Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, July 28, 2006

Kenderaan Mencerminkan Status

Harga minyak yang tinggi akan dapat menyedarkan atau mendidik rakyat kita agar lebih berjimat cermat. Agama kita pun mengajarkan supaya tidak membazir, malah perbuatan membazir itu dikaitkan dengan tabiat syaitan. Biasanya orang yang mampu memiliki kereta terutama kereta yang enjin berkuasa tinggi adalah dari kalangan yang berada. Kepada orang-orang ini harga minyak bukanlah menjadi satu masalah besar atau beban kepada mereka. Malah mereka langsung tidak memikirkan bahawa minyak yang digunakan ini akhirnya akan habis juga, di waktu itu banyak mana pun duit yang kita ada tidak akan dapat membeli minyak lagi.

Harga petrol yang rendah telah membuatkan kita menggunakannya dengan sewenang-wenangnya. Kita langsung tidak pernah memikirkan bagaimana hendak menggunakan petrol secara cekap dan berjimat.

Tanpa kita sedari pemilikan kenderaan juga telah menjadi lambang status seseorang itu dalam masyarakat kita. Lagi mahal kenderaan yang digunakan atau dimiliki oleh seseorang itu, lagi tinggilah status seseorang itu dalam masyarakat. Orang yang berjalan kaki atau menunggang motor kapcai atau yang menggunakan pengangkutan awam seperti bas dianggap orang yang berpendapatan rendah, tidak mampu untuk membeli kereta.

Manakala orang yang pakai kereta Mercedes atau Volvo atau BMW tentulah dilihat lebih berada dari mereka yang memakai kereta Kancil atau Proton Wira.

Gambaran status yang diwujudkan oleh masyarakat kita inilah yang telah menghalang kita berasa malu untuk berjalan kaki atau menaiki bas atau menunggang motor kapcai. Seperti telah menjadi satu tanggapan oleh masyarakat kita, orang yang berjalan kaki dan naik bas itu dianggap orang yang bertaraf rendah.

Orang yang ada kereta akan rasa malu kalau pergi kedai yang berhampiran rumahnya dengan berjalan kaki atau naik motor walaupun jaraknya tidak sampai 100 meter. Kadang-kadang pergi kedai hanya untuk membeli surat khabar saja.

Ada orang yang pergi jemputan kawin dalam kawasan taman perumahan dia sendiri yang jauhnya tak sampai 200 meter pun masih nak guna kereta kerana rasa malu untuk berjalan kaki. Padahal orang luar yang datang ke rumah kenduri tersebut pun ada yang terpaksa letak kereta mereka di depan rumahnya kerana tempat nak letak kereta sudah penuh.

Sekalipun khidmat pengangkutan awam akan bertambah baik dan bertambah cekap, belum tentu dapat menarik orang ramai menggunakannya kerana disebabkan ‘halangan status’ yang telah wujud ini.

Hari ini kita nampak banyak kereta yang pergi ke tempat-tempat kerja atau pejabat hanya dinaiki oleh satu orang sekalipun sebuah kereta boleh memuatkan empat orang. Mereka naik kereta sendiri ke pejabat bukanlah semata untuk cepat sampai dan selesa tetapi juga untuk menjaga status yang mereka ciptakan sendiri. Satu mungkin berasa malu untuk naik bas dan kedua mereka tak mahu dituduh kedekut kerana ada kereta tapi simpan di rumah.

Apakah masyarakat kita nanti sanggup untuk berubah sikap bila kerajaan telah membaiki khidmat pengangkutan awam nanti?

Sebuah bas boleh memuatkan sehingga 40 orang penumpang. Bayangkan bagaimana kesesakan jalanraya dapat dikurangkan dari 40 buah kereta kepada sebuah bas sahaja. Andaikan sebuah bas boleh mengambil ruang untuk 10 buah kereta, maknanya kesesakan jalanraya boleh dikurangkan sebanyak 75 peratus jika semua orang menggunakan bas untuk ke pejabat atau ke tempat kerja.

Mungkin adalah sesuai untuk bawa kereta jika kita pergi membeli belah dan berbelanja dengan jumlah yang banyak kerana hendak mengangkut barang-barang yang kita beli tetapi apa alasannya untuk kita guna kereta pergi ke pejabat sedangkan yang kita bawa ke pejabat hanyalah diri kita saja.

Kita harus rancang penggunaan kereta supaya dapat kita gunakan seminimum yang mungkin. Kita boleh rancang untuk membeli barang keperluan kita atau barang-barang dapur dari hyper market sekali untuk setengah bulan atau sekali untuk sebulan. Jadi tak perlulah kita guna kereta beli barang dapur tiap-tiap hari. Dan kita boleh gunakan motor atau jalan kaki saja untuk ke kedai yang hampir dengan rumah kita untuk barang tambahan yang diperlukan.

Kita juga boleh merancang untuk uruskan dua tiga perkara yang hendak kita lakukan dalam satu perjalanan. Sebagai contoh kalau kita terpaksa pergi bayar bil elektrik, bil air dan bil telefon di pejabat pos, sebaiknya kita lakukannya sekali gus pada masa yang sama bukan pada hari-hari yang berlaian.

Kalau kita sama-sama berusaha untuk menjimatkan penggunaan minyak, bukan saja kita dapat melambatkan kehabisan sumber bahan api ini tetapi juga kita dapat mengurangkan permintaan kepada minyak.

Tinggi rendah harga barangan adalah ditentukan oleh permintaan dan penawaran. Jika penawaran melebihi permintaan, harga barang menjadi murah. Sebaliknya jika permintaan suatu barangan terlalu tinggi sedangkan penawarannya tidak banyak atau terhad, akan membuatkan harga barangan melambung tinggi.

Sebagai pengguna kita perlu sentiasa menggunakan barang-barang keperluan termasuk minyak secara jimat cermat untuk menjaga harga barangan berada pada tahap rendah. Mungkin ada sebehagian kita ada duit yang banyak, boleh beli barangan yang kita hendak sebanyak mana pun sekalipun dengan cara yang membazir. Kesan kepada sikap kita yang membazir itu akan menyebabkan harga barangan naik dan ini secara tidak langsung akan menyusahkan orang-orang yang berpendapatan rendah yang kuasa beli mereka agak terhad.

Oleh itu golongan yang berada juga perlu berjimat cermat dan tidak membazir kerana sikap yang baik ini dapat membantu mengekalkan barangan pada harga yang rendah dan tentunya akan melegakan orang ramai. Harga barang tidak pernah membezakan orang kaya dengan orang berpendapatan rendah.

Saya setuju sangat jika harga petrol dinaikkan dengan menarik semua pemberian subsidi ke atasnya. Harga minyak yang tinggi sekurang-kurangnya akan dapat menyedarkan orang ramai untuk lebih berjimat cermat menggunakan bahan ini.

Dalam pada masa yang sama saya berharap pihak kerajaan dapat mengurangkan malah menghapuskan sama sekali bayaran cukai jalan (road tax) kenderaan. Terasa rugi juga kalau tidak banyak melakukan perjalanan bagi tujuan menjimatkan minyak sedangkan kita kena bayar cukai jalan juga.

Cukai jalan dikenakan sebab kenderaan kita menggunakan jalanraya, tetapi kalau kita kurang menggunakan jalan raya sepatutnya kenalah kurang bayaran cukai jalannya. Mungkin boleh difikirkan juga cukai jalan dibayar ikut jauh kilometer perjalanan yang dilalui oleh kenderaan tersebut dalam masa setahun. Sama seperti kalau kita lalu jalan yang bertol, lagi jauh perjalanan kereta kita lagi banyaklah tol yang kita kena bayar.

Kadar bayaran tol untuk kenderaan yang membawa barang seperti lori dan pengangkutan awam seperti bas patut diturunkan serendah yang mungkin, ini dapat mengurangkan kos barangan dan tambang, seterusnya dapat menjadikan harga barang-barang jualan kita lebih murah dan kompetitif.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com