarnya Menteri Fasola yang tidak matang dalam memahami politik dan sistem demokrasi, bukan mahasiswa.

Wednesday, August 04, 2010

Pengangkutan awam, umpama telur dengan ayam

Pengguna kata bas tak ikut waktu, kadang-kadang langsung tak ada bas yang lalu. Persepsi pengguna mengatakan perkhidmatan bas tidak boleh diharap.

Waktu masuk kerja adalah tetap setiap hari, iaitu pukul 8.00 pagi atau pukul 9.00 pagi. Pengguna akan memilih masa menaiki bas pada waktu perjalanan bas yang sesuai. Pihak bas juga mempunyai jadual perjalanan bas mereka yang tetap, tetapi malangnya masa perjalanan bas tidak pernah ditepati oleh pihak bas. Malah kadang-kadang bas yang dijanjikan tidak kunjung tiba.

Bas yang tidak tentu masa sampainya ini menyebabkan orang ramai tawar hati untuk menggunakan perkhidmatan bas. Akhirnya mereka lebih selesa menggunakan kenderaan sendiri.

Itulah antara sebab-sebab kenapa orang ramai tidak begitu berminat menggunakan perkhidmatan bas. Mereka menggunakannya hanya dalam keadaan terdesak sahaja atau untuk pergi ke sesuatu destinasi yang tidak terikat dengan masa atau waktu.

Perkhidmatan bas tidak dapat menarik orang ramai atau golongan pekerja menggunakan perkhidmatan bas mereka.

Di pihak bas pula, mereka mempunyai alasan tersendiri kenapa mereka tidak dapat menyediakan perkhidmatan bas mengikut jadual seperti yang telah dirancang.

Pihak bas kata, mereka telah cuba menyediakan bas ikut jadual tetapi tidak ramai penumpang yang naik, kadang-kadang hanya 4 atau 5 orang saja yang naik bas. Keadaan ini tidak ekonomik, kos operasi menjadi tinggi dan syarikat bas boleh rugi jika bas berjalan tanpa penumpang yang ramai.

Oleh itu untuk mengatasi masalah ini, bas terpaksa melambatkan perjalanan atau mengubah waktu perjalanan untuk memastikan lebih ramai penumpang dapat dikutip bagi setiap perjalanan.

Akhirnya kadang-kadang berlaku penumpang penuh dan berasak-asak dalam bas kerana dua atau tiga perjalanan dikumpulkan jadi satu perjalanan sahaja. Syarikat bas gembira kerana cara ini lebih ekonomik dan menguntungkan.

Tetapi syarikat bas ini tidak memikirkan untuk jangka masa panjang. Sebenarnya dengan berbuat demikian, penumpang jadi tidak selesa, bersesak dalam bas dan menjejaskan waktu mereka tiba di tempat kerja. Penumpang tidak akan suka keadaan seperti itu dan mereka akan beralih untuk menggunakan kenderaan sendiri.

Kita dapat lihat, sikap syarikat bas dengan orang ramai ini adalah umpama telur dengan ayam, mereka saling berhujah siapa yang patut dulu.
Orang ramai mengharapkan syarikat bas menepati jadual perjalanan mereka, barulah mereka mahu menggunakan perkhidmatan bas untuk ke tempat kerja, manakala syarikat bas pula mengharapkan lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan bas, barulah mereka mahu menggerakkan bas mereka mengikut jadual dan menambah bilangan bas mereka.

Pada pendapat saya, syarikat baslah yang patut terlebih dahulu memperbaiki perkhidmatannya, bas patut tiba tepat pada waktu yang telah ditetapkan seperti dalam jadual. Bila orang ramai melihat bas sentiasa ada seperti yang dijadualkan, barulah ia dapat menimbulkan rasa yakin kepada orang ramai.

Apabila orang ramai telah yakin dengan perkhidmatan bas, tentu mereka tidak teragak-agak lagi untuk menggunakan perkhidmatan bas, malah mereka tidak teragak-agak untuk beralih dari mengguna kenderaan sendiri kepada perkhidmatan bas, terutamanya untuk ke tempat kerja.

Monday, August 02, 2010

Bas Transnasional patut dicontohi


Transnasional adalah nama syarikat bas yang sangat dipercayai dan diyakini oleh rakyat Malaysia.

Pergilah ke setesen-setesen bas di seluruh Negara, anda tidak akan nampak pekerja-pekerja di kaunter tiket bas syarikat Transnasional terpekik terlolong memanggil orang ramai untuk membeli tiket bas mereka, tidak seperti syarikat-syarikat bas lain itu.

Bas Transnasional menjadi pilihan utama setiap orang, kalau tiket sudah habis barulah mereka pergi ke kaunter syarikat bas lain.

Orang ramai suka membeli tiket dan menggunakan khidmat bas Transnasional bukanlah disebabkan bas ini ada pensijilan ISO atau menerima lain-lain sijil penganugerahan.

Bas Syarikat Transnasional menjadi pilihan orang ramai kerana pihak pengurusannya sentiasa menjaga waktu berlepas setiap perjalanan bas mereka sentiasa tepat. Kalau kita lihat syarikat bas lain itu, mereka lebih berminat hendak memenuhkan bas mereka dengan penumpang walaupun terpaksa menangguhkan perjalanan hingga lewat lebih 15 minit.

Harga tiket bas Transnasional juga adalah sama sepanjang masa walaupun pada musim-musim perayaan, sedangkan syarikat bas lain sewenang-wenangnya menaikkan harga hingga dua kali ganda di musim perayaan.

Keadaan dan keselesaan dalam bas transnasional juga adalah memuaskan hati, berpatutan dengan harga tiket yang dibayar oleh pengguna.

Pemandu-pemandu bas Transional juga lebih berdisiplin semasa memandu. Untuk mengekalkan dan mendapatkan pemandu-pemandu yang terbaik, syarikat mana-mana bas harus membayar gaji yang tinggi kepada pemandu-pemandu bas mereka. Tidak dinafikan sikap pemandu bas membawa imej kepada syarikat mereka bekerja.

Syarikat bas Transnasional juga menggunakan jualan tiket secara online, dengan itu tidak akan berlaku penumpang tidak ada tempat duduk atau tempat duduk yang bertindih. Dengan jualan online juga, tiket mana-mana perjalanan untuk mana-mana destinasi boleh dibeli di mana-mana kaunter tiket.

Mungkin untuk masa depan syarikat bas transnasional boleh menjual tiket-tiket basnya kepada orang ramai melalui internet tanpa perlu pergi ke kaunter tiket. Apa yang diperlukan semasa membeli tiket melalui internet, pengguna hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan (IC) dan nama mereka sahaja sebagai bukti.

Setiap kali menaiki bas, penumpang yang membeli tiket melalui internet hanya perlu menunjukkan IC mereka sahaja bagi menggantikan tiket sebagai pengesahan.

Pembelian internet menggunakan pengesahan nombor IC ini juga dapat menghalang dari kegiatan ulat-ulat tiket yang membeli tiket secara pukal pada musim perayaan, dan menjual semula kepada orang ramai dengan keuntungan yang berlipat ganda.

Moga bas transnasional akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai dan sentiasa berusaha untuk membaiki kelemahan yang ada. Syarikat-syarikat bas yang lain patut mencontohi Bas Transnasional.

Dalam menuju status Negara maju, setesen-setesen bas kita tidak harus ada lagi hiruk pikuk dengan ulat-ulat tiket mengejar penumpang dan kes penumpang ditipu. Keadaan ini sudah cukup untuk membuatkan pelancung berasa takut, dan mereka akan lari dari melancung ke Negara kita. Bila pelancung berkurang, semua pihak tidak akan dapat keuntungan.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com