Apabila sebatang balak ditebang hari ini, kita memerlukan masa berpuluh tahun untuk menggantikannya. Pokok-pokok mengambil masa yang lama untuk membesar. Tidak mungkin terjadi kalau kita menanam pokok pada hari ini dan ia akan membesar menjadi pokok balak pada bulan depannya.
Lagi banyak kita menebang pokok lagi cepatlah kita memusnahkan asas penting kehidupan kita. Pokok dan tumbuh-tumbuhan adalah pembekal semulajadi gas oksigen yang sangat diperlukan oleh tubuh badan kita untuk terus hidup.
Sekarang seperti telah menjadi trend kepada kehidupan manusia moden, suka menukar perabut baru, kenderaan baru, pakaian baru, rumah baru walaupun barang-barang tersebut masih boleh digunakan.
Pihak pengilang dan pengeluar barangan pengguna pula berlumba-lumba mengeluarkan model-model baru yang menarik perhatian orang ramai untuk membeli barangan mereka.
Selain dari mengeluarkan model-model baru yang mempunyai ciri-ciri tambahan yang lebih canggih dari model sebelumnya, barang-barang ini juga seolah-olah dengan sengaja dibuat untuk tidak tahan lama. Paling lama boleh diguna untuk masa sekitar lima tahun sahaja sebelum ia rosak.
Tujuan barang-barang ini dibuat tidak tahan lama dan model-model baru sentiasa dikeluarkan ialah supaya orang ramai sentiasa membeli barang-barang mereka. Kalau dibuat tahan lama hingga boleh tahan 20 tahun, sudah tentu hasil jualan jadi perlahan dan tidak banyak untung boleh dapat. Kalau jualan perlahan, macamana hendak bayar gaji pekerja, silap-silap kilang pun boleh tutup.
Masalahnya bila banyak barang-barang dikeluarkan, lebih banyaklah bahan-bahan mentah dari bumi akan digunakan dan lebih banyak pokok akan ditebang. Lebih banyak sumber petroleum akan diguna untuk menghasilkan barangan plastik, lebih banyak bahan logam dilombong dari perut bumi untuk membina kelengkapan rumah, peralatan rumah, kereta dan kenderaan lain.
Operasi kilang-kilang juga banyak menyumbang kepada pencemaran bumi, bahan buangannya menyebabkan sungai-sungai kita tercemar dan hujan berasid.
Elakkan pembaziran, gunalah barang-barang yang boleh tahan lama, gunalah barang-barang ikut keperluan kita dan tidak sewenangnya menukar kepada yang baru selagi boleh diguna.
Andainya perabut yang ada di rumah kita mengorbankan sebatang balak untuk membinanya, pastikan kita menggunakannya untuk masa 20 tahun atau lebih, kerana 20 tahun lagi barulah ada sebatang balak lagi untuk ditebang untuk menggantikan perabut lama kita itu. Bayangkan apa yang akan terjadi kepada hutan kita jika semua orang mengganti perabut rumah mereka setiap tiga tahun sekali?
Ingatlah! sikap kita yang tidak membazir boleh membantu melambatkan alam dan bumi kita dari tercemar dan musnah.
BETUL LA TU.
3 hours ago
No comments:
Post a Comment