Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Saturday, June 27, 2009

Ustaz Ruslan Kasim wajar bersama Pakatan Rakyat


USTAZ Ruslan Kassim adalah merupakan salah seorang hero yang begitu besar jasanya dalam mengganyang pemimpin kuku besi Tun Mahathir.

Dalam siri ceramah politiknya, beliau begitu lantang menyuarakan tidak puashati beliau kepada Tun Mahathir yang telah melakukan ‘penginayaan’ kepada Anwar Ibrahim.

Beliau juga telah menjadi calon di dua kawasan pilihanraya kecil iaitu di Kuala Pilah dan di Telok Kemang di Negeri Sembilan. Walaupun tewas tetapi beliau telah mendapat undi yang begitu memberansangkan terutamanya dari orang Melayu.

Tidak dapat dinafikan tentangan orang Melayu yang berterusan terutamanya golongan muda di bawah pimpinan beliau dan rakan-rakannya, yang tidak henti-henti mengadakan demontrasi jalanan telah menyebabkan Tun Mahathir mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai PM.

Perletakkan jawatan Tun Mahathir yang autokratik itu dan digantikan oleh Pak Lah yang lebih mesra demokrasi telah dapat meredakan tentangan Ruslan Kasim dan rakan-rakannya.

Pak Lah yang mempunyai pendekatan yang lembut dan demokratik mahu memperbaiki sitem kehakiman, institusi polis, badan pecegah rasuah yang sebelum ini telah banyak dikuasai oleh badan esekutif.

Iltizam Pak Lah ini telah memberi keyakinan kepada saudara Ruslan Kasim dan rakan-rakan seperjuangan yang sehaluan dengannya untuk kembali menyertai UMNO dan memberi sokongan kepada pimpinan Pak Lah.

Memang ada kewajaran di masa itu untuk Ruslan Kasim memberikan sokongan kepada Pak Lah. Tidak berapa lama selepas itu juga Pak Lah telah membebaskan Anwar Ibrahim dari penjara. Pak Lah juga sangat sedar bahawa Anwar dipenjara adalah kerana menjadi ‘mangsa’ permainan politik Tun Mahathir.

Di bawah pimpinan Najib sebagai PM ini, banyak usaha-usaha ‘pembaharuan’ yang telah dimulakan semasa Pak Lah dulu, kini telah disenyapkan. Ramai orang meramalkan kita semakin menuju ke era Tun Mahathir semula.

Bagi Pakatan Rakyat, ketokohan pemimpin seperti Ruslan Kasim sangat-sangat diperlukan dan dialu-alukan untuk memperkuatkan pakatan itu. Moga akan terbukalah hati saudara Ruslan Kasim untuk menyertai Pakatan Rakyat semula dalam usaha menjadikan Malaysia ditadbir oleh kerajaan yang berintegriti dan demokratik.

Friday, June 19, 2009

Datuk Onn Jaafar telah memperalatkan Raja-raja Melayu



JASA Datuk Onn Jaafar dalam mempersatukan rakyat di negeri-negeri Tanah Melayu terutamanya orang-orang Melayu bagi menentang gagasan Malayan Union yang diperkenalkan oleh kerajaan British pada tahun 1946 amatlah besar.

Kalau sebelum itu orang-orang Melayu dikenali mengikut negeri masing-masing yang mempunyai Raja dan Gabenor mereka sendiri, tetapi dengan usaha Datuk Onn Jaafar yang bijaksana itu telah merubah keadaan itu sehingga setiap orang Melayu dapat merasakan bahawa mereka semua adalah satu iaitu orang Melayu di Tanah Melayu.

Datuk Onn adalah berasal dari keturunan Turki disebelah ibu. Darah Turki yang mengalir dalam dirinya tidak pernah mengizinkan dirinya tunduk kepada penjajah Barat. Manakala orang-orang Melayu yang dari sejarah awalnya berada di bawah amalan feudal, sangat setia kepada raja-raja mereka.

Gagasan Malayan Union yang diperkenalkan itu telah menghilangkan peranan raja-raja Melayu dalam pentadbiran British di Tanah Melayu, perkara ini telah diambil kesempatan oleh Datuk Onn untuk menyemarakkan semangat orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu untuk menentang gagasan tersebut.

Kuasa orang Melayu adalah terletak pada raja-raja mereka, kalau kuasa raja dihapuskan maka dengan sendirinya kuasa Melayu atau kuasa rakyat akan turut hapus.

Kerana itu Datuk Onn sanggup berbasikal untuk menemui orang-orang Melayu di kawasan kampung seluruh Tanah Melayu untuk menerangkan kepada mereka betapa raja-raja Melayu berada dalam keadaan bahaya. Ini telah membangkit rasa marah rakyat kepada British. Isu ini telah menimbulkan satu semangat kepada rakyat untuk berada di belakang Datuk Onn bagi menentang Malayan Union.

Orang Melayu sangat menyanjung tinggi raja mereka, raja adalah ibarat payung kepada mereka, tempat bergantung dan juga tempat mereka berlindung. Datuk Onn sangat tahu sifat orang Melayu ini. Oleh itu beliau menggunakan peluang ini untuk membangkitkan kebencian orang Melayu kepada penjajah British.

Jasa Datuk Onn yang telah mempersatukan rakyat Melayu dalam negeri-negeri Tanah Melayu ini patut sangat dianugerahkan beliau dengan gelaran Tun. Tetapi sampai sekarang kita tidak nampak ada usaha dari mana-mana pihak untuk menghargainya dengan gelaran tersebut sebagai mengenang jasa besar beliau itu.

Penentangan gagasan Malayan Union oleh orang-orang Melayu yang dipimpin oleh Datuk Onn itu bukanlah bermakna Datuk Onn benar-benar mahu raja-raja Melayu berkuasa setelah dihapuskan kuasa mereka oleh British melalui gagasan itu.

Tetapi agenda yang tersirat dalam sanubari Datuk Onn ialah mahu melihat orang-orang Melayu bersatu di bawah satu kepimpinan yang dapat mencabar Kerajaan British. Datuk Onn mahu menunjukkan kepada British bahawa rakyat di negeri-negeri Tanah Melayu telah bersatu di bawah satu kepimpinan politik yang suara mereka mesti diambil kira.

Datuk Onn bukan juga seorang pemimpin yang hanya berjuang untuk kaumnya sahaja, usaha Datuk Onn Jaafar bukan terhenti kepada mempersatukan orang-orang Melayu tetapi lebih jauh lagi beliau mahu semua rakyat di Tanah Melayu tanpa mengira agama dan kaum supaya bersatu untuk menuntut kemerdekaan Negara dari British.

Ini dapat dilihat dalam catatan sejarah, Datuk Onn telah meninggalkan parti UMNO yang khusus untuk orang Melayu sahaja, menubuhkan parti baru yang tujuan beliau untuk mempersatukan semua rakyat tanpa kira agama dan kaum di bawah parti Kemerdekaan Malaya (IMP).

Walaupun parti itu tidak mendapat sambutan, tetapi kita dapat melihat beliau adalah seorang pemimpin yang berpandangan jauh kedepan. Setelah 50 tahun Negara kita merdeka barulah parti-parti yang tidak berasaskan kaum ini telah mula dapat perhatian yang menggalakkan dari rakyat Negara kita.

Walaupun penentangan gagasan Malayan Union itu kelihatan seperti untuk mempertahankan kuasa raja-raja Melayu tetapi sebenarnya secara tersiratnya Datuk On mempertahankan kuasa rakyat bukan kuasa Raja.

Jelas selepas itu, apabila kita mencapai kemerdekaan, Raja tidaklah berkuasa tetapi hanya menjadi simbol ketua negeri atau ketua Negara sahaja. Sebaliknya yang berkuasa ialah rakyat di bawah amalan sitem demokrasi.

Raja tidak boleh mencampuri urusan politik, selain baginda menjadi simbol ketua Negara, raja-raja diberi peranan sebagai ketua agama dan ketua adat istiadat Melayu dalam sesebuah negeri.

Semalam (18 Jun 2009) tersiar berita di media mengatakan baginda Sultan Johor tidak membenarkan jambatan ketiga yang menghubungkan Singapura dan Johor dibina. Sebelum itu PM Najib telah memaklumkan kepada orang ramai bahawa beliau telah mencadangkan untuk membina jambatan ketiga tersebut.

Kata siapakah yang patut diikuti bila berlaku pertentangan seperti ini, kata Raja atau kata PM? Tentulah kata PM Najib yang mesti dipakai. Najib adalah pemimpin yang mendapat mandat rakyat, sepatutnya beliaulah berkuasa membuat keputusan untuk Negara kita Malaysia.

Bagaimanapun sebagai tanda hormat kepada Sultan Johor yang menjadi simbol Ketua Negeri Johor dan jajahan takluknya adalah lebih manis kalau perkara tersebut dimaklumkan kepada baginda terlebih dahulu untuk perkenan baginda. Dari segi undang-undang tindakan PM Najib itu adalah tidak salah dan tidak boleh dipersoalkan, tetapi dari segi adat mungkin beliau telah membelakangkan Raja.

Kadang-kadang ada sesetengah raja Melayu ini masih terbawa-bawa yang mereka itu masih berperanan seperti raja pada zaman 500 tahun dahulu, sehinggakan urusan politik pun mereka hendak ikut campur.

Apakah semua urusan Negara mesti terlebih dahulu mendapat perkenan Raja? Apakah projek penyaluran air dari Pahang ke lembah Klang telah mendapat kebenaran Sultan Pahang dan Sultan Selangor? Mungkin kedua-dua baginda telah dimaklum dan diberi taklimat tentang projek itu tetapi bukanlah kuasa baginda untuk tidak membenarkan projek itu dijalankan.

Thursday, June 18, 2009

Inilah akibatnya kalau SPR tidak telus






















BILA badan pengendali pilihanraya dilihat berat sebelah dan tidak telus maka pengundi akan berasa tidak puas hati dan akan merusuh. Ia bukan sahaja mencemar imej badan tersebut tetapi turut memburukkan imej parti politik yang berkuasa.

SPR mesti dilihat telus, bebas dan adil seperti terdapat di Negara-negara maju, seperti Britain dan Amerika Syarikat, rakyat mereka cukup berpuashati dengan SPR Negara mereka. Kita harus belajar dari Amerika dan Britain dalam mengendalikan pilihanraya yang bermaruah.

Kalau 100 orang merusuh bolehlah ditangkap tetapi kalau sudah sampai 10,000 orang merusuh, ekonomi Negara pun boleh merudum, sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

Monday, June 15, 2009

Moyang Saya Pun Kominis




KEMERDEKAAN Indonesia pada tahun 1945 dari penjajahan Belanda dan kekalahan penjajah British di tangan tentera Jepun di Tanah Melayu telah memberi suntikan semangat dan keyakinan diri kepada rakyat di Tanah Melayu di masa itu untuk membebaskan Negara mereka dari penjajahan British.

Di masa itu boleh dikatakan seperti wujud kesedaran politik yang meluas dikalangan rakyat di tanah-tanah jajahan bangsa Eropah untuk bangkit menuntut kemerdekaan negeri masing-masing.

Sementara itu di kalangan rakyat Negara penjajah itu sendiri pun telah wujud minda atau pandangan yang memperjuangkan persamaan hak sesama manusia dan juga memperjuangkan apa yang mereka namakan sebagai liberalisasi. Cetusan dari pemikiran mereka inilah juga yang telah merubah sikap penduduk-penduduk di tanah jajahan mereka untuk menuntut hak kemerdekaan.

Pertembungan Demokrasi dan Kominis

Di ambang Negara kita hendak menuntut kemerdekaan, Negara Barat ketika itu sedang mengalami persaingan ideologi ekonomi dan politik. Britain dan Amerika mempelopori sistem ekonomi kapitalis yang mempunyai sistem politik yang demokratik. Di pihak lain pula Russia mempelopori ekonomi siosalis di bawah sistem politik kominis.

Masing-masing cuba melebarkan pengaruh dan sistem mereka kepada Negara-negara lain dengan cara yang begitu agresif sehingga menimbulkan banyak huru hara dan kekacauan.

Tanah Melayu ketika itu juga tidak terlepas dari menjadi medan perebutan pengaruh antara dua fahaman ini. British menjanjikan kemerdekaan kepada rakyat Tanah Melayu dengan syarat rakyat Negara ini mesti memilih dan mengguna sistem demokrasi sebagai dasar pemerintahan.

Di pihak Negara yang berfahaman Kominis pula terutamanya Negara China mahu fahaman kominis menjadi dasar pemerintahan Negara Tanah Melayu yang merdeka, dengan itu negara-negara kominis tidak teragak-agak untuk membantu rakyat Tanah Melayu menuntut kemerdekaan dari British dengan syarat sistem kominis akan diguna pakai pada Negara Tanah Melayu yang merdeka.

Ini menyebabkan rakyat Tanah Melayu yang berjuang menuntut kemerdekaan ketika itu terbahagi kepada dua fahaman. Satu golongan kanan yang berfahaman demokrasi dan satu lagi golongan kiri yang berfahaman kominis.

Sebenarnya pertembungan dan persaingan untuk melebarkan pengaruh kapitalis dan sosialis ini bukan sahaja berlaku di Malaya sahaja tetapi hampir kepada semua Negara-negara di Asia dan di Afrika, dan terus berlanjutan walaupun Negara-negara tersebut telah lama merdeka dan hanya berakhir selepas tamatnya era ‘perang dingin’ beberapa tahun dahulu.

Oleh kerana Negara China adalah salah sebuah Negara kominis, maka pengaruhnya juga telah menyerap kepada kebanyakan orang-orang Cina di Tanah Melayu ketika itu.

Selain dari orang-orang Cina yang menganggotai Parti Kominis Malaya (PKM) terdapat juga orang-orang Melayu sendiri yang percaya hanya melalui PKM sahaja negeri Tanah Melayu ini dapat dibebaskan dari penjajahan British.

Sesetengah orang kampung pada masa itu mungkin tidak faham langsung falsafah kapitalis, demokrasi, sosialis dan kominis. Bagi mereka tidak ada niat lain selain dari mahu menghalau penjajah British dari tanah air mereka dengan apa cara sekalipun.

Kepada golongan kiri, mereka tidak percaya kepada cara golongan kanan yang mahu menuntut kemerdekaan melalui meja rundingan dengan British. Apatah lagi mereka telah melihat negara jiran mereka Indonesia mendapat kemerdekaan hanya dengan mengangkat senjata.

Tidak hairanlah kalau moyang saya juga ketika itu telah memilih dan menyertai pejuang kominis untuk memerdekakan dan menghalau British dari tanah airnya. Begitulah juga yang berlaku kepada Shamsiah Fakeh dan Rasyid Maidin. Kominis bukanlah matlamat akhir mereka, tetapi mereka hanya memperalatkan kominis sebagai landasan untuk mencapai kemerdekaan cara mereka.

Walaupun moyang saya kominis tetapi anaknya iaitu datuk saya tidak mengambil jalan kominis, sebaliknya dia bersama dengan golongan kanan. Perbezaan fahaman politik ini tidaklah menjadikan mereka bergaduh dan bermusuh antara satu sama lain kerana mereka tidak pernah beranggapan fahaman itu sebagai keutamaan tetapi hanyalah jalan untuk mencapai kemerdekaan.

Kehadiran golongan kiri ini juga telah memberi faedah politik kepada golongan kanan, kerana mereka dapat menjadi sebagai faktor pendesak untuk mempercepatkan lagi kerajaan British menyerahkan kemerdekaan Tanah Melayu kepada golongan kanan yang lebih mereka senangi.


Mahathir

Setelah Negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, ramailah orang-orang yang menyokong perjuangan kominis ini meninggalkan perjuangan bersenjata dan tidak menyokong fahaman kominis lagi. Apatah lagi bila Malaysia berada di bawah pimpinan Dr. Mahathir yang terkenal sebagai anti Barat itu.

Ini menambah keyakinan kepada mereka bahawa Malaysia bukanlah Negara yang menjadi boneka Amerika atau boneka Britain seperti yang selalu mereka labelkan sebelum itu. Ditambah pula doktrin kominis di serata dunia sudah semakin luntur dan telah mengalami beberapa perubahan dan pembaharuan.

Akhirnya pada tahun 1988 kerajaan Malaysia telah mengusahakan satu perjanjian damai dengan PKM. Hasil dari perjanjian damai itu pemimpin PKM telah secara sukarela bersetuju untuk memansuhkan PKM dengan syarat bekas-bekas ahli PKM tidak akan didakwa sebagai penjenayah perang. Sebagai balasan kerajaan Malaysia juga telah mengiktiraf mereka sebagai rakyat Malaysia yang sah dan dibenarkan untuk kembali ke Malaysia mengikut keadaan yang sesuai.

Dalam apa peperangan pun, selain dari kekuatan senjata dan tentera, perang saraf juga turut dilakukan. Berbagai bentuk propaganda disebarkan kepada rakyat bagi memenangi hati mereka. Kadang-kadang propaganda ini direka-reka dan langsung tidak bersandarkan kepada fakta. Tetapi ini tidak boleh disalahkan kepada sesiapa, kerana sudah menjadi permainan dalam peperangan, kita mesti pandai tipu muslihat. Oleh itu kita kena melihat sejarah Negara kita dengan kacamata yang betul, kadang-kadang kita terkeliru antara propaganda dan fakta.

Pihak mana yang bersalah dan pihak mana yang betul bergantung kepada neraca mana yang kita gunakan untuk menilainya. Walaupun kita yakin kita berada di pihak yang betul dan benar tetapi pada kacamata pihak lain kita mungkin dilihat sebagai pihak yang bersalah. Mungkin hari ini pilihan kita dianggap betul, tetapi tidak mustahil mungkin 20 tahun akan datang atau 30 tahun akan datang, pilihan kita dan tindakan kita itu dianggap salah oleh orang pada masa itu.

Tajuk posting akan datang: Datuk On Jaafar telah memperalatkan Raja-raja Melayu

Saturday, June 13, 2009

Kitaran Sebuah Kehidupan


PURATA satu kitar kehidupan manusia pada zaman sekarang ini adalah dalam linkungan 70 tahun.

Manakala haiwan pula ada bermacam-macam tempoh kitaran kehidupan mereka, dari serangga yang mempunyai kitar kehidupan hanya beberapa hari atau minggu hinggalah ke mamalia yang mungkin mencecah hayat 40 tahun seperti gajah. Seekor Anjing mungkin boleh hidup hingga 10 tahun.

Kalau serangga yang mempunyai kitar kehidupan satu minggu, ini bermakna pada hari ke 7, serangga tersebut telah terlalu tua dan tidak bermaya sebanding seperti manusia yang berumur 70 tahun.

Bagaimana yang kita rasakan begitu lama untuk mencecah umur 70 tahun, begitu jugalah yang dirasakan oleh seekor serangga untuk mencapai umur hari ketujuhnya.

Untuk menuju umur 70 tahun kita perlu melalui fasa-fasa kehidupan yang berbeza yang mesti dialami oleh semua orang. Bermula dari fasa bayi dikuti fasa kanak-kanak, kemudian fasa remaja, fasa dewasa dan akhir sekali fasa umur tua. Setiap fasa itu dibezakan oleh keadaan fzikal dan naluri yang berbeza.

Kalau serangga pula, ada yang mempunyai rupa bentuk yang amat berbeza antara satu fasa dengan fasa yang lain dalam kitar kehidupannya. Seperti rama-rama, sebelum jadi rama-rama dia melalui fasa menjadi ulat bulu terlebih dahulu. Masa jadi ulat bulu, dia hanya merayap tidak boleh terbang, hanya bulunya yang berbisa menjadi perisai dari menjadi serangan pemangsa. Apabila telah bertukar menjadi rama-rama, bentuknya sungguh berbeza, mempunyai kepak untuk terbang.

Nyamuk pula bermula dengan fasa jentik-jentik yang hidup dalam air kemudian bertukar menjadi nyamuk yang dewasa yang boleh terbang.

Secara tidak langsung dan mungkin tanpa kita sedari, semua binatang dan tumbuh-tumbuhan yang dijadikan ini ada peranan masing-masing dalam membentuk ekosistem alam kita ini supaya berada dalam keadaan harmoni dan seimbang.

Tumbuhan dan binatang, termasuk virus dan bacteria yang halus itu pun turut menyumbang untuk menjadikan alam ini selesa dan sesuai untuk didiami oleh kita manusia. Tentu semua manusia akan mati kerana kekurangan oksigen kalau tidak ada tumbuh-tumbuhan yang membekalkan oksigen untuk kita.

Walaupun kita nampak serangga dan haiwan setiap hari bergerak untuk mencari makan tetapi dalam masa yang sama mereka mempunyai peranan sampingan bagi mengekalkan ekosistem alam ini secara keseluruhannya berada dalam keadaan harmoni dan seimbang.

Seperti untuk membina sebuah bangunan yang besar, ada tukang paip, ada tukang elektrik, ada tukang simen, ada tukang pasang lantai, ada tukang pasng cermin tingkap, ada tukang pasang bata. Masing-masing membuat kerja masing-masing mengikut yang dikehendaki. Akhirnya akan terbinalah satu bangunan yang sempurna, selesa dan cantik.

Dalam setiap hari pun kita ada kitaran hidup kita. Seorang guru, setiap pagi akan ke sekolah, beliau akan mengajar subjek yang tertentu dari awal pagi sampailah tengahari.

Seorang penoreh getah, setiap lepas subuh akan ke kebun getah untuk menoreh dan akan selesai sebelum waktu zohor. Seorang nelayan hari-hari akan turun ke laut untuk menangkap ikan.

Setiap orang ada kitaran hidup masing-masing yang wajib mereka lakukan bagi setiap hari, setiap hari mereka akan lakukan perkara yang sama untuk tempoh waktu yang panjang. Rutin kerja kita mungkin akan berubah bila kita bertukar kerja atau profesyen, atau bila naik pangkat, atau selepas bersara.

Walaupun apa yang kita lakukan hari-hari itu adalah untuk mencari rezeki dan nafkah kehidupan kita tetapi secara tidak langsung sebenarnya kita juga menyumbang kepada kehidupan manusia lain. Ikan yang ditangkap oleh nelayan bukan sahaja untuk keperluan nelayan itu sahaja tetapi adalah juga untuk dimakan oleh manusia lain.

Bagaimana kecil pun sumbangan kita pasti akan memberi kesan kepada kehidupan manusia dan alam keseluruhannya. Apa yang kita lakukan ini seperti telah ditentukan mengikut pilihan kita. Oleh itu janganlah sekali kita membuat keburukan dan kejahatan kerana perbuatan itu akan menjejaskan keharmonian kehidupan manusia lain juga.

Sebaliknya jadilah orang yang sentiasa beruntung dalam kehidupan ini, iaitu orang yang beriman dan orang yang sentiasa membuat kebaikan. Apa saja pekerjaan baik yang kita lakukan sehari-hari akan juga memberi kebaikan kepada manusia lain dan alam keseluruhannya.

Tidak perlu kita mengumpulkan harta bertimbun untuk ditinggalkan kepada anak dan cucu-cicit kita. Kalau semua orang bersikap baik dan dan kita pula selalu ingat untuk menjalankan tanggungjawab kita dengan baik, insyallah anak-anak dan cucu-cicit kita juga akan beroleh kebaikan juga.

Yang perlu kita wariskan kepada anak dan cucu-cicit kita bukannya harta tetapi yang lebih utama ialah dengan mewariskan khazanah alam yang tidak ternilai ini, elakkannya dari terus diancam pencemaran dan elakkan penggunaan sumber alam dengan cara yang membazir.

Elakkan bersikap tamak, tidak memperkayakan diri dengan cara yang tidak beretika dan tidak hanya mementingkan faedah diri sendiri sahaja. Sikap baik inilah yang sebenarnya yang dapat menjamin kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan anak cucu kita berkekalan.

Sunday, June 07, 2009

Lawatan Lee Kuan Yew, meneroka peluang Malaysia dan Singapore untuk bercantum semula.


TENTU tidak dapat kita bayangkan kesukaran yang mungkin kita hadapi kalau setiap negeri di dalam Malaysia merupakan Negara-negara yang merdeka dengan pemerintahan sendiri.


Kesukaran yang amat ketara ialah kita kena berhenti disetiap sempadan negeri untuk proses memeriksa dan mencop passport kita setiap kali kita keluar masuk antara satu negeri ke negeri yang lain. Dan mungkin kita perlukan memohon visa jika ingin tinggal lebih lama di negeri lain.


Beratur panjang untuk membayar tol lebuh raya pun kita sudah berasa rimas apatah lagi terpaksa beratur untuk berdepan dengan kerenah imegresyen dan kastam. Katakan kita tinggal di Johor, dan kita ada urusan atau ingin melancung dengan menaiki kereta ke Pulau pinang, ini bermakna kita terpaksa berhenti untuk pemeriksaan imegresyen di enam sempadan negeri iaitu di sempadan Negeri Melaka, di sempadan Negeri Sembilan, di sempadan Negeri Selangor, di sempadan Negeri Perak, di sempadan Negeri Kedah dan akhir sekali di sempadan Negeri Pulau Pinang.


Mungkin lebih mudah kita menggunakan pengangkutan udara tetapi kosnya mungkin lebih mahal dan kita jadi ‘patah kaki’ kerana tidak dapat membawa kenderaan sendiri. Tetapi syukurlah keadaan seperti di atas tidak berlaku dan saya percaya semua kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku pada masa akan datang dan sampai bila-bila pun. Walaupun kita asalnya orang Negeri Sembilan tapi kita bebas bergerak, bekerja dan tinggal di mana-mana sahaja di dalam Malaysia yang kita suka.


Hanya kita rakyat Malaysia sahaja yang dapat merasakan bagaimana nikmatnya dan selesanya kita bebas bergerak ke semua negeri-negeri dalam Malaysia ini. Sekalipun kalau diberi pilihan setiap negeri untuk berpisah dan memerintah sendiri pasti tidak ramai rakyat yang berminat dengan pilihan itu. Dan saya percaya kalau rakyat Singapura diberikan keistimewaan bergerak bebas untuk keluar masuk ke Malaysia, tanpa perlu kepada pemeriksaan passport dan kastam, mereka bebas untuk tinggal dan bekerja di mana-mana saja mereka suka di Malaysia tanpa permit dan visa seperti rakyat Malaysia lainnya tentulah mereka tidak akan menolak keistimewaan yang diberikan kepada mereka itu.


Selama ini rakyat Singapura yang lebih 4 juta itu tertumpu dan berhimpit dalam satu negara pulau yang kecil. Keinginan rakyatnya untuk keluar masuk ke Malaysia memang tidak boleh dinafikan. Dari segi sejarahnya, geografinya dan sosial budayanya, Singapura dan Malaysia khasnya Semenanjung memang amat dekat dan rapat. Rakyat dari kedua-dua negara ini kerap keluar masuk bukan sahaja disebabkan untuk membeli belah atau urusan kerja tetapi juga untuk menziarah sanak-saudara mereka.


Sebahagian besar rakyat Singapura tidak kira mengira kaum, samada Cina, Melayu atau India mempunyai pertalian darah atau sanak saudara di Semenanjung Malaysia. Pertalian darah ini bukan sahaja telah berlaku sebelum negara ini merdeka lagi tetapi ia berterusan hingga hari ini kerana wujudnya hubungan yang dekat dari segi geografi, budaya dan bahasa mereka, menyebabkan ramai rakyat Singapura yang berkahwin dengan rakyat Malaysia.


Oleh itu kalau di peringkat rakyat biasa, kita mungkin tidak menghadapi masalah besar untuk mencantumkan kedua-dua negara ini semula, malah mungkin mereka amat mengalu-alukanya. Halangan yang ada mungkin datang dari pemimpin-pemimpin politik yang masing-masing mempunyai kepentingan dan agenda yang berlainan.


Bagaimanapun perkembangan politik yang menggalakan berlaku di Malaysia baru-baru ini sedikit sebanyak mungkin dapat membuka mata pemimpin-pemimpin politik Singapura untuk menilai semula pilihan untuk bercantum semula dengan Malaysia.


Situasi Singapura dan Malaysia ini tidak banyak berbeza dengan Negara Vietnam di suatu masa dulu yang pernah berpisah sebagai dua negara iaitu Vietnam Utara dan Vietnam Selatan, Negara Jerman yang pernah berpisah sebagai Negara Jerman Barat dan Jerman Timur, Negara Yaman yang pernah berpisah sebagai Negara Yaman Utara dan Yaman Selatan.


Semua Negara-negara yang disebutkan tadi mempunyai rakyat yang sama dari segi ras dan sosial budaya tetapi negara mereka dipecahkan disebabkan perbezaan politik. Apabila keadaan politik kedua-dua negara itu mengizinkan untuk bercantum maka mereka tidak menghadapi masalah besar untuk melaksanakannya. Satu lagi negara yang masih menghadapi masalah untuk bercantum semula ketika ini ialah Korea Utara dan Korea Selatan. Apabila keadaan politik dikedua-dua negara tersebut dapat mengizinkan mereka untuk bercantum, tentu mereka akan bercantum juga menjadi satu negara, hanya masa sahaja yang akan menentukan.


Kita dan singapura pernah berada di bawah satu negara satu masa dulu, perbezaan politik telah menyebabkan kedua-dua negara ini mengambil jalan untuk berpisah. Dari psikologinya rakyat kedua-dua Negara ini masih percaya kedua-dua negara ini boleh disatukan semula. Sekiranya di suatu masa nanti wujud persafahaman politik antara kedua-dua negara ini, tidak mustahil rakyatnya akan menzahirkan hasrat untuk berada di bawah satu negara semula.


Berbeza dengan Pakistan dan Bangladesh di satu masa dulu yang pernah bersatu sebagai sebuah negara, agak mustahil untuk kedua-dua negara itu akan bercantum semula. Ini kerana kedua-dua negara itu bukan sahaja berbeza dari segi geografinya tetapi ras dan sosial budaya kedua-dua negara itu juga sangat jauh berbeza, sekalipun rakyat kedua-dua negara itu adalah beragama Islam.


Tidaklah diketahui entah berapa banyak kos yang telah dihabiskan oleh Malaysia dan Singapura untuk membawa pertikaian mereka tentang hak pemilikan beberapa ketul batu di Pulau Batu Putih atau Pedra Branca ke Makamah Antarabangsa ICJ. Memanglah banyak kesusahan dan halangan perlu dihadapi oleh kerajaan dan rakyat bila dua negara mengambil jalan untuk berpisah. Sebaliknya lebih banyak faedah yang diperolehi oleh rakyat jika dua negara ini bercantum semula.


Salah satu faedah yang tidak ternilai yang dapat dirasakan oleh rakyat ialah nikmat kebebasan pergi ke mana sahaja dan boleh tinggal dan bekerja di mana sahaja dalam negara yang bercantum ini.

Bukan masalah kaum pendatang dengan kaum pri bumi tetapi masalah diskriminasi dan peminggiran kaum.

BUKAN sahaja Negara kita Malaysia malah banyak Negara-negara di dunia yang sedang dan telah melalui konflik antara kaum pendatang dengan kaum pri bumi. Dari benua Amerika yang melibatkan kaum Red Indian penduduk pri bumi dengan pendatang bangsa Eropah, hinggalah ke benua Australia yang melibatkan penduduk asli Australia dengan pendatang kulit putih.

Kaum pri bumi merasakan hak-hak mereka dirampas oleh kaum pendatang. Manakala kaum pendatang pula terpaksa bekerja keras dan bersaing untuk meneruskan kehidupan di perantauan.

Dalam konteks kita di Malaysia, etnik suku kaum bumiputra dianggap kaum pri bumi manakala kaum Cina dan kaum India dianggap sebagai kaum pendatang.

Kenapakah selepas 50 tahun kita merdeka kita masih menganggap kaum Cina dan kaum India sebagai kaum pendatang. Sedangkan boleh dikatakan semua mereka itu lahir di Negara ini.

Telah pun menjadi satu deklarasi hak asas manusia yang disepakati seluruh dunia bahawa setiap anak adalah mempunyai hak untuk menjadi warga di tempat dia dilahirkan. Mendapat hak sebagai warganegara di tanah dia dilahirkan itu adalah hak asas kepada manusia sebagaimana hak asas manusia untuk mendapat kebebasan bersuara.

Oleh itu apa yang melanda hubungan kaum di Negara kita sekarang ini bukannya masalah kaum pendatang dengan kaum pri bumi tetapi adalah masalah diskriminasi dan peminggiran kaum.

Sikap terlalu mempertahankan kaum masing-masing menyebabkan terbinanya tembok pemisah antara kaum-kaum. Kita bukan lagi bersaing secara individu sebagai rakyat Malaysia tetapi bersaing secara perkauman. Kita semua bergerak dan bekerja untuk kaum kita bagi menyaingi kaum lain. Kita mahu kaum kita menguasai segala bidang mengatasi kaum yang lain.

Apabila kita melihat segalanya melalui kacamata perkauman, tidak mungkin kita dapat membina satu perpaduan yang luhur. Apa yang kita alami sekarang hanyalah perpaduan dalam bentuk persefahaman. Sehingga kini memang wujud persefahaman dalam politik antara kaum tetapi ini tidak bermakna ada perpaduan.

Kita sedar terdapat tembok-tembok pemisah yang tebal antara kaum-kaum ini, tetapi kita seperti tidak mengambil serius untuk memecahkan tembok-tembok penghalang ini.
Kita begitu selesa untuk terus hidup dalam kelompok dan lingkungan kaum kita sahaja.

Apabila kita bersaing berdasarkan kaum masing-masing, satu kaum itu akan cuba menguasai dan mengalahkan kaum yang lain. Bila persaingan antara kaum menjadi sengit ini akan melahirkan sikap di mana satu kaum itu mendiskriminasi dan meminggir kaum yang lain.

Pemimpin politik pula didepan kita begitu lunak melaung-laungkan perpaduan, dalam masa yang sama mereka jugalah yang terus menebalkan tembok-tembok pemisahan kaum ini. Mereka jugalah yang bangga dilihat sebagai juara dan hero yang memperjuangkan kaum masing-masing semata-mata untuk mendapat keuntungan politik bagi faedah diri mereka.

Monday, June 01, 2009

Parti yang Terlalu Kuat Tidak Untungkan Rakyat

PARTI PKR di Penanti terlalu kuat atau dominan sehingga telah memantulkan selera BN untuk bertanding di dalam pilihanraya kecil di sana.

Keadaan seperti ini tidak patut berlaku kerana ia tidak memberi keuntungan kepada rakyat dalam sebuah Negara demokrasi.

Kita tidak boleh membiarkan satu-satu parti politik itu terlalu kuat di sesuatu kawasan sehingga parti lawan dapat menjangka kekalahan mereka lebih awal.

Apabila parti UMNO atau BN tidak menyertai pertandingan di Penanti, menyebabkan kemeriahan pilihanraya kecil menjadi pudar dan tidak bersemangat seperti selalunya.

Ekoran itu tidak ada projek-projek ‘mee segera’ yang ditaburkan oleh BN semasa pilihanraya itu. Tidak ada keperluan untuk menurap jalan-jalan dengan tar. Tidak ada bantuan segera untuk mengganti atap rumah penduduk-penduduk yang usang dan bocor.

Orang-orang kuat parti dan penyokong dari luar pun tidak ada semangat hendak datang untuk berkempen di Penanti. Sudah tentu orang kuat dan penyokong parti UMNO atau BN dari luar tidak menjejakkan kaki ke Penanti kerana parti mereka tidak menyertai pilihanraya itu.

Bila mereka tidak datang berkempen maka hotel-hotel di Penanti dan sekitarnya pun tidak dapat menaikan harga sewa yang tinggi, rumah-rumah kosong pun belum tentu dapat disewakan, peniaga-peniaga terutamanya pengusaha restoran pun tidak dapat meraih untung yang banyak. Dengan kata lain tidak ada ‘durian runtuh’ yang dapat diterima rakyat di pilihanraya kecil di Penanti sepertimana pilihanraya kecil yang lain itu.

Berbanding dengan sebelum ini, setiap kali BN atau UMNO menyertai pilihanraya kecil, mencurah-curahlah projek 'mee segera' datang ke kawasan tersebut. Bila hal pelik ini ditanyakan kepada PM atau TPM maka dengan selamba kita akan dapat jawapan skema dari mereka, "Semua projek-projek ini memang kita telah rancang dari awal bukan disebabkan pilihanraya kecil". Tetapi kita tentu sangsi dengan jawapan itu, apakah di Penanti tidak ada projek-projek yang dirancang lebih awal?

Itu adalah antara kelebihan dan kebaikan yang mudah kita nampak bila mempunyai parti lawan yang kuat. Parti lawan yang kuat akan dapat mewujudkan fungsi 'check and balance' yang sangat berkesan yang mana ini akan memberi kebaikan kepada negara dan rakyat.

Oleh itu kita kena menjadi rakyat yang bijak dalam berpolitik. Kita tidak perlu taksub kepada mana-mana parti politik. Parti politik bukan agama yang mesti kita anuti. Parti politik adalah landasan untuk orang yang ingin menjadi pemimpin dalam amalan demokrasi. Demokrasi adalah mekanisma untuk memilih pemimpin yang terbaik untuk memimpin rakyat, tanpa melalui pertumpahan darah. Demokrasi menjamin yang terbaik sahaja yang akan terpilih.

Kita kena belajar dari orang Cina yang sangat cerdik dalam berpolitik, mereka tidak sentiasa memihak kepada MCA dan GERAKAN begitu juga tidak sentiasa memihak kepada DAP dalm memberi undi mereka. Bagi mereka parti mana yang dapat memberi keuntungan kepada kaum mereka pada satu-satu masa dan keadaan itu, parti itulah yang akan mereka beri undi.

Oleh itu kita patut mengambil contoh masyarakat Cina ini dalam berpolitik. Tetapi untuk masa akan datang, janganlah kepentingan kaum menjadi keutamaan dalam memberikan undi seperti yang dilakukan oleh kaum Cina ini. Sudah sampai masanya kita menukar persepsi lama ini dengan melihat keuntungan rakyat secara keseluruhan bila kita membuang undi, bukan terbatas kepada keuntungan kaum sahaja.

Kalau kita benar-benar mahu melihat konsep Satu Malaysia menjadi kenyataan, maka semua masalah hendaklah dikaitkan dengan masalah rakyat Malaysia keseluruhan bukan melihatnya sebagai masalah kaum kita sahaja.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com