Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, July 28, 2006

Dasar Ekonomi Dr. Mahathir banyak membazir

Tidak ada orang yang layak untuk menggantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri (PM) Malaysia. Inilah tanggapan rakyat Malaysia semasa era Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia dahulu. Tanggapan seperti ini secara sengaja atau tidak ia perlu diwujudkan dan dipupuk di kalangan rakyat kerana ia adalah ‘baik’ demi untuk menjaga perpaduan dan kesetabilan politik, terutamanya dalam parti UMNO. Rasanya tanggapan seperti ini bukan saja wujud semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri tetapi berlaku juga pada Perdana Menteri yang lain sebelum itu.

Tidak pernah kita dengar rakyat mengatakan adanya orang yang layak menggantikan Perdana Menteri semasa Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak atau Tun Husein On menjadi Perdana Menteri.

Mungkin Dr. Mahathir telah terlalu lama menjadi PM sehingga dia berasa begitu yakin dengan tanggapan orang ramai itu walaupun telah tidak menjadi PM lagi. Tanggapan yang mengatakan tidak ada orang yang lebih layak untuk menjadi PM Malaysia selain dari beliau itulah yang terbawa-bawa oleh beliau hingga hari ini.

Semasa Dr. Mahathir menjadi PM beliau banyak memberi tumpuan kepada projek-projek mega. Beliau mahu dunia kagum dengan projek mega yang dibina oleh Malaysia. Apa saja binaan yang terbesar, terpanjang, tertinggi, terhebat mesti berada di Malaysia. Dr. Mahathir percaya dengan pembinaan projek-projek ini kononnya akan merancakkan kegiatan ekonomi Malaysia.

Bila ada banyak projek, akan adalah banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. Bila rakyat ada kerja, gaji pun akan ada, rakyat pun boleh membeli belah, peniagaan pun dapat berkembang maju.

Rakyat digalakkan melancung dalam negeri, cuti umum ditambah untuk memudahkan rakyat pergi melancung. Dengan itu kononnya, perniagaan dalam sektor pelancungan terutamanya hotel-hotel akan berkembang.

Semua agensi kerajaan yang ada kalau boleh hendak diswastakannya. Pada fikiran beliau bila diswastakan, agensi-agensi kerajaan itu akan menjadi lebih cekap dan lebih berdaya saing. Kononnya lebih banyak keuntungan akan diperolehi jika diswastakan, ini akan dapat memberi banyak keuntungan kepada pelabur saham syarikat, seterusnya dapat menarik lebih banyak orang ingin melabur dalam syarikat.

Itulah teori ekonomi Dr. Mahathir, tiada perkataan pembaziran dalam ‘kamus’ ekonomi Dr. Mahathir.

Tidak dinafikan memang ada projek dan polisi yang dilaksanakan oleh kerajaan Dr. Mahathir membawa manafaat atau faedah kepada rakyat tetapi dalam pada itu banyak juga yang menjadi gajah putih dan membebankan rakyat.

Dr. Mahathir terlalu ghairah untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Kalau negara maju ada bangunan yang besar, tinggi dan indah, ada rangkaian lebuhraya yang panjang, sistem pengangkutan dan perhubungan yang canggih, Dr. Mahathir juga mahu Malaysia ada segala-galanya itu.

Tetapi hendaklah kita ingat, negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, membina binaan yang hebat-hebat itu setelah rakyat mereka mendapat kemudahan hidup yang selesa. Mereka punya bangunan atau binaan yang hebat tetapi dalam masa yang sama tidak ada rakyat mereka yang hidup di rumah-rumah setinggan. Apabila kehidupan rakyat benar-benar telah terbela barulah mereka beralih untuk membina projek mega.

Tidakkah kita berasa malu bila kita punya bangunan KLCC yang besar dan tinggi, Putra Jaya yang besar dan indah tetapi masih ramai rakyat tinggal di rumah-rumah setinggan yang keadaannya lebih baik sedikit dari reban ayam itu.

Apabila agensi kerajaan diswastakan, sebagai syarikat swasta keuntungan adalah menjadi matlamat mereka. Tanpa keuntungan syarikat tidak boleh bergerak dan silap-silap akhirnya boleh gulung tikar kalau tidak diselamatkan.

Cara paling mudah untuk mendapat keuntungan ialah dengan mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi kepada rakyat. Kononnya dengan peswastaan boleh menjadikan agensi kerajaan itu menjadi lebih cekap seterusnya memberi keuntungan yang lebih, tetapi sepanjang yang kita lihat semua kadar harga bil air, bil elektrik, bil telefon untuk kemudahan rakyat sentiasa saja naik dari tahun ke tahun.

Kalau dulu buku teks sekolah boleh diguna semula oleh adik-adik yang lain, tetapi sekarang tidak sampai dua tahun buku teks sering saja bertukar dan dengan secara tidak langsung buku teks tidak boleh digunakan semula oleh adik beradik atau murid yang lain. Ini semua bertujuan untuk menjamin syarikat buku sentiasa dapat mengeluarkan buku, seterusnya dapat membuat keuntungan. Walaupun polisi seperti itu hanya menggalakkan pembaziran tetapi Dr. Mahathir tidak melihatnya sebagai pembaziran. Pada Dr. Mahathir ia akan dapat merancakkan perniagaan dan memberi peluang pekerjaan.

Di zaman Dr. Mahathir lah kita dapat lihat bercambahnya hospital swasta. Pada zaman beliau jugalah bilangan biasiswa untuk pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA dikurangkan dengan banyaknya malah diganti dengan pinjaman PTPTN. Pinjaman PTPTN pun belum tentu dijamin boleh dapat dengan senangnya. Kalau benar-benar kita mahu melihat negara berjaya menjadi sebuah negara maju pada masa depan, kita tidak boleh mengetepikan sumber manusia yang benar-benar berkualiti.

Apalah ertinya kita ada fasarana dan infrastruktur kelas pertama di dunia tetapi diisi oleh orang-orang yang mempunyai kualiti setakat kelas ketiga. Sepatutnya kita kenalah membelanjakan sebahagian besar wang negara untuk menghasilkan manusia berilmu, terlatih, berkemahiran tinggi, sihat fikiran, sihat tubuh badan. Kita percaya pembentukan sumber manusia kelas pertama perlu diutamakan terlebih dahulu dari yang lain-lain kalau kita ingin menjayakan cita-cita menjadi sebuah negara maju.

Tidak ada salahnya kalau kerajaan membelanjakan wang yang besar dalam menyediakan kemudahan pembelajaran dan latihan kepada rakyat, serta kemudahan dalam menjaga kesihatan rakyat kerana sumber manusia yang berkualiti adalah satu-satunya jalan yang ada untuk kita mencapai negara maju.

Pendekatan PM Abdullah Ahmad Badawi dalam mengutamakan bidang pertanian adalah satu pandangan yang bijaksana walaupun pada setengah orang menganggap ianya sebagai cadangan lekeh dan ketinggalan zaman. Dari dahulu hingga sekarang makanan adalah perkara asas keperluan utama kepada manusia. Kita masih boleh hidup jika tidak ada rumah yang cantik atau tidak ada kenderaan tetapi kita tidak akan boleh hidup tanpa makanan. Manusia sanggup membunuh atau berperang kalau tidak dapat makan. Apabila bila manusia sudah ada cukup makanan barulah mereka boleh membuat perkara-perkara lain.

Dengan mengutamakan dan memberi penekanan kepada bidang pertanian, kita akan dapat mengeluarkan barang pertanian dalam jumlah yang banyak yang menjadi asas kepada makanan kita. Bila hasil pertanian dapat dikeluarkan dengan banyak, barang makanan akan dapat dijual dengan yang rendah dan murah. Dengan itu rakyat negara kita akan dapat membeli makanan dengan harga yang murah, kos untuk membeli makanan yang menjadi keperluan utama akan menjadi lebih kecil.

Secara tidak langsung kos kehidupan rakyat akan menjadi rendah dan dengan sendirinya kadar kemiskinan dapat dikurangkan dengan banyaknya.

Pendekatan Pak Lah lebih berpijak di bumi nyata berbanding Dr. Mahathir yang ibarat bermegah dengan istana kayunya yang lambat laun akan runtuh dimamah anai-anai.

1 comment:

Anonymous said...

Looks nice! Awesome content. Good job guys.
»

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com