Pemimpin yang terbaik akan dapat membawa Malaysia dan rakyatnya ke arah yang lebih gemilang.
Oleh itu menjadi kewajiban setiap rakyat Negara ini memastikan demokrasi tidak dicabuli dan dikotori oleh mereka yang tamak untuk terus mengekalkan kuasa.
Apabila demokrasi berada dalam keadaan bersih dan murni, barulah parti-parti politik dapat bertanding secara adil dan tidak berat sebelah, dan barulah dapat menjamin pemimpin yang terbaik dapat terpilih untuk memimpin kita.
Masalahnya yang biasa berlaku di Negara-negara ketiga, pemimpin yang berkuasa tidak dapat lagi menjadi pemimpin yang disukai rakyat, tetapi mereka mahu juga terus memegang kuasa. Oleh itu mereka tidak berani bertanding secara anak jantan dalam pilihanraya, sebaliknya telah memunipulasi demokrasi dan pilihanraya supaya keputusan undi sentiasa memihak kepada mereka.
Mereka buat berbagai undang-undang dan peraturan yang bercanggah dengan semangat demokrasi sehingga menjadikan kaki dan tangan parti pembangkang bagaikan terikat.
Kepada saya, sebagai rakyat Malaysia, siapa yang menang atau parti mana yang menang tidaklah menjadi perkara yang penting, kerana yang bertanding itu adalah rakyat Malaysia, dan mereka dijamin haknya untuk bertanding oleh Perlembagaan Negara kita. Parti mana pun tidak ada hak untuk memburuk-burukan atau menyekat secara undang-undang parti lain yang turut bertanding.
Lihatlah TV kerajaan dan TV swasta di Negara kita, secara terang dan jelas berkempen untuk parti UMNO dan BN, dan saban hari menyiarkan berita yang memburuk-burukan parti Pakatan Rakyat, walhal kita tahu, operasi TV dan media ini dibiayai sepenuhnya oleh wang rakyat, bukan dari duit UMNO.
Melalui agensi Kementerian Dalam Negeri, parti yang memerintah mengawal sepenuhnya permit dan lesen cetak, dan diberi kuasa dalam mengeluarkan permit untuk berhimpun, yang sangat bercanggah dengan semangat demokrasi yang menyanjung tinggi kebebasan bersuara tanpa adanya unsur sekatan.
Kalaulah Pakatan Rakyat menang pada pilihanraya akan datang, dan demokrasi kekal dalam keadaan yang cemar seperti yang ada hari ini, sudah pasti UMNO terpaksa menunggu 50 tahun atau lebih untuk kembali berkuasa. Kita dapat bayangkan, betapa sukarnya keadaan UMNO di waktu itu, semua TV akan akan menjadi alat kempen Pakatan Rakyat dan saban hari memburuk-burukan UMNO.
Atas sebab itulah kita mahukan demokrasi yang bersih dan murni, supaya perkara seperti ini tidak akan berlaku, semua parti akan dilayan secara adil, yang terbaik sahaja yang kan menang. Keadaan ini bukan sahaja akan menguntungkan Pakatan Rakyat tetapi menguntungkan BN juga untuk jangka panjang, dan faedahnya akan dapat dikecapi oleh rakyat keseluruhannya.
Momentum untuk memurnikan demokrasi di Negara-negara ketiga termasuk Malaysia sedang giat dan rancak berjalan serata dunia. Kita tidak akan menoleh kebelakang lagi, media baru internet telah menjadi pemangkin mempercepat kebangkitan demokrasi ke seluruh dunia. Menyekatnya sama seperti kita menyekat kehendak dunia semasa, yang akan menjadikan kita jauh terpinggir.
Adalah menjadi visi dan missi blog saya ini untuk melihat demokrasi murni dapat dilaksanakan di Negara kita ini, yang berpegang kepada prinsip telus, bebas dan adil menjelang 2013. Tetapi melihat kepada perkembangan dunia di sebelah Timur Tengah yang tidak dijangka itu dan momentum yang ada sekarang ini, sudah pasti ia akan terlaksana lebih awal lagi.
Notice: Secure Your Wallet with 2FA
12 minutes ago
No comments:
Post a Comment