Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Monday, June 27, 2011

Demokrasi, pemimpin yang terbaik berhak untuk menang

Pemimpin yang terbaik akan dapat membawa Malaysia dan rakyatnya ke arah yang lebih gemilang.


Oleh itu menjadi kewajiban setiap rakyat Negara ini memastikan demokrasi tidak dicabuli dan dikotori oleh mereka yang tamak untuk terus mengekalkan kuasa.

Apabila demokrasi berada dalam keadaan bersih dan murni, barulah parti-parti politik dapat bertanding secara adil dan tidak berat sebelah, dan barulah dapat menjamin pemimpin yang terbaik dapat terpilih untuk memimpin kita.

Masalahnya yang biasa berlaku di Negara-negara ketiga, pemimpin yang berkuasa tidak dapat lagi menjadi pemimpin yang disukai rakyat, tetapi mereka mahu juga terus memegang kuasa. Oleh itu mereka tidak berani bertanding secara anak jantan dalam pilihanraya, sebaliknya telah memunipulasi demokrasi dan pilihanraya supaya keputusan undi sentiasa memihak kepada mereka.

Mereka buat berbagai undang-undang dan peraturan yang bercanggah dengan semangat demokrasi sehingga menjadikan kaki dan tangan parti pembangkang bagaikan terikat.

Kepada saya, sebagai rakyat Malaysia, siapa yang menang atau parti mana yang menang tidaklah menjadi perkara yang penting, kerana yang bertanding itu adalah rakyat Malaysia, dan mereka dijamin haknya untuk bertanding oleh Perlembagaan Negara kita. Parti mana pun tidak ada hak untuk memburuk-burukan atau menyekat secara undang-undang parti lain yang turut bertanding.

Lihatlah TV kerajaan dan TV swasta di Negara kita, secara terang dan jelas berkempen untuk parti UMNO dan BN, dan saban hari menyiarkan berita yang memburuk-burukan parti Pakatan Rakyat, walhal kita tahu, operasi TV dan media ini dibiayai sepenuhnya oleh wang rakyat, bukan dari duit UMNO.

Melalui agensi Kementerian Dalam Negeri, parti yang memerintah mengawal sepenuhnya permit dan lesen cetak, dan diberi kuasa dalam mengeluarkan permit untuk berhimpun, yang sangat bercanggah dengan semangat demokrasi yang menyanjung tinggi kebebasan bersuara tanpa adanya unsur sekatan.

Kalaulah Pakatan Rakyat menang pada pilihanraya akan datang, dan demokrasi kekal dalam keadaan yang cemar seperti yang ada hari ini, sudah pasti UMNO terpaksa menunggu 50 tahun atau lebih untuk kembali berkuasa. Kita dapat bayangkan, betapa sukarnya keadaan UMNO di waktu itu, semua TV akan akan menjadi alat kempen Pakatan Rakyat dan saban hari memburuk-burukan UMNO.

Atas sebab itulah kita mahukan demokrasi yang bersih dan murni, supaya perkara seperti ini tidak akan berlaku, semua parti akan dilayan secara adil, yang terbaik sahaja yang kan menang. Keadaan ini bukan sahaja akan menguntungkan Pakatan Rakyat tetapi menguntungkan BN juga untuk jangka panjang, dan faedahnya akan dapat dikecapi oleh rakyat keseluruhannya.

Momentum untuk memurnikan demokrasi di Negara-negara ketiga termasuk Malaysia sedang giat dan rancak berjalan serata dunia. Kita tidak akan menoleh kebelakang lagi, media baru internet telah menjadi pemangkin mempercepat kebangkitan demokrasi ke seluruh dunia. Menyekatnya sama seperti kita menyekat kehendak dunia semasa, yang akan menjadikan kita jauh terpinggir.

Adalah menjadi visi dan missi blog saya ini untuk melihat demokrasi murni dapat dilaksanakan di Negara kita ini, yang berpegang kepada prinsip telus, bebas dan adil menjelang 2013. Tetapi melihat kepada perkembangan dunia di sebelah Timur Tengah yang tidak dijangka itu dan momentum yang ada sekarang ini, sudah pasti ia akan terlaksana lebih awal lagi.

Sunday, June 19, 2011

BERSIH kearah tranformasi demokrasi

Sebagai sebuah negara yang bertunjangkan fahaman demokrasi, adalah menjadi tanggungjawab kita semua sebagai rakyat Malaysia untuk memurnikannya.


Tidak dapat dinafikan dalam keghairahan parti politik yang memerintah untuk terus mengekalkan kuasa, dengan sengaja atau tanpa mereka sedari, telah mencabul beberapa prinsip asas demokrasi supaya kemenangan dalam pilihanraya sentiasa berpihak kepada mereka.

Demokrasi bukan sekadar cukup dengan mengadakan piliharanraya bagi setiap 5 tahun sekali sahaja, tetapi mesti juga didokong oleh rukun-rukunnya supaya demokrasi itu dapat berfungsi seperti yang sepatutnya.

Presiden Suharto di Mesir dan Presiden Hosni Mubarak di Mesir adalah contoh pemimpin yang telah banyak mencabul demokrasi, sehingga setiap kali pilihanraya diadakan mereka pasti memperoleh undi melebihi 90 peratus. Tentulah tidak logik, dengan keputusan seperti itu, boleh mendorong beratus ribu rakyatnya untuk turun ke jalan-jalan raya, sekalipun tanpa mendapat permit polis, bagi mendesak mereka turun dari tampuk kuasa.

Kalau demokrasi telah dicabul, demi untuk memastikan keputusan undi dapat dimanipulasi agar berpihak kepada parti yang memerintah, bagaimana mungkin parti pemerintah akan boleh dikalahkan melalui piliharaya?

Oleh itu tidak hairanlah, malah memang tepat kalau rakyat Indonesia dan Mesir menggunakan jalanraya untuk menghalau pemimpin mereka.

Saya difahamkan perhimpunan BERSIH yang sekarang ini tengah heboh diperkatakan, bakal diadakan pada 9 Julai 2011 (Sabtu) jam 2.00 petang nanti telah menyenaraikan 8 tuntutan kepada parti yang memerintah Malaysia (BN), sebagai langkah untuk memurnikan demokrasi di negara ini, bukan untuk menuntut PM Najib berundur.

Apa tuntutan BERSIH ? Ada 8 perkara :

1. BERSIHKAN SENARAI UNDI

2. MENREFORMASI UNDI POS

3. GUNA DAKWAT KEKAL

4. MASA KEMPEN MINIMA 21 HARI

5. AKSES MEDIA YANG BEBAS DAN ADIL

6. KUKOHKAN INSTITUSI AWAM

7. HENTIKAN RASUAH PILIHANRAYA

8. HENTIKAN POLITIK KOTOR

Kalau kita perhatikan, lapan tuntutan yang dibuat oleh BERSIH itu memang wajar sangat demi memulihkan kemurnian demokrasi di negara kita ini. Pihak mana pun tidak akan ada alasan untuk tidak dapat menerimanya atau untuk menolaknya, kecuali kalau parti pemerintah (BN) bimbang akan kehilangan kuasanya.


Lapan tuntutan itu tidak sama sekali akan menyusahkan rakyat jelata, malah akan memberi banyak kebaikan kepada mereka.

Tuntutan 8 perkara ini adalah tuntutan asas demokrasi yang menjadi kehendak semua rakyat Malaysia tanpa mengira parti politik, kaum dan agama. Saya percaya, perhimpunan BERSIH ini bukan sahaja mendorong orang Melayu untuk menyertainya, tetapi pasti akan disertai juga oleh orang Cina, India dan lain-lain kaum. Kerana ini bukan merupakan tuntutan bagi faedah satu-satu kaum, tetapi adalah tuntutan yang sejagat, tuntutan fitrah manusia.

Boleh dihindar

Tuntutan Hindraf adalah tuntutan kaum, mampu memberi kesan buruk kepada parti BN dalam pilihanraya 2008, kerana Pak Lah tidak mampu menanganinya secara bijak. Tidak dapat kita bayangkan kalau semua kaum akan turun ke jalan raya dalam perhimpunan BERSIH ini, tentu kesannya lebih buruk lagi dari Hindraf.

PM Najib perlu belajar dari Tunisia, Mesir dan negara-negara Arab lain itu yang rakyatnya sedang bangkit memurnikan demokrasi di negara mereka.

Walaupun perhimpunan BERSIH bukan untuk menuntut PM Najib berundur, tetapi jika beliau tersilap langkah, boleh menjerumuskannya menjadi perhimpunan rakyat seperti di dataran Tahrir di Mesir.

Untuk menyekat perhimpunan BERSIH ini dari berlangsung adalah suatu yang mustahil, kerana UMNO sendiri pun telah mula mengiktiraf perhimpunan jalanan ini, dan mereka telah galak mengadakan demonstrasi jalanan di Pulau Pinang.

Kalau PM Najib seorang yang bijak, perhimpunan BERSIH ini boleh saja dielakkan dengan mengadakan rundingan dengan pihak-pihak pembangkang yang menganjurkan perhimpunan itu dan menunaikan semua atau sebahagian tuntutan mereka yang memang wajar untuk dipertimbangkan itu.

Dalam suasana dunia sekarang ini, berkofrantasi dengan pendemontsran jalanan ini bukanlah pilihan yang sesuai.

Thursday, June 16, 2011

Ceh! Kita yang menanggung makan tidurnya, patutlah harga barang terus naik

Mereka dapat permit impot tetapi orang lain yang buat kerja mengimpot, sebaliknya mereka duduk rumah goyang kaki, bulan-bulan terima duit hasil menyewakan permit impot tersebut kepada orang lain.


Mereka dapat permit lori dan bas kilang tetapi orang lain yang punya lori dan bas kilang, mereka duduk rumah goyang kaki, bulan-bulan duit masuk hasil menyewakan permit tersebut kepada orang lain.

Mereka dapat permit teksi, tetapi mereka tidak pun membawa teksi, sebaliknya disewakan kepada orang lain, tiap-tiap bulan mereka terima duit sewa.

Mereka dapat lesen untuk tapak berniaga, tetapi mereka tidak pun menjalankan perniagaan sebaliknya mereka sewakan tapak perniagaan itu kepada orang lain dengan harga berlipat ganda.

Di atas adalah sebahagian dari contoh dari beribu contoh bagaimana segolongan kelompok manusia yang ada di negara kita yang kerja goyang kaki, hidup hasil dari menyewakan permit-permit dan lesen yang dianugerahkan kepada mereka.

Siapakah mereka itu? Mereka adalah orang-orang yang mempunyai ‘kuasa’ dan termasuk juga di kalangan orang-orang yang rapat dengan mereka.

Sementara itu, orang-orang yang betul-betul membawa teksi, orang yang betul-betul menjalankan perniagaan dan orang yang betul-betul mengusahakan pengangkutan lori dan bas kilang terpaksa membayar sewa kepada pemilik lessen dan permit itu dengan harga yang mahal.

Seorang peniaga makanan mungkin terpaksa membayar lima ribu ringgit sebulan kepada pemunya lesen satu tapak perniagaan di pusat bandaraya. Kalau peniaga itu sendiri yang punya lesen, sudah tentu wang lima ribu ringgit itu juga akan menjadi miliknya. Tetapi apa yang berlaku, sudahlah dia penat bekerja dari pagi hingga ke malam, kemudian kena beri pula lima ringgit kepada pemilik lesen yang tidak menyumbang apa-apa kerja itu.

Untuk menanggung bayaran sewa permit dan sewa lesen perniagaan yang besar ini, pengusaha dan peniaga terpaksalah mengenakan caj yang lebih mahal kepada pelanggan-pelanggan mereka.

Akhirnya semua harga barang dan perkhidmatan yang diberikan akan menjadi lebih mahal dari yang sepatutnya, semata-mata untuk menanggung makan tidur biawak hidup ini.

Mereka itu sebenarnya lebih hina lagi dari peminta-peminta sedekah dan penganggur yang belum mendapat pekerjaan. Kita menanggung makan minum peminta sedekah dan pengganggur sekadar cukup untuk mereka hidup saja, sebaliknya kita menanggung penyewa permit dan lesen itu untuk mebolehkan mereka hidup mewah.

Mereka rasa bangga kerana dapat duit tanpa mengeluarkan peluh atau tanpa bekerja. Mereka langsung tidak berasa malu dengan orang-orang yang bekerja, kerana orang-orang yang bekerja itulah yang sebenarnya yang telah ‘menanggung’ makan tidur mereka itu.

Itulah masalahnya dengan sikap orang-orang di negara kita ini, gaji nak banyak tetapi kerja nak kurang. Kalau boleh, tak payah bekerja tapi gaji masuk bulan-bulan.

Ramai di kalangan rakyat negara ini yang kerjanya hanya tolak habuk, nampak macam sibuk bekerja tetapi hanya tolak habuk ke hulu dan kehilir.

Malah dikatakan ada agensi-agensi kerajaan yang sengaja diwujudkan bagi tujuan memberi pekerjaan kepada mereka yang tidak ada kerja, akhirnya pekerjanya jadi penjaga bangunan dan peralatan dalam bangunan tanpa ada produktiviti. Langsung tidak berdaya saing dan tidak produktif, ibarat hidup segan mati tak mahu.

Mereka seperti telah menjadi pesara sebelum sampai umur untuk bersara.

Inilah antara factor yang membuatkan harga barang-barang jadi makin mahal dan nilai duit makin tidak berharga. Sikap kebanyakan orang kita, mereka suka kalau boleh, tidak melakukan apa-apa kerja tetapi duit masuk tiap-tiap bulan. Inilah yang dinamakan makan gaji buta.

Kalau tidak ada orang bekerja di kebun-kebun sayur, tentulah sayur akan berkurang di pasar, dan harga sayur akan melambung tinggi.

Jika tidak ada orang bekerja di ladang ternak ayam dan lembu, harga ayam dan daging akan menjadi mahal.

Jika tidak ada nelayan yang pergi ke laut atau tidak ada orang yang mahu bekerja menternak ikan, harga ikan akan menjadi mahal.

Jika tidak ada orang yang mahu bekerja di sawah untuk menanam padi, harga beras akan menjadi mahal.

Tanggungan kita menjadi lebih berat kerana kita bekerja bukan sahaja untuk menanggung diri kita sendiri, tetapi juga terpaksa menanggung orang-orang yang makan gaji buta ini.

Saturday, June 11, 2011

Demokrasi atau UMNO yang memberi masalah kepada masjid?

Tiba-tiba saja UMNO melenting bila Pulau Pinang mahu menggunakan mekanisma demokrasi dalam pemilihan kepimpinan masjid di negeri itu. Kalau tidak ada-ada, masakan tempua bersarang rendah.

UMNO memang tidak pernah yakin dengan demokrasi, melaksanakan demokrasi dengan cara yang betul boleh membawa musibah kepada UMNO.

Kalaulah demokrasi tidak bagus, kenapa kita tidak haramkan saja demokrasi dari menjadi sistem amalan politik di negara ini.

Sebab demokrasi itu baiklah maka kita telah mengambil demokrasi menjadi dasar utama dalam sistem politik negara kita.

Demokrasi dapat menjamin yang terbaik akan terpilih, dan demokrasi memastikan kita sentiasa dapat kepimpinan yang terbaik. Lebih dari itu demokrasi dapat memberi ruang berlakunya semak dan imbang (check and balance) yang akan mendorong tadbir urus sentiasa berjalan dalam keadaan baik.

Demokrasi dicipta bagi mengelakkan berlakunya pertumpahan darah dan pergaduhan semasa menggantikan pemimpin yang meninggal atau merebutkan kuasa.

Kalau dengan demokrasi, pemimpin yang terbaik masih juga tidak dapat terpilih menjadi pemimpin, itu bukanlah salah demokrasi tetapi salah orang yang melaksanakannya. Kalau kita telah mencabul ketulenan demokrasi, tidak mungkin demokrasi akan dapat berfungsi seperti yang sepatutnya.

Kalau dalam pilihanraya dipenuhi dengan penipuan, pengundi hantu, pengundi pos yang diragui, dan agensi kerajaan, media kerajaan dan media perdana dijadikan alat kempen parti kerajaan, masakan demokrasi dapat menghasilkan keputusan yang baik.

Kalau demokrasi boleh menyebabkan berlaku rusuhan, pembunuhan, pergaduhan seperti yang didakwa oleh UMNO, maka itu bukan salah demokrasi, tetapi selidiklah puncanya, silap-silap boleh terkena batang hidung sendiri.

Kenapa kita mesti meletakkan kesalahan kepada demokrasi bila berlaku pergaduhan, padahal tujuan demokrasi digunakan adalah untuk mengelakkan pergaduhan.

Kalau tidak ada-ada, masakan tempua bersarang rendah. Siapakah yang sebenarnya berasa paling gusar apabila pemilihan kepimpinan masjid dijalankan secara demokrasi?

Wednesday, June 08, 2011

Tujuan bertudung bukan untuk kelihatan cantik

Tujuan asal wanita disyariatkan bertudung (hijab) adalah bagi menutup kecantikan wanita. Nafsu seks lelaki cepat teransang bila melihat kecantikan wanita. Tidak dinafikan terdapat bahagian-bahagian tubuh wanita yang kelihatan cantik oleh lelaki, termasuklah rambut, yang boleh membangkitkan keghairahan nafsu seks mereka.


Nafsu seks lelaki yang dijadikan cepat ghairah dan teransang ini adalah antara yang menjadi punca terdorongnya kepada perlakuan zina. Oleh itu Islam telah mengekang jalan-jalan yang boleh mendekatkan kepada zina ini, termasuklah mengenakan suruhan wajib kepada kaum wanitanya supaya menutup aurat, dan menutup rambut dan bahagian dada mereka.

Tetapi di zaman sekarang ini peranan tudung tidak menepati tujuan asalnya, sebaliknya tudung digunakan untuk menyerlahkan lagi kecantikan seorang wanita. Macam-macam fesyen tudung terdapat di pasaran sekarang ini, ada saja fesyen terbaru dicipta bagi menarik kaum wanita untuk membelinya. Malah ada fesyen tudung yang dikaitkan dengan nama-nama artis dan selebiriti tertentu bagi melariskan jualan.

Sebelum tahun 1970-an dulu sangat jarang wanita-wanita muda bertudung, pada masa itu hanya makcik-makcik saja yang bertudung. Seingat saya pemakaian tudung oleh wanita-wanita muda dimulakan oleh ahli-ahli ABIM. Jika ada wanita muda memakai tudung semasa itu, mereka digelar sebagai orang dakwah. Tudung yang dipakai oleh mereka itu benar-benar menepati tujuan asal iaitu bagi menutupi perhiasan atau kecantikan seorang wanita.

Pengaruh pemakaian tudung telah berkembang dengan cepat selepas itu. Ramai wanita-wanita muda telah berlumba-lumba mengenakan tudung, apatah lagi tudung telah memberi persepsi kepada masyarakat sebagai wanita ‘baik’ kepada pemakainya.

Akhirnya tudung telah menjadi pakaian biasa bagi kaum wanita muslim di negara ini, tujuan pemakaiannya kepada setengah-setengah wanita bukanlah untuk menutup aurat tetapi lebih kepada ikutan semata. Oleh kerana orang lain bertudung, mereka juga kena ikut bertudung, kalau tidak mereka akan dilihat ganjil.

Oleh itu pada hari ini, label sebagai wanita ‘baik’ kepada wanita yang bertudung memang tidak boleh digunapakai lagi. Silap-silap wanita yang bertudung itu berperangai lebih jahat lagi.

Apa tidaknya, tujuan mereka bertudung adalah untuk kelihatan lebih cantik dan untuk menarik perhatian lelaki kepadanya. Fesyen tudung sarang tempua yang sangat popular sekarang ini sama seperti bonggol-bonggol unta yang disebut oleh Nabi Muhammad bagi menggambarkan fesyen wanita yang menjolok mata di akhir zaman.

Ada juga yang bertudung tetapi kelihatan seperti telanjang, tudung dikenakan dengan pakaian yang tipis dan ketat, baju berlengan pendek, dada terdedah, kain pula berbelah menampakkan betis dan paha.

Tuesday, June 07, 2011

Utamakan barang tahan lama, perlahankan kemusnahan alam

Apabila sebatang balak ditebang hari ini, kita memerlukan masa berpuluh tahun untuk menggantikannya. Pokok-pokok mengambil masa yang lama untuk membesar. Tidak mungkin terjadi kalau kita menanam pokok pada hari ini dan ia akan membesar menjadi pokok balak pada bulan depannya.


Lagi banyak kita menebang pokok lagi cepatlah kita memusnahkan asas penting kehidupan kita. Pokok dan tumbuh-tumbuhan adalah pembekal semulajadi gas oksigen yang sangat diperlukan oleh tubuh badan kita untuk terus hidup.

Sekarang seperti telah menjadi trend kepada kehidupan manusia moden, suka menukar perabut baru, kenderaan baru, pakaian baru, rumah baru walaupun barang-barang tersebut masih boleh digunakan.

Pihak pengilang dan pengeluar barangan pengguna pula berlumba-lumba mengeluarkan model-model baru yang menarik perhatian orang ramai untuk membeli barangan mereka.

Selain dari mengeluarkan model-model baru yang mempunyai ciri-ciri tambahan yang lebih canggih dari model sebelumnya, barang-barang ini juga seolah-olah dengan sengaja dibuat untuk tidak tahan lama. Paling lama boleh diguna untuk masa sekitar lima tahun sahaja sebelum ia rosak.

Tujuan barang-barang ini dibuat tidak tahan lama dan model-model baru sentiasa dikeluarkan ialah supaya orang ramai sentiasa membeli barang-barang mereka. Kalau dibuat tahan lama hingga boleh tahan 20 tahun, sudah tentu hasil jualan jadi perlahan dan tidak banyak untung boleh dapat. Kalau jualan perlahan, macamana hendak bayar gaji pekerja, silap-silap kilang pun boleh tutup.

Masalahnya bila banyak barang-barang dikeluarkan, lebih banyaklah bahan-bahan mentah dari bumi akan digunakan dan lebih banyak pokok akan ditebang. Lebih banyak sumber petroleum akan diguna untuk menghasilkan barangan plastik, lebih banyak bahan logam dilombong dari perut bumi untuk membina kelengkapan rumah, peralatan rumah, kereta dan kenderaan lain.

Operasi kilang-kilang juga banyak menyumbang kepada pencemaran bumi, bahan buangannya menyebabkan sungai-sungai kita tercemar dan hujan berasid.

Elakkan pembaziran, gunalah barang-barang yang boleh tahan lama, gunalah barang-barang ikut keperluan kita dan tidak sewenangnya menukar kepada yang baru selagi boleh diguna.

Andainya perabut yang ada di rumah kita mengorbankan sebatang balak untuk membinanya, pastikan kita menggunakannya untuk masa 20 tahun atau lebih, kerana 20 tahun lagi barulah ada sebatang balak lagi untuk ditebang untuk menggantikan perabut lama kita itu. Bayangkan apa yang akan terjadi kepada hutan kita jika semua orang mengganti perabut rumah mereka setiap tiga tahun sekali?

Ingatlah! sikap kita yang tidak membazir boleh membantu melambatkan alam dan bumi kita dari tercemar dan musnah.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel

my playlist


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com