Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, March 27, 2009

Kursus Lepas Cerai Juga Patut Ada

PADA masa ini mana-mana pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga diwajibkan terlebih dahulu mengikuti kursus pra perkahwinan. Ekoran dari itu banyaklah kursus perkahwinan yang telah dianjurkan oleh jabatan-jabatan agama dan tidak kurang juga oleh pihak-pihak swasta.

Tujuan mewajibkan kursus perkahwinan ini adalah untuk memberi sedikit ilmu dan panduan kepada bakal suami isteri bagi menempuh kehidupan baru dalam alam rumahtangga dengan lebih baik dan harmoni.

Adalah diharapkan, kursus perkahwinan ini dapat mengurangkan kadar perceraian yang disebabkan oleh kurang faham pasangan suami isteri terhadap tanggungjawab mereka dalam kehidupan berumahtangga.

Tetapi seperti kata orang, jodoh dan pertemuan itu ditentukan oleh Tuhan. Bila jodoh sudah tiada maka perceraian tidak dapat dielakkan lagi. Kebanyakan orang kita boleh terima dengan hati yang terbuka bahawa mereka dapat berkahwin disebabkan adanya jodoh.

Tetapi bila berlaku perceraian, selalunya akan berakhir dengan hati yang berbuku dan saling benci, mereka sukar hendak menerima perceraian itu adalah kerana telah ditakdirkan sudah tidak ada jodoh. Mereka tidak dapat menerima kehendak Tuhan ini dengan hati yang rela sebaliknya terus menerus menyalahkan pasangan mereka sebagai penyebab perceraian itu.

Kadang-kadang pertengkaran dan salah faham antara suami isteri itu hanyalah sebagai penyebab kepada perceraian itu sahaja. Namun begitu banyak juga kita lihat pasangan suami isteri yang bertengkar hari-hari tetapi tidak bercerai-cerai juga.

Kadang-kadang ada pasangan bercerai kerana suami bermain kayu tiga tetapi ada juga suami yang bermain sampai kayu empat pun tidak bercerai juga. Itulah namanya jodoh, Tuhanlah yang menentukannya, kita hanya mampu merancang dan berusaha saja.

Tetapi oleh kerana ramai dikalangan kita tidak faham akan konsep jodoh ini, ramailah diantara pasangan yang bercerai ini tidak dapat menerima perceraian itu sebagai takdir Ilahi. Akhirnya mereka menjadikan pasangan mereka untuk dibenci dan dimusuhi seumur hidupnya. Penyebab berlakunya perceraian itu sentiasa saja menghantui kehidupan mereka.

Sebenarnya kehidupan bagi pasangan selepas bercerai ini juga patut diberi perhatian sama beratnya seperti kita memberi perhatian kepada pasangan yang hendak berkahwin. Kegagalan dan ketidakfahaman menempuh kehidupan selepas bercerai akan juga memberi kesan buruk kepada pasangan yang bercerai ini. Dan tambah teruk lagi kesannya kepada anak-anak mangsa perceraian ini.

Dengan itu wajar sangat kalau kursus selepas bercerai ini diadakan oleh jabatan-jabatan agama untuk memberi panduan kepada pasangan-pasangan yang baru bercerai bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan mereka dengan cara yang betul.

Sering terjadi ibu atau bapa yang menjaga anak-anak mangsa perceraian ini menghasut anak-anak ini supaya membenci bapa atau ibu mereka. Sebagai contoh, jika pihak ibu yang memelihara anak-anak ini maka mereka akan dihasut supaya membenci bapa mereka.

Dendam dan benci kepada pasangannya dikongsi dan diturunkan kepada anak-anak mereka. Tanpa mereka sedari, tindakan seperti itu yang difikirkan akan menguntungkan mereka itu sebenarnya hanya akan memberi kesan buruk kepada anak-anak itu sendiri.

Akibatnya jiwa kanak-kanak mangsa perceraian sering mengalami tekanan, konflik dan keliru. Mana tidaknya, di sekolah mereka diajar oleh guru atau ustaz supaya mengasihi dan menghormati ibu dan bapa, tetapi semasa berada di rumah fikiran mereka diracun supaya membenci bapa atau ibu mereka.

Kanak-kanak yang masih kecil tentu tidak dapat menerima kenapa ibu dan bapa mereka mesti tinggal di rumah yang berasingan. Konflik jiwa yang dialami oleh kanak-kanak mangsa perceraian, jika tidak ditangani dengan baik, akan mendorong mereka terlibat dengan gejala-gejala sosial yang tidak sihat. Oleh itu tidak hairanlah kalau sebahagian besar dari remaja-remaja yang bermasalah datang dari keluarga yang bermasalah termasuklah perceraian.

Kadang-kadang anak yang kematian ibu atau bapa dapat menjalani kehidupan yang lebih berjaya jika dibandingkan dengan anak-anak mangsa perceraian. Sepatutnya anak-anak yang ibu bapa mereka bercerailah lebih berjaya dari anak-anak yatim kerana anak yatim bukan sahaja kehilangan ibu atau bapa tetapi juga kadang-kadang turut kehilangan sumber pendapatan untuk menyara kehidupan mereka.

Nasib anak-anak yang ibu bapa mereka bercerai mungkinlah tidak sebaik anak-anak biasa tetapi sepatutnya tidaklah lebih teruk dari nasib anak-anak yatim kerana mereka masih ada ibu dan bapa walaupun tidak tinggal bersama.

Ibu bapa yang bercerai mesti ada kesedaran agar perceraian yang berlaku itu tidak sampai menjejaskan perkembangan jiwa dan minda anak-anak mereka. Sikap ibu dan bapa yang tidak membawa anak-anak untuk turut campur dengan masalah perceraian mereka sangat membantu anak-anak ini dapat menjalani kehidupan normal dan dapat mengelak tekanan dan konflik jiwa yang mungkin dihadapi oleh anak-anak mereka.

Sekalipun perceraian itu sangat perit dan menyakitkan hati pasangan yang mengalaminya, tetapi ia tidaklah sepatutnya dijadikan alasan untuk berdendam dan membenci pasangannya untuk selama-lamanya, apatah lagi anak-anak juga turut dilibatkan sama.

Didalam Quran, ada ayat yang memberi kebenaran kepada kita untuk menuntut hak membalas dendam kepada musuh kita dengan balasan yang setimpal tanpa melampaui batas. Tetapi disamping itu juga Tuhan memberi pilihan yang lebih baik dari itu, iaitu dengan memaafkan kesalahan musuh kita. Oleh itu kalau kita mahu menjadi orang yang lebih baik di sisi Tuhan, sudah tentu memberi kemaafan itu akan menjadi pilihan kita.

Saya percaya jika ibubapa yang mengalami perceraian ini dapat diberi bimbingan cara yang betul untuk menjalani kehidupan selepas bercerai, insyallah perceraian tidaklah lagi dianggap sebagai satu mala petaka yang digeruni menimpa diri seseorang seperti tanggapan masyarakat kita hari ini.

Dan yang lebih penting lagi, anak-anak mangsa dari perceraian ibubapa ini dapat menjalani kehidupan yang baik sama seperti kanak-kanak lain.

Perceraian bukannya suatu bencana atau kemalangan sehingga kita memanggil anak-anak yang ibu bapa mereka bercerai sebagai anak-anak ‘mangsa’ perceraian. Anak-anak ini tidak sepatutnya menjadi ‘mangsa’. Mereka harus hidup seperti kanak-kanak lain juga.

Wednesday, March 25, 2009

Mari berlawan secara anak jantan

KEMENANGAN dalam pilihanraya yang yang diperolehi melalui kesilapan teknikal seperti yang berlaku pada seorang calon PAS di Johor pada pilihanraya 2004 bukanlah merupakan kemenangan secara anak jantan. Kerana kita tahu calon tersebut belum tentu boleh menang kalau dia berlawan secara bertanding.

Kemenangan secara anak jantan adalah kemenangan yang mulia dan bermaruah. Dari sejarah silam kita dapat melihat orang Melayu sendiri pun sangat mengutamakan sifat anak jantan ini kerana ia menyentuh soal maruah seseorang. Sebagai contoh, walaupun Hang Jebat telah menyerahkan dirinya kepada Hang Tuah untuk membunuhnya tetapi Hang Tuah tidak berbuat demikian melainkan terlebih dahulu memberikan sebilah keris kepada Jebat untuk berlawan dengannya.

Begitulah tingginya nilai budi orang Melayu di zaman dulu, mereka lebih sanggup kalah atau mati di tangan musuh dari menang dengan membunuh musuh yang tidak bersenjata.

Tetapi malangnya sifat yang mulia ini tidak pula dilanjutkan oleh orang Melayu ketika berpolitik di zaman ini. Parti yang memerintah bukan saja tidak memberi senjata kepada parti pembangkang malah mereka telah bertindak mengikat kaki dan tangan parti pembangkang semasa berlawan.

Hampir semua media cetak dan elektronik dikawal penuh oleh parti yang memerintah yang sudah tentu sentiasa memihak kepada parti pemerintah. Harapan parti pembangkang hanyalah kepada medium ceramah dan internet. Dengan sumber kewangan yang terhad parti pembangkang hanya dibenarkan berkempen dalam masa lapan hari sahaja. Dalam keadaan serba kekurangan dan terbatas inilah parti pembangkang cuba berlawan dengan parti pemerintah. Apakah pertandingan seperti ini boleh dianggap sebagai pertandingan secara anak jantan?


Demokrasi adalah satu mekanisma yang terbaik untuk mempastikan kita sentiasa mendapat pemimpin yang terbaik. Melalui demokrasi kita bukan saja dapat menukar pemimpin tanpa melalui pertumpahan darah tetapi lebih dari itu setiap dari kita dapat memilih pemimpin yang terbaik untuk memimpin. Dengan adanya pemimpin terbaik maka sudah tentu negara kita akan dapat menuju ke arah yang lebih baik dan terbilang.


Walaupun demokrasi itu pada asalnya bagus tetapi banyak pemimpin yang berkuasa telah mencabul demokrasi dengan sewenang-wenangnya sehingga dengan demokrasi yang telah mereka ubahsuai itu dapat dipastikan keputusan peti undi lebih banyak berpihak kepadanya.

Macam-macam cara yang mereka gunakan yang jauh dari sifat anak jantan termasuklah menyekat kebebasan bersuara, mengawal media perdana, undi hantu, undi pos yang tidak telus, tidak dibenar berhimpun tanpa permit, menggubal undang-undang yang pelik dan sebagainya.


Sesebuah negara tidak mungkin boleh mencapai cemerlang, gemilang dan terbilang jika tidak diasaskan kepada demokrasi dan meritokrasi. Kita bimbang jika kita mengenepikan sifat anak jantan dalam pilihanraya, akhirnya kita akan dapat pemimpin yang jahat dan tidak bermoral memimpin negara kita nanti. Siapa pun yang memegang pisau walaupun berlainan fahaman dengan kita tetapi berhati mulia dan baik pasti dia akan memberikan kebaikan juga kepada kita, tetapi kalau pisau telah jatuh ke tangan orang jahat tentulah kita tidak akan berasa aman walaupun dia adalah saudara kita sendiri.


Biarlah kita kalah dalam pilihanraya kerana yang menang itu sudah tentu lebih baik dari kita. Bila pemimpin yang terbaik mendapat peluang menjadi pemimpin, sudah pasti negara kita akan menuju kearah yang lebih gemilang. Ini saja jaminan yang dapat menentukan negara kita sentiasa terbilang di masa depan. Oleh itu janganlah kita takut untuk berlawan secara anak jantan demi kebaikan negara untuk menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.


Suburkanlah amalan demokrasi sebenar di mana jua kita berada, samada dalam pemilihan dalam parti sendiri ataupun di dalam pilihanraya. Seorang yang dikatakan patriotik adalah seorang yang sanggup berkorban untuk kebaikan negaranya, sekalipun terpaksa kalah dalam pilihanraya.

Friday, March 20, 2009

Mengkritik, bukanlah budaya Melayu.

ORANG Melayu adalah suatu bangsa yang tidak senang dengan kritikan. Saya percaya, bangsa yang tidak boleh menerima kritikan tidak akan maju. Kalau di zaman pemerintahan Raja Melaka dahulu pengkritik raja dianggap sebagai penderhaka dan boleh dihukum bunuh.

Sikap tidak suka kepada kritikan ini terbawa-bawa di dalam kehidupan orang-orang Melayu sehinggalah hari ini. Munsyi Abdullah (gambar) dianggap sebagai pengkhianat kerana kritikannya yang keras kepada bangsa Melayu dan pujiannya kepada bangsa Eropah di dalam tulisannya.

Di era negara hendak menuntut kemerdekaan, Munsyi Abdullah dicop sebagai talibarut orang putih dan dibenci oleh kebanyakan pemimpin politik kerana tulisan-tulisan Abdullah tidak membantu atau memberi semangat bagi mencapai kemerdekaan.

Saya adalah anak yang dilahirkan di awal kemerdekaan negara turut membenci Munsyi Abdullah apabila membaca artikel-artikel yang menghentamnya. Tetapi setelah membaca tulisan Abdullah sendiri, barulah saya sedar bahawa tanggapan kita terhadapnya selama ini adalah salah sama sekali.

Nama Munsyi Abdullah harus dibersihkan dari apa yang digambarkan oleh masyarakat kita hari ini. Kalau kita berpeluang membaca tulisannya kita akan dapat mengenal rupa diri Munsyi Abdullah sebenarnya. Beliau adalah seorang yang mempunyai jati diri dan berpendirian. Beliau mencintai nilai-nilai mulia tanpa mengira bangsa apa yang memiliki nilai-nilai tersebut.

Bagi saya Abdullah adalah seorang pejuang nilai-nilai mulia. Dia memuji nilai-nilai mulia yang dilakukan oleh sesiapa sahaja seperti rajin, amanah, pemurah, sabar dan sebagainya, dan membenci nilai-nilai tercela seperti pemalas,kurafat dan lain-lainnya.

Adalah keterlaluan untuk mengatakan Munsyi Abdullah sebagai pengampu atau penjilat orang putih kerana ada juga ditempat-tempat tertentu di dalam tulisannya ia membenci perangai buruk yang dilakukan oleh sesetengah pegawai orang putih. Pernah juga Abdullah ingkar dengan arahan salah seorang pegawai bangsa Eropah yang mahukan Abdullah mengubah tatabahasa Melayu mengikut kehendak pegawai tersebut.

Di sini begitu jelas menunjukkan Abdullah adalah seorang yang berpendirian dan bukan bersikap pengampu seperti yang kita anggapkan. Pujian Abdullah kepada orang putih di waktu itu tidak lebih seperti kita memuji orang Jepun di masa ini. Orang Jepun juga pernah menjajah negara kita dan ramai rakyat negara ini dizalimi ketika di bawah pemerintahan tentera Jepun dahulu. Tetapi ini bukanlah menjadi penghalang untuk kita memuji mereka dalam perkara-perkara yang patut mereka menerima pujian terutamanya dalam kerajinan bekerja dan kesetiaan mereka kepada majikan.

Pada hari ini pula telah menjadi lumrah apabila seseorang itu mengeluarkan pendapat atau berkelakuan tidak mengikut dasar dan peraturan yang ditetapkan maka mereka akan digam atau dicantas. Walaupun mereka tidak dikenakan hukuman bunuh seperti pada zaman dahulu tetapi kesan dari kena gam ini sama juga seperti dikenakan hukuman bunuh. Ia akan menyebabkan orang akan berasa bimbang dan takut untuk mengeluarkan pendapat dan berkarya.

Mereka bimbang kalau karya yang mereka hasilkan itu secara tidak sengaja melanggar dasar-dasar yang ditetapkan. Gejala gam dan cantas ini akan membunuh kreativiti orang ramai dan akhirnya bangsa dan negara kita juga yang rugi.

Walaupun pada dasarnya dengan mengenakan gam dapat menyekat unsur-unsur negatif tetapi oleh kerana wujud perasaan takut dan bimbang terhadap tindakan digam atau dicantas, menyebabkan buah fikiran yang mungkin baik juga tidak berani untuk disampaikan.

Wednesday, March 11, 2009

Sekadar menjadi doktor demam selsema dan batuk.

TELAH menjadi tanggapan umum di masa-masa yang lalu, pekerjaan sebagai doktor memperoleh gaji yang lebih tinggi dari pekerjaan lain dalam perkhidmatan awam.

Dalam masa lebih 20 tahun yang lalu bidang kedoktoran perubatan menjadi pilihan utama kepada pelajar-pelajar di Negara kita kerana tawaran tangga gaji yang lebih tinggi itu.

Oleh kerana terlalu ramai pelajar berminat untuk memohon bidang perubatan maka universiti-universiti tempatan yang ada menawarkan kursus ini hanya memilih pelajar-pelajar yang paling baik dari segi kelulusan akademiknya sahaja diterima masuk untuk mengikuti kursus di bidang ini.

Oleh itu tidak dapat dinafikan, pelajar-pelajar yang berada dalam bidang perubatan dan seterusnya para doktor di Negara kita ini adalah termasuk dalam kelompok manusia-manusia yang paling pintar dan bijak berbanding rakyat lain itu.

Tetapi sayang sekali, kepintaran dan kebijaksanaan mereka itu tidak digunakan sepenuhnya. Tidak ramai yang berminat untuk bekerja di hospital-hospital kerajaan yang sangat mencabar yang dikunjungi oleh kebanyakan rakyat dengan berbagai jenis macam penyakit.

Sepatutnya di hospital kerajaanlah doktor-doktor ini menunjukkan minat untuk bekerja, kerana di situ mereka dapat peluang yang luas bagi mengkaji dan menyelidik berbagai penyakit yang dihidapi oleh berbagai lapisan rakyat Negara ini.

Tentulah dengan kepintaran dan kebijaksanaan otak yang di anugerahkan oleh Tuhan itu, mampu mencari penawar-penawar dan kaedah-kaedah baru untuk menyembuhkan penyakit-penyakit yang dihidapi oleh rakyat Negara ini.

Dari pemerhatian saya, kebanyakan doktor-doktor hari ini lebih minat hendak membuka klinik-klinik mereka sendiri setelah menimba pengalaman bekerja di hospital kerajaan.

Dengan membuka klinik sendiri mereka memperoleh pendapatan yang lebih lumayan berbanding menjadi doktor di hospital kerajaan. Dulu semasa kecil mereka melihat tangga gaji doktor itu lebih tinggi. Setelah menjadi doktor di hospital kerajaan, mereka melihat pendapatan usahawan dan peniaga pula yang lebih besar dan lumayan.

Lantaran itu ramailah doktor-doktor membuka klinik sendiri semata-mata hendak mengejar pendapatan yang lumayan. Walaupun mereka tidak kecukupan masa untuk melayan pesakit-pesakit yang datang ke klinik mereka untuk mendapatkan rawatan tetapi mereka tetap gembira kerana pendapatan yang mereka perolehi amat lumayan.

Sebaliknya kalau bekerja di hospital kerajaan, kedatangan pesakit yang ramai tidak akan menambah kepada pendapatan mereka kerana gaji tetap sama bagi setiap bulan.

Sikap sebahagian doktor yang hanya ingin mengejar pendapatan lumayan ini sungguh merugikan Negara kita. Di mana akhirnya doktor-doktor ini banyak membuat duit melalui pesakit-pesakit yang datang ke klinik mereka kerana hendak mendapatkan rawatan akibat demam selsema dan batuk, pening kepala dan muntah-muntah,gatal-gatal dan alahan, sakit perut dan berak-berak. Inilah penyakit-penyakit yang biasa dirujuk kepada klinik mereka untuk mendapatkan ubatnya.

Kalau telah diberi ubat tidak juga baik maka doktor-doktor klinik ini akan membuat surat supaya peasakit itu dirujuk ke hospital-hospital. Amat mudah tugas doktor-doktor klinik ini. Tidak payah pening kepala untuk merawat pesakit itu sampai sembuh, rujuk saja ke hospital.

Kalau setakat hendak beri ubat demam selsema dan batuk, orang yang lulus peringkat SPM pun boleh buat kerja seperti itu. Tidak seperti hendak membaiki kereta, kita tidak perlu ada ijazah kejuruteraan mekanikal baru boleh baiki kereta. Sebaliknya orang yang sekolah sampai peringkat SPM dan ada sijil mengikut kursus membaiki kereta sudah memadai untuk membaiki kereta yang rosak.

Oleh kerana tanggungjawab merawat dan memberikan ubat kepada pesakit adalah eksklusif diberikan kepada doktor, maka doktor dapat membuat duit yang banyak dari keadaan itu.

Kita tidaklah mahu sangat mempertikaikan duit yang banyak mereka dapat itu, tetapi apalah ertinya kita dianugerahkan Tuhan dengan otak yang pintar dan bijak tetapi sekadar menjadi doktor demam selsema dan batuk.
Minta maaf Tuan Doktor.

Sunday, March 08, 2009

Mengingati Ulangtahun 8 Mac.

HARI ini 8 Mac 2009, sudah genap setahun kita berada dalam udara lanskap baru politik Malaysia. Kita telah menyaksikan pada 8 Mac tahun lalu, setelah lima puluh tahun kita berada di bawah kerajaan dominan BN yang tak mampu untuk dicabar itu akhirnya buat julung kalinya kuasa monopoli itu dapat dipecahkan oleh pakatan parti pembangkang yang mana lima negeri jatuh di bawah penguasaan parti pembangkang.

Tahun 2008 merupakan titik peralihan senerio politik yang bersejarah buat rakyat Malaysia. Kalau tahun 1957 merupakan tarikh negara kita merdeka tetapi tahun 2008 ini adalah tarikh rakyat kita merdeka. Pada tahun 2008 ini menampakkan sebahagian besar pemikiran rakyat kita benar-benar telah merdeka. Ini dapat dilihat dengan jelas dari keputusan pilihanraya umum ke 12 yang lalu.

Kalau sebelum ini dengan menggunakan segala jentera kerajaan yang ada, parti BN telah berjaya menanamkan kedalam minda sebahagian besar rakyat negara ini bahawa parti pembangkang tidak ada kemampuan dan tidak mempunyai kebolehan untuk memerintah negara ini. Tetapi tanggapan yang seperti itu kini sudah dapat dilepasi setelah pakatan parti pembangkang telah berjaya mengambil alih kerajan di lima buah negeri dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu.

Ini adalah satu kejayaan yang sangat besar kepada peralihan minda rakyat Malaysia terhadap geopolitik negara ini, malah tidak keterlaluan ia boleh dianggap sebagai suatu 'revolusi' politik seperti yang pernah dialami oleh negara Indonesia beberapa tahun yang lalu setelah tumbangnya regim Suharto.

Tsunami politik yang melanda negara kita itu akan menjadi titik permulaaan untuk negara kita menuju kearah pemerintahan yang benar-benar demokratik, adil dan telus. Kerajaan yang demokratik, adil dan telus sentiasa menjadi matlamat kita kerana ia adalah prasyarat kepada keamanan, keharmonian dan kemajuan sesebuah negara. Tentunya sambutan ulangtahun 8 Mac ini sungguh bermakna sekali buat rakyat Malaysia setelah 50 tahun minda mereka 'dijajah' oleh parti BN.

Tuesday, March 03, 2009

Perdana Menteri sepatutnya dipilih oleh rakyat?

Dalam persidangan di Dewan Rakyat pada 25 Februari 2009 yang lalu ada dikalangan wakil parlimen bertanya soalan mengapa Negara kita tidak melantik Perdana Menteri melalui pilihan secara terus oleh rakyat seperti yang diamalkan di Negara Amerika semasa melantik Presiden Negara itu.

Di Amerika, calon-calon Presiden yang mewakili parti-parti politik Negara itu akan melalui proses pemilihan oleh rakyat. Setiap rakyat yang layak mengundi akan memilih calon yang mereka suka untuk menjadi Presiden. Negara itu dibahagikan kepada beberapa kawasan jajahan pilihanraya. Calon yang menang paling banyak kawasan akan dipilih dan dilantik menjadi Presiden Negara itu.

Di Indonesia juga menggunakan proses perlantikan Presiden sama seperti Amerika. Dengan kata lain Presiden mereka diundi terus oleh rakyat, berbanding Negara kita, Perdana Menteri Negara kita dilantik dari kalangan Presiden parti yang banyak memenangi kerusi Parlimen.

Oleh itu Perdana Menteri kita tidak dilantik secara langsung oleh rakyat tetapi adalah dilantik atau diundi oleh perwakilan UMNO melalui pemilihan UMNO.

Nazri Aziz yang diberi tanggungjawab untuk menjawab soalan wakil parlimen itu telah menjawab secara merapu seolah-olah mahu mengelak dari menjawab inti pati soalan sebenar.

Beliau seperti tercari-cari alasan kenapa kita tidak boleh menggunakan cara Amerika itu, kata beliau, Negara ini menggunakan sistem Raja Berpelembagaan, demokrasi berparlimen, oleh itu kuasa yang melantik Perdana Menteri ialah Raja. Kenyataan beliau itu boleh mengelirukan kita semua.

Apalah gunanya kita mengadakan pilihanraya dan menjadi sebuah Negara demokrasi, kalau kuasa yang melantik PM itu adalah Raja?

Saya nampak jawapan diberikan oleh Nazri Aziz itu sebagai sekadar jawapan yang merapu yang cuba lari dari menjawab soalan sebenar.

Memanglah benar Raja yang melantik Perdana Menteri tetapi semua orang tahu orang yang bagaimana mesti dilantik oleh Raja itu, bolehkan Raja melantik sesiapa saja yang baginda suka untuk menjadi PM?

Tidak pernah kita dengar sepanjang sejarahnya, orang yang dilantik menjadi Perdana Menteri kita adalah orang yang disukai oleh Raja untuk menjadi PM. Sebaliknya telah ditetapkan oleh perlembagaan, orang yang perlu dilantik menjadi PM oleh Raja itu mestilah dari Presiden parti yang menang, tanpa mengambil kira sama ada baginda suka atau tidak.

Kita masih boleh menggunakan cara Amerika melantik Presiden tanpa mengubah peranan Raja. Kalau sebelum ini Raja melantik PM dikalangan Presiden parti politik yang menang maka sekarang kalau kita hendak kita boleh tukar kepada Raja akan melantik calon PM yang mendapat undi terbanyak dari rakyat melalui proses yang dinamakan pemilihan Perdana Menteri. Oleh itu Raja tetap ada, kita bukan hendak membuang peranan Raja seperti yang dirapukan oleh Nazri Aziz itu.

Ahli Parlimen yang bertanya itu bukannya mempersoalkan Raja tetapi yang disoalkan ialah proses pemilihan Perdana Menteri kita. Memang wajar kita sebagai rakyat Malaysia mempersoalkan proses pemilihan Perdana Menteri kita, kerana Perdana Menteri Malaysia bukan Perdana Menteri kepada ahli-ahli partinya sahaja tetapi adalah Perdana Menteri kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

Sepatutnya kita perlu ada sikap berfikiran terbuka, tidak semestinya sistem yang kita amalkan sekarang ini adalah yang terbaik. Zaman telah berubah, mungkin system yang kita amalkan ini sesuai dan baik untuk masa yang lalu, tidak semestinya ia baik dan sesuai untuk zaman ini.

Oleh itu kalau kita mahu menjadi umat yang maju dan berjaya, kita kenalah sentiasa berubah kepada yang lebih baik, kalau tidak, kita akan ketinggalan dan terus mundur.

Sistem pemilihan Presiden Amerika walaupun baik tetapi masih banyak kelemahan-kelemahannya. Begitu jugalah dengan sistem pemilihan Perdana Menteri Negara kita. Oleh itu kita dari masa ke semasa harus kena memperbaiki sistem kita supaya ia sentiasa menjadi yang terbaik dan sesuai dengan perubahan zaman.

Kita tidak harus mementingkan faedah diri sendiri sahaja semasa membuat sebarang keputusan tetapi yang lebih penting, apa saja keputusan dan tindakan yang kita buat hendaklah berdasarkan kerana ia boleh mendatangkan kebaikan rakyat dan Negara kita.

Walaupun Presiden kelihatan seperti dipilih oleh rakyat tetapi sentimen pemilihan banyak ditentukan oleh media. Media Amerika yang dikuasai oleh Zionis banyak mempengaruhi corak pemilihan Presiden Negara itu. Walaupun tangan rakyat yang mengundi tetapi pemikiran dikepala mereka semasa membuang undi telah dikuasai oleh zionis melalui media.

Akhirnya Presiden Amerika yang terpilih bukanlah mencerminkan pemilihan rakyat yang sebenar tetapi dipilih oleh media yang boleh dikuasai oleh kumpulan-kumpulan tertentu.

Kalau kita hendak membina jambatan dan bangunan kita kenalah meminta pandangan jurutera supaya jambatan dan bangunan yang dibina itu kukuh dan selamat. Kalau kita sakit kita kena jumpa doktor pakar untuk mengetahui penyakit kita dengan tepat dan apa ubat yang perlu kita ambil.

Begitu jugalah bila kita serahkan tugas pemilihan pemimpin kepada rakyat. Kita kena pastikan orang-orang yang diberi tanggungjawab untuk memilih pemimpin itu mestilah terdiri dari yang arif tentang kepimpinan atau sekurang-kurangnya dia betul-betul tahu dan kenal dengan pemimpin itu.

Tetapi yang berlaku pada hari ini, ramai di antara kita tidak tahu dan kenal pun pemimpin yang kita beri undi. Mungkin kita kenal pun hanya melalui akhbar-akhbar dan poster saja. Bagaimana dapat kita dapat memilih pemimpin yang terbaik padahal kita tidak pernah kenal dari dekat calon-calon pemimpin yang bertanding selain dari membaca akhbar dan dengar cakap-cakap orang.

Kalau amalan demokrasi ini tidak kita ubah kepada cara yang lebih baik dan lebih berkesan maka selamanyalah kita tidak akan dapat hasil yang baik dari sistem demokrasi itu.

Sepatutnya pemilihan pucuk pimpinan ini harus bermula di peringkat yang lebih kecil seperti peringkat kampung atau jalan atau taman perumahan. Biasanya kita lebih kenal dan lebih dekat dengan orang-orang yang ada di kampung kita, atau orang-orang yang tinggal di jalan yang sama atau orang-orang yang tinggal satu taman perumahan dengan kita.

Oleh itu semua rakyat hanya diberi tanggungjawab untuk memilih pemimpin di peringkat unit terkecil ini sahaja, samada diperingkat kampung, jalan atau taman perumahan kerana pemimpin yang kita pilih itu memang orang yang betul-betul kita kenal.

Manakala pemimpin-pemimpin peringkat kampung dan taman perumahan ini pula diberi tanggungjawab untuk memilih pemimpin mukim mereka. Pemimpin-pemimpin peringkat mukim pula diberi tanggungjawab untuk memilih pemimpin daerah mereka. Seterusnya pemimpin-pemimpin daerah pula dipertanggungjawabkan untuk memilih pemimpin negeri.

Pemimpin-peminpin negeri negeri pula diberi tanggungjawab untuk memilih pemimpin negara. Dengan cara sebegini sistem demokrasi itu akan menjadi lebih berkesan kerana orang-orang yang memilih memang benar-benar tahu apa yang mereka pilih.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com