Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Friday, July 28, 2006

Jalan Pintas Selalu Membawa Padah

Memang jadi tabiat manusia ingin dapat apa yang dihajatinya dalam masa yang cepat. Bila kita hendak pergi ke suatu tempat kita suka mengambil jalan pintas berbanding jalan jauh yang berliku kerana hendak cepat sampai, sekalipun jalan pintas yang kita ambil itu kadang kala boleh mengundang bahaya.

Lawan kepada sifat terburu-buru atau ingin cepat ini ialah sabar. Sabar adalah sifat mulia yang sangat disukai oleh Tuhan. Manusia yang sabar selalunya akan dianugerah Tuhan dengan kejayaan.

Kerana hendak menjadi kaya cepat ada orang buat kerja haram yang menyalahi agama dan undang-undang. Buat sekim cepat kaya tipu orang, guna taktik gores dan menang untuk tipu duit orang, pedaya orang dengan iklan-iklan yang menipu dan berbagai lagi penipuan untuk cepat kaya.

Ada orang seludup barang-barang niaga untuk lepas dari dikenakan cukai, kadang-kadang bagi rasuah kepada kastam hendak lepaskan barang dari dicukai. Lebih berani lagi bawa masuk barang-barang terlarang untuk dijual termasuklah dadah. Berniaga barang tak bercukai ini boleh dapat untung banyak dan boleh cepat jadi kaya.

Supaya buah dan sayur tidak dimakan ulat, mereka sembur racun serangga banyak-banyak, buah dan sayur yang dijual nampak cantik, orang ramai suka nak beli buah dan sayur yang cantik. Bila ramai orang beli banyaklah dapat untung dan cepatlah jadi kaya walaupun buah dan sayur yang dijual itu merbahayakan kesihatan orang ramai.

Hendak bagi barang makanan yang dijual tahan lama tidak berkulat dan basi, campur bahan kimia dan pengawet sekalipun bahaya kepada manusia. Ikan-ikan yang dijual ditaruh ubat awet mayat agar kelihatan segar untuk waktu yang lama. Kita tak peduli kesan buruknya kepada orang ramai, yang penting kita cepat jadi kaya.

Malah ada yang mengambil langkah nekad dengan melakukan pecah amanah duit syarikat,terima rasuah, merompak bank, menculik, mengedar dadah, menjual VCD lucah dan menjual bahan cetak rompak kerana nak jadi kaya cepat.Ada yang sanggup gadai maruah jadi perempuan simpanan dan jadi ibu ayam, cara senang nak jadi kaya.

Tujuan asal orang hisap dan ambil dadah pun adalah kerana nak mengecapi kejayaan dan keseronokan dalam masa yang singkat. Kerana hendak jadi juara atau menang dalam sukan mereka sanggup ambil dadah. Penagih dadah pula hisap dadah kerana hendak rasa seronok, bila mereka hisap dadah mereka berasa berada dalam istana, menjadi raja yang di kelilingi bidadari yang rupawan. Dengan modal hanya sekitar RM50 untuk membeli dadah sudah dapat memiliki istana mewah dan bidadari, itulah khayalan yang dibawa oleh dadah. Pada realitinya untuk memiliki kehidupan semewah itu kita perlukan wang berjuta.

Kejayaan yang sebenar adalah kejayaan yang bermula dari bawah, bermula dari susah payah. Kejayaan yang didapati melalui jalan pahit getir akan membuatkan kita lebih menghargai kejayaan tersebut.

Ahli perniagaan segera yang dapat kekayaan melalui kekuatan pengaruh politik selalunya tidak dapat bertahan lama, kerana mereka tidak pernah melalui ujian dan pengalaman bagaimana menghadapi susah payah payah dan selok belok dalam membina sesuatu perniagaan.

Banyak kita dengar cerita orang-orang yang berjaya dalam bidang perniagaan, yang mempunyai empayar perniagaan yang mencecah billion ringgit adalah bermula dari kehidupan yang susah dan mereka bermula dari mengurus perniagaan yang kecil. Pengalaman yang mereka tempuh telah mengajar mereka untuk menjadi orang yang berjaya.

Apabila kita ditimpa sakit atau masalah, orang kita selalu mencari jalan pintas untuk mengatasinya. Bila perniagaan merosot, pergi jumpa bomoh cari pelaris. Bila sakit, pergi jumpa bomoh supaya boleh sembuh cepat. Bila anak malas belajar, cari bomoh supaya anak jadi rajin. Dengan kata lain mereka sanggup guna cara sihir sebagai jalan pintas untuk menyelesaikan masalah mereka.

Sihir pun macam dadah juga, kadang-kadang ia boleh menyelesaikan masalah kita tetapi padahnya amat buruk.

Di kesesakan jalanraya pula kita biasa melihat orang-orang tanpa segan silu memotong Q (barisan) kerana hendak cepat sampai tanpa memikirkan orang lain. Mereka hanya mementingkan diri mereka sahaja, adab dan sopan seperti tidak diperlukan lagi bila berada di atas jalanraya. Orang Melayu memang terkenal dengan adab dan santun, mereka sangat menghormati adab-adab yang telah diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi.

Orang kita tak begitu peka dengan undang-uandang dan peraturan. Oleh itu ada baiknya kalau peraturan-peraturan dan undang-undang jalanraya disebut sebagai ‘adab-adab di jalanraya’. Peraturan selalunya dikaitan dengan kesalahan dan bayar saman, sedangkan adab berkait dengan dosa pahala serta kehidupan bermasyarakat. Orang lebih sensitif bila dikatakan tidak beradab tetapi tidak rasa apa-apa kalau melanggar ‘peraturan’.

Usaha gigih dan sabar adalah satu-satunya jalan yang boleh membawa kita kepada kejayaan yang hakiki, sebaliknya kejayaan yang kita dapat melalui jalan pintas yang tidak diredai akan membawa kita kepada kesudahan yang buruk.

No comments:

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com