Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Sunday, May 30, 2010

Isu TPM, Anwar menjerat PM Najib


Janji DS Anwar hendak memperuntukan jawatan Timbalan Perdana II kepada parti DAP jika Pakatan Rakyat berkuasa, merupakan penawaran yang sangat menguntungkan untuk didagangkan dalam pasaran politik dan sekaligus boleh menjerat percaturan politik PM Najib.

Cuba mengalihkan dari jerat politik Anwar, PM Najib mengelak dari mengulas isu jawatan TPM itu, sebaliknya menuduh Anwar sebagai pembohong dan tidak akan memenuhi janji yang beliau buat itu dengan merujuk kepada peristiwa ‘lompatan kuasa’ 16 September oleh Anwar yang tidak menjadi.

Hanya tinggal 9 tahun sahaja lagi kita akan menuju tahun 2020. Salah satu dari isu yang mesti ditangani dalam mencapai cabaran Wawasan 2020 ialah:

“Pembentukan Satu Negara Bangsa Malaysia. Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu negara bangsa adalah menjadi pra-syarat kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk kerjasama untuk maju tidak akan terjalin.”

Tidaklah salah kalau Anwar menawarkan jawatan TPM II kepada DAP yang tentunya seorang yang bukan Melayu, kerana kita hanya memerlukan dua kali pilihan raya umum sahaja lagi untuk sampai ke tahun 2020. Selari dengan semangat Wawasan 2020, memang sudah sampai masanya bermula dari sekarang, kalau tidak pun membenarkan orang bukan Melayu menjadi PM, menjadi TPM pun sudah memadai.

Sepatutnya PM Najib yang memperkenalkan gagasan 1Malaysia lebih kedepan untuk memberikan jawatan TPM kepada parti komponen BN yang bukan Melayu, tetapi nampaknya beliau tidak menunjukkan minat dalam isu ini.

Penawaran oleh Anwar ini bukanlah satu janji kosong, memang realiti politik masyarakat Malaysia akan menuju kearah itu, hanya UMNO sahaja yang masih tidak mahu berubah dengan kehendak masyarakat. Tidakkah beliau sedar, atas sebab mengambil perkiraan itu jugalah Wawasan 2020 itu telah dibentuk.

Sudah tentu penawaran Anwar itu mampu menarik sokongan masyarakat bukan Melayu kepada Pakatan Rakyat (PR) pada pilihanraya umum akan datang ini. Dikatakan jika PR terus dapat mengekalkan sokongan dari 70% masyarakat Cina seperti ditunjukkan dalam PRK di Hulu Selangor dan Sibu, ada kemungkinan BN akan menghadapi masalah besar untuk mengekalkan kuasa pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Isu TPM ini betul-betul telah menjerat kepimpinan PM Najib. Kepimpinan DS Najib tidak mencerminkan 1Malaysia yang dicanangnya. Beliau bukan sahaja tidak pernah terfikir untuk melantik TPM di kalangan parti komponen BN yang lain, malah meneruskan tradisi pemimpin UMNO sebelum ini, tidak membenarkan kementerian yang penting seperti Kementerian Kewangan dan Kementerian Pelajaran diketuai dikalangan parti komponen MCA dan MIC.
Menteri Kewangan yang terakhir dari MCA ialah Tun Tan Siew Sin semasa Tunku Abdul Rahman menjadi PM.

Tuesday, May 25, 2010

Singapore ada sebab kuat untuk selesaikan masalah tertangguh


Pemimpin Singapore sudah nampak masa depan senerio politik Malaysia yang tidak dapat ditentukan untuk menyebelahi parti BN lagi.

Oleh itu tidak seperti sebelum ini yang banyak berlaku tarik tali, mereka telah menimbangkan secara serius untuk menyelesaikan masalah yang tertangguh dan berlarutan antara dua Negara sebelum pilihanraya umum ke 13 ini.

Semua masalah yang timbul sebelum ini adalah masalah yang mereka timbulkan di bawah kepimpinan parti PAP di Singapore dan kepimpinan parti BN di Malaysia. Pemimpin parti-parti inilah yang telah menandatangani segala perjanjian yang telah dibuat antara kedua-dua Negara dan mereka mempunyai persepsi dan kepentingan yang tersendiri terhadap sesuatu isu.

Keadaan politik Malaysia yang sukar diramal untuk terus berada dibawah penguasaan parti BN selepas pilihanraya umum ke 13 amat membimbangkan pemimpin Singapore.

Hubungan dua hala yang selama ini banyak menguntungkan Singapore, mungkin akan menjadi sukar bila kepimpinan Malaysia bertukar tangan kepada Pakatan Rakyat.

Singapore mengambil langkah bijak kerana cuba menyelesaikan masalah-masalah yang tertangguh itu secepat mungkin kerana mereka tidak mahu mengambil risiko kalau menyelesaikannya dengan kerajaan baru yang mempunyai dasar atau polisi luar Negara yang tentunya berbeza.

Walaupun kita mengalu-ngalukan tindakan positif pemimpin Singapore itu, tetapi kita sebagai rakyat Malaysia juga mempunyai hak untuk tahu samada segala jalan penyelesaian yang diutarakan oleh Singapore itu benar-benar menguntungkan Malaysia?

Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali, seperti perjanjian air dan pembinaan tambak Johor di masa silam, akhirnya telah menjerat kita semula.

Friday, May 21, 2010

Lampu tidak sepatutnya dipasang di siang hari

Pada zaman dulu di mana rumah-rumah kita di kawasan kampung tidak mendapat bekalan tenaga elektrik, kita menggunakan cahaya pelita minyak tanah (minyak gas) untuk menerangkan rumah kita di waktu malam. Apabila sinar matahari semakin cerah di waktu pagi, kita akan memadamkan pelita kerana cahaya matahari jauh lebih terang dari cahaya pelita.

Di zaman itu tingkap atau tetingkap dan langsir dibuat untuk mengawal pencahayaan dan pengudaraan dalam rumah. Adalah suatu yang janggal kalau kita menyalakan pelita di dalam rumah pada siang hari.

Hari ini kita boleh mendapat bekalan tenaga elektrik dengan mudah dan murah. Kita tidak bimbang jika rekabentuk rumah dan pejabat mempunyai ruang-ruang dalam yang agak gelap dan tidak ditembusi cahaya matahari, kerana ia boleh diterangkan dengan cahaya lampu elektrik.

Tetapi apabila masyarakat dunia mula sedar pentingnya menjaga alam sekitar, kesan buruk dari pemanasan global dan sumber minyak bumi yang semakin berkurang, maka penggunaan lampu elektrik di waktu siang hari di dalam mana-mana bangunan boleh dianggap sebagai perbuatan membazir dan tidak mesra alam.

Oleh kerana cahaya matahari adalah sumber cahaya yang percuma, maka amat rugilah kalau kita tidak menggunakannya, sebaliknya kita mengambil jalan mudah, menggunakan cahaya lampu elektrik di dalam bangunan di waktu siang hari.

Sudah sampai masanya masyarakat dunia perlu memikirkan bagaimana kita dapat memberi pencahayaan dalam bangunan tanpa menggunakan lampu elektrik di waktu siang hari.

Sebagai contoh, Terminal 3 Lapangan Terbang Changi, Singapore (gambar di atas) telah menggunakan bumbung yang membenarkan cahaya semulajadi bagi menerangi ruang dalam bangunannya.

Begitu juga dengan ruang-ruang tandas di tempat rawat dan rehat lebuhraya PLUS, banyak ruang tandas mereka telah menggunakan cahaya semulajadi.

Sebenarnya dengan sedikit bantuan dari teknologi, kereativiti dan inovasi, kita boleh menafaatkan cahaya semulajadi (matahari) bagi menerangkan semua ruang dalam bangunan. Akhirnya kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada cahaya lampu elektrik di masa depan.

Sekarang sudah ada teknologi kanta cermin mata yang berubah mengikut kecerahan cahaya (transition lens). Mungkin konsep ini boleh diserapkan pada bumbung dan tingkap yang dibuat dari kaca, di mana jika cahaya luar terlalu terang, tingkap kaca akan bertukar menjadi gelap bagi menghalang terlalu banyak cahaya masuk ke dalam bangunan.

Mungkin beberapa alat kawalan juga boleh dicipta bagi mengawal kadar kecerahan cahaya semulajadi yang masuk melalui tingkap dan bumbung, sesuai dengan keperluan penghuni dan pengguna sesuatu bangunan.

Kita juga ada teknologi kabel gentian optic (fiber optic) yang boleh digunakan untuk menyalurkan cahaya walaupun dalam keadaan yang tidak lurus. Ini juga boleh digunakan menyalurkan cahaya ke bilik-bilik dalam bangunan yang terletak jauh dari sumber cahaya semulajadi.

Pilihan lain yang boleh digunakan untuk menyalurkan cahaya kepada ruang-ruang dalam bangunan yang sukar mendapat cahaya semulajadi ialah menggunakan lampu dari sumber foto voltan (photo voltage) yang boleh disambung menggunakan dawai elektrik. Sumber foto voltan adalah sumber elektrik yang dijana dari tenaga cahaya matahari.

Sebenarnya banyak lagi teknologi dan inovasi yang boleh kita teroka bagi merealisasikan impian ‘lampu elektrik tidak sepatutnya dinyalakan di waktu siang hari’.

Wednesday, May 19, 2010

Thailand dan Undi Pos

Di kebelakangan ini, boleh dikatakan hari-hari kita dapat melihat di dalam berita di setesen-setesen TV negara kita demontrasi jalanan yang sedang berlaku di Negara jiran kita Thailand.

Demontrasi jalanan di Thailand ini telah mengingatkan kita kepada beberapa siri demontrasi jalanan yang dilakukan oleh rakyat Malaysia di beberapa kawasan popular di dalam Bandaraya Kuala Lumpur di suatu masa dulu.

Walaupun demontrasi di Kuala Lumpur itu tidak pernah mendapat liputan di setesen-setesen TV kita, tetapi saya masih dapat menontonnya melalui stesen TV Singapura. Kedudukan Johor Bahru yang hampir dengan Singapura membolehkan saya menonton berita yang dipancarkan dari setesen TV negara itu.

Kalau kita perhatikan, tujuan, bentuk dan semarak demontrasi di kedua-dua tempat itu lebih kurang sama saja. Ia merupakan demontrasi rakyat yang dipimpin oleh pihak parti pembangkang yang tidak berpuashati dengan perjalanan demokrasi yang dikuasai oleh parti yang memerintah.

Disamping pujian kita kepada rakyat yang berani menzahirkan perasaan tidak puas hati mereka kepada pemerintah atas nama untuk memperjuangkan keadilan dan demokrasi tulen, kita juga sangat bersimpati kepada mereka kerana telah menyebabkan perniagaan dan kegitan ekonomi Negara menjadi lumpuh, malah terpaksa mengorbankan sejumlah nyawa dan ramai yang cedera. Moga pengorbanan mereka itu akan diingat sebagai wira pejuang demokrasi dalam sejarah negara.

Saya tidak pasti samada di Thailand terdapat undi pos atau tidak seperti yang terdapat di Negara kita yang telah mengundang banyak kontraversi dan ‘tidak telus’ itu. Tetapi saya amat percaya sebab utama berlakunya demontrasi jalanan ini adalah disebabkan pengendalian piliharaya yang tidak adil, tidak bebas dan tidak telus.

Kalau pengadil perlawanan bola sepak dilihat memihak dan tidak dapat berlaku adil, pasti akan mengundang rasa tidak puas hati di kalangan penyokong dan boleh membawa pergaduhan dan rusuhan.

Pasukan bola yang terbaik permainannya hanya boleh menang dalam perlawanan itu kalau pengadilnya dapat berfungsi dengan adil dan tidak memihak. Sebaliknya kalau pengadil yang ‘kotor’, boleh dibeli, pasukan bola yang lekeh pun boleh menang, asalkan mereka mampu untuk membeli pengadil tersebut.

Keadaan di Thailand itu umpama nasi yang telah menjadi bubur, kerusakan yang berlaku itu amat sukar untuk dibaiki semula.

Oleh itu, kepada pihak yang mengendalikan pilihanraya di Negara kita dan parti yang memerintah harus mengambil iktibar dari peristiwa yang berlaku di Thailand ini.

Pastikan pilihanraya dijalankan dengan adil, bebas dan telus, sehingga kedua-dua pihak yang bertanding berasa cukup puas hati. Jangan sekali-sekali kita menyediakan ruang dan luang yang boleh menyebabkan mereka berasa tidak puas hati dengan perjalanan pilihanraya, kerana akibatnya sangatlah buruk.

Bukan sahaja SPR harus telus, bebas dan adil, malah media perdana, polis dan agensi-agensi kerajaan yang lain juga harus berlaku adil kepada kedua-dua pihak yang bertanding.

Monday, May 17, 2010

Maharajah Brooke ini mesti diturunkan


Apa hak Rajah Brooke ini kerana tidak membenarkan beberapa individu rakyat Malaysia dari memasuki negeri Sarawak?

Apakah Sarawak sebuah Negara atau sebuah negeri dalam Malaysia?

Tidak pernah berlaku di mana seorang menteri besar atau ketua menteri dalam mana-mana negeri di Malaysia boleh menghalang mana-mana rakyat Malaysia dari negeri lain untuk memasuki negeri di bawah pentadbiran mereka.

Apa istimewanya Rajah Brooke ini sehingga dia berkuasa melampaui semangat perlembagaan Malaysia?

Sudah sampai masanya saki baki Raja Beruk ini diturunkan dari terus menerus menjajah bumi Sarawak.

Wednesday, May 12, 2010

Mustahil orang Sarawak boleh jadi PM tanpa jadi ahli UMNO


Walaupun Parti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),yang dipimpin oleh Ketua Menteri Sarawak, Pehin Seri Haji Abdul Taib Mahmud merupakan salah satu komponen parti BN tetapi parti PBB ini hanya terdapat di Sarawak sahaja.

Oleh kerana syarat untuk menjadi Perdana Menteri (PM) Malaysia mestilah dari kalangan pemimpin parti yang terbesar memenangi kerusi Parlimen, maka secara metamatiknya orang Sarawak mustahil boleh menjadi PM.

Sekalipun semua kawasan Parlimen di Sarawak dimenangi oleh parti PBB, masih belum dapat menjadikannya parti terbesar memenangi kerusi Parlimen, kerana bilangan kawasan Parlimen Sarawak (28) jauh lebih kecil dari bilangan keseluruhan kawasan Parlimen Malaysia (222).

Kemasukan UMNO ke Sabah telah meletakkan orang-orang Sabah berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia. Malah dalam beberapa tahun sahaja UMNO bertapak di Sabah, sudah ada ahli UMNO dari Sabah yang memegang jawatan tertinggi parti UMNO, malah ada hingga mencapai ke jawatan Naib Presiden, iaitu jawatan ketiga penting dalam hairaki kepimpinan negara.

Dan tidaklah hairan kalau dalam sedikit masa lagi rakyat Sabah juga akan terpilih untuk menduduki Seri Perdana, Putra Jaya.

Sudah sampai masanya rakyat Sarawak memikirkan perjalanan masa depan politik mereka dalam konteks Malaysia, apakah cukup sekadar menjadi pemerhati dan menjadi jaguh kampung sahaja. Tidak dinafikan, ramai anak-anak Sarawak yang berbakat untuk menjadi pemimpin Negara, tetapi mereka tidak dapat peluang untuk ditonjolkan selagi mereka tertakluk kepada sistem politik seperti yang ada sekarang.

Rakyat Sarawak harus berani berubah, sebagai rakyat Malaysia, mereka juga harus turut serta dalam menentukan hala tuju Negara Malaysia seperti rakyat di negeri-negeri lain juga. Ini hanya boleh menjadi kenyataan kalau rakyat Sarawak turut menyertai parti yang bersifat nasional, samada ada UMNO (BN) atau PKR.

Sunday, May 09, 2010

Raja Seminggu

Kita biasa mendengar istilah Raja Sehari. Di bawah adalah gambar Raja Sehari:

Selain dari itu ada juga yang dinamakan Raja Seminggu. Di sini saya petik berita dari akhbar Utusan Malaysia (9 Mei 2010) berkaitan dengan Raja Seminggu ini:

SIBU 8 Mei - Barisan Nasional (BN) menggangap setiap pengundi adalah ‘raja’ dan berharap setiap seorang daripada mereka tanpa mengira kaum akan membantu dan menyokong BN dalam pilihan raya.
Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sehubungan itu, BN perlu mengetahui bagaimana untuk menguruskan golongan itu dengan baik agar tidak hanya mendapat sokongan daripada satu-satu
kaum sahaja.

Pengundi akan di layan seperti Raja sepanjang kempen pilihanraya yang tempohnya lebih kurang seminggu.




Selepas habis tempoh itu, mereka akan kembalilah semula menjadi hamba rakyat seperti biasa.

Wednesday, May 05, 2010

Kalau kita tak bunuh, kita akan dibunuh


Selalu kita dengar berita dimana penjenayah dan perompak ditembak mati oleh polis. Skrip berita yang dilapurkan media setiap kali penjenayah ini ditembak mati hampir sama saja. Polis terpaksa melepaskan tembakan atau membalas tembakan kerana penjenayah terlebih dahulu menembak polis atau cuba menyerang polis. Penjenayah yang ditembak mati itu pula adalah penjenayah yang sangat dikehendaki dan sangat bahaya.

Dengan justifikasi atau alasan yang diberi, orang ramai rasa berpuas hati dan tidak pernah mempersoalkan kematian mereka. Orang ramai juga tidak ambil pusing pihak mana yang menembak dan menyerang terlebih dahulu. Malah orang ramai rasa lega bila penjenayah yang didakwa merbahaya ini dapat dibunuh dan ditumpaskan, dengan harapan tidak ada lagilah penjenayah di masa akan datang.

Mangsa-mangsa yang pernah mengalami dirompak dan dicederakan oleh penjenayah tentu sangat gembira bila ada berita penjenayah ditembak mati oleh polis.

Telah banyak juga penjenayah telah ditembak mati dan telah banyak geng penjenayah telah tumpas, tetapi kejadian jenayah tidak juga berkurang.

Tidak dinafikan anggota dan pasukan polis rasa tertekan dengan banyaknya kejadian jenayah yang berlaku sekarang ini. Penjenayah-penjenayah ini pula sangat licik hingga sukar dijejaki.

Masyarakat pula sentiasa menyalahkan kelembaban pihak polis kerana tidak dapat membenteras kejadian jenayah yang tidak pernah habis-habis.

Selalunya skrip oleh pihak polis bila berlaku penjenayah ditembak mati berjalan lancar seperti biasa sehinggalah kejadian itu berlaku kepada adik Aminul Rasyid Amzah. Kalaulah dalam kejadian itu bukan adik Aminul Rasyid tetapi adalah seorang penjenayah yang sangat dikehendaki, tentulah orang ramai tidak akan bertanya pihak mana yang menyerang terlebih dahulu dan berapa banyak das tembakan yang dilepaskan.

Integriti mesti ada kepada setiap warga termasuk juga anggota polis. Penjenayah tidak boleh dihukum dicabut nyawanya tanpa melalui proses makamah. Polis atau siapa saja dibenarkan mengambil tindakan mempertahankan diri. Polis juga patut membalas tembakan jika berdepan dengan penjenayah yang cuba menyerang polis dengan senjata api. Tetapi adakah prinsip-prinsip ini benar-benar diamalkan oleh setiap anggota polis?

Kita tidak boleh membunuh orang semata-mata kerana takut kita akan dibunuh. Dan lebih tercela lagi kalau ada pemikiran yang tertanam pada seorang anggota polis, bahawa mudah untuk naik pangkat jika dapat membunuh penjenayah.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com