Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Sunday, December 28, 2008

Nabi pun ada buat silap ~ ref Malaysiakini

MANUSIA tidak terlepas dari membuat salah dan silap termasuklah juga nabi. Oleh itu janganlah kita terlalu taksub kepada seseorang tokoh mahupun kepada suatu organisasi atau parti politik. Sering berlaku di mana pengikut terlalu taksub kepada seorang tokoh atau pemimpin sehingga percaya pemimpin mereka itu sangat mulia dan tidak mungkin akan buat salah atau tersilap. Dan mereka begitu percaya organisasi atau kumpulan mereka saja yang betul.

Semua manusia termasuk juga nabi ada buat salah, kerana manusia adalah makhluk, yang tidak sempurna sifatnya. Tuhan saja yang Maha Sempurna. Beza nabi dengan manusia lain, nabi mempunyai kistimewaan yang boleh berhubung terus dengan Tuhan melalui saluran wahyu.

Nabi Muhammad juga tidak terlepas dari buat salah dan silap. Peristiwa nabi buat silap ini ada tercatit dalam Quran. Bezanya bila Nabi buat salah, di masa itu juga Tuhan akan tegur nabi menerusi wahyu. Inilah yang dinamakan ‘maksum’ iaitu terpelihara dari salah dan silap. Jika nabi tersilap, Tuhan akan tegur dan betulkan.

Sebagai contoh, pernah nabi Muhammad memasamkan muka kepada seorang buta yang hendak bertanya lebih lanjut tentang Islam sedangkan masa itu nabi tengah sibuk hendak berdakwah kepada pembesar-pembesar bukan Islam yang nabi rasa lebih penting.

Kepada Tuhan, perbuatan nabi itu adalah salah, lalu Tuhan menegurnya melalui perantaraan wahyu.

Ini juga sebagai tanda Quran itu bukan dibuat oleh nabi Muhammad. Kalau nabi yang buat, sudah tentu tidak mungkin ada ayat Quran yang menegur kesilapan baginda sendiri.

Kenapa nabi mesti maksum? Nabi atau rasul mesti bersifat maksum atau terpelihara dari kesalahan kerana mereka adalah model yang akan menjadi ikutan manusia lain. Kalau nabi silap, manusia lain juga akan turut silap. Maka sebab itulah nabi itu perlu terpelihara dari salah dan silap.

Secara teorinya, kalau kita ikut cara nabi dan Quran maka kita tidak akan silap, kerana nabi itu terpelihara dari kesalahan dan kesilapan.

Setelah telah lama masa berlalu, dunia telah mengalami berbagai peristiwa dan perubahan. Ajaran agama Islam telah ditafsirkan dengan berbagai cara. Ulamak dan umarak mentafsirkan Islam mengikut ilmu dan kepentingan mereka.

Hanya ulamak yang ikhlas dan mentafsirkan Islam tanpa mengikut nafsu dan kepentingan mereka sahaja yang akan diterima oleh Allah.

Kita tidak boleh mengatakan kita saja atau kumpulan kita saja yang paling betul dan memperlekehkan kumpulan-kumpulan lain.

Menjadi tanggungjawab kita untuk mencari dan menggali ilmu Islam dari berbagai sumber dan pandangan. Dari situ barulah kita akan dapat gambaran Islam itu secara tepat. Adalah tidak betul kalau kita hanya taksub kepada satu guru atau pandangan sahaja.

Laksana orang buta yang memegang kaki gajah akan mengatakan rupa gajah itu seperti tiang. Sebaliknya orang buta yang bijak akan mendengar pandangan orang-orang buta yang lain.

Orang buta yang memegang belalai mengatakan rupa gajah seperti ular, orang buta yang memegang badan gajah mengatakan rupa gajah seperti dinding. Yang memegang telinga mengatakan rupa gajah seperti kipas.

Si buta yang bijak akan dapat membayangkan rupa gajah yang sebenar dengan mendengar pendapat dan pandangan dari semua orang-orang buta tadi.

Manakala si buta yang taksub terus berpegang kepada pandangan dia sahaja dan tidak mahu mendengar pandangan orang lain, dan teruslah dia mentafsirkan rupa gajah secara yang tidak tepat.

Oleh itu bukalah fikiran kita untuk menerima pandangan orang lain, barulah kita dapat gambaran Islam yang lebih tepat.

Thursday, December 25, 2008

Bahasa Melayu, hidup segan mati tak mahu ~ ref Malaysiakini

Asalnya bahasa manusia ini hanya satu, iaitu bahasa Nabi Adam, kerana semua manusia bermula dari Nabi Adam dan Hawa. Setelah berkembang biak dan berpindah ke merata pelusuk dunia , manusia ini telah berpisah antara satu kelompok dengan kelompok yang lain sehingga membentuk bahasa, bangsa mereka yang tersendiri dan berbeza antara satu sama lain setelah mengalami evolusi masa, iklim dan tempat.

Perlu

Bahasa adalah satu alat yang penting untuk membolehkan manusia berkomunikasi atau berhubung antara satu sama lain. Memang sukar untuk kita memahamkan ucapan dan kehendak orang lain kalau tidak dapat memahami bahasa mereka. Inilah fungsi utama bahasa, melaluinya kita dapat memahami orang lain dan orang lain dapat memahami kita dengan lebih mudah.

Tentulah keadaan jadi mudah jika semua manusia menggunakan satu bahasa sahaja. Kalau kita merujuk kepada sistem pembinaan program computer, di sana ada apa yang dipanggil sebagai ‘bahasa mesin’. Bahasa mesin adalah bahasa yang berasaskan nombor binary yang boleh difahami oleh semua pengeluar computer, tidak kira jenama apa pun.

Kita juga boleh mengambil pelajaran dari ‘bahasa mesin’ dalam computer ini, di mana semua manusia tidak kira bangsa dan Negara dapat memilih satu bahasa yang boleh digunakan sebagai satu bahasa dunia. Bila ada ‘bahasa dunia’ ini, ia akan memudahkan kita berhubung dengan semua manusia di dunia ini. Untuk lebih adil, satu bahasa dunia perlu dicipta untuk dijadikan bahasa yang boleh digunakan oleh semua bangsa.

Bahasa dunia

Setiap bangsa mempunyai bahasa mereka sendiri dan berbangga dengan bahasa mereka. Sudah tentu setiap bangsa inginkan bahasa mereka menjadi ‘bahasa dunia’. Orang Inggeris mungkin tidak dapat menerima kalau bahasa Cina dijadikan bahasa dunia, begitu jugalah sebaliknya.
Oleh itu bahasa dunia mestilah satu bahasa yang bukan berasal dari mana-mana bangsa, tetapi suatu bahasa yang baru yang diciptakan untuk menjadi ‘bahasa dunia’.

Secara teorinya memang mudah untuk kita menciptakan satu ‘bahasa dunia’ yang akan digunakan oleh semua manusia, tetapi pada realitinya tidaklah semudah itu. Bahasa bukanlah suatu perkara yang boleh dipaksakan kepada manusia, tetapi ia melibatkan sosio budaya manusia itu sendiri yang telah terbentuk secara evolusi dan semulajadi. Manusia bukanlah mesin seperti robot dan computer.

Maharaja Shih Huang Tee di Negara China telah berjaya menyatukan huruf tulisan-tulisan Cina yang berbeza mengikut daerah dan suku kaum , hasilnya hari ini hanya terdapat satu rupa bentuk tulisan Cina sahaja. Namun demikian baginda tidak pernah pula menyatukan beribu dialek bahasa cina yang berbeza kepada satu dialek sahaja. Kenapa baginda tidak cuba melakukannya? Jawapannya mudah, kerana ini suatu perkara yang sukar dan mustahil boleh dilakukan.

Bangga

Pendekatan yang boleh kita ambil di masa ini ialah menggunakan bahasa yang paling popular untuk digunakan sebagai bahasa dunia. Bagi kita di Malaysia, bahasa yang dianggap popular dan digunakan meluas dalam berbagai bidang ialah Bahasa Inggeris. Kalau kita rakyat Malaysia telah bersetuju untuk mengambil Bahasa Inggeris sebagai bahasa universal, maka tumpuan harus diberi untuk mengembangkan penggunaan bahasa itu keseluruh lapisan masyarakat.

Mungkin ada pencinta-pencinta bahasa ibunda dan mereka yang mempunyai semangat kebangsaan yang tinggi tidak akan bersetuju dengan cadangan ini. Tetapi tidakkah mereka itu sedar, peranan utama bahasa hanyalah sebagai alat pengubung antara seorang manusia dengan manusia lain, tentu mereka boleh menerima hakikat bahawa kita tidak perlu terlalu taksub kepada bahasa ibunda sahaja. Kita sebenarnya boleh menggunakan apa bahasa sahaja, yang penting dengannya kita boleh berkomunikasi dengan manusia lain.

Kadang-kadang orang-orang politik suka memainkan sentimen bahasa ibunda ini bagi mendapatkan keuntungan politik. Mereka suka dilihat sebagai pejuang bahasa ibunda semata-mata untuk meraih sokongan dan undi dari kaum-kaum mereka semasa kempen pilihanraya.

Padahal ahli-ahli politik ini bila bercakap dan ditemuramah lebih suka dan lebih lancar bercakap menggunakan bahasa Inggeris daripada menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri. Tidak kiralah ahli politik itu orang Melayu, orang Cina atau pun orang India, semuanya sama saja.

Sikap ahli politik yang hipokrit ini semakin menyukarkan kita untuk memilih satu bahasa untuk dijadikan bahasa utama untuk kita berkomunikasi antara rakyat.

Tidak patriotik

Kadang-kadang kita kena bersikap rasional bila ingin mempertahankan bahasa ibunda kita. Dalam keadaan tertentu kita kena lihat kepentingan sesuatu perkara itu kepada kemajuan kepada Negara dan bangsa kita. Mungkin ada pihak yang menuduh kita tidak patriotik bila mengutamakan bahasa asing berbanding bahasa ibunda kita sendiri.

Tetapi kalau dengan sikap kita yang ingin menggunakan bahasa asing itu untuk tujuan memajukan bangsa kita setanding dengan bangsa-bangsa maju di dunia ini, saya rasa sikap sedemikian itu lebih patriotik lagi.

Dalam dunia moden sekarang ini, peribahasa yang mengatakan ‘bahasa menunjukkan bangsa’ tidak boleh diguna pakai lagi jika perkataan ‘bahasa’ itu merujuk kepada bahasa pertuturan. Tetapi peribahasa itu masih relavan jika ‘bahasa’ yang dimaksudkan itu merujuk kepada budi bahasa, hidup dan adat resam bagi menandai sesuatu bangsa itu. Orang Cina yang fasih berbahasa Inggeris tidak mestinya akan menjadikannya bangsa Inggeris.

Orang Melayu di Malaysia juga bukanlah mempunyai dailek yang sama. Selain dari mempunyai dailek-dailek kedaerahan atau negeri, mereka juga terdiri dari berbagai suku kaum yang mempunyai bahasa-bahasa tersendiri seperti Jawa, Banjar, Bugis dan lain-lain lagi.

Tentulah keadaan akan menjadi sukar sekiranya orang Jawa, orang Banjar, orang Bugis tidak mahu menerima dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah, sebaliknya ingin mengekalkan bahasa suku-suku kaum mereka di sekolah.

Walaupun saya menggunakan bahasa daerah yang daileknya berbeza dengan bahasa Melayu yang menjadi bahasa pengantar di sekolah, tetapi saya dapat menerima dan menyerap keadaan tersebut. Apabila di sekolah dan membuat urusan rasmi kita akan menggunakan bahasa Melayu standard yang boleh difahami oleh semua orang Melayu di seluruh negara. Walaupun saya terpaksa membelakangkan dailek daerah saya tetapi ini tidak bermakna saya tidak patriotik.

Setiap kali saya balik kampong saya akan menggunakan bahasa daerah saya. Selain dari mereka memahami dailek daerah tersebut, mereka juga lebih selesa kalau kita bertutur menggunakan dailek daerah yang telah sebati dengan kehidupan harian mereka itu.

Tetapi saya kena terima hakikat, dailek daerah saya ini tidak boleh pergi jauh dan tidak perlu pun bagi saya untuk memperjuangkannya. Bagi saya yang lebih penting ialah penduduk di daerah saya ini dapat memahami bahasa Melayu yang standard yang khalayak penggunanya lebih luas. Dengan itu mereka dapat menerebus peluang yang lebih luas untuk memajukan diri mereka.

Bahasa Inggeris

Bahasa Melayu standard yang digunakan di sekolah-sekolah telah dapat melonjakkan peluang-peluang anak-anak yang di lingkungi kedaerahan ini pergi lebih jauh dan lebih tinggi dalam membina kerjaya mereka. Ini kerana bahasa Melayu standard ini telah digunakan meluas dan dalam segala bidang di Negara kita berbanding bahasa dan dailek daerah yang penggunaannya amat terbatas.

Di zaman IT dan komunikasi canggih ini, bahasa Melayu tidak dapat mengangkat dirinya setanding dengan perkembangan teknologi ini. Kita tidak boleh salahkan bahasa Melayu tetapi kesalahan itu adalah disebabkan oleh orang kita sendiri yang jauh ketinggalan dalam meneroka ilmu-ilmu baru, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.

Sebaliknya Jepun, Korea dan beberapa Negara maju lain dapat berdiri dengan bahasa mereka sendiri, ini kerana orang-orang mereka sendiri menjadi peneroka dalam bidang teknologi termaju, setanding dengan Amerika dan UK.

Oleh itu kita di Malaysia tidak ada pilihan selain dari mengambil dan menggunakan bahasa-bahasa Negara maju ini kalau kita inginkan Negara kita dapat pergi lebih jauh dan lebih tinggi setanding dengan negara mereka.

Dalam memilih ‘bahasa dunia’ yang patut kita gunakan untuk Negara kita, bergantung kepada dua kriteria utama. Pertama, bahasa tersebut mestilah bahasa yang digunakan meluas dalam bidang sains dan teknologi termaju. Yang kedua, bahasa tersebut mestilah digunakan oleh ramai orang di seluruh dunia. Di zaman dunia tanpa sempadan dan globalisasi ini, satu bahasa yang boleh difahami oleh semua orang akan menjadi sangat penting. Dengan bahasa itu kita dapat berurusan dengan mudah dengan orang lain di serata dunia. Segala peluang terutamanya perniagaan akan terbuka luas untuk kita.

Bahasa bukanlah hak milik sesuatu bangsa atau Negara, sesiapa saja boleh menggunakan apa bahasa sahaja yang dia suka. Dan tidak menjadi kesalahan kalau kita menggunakan bahasa lain tanpa meminta izin terlebih dahulu dari pengguna asal bahasa (bahasa ibunda) itu.

Bagi saya bahasa Inggeris adalah bahasa yang sesuai untuk kita pilih sebagai ‘bahasa dunia’ untuk Negara kita. Bahasa Inggeris memang memenuhi kedua-dua kriteria yang disebutkan tadi. Selain dari itu bahasa Cina (Mandarin) juga boleh dipertimbangkan menjadi ‘bahasa dunia’ untuk Negara kita.

Walaupun bahasa Jepun dan bahasa Korea adalah bahasa yang maju tetapi ia tidak memenuhi kriteria yang kedua. Bahasa Jepun dan Korea tidak ramai penggunanya di seluruh dunia, terbatas dalam Negara mereka sahaja.

Sayu

Memang kita rasa sayu kalau apa yang menjadi amalan kita atau tradisi kita pupus bagi menyesuaikan dengan perubahan zaman. Banyak hasil seni tradisional kita, seperti wayang kulit, mak yong, dan lain-lainnya telah mengalami kepupusan. Walaupun kita berasa sayu bila mengenangkannya tetapi hakikat ini kita kena terima. Semua kesenian dan hiburan lama ini telah diambil alih oleh medium hiburan yang moden dan sentiasa akan mengalami perubahan.

Kalau dulu kita tinggal di kampong di rumah kayu, tetapi sekarang kita tinggal di kawasan Bandar di rumah batu, rumah bertingkat yang suasana dan cara hidup yang sangat berbeza dari kampong.

Walupun kita rindukan suasana kehidupan di kampong, tetapi kita terpaksa korbankan itu semua dan kita perlu melalui perubahan itu demi untuk kebaikan kita juga.

Kita berasa sayu bila melihat anak-anak kita tidak dapat menguasai bahasa daerah seperti kita kerana kita telah berpindah jauh dari kampong kita, tetapi ini juga terpaksa kita korbankan demi kebaikan mereka juga.

Satu hari nanti bahasa Melayu yang kita gunakan hari ini juga mungkin akan pupus disebabkan kita telah menekankan penggunaan ‘bahasa dunia’ yang kita telah pilih untuk Negara kita. Memang kita semua berasa sedih jika perkara ini berlaku, tetapi pastinya kita tidak akan menyesal dengan pilihan kita itu, kerana semua ini kita lakukan untuk kebaikan masa depan bangsa dan Negara kita juga.

Saya percaya semua bahasa-bahasa kecil di dunia ini, termasuklah bahasa Melayu akhirnya akan mengalami kepupusan seperti pupusnya bahasa Jawa, Banjar dan Bugis pada hari ini. Akhirnya semua manusia di dunia ini akan menuju kearah penggunaan satu ‘bahasa dunia’. Asal kita dari satu bahasa iaitu bahasa Nabi Adam dan berakhir dengan kembali semula kepada satu bahasa. Saya difahamkan, di alam akhirat juga kita semua akan menggunakan satu bahasa juga.

Friday, December 19, 2008

Tiada meritokrasi punca perpecahan dalam parti ~ ref Malaysiakini

Apabila wujud keadaan di mana ahli politik bergantung kepada sumbangan duit dari kontraktor pilihannya untuk naik dan terus berkuasa dalam politik, dan kontraktor pula bergantung kepada ahli politik yang boleh menjadi ‘kuda tunggangannya’ untuk memastikan tender-tender projek kerajaan menjadi miliknya, maka sudah pasti perpecahan dalam sesebuah parti politik tidak dapat dielakkan.

Dalam politik hari ini, ahli politik dan para kontraktor seperti saling sandar menyandar macam aur dengan tebing. Perjuangan ahli politik sudah jadi perjuangan untuk perut, perjuangan para kontraktor memang dari dulu untuk perut. Jadi tidak hairanlah kalau mereka menjadi rakan akrab yang saling bantu membantu.

Kadang-kadang rakyat seperti tidak sedar mereka ditipu oleh ahli-ahli politik. Didepan rakyat mereka hunus keris dengan semangat berkobar-kobar, cakap berdegar-degar untuk perjuangkan agama, bangsa dan Negara. Mereka pakai serban besar, lancar lidah menyebut hadis dan firman Tuhan untuk memperjuangkan Islam tetapi kebanyakannya semua itu adalah komestik belaka. Berselindung disebalik itu semua ialah untuk memperjuangkan perut saja.
Begitulah wajah-wajah politik yang dianuti oleh manusia-manusia sekarang.

Semua sudah berkiblatkan perjuangan perut, untuk memperkaya diri dan kelompok sendiri. Perjuangan asal yang suci untuk bangsa, Negara dan agama, hanya sekadar untuk mengabui mata rakyat bagi mendapatkan sokongan dan menang dalam pemilihan dan pilihanraya. Dengan kuasa politik yang mereka miliki dapat menjamin kekayaan terus berada ditangan mereka.

Di pihak kontraktor pula, untuk menjamin periok nasi sentiasa berisi, kontraktor akan memastikan pemimpin politik yang dapat memberi tender projek kepada syarikatnya terus kekal memegang kuasa.

Pemimpin politik pula sangat mengharapkan bantuan kontraktor-kontraktor yang boleh membantunya membiayai kempen pemilihan dan pilihanrayanya, agar dia dapat terus berkuasa.Setiap pemimpin politik ada senarai kontraktor pilihannya sendiri.

Akhirnya, disebalik merebut kuasa politik yang disandiwarakan didepan rakyat jelata itu ada terselindung perebutan kekayaan dan projek kerajaan.

Inilah perkara sebenar yang menyebabkan perpecahan dalam politik. Kontraktor bukan dipilih berdasarkan merit tetapi dipilih melalui 'kabel' politik.

Yang penting kepada kontraktor dan syarikat ialah 'siapa yang awak kenal' bukan 'apa yang awak tahu'.

Kontraktor sudah jadi ‘contact-tor’, syarikat koperat sudah jadi ‘syarikat keparat’.

Tidak mendatangkan masalah kepada mereka jika projek yang mereka menang tender itu dibuat berkualiti rendah, tidak mengikut spesifikasi. Janji mereka dapat untung banyak, sebahagian dari untung itu akan disumbang untuk kempen pemimpin politik yang menjadi ‘kuda tunggangannya’.

Bangunan yang dibina runtuh rantah pun tak perlu nak risau kerana pemimpin politik ‘kuda tunggangan’ mereka yang berkuasa itu akan dapat melindungi mereka dari diambil tindakan undang-undang.

Projek harga 10 juta ringgit, tapi belanja buat projek hanya 5 juta ringgit, sudah dapat untung 5 juta ringgit. Separuh dari untung itu pula boleh disumbang untuk kempen ahli politik ‘kuda tunggangan’ mereka.

Masa kempen pemilihan dan pilihanraya mereka tabur duit yang mereka dapat dari keuntung projek ini kepada pengundi-pengundi. Pengundi-pengundi pun suka dapat duit dan terus beri undi pada ahli politik yang ‘pemurah’ dan ‘dermawan ini’.

Pengundi-pengundi ini mungkin lupa dan tak faham dari mana duit itu datang. Projek-projek kerajaan ini siapa yang biaya? Sudah tentu ia dibiayai menggunakan duit kerajaan, duit kerajaan adalah duit rakyat, termasuk duit cukai dari rakyat.

Siapa yang rugi akhirnya? Sudah tentu rakyat. Rakyat dapat projek dan bangunan yang berkuliti rendah, silap-silap boleh runtuh dan mengancam nyawa mereka sendiri. Dengan duit 10 juta ringgit patutnya boleh membiayai dua projek kerajaan, tetapi sebab nak kaut untung yang berlebihan, ia hanya dapat membiayai satu projek saja.

Sudah tentu perkara-perkara ini tidak berlaku kalau kita memilih kontraktor dan syarikat untuk melaksanakan projek kerajaan berasaskan merit. Siapa yang terbaik merekalah yang akan terpilih, tidak kira pemimpin politik mana atau parti politik mana pun yang berkuasa.
Bila pemilihan berasaskan merit, tentu kontraktor juga tidak memerlukan kepada ‘kuda tunggangan’ lagi.

Monday, December 15, 2008

Buang bayi lagi ~ ref Malaysiakini


Petikan dari Harian Metro 16 Disember 2008:

CHANGLUN: Bahagian punggung dan kedua-dua kakinya termasuk ke dalam lubang tandas, namun seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat langsung tidak
menangis ketika ditemui seorang lelaki, pagi semalam.“Ketika ditemui dia
menghisap jari mungkin kerana lapar, manakala tali pusatnya belum dipotong dan
terbelit di leher,” kata Rofidah Md Noor, 45, yang melihat bayi itu dalam tandas
sebuah kedai di pasar basah Kampung Tradisi, Lembah Keriang, dekat sini.Bayi
seberat 2.4 kilogram itu ditemui jam 10.10 pagi oleh seorang lelaki berusia
30-an sebelum memaklumkan kepada Rofidah yang kebetulan berada di luar tandas berkenaan.“Entah manusia jenis apa tergamak membuang bayi masih bernyawa itu dalam lubang tandas.

Entah untuk kesekian kalinya berita seperti ini dilapurkan dalam akhbar. Setiap kali kita membacanya setiap kali itu jugalah kita berasa senak perut kerana menahan perasaan sedih dan geram. Lalu kita mengutuk dan mencerca si ibu yang melakukan perbuatan yang kejam itu.
Selain dari mengutuk dan mencerca, tidak ada apa lagi yang kita telah buat untuk mengatasi perkara yang sama dari berulang dan berulang lagi.

Sebenarnya ibu yang melahirkan anak luar nikah ini bukannya tidak sayang kepada anaknya. Ibu mana yang tidak sayangkan anak, binatang yang tidak mempunyai akal fikiran itu pun mempunyai rasa kasih sayang terhadap anak-anaknya apatah lagi kita manusia yang diberi akal fikiran. Yang membuatkan ibu-ibu tersebut melahirkan anaknya secara rahsia dan kemudian membuang bayi ini adalah kerana tidak sanggup menanggung rasa malu untuk berdepan dengan masyarakat.

Perasaan malu untuk berdepan dengan masyarakat akibat perbuatan sumbangnya itu telah mengatasi rasa kasih sayang terhadap bayi yang dilahirkannya itu. Kita hanya tahu mencerca mereka sahaja apabila kita melihat atau mendengar bayi-bayi yang tak berdosa itu dibuang di merata-rata tempat. Tetapi fikirkanlah kalau kita sendiri berada di tempat mereka, kita juga mungkin akan melakukan perkara yang sama kerana sememangnya tiada pilihan lain. Itu sahajalah cara yang dapat menutup perasaan malu dari dihina masyarakat.

Dalam perkara membuang bayi ini, kita sebagai anggota masyarakat harus juga dipersalahkan. Kita selalunya memandang hina kepada mereka yang mengandungkan anak luar nikah tetapi kita tidak pernah memandang hina kepada anak-anak muda yang bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Padahal pergaulan bebas inilah punca sebenar kepada masalah buang bayi ini. Kita tidak pernah melarang dan mencaci anak-anak muda kita yang bergaul bebas antara lelaki dan perempuan. Di dalam Quran, Tuhan bukan sahaja melarang perbuatan zina tetapi perkara-perkara yang mendekatkan kepada zina juga turut dilarang.

Pergaulan bebas lelaki perempuan itu adalah satu perkara yang mendekatkan kepada zina yang sepatutnya anggota masyarakat membenci dan membenterasnya secara bersungguh-sungguh. Kalau di zaman dulu terutamanya di kampong-kampong, seorang wanita berjalan bersama dengan seorang lelaki tanpa ada orang ketiga boleh dianggap salah dan dilarang, tetapi zaman sekarang kalau lelaki dan wanita berjalan berpimpin tangan atau berjalan sambil berpelukan sudah menjadi perkara biasa kepada kita.

Zaman dulu kalau ada perempuan yang melahirkan anak luar nikah memanglah wajar mereka menerima penghinaan kerana perkara-perkara yang medekatkan kepada zina itu memang dilarang dan dibenci oleh masyarakat di masa itu. Tetapi di masa ini apakah wajarnya kita untuk menghina perempuan yang melahirkan anak luar nikah ini sedangkan perkara yang mendekatkan kepada zina seperti pergaulan bebas ini kita biarkan tanpa kutukan.

Zina tidak akan berlaku jika tidak dimulakan dengan perkara-perkara yang boleh mendekatkan kepadanya. Sebelum suatu perbuatan zina itu boleh berlansung mestilah ia dimulakan dengan bunga-bunganya. Zina yang berlaku tanpa bunga zina dipanggil rogol.

Dari sekarang kita kenalah berhenti dari mengutuk dan mencerca ibu-ibu yang membuang bayi mereka ini. Kerana dengan cara mengutuk saja tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini. Di samping membetulkan punca akar umbi masalah ini, kita kena memikirkan langkah-langkah yang wajar untuk menyelamatkan bayi-bayi ini dari tersiksa dan mati akibat dibuang.

Ini termasuklah mempertimbangkan semula cadangan pengwujudan bank bayi. Dengan adanya bank bayi ini dapatlah menyelamatkan nyawa bayi yang bakal menjadi mangsa pembuangan ini. Cadangan bank bayi itu pernah dibatalkan kerana bantahan dari masyarakat dan ahli agama yang memandang pengwujudan bank bayi itu sebagai benda yang negatif dan ‘memalukan’.

Selain dari itu kita juga boleh mewujudkan banyak rumah-rumah perlindungan di seluruh Negara bagi menempatkan wanita-wanita yang mengandung anak luar nikah. Di mana rumah-rumah ini dapat memberi khidmat kaunseling dan membolehkan membantu mereka bersalin secara yang lebih sempurna.

Mungkin ada setengah orang berpendapat, dengan menyediakan kemudahan-kemudahan itu seolah-olah akan menggalakkan lagi perlakuan zina dan maksiat. Mungkin ada benarnya, tetapi kita juga harus ada rasa tanggungjawab untuk menyelamatkan bayi-bayi yang bakal jadi mangsa pembuangan ini.

Tidak semua orang yang tidak melakukan mencuri dan menipu itu kerana takutkan polis atau takut dipenjara. Tetapi mereka tidak melakukannya kerana sedar perbuatan mencuri dan menipu itu adalah perbuatan salah dan dibenci Tuhan.

Wednesday, December 10, 2008

Terengganu Kita ~ ref Malaysiakini



Pilihanraya kecil di Terengganu pada 17 Januari 2009 bakal mempamirkan pertandingan sengit antara parti UMNO mewakili BN dengan parti PAS mewakili Pakatan Rakyat.

Dari keputusan pilihanraya umum ke 12 bulan Mac 2008 dulu, UMNO dan PAS mendapat undi yang hampir seimbang. UMNO menang dengan majoriti yang kecil sahaja.

Kemelut perlantikan Menteri Besar Terengganu selepas pilihanraya Mac 2008 dulu sedikit sebanyak telah mencalarkan reputasi UMNO Terengganu. Di satu pihak, Idris Jusoh Menteri Besar sebelum pilihanraya, ingin terus mengekalkan jawatan Menteri Besar yang disokong oleh Pak Lah, manakala di satu pihak lain pula Ahmad Said yang mendapat restu Istana ingin mendapatkan jawatan tersebut.

Akhirnya Ahmad Said telah memenangi perebutan itu. Ekoran kemelut itu, timbul beberapa cerita yang tidak enak didengar dari kedua-dua pihak yang bertelingkah. Ini termasuklah pendedahan pembelian 14 buah kereta Mersedes untuk kegunaan exco kerajaan negeri yang baru yang dikatakan tidak wajar dan tidak sesuai kerana pembelian dibuat di masa rakyat menghadapi kenaikan harga barang.

Pendedahan pembelian Mersedes ini dibalas dengan pendedahan harga penyenggaraan kereta-kereta rasmi proton perdana yang tinggi dan tidak munasabah yang telah dibuat semasa pentadbiran lama.

Malah projek Masjid Kristal yang menelan belanja beratus juta ringgit itu juga turut dipersoalkan. Begitu juga dengan dengan wang royalti minyak atau wang ehsan untuk Terengganu, kemana wang yang berbillion ringgit itu dibelanjakan telah menjadi isu dan tanda tanya.

Setelah berapa lama, isu-isu yang hangat itu akhirnya telah dapat disejukkan. Mungkin pihak-pihak yang bertelingkah itu telah menemukan penyelesaian menang-menang.

Sudah tentu dalam pilihanraya kecil pada 17 Januari ini UMNO tidak mahu isu-isu pendedahan yang kontraversial yang lalu itu ditimbulkan semula. Sangatlah perlu ketika ini Idris Jusoh dan Ahmad Said untuk melupakan persengketaan mereka yang lalu bagi menghadapi piliharaya kecil ini secara padu.

Idris Jusoh harus tidak menyimpan dendam lagi walaupun beliau telah dimalukan oleh Ahmad Said. Janganlah nanti Idris Jusoh cuba bertindak menikam dari belakang dan lepas tangan terhadap tindakan-tindakan taksub penyokongnya dengan sekadar berkata,” saya akur dengan dengan kehendak rakyat”.

Pilihanraya kecil ini boleh dijadikan medan bagi mengukur dan menilai sejauh mana rakyat Terengganu bersetuju dan menyokong pentadbiran Menteri Besar Ahmad Said. Ahmad Said menjadi Menteri Besar atas restu Istana bukan atas restu Pak Lah.

Sekiranya UMNO kalah dalam pilihanraya kecil Terengganu akan datang ini, ia juga boleh ditafsirkan sebagai rakyat Terengganu telah menolak kepimpinan Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Diperingkat BN dan PR pula, pilihanraya kecil Terengganu ini amat penting kerana ia dapat memberi isyarat bagaimana penerimaan rakyat terhadap kedua-dua entiti politik ini. Rakyat Terengganu telah melihat kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir beberapa negeri. Sekiranya mereka tertarik dengan cara pentadbiran PR di negeri-negeri tersebut tentu ini akan dapat menarik mereka untuk mengundi PR.
Bagi DS Najib pula, pilihanraya kecil Terengganu ini juga sangat penting bagi beliau untuk melihat maklumbalas penyokong-penyokong UMNO dan BN kepada pelan peralihan kuasa. Pelan peralihan kuasa ini telah didakwa oleh sesetengah pemimpin UMNO sebagai kehendak akar umbi. Dari jumlah undi yang diberikan kepada UMNO nanti, dapatlah kita tentukan samada pelan itu benar-benar mendapat sokongan akar umbi.

Thursday, December 04, 2008

Malaysia Baru 2013 ~ ref Malaysiakini

Kalau mengikut perkiraan biasa, paling lewat Malaysia akan mengadakan pilihanraya umumnya yang ke 13 ialah pada tahun 2013.

Pastinya pilihanraya umum ke 13 ini bakal mencatat sejarah sebagai pilihanraya yang akan menentukan halatuju baru rakyat Malaysia. Tidak keterlaluan kalau dikatakan piliharaya ke 13 pada tahun 2013 itu sebagai bermulanya era Malaysia Baru di mana banyak dasar-dasar lama akan diganti dengan dasar-dasar yang baru.

Dua entiti politik Negara yang sekarang dikenali sebagai Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat pasti akan berebut slogan ‘Malaysia Baru’ dan ‘Perubahan’ atau ‘Change’ bagi menghadapi kempen pilihanraya ke 13 ini.

Slogan ‘Change’ telah membawa tuah kepada Obama semasa beliau menghadapi kempen presidennya. Sudah tentu slogan ini juga akan menjadi tarikan kepada parti-parti politik di Negara kita untuk menggunakannya, sama seperti slogan ‘reformasi’ yang begitu popular di satu masa dulu.

Banyak dasar-dasar Negara dan fahaman politik yang dianggap tidak relevan lagi dan telah dipertikaikan secara terbuka oleh rakyat terutamanya generasi muda. Ini termasuklah konsep ‘kontrak sosial’, dasar ‘ketuanan Melayu’, pelaksanaan DEB dan perpaduan kaum yang longgar yang telah menyebabkan jurang perkauman atau polarisasi kaum semakin menebal.

Kini ramai orang telah sedar dan menyalahkan pengwujudan sekolah-sekolah aliran jenis kebangsaan menyebabkan polarisasi kaum semakin menebal. Kewujudan sekolah aliran jenis kebangsaan ini telah memisahkan kanak-kanak berbeza kaum daripada dapat peluang untuk berkawan dan bergaul.

Sebenarnya tidak salah untuk mengajar anak-anak kita tentang bahasa ibunda dan adat resam kaum masing-masing, tetapi yang salahnya bila kita asingkan sekolah kanak-kanak ini mengikut kaum.

Sebelum isu sekolah berasingan ini hangat diperkatakan, saya telah banyak juga menulis berkaitannya dan banyak surat yang saya tulis ke Malaysiakini berkaitan dengannya. Alhamdulilah, perkara ini semakin hari semakin mendapat perhatian ramai.

Dengan arus fahaman politik yang berubah, saya percaya penyelesaian kearah ‘satu sekolah’ ini akan menjadi kenyataan jua menjelang 2013 nanti. Apabila semua orang sedar betapa pentingnya kepada dasar ‘satu sekolah’, maka orang-orang politik pun akan tidak teragak-agak lagi untuk mengambilnya sebagai satu isu yang dapat menguntungkan politik mereka untuk diperjuangkan.

Di zaman manusia yang semakin cerdik dan celik ini, manusia tidak lagi boleh menerima adanya perbezaan taraf dan darjat disebabkan perbezaan keturunan dan warna kulit. Sebaliknya kualiti manusia adalah ditentukan oleh usaha, sikap, dan kebolehan masing-masing.

Setiap insan dilahirkan bebas, mereka mempunyai hak dan peluang yang sama, tidak ada yang dilahirkan untuk menjadi tuan dan tidak juga untuk menjadi hamba.

Entiti politik mana yang menjadi pilihan rakyat pada pilihanraya ke 13 nanti bergantung kepada keberanian mereka memperjuangkan aspirasi rakyat yang inginkan perubahan ini.

BN telah mula mengorak langkah untuk menjenama semula partinya, parti komponen yang berada dalam BN mula mahu mendengar suara akar umbi mereka. Kedengaran parti-parti komponen yang berada dalam BN telah menyuarakan isu-isu yang tidak senada. Banyak dasar-dasar yang mereka setuju sebelum ini telah dipersoalkan.

Ada pemimpin parti komponen BN telah secara terbuka dan berani mempersoalkan ISA, mempertikaikan konsep ‘ketuanan Melayu’, mempersoalkan pelaksanaan DEB dan ada juga yang mempersoalkan pengasingan sekolah mengikut kaum.

Sebaliknya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pakatan Rakyat pula sibuk untuk mengembalikan kekebalan raja-raja yang telah dimansuhkan oleh UMNO semasa pimpinan Tun Dr. Mahathir dulu.

Saya melihat langkah yang diambil oleh PKR ini merupakan langkah yang ke belakang. Mereka seperti ingin dan berminat untuk kembali ke zaman purbakala. Sistem beraja atau monarki adalah warisan sistem kuno, di zaman itu manusia percaya hanya raja dan keturunannya sahaja yang layak memerintah. Malah ada sesetengah kaum di zaman dulu yang percaya raja adalah dari keturunan Tuhan yang harus disembah.

Mungkin PKR ingin mengambil jalan politik populis hingga hilang pertimbangan dan kewajarannya. Kalau Pakatan Rakyat tidak lagi menonjol untuk membawa pembaharuan kepada rakyat Malaysia, saya tidak nampak mereka boleh menjadi entiti politik pilihan utama dalam pilihanraya ke 13 nanti.

Di zaman manusia yang semakin cerdik, berilmu, bertamaddun dan masyarakat madani, kita diajarkan bahawa manusia semuanya adalah sama. Manusia hari ini tidak dapat lagi menerima sistem feudal, tidak boleh menerima adanya perhambaan sesama manusia, amalan perhambaan telah lama lenyap dari muka bumi ini, dasar aphartheid yang trajis dalam sejarah manusia juga telah berakhir di Afrika Selatan beberapa dekad yang lalu.

Isu persamaan hak, kebebasan, keadilan, ketelusan dan meritokrasi adalah isu-isu kemanusiaan yang akan terus menjadi medan perjuangan utama politik.

Manakala isu-isu yang hanya memperjuangkan kaum sendiri dan memperjuangkan warna kulit bakal akan menjadi isu politik ketinggalan zaman, ahli politik yang memperjuangkannya pasti akan lenyap seperti lenyapnya dinosaur.

Monday, December 01, 2008

Hishamuddin Rais, pendokong setia Sosialis yang dihormati ~ ref Malaysiakini


Selepas perang dunia kedua pada tahun 1945, dunia telah dibahagi kepada dua blok (bukan blog) yang ketara. Satu blok mendokong fahaman kominis (sosialis) dan satu lagi mendokong fahaman demokrasi (kapitalis).


Sistem kominis mempunyai cara urus tadbir politik dan ekonominya tersendiri. Di bawah sistem kominis dan sosialis, tidak membenarkan pemilikan harta secara individu, sebaliknya semua harta adalah milik Negara.


Bertentangan dengan fahaman demokrasi yang percaya kepada politik yang mana pemimpin dipilih oleh rakyat untuk berkhidmat kepada rakyat. Sistem demokrasi menggalakkan pasaran bebas dan membenarkan pemilikan harta individu.


Kedua-dua blok yang menganut ideologi yang berbeza ini sentiasa mendakwa ideologi mereka lebih baik dari ideologi yang lagi satu. Amerika dan Eropah Barat adalah pendokong kuat sistem demokrasi manakala Russia dan China pula pendokong kuat sistem kominis. Mereka bersaing untuk mengembangkan idelogi mereka kepada Negara-negara lain.

Era persaingan meluaskan pengaruh kedua-kedua ideologi ini dikenali sebagai era ‘perang dingin’. Walaupun Amerika dan Russia tidak terlibat dengan perang secara bersemuka tetapi banyak Negara-negara lain terutamanya di Asia Tenggara, Semenanjung Korea, Jerman, Afrika, Timur Tengah dan Afghanistan telah melalui perang saudara disebabkan untuk memenangkan kedua-dua ideologi ini di negara mereka dengan mendapat bantuan dan sokongan dari Amerika dan Russia (USSR) di belakang setiap peperangan itu.

Entah berapa banyak harta musnah, entah berapa banyak jiwa melayang dan rakyat menderita semata-mata disebabkan hendak menegakkan ideologi ciptaaan manusia ini. Kadang-kadang nampak betapa bodohnya kita, tidak mungkin ideologi ciptaan manusia akan jadi ciptaan yang terbaik untuk sepanjang masa dan keadaan. Tetapi peliknya ramai antara kita yang sanggup mati dan membunuh kerana hendak mempertahankannya.

Kominis dan demokrasi bukanlah wahyu dari Tuhan yang wajib untuk kita pertahankan. Tetapi kenapa ramai manusia sanggup mati syahid untuk mempertahankannya?

Kita boleh saja memilih kominis, sosialis, demokrasi, monarki, autokrasi, militari atau apa saja sistem yang kita rasa sesuai tetapi janganlah sampai kita menjadi taksub kepada sistem itu sehingga kita sanggup membunuh, memusnahkan harta benda, membuatkan rakyat menderita semata-mata hendak sistem yang kita anggap terbaik itu menjadi kenyataan.

Seperti mana Islam yang tidak pernah menetapkan fesyen baju apa yang kita kena pakai, makanan apa yang kita kena makan, begitu jugalah Islam tidak pernah menyatakan sistem politik mana yang kita kena guna.

Yang ditekankan oleh Islam ialah dasar-dasar dan nilai-nilai yang perlu ada ketika kita berpakaian, makan dan berpolitik. Maha Suci Tuhan yang Maha Mengetahui, cara pakaian, makanan dan politik kita sentisa berubah mengikut tempat, keadaan dan masa, tetapi nilai dan dasar tidak akan berubah hingga hari kiamat.

Pakailah apa saja yang kita suka mengikut keadaan iklim dan zaman, asalkan tidak mendedahkan aurat. Makanlah samada nasi, roti, pisang mengikut makanan yang ada ditempat kita asalkan makanan itu halal. Pilihlah corak politik apa pun yang kita suka yang boleh mendatangkan kebaikan kepada masyarakat umum, asalkan ada keadilan dan ada mesyuarah dalam menyelesaikan semua permasalahan.

Tidak salah kalau orang Johor mendakwa ‘laksa johor’ adalah laksa yang paling sedap dalam dunia, dan tidak salah juga kalau orang Pulau Pinang mendakwa ‘laksa penang’ adalah laksa yang paling sedap dalam dunia. Tetapi adalah suatu kerja bodoh dan keterlaluan kalau kita sanggup membunuh orang yang mendakwa laksa yang selain dari laksa yang kita suka sebagai laksa paling sedap di dunia.

Dengan jumlah rakyat mencecah lebih dari seribu juta, sistem Kominis memang sesuai kepada Negara China untuk menjamin semua rakyatnya mendapat keperluan asas yang cukup.

India juga mempunyai rakyat yang ramai, tetapi India mengamalkan sistem demokrasi. Telah menjadi pemandangan biasa di Bandar-bandar besar India, ramai rakyatnya hidup sebagai peminta sedekah dan tinggal di kaki-kaki lima tanpa ada rumah.

Dari dua Negara contoh di atas, dapat kita perhatikan dari sudut untuk menjaga keperluan asas bagi setiap rakyat, pendekatan sistem Kominis kelihatan lebih praktikal dan berjaya.

Namun demikian dari sudut-sudut lain sistem kominis juga ada kelemahan-kelemahan yang lain, kerana tidak ada ciptaan manusia yang sempurna untuk semua tempat, semua keadaan dan semua masa.

Antara moto yang sangat popular semasa kemuncaknya pengaruh kominis di masa dulu ialah kominis dapat membahagikan kekayaan sama rata kepada semua rakyat. Tetapi akhirnya apa yang terjadi ialah mereka sekadar berjaya dapat membahagikan kemiskinan sama rata.

Janganlah kita menjadi taksub kepada perkara yang Tuhan tidak membenarkan kita taksub. Buat apalah kita taksub sangat kepada kominis dan juga demokrasi. Yang lebih penting kita ambillah perkara-perkara yang baik dari kedua-duanya dan tinggalkan benda-benda yang kurang baik.

Ada perkara-perkara yang boleh dan lebih sesuai untuk dimilik Negara dan ada perkara yang dibenarkan pemilikan oleh individu.

Abdul Rahman bi Auf adalah peniaga dan hartawan yang tersohor di zaman Rasulullah. Ini menunjukkan Nabi tidak menentang pemilikan harta individu.

Kita tidak menentang pemilikan harta individu, tetapi yang kita tentang ialah kapitalis yang berniat untuk mencari keuntungan maksimum dan hidup yang membazir dan bermewah-mewah.

Dalam Islam kita ada rasa tanggungjawab sosial dan tidak boleh hidup membazir dan terlalu bermewah. Harta dan kekayaan yang kita miliki seharusnya digunakan untuk membuat amal kebaikan, S.O Ubaidillah dan Syed Mokhtar Al Bukhary adalah contoh usahawan dan hartawan yang patut kita contohi sikapnya.

Sebagai orang Islam, tugas utama kita ialah membuat amal kebaikan. Apa saja kelebihan dan anugerah yang diberi Tuhan kepada kita tentulah akan kita gunakan untuk membuat kebaikan dan menabur bakti.

Di manakah perasaan kita kalau kita sanggup menghisap sebatang curut yang berharga RM500 untuk kepuasan menghisap asap untuk masa satu jam, pada hal dengan wang RM500 itu boleh menanggung makan seorang miskin yang berada di Ulu Kelawang untuk tempoh sebulan.

Di manakah perasaan kita kalau kita sanggup menaiki kapal terbang ke New York semata-mata teringin hendak menikmati sepotong kek di sebuah restoran di sana, pada hal dengan kos penerbangan itu cukup untuk menampung perbelanjaan sebuah keluarga miskin di Ulu Tembeling selama beberapa bulan.

Kita boleh kata, duit aku, aku punya sukalah nak beli apapun. Kalau pun duit kita terlalu banyak, ini tidak bermakna kita boleh beli apa saja dengan cara yang membazir dan beli lebih dari yang kita perlukan.

Bila kita menggunakan minyak atau apa saja secara membazir, ini akan hanya menambah permintaan, bila permintaan bertambah harga akan meningkat. Bila harga minyak meningkat, ini akan menyusahkan orang ramai yang benar-benar memerlukan dan menggunakan bahan tersebut.

Sekalipun kalau ada orang kaya yang tidak menyumbang secara langsung kepada orang miskin tetapi dalam masa yang sama orang kaya tersebut tidak hidup secara membazir, ini juga boleh membantu golongan miskin kerana sikap tidak membazir mereka itu boleh mengekang kenaikan harga barang.

Tambahan lagi, duit dari orang-orang kaya yang di simpan dalam bank dapat digunakan oleh bank untuk membantu orang ramai mendapatkan berbagai pinjaman.

Ideologi mana yang lebih baik bukanlah perkara penting yang perlu bermati-matian untuk kita perjuangkan. Yang lebih penting dari itu ialah berapa banyak amal bakti dan kebaikan yang telah kita sumbangkan kepada masyarakat.

Seperti yang telah dijanjikan, manusia yang beriman dan tidak putus-putus membuat kebaikan, insyallah mereka akan mendapat balasan syurga di sisi Allah.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com