Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, October 31, 2008

Maka Berkatalah Bapa Modal Insan kita. ~ref Malaysiakini


Petikan dari Utusan Malaysia 31 Oktober 2008:
KUALA LUMPUR 30 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, modal insan
adalah satu aspek yang perlu sentiasa dititikberatkan dalam bidang ketenteraan
terutama untuk menuju ke arah negara maju.
Untuk mencapai matlamat itu, kata
Perdana Menteri, semua pihak perlu menanam keyakinan bahawa Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) berkemampuan untuk mempertahankan negara dalam apa jua
keadaan.
Jelas beliau, misi nasional sangat berkait rapat dengan peningkatan
kemajuan angkatan tentera itu sendiri.
Katanya, disebabkan faktor tersebut,
semua anggota dalam perkhidmatan ATM perlu melengkapkan diri dengan ilmu
ketenteraan dan persenjataan yang paling moden bagi mengukuhkan benteng
pertahanan negara.
"Apa guna kita membeli senjata atau peralatan canggih
tetapi tidak tahu menggunakannya atau hanya tahu menggunakannya dalam beberapa
cara sahaja sedangkan ia boleh digunakan melalui banyak cara.
"Contohnya,
tidak ada gunanya jika dibekalkan dengan senjata canggih tetapi hanya tahu
menggunakan 10 daripada 20 fungsi senjata itu," katanya ketika berucap pada
Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertahanan di sini.

Buat masa sekarang negara-negara di rantau sebelah Asia Tenggara boleh dikatakan jauh dari berlaku ketegangan yang boleh membawa ke kancah perang. Oleh itu tidaklah begitu sesuai dan tidak bijak kalau kita membelanjakan jumlah wang yang besar dalam pembelian kelengkapan senjata dan memperbesarkan pasukan tentera kita. Apatah lagi di waktu dunia sedang menghadapi krisis ekonomi seperti sekarang ini.

Apa yang lebih bermanafaat untuk dilakukan kepada angkatan tentera kita sekarang ini ialah memberi tumpuan kepada bidang Penyelidikan dan Pembangunan kelengkapan senjata perang untuk mewujudkan pakar-pakar kita sendiri bagi menghasilkan senjata-senjata moden dan canggih.

Kita tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada Negara-negara maju untuk membekalkan senjata perang bagi Negara kita dengan terpaksa membayar harga yang sangat mahal. Oleh kerana kita tidak terlibat dengan peperangan untuk jangka masa yang panjang maka kelengkapan dan senjata perang yang kita beli mahal ini mungkin tidak akan digunakan langsung sehingga ia menjadi usang dan tidak boleh digunakan lagi.

Sebagai Negara yang sedang menuju ke arah Negara maju, kita sepatutnya bukan sekadar berbangga kerana pandai mengguna senjata canggih yang kita beli dari luar, tetapi Negara kita akan lebih dihormati lagi jika kita pandai mencipta dan mengeluarkan senjata perang kita sendiri.

Di Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, penemuan-penemuan teknologi dalam kelengkapan dan peralatan perang ini juga telah dimanafaatkan bagi memajukan bidang-bidang lain seperti bidang angkasa dan perubatan.

Menambah anggota tentera akan hanya menambah belanja untuk membayar gaji mereka, sedangkan kita bukan berada dalam suasana perang yang memerlukan ramai tentera. Kerja-kerja yang banyak dilakukan oleh pasukan tentera kita sekarang hanyalah berbentuk kerja-kerja pemantauan sempadan. Kalau kita dapat mencipta alat-alat pemantauan yang canggih tentu kerja-kerja pemantauan yang banyak bergantung kepada kepada tenaga manusia ini juga dapat dikurangkan.

Buat apalah kita mempunyai bilangan angkatan tentera yang ramai tetapi tidak berperang, mereka seolah-olah duduk bersiap siaga begitu sahaja, menunggu kalau-kalau berlaku perang. Tentu lebih baik kalau tenaga mereka itu disalurkan untuk membuat kerja-kerja yang lebih produktif.

Sebagai gantian kita boleh mewujudkan pasukan-pasukan sukarela yang mendapat latihan ketenteraaan yang boleh digunakan khidmat mereka bila Negara diancam peperangan. Disamping mendapat latihan ketenteraan, mereka boleh bekerja seperti rakyat biasa. Dengan itu kerajaan tidak perlu membayar gaji bulanan seperti terpaksa membayar gaji tentera seperti sekarang ini.

Yang patut diutamakan di waktu ini ialah membesarkan pasukan polis, ini perlu kerana meningkatnya jenayah dan gejala sosial yang berlaku sekarang ini. Nisbah bilangan anggota polis dengan penduduk terlalu besar manakala kadar jenayah semakin bertambah, keadaan semakin buruk dengan kebanjiran pendatang-pendatang asing ke Negara kita yang banyak menimbulkan kegiatan-kegiatan yang kurang sihat.

Monday, October 27, 2008

Gantung sekolah bukan jalan penyelesaian. ~ref Malaysiakini

Kadang-kadang undang-undang yang dibuat begitu pelik sekali. Sebagai contoh, adalah menjadi kesalahan kepada ibubapa jika mereka tidak menyekolahkan anak-anak mereka, tetapi dalam masa yang sama, ada undang-undang yang membolehkan murid digantung dari menghadiri sekolah sebagai hukuman jika mereka melakukan kesalahan-kesalahan yang tertentu.

Kelihatannya agak pelik, satu undang-undang dibuat untuk menggalakan anak-anak bersekolah manakala yang satu lagi pula seperti hendak menyekat mereka ke sekolah.

Budak-budak yang berkelakuan nakal disekolah, yang suka bergaduh atau berperangai samseng boleh mengganggu pelajar-pelajar lain yang ingin belajar. Mereka bukan saja mengganggu pelajar lain untuk belajar tetapi juga boleh mendatangkan rasa takut kepada pelajar dan guru.

Langkah menggantung sekolah atau memindahkan murid-murid yang berperangai samseng ini ke sekolah lain bukanlah merupakan satu langkah bijak, malah tindakan itu boleh menjadikan mereka menjadi lebih liar lagi.

Kononnya dengan menggantung sekolah, murid ini akan berasa rugi kerana tidak dapat belajar dalam tempoh penggantungan tersebut. Tetapi apakah murid-murid samseng ini ada mempunyai perasaan sedemikian?

Daripada menggantung mereka dari sekolah, adalah lebih baik lagi kalau murid-murid samseng ini hantar ke sekolah khas untuk pemulihan. Di sekolah pemulihan ini, murid-murid samseng ini dipantau dengan lebih rapi, selain dari dapat mendisiplinkan mereka semula, mereka dapat meneruskan pembelajaran akademik seperti di sekolah biasa.

Tempoh lama mana mereka harus berada disekolah pemulihan itu bergantung kepada laporan kelakuan mereka. Jika guru-guru di sekolah itu berpuashati dengan tahap disiplin mereka, barulah mereka dibenarkan belajar di sekolah biasa semula.

Mungkin Negara kita perlukan beberapa buah sekolah pemulihan seperti ini untuk mengasingkan pelajar-pelajar yang berperangai samseng. Ini dapat menjamin pelajar-pelajar yang betul-betul ingin belajar tidak diganggu oleh mereka.

Mungkin ini merupakan langkah penyelesaian jangka pendek. Untuk penyelesaian jangka panjang banyak lagi perkara yang harus dilakukan yang melibatkan masyarakat keseluruhannya.

Anak-anak kita harus dididik untuk berbangga dengan amalan yang mulia. Entah di mana silapnya anak-anak kita lebih bangga untuk menjadi jahat, murid-murid sekolah ini bangga kalau mereka mempunyai kawan dari kumpulan samseng di luar sekolah.

Oleh itu untuk jangka panjang kita harus mendidik masyarakat secara berterusan supaya mereka boleh berbangga atau suka untuk melakukan kebaikan dan menghayati nilai-nilai yang mulia.

Wednesday, October 22, 2008

Nostalgia Pesta Bola Merdeka

Mengimbau kembali zaman keagungan Pesta bola Merdeka pada tahun 60an dan 70an amatlah menyeronokkan. Walaupun sekadar mendengar siaran langsung di radio kerana masa itu tidak ada TV di kampong kami, tetapi kehangatan pesta bola ini sangat terasa di kalangan orang-orang kampong di waktu itu.

Bila musim Pesta Bola Merdeka ini tiba, kita semua akan dilanda ‘demam’ bola. Semua orang akan bercakap pasal bola, bukan sahaja nama-nama penyerang pasukan Malaysia malah nama-nama penyerang pasukan Korea Selatan dan Jepun pun lekat dibibir anak-anak muda.

Setiap kali bertemu dengan rakan-rakan tentulah topik bola menjadi perbualan utama, macam-macam ulasan dan kritikan yang mereka buat terhadap pemain-pemain dan perlawanan yang berlangsung.

Setiap pasukan bola dari Negara luar itu mempunyai corak permainan dan perangainya tersendiri, sebagai contoh pasukan Korea Selatan suka melambat-lambatkan permainan bila pasukannya mendahului bilangan gol. Penjaga gol Korea akan memegang bola agak lama sebelum menendang semula ke tengah padang. Sikap mereka itu kadang-kadang menaikkan kemarahan penonton.

Yang membuatkan kita suka mengikuti pertandingan bola masa itu ialah kerana semangat juang yang tinggi yang dipamerkan oleh pemain-pemain Negara. Masa itu belum ada lagi penyakit rasuah menghinggapi pemain-pemain bola kita.

nama

Walaupun di waktu itu kita tidak mempunyai kelengkapan sukan bola yang canggih, dan pemain-pemain tidak mendapat habuan yang lumayan tetapi mereka tetap bermain dengan gigih dan bersemangat juang tinggi demi untuk mengharumkan nama Negara.

Orang ramai pun sentiasa memberi sokongan penuh kepada pasukan bola Negara. Mereka sanggup datang dari jauh, dari serata pelusuk Negara semata-mata untuk memberi sokongan moral kepada pemain. Mereka turut bangga kalau pasukan bola Negara mencapai kejayaan kerana kejayaan ini akan mengharumkan nama Negara.

Beza antara pemain bola zaman dahulu dengan pemain bola zaman sekarang, pemain zaman dahulu bermain untuk mengharumkan nama Negara sedangkan pemain zaman sekarang lebih kepada untuk mengharumkan nama sendiri.

Ini kerana pemain sekarang lebih memikirkan kepada habuan yang mereka dapat, lagi harum nama mereka lagi banyaklah habuan yang bakal mereka terima. Mereka bukan saja dapat hadiah-hadiah yang lumayan dari setiap pertandingan yang dimenangi tetapi juga mendapat perhatian dari syarikat-syarikat ternama untuk pengiklanan produk mereka.

Selain dari itu, faktor yang membuatkan orang ramai terus berminat untuk mengikuti perkembangan setiap pertandingan di Pesta Bola Merdeka ketika itu ialah tahap pasukan bola Negara kita setanding dengan pasukan luar yang mengambil bahagian.

Ketika itu Malaysia, Korea Selatan dan Jepun merupakan pasukan-pasukan yang terkuat dalam pertandingan Pesta Bola Merdeka. Kalau tidak pun menjadi juara, Malaysia adalah naib juara. Dengan kata lain Malaysia sekurang-kurangnya akan menempah perlawanan akhir.

Tentulah kehangatan Pesta Bola Merdeka akan hilang jika Malaysia sebagai pasukan tuan rumah kecundang di suku akhir lagi. Inilah yang berlaku sejak kebelakangan ini di mana pasukan Malaysia sudah tersingkir di peringkat awal lagi.

Pekerja asing

Memandangkan Negara kita dibanjiri oleh pekerja-pekerja asing dari rantau ASEAN, Bangladesh dan Nepal maka amat sesuai kalau Pesta Bola Merdeka ini disertai oleh semua Negara dalam ASEAN, Bagladesh dan Nepal selain dari Jepun dan Korea Selatan. Ini dapat menjamin setiap perlawanan dalam pertandingan itu akan ada penontonnya.

Saya tidak nampak kesesuaian dan perlunya kita menjemput pasukan dari Afrika seperti Sierra Leone dan Mozambique, dan Afghanistan menyertai Pesta Bola Merdeka ini. Negara-negara itu terletak jauh dari rantau ini yang tidak memungkinkan peminat-peminat mereka datang ke sini untuk menonton.

Manakala Jepun dan Korea Selatan pula memang patut kita jemput kerana kedua-dua Negara ini adalah sebahagian dari sejarah Pesta Bola Merdeka itu sendiri. Tambahan pula pasukan bola dari kedua-dua Negara ini telah pun mencapai pasukan bola yang bertaraf dunia.

Teringin sangat rasanya kalau dapat dikembalikan semula kegemilangan Pesta Bola Merdeka ini seperti di tahun-tahun 60an dan 70an dulu. Ini hanya boleh berlaku jika ada usaha yang ikhlas dan sungguh-sungguh dari semua pihak serta strategi yang tepat.

Saturday, October 18, 2008

Najib, pemimpin UMNO terakhir, ~ref Malaysiakini

Kita telah melihat bagaimana kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir dan Pak Lah semasa menjadi Perdana Menteri telah memaksa mereka melepaskan jawatannya sekalipun parti mereka tidak pernah kalah dalam pilihan raya umum dan mereka juga bukan dikalahkan dalam pemilihan parti UMNO.

Mahathir pada mulanya merupakan pemimpin yang disayangi oleh semua rakyat tetapi setelah melakukan beberapa kesilapan telah menyebabkan beliau dibenci oleh orang-orang Melayu.

Bermula dengan krisis matawang yang melanda Negara pada tahun 1998, menyebabkan beliau mengambil langkah yang tidak disenangi oleh berbagai pihak dengan ‘bail out’ syarikat-syarikat mega yang diteraju oleh kroni dan anak-anaknya.

Tindakannya itu juga tidak dipersetujui oleh timbalannya Anwar Ibrahim yang juga merangkap Menteri Kewangan ketika itu. Pertelingkahan itu berakhir dengan pemecatan Anwar Ibrahim dari semua jawatan dalam kerajaan dan parti. Tindakan Dr. Mahathir memecat Anwar itu telah menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan orang-orang Melayu.

Akhirnya bagi memulihkan dan membersihkan namanya Mahathir terpaksa menutup kesalahannya dengan kesalahan lain.

Media perdana, Polis, BPR dan makamah yang telah dikuasainya sebelum itu telah digunakan untuk membersihkan namanya dan ‘memusnahkan’ musuh-musuh politiknya.

Tetapi bangkai gajah masakan boleh ditutup, mulut tempayan bolehlah ditutup. Akhirnya beliau akur dengan kehendak rakyat jelata terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri kerana tidak mahu dirinya menjadi beban kepada UMNO.

Pak Lah

Seterusnya beliau telah diganti oleh Pak Lah. Pak Lah dikenali sebagai pemimpin peringkat tinggi UMNO yang baik dan bersih. Pak Lah telah diterima oleh rakyat dengan baik dan rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada beliau bagi memperbaiki segala kerosakan yang telah dilakukan oleh Mahathir.

Hasrat Pak Lah untuk memberi lebih kebebasan kepada media, menghapuskan rasuah, meningkatkan kredibiliti Polis dan BPR, membebaskan badan perundangan dan makamah dari badan esekutif sangat dialu-alukan oleh orang ramai yang cintakan demokrasi dan ketelusan.

Tetapi silapnya Pak Lah, beliau dikatakan terlalu dipengaruhi oleh nasihat anak-anak dan menantu. Pak Lah juga dilihat sebagai pemimpin yang lemah dan tidak berkesan. Akhirnya dia jadi pemimpin yang cakap tak serupa bikin.

Strategi politik Pak Lah yang salah dengan mengambil pendekatan memusuhi kumpulan Hindraf yang merupakan sebahagian dari suara kaum India juga telah mengundang masalah kepada beliau.

Rasa tidak puas hati ahli-ahli UMNO, kaum Cina dan kaum India kepada Pak Lah telah ditunjukkan dalam pilihanraya umum ke 12 yang lalu di mana prestasi BN telah jatuh kepada tahap terburuk dalam sejarah.

Setelah digesa oleh pemimpin-pemimpin kanan dalam UMNO akhirnya Pak Lah terpaksa menerima kenyataan yang beliau tidak disukai oleh ramai pemimpin-pemimpin UMNO. Dengan rasa penuh tanggungjawab beliau telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatan Presiden UMNO pada Mac 2009 ini.

Najib

Kalau Dr. Mahathir dan Pak Lah melakukan kesilapan semasa menjadi Perdana Menteri tetapi berlain dengan Najib.

Najib banyak dikaitkan dengan kesalahan moral dan isu komisyen pembelian kelengkapan angkatan tentera yang kontraversial. Beliau dan isteri beliau Rosmah Mansor juga telah dikaitkan dengan kes pembunuhan wanita cantik Mongolia yang sedang dibicarakan di makamah sekarang ini.

Rosmah Mansor isteri Najib juga turut menjadi perbualan orang ramai, kononnya semasa Najib melamar Rosmah untuk menjadi isteri, Rosmah masih lagi isteri orang. Dikatakan Najib telah membayar wang tebus talak yang mahal kepada suaminya ketika itu untuk memiliki Rosmah.

Najib pernah menjadi perbualan ramai bila dia dikatakan ditangkap berkhalwat dengan artis Ziana Zain di Port Dickson pada satu masa dulu. Ziana Zain dan Najib sendiri telah menafikan sekeras-kerasnya yang mereka terlibat dalam kes khalwat itu, dan juga telah diperakukan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan sebagai berita yang tidak benar. Tetapi di masa itu orang ramai belum berminat dengan sumpah laknat, oleh itu tidaklah mereka yang terlibat di masa itu disaran bersumpah laknat.

Walaupun kesalahan dan kesilapan Najib ini tidak pernah dibuktikan samada salah atau tidak tetapi mulut manusia memang sukar untuk ditutup dari terus bercerita dari seorang ke seorang.
Tanggapan serong orang ramai kepada Najib dan isterinya Rosmah mungkin akan memberi jalan sukar kepada Najib untuk menjadi pemimpin yang disukai dan disayangi oleh rakyat apabila beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri tahun 2009 ini.

Secara peribadi saya melihat Najib bukanlah orang yang dilahirkan untuk menjadi pemimpin, dia menjadi pemimpin sekadar untuk mengisi kekosongan kepimpinan.

Dia bukan pemimpin yang mempunyai visi dan idealism, dia mungkin sekadar pelangsung kepada legasi pemimpin-pemimpin terdahulu. Saya yakin beliau tidak boleh menjadi seorang pemimpin yang hebat, saya percaya kepimpinannya tidak akan lebih hebat dari Pak Lah atau Tun Husein On.

Najib diketengahkan menjadi pemimpin sebab faktor bapanya Alahyarham Tun Razak. Dengan kata lain Najib adalah pemimpin yang diwariskan dari ayahnya dan bukannya sepenuhnya terletak kepada kualiti kepimpinan semulajadi. Pilihanraya yang disertainya hanyalah sekadar untuk menobatkannya menjadi pemimpin.

Najib juga mendapat jawatan Timbalan Presiden UMNO tanpa melalui pertandingan. Siapalah Khairi Jamaludin tanpa menjadi menantu Perdana Menteri. Kalau semasa menjadi mertua kepada Perdana Menteri, Khairi Jamaludin boleh berkata yang dirinya sebagai ‘shooting star’ tapi bila Pak Lah hilang taringnya, kini Khairi hanya mampu mendakwa dirinya sebagai calun ‘underdog’ sahaja. Begitu jugalah dengan Najib, siapalah Najib kalau tanpa menjadi anak Tun Razak.

Ada kemungkinan juga selepas ini , orang parti Keadilan yang bencikan Mahathir yg telah kembali kepangkuan UMNO semasa Pak Lah mengambil alih kepimpinan Negara, seperti Roslan Kasim dan Lokman Adam tidak akan berasa selesa bila Najib menjadi Perdana Menteri yang dilabel sebagai penerus era Mahathir itu.

Penerimaan

Mahathir dan Pak Lah diterima rakyat dengan baik ketika mereka memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri. Sebaliknya rakyat menyambut Najib dengan penuh curiga ekoran dari berbagai ‘skandal’ yang menyelubungi kehidupannya.

Apa yang kita sangat bimbangkan ialah kalau Najib juga akan mengambil pendekatan menutup kesalahan dengan kesalahan lain bagi membersihkan namanya.

Untuk tujuan membersihkan dan menjaga namanya, ada kemungkinan kebebasan media akan ditarik balik dan media akan dipastikan berada di bawah penguasaannya. Kebebasan bersuara akan disekat melalui undang-undang yang digubal.

Sekali lagi kita bakal akan melihat zaman gerhananya demokrasi akan berulang di Malaysia, dimana Polis, BPR, makamah tidak lagi bebas, yang akan dikuasai oleh pemimpin politik bagi mengekalkan kuasa mereka. Media perdana dan SPR juga akan terus diperalatkan untuk mengekalkan kemenangan dalam pilihanraya.

Agensi-agensi kerajaan sewenangnya akan dipergunakan sebagai jentera dan alat propaganda parti yang memerintah. Bila ini berlaku kita akan dicengkam oleh sistem kuku besi atau autokratik. Kita akan ditakut-takutkan melalui kursus-kursus Bina Negara atau kursus yang sewaktu dengannya.

Di masa itu pilihanraya yang diadakan hanyalah sekadar topeng untuk mengesahkan Negara kita sebuah Negara yang mengamalkan demokrasi.

Masih saya ingat lagi kata-kata sinis Dr. Mahathir, “Sayalah satu-satunya dictator di dunia yang terpilih melalui pilihanraya”.

Monday, October 13, 2008

Ranking universiti dan Professor Kangkung.~ref Malaysiakini

Berbagai reaksi timbul bila membaca berita Malaysiakini yang melapurkan tidak ada universiti negara kita yang termasuk dalam kelompok 200 universiti terbaik di dunia.

Berikut komen dari saya:

Kecemerlangan sesebuah universiti banyak bergantung kepada keupayaan tenaga akademiknya. Universiti adalah tempat dimana ilmu peringkat paling tinggi diajarkan. Universiti adalah juga tempat ilmu-ilmu baru ditemui.

Tidak semua orang dapat menguasai sesuatu bidang ilmu dengan baik, dan tidak semua orang ada kemampuan untuk menemukan ilmu-ilmu baru. Hanya orang-orang yang mempunyai daya fikir yang tinggi dan memiliki otak yang pintar sahaja dapat melakukannya.

Ilmu pengetahuan boleh dipelajari tetapi kebijaksanaan atau kepintaran adalah sesuatu yang tidak boleh didapati dengan belajar. Otak yang pintar adalah anugerah Tuhan kepada seseorang seperti mana Dia menganugerahkan kecantikan, suara yang lunak dan berbagai sifat istimewa lagi pada orang-orang tertentu.

Kenapa ranking universiti di Malaysia semakin jatuh? Jawabnya mudah, ini disebabkan kualiti kakitangan akademik di universiti kita tidak setanding dengan universiti-universiti yang rankingnya lebih tinggi itu.

Pada masa dulu Negara kita hanya ada satu universiti sahaja iaitu Universiti Malaya, pensyarah-pensyarah yang diterima bekerja di situ adalah di kalangan orang yang paling pandai di Malaysia ketika itu. Masa itu tidak banyak syarikat-syarikat swasta untuk orang bekerja. Pekerjaan sebagai pensyarah pada masa itu adalah dianggap sebagai pekerjaan yang bergaji lumayan dan berstatus tinggi dalam masyarakat.

Oleh itu kita tidak hairan kalau suatu masa dulu Universiti Malaya pernah mencapai kelompok ranking 50 teratas university terbaik di dunia. Tetapi kemudiannya keadaan di universiti-universiti di Malaysia telah berubah.

Apabila Negara kita semakin membangun banyak agensi-agensi kerajaan diwujudkan dan sektor-sektor swasta tumbuh dengan pesat. Universiti bukan lagi menjadi pilihan utama sebagai tempat untuk bekerja.

Bukan sahaja pelajar-pelajar yang pintar tidak berminat bekerja di universiti kita malah pensyarah-pensyarah pun ramai yang keluar dari universiti kerana tawaran gaji di luar terutamanya di sektor-sektor swasta yang jauh lebih tinggi dan menarik.

Akhirnya di universiti hanya tinggal orang-orang yang tidak laku di pasaran luar dan orang-orang yang betul-betul berminat bekerja sebagai ahli akademik yang tidak terpengaruh oleh habuan wang ringgit.

Lantaran itu universiti-universiti negara kita telah didominasi oleh pensyarah-pensyarah yang tidak berwibawa, mereka sukar untuk menguasai ilmu-ilmu baru, apatah lagi untuk membuat penemuan-penemuan ilmu baru.

Menambah buruk lagi keadaan apabila amalan pemilihan kenaikan pangkat kakitangan akademik di universiti dibuat tidak benar-benar berasaskan merit dan kecemerlangan akademik tetapi sebaliknya banyak didorong oleh kepentingan politik.

Maka ramailah pensyarah-pensyarah universiti dianugerahkan gelaran professor walaupun dari segi kualiti jika dibandingkan dengan professor di universiti ternama di luar Negara bagai langit dengan bumi. Bagi pemimpin politik, yang lebih penting professor-professor yang dilantik itu boleh terus menyokong polisi dan dasar kerajaan yang mereka dokong.

Professor-professor yang berkualiti rendah inilah yang pernah digelar oleh Professor Ungku Aziz sebagai ‘professor kangkung’.


Dari keputusan pilihanraya umum ke 12 yang lalu telah menunjukkan sokongan orang Melayu kepada UMNO semakin merosot. Seolah-olah kepercayaan orang-orang Melayu terhadap parti UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu telah hilang.

Menyedari akan hal ini, menteri UMNO telah mengarahkan professor-professor di universiti membuat kajian semula terhadap keberkesanan pengajaran sains dan metametik dalam bahasa Inggeris. Seperti semacam telah ditetapkan oleh sang menteri UMNO ini supaya kajian tersebut hendaklah menunjukkan pengajaran sains dan metametik dalam bahasa Inggeris adalah tidak berkesan dan patut ditukar semula kedalam bahasa Melayu.

Tanpa disedari professor kangkung ini telah diperalatkan oleh pemimpin politik UMNO ini. Dengan keputusan menukar semula dari bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu ini seolah-olah menunjukkan UMNO telah memperjuangkan dan mendaulatkan bahasa Melayu. Maka dijangka berbondong-bondonglah orang Melayu menyokong UMNO semula.

Orang kampung tidak tahu yang menteri-menteri UMNO ini kalau berada di rumah bersama keluarga mereka, mereka lebih banyak bercakap Inggeris dari bercakap Melayu.

Saya masih ingat lagi semasa Mahathir hendak meyakinkan orang Melayu dalam melaksanakan polisi pengajaran sains dan metametik dalam bahasa Inggeris ini, satu kajian telah juga dibuat setelah beberapa tahun pelaksanaannya dan keputusan hasil kajian itu telah dihebahkan kepada orang ramai sebagai memberangsangkan dan sangat berkesan.

Tetapi sekarang hasil kajian itu sudah terbalik pula. Poning kepalo den.

Friday, October 10, 2008

Angkara budak-budak Tingkat Empat.

Semasa saya melawat pelajar UTM membuat latihan industry di kawasan Seremban pada 21 Mei 2004 saya telah bertemu dengan Encik Mohd Zaki bin Abdul Muin, tuan punya syarikat di mana dua pelajar UTM sedang menjalani latihan industry di situ.


Semasa bertemu dengan beliau sempat juga kami bercerita perkembangan semasa politik negara. Pada masa itu Pak Lah baru beberapa bulan mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Dr. Mahathir dan parti di bawah pimpinannya baru saja menang besar dalam pilihanraya umum ke 11.


Ketika itu saya dan mungkin orang lain juga melihat Pak Lah sebagai seorang baik dan bersih. Memang ketika itu tidak ada orang UMNO yang lebih baik dan sesuai untuk menggantikan Dr. Mahathir selain dari Pak Lah.


Turunnya Dr. Mahathir dari tampuk kuasa sungguh melegakan saya. Mana tidaknya, selepas tahun 1998 kepimpinan Dr. Mahathir tidak lagi disenangi oleh banyak pihak, kita sebagai kakitangan kerajaan berasa dalam ketakutan dan tidak bebas. Segala kegiatan kita seperti diperhatikan dan diawasi.


Masa Mahathir turun dari takhta kita merasakan seperti telah keluar dari mulut harimau, kita tidak kisah sangat siapa yang mengambil alih pemerintahan Negara selepas itu, asalkan Mahathir tidak di situ lagi. Kita pun rasa ‘happy’ bila Pak Lah yang ‘baik’ dan ‘bersih’ dilantik menjadi PM.


Tapi saya rasa macam tak percaya bila En. Zaki yang juga bekas pensyarah UM itu memberitahu saya Pak Lah juga kuat rasuah. Kata En. Zaki, pernah kawannya cuba berhubung dengan Pak Lah bagi mendapatkan suatu projek melalui Pak Lah, setiap orang yang ingin berhubung dengan Pak Lah mesti melalui ‘pembantu’ Pak Lah. Pembantu Pak Lah telah meminta sejumlah wang yang besar jika ingin projek tersebut diluluskan oleh Pak Lah.


Waktu itu belum ada lagi yang dipanggil ‘budak-budak di tingkat 4’ tapi sekarang barulah saya tahu bahawa pembantu Pak Lah itulah yang dikenali sekarang sebagai budak-budak tingkat 4.
Mungkin Pak Lah sendiri tidak tahu kerja-kerja buruk budak-budak tingkat 4 ini kerana tidak ada bukti dan mungkin tidak ada siapa yang berani melapurkan kegiatan mereka kepada Pak Lah. Apatah lagi budak-budak tingkat 4 itu terdiri dari mereka yang sangat dipercayai oleh Pak Lah.


Angkara budak-budak tingkat 4 inilah yang telah mencemarkan nama baik Pak Lah sehingga Pak Lah dihalau dengan cara yang menyedihkan dari jawatan Perdana Menteri.


Moga kisah ini akan menjadi iktibar kepada pemimpin-pemimpin politik hari ini. Rakyat memilih anda untuk menjadi pemimpin mereka bukannya memilih anak, menantu dan isteri anda menjadi pemimpin mereka.


Satu kata-kata Pak Lah yang memikat kita semua, “Bekerjalah bersama-sama saya, bukan bekerja untuk saya”. Tapi sayang Pak Lah telah tidak bekerja keras, sebaliknya mebiarkan orang lain membuat kerja bagi pihaknya.

Gambar Pak Lah diambil dari Malaysiakini.

Wednesday, October 08, 2008

Mufti Perlis dan Politik. ~ref Malaysiakini


Berita Dr. Mohd Asri Zainul Abidin hendak bersara dari jawatan Mufti Negeri Perlis telah mengejutkan banyak pihak.

Beberapa pandangan-pandangan Dr. Mohd Asri yang berani dan sesetengahnya dilihat berbeza dari aliran ‘tradisional’ itu telah mendapat perhatian dan tarikan meluas dikalangan masyarakat kita.

Tentunya kita akan kehilangan seorang mufti yang berwibawa, mempunyai keintelektualan tinggi, berfikiran terbuka, berhujah dengan fakta dan ilmu, dan lebih utama lagi berani menegur siapa saja termasuk pihak yang berkuasa.

Kita berasa amat kesal kerana faktor yang membuatkan beliau ingin meletak jawatan itu adalah disebabkan ‘permainan politik’ pihak-pihak tertentu dalam kerajaan negeri seperti yang dilaporkan dalam berita Malaysiakini.

Campur tangan politik telah menyebabkan Negara kehilangan seorang mufti yang sangat berwibawa, ketika kita semua sangat-sangat memerlukan khidmat beliau.

Perlantikan Mufti di Negara kita ini adalah di bawah kuasa sultan dan raja negeri-negeri setelah mendapat nasihat dari Menteri Besar dan Ketua Menteri. Melihat kepada proses perlantikan mufti itu, kita dapati ia tidak terlepas dari pengaruh politik atau penguasa sesebuah negeri.


Tentu tidak ada jaminan sesuatu fatwa yang hendak diputuskan atau difatwakan itu benar-benar bebas dari kehendak penguasa atau pemimpin politik. Ada kemungkinan mufti yang tidak sehaluan dengan kehendak kepimpinan negeri boleh ditamatkan jawatannya dan seterusnya boleh pula digantikan dengan orang-orang yang difikirkan sehaluan dengan kepimpinan untuk dilantik menjadi mufti.


Selagi kuasa penuh perlantikan mufti terletak dalam tangan pemimpin negeri, tidak mungkin mufti dapat benar-benar bebas dalam memberikan fatwa sesuatu isu atau masalah yang sedang berlaku. Ada kemungkinan juga pemimpin-pemimpin politik boleh menggunakan institusi mufti untuk kepentingan dan agenda mereka.


Oleh itu untuk menjaga kredibiliti setiap fatwa yang diputuskan oleh institusi mufti maka kenalah terlebih dahulu dipastikan institusi mufti ini benar-benar bebas dari pengaruh penguasa terutamanya dalam soal perlantikannya.


Kita tidak mahu mufti kita sama tarafnya dengan mufti di Negara Soviet Union di satu masa dulu. Walaupun institusi mufti ada tetapi mereka terikat dengan kehendak dan aspirasi regim Moscow. Fatwa oleh ulama dan mufti yang bebas bukan sahaja akan dipatuhi oleh rakyat sesuatu Negara itu tetapi juga turut dihormati dan dipatuhi oleh masyarakat Islam seluruh dunia.


Sebagai contoh, ulama Yusof Al Qardhawi dari mesir, dia bukan sahaja dapat membebaskan dirinya dari pengaruh mana-mana kumpulan politik tetapi juga bebas dari segala kepentingan duniawi. Tidak hairanlah kalau fatwa beliau dihormati bukan sahaja oleh masyarakat Mesir tetapi juga oleh masyarakat Islam seluruh dunia.


Oleh itu mesti ada pemisahan kuasa antara pihak esekutif atau penguasa dengan institusi mufti bagi menjaga kredibiliti setiap fatwa yang diputuskan. Kemungkinan berlaku berlainan pandangan dan pendapat antara institusi mufti yang bebas dan penguasa tentu ada. Tetapi ini lebih baik dari mempunyai mufti yang fatwa mereka sentiasa mengikut telunjuk penguasa.


Sedangkan fatwa mestilah tidak boleh sama sekali bercanggah dengan roh Al Quran dan Sunnah, dan tidak boleh tunduk dengan kepentingan-kepentingan lain. Tugas institusi mufti adalah megeluarkan fatwa terhadap sesuatu isu, terpulanglah kepada pihak penguasa dan rakyat untuk mematuhinya atau pun tidak.


Sebagai contoh, andaikata peraduan kuiz yang ditaja oleh syarikat perkhidmatan telefon itu diputuskan fatwanya oleh institusi mufti sebagai haram kerana ada unsur judi, maka tidak semestinya pihak yang menaja kuiz itu perlu memberhentikan program kuiz itu. Yang pentingnya di sini ialah orang ramai telah dapat panduan tentang halal dan haram tentang program kuiz itu.


Di sinilah pentingnya institusi mufti yang bebas, supaya fatwa yang diputuskannya tidak di pengaruhi oleh penguasa dan tidak terikat dengan apa-apa kepentingan selain dari memberi garis panduan yang betul kepada umat Islam bersesuaian dengan roh Al Quran dan sunnah nabi, demi kesejahteraan dan keberkatan hidup manusia itu sendiri.

Saturday, October 04, 2008

9 Oktober yang penuh debar.~Ref Malaysiakini

Telah diketahui umum sebelum 9 Oktober 2008 ini Pak Lah akan membuat keputusan samada untuk mempertahankan jawatan Presiden UMNO atau tidak, pada pemilihan UMNO pada Mac 2009 nanti. Keputusan yang akan dibuat Pak Lah ini ditunggu-tunggu oleh semua rakyat Malaysia dengan penuh debar.


Secara ‘tradisinya’ Pak Lah akan melakukan peralihan kuasa kepada timbalannya. Timbalan presiden UMNO sekarang ialah Datuk Seri Najib Tun Razak.


Sudah tentu akan berlaku kekosongan pada jawatan Timbalan Presiden apabila Najib mengmbil alih jawatan Presiden UMNO.


Seperti dilapurkan dalam Malaysiakini, setakat ini dua pemimpin UMNO iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka Ali Rustam telah pun menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden yang bakal dikosongkan itu.


Berbeza dengan kenyataan Zahid Hamidi, Ali Rustam hanya akan bertanding sekiranya berlaku kekosongan jawatan Timbalan Presiden. Ini diandaikan jika Pak Lah tidak mempertahankan jawatannya pada pemilihan UMNO Mac 2009 nanti.


Timbul juga tandatanya di sini, apakah Zahid Hamidi telah mengetahui lebih awal keputusan yang akan dibuat oleh Pak Lah sehingga Zahid tahu akan berlaku kekosongan jawatan Timbalan Presiden, sebab itulah beliau begitu berani menawarkan diri untuk bertanding untuk jawatan tersebut.


Kalaulah dibuatnya Pak Lah masih mahu mempertahankan jawatan Presiden UMNO, apa akan jadi kepada Zahid Hamidi, apakah Zahid akan terus berani untuk mencabar Najib bagi jawatan Timbalan Presiden itu.


Apakah Zahid Hamidi orang Pak Lah atau orang Najib? Adakah ini satu permainan politik di belakang tabir? Adakah Pak Lah yang telah menyuruh Zahid bagi menentang Najib sebagai usaha Pak Lah menyekat Najib dari menjadi Perdana Menteri?


Pak Lah begitu kagum dengan cara kepimpinan Tun Razak, walaupun Najib adalah anak kepada Tun Razak tetapi Pak Lah melihat Najib lebih berminat untuk meneruskan legasi Mahathir yang tidak secucuk dengan jiwa Pak Lah.


Sementara itu Muhyiddin Yasin pula telah memilih jalan yang lebih selamat dalam politik, beliau dilihat begitu lantang menggesa Pak Lah mempercepatkan jadual pelan peralihan kuasa dari jadual asalnya. Mungkin gesaan itu sebagai strategi politiknya untuk menarik perhatian warga UMNO dan juga perhatian Najib.


Gesaan Muhyiddin secara terbuka itu seperti memperlihatkan beliau seorang yang berani, kerana berani menegur Pak Lah selaku Presiden UMNO. Tetapi usah kita terpesona dengan keberanian yang ditunjukkan oleh Muhyiddin itu. Gelagatnya itu tidak lebih seperti menunjuk garang didepan singa tua yang tidak bergigi. Semua orang tahu, hayat kuasa Pak Lah akan berakhir selewat-lewatnya pada Jun 2010.


Tindakkan Muhyiddin ini juga sudah tentu memberi keuntungan dan kelebihan kepada Najib, yang juga seperti membawa maksud Muhyiddin inginkan Pak Lah menyerahkan kuasa Perdana Menteri kepada Najib secepat mungkin. Dengan itu Najib akan berasa terhutang budi kepada Muhyiddin.


Walaupun buat masa ini Muhyiddin tidak menunjukkan keinginan secara terbuka untuk melamar jawatan Timbalan Presiden UMNO, tetapi sudah tentu Najib akan mempertimbangkan dan menyokong Muhyiddin untuk jawatan itu.


Sebagai pilihan politik yang selamat juga Muhyiddin tidak berani untuk mencabar Najib bagi merebut jawatan Timbalan Presiden seperti yang dilakukan oleh Zahid Hamidi. Muhyiddin hanya akan menawarkan diri untuk jawatan yang ingin dipertandingkannya selepas Pak Lah membuat keputusan sebelum 9 Oktober ini.


Ini bermakna Muhyiddin akan hanya bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO jika telah pasti berlaku kekosongan jawatan itu.


Kita hanya akan mengiktiraf Muhyiddin seorang pemimpin yang berani sekiranya dia berani keluar dari 'tradisi' UMNO, bertanding bagi merebut jawatan Presiden UMNO jika jawatan itu dikosongkan oleh Pak Lah nanti.

Tentunya lebih banyak 'kejutan' bakal berlaku selepas 9 Oktober ini.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com