Bermula seawal tahun 1400, Raja Parameswara dan orang-orangnya dari Palembang membuka negeri di Melaka, tanah semenanjung Malaysia telah menjadi penempatan baru bagi penduduk dari kawasan serantau. Termasuklah dari pulau Jawa, Sumatera dan Sulawesi.
Di waktu itu tidak ada sistem tertentu yang mengawal orang-orang luar dari membuka tanah dan penempatan baru, apatah lagi mereka yang datang itu adalah dari rumpun yang sama, agama yang sama dan budaya yang hampir sama. Mereka mempunyai raut wajah yang sama, hanya dibezakan oleh bahasa daerah yang kita kenali sebagai Jawa, Bugis, Minangkabau, Banjar, Siam, Riau dan Boyan.
Pada era penjajahan British pula, pekerja-pekerja dari Negara China dan India telah dibawa masuk oleh British ke Semenanjung untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah dan ladang-ladang getah.
Negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, sistem kad pengenalan dan kewarnegaraan telah diperkenal dan diperketatkan.
Selepas itu negara kita boleh dikatakan tidak lagi membenarkan pendatang-pendatang asing datang ke negara ini. Semua pekerjaan telah dilakukan sendiri oleh anak-anak tempatan.
Kalau pun ada pendatang yang dibenarkan masuk ke Malaysia selepas kita merdeka, hanyalah terdiri dari pendatang akibat pelarian perang seperti pendatang Kemboja, Vietnam, Acheh, Thailand dan Filipina.
Sejak Tun Mahathir mengambil alih pemerintahan Malaysia, sekali lagi kita dilanda kedatangan pendatang asing. Negara kita telah menjadi tumpuan pendatang asing untuk mencari kerja, bukan sahaja dari Indonesia tetapi datang dari berbagai-bagai negara seperti India, Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Vietnam.
Di bawah pimpinan Tun Mahathir, dasar penswastaan, pembangunan infrastruktur yang pesat telah memaksa negara kita membawa ramai pekerja asing dari luar yang diperlukan dalam sektor pembinaan dan penyelenggaraan.
Dalam masa yang sama, rata-rata anak tempatan mempunyai kelulusan pendidikan yang tinggi, mereka tidak selesa lagi untuk bekerja sebagai buruh bawahan dan bekerja di bawah panas terik sinar matahari. Kepada mereka apalah ertinya kalau ada sijil diploma atau ijazah tetapi membuat kerja seperti menoreh getah, atau mengambil buah kelapa sawit, atau membersih bangunan pejabat atau menjadi orang gaji. Kalau sekadar untuk membuat kerja-kerja tersebut, tidak perlulah kepada sijil diploma dan ijazah.
Majikan pula tidak ada pilihan, mereka mahu membuat keuntungan yang maksimum dengan membayar upah atau gaji pekerja yang murah. Oleh itu mengambil pendatang asing sebagai pekerja adalah pilihan terbaik untuk menjadikan barang keluaran mereka lebih murah dan beradaya saing.
Kalau kita lihat negara maju seperti Jepun, mereka tidak mengambil pendatang-pendatang asing untuk melakukan kerja-kerja di negara mereka. Mereka sanggup berkorban membayar gaji yang lebih mahal kepada anak-anak tempatan. Oleh itu hingga hari ini, mereka tidak ada masalah dengan pendatang asing.
Mereka tidak mengambil pendatang asing untuk menjadi pekerja mereka sebagai langkah untuk menjimatkan kos, sebaliknya mereka memindahkan kilang-kilang mereka ke negara lain yang mempunyai tenaga buruh yang murah, termasuklah ke negara kita.
Tidak dinafikan pendatang-pendatang asing telah menimbulkan banyak masalah kepada sosio budaya negara kita. Oleh itu perlulah kita mencari jalan untuk tidak terlalu bergantung kepada pekerja-pekerja asing ini.
Buat apalah kita terlalu memikir untuk keuntungan jangka pendek, walhal untuk jangka panjang kita akan menghadapi banyak masalah dan kerugian.
Kalau Jepun boleh, kenapa kita tidak?
Sampai bila kita akan terus menerus mengimpot pendatang asing untuk bekerja di negara kita, bilangan mereka bukan berkurang sebaliknya terus bertambah dari masa ke semasa.
Sekarang ini pun, Chow Kit sudah jadi seperti Batam, Cameron Highland sudah jadi seperti Bandung. Fikir-fikirkanlah.