Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, October 22, 2008

Nostalgia Pesta Bola Merdeka

Mengimbau kembali zaman keagungan Pesta bola Merdeka pada tahun 60an dan 70an amatlah menyeronokkan. Walaupun sekadar mendengar siaran langsung di radio kerana masa itu tidak ada TV di kampong kami, tetapi kehangatan pesta bola ini sangat terasa di kalangan orang-orang kampong di waktu itu.

Bila musim Pesta Bola Merdeka ini tiba, kita semua akan dilanda ‘demam’ bola. Semua orang akan bercakap pasal bola, bukan sahaja nama-nama penyerang pasukan Malaysia malah nama-nama penyerang pasukan Korea Selatan dan Jepun pun lekat dibibir anak-anak muda.

Setiap kali bertemu dengan rakan-rakan tentulah topik bola menjadi perbualan utama, macam-macam ulasan dan kritikan yang mereka buat terhadap pemain-pemain dan perlawanan yang berlangsung.

Setiap pasukan bola dari Negara luar itu mempunyai corak permainan dan perangainya tersendiri, sebagai contoh pasukan Korea Selatan suka melambat-lambatkan permainan bila pasukannya mendahului bilangan gol. Penjaga gol Korea akan memegang bola agak lama sebelum menendang semula ke tengah padang. Sikap mereka itu kadang-kadang menaikkan kemarahan penonton.

Yang membuatkan kita suka mengikuti pertandingan bola masa itu ialah kerana semangat juang yang tinggi yang dipamerkan oleh pemain-pemain Negara. Masa itu belum ada lagi penyakit rasuah menghinggapi pemain-pemain bola kita.

nama

Walaupun di waktu itu kita tidak mempunyai kelengkapan sukan bola yang canggih, dan pemain-pemain tidak mendapat habuan yang lumayan tetapi mereka tetap bermain dengan gigih dan bersemangat juang tinggi demi untuk mengharumkan nama Negara.

Orang ramai pun sentiasa memberi sokongan penuh kepada pasukan bola Negara. Mereka sanggup datang dari jauh, dari serata pelusuk Negara semata-mata untuk memberi sokongan moral kepada pemain. Mereka turut bangga kalau pasukan bola Negara mencapai kejayaan kerana kejayaan ini akan mengharumkan nama Negara.

Beza antara pemain bola zaman dahulu dengan pemain bola zaman sekarang, pemain zaman dahulu bermain untuk mengharumkan nama Negara sedangkan pemain zaman sekarang lebih kepada untuk mengharumkan nama sendiri.

Ini kerana pemain sekarang lebih memikirkan kepada habuan yang mereka dapat, lagi harum nama mereka lagi banyaklah habuan yang bakal mereka terima. Mereka bukan saja dapat hadiah-hadiah yang lumayan dari setiap pertandingan yang dimenangi tetapi juga mendapat perhatian dari syarikat-syarikat ternama untuk pengiklanan produk mereka.

Selain dari itu, faktor yang membuatkan orang ramai terus berminat untuk mengikuti perkembangan setiap pertandingan di Pesta Bola Merdeka ketika itu ialah tahap pasukan bola Negara kita setanding dengan pasukan luar yang mengambil bahagian.

Ketika itu Malaysia, Korea Selatan dan Jepun merupakan pasukan-pasukan yang terkuat dalam pertandingan Pesta Bola Merdeka. Kalau tidak pun menjadi juara, Malaysia adalah naib juara. Dengan kata lain Malaysia sekurang-kurangnya akan menempah perlawanan akhir.

Tentulah kehangatan Pesta Bola Merdeka akan hilang jika Malaysia sebagai pasukan tuan rumah kecundang di suku akhir lagi. Inilah yang berlaku sejak kebelakangan ini di mana pasukan Malaysia sudah tersingkir di peringkat awal lagi.

Pekerja asing

Memandangkan Negara kita dibanjiri oleh pekerja-pekerja asing dari rantau ASEAN, Bangladesh dan Nepal maka amat sesuai kalau Pesta Bola Merdeka ini disertai oleh semua Negara dalam ASEAN, Bagladesh dan Nepal selain dari Jepun dan Korea Selatan. Ini dapat menjamin setiap perlawanan dalam pertandingan itu akan ada penontonnya.

Saya tidak nampak kesesuaian dan perlunya kita menjemput pasukan dari Afrika seperti Sierra Leone dan Mozambique, dan Afghanistan menyertai Pesta Bola Merdeka ini. Negara-negara itu terletak jauh dari rantau ini yang tidak memungkinkan peminat-peminat mereka datang ke sini untuk menonton.

Manakala Jepun dan Korea Selatan pula memang patut kita jemput kerana kedua-dua Negara ini adalah sebahagian dari sejarah Pesta Bola Merdeka itu sendiri. Tambahan pula pasukan bola dari kedua-dua Negara ini telah pun mencapai pasukan bola yang bertaraf dunia.

Teringin sangat rasanya kalau dapat dikembalikan semula kegemilangan Pesta Bola Merdeka ini seperti di tahun-tahun 60an dan 70an dulu. Ini hanya boleh berlaku jika ada usaha yang ikhlas dan sungguh-sungguh dari semua pihak serta strategi yang tepat.

2 comments:

. said...

Tuan,

Saya telah memasukkan blog tuan dalam blogroll saya (25 posting terkini). Sekiranya difikirkan sesuai, saya mohon jasa baik tuan memasukkan blog saya dalam blogroll tuan. Terima kasih atas segala kebaikan.

http://nobisha.blogspot.com

Jeepers Creepers said...

Saya sokong pendapat saudara.

Lebih baik kita menjemput pemain dari negara asean. Mungkin suatu hari nanti kita mampu mengadakan liga sehebat liga inggeris.

Pemain dulu bermain ikhlas untuk negara manakala pemian sekarang hanya untuk perut sendiri.

Begitu jugalah ahli politik masakini. ahli politik dahulu ikhlas berjuang untuk parti, bangsa, agama dan negara tetapi sekarang mereka hanya pentingkan diri dan kroni.

http://malaysiaheaven.blogspot.com

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com