Kadang-kadang undang-undang yang dibuat begitu pelik sekali. Sebagai contoh, adalah menjadi kesalahan kepada ibubapa jika mereka tidak menyekolahkan anak-anak mereka, tetapi dalam masa yang sama, ada undang-undang yang membolehkan murid digantung dari menghadiri sekolah sebagai hukuman jika mereka melakukan kesalahan-kesalahan yang tertentu.
Kelihatannya agak pelik, satu undang-undang dibuat untuk menggalakan anak-anak bersekolah manakala yang satu lagi pula seperti hendak menyekat mereka ke sekolah.
Budak-budak yang berkelakuan nakal disekolah, yang suka bergaduh atau berperangai samseng boleh mengganggu pelajar-pelajar lain yang ingin belajar. Mereka bukan saja mengganggu pelajar lain untuk belajar tetapi juga boleh mendatangkan rasa takut kepada pelajar dan guru.
Langkah menggantung sekolah atau memindahkan murid-murid yang berperangai samseng ini ke sekolah lain bukanlah merupakan satu langkah bijak, malah tindakan itu boleh menjadikan mereka menjadi lebih liar lagi.
Kononnya dengan menggantung sekolah, murid ini akan berasa rugi kerana tidak dapat belajar dalam tempoh penggantungan tersebut. Tetapi apakah murid-murid samseng ini ada mempunyai perasaan sedemikian?
Daripada menggantung mereka dari sekolah, adalah lebih baik lagi kalau murid-murid samseng ini hantar ke sekolah khas untuk pemulihan. Di sekolah pemulihan ini, murid-murid samseng ini dipantau dengan lebih rapi, selain dari dapat mendisiplinkan mereka semula, mereka dapat meneruskan pembelajaran akademik seperti di sekolah biasa.
Tempoh lama mana mereka harus berada disekolah pemulihan itu bergantung kepada laporan kelakuan mereka. Jika guru-guru di sekolah itu berpuashati dengan tahap disiplin mereka, barulah mereka dibenarkan belajar di sekolah biasa semula.
Mungkin Negara kita perlukan beberapa buah sekolah pemulihan seperti ini untuk mengasingkan pelajar-pelajar yang berperangai samseng. Ini dapat menjamin pelajar-pelajar yang betul-betul ingin belajar tidak diganggu oleh mereka.
Mungkin ini merupakan langkah penyelesaian jangka pendek. Untuk penyelesaian jangka panjang banyak lagi perkara yang harus dilakukan yang melibatkan masyarakat keseluruhannya.
Anak-anak kita harus dididik untuk berbangga dengan amalan yang mulia. Entah di mana silapnya anak-anak kita lebih bangga untuk menjadi jahat, murid-murid sekolah ini bangga kalau mereka mempunyai kawan dari kumpulan samseng di luar sekolah.
Oleh itu untuk jangka panjang kita harus mendidik masyarakat secara berterusan supaya mereka boleh berbangga atau suka untuk melakukan kebaikan dan menghayati nilai-nilai yang mulia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
my playlist
Create a playlist at MixPod.com
No comments:
Post a Comment