Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Tuesday, May 31, 2011

Polong mengamuk kerana tak diberi makan

Dipetik dari Utusan Malaysia:

PULAU PINANG 29 Mei – Kerajaan mengarahkan UDA Holdings Bhd. menyediakan satu laporan lengkap mengenai kedudukan sebenar pelaksanaan projek pembangunan tapak bekas Penjara Pudu bernilai RM6.7 bilion yang menimbulkan kontroversi ketika ini.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, laporan lengkap projek dikenali Bukit Bintang City Centre (BBCC) itu penting bagi memberi gambaran mengenai proses pelaksanaan projek tersebut yang didakwa meminggirkan syarikat bumiputera.

Laporan itu, katanya, akan dibawa ke Kabinet untuk dinilai sama ada sistem pemilihan yang digunakan UDA bagi memilih syarikat pelaksana projek itu dibuat mengikut peraturan atau bertentangan dengan dasar sedia ada.

‘‘Saya membaca polemik antara Datuk Musa Sheikh Fadzir (Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang) dan beberapa Yang Berhormat lain mengenai UDA. Jawapan Pengerusi UDA (Datuk Nur Jazlan Mohamed) nampak tidak memuaskan hati.

Secara sinikal, Nur Jazlan mempertikai mengapa Musa langsung tidak membuka mulut mengenai memperjuangkan nasib kontraktor bumiputera dalam projek berbilion ringgit yang sudah dimeterai di Pulau Pinang, baru-baru ini.

“Tidak kiralah lokasi projek kalau benar-benar hendak perjuangkan kontraktor bumiputera, kenapa tidak serang Lim Guan Eng kerana walaupun projek itu dibuat di Pulau Pinang tetapi dana turut disumbang oleh kerajaan Pusat.


Inilah akibat kerana membela hantu raya dan polong, memang banyak pertolongan yang diberi oleh hantu raya dan polong kepada tuannya, tetapi dengan syarat kena dijamu makan dari masa ke semasa.

Kalau tidak diberi makan, mereka boleh mengamuk, silap-silap boleh makan tuan semula.

Polong yang biasa diberi makan oleh tuannya di Pulau Pinang sudah tidak dapat makan di Pulau Pinang lagi. Mulalah mereka mengamuk dan membuat kacau, perangai mereka sudah macam polong yang tak bertuan.

Friday, May 27, 2011

Gaji naik, harga barang naik; harga barang naik, gaji naik

Bila harga barang-barang naik, orang ramai akan mendesak majikan mereka untuk menaikkan gaji bagi mengatasi kenaikan harga barang-barang keperluan. Dan apabila gaji naik, peniaga-peniaga pula akan menaikkan harga barang jualan mereka bagi mendapatkan untung yang lebih.


Kitaran harga barang naik dan tuntutan gaji naik ini akan berterusan tanpa ada henti dan penyelesaian yang muktamad. Sebab itulah hingga hari ini harga barang-barang tidak turun dan bayaran gaji pun tidak pernah turun.

Pada tahun 1970-an dulu harga sepotong kuih hanya 10 sen tetapi sekarang (2011) sudah mencecah 40 sen. Gaji pekerja kilang pada tahun 1970-an dulu sekitar RM350 sebulan tetapi sekarang sekitar RM1000 sebulan.

Tujuan kita bekerja dan mendapat gaji adalah bagi membeli barang-barang keperluan kita. Oleh itu gaji dan harga barang keperluan sangat berkait rapat. Tidak pernah berlaku bila harga barang naik, gaji turun atau pun sebaliknya.

Orang-orang ekonomi suka menggunakan dan bermain dengan angka. Saya suka menggelarkan ekonomi yang bermain dengan angka-angka ini sebagai ‘ekonomi gila’.

Apalah maknanya kepada pakcik dan makcik di felda sana dengan pertumbuhan ekonomi negara berjaya mencapai enam peratus setahun, sedangkan harga ikan kembung sekarang RM12 sekilo, padahal pada tahun 1960-an harganya tidak sampai 50 sen sekilo. Ini betul-betul ekonomi gila.

Sikap membazir adalah punca utama kenapa harga barang semakin meningkat dan seterusnya menuntut kenaikan gaji untuk mengatasi masalah tersebut.

Tidak hairanlah kalau Nabi Muhammad menyelar orang-orang yang suka membazir ini sebagai sahabat syaitan.

Bila kita suka membazir, perbuatan kita itu akan hanya menambah kepada permintaan barang-barang keperluan. Bila permintaan bertambah, harga akan naik.

Itu adalah hukum harga, bila penawaran lebih, harga barang akan turun, bila permintaan lebih , harga barang naik. Formulanya begitu mudah, jika kita membazir, permintaan jadi bertambah dari yang sepatutnya, dan harga akan meningkat.

Biasa kita dengar gandum yang berlebihan di Amerika dibakar, dan di negara kita pula biasa terjadi, anak-anak ayam yang berlebihan di musnahkan dan sayur-sayur yang berlebihan dibiarkan musnah diladang. Tujuannya tidak lain, iaitu bagi mengawal harga barang-barang tersebut supaya tidak jatuh dan tidak memberi keuntungan kepada pengusaha. Inilah pemikiran ekonomi gila.

Pernah seorang pengusaha durian di Perak telah ditemuramah dalam TV di waktu musim buah durian yang terlalu banyak ketika itu. Dalam temuramah itu beliau berkata, tidak ada rezeki bagi beliau untuk musim kali ini, kerana harga durian terlalu rendah sangat, tak boleh nak jual dengan harga tinggi.

Ini betul-betul sudah gila, buah-buah durian yang dianugerah oleh Tuhan dengan banyaknya itu sudah dianggap bukan rezeki.

Manusia sudah lupa apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan rezeki, mereka hanya nampak dollar dan sen sahaja. Tidak hairanlah pada masa akan datang, harga barang akan terus naik dan gaji juga akan terpaksa dinaikkan.

Tuesday, May 24, 2011

Barat tidak pernah menafikan bulan pernah terbelah dua

Salah satu dari mukjizat Nabi Muhammad yang mashur ialah baginda telah membelah bulan kepada dua, dengan izin Tuhan, dan kemudian bercantum semula.

Mukjizat ini mempunyai hikmah yang hebat. Ia bukan sahaja dapat dilihat oleh orang-orang musyrikin Mekah sebagai bukti kerasulan Nabi Muhammad, tetapi kesannya juga dapat dilihat oleh manusia di zaman sekarang.

Antara misi yang tersirat disebalik perlumbaan meletakkan manusia pertama di bulan oleh Barat ialah untuk membuktikan bulan tidak pernah terbelah seperti yang didakwa oleh umat Islam selama ini, sekali gus untuk membuktikan peristiwa terbelahnya bulan itu (kalau pun berlaku), hanyalah merupakan gejala sihir, di mana ahli magis seperti David Copperfield pun boleh melakukannya.

Kalau Barat dapat membuktikan bulan tidak pernah terbelah, sudah tentu ia akan menjadi satu modal atau keuntungan yang besar kepada mereka untuk menjadi hujah bagi merendahkan kebenaran Nabi Muhammad dan Islam.

Walaupun Barat telah berjaya menghantar manusia ke bulan, tetapi sehingga kini mereka tidak pernah menafikan atau memberitahu kita bahawa tidak pernah berlaku bulan terbelah dua.

Dan lebih misteri lagi, keghairahan program penghantaran manusia ke bulan dan kajian lanjut ke atas bulan dengan lebih terperinci terus sepi selepas kejayaan mereka mendaratkan manusia di sana sekitar akhir tahun 1960-an dulu. Seolah-olah mereka mahu menutup rahsia berkaitan bulan dari pengetahuan kita.

Jika diberi peluang mungkin ramai lagi angkasawan atau orang ramai yang ingin menjejak kaki ke bulan, tetapi kenapa usaha ke arah itu, hingga kini tidak pernah diberi perhatian?

Sebenarnya tidak sukar untuk membuktikan bulan pernah terbelah atau tidak. Bulan tidak ada angin dan air atau hujan yang boleh memadamkan kesan pergerakan tanah. Kalau tahi bintang menghentam permukaan bulan, kesan dari hentaman itu akan terus kekal hingga ke hari kiamat.

Jejak-jejak kasut yang ditinggalkan oleh angkasawan-angkasawan yang pernah mendarat di bulan pada akhir tahun 1960-an dulu pun pasti kekal seperti keadaan asal, dan akan menjadi bukti bahawa mereka pernah menjejakkan kaki di sana.

Begitu jugalah kalau bulan pernah terbelah, kesan belahan itu akan kekal tanpa diganggu oleh air dan angin hinggalah ke hari kiamat. Itulah hikmahnya mukjizat terbelahnya bulan yang dianugerahkan kepada Nabi Muhammad, kerana sepatutnya ia masih dapat dilihat oleh manusia zaman sekarang yang telah ada kemampuan untuk mendarat di bulan.

Mungkin ketika berlakunya mukjizat tersebut pada 1400 tahun dahulu, tidak ada siapa yang menyangka manusia akan sampai ke bulan.

Wednesday, May 18, 2011

Kisah Nabi Sulaiman dan sumbangannya kepada teknologi penerbangan

Nabi Sulaiman mempunyai kelebihan yang dianugerahkan oleh Tuhan untuk mengarahkan angin untuk menerbangkan dirinya ke mana sahaja destinasi yang beliau kehendaki.


Umpama daun-daun kering, akan terbang bila ditiup angin. Angin sangat penting dalam teknologi penerbangan.

Di peringkat permulaan era teknologi kapal terbang, enjin kapal terbang digunakan untuk memutarkan kipas bagi menghasilkan angin yang akan memberi daya tujahan yang akan menjalankan dan seterusnya menerbangkan kapal terbang.

Helikopter pula menggunakan kipas yang berbilah panjang bagi menghasilkan angin yang akan mengangkat dan menerbangkan badan helicopter itu.

Kapal terbang moden pula banyak menggunakan enjin jet, di mana angin disedut melalui turbin gas untuk dipanas dan dimampat. Angin yang panas dan bertekanan tinggi ini akan dilepaskan ke arah belakang, memberi daya tujahan yang besar yang boleh menggerakkan dan menerbangkan badan kapal terbang dengan kelajuan yang tinggi.

Begitulah pentingnya angin dengan teknologi penerbangan. Siapa yang boleh menguasai angin, pasti dia boleh terbang. Walaupun 1400 tahun dulu manusia tidak tahu apa pun tentang teknologi penerbangan tetapi Tuhan telahpun memberitahu kita bagaimana angin boleh digunakan untuk teknologi penerbangan. Ini difirman oleh Tuhan dalam Quran pada ayat 36 , surah Sod(38):

“Kemudian kami tundukkan angin di bawah penguasaannya (Sulaiman), menerbangkannya mengikut perintahnya, ke mana sahaja dia mahu”.

Setelah 1000 tahun berlalu, barulah manusia dapat menjadikan apa yang disebut dalam Quran itu sebagai kenyataan dan menggunakan konsep yang sama juga, iaitu angin untuk menerbangkan kapal terbang.

Walaupun Superman adalah hero yang hebat dalam karektor filem Hollywood, sebenaranya, tidak ada bukti saintifik yang boleh membuatkan Superman boleh terbang. Kalau hendak kata kain di belakang yang dipakai Superman itu boleh membuatkannya terbang, pun tidak masuk akal. Sebaliknya kain yang berkibar-kibar ketika melanggar angin itu hanyalah untuk menunjukkan kepada penonton, Superman sedang terbang.

Kalau Nabi Sulaiman yang mampu terbang itu digambarkan seperti dalam cerita Superman, mungkin sampai sekarang manusia belum dapat keyakinan untuk meneroka teknologi penerbangan dan mencipta kapalterbang seperti yang kita lihat pada hari ini.

Pendedahan bagaimana atau kaedah Nabi Sulaiman boleh terbang oleh Quran itu telah memberi keyakinan yang kuat kepada ahli sains dan perekacipta, bahawa angin boleh digunakan untuk menerbangkan manusia.

Saturday, May 14, 2011

Banyak duit negara dapat dijimatkan jika tidak menjual makanan ringan di kantin sekolah

Satu cara mudah dan cepat mendapat untung ialah menjual makanan ringan, terutamanya berhampiran dengan kawasan sekolah.


Kanak-kanak memang suka makan makanan ringan atau jajan. Makanan ringan ini bukan sahaja tidak berkhasiat tetapi juga mengandungi campuran bahan pewarna, pengawet dan perasa yang boleh membawa mudarat kepada kesihatan untuk jangka masa panjang.

Pengeluar dan peniaga makanan perlu mempunyai rasa tanggungjawab, selain dari menjual makanan yang sedap dan digemari, mereka juga mesti memastikan bahan makanan yang dijual tidak mendatangkan mudarat kepada kesihatan manusia.

Semua orang suka memakan makan yang enak dan lazat, tetapi makanan yang sedap-sedap ini mungkin juga mengandungi banyak gula, garam, lemak, bahan kimia, cholesterol dan trans fat.

Begitu juga dalam mengeluarkan hasil pertanian dan ternakan untuk dijadikan bahan makanan seperti bijiran, sayuran, ayam dan lembu, banyak bahan kimia digunakan dalam penyediaan baja, menggunakan racun serangga perosak dan ubat suntikan vaksin dan hormon penggalak pembesaran. Semua bahan-bahan sampingan ini banyak memberi mudarat kepada kesihatan manusia.

Apabila kita menjual makanan untuk mengejar keuntungan yang banyak dan cepat, tanpa mengira mudarat kepada kesihatan orang ramai, maka sikap ini akan merugikan negara kita sendiri.

Akhirnya belanja yang besar terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan untuk meyediakan ubat dan rawatan kepada rakyat yang sakit.

Hospital perlu ditambah, doktor dan kakitangan hospital juga perlu ditambah dan lebih banyak duit diperlukan untuk membeli ubat-ubat bagi menampung pesakit yang semakin bertambah.

Untung yang diperolehi dari menjual makanan yang tidak sihat ini tidak seberapa jika dibandingkan dengan perbelanjaan yang dikeluarkan negara bagi merawat rakyat yang sakit akibat dari memakan makanan yang tidak sihat itu.

Sudah ramai rakyat negara ini kena sakit darah tinggi, kencing manis, serangan jantung, sakit buah pinggang dan barah, semuanya itu penyakit-penyakit yang berpunca dari memakan makanan yang tidak sihat.

Hari-hari kita minum teh tarik di kedai mamak yang tidak ada pun sehelai daun tehnya, dan susunya adalah susu lemak berkerim yang mengandungi lemak kelapa sawitnya lebih banyak dari susu lembu.

Hari-hari kita masak dan menggoreng menggunakan minyak kelapa sawit yang banyak lemak tepu itu, yang boleh menyesakkan saluran darah dan jantung.

Dengan adanya kopi dan teh tiga dalam satu yang dijual dalam bentuk paket, memudahkan lagi orang ramai minum kopi dan teh. Nampak dan rasa serupa macam kopi susu atau teh susu, tetapi kalau kita baca pada labelnya, tidak ada pun susu, sebaliknya lemak kelapa sawit digunakan menggantikan susu.

Orang-orang yang tinggal di kawasan Mediterranean sangat kurang mendapat sakit jantung kerana mereka banyak menggunakan minyak zaitun dalam masakan mereka.

Kalau kita pergi hospital kerajaan, adalah biasa kalau orang ramai selalu merungut dengan layanan yang mereka terima bila berdepan dengan kakitangan hospital. Kita kena fahamlah, pesakit ramai, sedangkan kakitangan dan kemudahan di hospital tidak cukup. Kalau bilangan kakitangan dan kemudahan banyak, tentu mereka tidak ada masalah untuk melayan kita.

Kita kena terima hakikat yang kerajaan pun tidak mampu hendak menanggung belanja kesihatan yang begitu besar itu, banyak perkara-perkara lain lagi yang juga perlu diberi tumpuan oleh kerajaan.

Untuk mengurangkan beban, kerajaan menggalakkan penubuhan hospital swasta yang mana belanja bagi merawat pesakit dibiayai melalui wang insuran. Walaupun tidak sakit, orang ramai terpaksa membeli insuran untuk melindungi mereka dari membayar kos perubatan dan rawatan yang tinggi jika mereka jatuh sakit.

Syarikat insuran juga membuat keuntungan dan kakitangan insuran juga dibayar gaji dari duit orang ramai yang mereka kutip. Sepatutnya rakyat hanya membayar kos rawatan dan ubat dihospital, tetapi terpaksa juga membayar kos kepada sayarikat insuran, ini membuatkan kos keseluruhan menjadi lebih mahal.

Kalau tidak ada hospital swasta, tidak adalah syarikat insuran perubatan, mungkin kakitangan insuran itu boleh bertukar kerja ke sektor yang lebih produktif. Bukan sekadar kerja makan komisyen saja.

Pada zaman Nabi dulu, baginda pernah dihadiahkan seorang tabib untuk bekerja di Madinah, tetapi setelah lama bekerja, tabib tersebut datang mengadu kepada Nabi, tidak ada penduduk yang datang berjumpa beliau. Maksudnya tidak ada penduduk yang sakit.

Dikatakan antara sebab orang Islam ketika itu tidak ada atau kurang yang sakit adalah kerana mereka menjaga disiplin makan dan makan makanan yang baik-baik lagi halal.

Kalaulah rakyat Malaysia tidak ramai yang sakit kerana tidak memakan makanan yang boleh mendatangkan mudarat, sudah tentu kita tidak perlukan doktor dan kakitangan hospital yang ramai seperti sekarang, kita juga tidak perlu membina hospital dan kemudahannya yang banyak seperti yang ada sekarang.

Bayangkan, berapa banyak perbelanjaan negara dapat dijimatkan jika bilangan doktor dan kemudahan perubatan dapat dikurangkan kepada separuh dari yang ada sekarang.

Sudah tentu, wang yang dapat dijimatkan itu boleh pula disalurkan kepada projek untuk membina lebih banyak kemudahan untuk rakyat. Dan bila kita pergi ke hospital kerajaan untuk mendapat rawatan pasti kita akan dapat layanan yang baik kerana bilangan doktor dan kakitangan hospital ketika itu lebih ramai dari orang yang sakit.

Ini hanya boleh dicapai jika badan penguatkuasa undang-undang, termasuklah kastam, polis, pemeriksa dari Kementerian Kesihatan, Jabatan Alam Sekitar dan pihak yang terlibat dalam penghasilan dan penyediaan bahan makanan, seperti petani, penternak, peniaga dan pekilang, sentiasa mengamalkan amalan baik dan tidak mengejar keuntungan jangka pendek untuk diri sendiri sahaja.

Sunday, May 08, 2011

Semua orang diwajibkan belajar hingga ke universiti

Kalau tahun 60-an dulu, seseorang yang lulus sijil SPM atau MCE sudah dianggap tinggi pencapaian akademiknya. Di waktu itu kalau lulus SPM pun sudah mudah untuk mendapat pekerjaan yang baik, dan untuk bekerja di jabatan kerajaan sebagai kakitangan rendah atau buruh kasar, hanya memerlukan lulus sijil SRP (PMR) atau LCE sahaja.

Tetapi sekarang, keadaan telah berubah, ada sijil diploma pun belum tentu boleh dapat pekerjaan yang bagus. Malah ramai graduan yang mempunyai ijazah pertama (sarjana muda) tidak mendapat pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan mereka.

Matlamat atau dasar pendidikan kita sekarang ialah untuk menjadikan semua rakyat mendapat pendidikan hingga ke peringkat universiti, sekurang-kurangnya mempunyai ijazah pertama. Masalahnya, dapatkah kita menyediakan kepada semua mereka itu peluang pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan mereka?

Bila sudah ada ijazah pertama, pekerjaan yang setaraf dengan sijil mereka itu adalah menjadi doktor perubatan, doktor gigi, jurutera, pegawai penyelidik, akauntan, peguam, hakim, pegawai tadbir, juruukur, guru sekolah menengah dan pensyarah. Tetapi bilangan pekerjaan tersebut adalah terhad dan tidak akan dapat menampung jumlah pemegang-pemegang ijazah pertama yang ada.

Tentu mereka akan rasa rendah diri dan malu jika bekerja sebagai kerani, jururawat dan juruteknik sahaja. Belajar tinggi-tinggi tetapi kerja sebagai ‘kuli’ saja, mana ada kelas.

Tetapi dalam keadaan terdesak, mereka tetap jugalah bekerja dan membuat apa saja kerja kerana sudah tidak ada pilihan, untuk meneruskan kehidupan, dan terpaksalah membuang rasa malu kerana mengorbankan ‘status’ akademik mereka.

Adakah satu langkah yang tepat untuk memasukkan semua rakyat ke universiti?

Sekarang ini, setiap orang rakyat Malaysia diwajibkan melalui alam sekolah dari darjah satu hingga tingkatan lima. Apakah pada masa akan datang, perlu diwajibkan pula setiap rakyat mesti belajar hingga ke peringkat universiti?

Sekarang ini pun sudah timbul dakwaan dari berbagai pihak, graduan yang keluar dari universiti-universiti tempatan tidak berkualiti. Kita mungkin berbangga dengan kuantiti graduan yang dihasilkan tetapi bagaimana dengan kualitinya?

Universiti hanya boleh mengajarkan ilmu pengetahuan kepada semua orang, tetapi universiti tidak boleh mengajarkan kebijaksanaan kepada seseorang. Kebijaksanaan adalah anugerah Tuhan kepada seseorang, samalah seperti rupa paras yang cantik dan kelunakan suara, tidak semua orang dianugerahkan dengan rupa paras yang cantik dan suara yang lunak.

Kita boleh saja masuk kelas dandanan dan kecantikan atau kelas vokal, tetapi bukanlah jaminan untuk menjadikan kita cantik atau menjadikan suara kita lunak.

Oleh itu, para graduan yang telah lulus ijazah pertama dalam bidang yang sama dari universiti yang sama, mungkin kebanyakan dari mereka itu sekadar mempunyai ilmu pengetahuan sahaja, tetapi bilangan yang memiliki kebijaksanaan tidaklah ramai.

Sudah menjadi lumrah alam semulajadi, bilangan orang yang bijak, orang yang berfikiran kreatif, orang yang berbakat seni, orang yang berupa paras cantik, orang yang petah berkata-kata dan orang yang bersuara lunak, tidak ramai dalam sesuatu kelompok masyarakat itu. Hakikat ini perlu kita terima dalam menentukan hala tuju universiti kita.

Jika kita sebagai majikan, kita bukan sahaja mahukan pekerja yang ada ilmu pengetahuan tetapi lebih dari itu, kita mahukan pekerja juga seorang yang bijak.

Kerja seorang juruteknik hanya perlu tahu membuat kerja-kerja yang diarahkan kepadanya berasaskan pengetahuan yang dipelajarinya, tetapi kerja seorang jurutera memerlukan kebijaksanaan untuk mengolah, menelesaikan masalah, merekabentuk dan mencipta sesuatu yang baru berasaskan ilmu pengetahuan yang dipelajarinya.

Oleh itu antara juruteknik dan jurutera mungkin mempunyai ilmu pengetahuan yang sama, yang membezakan antara mereka hanyalah kebijaksanaan.

Sistem universiti di Malaysia hari ini memungkinkan semua orang boleh memasuki universiti dan peluang untuk mereka mendapat ijazah pertama adalah sama. Sehingga sukar untuk kita membezakan siapa yang patut menjadi jurutera dan siapa yang patut jadi juruteknik, siapa yang patut jadi doktor dan siapa yang patut jadi pembantu hospital (HA) atau jururawat, siapa yang patut jadi arkitek dan siapa yang patut jadi pelukis pelan.

Oleh itu kita tidak hairan dengan rungutan orang ramai hari ini, kalau mereka temui doktor, pensyarah, guru, jurutera, pegawai tadbir, peguam dan arkitek yang tidak berkualiti dalam menjalankan tugas.

Kalau di zaman 80-an dulu, bilangan universiti di negara kita tidak banyak, hanya pelajar-pelajar yang betul-betul cemerlang dalam akademik sahaja yang dapat masuk universiti. Kalau sudah dapat masuk pun belum tentu mereka boleh menamatkan pengajian dengan mudah, malah ramai yang kandas separuh jalan dan dibuang dari universiti. Graduan yang lulus dengan kelas pertama pun terlalu sedikit bilangannya dan mungkin tidak ada langsung. Tidak hairanlah kalau ketika itu, kerja yang mencari graduan universiti, bukan graduan yang mencari kerja.

Apakah kita masih juga mahu meneruskan dasar semua orang mesti masuk universiti setelah melihat kesan-kesan negatifnya kepada masyarakat?

Memang bagus kalau semua orang masuk universiti, semua orang akan ada ilmu pengetahuan, tetapi kita perlu juga ada mekanisma untuk menentukan siapa patut jadi doktor dan siapa patut jadi jururawat, siapa patut jadi jurutera dan siapa patut jadi juruteknik. Tidak semudah untuk menentukan siapa patut jadi penyanyi, kerana tidak perlu melihat kepada sijil untuk layak jadi penyanyi, cukup dengan mendengar suara saja.

Mungkin kita boleh asingkan seperti berikut; sesiapa yang dapat pangkat A dan B lulusan ijazah pertama, boleh jadi doktor dan jurutera, manakala sesiapa yang dapat pangkat C dan D lulusan ijazah pertama, hanya boleh jadi jururawat dan juruteknik.

Tetapi cara itupun belum tentu dapat menyelesaikan masalah, banyak lagi perkara yang perlu diambil kira. Pangkat A di universiti UM tentu tidak sama tarafnya dengan pangkat A di universiti UiTM. Cara penilaian antara universiti adalah berbeza, soalan peperiksaan mereka tidak sama, tidak seperti soalan peperiksaan SPM yang sama untuk seluruh Malaysia.

Friday, May 06, 2011

Singapore akan bercantum semula dengan Malaysia jika PR menang

Besok (7 Mei 2011) rakyat Singapore akan keluar mengundi dalam pilihanraya umum negara pulau itu. Walaupun pilihanraya pada kali ini parti PAP yang memerintah sejak Singapore berada dalam Malaysia lagi akan menghadapi saingan sengit, tetapi kemenangan sudah dijangka masih kepada parti tersebut.

Tidak ada isu-isu yang besar berlaku di negara itu yang boleh menyebabkan rakyatnya menolak parti PAP. Pemimpin-pemimpin parti PAP bukan terdiri dari orang-orang yang korup dan mengambil rasuah. Mereka mempunyai integriti yang tinggi dan amat bertanggungjawab.

Mungkin telah menjadi aliran sekarang ini, rata-rata penduduk seluruh dunia mahukan demokrasi yang lebih adil dan bebas, rakyat Singapore juga tidak terlepas dari bahang yang melanda dunia ini. Parti PAP yang memerintah Singapore juga terpaksa akur dengan perubahan dan kehendak dunia, telah mempamirkan pendekatan yang lebih demokratik dan lebih telus berbanding pilihanraya-pilihanraya umum sebelum ini.

Ini jelas, dari liputan dari media perdana negara itu, penonjolan parti-parti yang bertanding mendapat layanan yang lebih saksama berbanding sebelum ini. Kita boleh mendengar dari media perdana yang masih dikawal sepenuhnya oleh kerajaan PAP, berita-berita atau bahan-bahan kempen parti pembangkang dan tidak terhad kepada berita parti pemerintah sahaja.

Mungkin ini juga satu langkah bijak yang telah diambil oleh pemimpin Singapore dalam mengimbangi media baru internet yang bebas dan sukar dikawal.

Singapore pernah berada dalam Malaysia pada tahun 1963 tetapi telah dikeluarkan pada tahun 1965 oleh Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia ketika itu bagi menyekat kemaraan Lee Kuan Yew dan parti PAP ke bahagian-bahagian lain di Malaysia.

Lee Kuan Yew bercita-cita besar untuk melebarkan pengaruhnya ke seluruh Malaysia melalui parti PAP yang diasaskan beliau itu. Oleh kerana terdapat beberapa pandangan yang amat berbeza antara Lee Kuan Yew dan pemimpin parti UMNO ketika itu, telah menyebabkan Singapore disingkirkan dari Persekutuan Malaysia.

Lee Kuan Yew mencita-citakan dasar ‘Malaysian Malaysia’, sedangkan UMNO lebih mengutamakan dasar ‘ketuanan Melayu’.

Dasar yang diutarakan oleh Kuan Yew itu memang tidak sesuai dilaksanakan di waktu itu, apatah lagi Tanah Melayu baharu sahaja mencapai kemerdekaannya. Jelas Lee Kuan Yew terlalu gopoh, tanpa memikirkan sesitiviti orang-orang Melayu ketika itu. Lee Kuan Yew memang seorang pemimpin yang berpandangan jauh dan mendahului zamannya.

Sekarang negara kita Malaysia telah lebih 50 tahun merdeka, keadaan telah banyak berubah. Kini konsep ketuanan Melayu bukan sahaja dipertikaikan oleh orang bukan Melayu, malah ramai orang Melayu sendiri pun telah mula tidak dapat menerimanya.

Dalam ajaran agama Islam sendiri sentiasa menekankan konsep keadilan, meritokrasi, tidak assobiah dan tidak boleh melakukan inaya kepada orang lain. Nilai-nilai mulia dalam agama ini dengan sendirinya akan menolak dasar-dasar yang cenderung kepada ‘apartheid’.

Mungkin Lee Kuan Yew dan ramai lagi rakyat Singapore berasa kesal kerana Singapore disingkirkan dari Persekutuan Malaysia. Kepada mereka, Singapore bukan minta merdeka atau berpisah dari Malaysia tetapi pemimpin Malaysia sendiri yang telah menendang Singapore keluar.

Dari segi sosio budaya dan geografi, Semenanjung dan Singapore adalah satu. Kalau Pakatan Rakyat menang dalam pilihanraya umum akan datang ini dan menjadi parti yang memerintah Malaysia, Singapore mungkin akan menimbangkan untuk kembali ke pangkuan Malaysia semula.

Semua orang tahu, parti DAP adalah juga parti PAP versi Malaysia, mereka mempunyai dasar dan fahaman yang sama. Kemasukan Singapore ke dalam Malaysia pada masa akan datang banyak ditentukan oleh sejauh mana pengaruh dan peranan yang dimainkan oleh parti DAP dalam Pakatan Rakyat.

Thursday, May 05, 2011

Isteri sekarang semua bekerja, suami tak wajib lagi bagi nafkah zahir?

Ada pendapat mengatakan suami tak boleh guna duit gaji isteri untuk perbelanjaan rumahtangga. Kerana sudah menjadi tanggungjawab suami menanggung nafkah rumahtangga, oleh itu perbelanjaan mestilah datang dari duit gaji suami sendiri. Kalau suami dengan sengaja, enggan bekerja untuk mencari nafkah maka dengan itu si suami telah melanggar hukum syarak.

Isteri pula tidak wajib untuk mencari nafkah, oleh itu isteri tidak wajib untuk bekerja. Kewajipan isteri adalah untuk melayan suami ketika suami berada di sisinya.

Kalau suami tidak mendapat layanan dari isteri maka isteri boleh dipersalahkan oleh hukum syarak. Layanan dari isteri kepada suami yang dimaksudkan oleh syarak ini hanyalah terbatas kepada melayan kehendak seks suami sahaja. Manakala layanan untuk memasak, menyediakan makan minum suami dan urusan-urusan rumahtangga yang lain itu hanyalah harus sahaja, dan bukanlah suatu yang wajib.

Dengan kata lain, setiap isteri wajib melayan kehendak seks suaminya, sebaliknya kerja-kerja rumahtangga yang lain itu hanyalah di atas budi bicara isteri sahaja. Walaupun tidak patut kalau si isteri tidak mahu memasak untuk suaminya, tetapi ini tidaklah bermakna dia berdosa kalau dia enggan melakukannya.

Di zaman nabi dulu, memang kebiasaan orang lelaki bekerja untuk menanggung makan minum keluarga mereka. Begitu juga di negara kita Malaysia sebelum era merdeka, kebiasaannya, suamilah yang keluar bekerja untuk menanggung kehidupan keluarga. Di waktu itu, jarang-jarang orang perempuan yang keluar bekerja.

Rata-rata orang Melayu sebelum merdeka, bekerja sebagai petani, menanam padi dan menoreh getah. Kerja-kerja sebegini memerlukan tenaga yang kuat, yang sesuai untuk dilakukan oleh orang lelaki sahaja.

Suami yang telah penat bekerja di ladang-ladang ini apabila balik ke rumah tentu tidak mampu untuk membuat kerja-kerja rumahtangga, maka di sinilah para isteri mengambil peranannya untuk membantu si suami menguruskan kerja-kerja rumahtangga yang tidak begitu berat untuk dilakukan oleh wanita..

Pembahagian kerja antara kerja mencari nafkah kepada suami dan kerja rumahtangga seperti memasak, mengemas, membasuh pakaian, menjaga anak kepada isteri secara semulajadi berjalan tanpa pernah dipersoalkan dan telah dapat diterima sebagai amalan budaya kehidupan masyarakat kita.

Bagi rumahtangga yang hanya suami bekerja, lazimnya wang dipegang sepenuhnya oleh si suami. Cara bagaimana dia menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan rumahtangganya, bergantunglah kepada budi bicara si suami. Terdapat juga suami yang menyerahkan semua wang gajinya setiap bulan kepada isterinya bagi mengurus perbelanjaan rumahtangga mereka.

Ada juga suami yang memberikan hanya sebahagian dari wang gajinya kepada isteri, mengikut yang difikirkannya wajar. Ada juga hanya memberi wang kepada isteri bila isterinya meminta untuk membeli barang yang diminati atau diperlukannya. Tetapi bila suami memegang sepenuhnya wang gaji, berlaku juga keadaan di mana suami tidak bersetuju dengan apa yang hendak dibeli oleh isteri. Dengan itu isteri tidak dapat membeli mengikut kehendak hatinya, kalau tanpa persetujuaan suaminya. Mungkin di sini timbul rasa tidak puas hati kepada isteri kerana tidak dapat membeli barang yang dihajatinya.

Di zaman sekarang, cara hidup kita telah jauh berubah, sudah menjadi perkara biasa kalau para isteri keluar bekerja. Malah ada isteri yang mempunyai pendapatan yang lebih tinggi dari suami mereka.

Apakah kita perlukan satu fatwa yang baru bagi menyesuaikan dengan keadaan zaman sekarang ini yang rata-ratanya suami dan isteri keluar bekerja? Apakah nafkah bagi menanggung perbelanjaan keluarga itu masih juga terletak atas bahu suami juga?

Tentu banyak persoalan dan konflik yang timbul bila suami isteri bekerja. Isteri tentu akan mempersoalkan kenapa dia masih terus seperti lazimnya dibebankan dengan kerja-kerja rumahtangga seperti memasak dan menyediakan makan minum suami, mengemas rumah, sedangkan si isteri juga pergi keluar bekerja untuk mencari perbelanjaan kehidupan keluarga.

Malah yang lebih ekstrim lagi ada isteri berpendapat, duit gaji mereka tidak boleh diusik untuk digunakan bagi perbelanjaan rumahtangga kerana bagi mereka, duit untuk belanja mesti ditanggung oleh suami. Sebaliknya duit gaji mereka hanyalah untuk kegunaan mereka sahaja dan untuk beli apa yang mereka inginkan seperti barang-barang kemas dan barang-barang hiasan yang mereka minat.

Di sini timbul soal bagaimana cara yang paling betul dalam mengendalikan rumahtangga bagi pasangan suami isteri yang bekerja ini. Apakah perlu kepada satu fatwa untuk menentukan cara yang paling betul itu. Dalam keadaan suami isteri bekerja, apakah duit gaji mereka mesti dikumpulkan dalam satu akaun sebagai harta sepencarian kemudian mereka boleh gunakan untuk apa saja keperluan rumahtangga mereka?

Adakah persetujuan untuk membeli barang-barang yang diperlukan oleh keluarga mereka mesti diputuskan atau mesti mendapat persetujuan pihak suami sahaja? Mungkin adakalanya permintaan oleh isteri untuk membeli barang yang dia suka akan dihalang oleh suami. Tentu akan timbul rasa tidak puas hati kepada isteri bila kehendaknya dihalang padahal dia pun sama-sama bekerja.

Dalam masa yang sama, disebabkan kedua-dua suami isteri keluar bekerja, maka adakah kerja-kerja rumah perlu dilakukan secara bersama dan tidak lagi dibebankan kepada isteri sahaja?

Kalau suami mahu isterinya berhenti bekerja dan hanya menumpukan kepada kerja-kerja rumahtangga sahaja, adakah perintah suami itu boleh diengkar? Kadang-kadang si suami terlalu keras dengan pegangan yang mengatakan apa yang hendak dilakukan oleh isteri wajib mendapat keizinan suami. Adakah dalam hal ini suami boleh melarang isteri dari keluar bekerja, dan isteri wajib patuh kepada arahan suami itu?

Kalaulah suami seorang sahaja yang bekerja dan isteri duduk di rumah menguruskan kerja-kerja rumah, apakah duit gaji si suami itu boleh dikongsi sama oleh isteri? Kebanyakannya dalam kes suami saja yang bekerja, duit sepenuhnya dipegang oleh suami dan suami akan memberi wang kepada isteri apabila hendak membeli sesuatu barangan yang diperlukan. Atas sebab-sebab tertentu mungkin kadangkala suami tidak bersetuju dengan barang-barang yang hendak dibeli oleh isteri itu, maka barang tersebut tidaklah jadi dibeli.

Kadang-kadang isteri lebih suka bekerja kerana dia merasakan dapat kebebasan menggunakan wang gajinya, kalau mengharapkan wang dari suami mungkin agak sukar sedikit. Kadang-kadang terpaksa merayu banyak kali barulah suami setuju membelinya. Oleh sebab ini jugalah si isteri lebih suka keluar bekerja, dengan cara ini dia mempunyai sumber pendapatan sendiri dan dapat menggunakan wang gajinya dengan bebas..

Tentulah tidak adil kepada suri rumah yang tidak keluar bekerja, terutamanya bila suami agak kedekut untuk membenarkan mereka memegang wang. Sudah tentu dia tidak dapat membeli barang-barang yang dihajatinya kalau suaminya tidak mahu membelikannya. Isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa, sumber kewangannya hanya bergantung kepada suami sahaja. Dan tentu ada dalam pemikirannya kalau dia keluar bekerja dia lebih banyak dapat memiliki atau membeli barang yang dihajatinya lebih dari yang sepatutnya.

Tambahan pula sekarang ni peluang-peluang pekerjaan memang banyak untuk wanita, tentulah mereka rasa rugi kalau sepenuh masa menjadi suri rumah, sedangkan rakan-rakannya yang lain keluar bekerja dan dapat membeli apa saja barang yang diminati tanpa meminta-minta kepada suami.

Apakah satu peraturan perlu dibuat jika isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa, pihak suami harus memberi gaji atau duit saku selain dari duit dapur kepada isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa ini. Manakala jumlah minimum wang yang perlu diberi oleh suami kepada isteri tersebut patut ditetapkan oleh pihak yang berwajib. Ini adalah sebagai ganti rugi kerana mereka tidak keluar bekerja.

Bagi suami yang beristeri dua atau lebih, apakah kemampuan suami diukur dari segi jumlah gaji beliau sahaja? Apakah kalau isteri-isteri mereka bergaji besar tidak boleh diambil kira untuk menilai kemampuan suami? Banyak mana pun wang tidak ada cukupnya. Kemahuan seseorang jauh lebih besar dari yang diperlukan. Kalau hendak diukur dari jumlah gaji suami untuk melayakkan seseorang suami tersebut untuk berkahwin dua maka tidak mungkin beliau akan layak kerana semakin besar gaji semakin banyak pula belanjanya.

Kita kena melihat perkara ini secara lebih umum, katakan bagi sebuah keluarga yang normal, gaji suami RM2000 sudah memadai untuk menampung dan memberi kehidupan yang agak selesa. Oleh itu kiranya gaji suami tersebut telah mencecah RM4000 maka ini sudah boleh diambil kira untuk melayakkan beliau untuk berkahwin dua.

Selama ini kita banyak membiarkan suami isteri berpakat dan berunding sesama sendiri untuk menentukan cara mana untuk mereka menguruskan perbelanjaan rumahtangga mereka. Memang cara begitulah yang kita rasakan terbaik, bila ada persefahaman, budi bicara dan tolak ansur maka cara mana pun tidak penting lagi. Yang penting keharmonian rumahtangga itu terus dapat dikekalkan.

Ada juga kes terpencil di mana isteri yang keluar bekerja dan suami pula sepenuh masa menguruskan kerja-kerja rumahtangga. Ini bukanlah suatu yang salah, yang penting disini suami isteri tersebut rela dan telah bersetuju dengan cara yang mereka ambil itu.

Tetapi tidak semua perkara boleh diputuskan secara berunding dan budibicara, dalam keadaan tertentu kita perlukan garis panduan yang dapat menggariskan hak-hak kita dan dengan ini kita boleh tahu di mana hak-hak kita. Garis-garis panduan ini seharusnyalah dikeluarkan oleh pihak-pihak yang berwajib. Dengan adanya garis panduan itu tidaklah kita berasa bimbang akan terambil hak-hak orang lain tanpa kita sedari.

Adakalanya ada pihak samada isteri atau suami terpaksa menerima keputusan yang dicapai untuk menjaga hati pasangan masing-masing walaupun di dalam hati ada perkara yang mereka tidak begitu bersetuju. Dengan adanya garis panduan untuk hak-hak suami yang bekerja, hak-hak isteri yang bekerja dan hak-hak isteri yang tidak bekerja, maka tidak akan ada lagi timbul masalah suatu pihak cuba merampas hak pihak yang lain.

Sekarang ini ramai wanita yang bekerja, mempunyai gaji yang tinggi dan boleh menyara diri sendiri tetapi masih bujang kerana sukar mencari teman lelaki atau suami yang mampu menanggung nafkah zahir, lantaran lelaki yang ditemuinya bergaji kecil atau tidak punya kerja yang terjamin.

Oleh itu kita tidak boleh terlalu ‘rigid’ atau tegar dengan fatwa yang mewajibkan lelaki mesti menanggung perbelanjaan rumahtangga. Itu mungkin sesuai untuk zaman dulu kala yang isteri hanya duduk di rumah. Keadaan sekarang sudah berubah, tidak ada masalah kalau isteri harus menanggung perbelanjaan rumahtangga dan tidak ada masalah juga kalau suami yang menguruskan kerja-kerja rumahtangga jika keadaan memerlukan.

Kalau ada perubahan seperti ini dalam minda dan pemikiran masyarakat kita, maka pada masa akan datang, tidak jadi masalah lagilah untuk wanita menikahi lelaki yang bergaji kecil atau lelaki yang tidak bekerja, tanpa ada rasa rendah diri.

Monday, May 02, 2011

Parti politik Father & Sons company

Mungkin budaya pemikiran masyarakat kita yang masih terbawa-bawa dengan sistem beraja yang telah lama bertapak dalam kehidupan mereka, menyebabkan mereka sukar untuk mengelakkan amalan nepotisma dalam parti.

Dalam sistem beraja, siapa yang menjadi pemimpin atau ketua masyarakat ditentukan oleh darah keturunan. Oleh itu apabila seorang raja itu mangkat maka yang layak menggantikan baginda ialah anak baginda.

Walaupun negara kita telah tidak lagi mengamalkan sistem pemerintahan raja monarki, tetapi amalan nepotisma atau memilih pemimpin berdasarkan darah keturunan masih lagi terbawa-bawa dalam parti-parti politik negara kita.

Seperti institusi raja yang dimiliki oleh raja dan keturunannya, begitulah juga yang telah berlaku dalam kebanyakan parti-parti politik negara kita, seolah-olah seperti parti politik itu telah menjadi hak miliki pemimpin dan anak beranak mereka sahaja.

Yang menambah menggalakkan amalan nepotisma ini berlaku bukanlah hanya disebabkan pemimpin-pemimpin politik itu mahukan anak-anak mereka atau saudara mara mereka menjadi pemimpin menggantikan mereka, tetapi lebih utama lagi adalah atas kehendak atau ‘kepercayaan’ masyarakat itu sendiri yang masih tebal dengan faktor darah keturunan sebagai penentu untuk menjadi pemimpin.

Sebagai contoh, lihat sahajalah kepada PM kita Najib Tun Razak. Tun Razak secara peribadi pun mungkin tidak menjangka anaknya akan menggantikan tempat beliau sebagai PM, tetapi masyarakat kita sendiri yang mahukannya disebabkan beliau mempunyai darah keturunan Tun Razak.

Selain dari itu, Hishamudin Tun Husein dan Tun Husein Onn adalah pemimpin-pemimpin yang datang dari darah keturunan Datuk Onn Jaafar.

Datuk Mukhriz Tun Mahathir, Syed Hamid Albar, Tan Nazri Aziz adalah juga antara pemimpin-pemimpin tertinggi parti UMNO yang mempunyai darah keturunan pemimpin.

Kalau dalam parti PKR pula, Anwar Ibrahim, Wan Azizah dan Nurul Izzah adalah anak beranak yang menjadi pemimpin tertinggi parti PKR.

Begitu juga dengan parti DAP, Lim Kit Siang dengan anaknya Lim Guan Eng dan Karpal Singh pula dengan anaknya Gobind Singh adalah pemimpin-pemimpin tertinggi parti DAP.

Rasanya tidak begitu baik kalau kita menggunakan kuasa dan kedudukan sebagai pemimpin untuk melobi anak atau saudara-mara kita untuk dipilih menjadi pemimpin. Kerana pemimpin yang bagus itu mestilah datang dari kumpulan akar umbi yang turut merasai dan betul-betul memahami masalah rakyat.

Bagaimana mereka dapat merasakan denyut nadi rakyat, sedangkan sedari kecil, mereka tinggal di lingkungan golongan elit yang dipenuhi dengan segala bentuk kemewahan. Apabila ditanyakan kepada mereka, apakah yang dimaksudkan dengan orang miskin, mereka menjawab, orang miskin itu adalah orang yang mempunyai tukang kebun miskin, orang gaji miskin dan pemandunya pun miskin. Kita tidak akan pernah mengetahui masalah orang miskin kalau kita sendiri tidak pernah menjadi orang miskin.

Sentuhan kepimpinan Tun Razak yang pernah mengalami sendiri zaman susah sebelum merdeka tidak akan dapat ditandingi oleh Najib. Begitu juga dengan sentuhan kepimpinan Tun Mahathir yang pernah melalui zaman pahit getir orang-orang Melayu, tidak sama sekali akan dapat ditandingi oleh Mukhriz.

Kita bukanlah hendak menyekat anak dan saudara-mara menjadi pemimpin dalam parti politik yang sama, tetapi biarlah mereka terpilih betul-betul mengikut kebolehan (meritokrasi) sendiri dan bukan atas dasar pendewaan kepada darah keturunan.

Janganlah jadikan parti politik itu milik keluarga kita sendiri sehingga ia menjadi seperti sebuah syarikat ‘Father & Sons Company’. Pemimpin-pemimpinnya terdiri dari anak beranak, akhirnya saudara mara sahaja yang akan mengundi mereka nanti.

Kita bukan sekadar perlukan penerus kepada kepimpinan terdahulu tetapi seharusnya mampu juga mengeluarkan pemimpin yang hebat yang akan jadi sebutan sepanjang zaman. Ini hanya boleh berlaku kalau masyarakat kita dapat melalui tranformasi minda yang akan berpegang kuat kepada prinsip meritokrasi dan demokrasi yang adil dan bebas.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com